Tuaran: Bagi meningkatkan kesedaran orang awam mengenai kepentingan pendidikan kanak-kanak, seramai 650 murid diraikan sempena Sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia 2023 di Sekolah Kebangsaan St. John (M), Tuaran di sini, Khamis lalu.
Sambutan meriah yang bertemakan pakaian atau uniform ‘kerjaya’ itu merupakan salah satu inisiatif bagi menyambut Hari Kanak-kanak Sedunia, yang juga merupakan Perayaan Hari Kanak-Kanak Sedunia dan disambut di Malaysia sejak 8 Oktober 1959.
Kaunselor Pendidikan Daerah Sektor Psikologi dan Kaunseling Pejabat Pendidikan Daerah Tuaran, Sulaiman Hj Awang berkata, ia diadakan setiap tahun selepas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengistiharkan Hari Kanak-kanak Sedunia sebagai ’Satu Hari Bagi Persaudaraan Dunia dan Persefahaman Dalam Kalangan Kanak-kanak’.