Ulasan Karya Oleh DR Mohammed Nor Bin Othman

Unduh sebagai pdf atau txt
Unduh sebagai pdf atau txt
Anda di halaman 1dari 4

ULASAN KARYA NAZLI HAMZAH

Otai Laut Series: “November Has Just Begun”. Tahun 2018. Catan cat air. Bersaiz 29 cm x 42 cm

Koyak, carik, usang adalah perkataan yang membawa pemaknaan pada sifat terbuang. Sifat tersebut
dijadikan fokus utama memainkan persepsi khalayak meletakkan harapan dan kekecewaan. Tetapi di
dalam imej visual pemaknaannya lebih luas membawa pemikiran dari banyak perspektif. Menimbulkan
suatu naratif dalam situasi kompleksiti yang bergolak seterusnya tercabar. Ada lembaran metamorfosis
untuk membawa pemikiran dalam suatu kitaran baru dirasai situasi yang memerlukan perubahan.
Segalanya dari pandangan awal di sebalik lukisan cat air oleh Nazli Hamzah ini cuba mencarikkan
perasaan. Mainan perasaan ini menjadi penghazaman dalam doktrin Romantisme. Dari sudut menguji
kematangan pemerhati dalam persepsi visual istimewanya karya ini ialah dapat membezakan retorik
kesenian melawan retorik politik.

Masih ramaikah lagi yang mahu ambil peduli dengan cariknya bendera kebanggaan bangsa
menunjukkan rabaknya suatu sensitiviti sebagai menjolok sentimen. Merujuk karya Romantisme yang
dikagumi dalam sejarah seni antaranya “Liberty Leading the People” (1830) oleh Eugene Delacroix dan
karya Ernest Meissonier “The Siege of Paris” (1870-1871), menggambarkan watak utama memegang
kayu bendera bagi menyelamatkan dari jatuh ke tanah. Kuasa yang ditunjukkan pada tangan itu kuasa
rakyat sebagai penyelamat masa depan negara Perancis. Namun Nazli meletakkan bendera bangsa itu
pada kayu pancang perahu nelayan. Nazli tahu dirinya bukan penganalisis politik tetapi mesra dirinya
dikenali hingga peringkat kepimpinan dan masyarakat terbawa sentimen ini untuk menyedarkan bangsa.
Bahawa sebuah organisasi yang disokong oleh kuasa rakyat sebagai bangsa yang sayangkan negara
mampu dihidupkan walaupun pemimpinnya leka dengan perjuangan merebut pangkat dan harta.
Manakala pengertian di sebalik November yang bakal difikirkan sebagai musim tengkujuh bagi Nazli ada
jawapan di sebaliknya.

Isu politik sentiasa panas dan kalanya menjemukan. Apabila dibingkaikan dalam seni bersama warna,
ruang dan kedalaman pepenjuru boleh membawa suatu dampingan juzuk diatur seiring (juxtapose)
menjadi berubah suasana. Sama ada ceria atau muram, juzuk pengamatan warna diatur seiring warna-
warna yang tidak harmoni menjelaskan pendirian pada kemuraman. Biru langit yang mendung bersama
campuran kecairan hitam berlapis memanjang memagari keseluruhan latar belakang telah mengusik
perasaan pemerhati.

Isu kritikan sosial kerap dikupas dalam imej visual lazimnya berbentuk protes, bantahan, simpati untuk
mengajak khalayak sedar dan memahami masalah yang diketengahkan. Tetapi Nazli bukan inginkan
sebegitu kerana lukisannya perlu ada keluarbiasaan yang membawa paradoks untuk menjentik saraf
pemikiran ramai umpama menjentik pemimpin hingga tempias kepada orang lain. Kekuatan karya Nazli
dalam imej visual yang sedemikian akan menyembunyikan dari memerangkap diri dan pemerhati
menafsirnya di sebalik jaring yang halus. Tanpa berterus terang tetapi berlapik untuk mengelak bias dari
asakan makna orang lain menjadikan keluarbiasaan itu menyerlah sifat seorang pemerhati yang peka
pada ruang dan kewujudan bentuk.

Kewujudan ruang latar belakang yang lebih luas boleh dikenal pasti hal benda yang sebenar. Pemerhati
boleh mengutamakan tiga aspek dari sudut sifat strukturnya. Kedua, aturan yang membezakan ruang
dan ketiganya makna di sebaliknya.

Mudah diterima sifat struktur menjurus pada imej dalam membentuk penceritaan yang difahami di
sebalik konsep umum kerana sudah terbiasa melihat bendera Malaysia dan bendera kepartian. Bot
nelayan mengisi ideologi kandungan karya Nazli sebagai imitasi kedaifan dalam persepsi yang asli. Itu
yang dimahirkan oleh Nazli dalam gaya seni Romantisme dengan penampilan struktur itu ada cerita yang
jelas dengan pelbagai makna. Boleh ditafsir menjadi benar dan tidak salah bergantung pada hujah yang
popular di sebalik isu dari peristiwa sebenar.

turan yang membezakan ruang merujuk pada bentuk-bentuk dirancang dengan teliti untuk menangkap
pemerhatian khalayak menjadi unsur kekuatan. Ditonjolkan secara maksimum dalam makna di sebalik
objek yang mematangkan persepsi visual. Dipilih ruang sebelah kiri untuk menjadi berat tetapi ruang
kanan untuk kerehatan mata.
Makna di sebalik karya bergantung pada hepotesis utama mengaitkan pengalaman dalam seni. Nazli
telah menghasilkan banyak karya seni lukis dan begitu peka dalam menyoal dirinya sendiri. Kerja-kerja
seni seumpama ini melibatkan tekanan dan ia dilepaskan kepada pemerhati. Khalayak boleh menyoal
adakah mampu diteruskan perjuangan dalam tekanan mengharungi gelora yang semakin kuat? Adakah
dua imej bendera kebanggaan bangsa dan negara itu mengujudkan kesan rasa dalam mengusik
sentimen khalayak? Objek manakah kelihatan berdikari yang cuba mengalih perasaan khalayak supaya
tidak nampak seperti diri pengkarya terperangkap dalam tekanan yang cuba dimainkan?

Persoalan ini mengerakkan pemerhati secara aktif menyelidiki di sekeliling lukisan tersebut dengan
tanda tanya. Jawapan pada soalan-soalan di atas adalah jawapan yang tidak semuanya negatif kerana
ada pemikiran kreatif yang cuba disuntik. Dalam sebuah karya yang menarik banyak atau sedikitnya imej
visual dengan makna dan tanda tanya perlu disokong melalui interpretasi dan ulasan yang dapat
mengangkat kualiti kreativiti sesebuah karya. Justeru kenapa kita hanya perlu melihat bendera yang
terkoyak dan pudar itu. Sedangkan titik tolak pada persoalan besar menurut Christian von Ehrenfels
bukan mencari jawapan yang banyak dengan hujah dan helah. Mengapa tidak keseluruhan dari karya
tersebut boleh menjadi suatu rumusan baharu untuk mengesan kualiti dan kekuatannya hingga
keseluruhannya mendominasi kualiti pada bahagian-bahagian kecil yang lain.

Perasaan khalayak dimainkan antara saraf pemikiran yang tidak mahu ambil peduli dengan pendirian
yang mahu mencari jawapannya. Tentu berbeza yang mahukan simpati atau ingin memberikan tafsiran
mengakui suatu keberanian menyatakan bahawa ramai khalayak yang melihat karya ini rasa terguris.
Segala keangkuhan yang terbit dalam fikiran masing-masing harus dijernihkan apabila menatap lukisan
Nazli walaupun masih ada yang sayang dan cintakan pada bangsa dan perjuangan. Tidak mungkin karya
seni lukis dipandang sinis lalu diabaikan kecuali campur aduk pendirian seniman itu terang-terangan
meletakkan kedua kakinya berada dalam kepartian.

Karya “The Death of Sardanapalus” (1826) oleh Eugene Delacroix begitu dramatik mengkritik golongan
borjuis dalam sistem monarchi Assyrian yang lupa diri. Memperhambakan golongan marhaen hingga
dijadikan penceritaan yang menyiksakan. Orang kenamaan merogol gadis, isteri dijadikan hamba seks,
berpesta boros dan gelojohnya nafsu digambarkan dari gerak laku yang buas. Tangan mangsa ditarik
kasar, memeluk, memaksa dengan kelakuan keras dan agresif. Maka dari segi moralnya, gaya
Romantisme ini mengangkat pengkaryanya sebagai pejuang seni untuk menyedarkan bahawa status
kedudukan manusia ada yang mulia dan hina. Kedudukan golongan borjuis sebenarnya hina di sisi
golongan marhean. Tidak seharusnya sebuah hasil seni dipandang sinis dan diabaikan hingga menjadi
rendah nilainya sekiranya tindakan seniman dalam berkarya ada prinsip tersendiri dalam seni untuk
ditonjolkan.
Karya Eugene Delacroix berjudul “Liberty Leading the People” (Kebebasan Memimpin Rakyat) adalah
lukisan yang memperingati Revolusi Perancis Julai 1830. Watak wirawati memegang bendera Perancis
adalah Dewi Liberty mengetuai perjuangan untuk menggulingkan Raja Charles X. Disebelahnya ada
watak budak dengan kedua tangan memegang pistol. Mayat bergelimpangan mempertahankan negara
dan bangsa. Begitu juga karya Ernest Meissonier berjudul “The Siege of Paris”menampilkan peperangan
merebut kuasa dan bendera dijadikan simbol menegakkan kebenaran. Terkorban ramai soldadu upahan
dan kuda tunggangan yang jatuh bersama tuannya juga sebagai alat tunggangan.

Dalam enigma sesuatu yang membingungkan sebagai pengikut berjuang menegakkan kesetiaan dan
taksub dalam sesuatu ideologi terjadi di mana-mana hingga bercakaran sesama sendiri. Sedangkan
pemimpin menjadikan kawan setia sebagai seterunya dan di sebaliknya seteru diterima sebagai kawan
setia. Namun di dalam seni tetap dengan nilai keharmonian dan berjuang untuk suatu koloborasi
menjunjung satu semangat dalam idealisme estetik yang tulen.

Kemunculan bentuk sebagai idiom dalam karya Nazli perlu dirujuk sebagai sumber premier. Manakala
sifat warna dimainkan sebagai suatu nilai dan isipadu walau bagaimanapun bentuk dan warna dapat
dianalisis pada peringkat kekuatan dan kesan-kesan yang ditonjolkan. Aspek emosi yang ditekankan
pada langit itu menerusi tahap persepsi yang berkaitan dengan masa, suasana yang bukan lagi untuk
menyembunyikan sesuatu. Malah itulah ironi mendungnya langit yang boleh difikirkan. Penakwilan ke
tahap lebih dari itu sebagai “mendung politik” yang membawa ribut besar kepada Nazli sengaja untuk
menarik khalayak menjadi lebih ekstrim dan turut mengakui ini bukan lagi suatu yang dapat
disembunyikan. Untuk itu adakah khalayak terperangkap dalam membezakan retorik kesenian melawan
retorik politik?

Anda mungkin juga menyukai