Teks Bercerita

Unduh sebagai docx, pdf, atau txt
Unduh sebagai docx, pdf, atau txt
Anda di halaman 1dari 5

Assalamualaikum dan selamat sejahtera saya ucapkan kepada semua.

Apa khabar kawan-kawan? Harap-harap semuanya sihat. Pada hari ini saya ada

satu kisah yang hendak dikongsikan dengan kawan-kawan semua. Tajuk cerita saya

ialah “Keinsafan.”

Kata orang, tuah ayam nampak di kaki. Tuah manusia tiada siapa yang tahu.

Begitulah kawan-kawan, ketekunan dan kesabaran membawa kejayaan. Mari kita

dengarkan kisah ini.

Aizat seorang murid tahun enam. Dia seorang murid yang lemah dalam semua

mata pelajarannya. Setiap hari, dia sering dimarahi oleh guru-guru dan ibu bapanya

kerana sering melakukan kesalahan ketika membuat kerja-kerja sekolahnya.

Walaupun begitu, Aizat tidak pernah cuba untuk berubah. Malah, dia semakin

malas belajar dan suka mengganggu kawan-kawannya sewaktu belajar di dalam kelas.

Ha, kawan-kawan…

Bukan itu sahaja, dia juga malas membuat kerja-kerja sekolah yang diberikan

oleh guru-gurunya. Dalam otak kepalanya, dia hanya memikirkan tentang bermain

sahaja.

Aizat sebenarnya tahu bahawa tahun ini dia bakal menduduki peperiksaan

UPSR. Namun semua itu tidak pernah memberi kesan kepadanya. Malah, dia terus

bermain dan tidak pernah berusaha untuk mengubah sikapnya.


Hari berganti hari. Bulan berganti bulan. Namun Aizat masih tetap Aizat yang

dulu. Ibu bapanya tidak pernah jemu menasihati Aizat. Mereka telah menghantar Aizat

ke sebuah pusat tuisyen yang terkenal.

Nak tahu apa yang sering dilakukan oleh Aizat di pusat tuisyen tersebut?

Ya… Aizat akan meniru kawan-kawan di sebelahnya membuat latihan. Kadang-

kadang, kawan-kawannya pula disuruh menyiapkan latihan-latihan yang diberikan.

Guru-guru di situ telah mengetahui tindakan Aizat tersebut.

Di sini pun Aizat hendak membuat onar ya kawan-kawan. Isyyyy… isyyyy…

isyyyy… Bilakah agaknya Aizat hendak berubah? Agaknya, sampai kucing

bertanduk pun dia tidak akan berubah ya kawan-kawan.

Kadangkala, Aizat langsung tidak hadir ke kelas tuisyen tersebut. Dia sibuk

bermain permainan “play station” di “cyber café” yang berhampiran dengan pusat

tuisyen tersebut. Ibu bapanya percaya bahawa Aizat pergi ke pusat tusiyen itu kerana

mereka sendiri yang menghantarnya ke sana. Mereka tidak menyangka bahawa Aizat

sanggup menipu mereka.

Seburuk manapun perangai si anak, ibunya tetap mendoakan agar Aizat

berubah. Setiap hari, selepas sembahyang ibu Aizat tidak pernah lupa berdoa kepada

Tuhan.

Oleh kerana tembelangnya masih dapat disorok, dia langsung tidak pergi ke

pusat tuisyen tersebut.


Pandai sungguh dia menyimpan segala rahsianya itu. Namun, benarlah kata

pepatah, “langit tidak selalunya cerah.”

Suatu hari, sewaktu dia sedang asyik bermain “play station” di “cyber café”

tersebut, polis telah datang membuat operasi di situ. Apa lagi… Dia telah ditangkap dan

dibawa ke balai polis yang berhampiran. Barulah dia sedar akan kesalahan yang

dilakukannya itu.

Dia menangis mohon dilepaskan. Tetapi tangisannya itu sia-sia belaka. Pihak

polis telah menghubungi ibu bapa Aizat. Mereka bergegas ke balai polis tersebut untuk

mengikat jamin Aizat.

Apabila terlihat akan kehadiran ibu bapanya, Aizat terus meraung-raung meminta

ampun. Ibu Aizat menangis apabila melihat anaknya meraung-raung begitu.

Di dalam kereta, mereka bertiga hanya mendiamkan diri. Aizat masih lagi

menangis. Akhirnya, tangisan tersebut reda kerana Aizat tertidur kepenatan.

Sesampai sahaja di rumah, ayah Aizat langsung tidak menegur Aizat. Ibunya

sahaja yang sibuk bertanya itu dan ini. Aizat sedar ayahnya amat marah kepadanya.

Takkan itu sahaja denda yang diterima oleh Aizat?

Mulai hari itu, Aizat tidak dihantar ke pusat tuisyen lagi. Setiap hari, dia tidak

dibenarkan keluar ke mana-mana tanpa pengawasan ibu dan ayah atau kakaknya.

Suatu hari, sewaktu dia mengikut keluarganya ke sebuah taman, dia telah

menerima satu pengajaran yang amat berharga buat dirinya.


Ketika dia duduk di bawah sepohon pokok di taman itu, dia telah melihat seekor

labah-labah membuat sarangnya. Kali pertama labah-labah itu membuat sarang,

sarangnya telah musnah ditiup angin.

Tetapi, labah-labah itu tidak berputus asa. Labah-labah itu tetap mencuba dan

terus mencuba untuk membuat sarang. Begitulah apa yang dilakukan oleh labah-labah

kecil itu berulang kali. Labah-labah tersebut tidak mudah berputus asa. Bagi labah-

labah tersebut, sarangnya mesti siap walau apapun rintangan yang melanda.

Terdetik hati Aizat untuk membandingkan dirinya dengan labah-labah itu. Labah-

labah yang sekecil itu pun boleh berusaha membuat sarangnya mengapa dia tidak

boleh berusaha dalam pelajarannya untuk berjaya.

Ya, kawan-kawan… Doa si ibu sudah termakbul.

Semenjak itu, Aizat telah mula berubah. Dia telah belajar dengan bersungguh-

sungguh untuk mencapai kejayaan dalam UPSR nanti. Setiap hari dia mengulang kaji

pelajarannya. Bukan itu sahaja, dia juga telah menyiapkan kerja-kerja sekolah yang

diberikan oleh guru-gurunya.

Apa yang terjadi seterusnya kawan-kawan?

Sewaktu peperiksaan UPSR, Aizat menjawab dengan penuh yakin. Dia

tersenyum puas setiap kali keluar dari dewan peperiksaan.

Akhirnya, masa yang ditunggu-tunggu telah tiba. Keputusan UPSR telah

diumumkan. Aizat telah berjaya mendapat 6A. Dia menerima ucapan tahniah daripada
guru-guru dan kawan-kawannya. Ibu dan ayahnya amat bangga dengan kejayaannya

itu. Mujurlah Aizat cepat sedar ya kawan-kawan.

Jadi kawan-kawan, mulai hari ini, marilah kita sama-sama mengubah sikap.

Jika kita berjaya melawan sikap buruk yang ada pada diri kita, nescaya kejayaan

akan menjadi milik kita.

Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai