Ajar anak berkongsi barang secara psikologi ini dapat bantu mereka menjadi anak yang seorang tidak pentingkan diri, menghormati orang tua dan tidak kedekut untuk membantu orang dalam kesusahan.
Setiap anak-anak mempunyai ciri-ciri personaliti yang berbeza dalam dirinya. Oleh sebab itu, ibu bapa tidak boleh membuat perbandingan antara mereka. Ia termasuk sikap anak yang sukar dijangka. Sikap tidak mahu berkongsi barang adalah antara sikap yang diluar jangkaan kita. Namun dengan didikan yang betul masih belum terlambat untuk membentuk nilai-nilai murni dalam diri mereka. ikuti perkongsian berguna ini daripada www.excelqhalif.com
1.Pilih Mainan yang Betul
Pilih permainan yang mempunyai ciri-ciri berkongsi atau memerlukan 2 orang pemain ataupun memerlukan bantuan orang dewasa. Contohnya seperti congkak dan lego . Pasti untuk siapkan satu lego anak perlukan bantuan ibubapa. Disinilah peluang berkongsi dan bermain bersama digunakan sebaik mungkin.
2.Jadikan Diri Anda Sebagai Contoh
Mainkan peranan anda sebagai contoh terbaik. Ibubapa mesti menunjukkan tauladan berkongsi. Kerana anak-anak adalah peniru terbaik. Sekiranya bermain dengan mereka, pastikan mengikut giliran bermain. Contohnya permainan, baling bola masuk ke dalam bakul. Boleh dilakukan mengikut giliran, mula papa baling, kemudian mama dan kemudian si anak. Cakap dengan dia “Papa baling pula” dengan ini anak faham kosep berkongsi dan main bersama.
3.Puji dan Galakkan Mereka
Puji mereka apabila mereka sudi berkongsi dengan rakan. Dengan cara ini mereka suka lakukannya dengan kerap. Jika boleh, pujilah mereka di hadapan orang yang beliau sayangi. Si ibu boleh kata begini, “Tengahari tadikan papa, Imran kongsi permainan dia dengan Aiman. Bagus dia main sama-sama” Papa pula sampuklah dengan penuh minat “Ohh ye ke, baguslah Imran pandai kongsi dan main sama-sama”
4.Bincang & Pujuk
Kadang-kala anak tidak mahu berkongsi sebab permainan tersebut permainan kesayangan mereka. Atau mungkin juga ada sejarah silam yang membuat mereka tidak mahu berkongsi. Permainan mereka dirosakkan atau dihilangkan.
Tanya mereka; “Kenapa Imran tak nak kongsi kereta tu?”
Mungkin Imran akan menjawab; “Dulu Aiman main kereta Imran sampai rosak”
Pujuk dan bincang dengan mereka; “ Mama faham, tapi dulu tu Imran tak sengaja , kesian dia nak main dengan Imran. Kalau rosak papa betulkan nanti”
Guna kebijaksaan anda untuk pujuk mereka. Ibubapa pastinya lebih mengenali anak mereka dengan lebih dekat.
5.Kuatkuasakan Undang-Undang
Setiap barang mainan yang baru dibeli, letakkan satu undang-undang. “Ini papa punya mainan, Imran nak main, boleh. Tapi kena main dengan papa.” Jangan berikan kuasa milik mutlak pada mereka. Tegur sikap mereka yang terus merampas barang yang mereka mahukan. Simpan barangan tersebut setelah bermain bersama. Undang-undang ini tidak semestinya dikuatkuasa pada semua mainan, cuma sesetengah permainan sahaja.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Tahun Depan Anak Darjah 1, Belum Lancar Baca Buat Teknik Ni. Confirm Boleh!
Bagaimana nak bantu anak yang bakal masuk darjah satu tahun depan lancar membaca dan boleh memahami apa yang diajar? Ni antara soalan yang ramai ibu bapa tanya kerana risaukan anak akan ketinggalan dalam pembelajaran nanti.
Bagi menjawab persoalan ini, Puan Ashikin Hashim yang juga Pengetua Genius Aulad Saujana Utama ada penjelasannya. Dengan jawapan ini akan memberi sedikit kelegaan buat ibu bapa.
Disebabkan tiada pembelajaran secara formal maka ia menjadi cabaran yang besar kepada ibu bapa untuk membantu anak belajar membaca.
Apa yang perlu ibu bapa buat?
1. Ibu bapa jangan terlalu panik. Ambil ini sebagai cabaran yang positif.
2. Lihat apakah cara yang dapat bantu anak kita. Jika ada online dari tadika, usahakan untuk anak ikutinya, jika mampu untuk upah home tutor maka tiada halangan, atau boleh sahaja ibu bapa mengajar sendiri di rumah.
3. Jika mengambil keputusan untuk memgajar sendiri anak apa yang perlu ada?
– buku belajar baca sama ada fonik atau suku kata.
– alat bantu mengajar yang lain
– senarai aktiviti yang boleh bantu anak
4. Perhatikan anak samada ada masalah pembelajaran atau tidak. Rujuk pakar seperti terapis dan doktor. Tapi jika anak normal, boleh berkomunikasi, faham arahan, boleh melakukan rutin independently, inshaAllah anak pasti boleh baca dengan aktiviti yang merangsang pembacaan anak.
Ibu ayah..
Panik atau menyalahkan mana-mana pihak tidak akan dapat membantu anak kita. Ambil langkah sekarang. Bantu anak kita.
Nak pembelajaran yang seronok, jangan hanya tumpu kepada buku tetapi buat aktiviti yang menyeronokkan.
Normal ke kalau umur 4 – 6 tahun masih tak boleh baca?
Pertamanya periksa dulu. Dia tak boleh baca langsung. Atau boleh sikit-sikit.
Lepas tu – yang dikatakan tak boleh baca ni BOLEH BERCAKAP TAK? FAHAM ARAHAN TAK?
Jika anak boleh bercakap, komunikasi bagus, faham arahan, pandai pakai baju, pandai naik tangga, pandai berkawan, pandai cuci lepas buang air..
Tapi satu je dia masih belum boleh iaitu MEMBACA, percayalah, anak anda bukan tak boleh baca, anak anda bukan lambat, anak anda bukan tak pandai.
Dia hanya berumur 5 tahun. Bukan 25 tahun. Seorang anak kecil perlukan proses. Dia takkan belajar semua benda dalam satu masa.
Nak sesuai dengan sekolah baru pun anak ambil masa. Nak berkawan dengan kawan baru pun anak ambil masa. Dan kita masih TAK SABAR nak anak pandai baca???
Bila anak dirasakan tiada progress maka kita rasa anak tak maju. Anak tak pandai.
Walhal KITA YANG TAK FAHAM PROSES itu sedang berlaku. Kita tuduh anak dan juga sekolah.Maaf cakap.
Kita seksa perasaan anak kita. Anak dah berkawan. Dah ada kawan baik. Tahun depan nak cari sekolah baru. Nanti anak kena sesuai dengan tempat baru. Ambil masa lagi.
Lepas pindah dia akan pandai baca tak?
SUDAH TENTU!!!!
Sebab PROSES TELAH DAN SEDANG BERLAKU. 6 tahun akan jadi mudah untuk dia sebab dia dah pernah belajar. 5 tahun bukan dia tak pandai tapi dia SEDANG PROSES. Dan kita pun akan cakap sekolah baru BAGUS sekolah lama TAK BAGUS.
Mak-mak..
Membaca bukan satu-satunya benda yang anak kena belajar.
Saya pernah ada beberapa orang anak murid yang masih belum pandai baca tapi berani berhadapan dengan orang ramai atas pentas, boleh hafal skrip, hormat guru, ada belas ihsan terhadap kawan. MashaAllah.
Ya membaca penting, tapi bukan dengan meminggirkan kemahiran yang lain.
Ini perkongsian yang pernah saya buat sebelum ini.
Tip Peringkat Awal Membaca | Bukan Dengan Buku???
Biar benar Teacher Ashikin. Kalau tak guna buku macam mana nak pandai baca ya?
Di sinilah silap kita. Kita sangka nak anak pandai baca buku, kita ajar dia membaca hanya dengan guna buku. Ini silap besar.
Apa akan berlaku bila kita hanya guna buku sahaja?
1. Anak akan dikatakan cepat BOSAN.
2. Anak akan dikatakan asyik MAIN.
3. Anak akan dikatakan LAMBAT belajar.
Ini adalah tuduhan yang tidak adil kepada seorang anak kecil. Buku bukanlah semata-mata sumber yang kita ada untuk mengajar anak membaca.
Anak belajar melalui bermain. Dan melalui bermain itulah sebenarnya dia boleh membaca. Bagaimana ya?
Mari saya bantu anda. Sebelum nak anak pandai baca, kena ada SYARAT dulu. Apakah ia?
1. Jangan GOPOH atau tergesa-gesa nak anak pandai baca. Anak kita bukan ROBOT. Mereka manusia biasa yang perlukan ruang dan masa untuk belajar.
2. Jangan BANDING kan anak kita dengan anak orang lain. Sedangkan di kalangan adik beradik pun dah berlainan inikan pula anak jiran. Anak kita punya upaya dan kekuatannya yang tersendiri. Jadi, BANTU lah mereka.
3. Jangan TAK TAHU bahawa membaca ini adalah satu proses. Ia bukan berlaku secara tiba-tiba atau anak lahir terus pandai. Ia juga tidak berlaku dengan pantas saat anak masuk tadika. Proses ini panjang dan kompleks. Berlainan mengikut keupayaan anak. Maka BERSABARLAH.
4. Jangan INGAT tadika anak tempat SEPATUTNYA anak pandai baca. Guru hanya pemudah cara tetapi IBU BAPA lah guru PERTAMA dan RUMAH pula sekolah UTAMA. Jadi proses membaca seharusnya bermula dari Rumah.
4. Jangan LUPA siapa yang bagi kita pandai? Ya…ALLAH. Setelah kita berhempas pulas nak pandaikan anak, yang bagi pandai sebenarnya bukan kita tapi ALLAH. Kita minta kepada Allah supaya diberikan kita kekuatan dan ilmu dalam mendidik anak kita. Jika anak kita punya masalah, bawalah kepada yang pakar.
Baik. Ini langkah-langkah yang perlu kita ambil dan mulakan seawal mungkin jika mahu anak ON TRACK. Maksudnya bukan nak minta anak pandai baca umur 2 atau 3 tahun ya. Jika 6 tahun atau darjah 1 pun masih BELUM LANCAR, ia masih belum dikira LAMBAT.
Anak saya yang pertama boleh membaca pada umur 4 tahun. Yang kedua pada umur 5 tahun tapi yang ketiga hanya lancar pada umur 7 tahun. Namun mereka kini berada pada tahap ilmu dan keupayaan yang baik mengikut umur mereka.
Saya pernah bertanya kepada seorang OCCUPATIONAL THERAPIST, pada umur berapakah kita perlu risau jika anak masih belum tahu membaca langsung? Beliau berkata pada hujung tahun DARJAH 1.
Jadi, jika anak sekarang baru 4 tahun dan masih belum tahu membaca, ITU NORMAL.
Jika anak sekarang 5 tahun dan masih belum tahu membaca, ini juga masih NORMAL.
Jika anak sekarang 6 tahun dan masih belum lancar membaca, ini juga NORMAL.
Cuma bila anda atau guru mereka mendapati yang anak anda perlukan pemeriksaan pakar kerana sebab-sebab kesihatan dan masalah pembelajaran contohnya, bawalah berjumpa pakar.
Jom kita mula ajar anak membaca cara santai dan tidak STRES.
Mulakan dari bayi lagi. Bagaimana? KOMUNIKASI DAN INTERAKSI dengan anak. Jangan mulakan dengan SKRIN. Maksudnya jangan perkenalkan GAJET. Belum tiba masa.
Ajar anak membaca bukan hanya dengan tunjuk buku semata-mata. Bila kita sempitkan skop membaca hanya dengan buku maka kita tak banyak dapat nak bantu anak kita. Sebenarnya banyak sangat sumber yang boleh bantu dia. Seperti BERCERITA atau BACAKAN BUKU (bacakan buku ya bukan suruh anak baca buku sebelum dia tahu membaca. Beza tu 🙂 ) dapat membantu anak meningkatkan KOSA KATA nya. Bila kosa kata anak banyak, maka bila belajar baca akan jadi mudah. Sebab dia dah kenal banyak bunyi huruf dan banyak kenal benda.
KOMUNIKASI dengan anak sekerap yang mungkin. Ini saya sudah sebut serba sedikit tadi. Walaupun bayi, biasakan bercakap dengannya. Bila anak dah semakin besar berbuallah dengan mereka ketika shopping, ketika pakaikan baju, ketika bermain, ketika memasak, ketika bawa kereta. Komunikasi akan jadi terbantut atau terhalang jika kita hanya berikan anak GAJET.
MAIN, MAIN, MAIN. Berilah peluang dan ruang secukupnya untuk mereka bermain. Bila main anak akan belajar banyak benda termasuklah mengumpul kosa kata, membina ayat, menyoal, menjawab soalan, berinteraksi dengan orang sekeliling. Inilah antara kunci bagi memudahkan proses membaca.
BACAKAN BUKU. Ini pun saya dah sebut di atas tadi. Bacakan buku ini sangat POWERFUL. Selain boleh tambah kosa kata anak, ia juga dapat tambah ilmu pengetahuan am anak. Dan yang paling best dapat rapatkan hubungan kita dengan anak.
Manfaatkan waktu sebelum anak tidur. Iaitu sebelum anak sampai ke peringkat DEEP SLEEP atau tidur lena. Berbuallah (berbual lagi? ) dengan anak. Masa ini sangat bagus untuk nak menasihati anak. Anak dalam keadaan paling relax dan mufah dengar kata.
Inilah peringkat pertama untuk anak-anak membaca. Tiada guna apa-apa metod nak bagi anak pandai baca. Mulakan dengan KOMUNIKASI dengan anak.
BERBUAL; BERCERITA; BACAKAN BUKU dan MAIN
Masa inilah anak-anak kumpul perkataan. Masa inilah anak-anak dibiasakan mendengar pelbagai perkataaan.
Jadi, bila sampai peringkat kenal suku kata, anak tak akan terkejut. Mereka dah biasa dengan pelbagai perkataan dan bunyi. Jadi ia memudahkan proses membaca berlaku.
Kita belajar Fun-fun je. Jangan stress. Janganlah guna buku 24 jam. Anak-anak belajar secara hands-on dan bermain.
Belajarlah juga membaca dari tanda jalan, tajuk akhbar, label, senarai barang, poster dan sebagainya.
InshaAllah jika anak kita tiada masalah kesihatan dan pembelajaran, anak kita pasti boleh baca. Kuncinya SABAR dengan proses ini, KONSISTEN dengan usaha dan YAKIN dengan hasilnya nanti.
Selamat mendidik dengan kasih sayang.
Kredit: Ashikin Hashim
Pengetua Genius Aulad Saujana Utama
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Silapnya Sebelum Ni Sehari 5 Jam Tengok Youtube. Anak Dah 7 Tahun Belum Boleh Baca
“Saya risau anak saya belum pandai sebut semua huruf. Membaca suku kata pun tak boleh.”
Wajah ibu penuh dengan kerisauan. Umur anak dah 7 tahun. Tahun ni dah darjah 1.
Sebelum buat apa-apa selalunya saya akan tanya dulu di rumah anak suka main apa.
Dia kata anaknya suka tengok Youtube. Saya mengangguk. Ini isu seluruh negara. Mak ayah buntu bila anak ketagih menonton Youtube.
Saya : Berapa jam dia tengok Youtube sehari?
Ibu : Erm, 5 jam.
Saya : 5 jam setiap hari?
Ibunya mengangguk sedikit. Tabiat ni dia dah biarkan selama 3 tahun. Yang lagi sedih, konten Youtube yang anak lihat, ibu tak sempat nak pantau. Saya mula jadi seram. Dalam hati saya, saya kasihan pada budak tu. Sedihnya hati ni.
Saya tanya lagi. Di rumah ada berapa banyak buku cerita. Rupa-rupanya di rumah 1 buku pun tak ada. Kosong.
Dengan tenang, saya cuba fahamkan ibu. Kalau nak anak membaca, kita kena cipta “Suasana Membaca” di rumah.
Maksudnya:
• mak ayah sendiri kena membaca. Anak ialah CCTV terbaik. Mereka akan tiru setiap kelakuan kita.
• letak buku yang banyak di rumah. Bagi anak mudah capai buku. Bukan mudah capai gajet.
• jadikan rumah kita selesa untuk anak membaca.
Untuk ketagihan gajet, saya cadangkan:
* Turunkan masa menonton gajet secara perlahan hingga jadi 2 jam saja sehari.
* Kalau buat secara mengejut, anaknya tak boleh faham apa yang berlaku. Terangkan setiap hari pada anak dengan lembut kenapa kena buat macam tu.
* Buat House Rules secara bertulis. Libatkan suami sekali. Contohnya:
– tak boleh lihat gajet 1 jam sebelum tidur
– kawasan makan, bilik tidur tak boleh dibawa gajet
– tak boleh cas gajet di bilik tidur anak
– setiap kali guna gajet hanya dengan izin ibu ayah
Untuk cipta “Suasana Membaca”, saya cadangkan:
* Beli buku yang anak minat dan bacakan kepada anak setiap hari selama 15 minit.
– pilih tema yang anak suka.
– kalau anak suka Dinosaur, carikan dia buku pasal Dinosaur.
– minima mak ayah wajib bacakan buku 3 kali seminggu.
Sambil menggeleng ibu ni kata dia tak tahu macam mana nak cakap pada anak. Saya beritahu kalau anak yang kawal ibu, seolah-olah anak ni dah jadi raja dalam rumah.
Sebetulnya ibu ayah yang kawal anak. Tak mudah nak ubah ketagihan anak. Tapi itulah yang perlu dibuat.
Berkali-kali saya minta maaf pada ibu ni. Risau kata-kata saya boleh buat dia jadi sedih dan marah. Mujur dia boleh terima.
Otak anak belum faham apa yang baik, apa yang buruk. Kitalah yang perlu bantu anak pilih apa yang baik untuk dia.
Kredit: Dr Redza Zainol
ARTIKEL MENARIK [Anak Slow Sebab Tak Bantu Dengan Mainan, Bukan Wajib Kena Sentiasa Beli, Berkreatiflah]
LAGI ARTIKEL MENARIK [“Doakan Kami Dapat Anak, Seorang Pun Jadilah”. Tergamam Tengok Nota & Barang Ditinggalkan]
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Biar Anak Lasak & Bermandikan Peluh, Baru Anak Makin Bijak & Kuat Imunnya!
Lama terperap di dalam rumah kerana melalu tempoh PKP yang panjang tidak menghalang anak-anak untuk kekal aktif. Walau hanya dihalaman rumah, anak-anak masih boleh beraktiviti bagi mendedahkan mereka kepada cahaya matahari semulajadi yang sihat untuk tubuh.
Tidak perlu lama, cukup hanya 15 minit untuk menyedut vitamin semulajadi ini. Baik untuk perkembangan anak terutama imun tubuhnya agar makin kuat dan sihat.
Terdapat pelbagai aktiviti luar yang boleh dilakukan untuk rangsang mental dan fizikal anak supaya dapat mengelak anak duduk diam tanpa aktiviti malah dapat elakkan ketagih bermain gajet. Aktiviti yang dilakukan mempunyai pelbagai manfaat termasuk merangsang kemahiran, perkembangan minda dan fizikalnya. Jom kita lihat aktiviti ini.
Pada usia ini si manja sudah mempunyai kemampuan fizikal dan keupayaan memahami peraturan. Agar cuti hujung minggu tidak membosankan mereka, rancang aktiviti untuk si manja di luar rumah. Berikut adalah 12 aktiviti yang boleh dilakukan dan manfaatnya kepada si manja.
Alam semula jadi
Bawalah si manja keluar berjalan-jalan di luar rumah seperti halaman rumah atau taman untuk dia melihat alam semula jadi dengan lebih dekat. Sambil itu, anda bolehlah bercerita tentang elemen yang ada seperti flora atau fauna yang ada di sekelilingnya. Biarkan dia terdedah kepada cahaya mata hari dan hembusan bayu pagi tentunya menyegarkan dan juga memberikan pengalaman baru.
Bacakan cerita
Bawalah buku cerita dan bacakanlah cerita untuk si kecil dengan penuh ekspresi wajah dan suara. Carilah ruang yang selesa dan duduklah bersamanya. Biarkan si manja bertanya. Jawab dengan riang dan berikan pelukan dan ciuman sebagai penghargaan.
Berenang
Berenang adalah aktiviti fizikal yang tentunya disukai oleh anak-anak kita kerana mereka berpeluang untuk bermain dengan air. Berenang mempunyai banyak kelebihan kesihatan seperti menguatkan sistem kardio-respiratori, menambah stamina dan menguatkan sendi. Selain kecergasan fizikal, ia juga boleh meningkatkan keyakinan diri.
Berkebun
Libatkan si manja dengan kerja di laman. Si manja akan belajar bertanggungjawab dengan menjaga pokok-pokok (menyiram dan membaja). Mereka akan memahami sebab-akibat seperti apabila pokok mati apabila tidak disiram. Keyakinan dirinya akan meningkat apabila pokok yang ditanam tumbuh di samping menambah pengetahuan tentang pokok dan melakukan aktiviti fizikal.
Berkelah
Tidak perlu berkelah ditempat awam, di halaman rumah, aktiviti berkelah bersama anak beranak dapat direalisasikan bersama keluarga di hujung minggu. Jadikan ianya aktiviti yang menghiburkan malah dapat melepaskan tekanan si kecil. Berikan satu tanggungjawab padanya, misalnya untuk menghamparkan tikar. Hubungan antara si manja dan ahli keluarga boleh dirapatkan menerusi kerjasama yang erat.
Bermain belon
Belon adalah mainan yang murah tetapi memberikan keriangan yang tidak terhingga untuk si manja. Aktiviti ini akan meningkatkan kemahiran motor kasar dan koordinasi mata – tangan. Malah dengan aktiviti meniup belon juga dapat merangsang pernafasan dan paru-paru. Belikan sahaja untuk anak-anak dan biarkan mereka bermain semahunya.
Bermain pasir pantai
Pasir mempunyai tekstur yang halus dan akan merangsang deria sentuhan, kemahiran motor halus serta koordinasi mata – tangan. Membina istana pasir akan menggalakkan si cilik berimaginasi dan bercerita malah berinteraksi.
Bermain dengan haiwan peliharaan
Adik yang bermain haiwan peliharaan belajar untuk mengenal erti tanggungjawab dan sayang tanpa syarat. Aktiviti ini melatih pelbagai aspek kognitif, sosial, emosi dan fizikal. Pemerhatian dan penyeliaan daripada ibu bapa amat diperlukan supaya adik mencapai potensi optimum dalam dirinya bersama haiwan peliharaan kesayangannya.
Melukis di luar
Bawanya keluar dan berikan si manja kapur atau kertas dan pensel supaya si manja boleh melukis apa sahaja yang terlintas di fikirannya. Kemudian anda tanya apa yang dilukisnya dan berikan pujian dan kata-kata positif. Hal ini akan meningkatkan imaginasi, kemahiran otot tangan dan keupayaan pertuturan serta tata bahasa si manja dalam menerangkan apa yang dilukis olehnya.
Membeli-belah bersama
Bawalah si manja bersama ke pasar ketika membeli stok barangan keperluan dapur. Biarkan dia mengambil apa yang anda ingin beli dan terangkan apa yang anda beli dan tujuannya. Ini akan menambah pengetahuannya. Anda juga boleh menyuruhnya mengira jumlah barangan yang dibeli untuk menguji kecekapan mengira si manja. Terapkan juga amalan berjimat cermat menerusi kata-kata dan perbuatan anda.
Bermain bola
Anda boleh membaling biji bola kecil kepada si manja dan minta dia menyambutnya dan memasukkan ke dalam bakul. Permainan ini akan melatih kemahiran otot tangan dan koordinasi mata-tangan si manja di samping menambahkan daya intelek menerusi pemahaman peraturan permainan.
Taman permainan
Biarkan si manja lepas bebas bermain di taman permainan untuk menguatkan tubuh dan ototnya. Di situ juga dia boleh belajar untuk berkawan dengan rakan sebaya. Jaga kebersihan diri dengan mencuci tangan dan mandi sebaik selesai mandi.
Artikel berkaitan: Musim PKP Kurang Aktiviti Luar, Ramai Kanak-Kanak Terkena Sawan Kurang Vitamin D
Paling Kurang 15 Minit Dedahkan Anak Aktiviti Luar Rumah, Baru Imun Makin Kuat
Nak relaks, jom cuci mata di SINI.
Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti atau event yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI