Teks Ucapan

Unduh sebagai docx, pdf, atau txt
Unduh sebagai docx, pdf, atau txt
Anda di halaman 1dari 6

TEKS UCAPAN

Yang Berbahagia

BERSEMPENA

HARI ANUGERAH CEMERLANG KVAS 2015

PADA 27 SEPTEMBER 2015 (RABU) PUKUL 8.30 PAGI DI DEWAN WAN MOHD
SAMAN, KVAS.

Selamat Sejahtera dan Salam Satu Malaysia

Terima kasih Pengacara Majlis.

Yang Berusaha Encik Ridhwan Zalay, Pengarah KV Alor Setar

Yang Dihormati Encik Fuad Bin Razali Yang Dipertua PIBG KVAS, Naib YDP PIBG

Tn Hj Ahmad Bin Othman, Timbalan Pengarah Akademik ,

Tn Haji Ahmad Zakil b Nik Hamid, Timbalan Pengarah Sokongan Akademik,

Puan Hajah Che Rohana Binti Cha , Ketua Unit jaminan Kualiti . Pengarah Kolej
Vokasional Zon Kedah dan Perlis, Pengetua-pengetua SMT, Pengetua dan Guru
Besar dalam Kompleks Pendidikan, Pengetua-pengetua SMK harian dan wakil, AJK
PIBG SMVAS, Ibu bapa / Waris Pelajar , para pensyarah, guru-guru, para pelajar
dan hadirin yang dikasihi sekalian.

Beras kunyit saya taburi,

Air mawar direnjis wangi.


Berkembang kasih menabur budi,

Undangan tuan amat disanjungi.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kerana sudi
menjemput saya untuk merasmikan Majlis Hari Anugerah Cemerlang KV ALOR
SETAR, bagi tahun 2015. Saya juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada
pihak kolej yang berjaya mengadakan program ini sebagai satu program tahunan
demi kepentingan para pelajar. Walau apa pun nama yang diberi untuk majlis seperti
ini, yang pasti Majlis Hari Anugerah Cemerlang merupakan satu majlis khas untuk
meraikan pelajar-pelajar yang telah membuktikan kecemerlangan mereka dalam
bidang akademik. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada pelajar-pelajar
cemerlang kolej ini.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

Pada hari ini, kita mendapati peranan pendidikan telah berubah dengan jelas
daripada fungsi tradisionalnya. Para pelajar bukan sahaja datang ke sini untuk belajar
tetapi untuk dididik sebagai pewaris negara agar menjadi modal insan yang berilmu
dan berakhlak mulia. Hal ini selari dengan salah satu Bidang Keberhasilan Utama
Negara (NKRA), iaitu meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan
berkemampuan. Dalam konteks ini, NKRA itu sendiri merupakan satu inovasi dasar
dan strategi yang ampuh dalam merealisasikan hasrat untuk memantapkan kualiti
pendidikan negara. Kita perlu bersedia untuk melakukan pembaharuan dan
pembugaran dalam sistem pendidikan melalui inovasi dasar dan strategi yang
berterusan.

Sistem pendidikan kita mestilah sentiasa dinamik dan progresif serta bersedia untuk
melalui proses perubahan dan pembaharuan seiring dengan peredaran zaman.
Lantaran Kementerian Pendidikan telah memperkenalkan Penilaian Berasaskan
Sekolah (PBS) sejak tiga tahun yang lalu sebagai kayu ukur kompetensi para pelajar.
Dengan kata lain, kita perlu melahirkan para pelajar yang cemerlang dan kompeten
iaitu mencapai standard kualiti untuk merealisasikan aspirasi dan agenda negara.
Hadirin sekalian,

Cendekiawan ada menyatakan tiada kejayaan semanis madu tanpa usaha sepahit
hempedu. Oleh itu, pelbagai usaha dilakukan untuk menjadikan para pelajar sebagai
peneroka ilmu dan bukan sekadar pengikut amat penting bagi mempersiapkan
generasi muda dengan keperluan abad ke-21. Selama ini, kita beranggapan
penglibatan ibu bapa dengan pembelajaran anak-anak mereka di sekolah berlaku
secara semula jadi. Namun, dengan perubahan zaman dan cabaran semasa, usaha
secara bersepadu dan bersungguh-sungguh melalui satu kaedah perlu dilakukan
oleh semua lapisan masyarakat supaya dapat menyumbang kepada kejayaan
anak-anak. Seyogianya, ibu bapa menitikberatkan soal pembelajaran secara
berterusan bukan sahaja di sekolah tetapi juga di rumah.

Sebagai ibu bapa kita juga perlu melakukan refleksi kendiri atau bermuhasabah,
apakah memadai atau cukup setakat menyerahkan tanggungjawab kepada guru-guru
dan pihak sekolah semata-mata. Ibu bapa perlu memastikan usaha yang dimulakan
di sekolah akan diteruskan apabila murid-murid balik ke rumah.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Mahatma Gandhi ada menyatakan bahawa kepuasan terletak pada usaha, bukannya
kejayaan. Maka kepimpinan institusi pendidikan seperti KVAS perlu memacu
penghasilan daya kreativiti dan inovasi dalam proses pengajaran dan pembelajaran
secara berterusan. Bagi menghasilkan pendidikan yang bermutu, para pengajar perlu
melakukan anjakan paradigma dalam melaksanakan pendekatan pengajaran dan
pembelajaran yang menggalakkan para pelajar untuk berfikir secara kreatif dan
inovatif terutama para pelajar di sini yang berfokuskan kemahiran. Kita perlu
berganjak daripada pendekatan model kilang penghasilan pendidikan (factory model
of producing education) kepada model penciptaan pengajaran dan pembelajaran
yang memberangsangkan minda, yang menguji daya kreativiti dan inovasi, yang
mencungkil keupayaan menyelesaikan masalah dan yang mengasah ketajaman
penaakulan (reasoning) para pelajar. Ertinya, orientasi pengajaran dan pembelajaran
mesti berganjak daripada pembelajaran berbentuk hafalan (rote learning) kepada
pembelajaran yang memberangsangkan akal (mind stimulating learning).

Imam Al-Ghazali pernh berkata bahawa Beriman dan beramal sumbernya ialah ilmu.
Ilmu diperoleh dengan belajar. Tiada ertinya iman kalau tiada amal dan tiada erti
amal kalau tiada keikhlasan

Oleh itu, para pendidik perlu sedar orang ramai terutama ibu bapa sentiasa mengukur
pencapaian berdasarkan standard kualiti yang telah dijanjikan. Para pendidik
jangan cepat berasa puas dengan pen-capaian pada hari ini. Seorang pendidik
mesti sentiasa berusaha meningkatkan kualiti perkhidmatan agar per-khidmatan
pendidikan akan menjadi contoh kepada perkhidmatan yang lain. Seperti yang kita
semua sedia maklum, para pelajar merupakan tiang negara dan bakal pemimpin
negara kerana Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Jadi pengasuhan,
bimbingan dan dorongan dari segi semua aspek hidup dari peringkat awal lagi adalah
amat penting. Pencapaian mereka dari segi akademik sahaja tidak memadai.
Malahan pembangunan dan perkembangan yang tinggi dalam aspek keperibadian
juga adalah perlu diberi perhatian yang sama berat.

Saya percaya sambutan Majlis Hari Anugerah Cemerlang pada hari ini adalah selari
dengan matlamat memberi dorongan dan memotivasikan para pelajar agar terus
berusaha untuk mencapai kecemerlangan dalam semua bidang. Diharapkan semoga
program seumpama ini dapat berterusan pada masa-masa akan datang bukan
sahaja untuk pelajar yang cemerlang tetapi juga yang kurang cemerlang tetapi ada
peningkatan atau kemajuan.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah
kepada para pelajar yang akan menerima hadiah nanti atas pencapaian mereka dan
diharapkan pencapaian kecemerlangan tersebut tidak berakhir di sini sahaja.
Teruskanlah kecemerlangan itu sampai bila-bila. Segala kejayaan ini tidak
seharusnya melekakan kita. Benar kita telah mencipta banyak kejayaan, tetapi ini
tidak bermakna bahawa kita boleh selesa berpeluk tubuh mengharapkan setiap
kejayaan yang dicipta pada masa lalu akan berulang dengan sendirinya pada masa
hadapan. Hakikatnya, kita sedang menghadapi pelbagai cabaran baru yang menuntut
supaya kita sentiasa meneroka ilmu terkini, melakukan inovasi dan berusaha untuk
melangkaui sempadan kecemerlangan.

Kepada para pelajar yang tidak menerima hadiah, janganlah kecewa tetapi ingatlah
pesanan saya ini. Untuk menjadi seorang pelajar yang cemerlang, kita harus
mempunyai sikap rajin berusaha dan tidak mudah berputus asa. Berpeganglah pada
prinsip alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Saya percaya
para pelajar yang mendapat anugerah pada hari ini merupakan mereka yang rajin
berusaha dan konsisten dalam usaha. Mereka yang cemerlang ini biasanya rajin
pada tiap-tiap hari dan bukannya rajin menjelang peperiksaan semata-mata atau rajin
mengikut musim.. Saya percaya jika para pelajar dapat mencontohi mereka yang
menerima anugerah pada hari ini, anda juga pasti akan berada di kerusi tersebut
pada tahun akan datang.

Tuan-tuan dan puan-puan yang hormati sekalian,

Ibnu Rusyd, seorang tokoh ilmuwan Islam pernah menukilkan antara lainnya
bermaksud, "Kepuasan yang sejati lahir daripada keabadian bersama". Dalam hal ini,
semua pihak semestinya berganding bahu dan mengatur langkah sederap berusaha
untuk merealisasikannya. Hasil gabungan kerjasama mantap yang terjalin, satu
jaringan kecemerlangan akademik yang tinggi mampu digapai. Kita perlu menjadikan
hubungan antara warga kolej dan ibu bapa sebagai hubungan yang berasaskan rasa
tanggungjawab bersama, saling memerlukan dan sentiasa menyokong antara satu
sama lain, bak kata peribahasa seperti aur dengan tebing.

Pemimpin dan barisan tenaga pengajar kolej ini boleh bertukar ganti; boleh datang
dan pergi, namun organisasi mesti dipertahankan walau sesiapa pun yang
menerajui dan memacunya. Ingatlah, kecemerlangan yang ingin kita capai tidak boleh
ditolak-ansurkan. Semua pihak termasuk ibu bapa dan pelajar patut memberi
sokongan padu kepada pihak pentadbir kolej jika semua mimpi indah tentang
kecemerlangan ingin direalisasikan.
Akhir kata, saya ingin mengambil kesempatan sekali lagi mengucapkan tahniah dan
syabas kepada pihak KVAS kerana berjaya menganjurkan Majlis Hari Anugerah
Cemerlang tahun ini.

Sebelum saya berundur diri, saya juga ingin menarik perhatian hadirin sekalian pada
gurindam ini;

Jika murid mendengar kata

Tidak guru berkata cela

Jika ibu bapa bekerjasama

Tidaklah anak berdukacita

Jika kita seia sekata

Tiada timbul sengketa

Jika seiring kita berusaha

Pasti semua akan berjaya

Digerak oleh iltizam mencapai kecemerlangan, saya dengan lafaz


Bismillahhir-rahmannirahim (Dengan nama Allah yang Maha pemurah lagi
Penyayang) MERASMIKAN, Majlis Hari Anugerah Cemerlang, tahun 2015.

Anda mungkin juga menyukai