Jogho
Jogho | |
---|---|
Pengarah | U-Wei Hj Saari |
Penulis | S. Othman Kelantan |
Lakon layar | U-Wei Hj Saari |
Dihasilkan oleh | U-Wei Hj Saari |
Dibintangi | |
Muzik oleh | Embie C. Noer |
Syarikat penerbitan | Gambar Tanah Licin |
Tarikh tayangan |
30 September 1999 (Kuala Lumpur) |
Negara | Malaysia |
Bahasa | |
Bajet | RM 1.2 juta |
Jogho ialah sebuah filem masyarakat arahan U-Wei Hj Saari yang ditayangkan di pawagam Malaysia pada 28 Mac 1999. Filem yang dibintangi Khalid Salleh dan Normah Damanhuri ini meraih lima anugerah Festival Filem Malaysia ke-14 termasuk Filem Terbaik, walaupun belum ditayangkan kepada umum di beberapa buah negeri dan lewat tayangan di Kuala Lumpur.
Sinopsis
Mamat ialah penduduk asli Kelantan, Malaysia, tapi dia telah meninggalkan Malaysia bertahun-tahun dahulu untuk bersama dengan saudaranya, Lazim di Pattani, Selatan Thailand. Mamat tinggal bersama isterinya Minah dan tiga anak perempuannya. Dia juga telah menghantar satu-satunya anak lelakinya, Jusoh ke sekolah berasrama di Kelantan. Mamat menyara hidupnya berkeluarga sebagai pelatih pertempuran lembu jantan (Jogho) di sebuah desa kecil yang sebahagian besar bergantung pada memenangi wang daripada bertaruh dalam perlagaan tersebut tanpa memikirkan perihal harian keluarga.
Cerita bermula ketika Lazim dan lembu jantan bernama Celik dibunuh oleh Isa di arena pertempuran lembu. Peristiwa ini menyebabkan Mamat bersama anak-anak Lazim, Sani dan Salim ingin menebus hutang darah mengikut tradisi. Mamat pergi ke Kelantan untuk meminta bantuan temannya Jaafar untuk menemui dan membunuh para pelaku, namun tiada berita setelah sekian lama. Pada waktu yang sama, Mamat dirobek oleh lembu barunya, Ara dan terlantar dalam kesakitan selama beberapa hari.
Dalam tempoh ini, Sani bersama Salim dan Jali (seorang anak buah Mamat) telah pergi ke bandar dan berjaya mengesan dan membunuh orang kanan Isa, Dollah Munduk serta juga anak Isa. Setelah pembunuhan, mereka disuruh untuk bersembunyi manakala Mamat diberkas oleh polis Thailand atas pengesyakan melakukan jenayah itu. Hal ini meninggalkan Minah bersendirian untuk menguruskan tidak hanya urusan desa, tetapi juga untuk merawat lembu jantan.
Dari penjara, Mamat memohon dengan isterinya untuk membayar jaminan agar dia dapat melawan menggunakan Ara. Dia akhirnya dibebaskan pada pagi pertarungan. Sebelum bermulanya perlagaan itu, Isa muncul untuk membalas kematian anaknya. Isa menembak Mamat di bahunya tetapi Mamat berjaya merampas pistol daripada Isa dan menjatuhkannya ke tanah. Mamat enggan membunuh Isa kerana dia tidak mahu lagi Melayu Pattani memusnahkan diri. Namun, Sani berjaya meraih pistol dan terus membunuh Isa sebagai gantinya.
Polis tiba dan Mamat menyerahkan diri kepada mereka, lantas mengambil tanggungjawab atas pembunuhan. Dia memberi pesanan terakhir agar memastikan Melayu Pattani tidak akan pupus dari dunia.
Pelakon
- Khalid Salleh sebagai Mamat - seorang pelaga lembu, kuat pegangan agama, sentiasa ingin yang terbaik untuk keluarganya
- Normah Damanhuri sebagai Minah - isteri Mamat, seorang yang penyabar, faham perangai suami, patuh arahan suami
- Adlin Aman Ramlie sebagai Sani
- Ijoy Azhari sebagai Salim
- Sabri Yunus sebagai Jali
- Wan Hanafi Su sebagai Pak Isa
- Juhara Ayob sebagai Melah
- Dewa Sapri sebagai Husin
- Zakaria Musa sebagai Tok Nebang Lamin
- Aznah Hamid sebagai Zainab
- Baharuddin Omar sebagai Abang Lazim
Sambutan
Kutipan pawagam
Untuk kutipan filem ini, ia dilihat gagal dari segi pecah panggung tetapi boleh bayar balik modal filem tersebut.
Ulasan
Keseluruhan
Filem ini begitu bermutu dari segi penghasilan. Walaupun gagal dari segi kutipan filem, tetapi filem ini menang dari segi kualiti. Filem ini dilihat sebagai filem Malaysia yang banyak memaparkan kritikan sosial terhadap masyarakat. Sebagai pengarah, U-Wei telah melakukan sesuatu yang terbaik dalam penghasilan sesebuah filem yang diadaptasi dari sebuah novel tahun 1976 yang berjudul ‘Juara’ ditulis oleh Sasterawan Negara S. Othman Kelantan.
Lakonan
Kredibiliti pelakon dan pengiat teater tanah air, Khalid Salleh tidak boleh dipertikaikan. Beliau memberi lakonan yang mantap dan dapat menjiwai watak seorang pelaga lembu yang tegar dengan begitu baik dan sempurna. Watak yang dibawa oleh Normah Damanhuri begitu baik sebagai isteri kepada pelaga lembu. Beliau telah dapat menjiwai watak tersebut dengan baik sekali. Pujian harus diberikan oleh seluruh pelakon yang berjaya membawa watak masing-masing dengan baik. Begitu juga dengan lakonan sokongan oleh pelakon muda seperti Adlin Aman Ramlie, Aliza Rafar, Juhara Ayob, Sabri Yunus dan Ijoy Azhari. Filem ini merupakan antara beberapa filem yang pernah dicalonkan dalam kesemua kategori lakonan utama di Festival Filem Malaysia.
Anugerah dan pencalonan
Anugerah | Kategori | Penerima | Menang/Pencalonan |
---|---|---|---|
Festival Filem Malaysia ke-14 | Filem Terbaik | Keseluruhan Filem | Menang |
Pengarah Terbaik | U-Wei Hj Saari | Menang | |
Pelakon Lelaki Terbaik | Khalid Salleh | Menang | |
Lakon Layar Terbaik | U-Wei Hj Saari | Menang | |
Poster Terbaik | Menang | ||
Penataan Seni Terbaik | Fadzil | Tercalon | |
Pelakon Wanita Terbaik | Normah Damanhuri | Tercalon | |
Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik | Adlin Aman Ramlie | Tercalon | |
Pelakon Pembantu Wanita Terbaik | Aliza Rafar | Tercalon | |
Anugerah Skrin 1999 | Filem Terbaik | Keseluruhan Filem | Menang |
Pengarah Terbaik | U-Wei Hj Saari | Menang | |
Pelakon Lelaki Terbaik Filem | Khalid Salleh | Menang | |
Pelakon Wanita Terbaik Filem | Normah Damanhuri | Menang | |
Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Filem | Sabri Yunus | Tercalon | |
Festival Filem Asia Pasifik ke-43 1998 (Taipei) | Pelakon Lelaki Terbaik | Khalid Salleh | Menang |