Cerita Asal Usul

Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 10

http://teachersyafa.blogspot.com/2012/04/cerita-asal-usul-cerita-kanak-kanak.

html

Pengenalan
Kerja kursus bahasa Melayu Kesusasteraan, Kesenian dan Kebudayaan ini akan membincangkan mengenai kesusasteraan Melayu cerita rakyat. Kesusasteraan merujuk kepada hasil karya dan ciptaan seni yang terdapat yang terdapat dalam kalangan masyarakat Melayu dan disampaikan melalui medium bahasa khususnya,bahasa Melayu. Terdapat tiga kategori utama dalam kesusasteraan iaitu kesusasteraan Melayu tradisional , kesusasteraan Melayu klasik dan kesusasteraan Melayu moden. Sastera Melayu tradisional mempunyai dua cabang iaitu sastera lisan dan sastera tulisan. Sastera lisan adalah sastera rakyat manakala sastera tulisan pula disebut sebagai sastera istana. Menurut Siti Hajar Abdul Aziz (2010) , sastera rakyat membawa maksud hasil-hasil kreatif yang termasuk dalamnya daya cipta imaginatif pencipta yang mengandungi gambaran nilai-nilai world view masyarakat itu sendiri. Sastera rakyat yang juga dikenali sebagai prosa Melayu tradisional terbahagi kepada dua jenis iaitu sastera rakyat berbentuk naratif dan bukan naratif. Prosa tradisional berbentuk naratif pula boleh dibahagikan kepada dua iaitu naratif lisan dan bukan lisan.Terdapat tiga genre utama dalam naratif lisan iaitu : 1. Mitos 2. Lagenda 3. Cerita rakyat

Maksud cerita rakyat


Cerita rakyat membawa erti cerita rekaan dari zaman dahulu yang disukai ramai dalam sesuatu masyarakat, yang masih diceritakan atau diperdengarkan dan diturunkan daripada satu generasi kepada generasi lain secara lisan. Cerita rakyat adalah prosa dan tidak dianggap benar-benar terjadi. Cerita rakyat mengandungi moral dan sindiran serta berfungsi sebagai sumber hiburan. Cerita rakyat terangkum di dalamnya beberapa jenis cerita lagi. Misalnya :

1. cerita binatang 2. cerita asal-usul 3. cerita legenda 4. cerita kepahlawanan 5. cerita penglipur lara 6. cerita jenaka

Tema cerita rakyat asal usul


Terdapat beberapa tema cerita rakyat seperti cerita binatang, legenda, penglipur lara , jenaka , kepahlawanan dan asal- usul. Namun,cerita asal-usul merupakan cerita yang sangat menarik kerana cerita asal usul merupakan antara cerita rakyat yang tertua. Cerita ini lazimnya sederhana panjang. Cerita asal-usul bertemakan sesuatu benda, tempat , peristiwa , haiwan dan sebagainya yang biasanya berkait-rapat dengan kehidupan manusia. Kebiasaannya,watak-watak cerita asal terdiri daripada : 1. Manusia 2. Haiwan 3. Tumbuh-tumbuhan Cerita asal-usul banyak memperihalkan mengenai sejarah sesuatu perkara . Tidak kiralah sama ada sejarah tersebut berkenaan perkara yang hidup ataupun tidak . Terdapat dua jenis fungsi yang jelas dalam karya cerita asal-usul ini iaitu : 1. Sebagai sumber pendidikan dan pengajaran 2. Kepuasan estetik

Sinopsis cerita rakyat bertema asal usul


1.Melaka mendapat nama Pada suatu hari,Parameswara dan pengawal-pengawalnya keluar untuk memburu binatang di hutan. Parameswara membawa seekor anjing pemburunya yang besar dan sangat garang. Tiba-tiba,Parameswara ternampak seekor pelanduk yang sedang berlari pantas.Parameswara tidak dapat memanah pelanduk itu lalu memerintah anjing pemburunya untuk mengejar pelanduk itu. Tiba-tiba,pelanduk itu melawan lalu menendang anjing pemburu sehingga terjatuh ke dalam sungai. Parameswara merasa kagum melihat kejadian itu dan merasakan bahawa kawasan dia berburu itu bertuah lalu dia berehat pada sebatang pokok. Baginda mahu membuka negeri di tempat itu dan menamakan negeri itu negeri Melaka bersempena dengan nama pokok tempat dia bersandar. Sejak itu,ramai pedagang datang berniaga di Melaka. Orang Arab turut datang ke Melaka dan menyebarkan agama Islam.Parameswara dan rakyatnya pun memeluk Islam.

2.Keluang Menggantung Diri Pada satu musim buah-buahan,burung-burung bergaduh kerana terdapat burung yang makan buah putik.Mereka pun mengadakan mesyuarat namun mereka tidak dapat mencapai kata sepakat. Kemudian, Sang Kelengkeng memberi cadangan kawan-kawannya memilih warna bunga masing-masing. Kemudian datanglah Sang Keluang dan Sang Kelawar mahu tiga warna bunga. Burungburung lain benci dengan sikap mereka yang gelojoh. Apabila waktu bunga-bunga mereka masak,Sang Keluang dan Sang Kelawar terkejut kerana semua bunga mereka buahnya keras. Sang Keluang dan Sang Kelawar berasa malu kerana bersikap gelojoh. Sejak hari itu,Sang Keluang dan Sang Kelawar menghukum diri dengan menggantung diri mereka di dahan pokok dengan kaki ke atas dan kepala ke bawah. Mereka hanya keluar pada waktu malam untuk memakan buah kerana malu dengan kawan-kawan mereka.

3. Asal-usul kucing Seorang pertapa yang mempunyai kuasa sakti bernama Ki Empu Cingi tinggal di hutan. Dia sayang akan binatang dan tidak pernah makan haiwan malah bersahabat baik dengan mereka.Dia hanya makan buah-buahan dan pucuk tumbuhan.Dia menyuruh agar semua binatang tidak bergaduh dan hidup dalam

keadaan aman.Satu hari,buah-buahan di tempat Ki Empu Cingi tinggal,semakin berkurangan. Sebelum pergi ke pergi ke hutan seberang,dia memberi pesanan kepada Harimau,Singa dan Kancil agar menjaga hutan dan semua binatang lain.Namun demikian,berlaku perselisihan faham antara Kancil dan Harimau. Singa menasihatkan Harimau namun Harimau tidak mengendahkan Singa. Harimau mencakar Kancil sehingga Kancil mati. Apabila diberitahu kepada Ki Empu Cingi,dia berasa sangat marah dan menghukum Harimau menjadi badan sebesar Kancil. Namanya ditukar kepada kucing bersempena nama Ki Empu Cingi.

4.Bagaimana Harimau Mendapat Belang Dulu, Harimau merupakan haiwan yang dipelihara oleh manusia. Badannya seperti kucing dan tidak berbelang-belang. Harimau tinggal dengan saudagar kaya yang kematian isteri. Saudagar kaya itu mempunyai seorang anak perempuan yang dijaga oleh orang gaji. Disebabkan saudagar kaya selalu sibuk,Harimau berkawan baik dengan anak saudagar kaya itu. Setiap hari Harimau makan daging yang dibeli oleh orang gaji dari pasar. Satu hari,saudagar mengadakan kenduri di rumahnya. Orang gaji sangat sibuk sehingga terlupa membeli daging untuk harimau. Harimau menahan rasa laparnya. Harimau bermain dengan anak perempuan saudagar dan menangkap dia. Tiba-tiba,selera Harimau terbuka lalu dia menjilat badan anak saudagar dan terus menggigit budak itu. Anak saudagar menjerit dan mengejutkan orang gaji. Orang gaji terkejut melihat Harimau sedang makan anak saudagar. Orang gaji mengambil kayu rotan dan memukul Harimau sekuat hati sehingga meninggalkan belang di badan Harimau.Harimau kesakitan lalu melarikan diri ke dalam hutan. Sehingga kini belang Harimau tidak pernah hilang. 5.Bagaimana Anjing Menjadi binatang peliharaan Dulu,Anjing tinggal di dalam hutan dan bersahabat baik dengan Serigala. Satu hari, mereka pergi berburu tetapi tidak mendapat hasil makanan. Sampai di tepi hutan, Anjing mendapat akal untuk memasuki sebuah perkampungan di pinggir hutan.Serigala pun masuk ke kampung untuk menangkap seekor ayam. Serigala menyebabkan ayam-ayam membuat bunyi bising dan menarik perhatian pekebun.Malangnya ketika Serigala hampir dapat menangkap ayam,pekebun mengacukan senapang ke arah Serigala.Serigala melarikan diri sepantas mungkin ke arah Anjing. Anjing hampa kerana Serigala tidak berjaya menangkap ayam.Serigala takut untuk masuk ke kampung lagi kerana takut dibunuh oleh pekebun.Anjing berkeras mahu masuk ke dalam kampung untuk menangkap ayam walaupun dihalang oleh Serigala.Ketika Anjing baru masuk ke dalam reban, pekebun menebar jaring ke arah anjing. Pekebun mengugut mahu membunuh anjing tetapi Anjing berjanji akan taat setia kepada pekebun jika dia tidak dibunuh oleh

pekebun. Sejak itu Anjing tinggal dengan manusia untuk menjaga keselamatan dan harta manusia.Serigala sedih kerana Anjing tidak pulang ke hutan. Waktu malam,Serigala menyalak dengan sayu,kononnya untuk memanggil Anjing pulang ke hutan.

Maksud kritikan sosial dalam kesusasteraan Melayu


Salah satu elemen penting dalam kesusasteraan adalah kritikan sosial. Kritikan sosial adalah salah satu bentuk komunikasi dalam masyarakat yang bertujuan atau berfungsi sebagai pengawalan terhadap jalan cerita suatu sistem atau proses bermasyarakat. Kritikan sosial merupakan frasa yang terdiri dari dua kata iaitu kritik dan sosial. Maksud kritik adalah suatu tanggapan atau kecaman yang kadang-kadang disertai dengan huraian dan pertimbangan baik ataupun burukya suatu hasil karya, pendapat, dan sebagainya. Sementara itu , menurut Pusat Rujukan Persuratan Melayu , sosial membawa maksud segala perkara yang berkaitan dengan masyarakat atau kemasyarakatan. Kritikan sosial juga dapat diertikan dengan penilaian atau pengajian keadaaan masyarakat pada satu-satu masa . Dalam kritikan sosial , terdapat tiga perkara yang diambil kira iaitu penilaian , perbandingan , dan pengungkapan mengenai suatu masyarakat. Ketiga-tiga aspek ini berkait rapat dengan nilai-nilai yang diamalkan ataupun nilai-nilai yang boleh dijadikan pedoman. Dalam erti kata lain, kritikan sosial adalah tindakan membandingkan serta mengamati secara teliti dan melihat perkembangan secara cermat tentang baik atau buruknya kualiti suatu masyarakat. Tindakan mengkritik boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja,termasuk sasterawan sekalipun kerana kritikan sosial merupakan suatu perkara penting dalam memelihara sistem sosial yang ada.

Kritikan sosial setiap cerita rakyat


1.Kritikan sosial Melaka Mendapat Nama

Cerita asal-usul Melaka mendapat nama ini memperlihatkan beberapa kritikan sosial. Kritikan sosial pertama dalam cerita ini adalah tentang kepimpinan. Watak seorang pemimpin itu ditonjolkan oleh watak Parameswara selaku ketua. Misalnya , Parameswara menggunakan kata ganti diri beta yang jelas me nunjukkan bahawa Parameswara merupakan seorang raja. Parameswara juga mempunyai pengawal di sekeklilingnya semasa baginda keluar berburu pelanduk di hutan. Selain itu, kritikan sosial yang kedua pula ialah kepercayaan tentang tuah. Masyarakat zaman dahulu sangat percaya kepada tuah sesuatu perkara. Perkara ini terbukti apabila Parameswara menyatakan bahawa baginda yakin bahawa tempat baginda berburu itu bertuah setelah melihat peristiwa anjing pemburunya ditendang oleh pelanduk ke dalam sungai. Kritikan sosial yang ketiga pula ialah ketaatan kepada pemerintah. Misalnya, apabila Parameswara selaku raja di negeri Melaka memeluk agama Islam yang dibawa oleh pedagang Arab , rakyat jelata turut memeluk agama Islam. Hal ini menunjukkan bahawa rakyat jelata taat kepada pemerintah dan menuruti segala tindak-tanduk pemerintah. Kritikan seterusnya berkisar tentang ekonomi. Contohnya , setelah Parameswara membuka negeri Melaka , ramai pedagang datang berniaga di Melaka. Sejak itu , negeri Melaka menjadi negeri yang kaya-raya . Di samping itu , Melaka menjadi sebuah pelabuhan yang terkenal.

2.Kritikan sosial Keluang menggantung diri Terdapat beberapa kritikan sosial dalam cerita Keluang Menggantung Diri ini.Kritikan sosial yang pertama adalah kritikan sosial terhadap sesebuah organisasi atau masyarakat.Kritikan sosial yang kedua pula ialah kritikan terhadap balasan atas perbuatan. Berdasarkan cerita Keluang Menggantung Diri karya Aripin Said ini, kritikan terhadap masyarakat ditujukan terhadap sekumpulan burung-burung yang bergaduh. Misalnya, burung-burung ini bertelingkah kerana mereka tidak dapat makan akibat terdapat burung-burung yang makan buah putik. Mereka tidak dapat menyelesaikan masalah malah keadaan bertambah buruk apabila burung Lilin bertindak menebang pokok agar tiada sesiapa pun yang boleh makan buah. Perkara ini menunjukkan masyarakat burung ini berpecah-belah disebabkan mereka tidak dapat mencapai kata sepakat dalam usaha menyelesaikan masalah.

Di samping itu, kritikan sosial seterusnya ialah kritikan terhadap balasan atas perbuatan. Sebagai bukti, disebabkan sikap burung Keluang dan burung Kelawar yang tamak sehingga mahukan tiga jenis bunga iaitu bunga warna ungu, merah dan kuning , sebaliknya mereka tidak dapat makan buah dari bunga-bunga tersebut. Hal ini kerana buah dari bunga merah ialah buah tengalan , dari bunga kuning ialah buah angsana dan dari bunga ungu ialah buah bungur . Ketiga-tiga buah ini adalah buah yang keras-keras belaka dan tidak boleh dimakan. Burung Keluang dan Kelawar berasa malu atas sifat mereka yang tamak. Disebabkan itulah mereka menghukum diri dengan menggantung diri di atas dahan pokok secara songsang. Burung Keluang dan Kelawar juga hanya keluar pada waktu malam kerana mereka malu kepada kawan-kawan mereka.

3.Kritikan sosial Asal usul Kucing Berdasarkan cerita asal-usul karya Amy Suzani Ainuddin ini, terdapat tiga kritikan sosial iaitu kritikan terhadap persekitaran dan kritikan mengenai tanggungjawab. Kritikan terhadap persekitaran ditonjolkan melalui watak Ki Empu Cingi. Ki Empu Cingi merupakan seorang yang sensitif terhadap alam sekitar dan hidupan di sekelilingnya. Sebagai contoh , Ki Empu Cingi sangat menyayangi binatang. Oleh sebab itulah beliau tidak pernah sama sekali memburu binatang di hutan untuk dijadikan makanan. Sebaliknya, setiap hari beliau hanya mejadikan buah-buahan , pucuk-pucuk tumbuhan serta ubi-ubian sebagai makanannya. Disebabkan sifatnya yang menyayangi binatang itulah dia bersahabat baik dengan binatang-binatang di dalam hutan itu. Selain itu, kritikan sosial dalam cerita ini adalah kritikan mengenai tanggungjawab. Misalnya , Harimau , Singa dan Kancil telah diberikan tanggungjawab untuk menjaga keamanan hutan semasa Ki Empu Cingi pergi ke hutan seberang . Namun demikian , Harimau telah melanggar arahan Ki Empu Cingi dengan bergaduh dengan Kancil yang lemah. Kritikan sosial yang ketiga pula ialah kritikan tentang balasan . Contohnya , Harimau telah menyebabkan kematian Kancil. Disebabkan itulah Harimau mendapat balasan dihukum sumpah menjadi kecil seperti Kancil dan diberi nama kucing.

4.Kritikan sosial Bagaimana Harimau mendapat belang

Melalui cerita rakyat asal-usul bertajuk Bagaimana Harimau mendapat belang ini , kritikan sosial yang pertama bertumpu kepada kritikan terhadap fitrah kejadian. Kritikan sosial kedua pula ialah kritikan mengenai hubungan kekeluargaan. Kritikan sosial pertama ialah kritikan terhadap fitrah kejadian. Misalnya, seekor Harimau merupakan haiwan yang secara fitrahnya merupakan hidupan liar dan sepatutnya tinggal di hutan. Namun dalam cerita ini,Harimau menjadi haiwan peliharaan seolah-olah seekor kucing. Harimau tinggal bersama-sama dengan manusia dan menjadi haiwan kesayangan. Beza antara kucing dengan Harimau hanyalah makanannya kerana kucing memakan ikan manakala Harimau memakan daging. Di samping itu , kritikan sosial yang kedua ialah kritikan mengenai hubungan kekeluargaan. Contohnya , setiap hari saudagar kaya sibuk dengan urusan perniagaannya .Maka anak perempuan tunggalnya dijaga oleh orang gajinya. Apabila saudagar kaya mengadakan jamuan di rumahnya , saudagar kaya dan orang gajinya sangat sibuk melayan setiap tetamu yang datang sehingga tidak ada masa untuk melayani anak permpuan kesayangan saudagar kaya. 5.Kritikan sosial Bagaimana anjing menjadi binatang peliharaan Kritikan sosial yang terdapat cerita ini pula adalah kritikan terhadap kesetiaan. Kritikan kedua pula adalah kritikan terhadap persahabatan. Kritikan terhadap kesetiaan dapat dilihat melalui watak Anjing kepada tuannya. Anjing yang cuba menangkap ayam pekebun telah ditangkap dan diancam bunuh oleh si pekebun. Namun , Anjing merayu kepada pekebun agar tidak membunuhnya dan berjanji akan taat setia kepada si pekebun. Anjing juga berjanji akan menjaga ternakan si pekebun dan berkhidmat untuk si pekebun. Selain itu, kritikan tentang kesetiaan ini juga dapat dilihat pada watak serigala. Serigala setia menanti kepulangan Anjing yang kononnya pergi menangkap ayam untuk dimakan bersama. Lama Serigala menunggu lama namun Anjing tidak juga datang. Serigala sedih tapi dia tidak berani keluar hutan untuk mencari Anjing. Kritikan sosial yang pertama ialah kritikan terhadap persahabatan. Anjing dan Serigala selalu keluar berburu bersama. Kalau Anjing mendapat makanan , Anjing akan berkongsi dengan Serigala. Begitu juga dengan Serigala. Mereka sentiasa tolong-menolong antara satu sama lain.

Kesimpulan
Secara keseluruhannya, melalui cerita-cerita rakyat bertema asal-usul ini, terdapat pelbagai nilai yang dapat diperolehi antaranya nilai bertoleransi, kasih sayang dan kepimpinan. Cerita rakyat merupakan salah satu kaedah ibu bapa memberi pengajaran dan pendidikan secara tidak formal kepada anak-anak mereka. Di samping itu, nilai-nilai estetik tidak dapat dipisahkan daripada cerita rakyat. Seorang pengkarya atau pencerita akan memasukkan unsur-unsur khayalan atau imaginasi berdasarkan pengalaman dan tindak balasnya terhadap alam realiti. Melalui dunia khayalan itu , pembaca dan pendengar dapat menghayati mesej yang ingin disampaikan oleh pengkarya itu ke dalam bentuk konkrit dan masalah dalam kehidupan yang sebenar. Pengkarya akan merasa tenteram apabila dapat menyentuh hati pembacanya manakala pembaca dapat menghayati unsur keindahan yang digarapkan oleh pengkarya dalam bentuk lisan mahupun tulisan. Hasil karya bukan sahaja memaparkan unsur keindahan namun turut mengandungi ilmu yang diselitkan oleh pengkarya. Hasil sastera juga merupakan alat komunikasi . Hal ini kerana apabila pembaca memahami mesej yang disampaikan oleh pengkarya,ini menunjukkan pengkarya telah menghasilkan karya yang bermutu dan objektifnya berkarya telah dicapai. Kritikan sosial pula menjadi penanda aras untuk menentukan baik buruk sesebuah karya. Disebabkan itulah pentingnya kritikan sosial. Kritikan sosial juga memastikan perkara utama dalam setiap jalan cerita itu diberi penekanan. Sebagai contoh, intipati daripada cerita Keluang Menggantung Diri adalah , sifat tamak merugikan diri sendiri. Hal ini menunjukkan bahawa kritikan sosial mematangkan sesuatu karya dari satu sudut kritis. Tuntasnya , jelaslah kesinambungan antara sesebuah hasil karya atau lebih khusus,cerita rakyat dengan kritikan sosial. Hasil gabungan kedua-dua elemen ini sememangnya akan menghasilkan karya yang bermutu.

Refleksi

Dari awal persediaan menyiapkan tugasan ini sehingga tamat , terdapat banyak perkara yang saya pelajari. Penerokaan cerita rakyat dan kritikan sosial mampu mengasah seseorang itu untuk menjadi lebih kritis. Berdasarkan cerita-cerita rakyat asal-usul, terdapat banyak perkara yang dapat saya pelajari. Saya mempelajari bahawa ketamakan membawa kerugian , kepentingan seorang pemimpin dalam sebuah masyarakat , tanggungjawab merupakan amanah yang harus dipikul dan nilai persahabatan amat berharga. Nilanilai ini secara tidak lansung mampu mendidik peribadi seseorang agar menjadi insan berguna. Jelaslah bahawa hasil kesusasteraan merupakan pemberi pedoman kepada masyarakat silam. Selain itu , melalui pembacaan cerita-cerita ini, saya dapat merasakan pengalaman yang dirasai oleh pengkarya. Pengkarya menulis cerita lazimnya berdasarkan pengalamannya dengan unsur alamiah. Pengalaman seni yang dibawa oleh pengkarya dapat saya alami setelah mengkaji cerita-cerita ini di samping memberi kritikan sosial terhadap cerita-cerita tersebut. Tidak dinafikan unsur-unsur keindahan sentiasa wujud dalam sesebuah karya. Penulisan bercirikan ilmiah dan hiburan ini menggunakan bahasa yang gramatis dan disusun indah dalam bentuk yang khusus. Kesemua ini ada unsurunsur keindahan dan garapan pengalaman mempengaruhi estetika masyarakat Melayu pada zaman permulaan. Di samping itu , kritikan sosial yang memastikan hidupnya sesuatu karya juga mengajar saya untuk menjadi lebih kritis dalam membuat penilaian terhadap sesuatu karya. Kesan daripada hasil kerja kursus ini , saya telah menelusuri beberapa cerita rakyat yang bermanfaat, maka saya akan mengambil iktibar dari cerita-cerita tersebut dan mewariskan cerita-cerita tersebut kepada generasi saya yang akan datang.

You might also like