Academia.eduAcademia.edu

PROSIDING NURUL FATEKAH ABDULLAH

Kajian ini bertujuan untuk membantu murid-murid yang lemah dalah kemahiran menulis mekanis iaitu kemahiran menulis bentuk huruf melibatkan murid Tahun 2 Cekal SK Padang Mengkuang, Marang, Terengganu. Seramai 4 orang murid lelaki terlibat dalam kajian ini. Kajian ini berfokus kepada masalah murid menulis tidak menyerupai huruf yang sebenar bagi huruf-huruf yang hampir sama bentuk dengan tujuan untuk meningkatkan penguasaan murid menulis bentuk-bentuk huruf yang tidak berkaki (a,c,e,i,m,n,o,r,s,u,v) dengan bentuk yang betul dan membantu murid membezakan bentuk-bentuk huruf ini semasa menulis. Oleh yang demikian, pengkaji telah menggunakan Alat Mari Tulis Secara Interaktif (AMaTSI) bagi membantu murid meningkatkan kemahiran menulis bentuk huruf yang betul. Penggunaan AMaTSI ini telah menunjukkan peningkatan yang agak ketara setelah murid menjalani intervensi berdasarkan Ujian Pasca yang dijalankan. Instrumen kajian yang digunakan dalam kajian ini adalah Ujian Pra, Ujian Pasca, Pemerhatian dan Temu Bual. Melalui kajian ini,murid lemah dalam penguasaaan kemahiran menulis telah dapat menulis bentuk huruf dengan baik sekali gus membantu mereka meningkatkan pencapaian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Kata kunci : peningkatan, penguasaan, AMaTSI, huruf tidak berkaki REFLEKSI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

SOROTAN LITERATUR

Menulis ialah suatu kegiatan penghasilan simbol-simbol grafik yang disusun atur menjadi perkataan-perkataan, yang seterusnya membentuk ayat-ayat yang bermakna. Kemahiran menulis ialah kemahiran yang paling tinggi dalam senarai kemahiran berbahasa. Kemahiran ini merupakan aspek penting dalam mata pelajaran bahasa Malaysia di sekolah. Hal ini demikian kerana kemahiran menulis menentukan tahap pencapaian murid di dalam peperiksaan. Menurut Noorazman Mahat (2009), murid perlu mahir menulis kerana hampir semua kertas peperiksaan di negara ini memerlukan murid menjawab dalam bentuk tulisan dan ada juga jawapan yang memerlukan jawapan yang panjang lebar dalam bentuk ayat. Justeru itu, Murid perlu menguasai kemahiran menulis daripada peringkat asas lagi iaitu peringkat penulisan mekanis yang mana murid dapat menulis dengan ejaan yang betul serta kemas, aspek ini penting sebelum murid dapat menulis di peringkat penglahiran fikiran atau idea. Kenyataan pengkaji adalah berdasarkan kenyataan Raminah Haji Sabran (1995) "di dalam kemahiran menulis, penekanan harus diberikan kepada tulisan yang jelas dengan menulis lambang-lambang huruf menjadi ejaan yang betul". Namun begitu, masalah dalam kemahiran menulis adalah masalah yang paling ketara sama ada di peringkat pramenulis sehinggalah peringkat penglahiran. Namun begitu, masalah dalam kemahiran menulis lebih ketara di peringkat pra menulis dan menulis mekanis. Menurut Kamarudin Hj Husin (1998), beliau menyatakan dalam buku tulisannya iaitu Pedagogi Bahasa bahawa 'kanak-kanak mengalami kesukaran menulis dengan tulisan yang sukar dibaca. Antara faktor yang menyumbang kepada tulisan yang sukar dibaca ialah formasi huruf yang salah atau terbalik, saiz dan tinggi huruf yang tidak konsisten'. Kegagalan murid dalam menguasai Rajah 1: Kesalahan Bentuk Huruf kemahiran di peringkat pra menulis dan menulis mekanis akan menyebabkan murid gagal menulis di peringkat penglahiran.

Berdasarkan kenyataan ini, pengkaji berpendapat masalah-masalah ini berpunca daripada kemahiran paling asas lagi iaitu kemahiran cara memegang alat tulis yang salah. Hal ini selaras dengan kenyataan Levine (1979), iaitu cara memegang alat tulis akan mempengaruhi bentuk tulisan yang dihasilkan oleh murid. Kelemahan pada motor halus menyebabkan kanakkanak menghadapi kesukaran memegang pensel. Levine menegaskan lagi bahawa cara kanakkanak memegang pensel dengan cengkaman yang kurang kemas menyebabkan pergerakan pensel menjadi tidak licin.

Pelbagai kajian yang telah dilah dilaksanakan dalam mengatasi masalah murid bagi aspek kemahiran menulis mekanis. Misalnya, kajian Norma Bt Hj Ismail (2013) Antara inovasi yang sedia ada dalam mengatasi masalah dalam penulisan ialah penggunaan carta teknik menulis huruf yang betul yang digunakan oleh Faizal Bin Latip (2009) dalam kajiannya yang bertajuk 'Teknik Menulis Huruf Dengan Betul Meningkatkan Kekemasan Tulisan Murid Pemulihan' yang dijalankan di SK Pelita Jaya, Kuching, Sarawak ke atas seorang murid pemulihan sekolah itu. Beliau telah menggunakan teknik menulis huruf yang betul dan diajar secara ansur maju, dan menggunakan buku garis tiga sebagai panduan menulis yang betul.

TUJUAN KAJIAN

Tujuan utama kajian ini dijalankan adalah untuk meningkatkan penguasaan kemahiran menulis bentuk huruf yang betul murid Tahun 2 Cekal Sekolah Kebangsaan Padang Mengkuang, Marang dengan menggunakan "AMaTSI".

Objektif

Meningkatkan penguasaan murid menulis bentuk-bentuk huruf yang tidak berkaki (a,c,e,i,m,n,o,r,s,u,v) dengan bentuk yang betul.

Persoalan Kajian

Bagaimanakah penggunaan 'AMaTSI' dapat membantu murid Tahun 2 Cekal meningkatkan penguasaan menulis bentuk huruf yang tidak berkaki (a,c,e,i,m,n,o,r,s,u,v) dengan bentuk huruf yang betul?

METODOLOGI KAJIAN

Pelaksanaan kajian tindakan ini menggunakan model kajian Kurt Lewin (1947) yang mana prosedur tindakannya terdiri daripada merancang, bertindak, memerhati, dan seterusnya membuat refleksi. Model penyelidikan Kurt Lewin (1947) digunakan apabila masalah kajian telah dikenal pasti. Kajian tindakan ini melibatkan empat orang murid lelaki tahun 2 Cekal Sekolah Kebangsaan Padang Mengkuang, Marang. Semua peserta kajian dipilih berdasarkan kepada pencapaian dalam ujian diagnostik. Pengumpulan data menggunakan instrumen ujian, analisis dokumen, pemerhatian dan temu bual. Data kualitatif dianalisis secara deskriptif mengikut peserta kajian.

Pengumpulan data ujian dilaksanakan menggunakan instrumen ujian pra dan ujian pasca. Ujian pra disediakan oleh pengkaji bagi melihat sejauh mana pencapaian murid dan masalah yang dihadapi oleh murid. Ujian ini dijalankan sebelum perlaksanaan tindakan. Tujuan khusus ujian ini dilaksanakan untuk mengetahui sejauh mana responden dapat menulis bentuk huruf. Ujian pasca pula di jalankan dengan prosedur yang sama dengan ujian pra cuma ianya bertujuan untuk melihat pencapaian murid selepas perlaksanaan intervensi. Tujuan khususnya untuk mengkaji keberkesanan AMaTSI yang digunakan untuk meningkatkan penguasaan murid membentuk huruf.

Instrumen pemerhatian digunakan dengan mengamati tingkah laku responden berdasarkan perkara-perkara atau beberapa item-item yang ingin dilihat iaitu cara responden memegang pensel, kedudukan buku atau kertas dengan responden serta postur badan yang betul. Pemerhatian dijalankan secara berstruktur dengan menggunakan borang senarai semak dan di ambil gambar bagi membuktikan lagi masalah yang dihadapi oleh murid. Untuk menganalisis pemerhatian, pengkaji menjalankan pemerhatian sebanyak 3 kali terhadap responden iaitu sebelum, semasa dan selepas intervensi dijalankan.

Instrumen analisis dokumen pula merupakan intrumen hasil kerja responden secara bertulis daripada lembaran kerja yang diberikan oleh pengkaji sebelum intervensi dan selepas intervensi menulis dilaksanakan. Analisis dokumen dalam bentuk latihan memberi gambaran kepada pengkaji untuk melihat perkembangan yang berlaku pada kemahiran menulis responden melalui latihan-latihan menulis yang diberikan. Setelah analisis dokumen dilakukan, pengkaji akan mengumpulkan data-data yang diperolehi menggunakan senarai semak kekerapan kesalahan huruf yang dilakukan oleh responden. Melalui senarai semak, pengkaji akan membuat analisa terhadap peningkatan penulisan responden dan sekaligus menjawab persoalan kajian.

Manakala istrumen temu bual turut digunakan dalam kajian ini. Soalan-soalan yang dikemukakan lebih kepada respon peserta kajian selepas intervensi diberikan. Menurut Mohd Majid Bin Samad (2000) (seperti dinyatakan dalam Mohammad Faizal Bin Latip, 2012), kaedah temu bual boleh digunakan untuk memperoleh maklumat berkenaan fakta, kepercayaan, perasaan dan kehendak mengikut keperluan persoalan kajian.

SPESIFIKASI INTERVENSI

Langkah Pertama :

Pada permulaan aktiviti, bahagian pertama AMaTSI diperkenalkan kepada responden iaitu responden melakukan terapi jari dan badan dengan menunjukkan cara memegang pensel dan postur badan yang betul kepada responden. Pengkaji melatih mereka memegang pensel dengan betul dan berada dalam keadaan postur badan yang betul semasa menulis melalui tontonan video Terapi Jari dan Badan dalam AMaTSI. Pengkaji akan menunjukkan kedudukan tangan dan buku latihan semasa menulis. Pengkaji diminta mencontohi tindakan yang dilakukan oleh pengkaji. Hal ini kerana, cara pegangan pensel dan postur badan sangat mempengaruhi hasil tulisan. Pegangan pensel yang terlalu kemas akan menyebabkan berlaku tekanan dan memberi beban semasa menulis. Manakala postur badan yang salah semasa menulis akan memberi kesan yang agak ketara seperti menulis terlalu rapat atau condong. Jadi, dalam membantu murid membentuk huruf, pengkaji sangat menitik beratkan aspek ini.

Langkah Kedua:

Kemudian aspek yang disentuh adalah dari aspek kemahiran motor halus murid yang melibatkan aktiviti menggunakan pensel iaitu dalam bahagian BANTU SAYA! Penggunaan AMaTSI digunakan seiring dengan modul AMaTSI yang disediakan oleh guru yang mana kandungan isinya hampir sama dengan kandungan AMaTSI. Bahagian aktiviti diperbanyakkan dalam modul bagi memberi kepelbagaian latihan kepada responden. Bahagian BANTU SAYA melatih reponden melakukan aktiviti yang melibatkkan latihan motor halus. Responden diminta mencari jalan pulang berdasarkan permainan BANTU SAYA dalam AMaTSI. Seterusnya, responden diminta melakar jalan pulang tersebut dalam modul yang disediakan oleh pengkaji.

Rajah 2 Latihan Terapi Jari dan Badan

Rajah 3 Latihan Kemahiran Motor Halus Langkah Ketiga:

Bahagian ketiga dalam AMaTSI diperkenalkan iaitu bahagian BELAJAR MENULIS HURUF. Responden ditunjukkan cara-cara yang betul membentuk huruf kecil menggunakan AMaTSI. Responden akan meniru cara membentuk huruf berdasarkan AMaTSI dengan menggunakan Modul AMaTSI . Dilaksanakan secara berperingkat:

• Membentuk huruf atas huruf • Membentuk huruf putus-putus • Membentuk huruf Sepanjang intervensi, responden diminta menulis semula huruf tersebut berulangulang kali. Modul AMaTSI yang disediakan pengkaji boleh dipadam menggunakan pemadam papan putih dan digunakan berulang kali. Pengkaji akan memantau setiap pergerakan cara menulis peserta kajian. Pengkaji akan menegur sekiranya responden membentuk huruf dengan cara yang salah supaya bentuk huruf yang terhasil menyerupai bentuk huruf yang sebenar. Pengkaji akan menganalisis hasil kerja responden. Sekiranya responden berjaya menulis huruf menyerupai huruf sebenar, pengkaji akan meneruskan dengan langkah seterusnya iaitu menulis perkataan.

Langkah Keempat:

Seterusnya, latihan ansur maju dan latih tubi, Apabila responden telah dapat membentuk huruf-huruf dengan betul, responden akan dibimbing dan dilatih secara ansur maju menulis perkataan-perkataan mudah di atas satu garisan atau ruang.

DAPATAN KAJIAN

Dapatan kajian ini diperincikan berdasarkan dapatan responden 2. Responden 2 merupakan salah seorang murid yang mengalami masalah dalam kemahiran menulis bentuk huruf. Hurufhuruf yang ditulis tidak menyerupai huruf yang sebenar. Analisis tinjauan awal berdasarkan pemerhatian telah menunjukkan responden 2 tidak menguasai teknik asas menulis iaitu tidak mampu memegang pensel dengan betul serta postur badan yang salah semasa menulis yang mana responden ini gemar menulis sambil berdiri. Jadi, peringkat awal intervensi, pengkaji telah menunjukkan cara dan kaedah yang betul memegang pensel dan postur badan yang betul semasa menulis melalui bahagian pertama AMaTSI:Terapi Jari dan Badan. Hasilnya dapat dilihat perubahan yang berlaku kepada responden 2 dalam teknik asas ini. Rajah 5 menunjukkan perubahan selepas sesi intervensi ini dilaksanakan.

Rajah 4 Aktiviti menulis huruf secara berperingkat

Setelah responden berupaya memegang pensel dengan betul dan berada dalam postur badan yang betul semasa menulis, pengkaji telah memberikan latihan kemahiran motor halus yang berbentuk permainan iaitu BANTU SAYA! Latihan ini digunakan bagi membantu murid membiasakan cara pegangan pensel yang betul dan melatih koordinasi mata dan tangan murid sebelum meneruskan sesi seterusnya. Sekali lagi pemerhatian berstruktur dilakukan bagi melihat keberkesanan intervensi yang dilaksanakan pada peringkat pertama. Apabila responden dilihat dapat membiasakan teknik asas menulis yang betul, pengkaji meneruskan sesi pada bahagian ketiga dalam AMaTSI iaitu BELAJAR MENULIS HURUF. Responden menggunakan AMaTSI bagi melihat pergerakan pensel secara animasi bagi menunjukkan cara membentuk huruf yang betul dan seterusnya responden melakukan pergerakan yang sama dengan meniru cara animasi tersebut pada modul AMaTSI. Setelah intervensi ini dilaksanakan secara berperingkat, ujian pasca diberikan kepada responden 2. Hasil ujian pasca telah menunjukkan peningkatan yang ketara berlaku kepada responden sehingga 87% daripada 42% semasa ujian pra. Peningkatan markah dalam ujian yang diperoleh mengukuhkan lagi dengan dapatan yang diperoleh melalui instrumen pemerhatian semasa intervensi dilaksanakan. Jadi, pengkaji bersetuju dengan penyataan Levine (1979), cara memegang alat tulis akan mempengaruhi bentuk tulisan yang dihasilkan oleh murid.

Bagi memastikan responden mampu meningkatkan lagi penguasaan menulis bentuk huruf yang betul. Pengkaji telah menambah baik aktiviti dengan latih tubi menulis huruf pada perkataan dan frasa dalam modul AMaTSI menggunakan garis tiga bermula daripada latihan perkataan. Analisis dokumen latihan 1 dianalisis bagi melihat sejauhmana sesi intervensi ini dapat meningkatkan penguasaan murid terhadap kemahiran menulis bentuk-bentuk huruf yang betul. Hasilnya menunjukkan perubahan yang ketara telah berlaku seperti mana yang ditunjukkan dalam Rajah 6 di bawah.

Rajah 5 Pemerhatian Selepas Sesi Intervensi Pertama

Rajah 6 Analisis Dokumen Sebelum Dan Selepas Intervensi

Responden seterusnya diberikan latihan menulis bentuk huruf dalam bentuk frasa menggunakan garis tiga secara latih tubi dan berterusan dan dilaksanakan selama 30 minit satu hari. Kesan penggunaan garis tiga diaplikasikan dengan AMaTSI ini telah menunjukkan peningkatan yang agak ketara dalam Ujian Pasca 2. Peningkatan responden berlaku sehingga 100%. Peningkatan ini telah menunjukkan keberkesanan AMaTSI dalam meningkatkan penguasaan murid dalam kemahiran menulis bentuk huruf yang betul. Penambahbaikan aktiviti dengan melakukan latih tubi latihan menulis selaras dengan penyataan Grave (1983), murid sekurang-kurangnya mesti menulis setiap hari atau minumum empat hari dalam seminggu yang mana pada hari-hari menulis sekurang-kurangnya 30 minit sesi menulis. Selepas intervensi, responden 2 ditemu bual untuk mengetahui respon setelah intervensi dilaksanakan. Apabila ditanya "Mengapa kamu tidak tulis huruf 'a' macam huruf 'd' lagi?" Responden 2 telah memberi respon "Bentuk huruf 'a' dan 'd' tak sama cikgu. Cara tulis huruf 'a' pun dop sama ngan d cikgu." Dapatan temu bual telah menunjukkan responden tahu bagaimana sesuatu bentuk huruf yang sebenar setelah beberapa jenis sesi intervensi dilaksanakan secara berperingkat.

Untuk mengukuhkan lagi dapatan kajian, pengkaji telah menjalankan sekali lagi analisis dokumen iaitu pada lembaran kerja 2. Dapatan menunjukkan telah berlaku penurunan kesalahan huruf yang dilakukan oleh responden. Kesimpulannya, keempat-empat responden yang menjalani intervensi telah berjaya meningkatkan penguasaan kemahiran menulis bentuk huruf yang betul berdasarkan beberapa instrumen yang telah digunakan. Hal ini menunjukkan, keberkesanan AMaTSI dalam meningkatkan penguasaan murid dalam kemahiran menulis bentuk huruf yang betul.

KESIMPULAN

Pengkaji hanya memfokuskan kepada masalah murid menulis tidak menyerupai huruf yang sebenar. Masalah ini menjadi fokus kajian pengkaji berbanding masalah lain. Hal ini kerana, pembentukan huruf yang salah adalah punca kepada masalah-masalah menulis mekanis yang lain. Oleh yang demikian, dalam mengatasi masalah ini, pengkaji telah menggunakan AMaTSI sebagai alat untuk membantu responden. Konsep penggunaan AMaTSI ini berasaskan Teori Pemodelan Bandura (1986). Teori ini menyatakan manusia secara semula jadi belajar melalui proses peniruan atau pemerhatian (Noriati A. Rashid, Boon Pong Ying & Sharifah Fakhriah Syed Ahmad, 2009). Responden akan mengikut cara animasi dalam AMaTSI yang ditunjukkan oleh pengkaji. Dalam perisian AMaTSI ini, pengkaji tidak mengabaikan kemahiran motor halus murid dan teknik menulis yang betul terutamanya perkara asas iaitu kemahiran cara memegang alat tulis yang salah serta postur badan yang betul semasa menulis. Hal ini selaras dengan kenyataan Levine (1979), iaitu cara memegang alat tulis akan mempengaruhi bentuk tulisan yang dihasilkan oleh murid. Selain itu, pelaksanaan intervensi ini dijalankan secara berperingkat daripada asas kepada kompleks. Ini bertepatan dengan kajian yang dijalankan oleh Ahmad Durani Bin Suip (2010). Beliau menyatakan penulisan berperingkat dapat memperbaiki kekemasan tulisan murid, murid di ajar kemahiran-kemahiran asas daripada mudah kepada lebih susah dan kompleks. Dapatan yang diperoleh juga menunjukkan hasil yang postif yang mana selepas langkah intervensi dijalankan subjek kajian beliau telah menunjukkan peningkatan dari segi kekemasan dan kecantikan tulisan mereka walaupun tanpa berpandukan kertas bergaris tiga. Aktiviti ini juga dijalankan secara latih tubi dan berterusan dan dilaksanakan selama 30 minit satu hari. Hal ini selaras dengan penyataan Grave (1983), murid sekurang-kurangnya mesti menulis setiap hari atau minimum empat hari dalam seminggu yang mana pada hari-hari menulis sekurangkurangnya 30 minit sesi menulis. Ringkasnya, dapatan kajian menunjukkan berlakunya peningkatan yang positif dari aspek kemahiran menulis bentuk huruf dan penguasaan kemahiran menulis umumnya. Perubahan yang ketara dapat dilihat berdasarkan dapatan ujian dan analisis dokumen serta dikukuhkan lagi dengan dapatan pemerhatian. Justeru itu, Kajian tindakan merupakan satu kemahiran baru yang saya pelajari dan mengaplikasikan kemahiran ini dalam proses pengajaran dan pembelajaran saya. Kajian tindakan yang saya laksanakan ini merupakan salah satu usaha untuk membantu murid-murid yang mempunyai masalah dalam pembelajaran terutamanya murid tahap satu yang menghadapi masalah tulisan yang kritikal berdasarkan hasil pengalaman praktikum. Selaku seorang guru dalam era baru ini, saya perlu bersiap sedia menerima dan menyesuaikan diri dengan perubahan dan perkembangan dalam dunia pendidikan pada masa kini. Saya sedar jika murid-murid tidak menguasai kemahiran menulis dengan baik akan menjejaskan prestasi pencapaian dalam semua mata pelajaran, maka guru adalah pihak yang pertama bertanggungjawab terhadap situasi tersebut terutamanya guru bahasa Malaysia. Oleh sebab itu guru perlu menggunakan kaedah lain yang sesuai dengan keperluan murid yang lemah dan bukanya bertindak mengabaikan mereka. Setiap individu adalah berhak untuk mendapat peluang pendidikan walaupun murid kelas terkebelakang yang mana merupakan golongan minoriti yang lemah dalam pelajaran. Dalam kajian saya, selain daripada menambah baik amalan pengajaran, saya membantu beberapa orang murid ini meningkatkan kekemasan tulisan mereka di samping memberikan motivasi untuk berjaya dalam pelajaran.

Hasil kajian ini boleh diperbaiki lagi dengan menambah pelbagai aktiviti yang lebih menarik dalam perisian AMaTSI. Penggunaan teknologi mampu membantu meningkatkan lagi penguasaan murid terhadap kemahiran menulis mekanis dan perancangan serta prosedur yang lebih terperinci boleh dilaksanakan dalam membantu murid yang lemah dalam kemahiran menulis mekanis.