10 Taman Rekreasi Malaysia (Popular dan Seronok)

Mencari Taman Rekreasi Malaysia yang seronok dan menarik untuk dikunjungi bersama yang tersayang? Anda berada di tempat yang betul kerana kami menyediakan 10 taman rekreasi yang menarik di serata Malaysia.

Ramai orang lebih gemar untuk mengunjungi taman rekreasi pada waktu lapang dan hari cuti. Bukan apa, sesekali dapat bersantai sambil menikmati keindahan sekeliling pasti dapat menyegarkan minda dan menenangkan fikiran.

Di Malaysia, setiap negeri mempunyai taman rekreasi dan setiapnya mempunyai keunikan tersendiri. Jom tengok taman rekreasi Malaysia yang popular dan menarik untuk anda kunjungi.

Invalid Domain Name

Taman Eko Rimba Kuala Lumpur

Imej via [ Visit Selangor ]

Taman rekreasi ini berada dalam Hutan Simpan Bukit Nanas yang berada di tengah-tengah kota. Siapa sangka terdapat tempat yang menyimpan khazanah alam yang menghijau di negeri yang penuh kemodenan ini.

Merupakan salah satu hutan simpan tertua di Malaysia, ada pelbagai kemudahan disediakan termasuklah pondok, tandas dan surau. Sambil menikmati keindahan alam, anda juga dapat mengenali dan menambah pengetahuan tentang bermacam spesis flora dan fauna di sini.

Jom uji keberanian anda dengan berjalan di titi gantung iaitu Canopy Walk dan Bamboo Walk. Berada di tempat tinggi, pasti lebih puas dan jelas melihat flora dan fauna.

Lokasi: Lot 240, Jalan Raja Chulan, Bukit Kewangan, 50250 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Waktu operasi: Setiap hari (7.00 pagi – 6.00 petang )

Taman Botani Putrajaya

Imej via [ Taman Botani Putrajaya ]

Putrajaya mempunyai banyak taman rekreasi dan salah satunya adalah Taman Botani Putrajaya. Pernah dinobatkan sebagai Taman Paling Menakjubkan di Asia pada 2018, ia merupakan tempat rekreasi yang mempunyai pelbagai spesis tumbuhan.

Terdapat 13 zon yang dibahagikan mengikut kategori tumbuhan di pelbagai benua yang dapat anda menyelusuri sambil mengenalnya. Mak-mak yang suka akan bunga dan tanaman memang patut datang ke sini.

Antara aktiviti yang boleh anda lakukan adalah bersenam, berjoging, berbasikal, berkelah, memberi ikan makan dan lain-lain. Tak nak berjalan atau berbasikal mengelilingi taman ini? Tidak mengapa kerana anda boleh menaiki tram dengan selesa.

Jangan lupa untuk kunjungi Astaka Morocco yang turut berada dalam kawasan ini. Bergambar sepuasnya di sini kerana setiap sudut mempunyai dekorasi menarik persis di luar negara.

Lokasi: Lebuh Perdana Barat, Presint 1, 62000 Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya

Waktu operasi: 9.00 pagi – 6.00 petang

Taman Saujana Hijau

Imej via [ Relax Penang.com ]

Ala-ala taman di Eropah, Taman Saujana Hijau juga merupakan tempat yang menghimpunkan pelbagai jenis tanaman termasuk bunga-bungaan berwarna-warni.

Taman yang berkeluasan 47 hektar ini dibahagikan kepada tiga taman dengan tema berbeza iaitu Taman Eropah, Taman Inggeris dan Taman Cina. Ramai yang ke sini untuk bersantai, jogging dan bergambar.

Ada juga yang berkelah di tengah-tengah taman ini. Hamparkan sahaja tikar dan hidangkan makanan yang dibawa. Jika anda ingin berkelah, pastikan datang pada awal pagi atau petang. Jika tidak, pasti anda akan kepanasan kerana disimbah dengan cahaya matahari yang terik.

Lokasi: Jalan P11, Presint 11, 62000 Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya

Taman Eko Rimba Kanching

Imej via [ Sumber Kini ]

Selangor mempunyai banyak tempat untuk rekreasi dengan tema sungai atau air terjun. Antara yang menarik sudah pasti Taman Eko Rimba Kanching yang berada di Rawang. Jika anda dari Kuala Lumpur, jaraknya untuk ke sini kira-kira 21km.

Uniknya taman rekreasi Malaysia ini kerana ia mempunyai 7 peringkat air terjun. Treknya cukup panjang namun selesa untuk didaki kerana ada tangga dan jalan jalan yang rata. Setiap peringkat mempunyai pondok khas untuk anda merehatkan diri.

Airnya yang jernih, bersih dan segar pasti membuatkan anda berasa tenang sepanjang berada di sini. Ramai yang mengunjunginya untuk mengadakan aktiviti riadah dan berkelah. Namun anda perlulah berhati-hati kerana ada ketikanya monyet-monyet datang untuk mengambil makanan.

Untuk kemudahan pengunjung, pihak pengurusan menyediakan kemudahan tandas, pondok dan surau. Terdapat zoo mini dengan beberapa jenis haiwan yang berada sebelum anda mendaki air terjun peringkat pertama.

Lokasi: Taman Eko Rimba Kanching, Rawang, Selangor

Taman Botani Sri Medan

Imej via [ Babab.net ]

Turut dikenali sebagai Taman Botani Johor, taman rekreasi ini terletak kira-kira 18km dari Yong Peng. Tempat ini menyimpan banyak sejarah menarik termasuklah pernah menjadi tempat perlombongan bijih timah kira-kira lebih 100 tahun dahulu.

Kini, ia merupakan tempat rekreasi yang mempunyai sebuah tasik buatan yang tenang dan nyaman. Ada juga pengunjung yang memberi ikan makan di tasik ini. Pelbagai spesis flora dan fauna yang pasti mencuri tumpuan anda.

Bukan itu sahaja, tempat ini sesuai untuk membawa kanak-kanak kerana terdapat taman permainan yang cukup luas. Nak bersenam, berjoging mahupun berkelah juga sangat sesuai dilakukan di sini. Sekiranya anda dari luar negeri, menginap saja di hostel atau homestay yang berada dalam kawasan taman botani ini.

Lokasi: Sri Medan, 83000 Batu Pahat, Johor         

Taman Rekreasi Gunung Lang

Imej via [ Orang Perak.com ]

Taman rekreasi yang berada di Perak ini memang perlu anda kunjungi. Sebaik sahaja sampai di kawasan ini, anda akan melihat sebuah petting zoo dengan pelbagai jenis haiwan jinak termasuk arnab, kuda, ular dan lain-lain. Ada juga sudut cantik dengan dekorasi bunga-buangan untuk anda berselfie.

Di perkarangan atau luar pintu masuk pula terdapat kerusi berehat serta taman permainan mini. Namun cukup luas dan selesa untuk anak-anak bermain dengan riang. Anda juga berpeluang untuk memberi ikan makan di pelantar kayu. Beli makanan ikan di kaunter dan anda akan melihat banyak ikan yang bersaiz besar seperti patin dan keli.

Tak cukup dengan itu, rasai pengalaman menaiki bot kira-kira 5 minit menuju ke seberang untuk mendapatkan lebih banyak sudut bergambar. Di kawasan ini terdapat zoo mini lain dan rumah tradisional iaitu Rumah Perak.

Nak tengok pemandangan dari jarak yang tinggi? Naik sahaja menara tinjau pasti puas melihat keadaan sekeliling. Ramai pengunjung datang ke sini untuk bersantai dan berkelah bersama keluarga.

Lokasi: Taman Rekreasi Gunung Lang, Off Jalan Kuala Kangsar, 30010 Ipoh, Perak

Waktu operasi: 8.30 pagi – 6.00 petang

Taman Rekreasi  Arus Deras Sungai Sedim

Imej via [ Surga Route ]

Di Kedah pula, tempat rekreasi yang menarik termasuklah Sungai Sedim. Anda pasti pernah mendengar tentang tempat menarik ini.

Berada dalam kawasan Hutan Simpan Gunung Inas di Kulim,ia menyimpan pelbagai khazanah alam yang mengagumkan. Pelbagai jenis pokok, spesis burung dan rama-rama serta haiwan lain yang unik dapat anda lihat di sini.

Antara tumpuan pengunjung jika ke taman rekreasi ini sudah tentu Tree Top Walk Canopy yang mempunyai panjang 1.5km dan kira-kira 36 meter dari paras tanah. Jambatan ini merentasi sungai dan hutan. Jika anda berani, anda memang perlu cuba aktiviti ini.

Bukan itu sahaja, anda juga berpeluang melakukan aktiviti lasak seperti berkayak, water rafting dan tubing. Tak nak aktiviti air? Jangan risau, anda boleh menyertai aktiviti flying fox, paintball, jungle trekking dan abseiling.

Lokasi: Hutan Simpan Gunung Inas, Kulim, Kedah

Robina Eco Park

Imej via [ Penang Property Talk ]

Jika di kebanyakan taman rekreasi lain mempunyai tasik dan sungai, di Robina Eco Park pula mempunyai laut. Tak kurang hebatnya, Robina Eco Park mempunyai pelbagai kemudahan sesuai dengan tempatnya yang luas.

Tempat ini sesuai dikunjungi seisi keluarga untuk berekreasi. Anda boleh bersiar-siar, berkelah, jogging atau sebarang aktiviti yang sesuai. Paling best, ini tempat terbaik dan tenang untuk melihat matahari terbenam.

Aktiviti terkini di Robina Ecopark adalah menunggang ATV. Puas berjalan pasti perut terasa lapar dan dahaga. Jangan risau kerana kini banyak food truck disediakan buat pengunjung dengan pelbagai jenis makanan.

Lokasi: Teluk Air Tawar

Taman Rekreasi Asfa

Imej via [ Taman Rekreasi Asfa ]

Lain pula taman rekreasi yang berada di Terengganu ini. Terletak di Kemaman, taman rekreasi ini dikategorikan sebagai taman tema air. Kawasannya memang cukup luas, cantik dan bersih.

Paling unik, kolam-kolam yang berada di sini disediakan berasingan buat lelaki dan perempuan. Ada juga kolam mandi tertutup untuk wanita mandi dengan penuh privasi dan lebih selesa.

Pada bahagian kolam kanak-kanak terdapat taman permainan mini dan air pancut untuk mereka bermain sepuasnya. Sambil mereka bermain, anda boleh memerhatinya dari pondok-pondok yang berada di sekeliling kolam.

Nak tahu apa lagi unik di sini? Ada 53 buah gazebo di taman ini dengan warna-warna yang menonjol. Anda boleh menyewanya untuk tempoh masa yang anda inginkan. Berbeza dengan taman tema air yang lain, Taman Rekreasi Asfa membenarkan pengunjung untuk membawa makanan dari luar dan berkelah di  sini.

Lokasi: T13, 24210 Kemasik, Terengganu

Waktu operasi: Isnin – Sabtu (10.00 pagi – 6,00 petang)

Taman Eko Rimba Jeram Linang

Imej via [ Forestry Gov.com ]

Taman Eko Rimba Jeram Linang berada dalam kawasan Hutan Simpan Kekal Ulu Sat. Selain mendaki bukit, anda juga boleh berkelah, bermandi-manda, barbeku dan berkhemah. Sekiranya anda seorang pecinta alam, anda memang perlu beriadah di taman rekreasi ini.

Banyak juga kemudahan disediakan untuk memudahkan pengunjung termasuklah parkir, surau, tandas dan pondok. Jika anda ingin menginap di sini, anda juga boleh menempah chalet selain berkhemah. Gerai-gerai juga disediakan dengan banyak.

Lokasi: 16800 Pasir Puteh, Kelantan

Waktu operasi: Setiap hari (7.00 pagi – 6.00 petang)

Banyak lagi taman rekreasi Malaysia yang menarik dan antara yang terbaik sudah pasti yang tersenarai di atas. Jika anda mempunyai cadangan lain, komen di bawah.

Ada yang pernah pergi di senarai di atas? Kalau belum jom ajak keluarga, pasangan atau rakan-rakan untuk merehatkan diri di sini.

Anda suka melancong atau bercuti di dalam negara? Jom baca artikel kami yang lain seperti:

Similar Posts