Kemahiran-Kemahiran Yang Perlu Dikuasai Oleh Pelajar Untuk Bersaing Dalam Pasaran Pekerjaan

Unduh sebagai docx, pdf, atau txt
Unduh sebagai docx, pdf, atau txt
Anda di halaman 1dari 3

Soalan: Pasaran tenaga kerja kini lebih mementingkan kemahiran.

Pelajar perlu
menyediakan diri dengan pelbagai kemahiran sebelum memasuki alam
pekerjaan. Huraikan kemahiran-kemahiran yang perlu dikuasai oleh pelajar
untuk bersaing dalam pasaran pekerjaan.
Selepas menghela nafas kemerdekaan selama 59 tahun, negara Malaysia
telah semakin mendekati ambang Wawasan 2020, iaitu menjadi sebuah negara maju
yang berdaya saing di pentas dunia. Hal ini bermaksud generasi muda terpaksa
mengharungi cabaran yang serba mencabar dalam arus modenisasi ini. Hakikatnya,
Kementerian Sumber Manusia telah mengumumkan bahawa sebanyak lima puluh
enam peratus graduan universiti menganggur daripada tiga puluh ribu penganggur di
negara kita. Statistik sebegini amat membimbangkan seluruh strata masyarakat
sehingga menjadi buah mulut yang meniti dari bibir ke bibir dalam kalangan
masyarakat. Kondisi sedemikian jelas menunjukkan kelulusan dan kecemerlangan
akademik sudah tidak mencukupi untuk menjamin masa depan generasi muda.
Sebaliknya, pelajar sepatutnya melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran
sebelum menjejak langkah ke alam pekerjaan. Persoalan yang berlegar-legar dalam
benak fikiran ialah apakah kemahiran-kemahiran yang perlu dikuasai oleh pelajar
untuk bersaing dalam pasaran pekerjaan?
Sebagai mukadimah dan pembuka bicara, kemahiran dominan yang perlu
dikuasai oleh pelajar untuk bersaing dalam pasaran pekerjaan ialah kemahiran
berkomunikasi. Kemahiran berkomunikasi ditafsir sebagai kemahiran mengeluarkan
idea dan keberkesanan penyampaian mesej. Kemahiran ini dianggap amat penting
kerana seseorang pekerja tentu perlu bertutur dengan pelanggan untuk mengetahui
dan memahami kemahuan pelanggan dengan jelas dan spesifik. Dalam konteks ini,
pelajar yang menguasai kemahiran berkomunikasi tidak akan bergagap apabila
berhadapan dengan pelanggan. Sebaliknya, pelajar tersebut dapat bertutur dengan
fasih dan lancar dengan pelanggan seterusnya melontarkan idea dan pandangan diri
dengan yakin untuk memenuhi kemahuan dan meningkatkan kepuasan pelanggan.
Pelajar yang berkemahiran komunikasi turut tidak mudah dipecah jawatan oleh
majikan kerana dapat melakukan tugasan dengan efektif dan memahami segala
arahan majikan. Tambahan pula, majikan akan memuji pelajar itu atas keberkesanan
pelajar itu apabila bekerja, seterusnya menaikkan pangkat pelajar tersebut sebagai
pengiktirafan terhadapnya. Pendek madah, kemahiran komunikasi memang amat
penting bagi seseorang pelajar sebelum memasuki bidang pekerjaan.
Bertunjangkan pemikiran yang kreatif lagi inovatif, pelajar seharusnya
memiliki kemahiran bertutur dalam pelbagai bahasa supaya lebih berdaya saing
dalam pasaran pekerjaan. Sebagai contoh, pelajar perlu menguasai bahasa-bahasa
utama yang biasa digunakan dalam urusan perniagaan antarabangsa seperti bahasa
Melayu, bahasa Inggeris, bahasa Mandarin dan bahasa Jepun. Hal ini dikatakan
sedemikian kerana dalam alam pekerjaan, pelajar perlu berhadapan dengan
pelanggan yang berasal dari seluruh pelosok dunia seperti Jepun, England, Korea
dan Amerika Syarikat. Dalam konteks ini, pelajar yang menguasai pelbagai bahasa
dapat melayan pelanggan dengan senang kerana tidak menghadapi masalah
berkomunikasi akibat ketidaksesuaian bahasa pertuturan. Bukan itu sahaja,
lingkungan pelanggan dapat diluaskan apabila pelajar memiliki keupayaan bertutur
berbagai-bagai bahasa. Hal ini dikatakan demikian kerana pelanggan luar negara
lebih gemar menjalin hubungan perniagaan dengan syarikat yang mempunyai
pekerja yang mahir dalam bahasa negara ibunda mereka kerana elemen ini
memudahkan urusan perniagaan dan penyampaian mesej. Bertitik tolak daripada itu,

majikan pelajar tersebut akan menguji kepakaran pertuturannya kerana telah berjaya
meningkatkan prestasi perniagaan syarikat secara implisit. Jelaslah bahawa
penguasaan bahasa yang berlainan merupakan antara kemahiran yang wajib dimiliki
oleh pelajar untuk bersaing dengan insan lain dalam pasaran pekerjaan.
Lontaran idea nirmala yang seterusnya ialah pelajar sepatutnya menguasai
kemahiran menjaga penampilan diri. Hal ini dikatakan demikian kerana penampilan
seseorang secara tidak langsungnya telah menunjukkan identiti seseorang seperti
keprihatinan terhadap perkara kecil dan keupayaan menyempurnakan tugasan.
Penampilan yang sempurna meninggalkan imej yang positif kepada orang lain
bahawa seseorang itu bersopan santun dan berpendidikan. Sebagai contoh,
pengurus syarikat akan memilih pekerja yang berpakaian kemas dan
berketerampilan baik walaupun prestasi akademiknya lebih rendah daripada
seseorang calon lain yang berpakaian tidak terapi dan bertindak bagai orang kasar
yang tidak berpendidikan. Sebagai penambahan idea, pelanggan akan berasa lebih
selesa apabila menjalankan urusan perniagaan dengan seseorang yang
berterampilan sempurna dan lemah lembut dalam pertuturan. Hal ini dikatakan
demikian kerana pelanggan akan mempunyai keyakinan terhadap orang tersebut
bahawa dia dapat menyempurnakan tugasan yang diamanahkan walaupun mereka
baru berkenalan buat kali pertama. Selanjutnya, penampilan yang baik amat
maslahat dalam menjaga imej dan maruah syarikat, bak kata sarjana, sekiranya ingin
tahu kecekapan pengurusan sesebuah syarikat, lihatlah penampilan pekerjanya.
Sudah terang lagi bersuluh, pelajar seharusnya matang dalam memilih cara
berpakaian sendiri untuk menambahkan peluang diri dipilih daripada ratusan calon
yang lain apabila menghadiri temu duga pekerjaan.
Jika ditelusuri dan didalami dengan teliti, kemahiran teknologi turut
merupakan kriteria yang diperlukan oleh pelajar untuk bersaing dalam pasaran
pekerjaan. Hal ini dikatakan demikian kerana dalam meniti arus modenisasi dan
globalisasi ini, syarikat-syarikat akan cenderung untuk memilih pelajar yang mahir
dalam penggunaan teknologi seperti menggunakan perisian komputer seperti
Microsoft Excel, Microsoft Powerpoint dan Microsoft Word. Kemudahan tersebut
amat biasa digunakan untuk menganalisis prestasi perniagaan dan menayangkan
rancangan pembangunan syarikat dengan lebih jelas dan mendalami. Seseorang
yang tidak mahir dalam teknologi bukan sahaja mudah dipandang rendah oleh rakan
sekerja, malah pelbagai urusan syarikat tidak dapat dijalankan dengan efektif dan
pragmatik. Oleh hal yang demikian, pelajar seharusnya menghadiri kelas ilmu
teknologi atau gigih mempelajari penggunaan kemudahan teknologi supaya
menambah bonus kepada kemahiran yang dikuasai dan menambahkan peluang
agar diupah oleh majikan syarikat. Syarikat yang berorganisasi dan mempunyai
ribuan cawangan juga hanya akan mengupah insan yang mahir dalam ilmu
teknologi, di samping cemerlang dalam pelajaran kerana tidak ingin membazirkan
sumber pada ulat buku yang berprestasi rendah. Sebagai penegasan, pelajar
seharusnya memiliki kemahiran teknologi untuk meningkatkan daya saing diri dalam
alam kerjaya.
Jika ditinjau dari tinta kaca yang berlainan, kemahiran menangani stres turut
merupakan kriteria yang tidak kurang penting dalam persaingan di alam pekerjaan.
Pelajar yang belum berfikiran matang bagai umur baru setahun jagung, darah baru
setampuk pinang harus bijak menyesuaikan diri dengan alam pekerjaan yang
melontar tekanan yang menggunung ke atas setiap pekerja untuk memaksimumkan
keuntungan syarikat. Oleh itu, kemahiran menangani stres amat penting supaya

pelajar tidak akan melahirkan keinginan membunuh sendiri atau menyimpan dendam
terhadap duniawi ini kerana mereka menganggap diri dibinasakan. Dalam konteks
ini, pelajar seharusnya melatih diri untuk berhadapan dengan tekanan dalam
kehidupan harian dengan perangai yang betul, iaitu dugaan adalah untuk
membasahi kebolehan diri dan mencungkil bakat diri yang tersemai, tetapi bukan
untuk memusnahkan diri. Tambahan pula, pelajar boleh melakukan aktiviti rekreasi
dan mencari hiburan dalam kehidupan untuk meringankan beban yang ditanggung
oleh sanubari. Aspek sebegini amat penting untuk menjauhi pelajar daripada
penyakit kemurungan dan terus menghadapi cabaran hidup dengan tenang hati.
Intihanya, kemahiran menangani stres memang berperanan penting untuk
membolehkan pelajar berdaya saing dalam alam pekerjaan.
Kesimpulannya, terdapat seribu satu kemahiran yang perlu dimiliki oleh
pelajar untuk berdaya saing dalam pasaran pekerjaan. Pelajar sepatutnya sedar
bahawa kecemerlangan dalam akademik bukanlah tiket ke kerjaya profesional yang
terjamin, tetapi kecemerlangan dalam pelbagai kemahiran dan akademiklah yang
menjamin penjawatan pekerjaan. Sebagai warganegara yang bertanggungjawab,
seantero pihak seyogia membanting tulang dan berganding bahu dalam membantu
pelajar untuk menguasai kemahiran yang diperlukan demi memenuhi kriteria
sebelum memasuki alam pekerjaan. Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara,
hanyalah dengan komitmen setiap pihak dalam memperlengkapi golongan belia
dengan pelbagai kemahiran barulah nusa tercinta dapat merealisasikan Wawasan
2020 di bawah pemimpin bakal pemimpin negara ini.

Anda mungkin juga menyukai