California baru-baru ini melakar sejarah apabila seorang wanita muda berusia 25 dan bukan dari kalangan kulit putih dilantik sebagai Datuk Bandar Eastvale.
Jocelyn Yow, merupakan wanita berketurunan Asia dengan susur-galur dari Malaysia di sebelah bapanya, manakala ibunya pula berasal dari Vietnam.
Bapa Yow berhijrah ke Amerika Syarikat pada tahun 1980 untuk melanjutkan pelajaran, sebelum berkahwin dengan ibunya yang merupakan pelarian Vietnam.
Pada tahun 1996, mereka kembali ke Malaysia atas urusan keluarga dan menetap di Kedah selama lebih 10 tahun.
Yow juga pernah bersekolah di SMJK Keat Hwa di Alor Setar, Kedah.
Graduan dari University of California, Berkeley itu kini melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana dalam bidang pengurusan kerajaan di Harvard Extension School.
Yow yang merupakan ibu kepada bayi berusia 6 bulan dilapor menjadi wanita termuda daripada kaum minoriti dilantik sebagai Datuk Bandar Eastvale.
Bandar itu memiliki lebih 55,000 penduduk.
Awal tahun ini Yow menyiarkan satu hantaran di Instagram sempena meraikan Bulan Warisan Amerika - Asia Pasifik.
"Ibu saya dan keluarganya terpaksa berpisah, melarikan diri dari Vietnam dan datang ke negara ini sebagai pelarian pada usia muda. Ayah saya datang ke sini dari Malaysia pada tahun 1980-an untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dan masa depan yang lebih baik.
"Pada tahun 1996, kami harus pulang ke Malaysia ketika datuk di sebelah ayah saya didiagnosis menghidap barah, dan akhirnya saya menghabiskan lebih 10 tahun di sana, yang membolehkan saya belajar lebih banyak mengenai sejarah, warisan dan budaya keluarga kami," katanya.