Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 18 MAC 2022 : Sebuah kilang sawit di Keratong didenda RM70,000 oleh Mahkamah Sesyen 4 atas kesalahan kemasukan efluen (air buangan proses) industri sehingga menyebabkan pencemaran di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Keratong.
Hakim Mahkamah Sesyen 4, Tuan Mohd Kafli Che Ali menjatuhkan hukuman tersebut setelah mengambil kira hujahan pemberatan hukuman Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Puan Suhaidariah Ahmad.
Mengikut pertuduhan insiden pencemaran yang berlaku adalah berpunca daripada kebocoran tebing pada kolam takungan efluen industri di kilang sawit berkenaan di mana pada 6 Julai 2021, Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) telah menerima makluman berkenaan pengaliran masuk efluen industri ke alur air yang mengalir ke Sungai Pukin dan seterusnya ke Sungai Keratong.
Berikutan insiden tersebut, LRA Sungai Keratong terpaksa dihenti tugas selama 9 hari bermula 7 Julai 2021 hingga 16 Julai 2021 disebabkan oleh sumber air mentah didapati berminyak dan berbau yang mengakibatkan gangguan bekalan air kepada 11,500 akaun pengguna di sekitar kawasan tersebut.
Keputusan analisis makmal menunjukkan bahawa kandungan sumber air mentah di LRA berkenaan mengandungi ammoniacal nitrogen, nitrate nitrogen dan merkuri yang melebihi piawaian yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Dengan itu, syarikat tersebut didakwa di bawah peruntukan Seksyen 121(1)(c) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 [Akta 655] iaitu telah menyebabkan supaya dicemarkan suatu alur air yang mengalir ke Sungai Pukin yang seterusnya mengalir ke Sungai Keratong dengan efluen industri yang berkemungkinan akan membahayakan nyawa mana-mana orang
Jika sabit kesalahan, syarikat tersebut boleh dihukum di bawah Seksyen 121(2)(c) Akta yang sama, iaitu tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.
Kes pendakwaan SPAN ini diharapkan dapat meningkatkan kesedaran tentang tanggungjawab untuk mematuhi peruntukkan-peruntukan di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 dan perundangan subsidiari di bawah Akta tersebut dalam kalangan penggiat industri air dan orang awam. -PAHANGMEDIA