Pencemaran Bahasa
Pencemaran Bahasa
Pencemaran Bahasa
1.0 PENGENALAN
Bahasa amat penting sebagai alat komunikasi dalam kehidupan seharian manusia. Penggunaan
bahasa membolehkan manusia berinteraksi antara satu sama lain, iaitu segala maklumat yang ingin
disampaikan boleh difahami oleh kedua-dua pihak. Dalam aktiviti berbahasa, penutur bukan sahaja
perlu menggunakan bahasa yang betul daripada sudut tatabahasa tetapi perlu menggunakan bahasa
yang dapat diterima oleh pendengar. Maka, penggunaan bahasa yang mudah difahami ramai akan
menyebabkan segala yang diperkatakan akan difahami oleh orang lain.
Di Malaysia, bahasa yang menjadi pengantar utama dalam kalangan masyarakat ialah Bahasa
Melayu yang tergolong dalam rumpun bahasa Austronesia. Menurut Abdul Rashid Melebek dan
Amat Juhari Moain (2005:26), Bahasa Melayu ini berkembang secara bertahap-tahap, iaitu dari satu
zaman ke satu zaman. Perkembangan ini terbahagi kepada tiga tahap utama, iaitu:
1. Bahasa Melayu kuno.
2. Bahasa Melayu klasik.
3. Bahasa Melayu moden.
Bahasa Melayu kuno digunakan pada abad ke-7 hingga abad ke-13 pada zaman kerajaan Sriwijaya.
Pada waktu itu, Bahasa Melayu kuno telah menjadi lingua franca dan bahasa pentadbiran kerana
sifatnya yang sederhana dan mudah menerima pengaruh luar. Mengikut Kamus Dewan, lingua
franca bermaksud bahasa perantaraan atau bahasa perhubungan antara masyarakat. Bahasa Melayu
klasik pula bermula pada abad ke-13 semasa bermulanya zaman peralihan di Kepulauan Melayu
dengan berkembangnya agama Islam ke rantau ini. Kegemilangan Bahasa Melayu klasik boleh
dibahagikan kepada tiga zaman penting iaitu zaman kerajaan Melaka, zaman kerajaan Acheh dan
zaman kerajaan Johor-Riau. Bahasa Melayu ini telah digunakan dalam pentadbiran dan aktiviti
perdagangan serta mendapat bentuk tulisan baru iaitu tulisan jawi. Pada masa ini juga banyak
penyelidikan dan catatan telah dibuat mengenai Bahasa Melayu seperti berikut:
1. Jan Hugen Van Linschotten, seorang bangsa Belanda pernah tinggal di Indonesia antara tahun
1586 hingga 1592 dan berkhidmat sebagai pegawai kepada pemerintah Portugis. Beliau ada
mencatatkan dalam bukunya bahawa Bahasa Melayu dianggap sebagai bahasa yang paling dihormati
antara bahasa-bahasa negeri timur.
2. Pada awal abad ke-18, Francios Valentijn, seorang pendeta dan ahli sejarah bangsa Belanda yang
banyak menulis mengenai wilayah Kepulauan Melayu, telah menggambarkan kepentingan Bahasa
Melayu seperti berikut :
Bahasa mereka, Bahasa Melayu, bukan sahaja dituturkan di daerah pinggir laut, tetapi juga
digunakan di seluruh Kepulauan Melayu dan di segala negeri-negeri Timur, sebagai suatu bahasa
yang difahami di mana-mana sahaja oleh setiap orang.
3. Satu bukti tentang tingginya martabat Bahasa Melayu dan luas penggunaanya di wilayah ini
adalah pada surat-menyurat antara pentadbir dan raja-raja di Kepulauan Melayu. Antaranya ialah :
a. Surat Sultan Acheh kepada Kapitan Inggeris, James Lancester (1601)
b. Surat Sultan Alauddin Shah dari Acheh kepada Harry Middleton (1602)
c. Surat Sultan Acheh kepada raja Inggeris, King James (1612)
(Ketiga-tiga surat ini tersimpan di perpustakaan Bodelein, London)
(http://bmstpm.blogspot.com/2008/11/sejarah-perkembangan-dan-asal-usul.html)
Seterusnya, Bahasa Melayu moden dikatakan bermula pada abad ke-19 melalui hasil karangan
Munsyi Abdullah kerana sifatnya yang dikatakan agak menyimpang dengan bentuk Bahasa Melayu
klasik. Bahasa Melayu yang digunakan pada masa ini ialah Bahasa Melayu moden yang
menggunakan tulisan rumi. Berikut merupakan peranan Bahasa Melayu moden selepas Malaysia
mencapai kemerdekaan:
4. Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan
yang menyebut bahawa:
Bahasa kebangsaan negara ini adalah Bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan
sebagaimana yang diperuntukan dengan undang-undang Parlimen.
5. Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 menetapkan bahawa bahasa Melayu ialah bahasa rasmi
negara (bahasa yang digunakan dalam semua urusan rasmi kerajaan, persekutuan, negeri, tempatan
dan badan berkanun).
Perkara yang telah dibincangkan menunjukkan martabat Bahasa Melayu yang tinggi. Namun,
fenomena pencemaran bahasa dalam Bahasa Melayu pada masa ini secara tidak langsung telah
menggugat martabat bahasa ini sebagai antara bahasa utama di dunia.
Pencemaran bahasa merujuk kepada penggunaan bahasa yang menyimpang daripada norma
penggunaan sebenar bahasa tersebut dalam masyarakat penuturnya. Antara ciri pencemaran
bahasa adalah pengutamaan bahasa asing, tidak menggunakan bahasa yang tidak menepati
tatabahasa dan juga laras bahasa. Pencemaran bahasa menyebabkan bahasa yang digunakan
menjadi tidak standard. Penggunaan tatabahasa dalam sesuatu bahasa sememangnya amat penting
agar jati diri bahasa tersebut dapat dipelihara, misalnya penggunaan Bahasa Melayu yang kini
banyak mengalami fenomena pencemaran bahasa akibat pelbagai faktor luaran seperti bahasa rojak,
bahasa slanga, bahasa asing dan bahasa pijin.
Bahasa rojak ialah bahasa yang bercampur-aduk antara Bahasa Melayu dengan bahasa asing
terutamanya bahasa Inggeris manakala bahasa slanga pula mengikut Kamus Dewan, slanga
didefinisikan sebagai kata-kata, ungkapan dan seumpamanya yang tidak tergolong dalam bahasa
baku atau bahasa tinggi tetapi lazimnya digunakan dalam percakapan tidak rasmi. Bahasa slanga
sering digunakan oleh golongan remaja atau kelompok sosial tertentu dan hanya difahami oleh
kelompok itu sahaja seperti kacang je (mudah sahaja), ayam (gadis) dan cun (cantik). Seterusnya,
menurut Zaba dalam Awang Sariyan (2006:30), bahasa pijin wujud dalam bentuk bahasa pasar iaitu
bahasa yang digunakan antara orang Melayu dengan orang-orang yang berlainan bangsa seperti
Saya boleh ajar apa macam mau jaga itu budak. Penggunaan bahasa-bahasa seperti ini akan
merendahkan martabat Bahasa Melayu yang sepatutnya digunakan berdasarkan tatabahasa yang
betul dan tepat.
2.0 Punca-punca Pencemaran Bahasa
Terdapat beberapa punca yang menyebabkan berlakunya pencemaran bahasa ini. Antaranya ialah
masalah globalisasi. Menurut Kamus Dewan, globalisasi didefinisikan sebagai fenomena yang
menjadikan dunia kelihatan mengecil daripada segi perhubungan manusia disebabkan kepantasan
perkembangan teknologi maklumat. Era globalisasi ini mula berkembang di seluruh pelusuk dunia.
Perkembangan ini membawa banyak kesan positif walaupun kesan negatif yang diperoleh melalui
perkembangan ini tidak dapat dinafikan.
Bahasa Melayu juga tidak ketinggalan dalam menerima kesan negatif akibat daripada perkembangan
globalisasi ini. Hal ini kerana perkembangan ini membawa kepada penggunaan telefon bimbit secara
berleluasa dan ini membawa kepada penghantaran sistem pesanan ringkas (SMS), alat yang menjadi
penghubung antara dua individu dengan kaedah cepat dan menjimatkan, sebenarnya mencemarkan
bahasa. Penggunaan simbol, kod dan perkataan singkatan sering berlaku dalam SMS. Tujuaan
penggunaan singkatan perkataan, lambang, angka atau kod tertentu adalah untuk menggantikan
maksud sebenar. Hal ini berlaku disebabkan ruang yang disediakan cukup terhad. Kadang-kala ayat
yang ditulis bercampur aduk antara Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, bergantung kepada
perkataan mana lebih pendek supaya maksud yang hendak disampaikan difahami oleh penerimanya
dalam ruang terhad itu, contohnya Nxt week blk umah tak? Bahasa SMS ini terbawa-bawa kepada
penggunaan rasmi seperti karangan, surat rasmi dan memo hingga menyebabkan pencemaran
bahasa.
Di samping itu, budaya asing yang meresap masuk ke negara kita juga merupakan salah satu punca
pencemaran bahasa ini berlaku. Hal ini dapat dikaitkan dengan budaya hip-hop yang semakin
popular dalam kalangan remaja di Malaysia. Budaya hip-hop ini merupakan muzik jalanan yang
muncul di New York, Amerika pada tahun 70-an. Muzik ini popular di Malaysia dengan kemunculan
kumpulan-kumpulan muzik seperti Too Phat, The Rebel Scum dan sebagainya. Kemunculan muzik ini
membawa kepada pencemaran bahasa kerana penciptaan lirik lagu menggunakan bahasa pasar. Hal
ini dapat disokong dengan kenyataan ketua kumpulan The Rebel Scum yang mengatakan bahawa,
Pada kami, perumpamaan dan istilah bahasa pasar lebih senang untuk ditulis dan yang mendengar
memahami mesej yang nak disampaikan. Perbuatan ini membawa kepada pencemaran bahasa
kerana para pendengar lagu hip-hop ini akan terbawa-bawa gaya tersebut dalam percakapan
seharian seperti Yo,yo,yo, buat pe bro walaupun gaya ini dianggap sebagai bahasa seni dalam
genre hip-hop.
(http://www.gua.com.my/Entertainment/Showbiz-Detail.aspx?ArticleID=2538)
Sektor pendidikan juga merupakan penyebab kepada pencemaran bahasa ini. Keadaan ini berlaku
berikutan Kementerian Pelajaran Malaysia yang menyarankan bahawa unsur-unsur tatabahasa
mestilah diajarkan secara tidak formal. Penguasaan tatabahasa dalam kalangan pelajar menjurus ke
arah penggunaan ayat yang tercemar bahasanya dari segi tatabahasa, misalnya Saya berasal
daripada Negeri Sembilan. Ayat ini tercemar dari segi penggunaan tatabahasa kerana sepatutnya
kata sendi dari yang harus digunakan dalam ayat tersebut untuk menunjukkan tempat. Mohd Zaki
bin Zakaria (2001) dalam kajiannya mendapati ada sebilangan guru yang langsung tidak mengajar
tatabahasa dalam pengajaran berikutan saranan kementerian tersebut. Hal ini merupakan salah satu
punca berlakunya pencemaran bahasa dalam kalangan masyarakat Malaysia pada masa ini kerana
perkara yang diajarkan di sekolah akan dijadikan ikutan sepanjang hidup dan sukar diubah seperti
ikat boleh diubah, takuk bagaimana mengubahnya?
Seterusnya, buku yang berbeza huraian atau pegangan juga mengakibatkan pencemaran Bahasa
Melayu. Perkara ini disebabkan perbezaan pendapat tokoh itu sendiri. Di negara kita ini, ada
pelbagai buku, baik buku tatabahasa mahupun buku teks Bahasa Melayu, yang digunakan di sekolah.
Bagi pengguna bahasa yang mendalami bidang Bahasa Melayu di institusi pengajian tinggi, mereka
pernah didedahkan kepada buku tatabahasa yang ditulis Za'ba, Asmah Omar dan lain-lain. Pelajar
sekolah pula didedahkan kepada aspek tatabahasa berdasarkan buku tatabahasa pegangan, iaitu
Tatabahasa Dewan. Hal ini mengakibatkan kekeliruan kerana ketidakseragaman huraian daripada
segi ejaan, golongan kata dan tatabahasa. Sebagai contoh, ayat yang berfungsi untuk menjemput
dinamakan sebagai ayat silaan dalam Tatabahasa Dewan manakala Arbak Othman pula
menamakannya sebagai ayat ajakan dalam Tatabahasa Bahasa Malaysia.
Tambahan lagi, penggunaan dialek oleh guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran Bahasa
Melayu juga merupakan penyebab berlakunya pencemaran bahasa ini. Mengikut Kamus Dewan,
dialek bermaksud satu bentuk bahasa yang digunakan dalam sesuatu daerah atau oleh sesuatu kelas
sosial berbeza daripada bahasa standard, loghat, pelat daerah, negeri dan lain-lain lagi. Penggunaan
dialek ini menjadi punca pencemaran Bahasa Melayu kerana guru-guru mengambil jalan mudah dan
cenderung menggunakan bahasa dialek atau daerah sebagai bahasa penghantar dengan alasan
pelajar lebih mudah memahami sesuatu yang disampaikan oleh guru dan suasana pengajaran akan
bersifat menghiburkan serta mudah menimbulkan situasi kemesraan antara guru dan pelajar.
Namun, tanpa disedari sikap ambil mudah ini akan melahirkan para pelajar yang lemah dalam
penguasaan bahasa. Para pelajar itulah juga yang kemudian akan menjadi manusia yang akan
memegang jawatan yang penting dan berpengaruh seperti pentadbir, penulis editor, pemimpin
politik dan sebagainya. Sebagai contoh, penggunaan dialek adalah seperti berikut:
6. Nogori Sembilan mempunyai sembilan daerah.
7. Saya suka makang rambutan.
Selain itu, media massa juga merupakan salah satu punca yang menyebabkan pencemaran bahasa
ini berlaku secara berleluasa pada masa ini. Bahasa yang digunakan oleh radio, televisyen, atau
akhbar sering menjadi ikutan pengguna bahasa, misalnya drama-drama ataupun rancangan yang
disiarkan di kaca televisyen kebanyakannya menggunakan bahasa rojak iaitu percampuran antara
Bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris. Di samping itu, sebilangan orang besar dan juga orang ramai
termasuk yang membuat ulasan apabila diwawancara di kaca televisyen turut menggunakan bahasa
rojak. Perkara-perkara seperti ini membawa kepada berlakunya pencemaran Bahasa Melayu kerana
orang ramai akan mudah terpengaruh dengan bahasa yang digunakan di media. Hal ini dapat
disokong dengan kenyataan Kamal Shukri Abdullah Sani (2007:21), berdasarkan Teori Peluru (Magic
Bullet Theory), media mempunyai kuasa bagi menentukan reaksi emosi khalayak dan membentuk
tingkah laku mereka.
Tambahan lagi, sikap pengguna bahasa itu sendiri yang menyebabkan pencemaran bahasa ini
berlaku. Menurut Fadzlina Shaari (2001), rata-rata masyarakat di Malaysia ini lebih mementingkan
penggunaan dan penguasaan bahasa Inggeris dan ini membawa kepada penggunaan bahasa rojak
dalam ujaran mereka. Bagi mereka, bahasa Inggeris dianggap sebagai lambang keintelektualan dan
kemodenan. Seandainya keadaan ini dibiarkan berterusan ia akan meletakkan Bahasa Melayu
sebagai bahasa yang tidak mempunyai kedudukan yang tinggi. Hal ini juga dapat disokong dengan
kenyataan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Ramli Ngah Talib dalam Siti Nur Ida (2008) bahawa
percampuran antara dua bahasa tersebut akan mencemarkan Bahasa Melayu dan jika perkara ini
tidak dikawal maka Bahasa Melayu akan ternodai maruahnya.
Punca seterusnya adalah kerana pengguna Bahasa Melayu yang tidak mengetahui sistem Bahasa
Melayu dengan betul. Setiap bahasa di dunia ini mempunyai sistem bahasa yang tersendiri. Sistem
Bahasa Melayu pula terdiri daripada dari segi ejaan, morfologi dan sintaksis. Oleh sebab pengguna
bahasa tidak mengetahui sistem bahasa ini, mereka melakukan kesalahan yang mencemarkan
bahasa. Sebagai contoh, apitan pe-...-an selalu disalahgunakan seperti berikut:
8. Kerja - bekerja- pekerjaan ( bukan * perkerjaan)
9. Lantik melantik pelantikan ( bukan *perlantikan)
Seterusnya, kepelbagaian etnik di Malaysia juga merupakan salah satu punca kepada pencemaran
bahasa. Hal ini kerana terdapat orang bukan Melayu yang tidak fasih berbahasa Melayu dan ini
menyebabkan mereka mencampuradukkan bahasa ibunda dengan Bahasa Melayu. Bahasa ini juga
dikenali sebagai bahasa pasar. Oleh itu, penggunaan Bahasa Melayu oleh pelbagai etnik di Malaysia
juga membawa kepada pencemaran bahasa ini. Sebagai contoh, penggunaan bahasa pasar adalah
seperti berikut:
10. Saya punya anak hari-hari dia surat khabar baca.
11. Tauke, itu ikan parang, belapa halga sekilo?
3.0 Kesan- kesan Pencemaran Bahasa
Pencemaran bahasa yang semakin berleluasa ini sudah pasti akan memberikan kesan negatif kepada
bahasa itu sendiri. Kesan yang paling ketara adalah menyebabkan mutu Bahasa Melayu baku sama
ada lisan atau tulisan merosot. Perkara ini dapat dilihat dalam bidang pendidikan khususnya dalam
kalangan pelajar. Sekiranya penggunaan bahasa rojak dan istilah-istilah remaja tidak dibendung
dengan meluas, lama-kelamaan bahasa ini akan menjadi sebati kepada seseorang individu tersebut.
Pastinya pelajar yang sering disogok oleh perkataan dan istilah-istilah yang muncul setiap hari akan
keliru dengan penggunaan bahasa yang betul. Para pelajar akan turut terpengaruh untuk
menggunakan bahasa-bahasa yang digunakan dalam perbualan dalam tugasan penulisan di sekolah.
Hal ini bukan sahaja menyebabkan kualiti penulisan di sekolah semakin menurun malah
pengetahuan terhadap bahasa kita sendiri, iaitu Bahasa Melayu akan semakin jauh daripada pelajar.
Dengan demikian, mutu kualiti bahasa dalam kalangan pelajar pastinya akan semakin menurun dan
tidak mustahil sekiranya terdapat sekumpulan pelajar yang masih lagi tidak mengenal apa itu pantun
dan syair. Begitu juga pencemaran bahasa dalam bidang pentadbiran akan menyebabkan mutu
Bahasa Melayu sama ada lisan atau tulisan merosot. Sekiranya pihak pentadbir menggunakan
bahasa rojak ketika menyampaikan ucapan atau menggunakan bahasa rojak dalam urusan surat
menyurat, sudah pasti akan menyebabkan mutu Bahasa Melayu itu merosot.
Selain itu, pencemaran bahasa juga menyebabkan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi
dan bahasa kebangsaan akan tergugat. Umumnya, Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan telah
menetapkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Selaras dengan
bahasa kebangsaan negara dan Dasar Pendidikan Kebangsaan, maka Bahasa Melayu dijadikan
bahasa pengantar utama di semua sekolah. Penggunaan bahasa rojak seperti percampuran Bahasa
Melayu dengan bahasa Inggeris dalam perbualan harian secara tidak langsung telah menggugat
kedudukan Bahasa Melayu di negara ini. Hal ini kerana, penggunaan bahasa rojak yang melibatkan
bahasa Inggeris dalam perbualan dianggap satu standard yang tinggi dalam kalangan masyarakat.
Ditambah lagi, bahasa Inggeris yang merupakan bahasa ekonomi dan pendidikan peringkat
antarabangsa. Oleh hal yang demikian kerajaan mula melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran
Sains dan Matematik (PPSMI) dalam bahasa Inggeris. Pelaksanaan ini telah mengubah bahasa
pengantar daripada Bahasa Melayu Kepada Bahasa Inggeris bagi mata pelajaran Sains dan
Matematik yang sama sekali bertentangan dengan bahasa kebangsaan dalam Dasar Pendidikan
Kebangsaan yang menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama disekolah.
Kesan daripada pencemaran bahasa ini juga akan menyebabkan Bahasa Melayu yang indah akan
dipinggirkan oleh generasi Melayu. Bahasa Melayu merupakan satu bahasa yang sinonim dengan
masyarakat Melayu. Hal ini bermaksud, Bahasa Melayu adalah bahasa pertuturan bagi masyarakat
Melayu untuk berkomunikasi antara satu sama lain. Bahasa Melayu mempunyai peranan yang
sangat penting, iaitu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa pentadbiran, bahasa pengantar, bahasa
rasmi dan sebagainya. Melalui peranan yang dinyatakan, kita seharusnya memahami dan
mengaplikasikan peranan Bahasa Melayu dalam kehidupan seharian kita. Dalam perbualan atau
pertuturan kita seharian, kita seharusnya menggunakan Bahasa Melayu untuk memastikan Bahasa
Melayu tidak ditelan arus pemodenan atau globalisasi.
Walau bagaimanapun, pada masa ini, Bahasa Melayu kian dilupakan dan semakin kurang
penggunaannya dalam pertuturan seharian. Pada masa ini, Bahasa Melayu telah tercemar
disebabkan oleh wujudnya bahasa lain dan pencampuran bahasa. Bahasa Melayu yang indah kian
dilupakan oleh generasi-generasi pada zaman ini, khususnya generasi muda. Mereka telah
terpengaruh dengan bahasa asing. Dengan menggunakan bahasa asing, mereka berfikir mereka
adalah orang yang paling terkenal dan mempunyai kedudukan yang tinggi. Mereka juga beranggapan
bahawa mereka akan sentiasa dipandang tinggi kerana mempunyai pengetahuan bertutur dalam
bahasa asing. Tanpa mereka sedari, tindakan mereka ini akan menyebabkan mereka kian lupa
dengan satu bahasa yang sangat penting, iaitu Bahasa Melayu.
Begitu juga pencemaran bahasa ini akan menyebabkan kekeliruan bahasa kepada generasi akan
datang. Apabila bahasa tercemar maka ini akan menimbulkan kekeliruan kepada generasi akan
datang untuk mempelajari sesuatu bahasa tersebut. Generasi akan datang akan terkeliru untuk
memperaktikkan bahasa yang sesuai diguna pakai dalam kehidupan seharian. Selain itu, jika generasi
akan datang mengikut trend yang ada pada masa sekarang sudah tentu bahasa tersebut akan
menjadi sejarah pada suatu hari nanti kerana telah hilang identiti bahasa tersebut.
Dalam Syarahan Agung Sasterawan Negara, anjuran KALAM, JKKN dan DBP, di Dewan Bahasa dan
Pustaka, 15 Disember 2009, SN Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh berkata:
Mungkin di Malaysialah anak negerinya ramai yang tidak pandai berbahasa kebangsaannya, dan
ramai juga yang malu menggunakannya atau merasa darjat sosialnya sudah jatuh tertiarap di lantai
apabila dia bercakap dalam bahasa ini. Jikalau kita tidak percaya pada bahasa kita, orang lain di
dunia pun tidak mendapatkan sebab bagi mengkajinya. Sekarang ini kebanyakan kursus sastera dan
Bahasa Melayu di Eropah, Australia dan Amerika sudah ditutup, sementara kajian China, Vietnam,
India dan malah Cambodia sedang berkembang. Di depan mata kita Bahasa Melayu bertumbangan,
sakit dan sebahagiannya sudah mati untuk selama-lamanya sekiranya kita tidak berbuat apa-apa dan
terparah adalah antara yang terpelajar, yang tertinggi ijazahnya dan tertinggi pangkatnya. Orang
kampung tidak membunuh bahasa ibundanya. Kitalah yang dianugerah berbagai-bagai kemudahan,
upaya dan kecerdasan - dan kitalah yang membunuhnya. Gerakan Dunia pasca kolonialisme
bergelora di banyak buah negara di dunia, termasuk India, Indonesia, Nigeria dan Kenya,
Uzhbekistan, Filipina, Vietnam dan Algeria serta Chile dan Argentina. Ada semacam landaan fikiran
dan amalan di negara-negara ini, sebagai tindak balas daripada rasa bahawa mereka sudah
dimangsakan, dihina dan juga dirampas bahasa dan budayanya.
Melalui pernyataan di atas, dapat kita simpulkan bahawa terdapat beberapa golongan atau generasi
yang telah melupakan bahasa ibundanya, iaitu Bahasa Melayu. Bahasa Melayu dikatakan kian pupus
di mata dunia. Hal inilah yang telah dipengaruhi oleh masalah pencemaran bahasa yang giat
diperkatakan.
Pencemaran bahasa ini akan menyebabkan masyarakat Melayu mengagung-agungkan bahasa asing
terutamanya bahasa Inggeris dan berasa malu untuk bertutur dalam Bahasa Melayu. Hal ini kerana
bahasa Inggeris kini memonopoli semua urusan di bidang komunikasi, pendidikan dan sebagainya.
Perkara ini akan melahirkan satu tanggapan dalam diri mereka bahawa orang lain akan memandang
tinggi terhadap mereka jika menggunakan bahasa Inggeris. Oleh itu, pelbagai golongan masyarakat
seperti mahasiswa, pihak pentadbiran dan juga pemimpin lebih suka bertutur menggunakan bahasa
Inggeris di khalayak ramai. Hal ini juga menyebabkan para ibu bapa pada masa ini lebih suka
mengajar anak-anak mereka bertutur dalam bahasa Inggeris sebagai bahasa pertama sehingga
melupakan bahasa ibunda iaitu Bahasa Melayu. Perbuatan ini akan meletakkan bahasa Inggeris
bukan lagi sebagai bahasa kedua tetapi mengatasi Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan
4.0 Langkah-langkah Mengatasi Pencemaran Bahasa
Bagi mengelakkan masalah pencemaran bahasa ini, tanggungjawab sesebuah kementerian, jabatan
atau agensi adalah sangat penting. Antara langkah yang boleh diambil oleh kementerian, jabatan
atau agensi tersebut adalah seperti yang berikut:
(12) memastikan semua pegawai dan kakitangan kerajaan menggunakan Bahasa Melayu yang baik
dan betul dalarn semua urusan rasmi, sama ada secara tulisan mahupun lisan, dengan rakan sekerja
dan apabila berurusan dengan pelanggan (kecuali urusan yang melibatkan negara asing dan untuk
tujuan melatih pegawai dan kakitangan supaya fasih berkomunikasi dalam bahasa asing).
(13) mewajibkan penggunaan Bahasa Melayu yang baik dan betul dari segi ejaan, sebutan, istilah
dan tatabahasa dalam hal-hal seperti mesyuarat, surat-menyurat, arahan pada papan tanda dan
papan kenyataan, iklan, dokumen rasmi, kawasan perumahan, premis pemiagaan dan lain-lain.
Bahasa-bahasa lain boleh digunakan berdasarkan kepada keperluan sahaja;
(14) menjalankan latihan dan menganjurkan aktiviti secara berterusan yang bertujuan meningkatkan
kemahiran dalam Bahasa Melayu yang betul dalam kalangan pegawai dan kakitangan.
Dalam masa yang sama, DBP telah berusaha dalam pengembangan dan peningkatan kualiti bahasa
di tempat awam melalui Pantau Tegur Bahasa. Pantau Tegur Bahasa bermaksud mengesan kesilapan
bahasa yang berlaku atau yang dipamerkan di tempat-tempat awam, seperti di papan iklan atau
papan tanda, sama ada di luar bangunan ataupun di dalam bangunan, yang jika tidak dicegah
dengan segera akan mencemarkan maruah Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Antara ciri
pencemaran bahasa ialah pengutamaan bahasa asing, sama ada dari segi saiz atau warna,
penggunaan bahasa yang tidak menepati tataBahasa Melayu, termasuk sistem ejaan, pemilihan kata,
pembentukan kata, pengolahan ayat, dan penggunaan laras, ataupun pencampuradukan Bahasa
Melayu dengan bahasa Inggeris. Bagi memastikan tindakan segera diambil setelah proses
pengenalpastian kesilapan dibuat, pemantau disediakan dengan sehelai borang untuk dipenuhi dan
dipulangkan kepada DBP. Pegawai DBP yang bertanggungjawab akan mengambil tindakan segera
menghubungi syarikat atau agensi yang berkenaan bagi membuat pembetulan.
(http://purnama.dbp.gov.my/webpurnama/index.php?option=com_content&task=view&id=285&Ite
mid=380)
Selain itu, satu Khidmat Nasihat Bahasa untuk orang ramai dibuka bagi merujuk penggunaan bahasa
yang betul untuk mengelakkan pencemaran bahasa kebangsaan terhadap paparan di tempat umum
yang dibuat oleh pihak berkenaan. Kaedah pemantauan yang diguna pakai oleh pihak DBP adalah
dengan menggunakan jaringan kerja sedia ada yang terdiri daripada 159 munsyi bahasa (guru atau
penulis yang berdaftar dengan DBP) di seluruh negara untuk melaporkan sebarang paparan awam
yang mencemar bahasa. Tindakan ini akan mengatasi masalah pencemaran Bahasa Melayu ini
daripada berleluasa.
Dari segi pendidikan pula, para guru harus menitikberatkan cara penyampaian Bahasa Melayu di
dalam bilik darjah terutamanya aspek tatabahasa dalam kalangan pelajar sejak di peringkat sekolah
rendah lagi supaya pelajar-pelajar dapat mengetahui kelainan erti perkataan yang imbuhannya
berbeza-beza dan menggunakannya dengan betul, tepat dan gramatis dalam lisan dan penulisan,
menggunakan frasa yang betul serta menggunakan ayat dengan betul, tepat dan gramatis. Hal ini
dapat disokong dengan kenyataan Yahya Othman (2005:11) bahawa rumus tatabahasa yang wujud
perlu dipelajari secara beransur-ansur sehingga membentuk operasi kesatuan rumus yang utuh dan
berupaya melakukan operasi membina ayat. Abd. Aziz Abd. Talib (2000:236) pula menyatakan
bahawa pengajaran tatabahasa membolehkan pelajar-pelajar berkomunikasi dalam Bahasa Melayu
dengan baik. Pengetahuan dan kemahiran berkomunikasi ini membantu pelajar menghasilkan ayat
yang gramatis dan berkomunikasi dengan berkesan. Hal ini akan mengelakkan penggunaan Bahasa
Melayu yang tercemar dari segi tatabahasa.
Tambahan lagi, guru juga perlu menjadi contoh yang baik dalam hal penggunaan bahasa yang
teratur dan anggapan bahawa Bahasa Melayu itu begitu mudah hingga tidak perlu dipelajari secara
serius harus dikikis dalam kalangan pelajar. Penguasaan Bahasa Melayu yang baik dan teratur dalam
kalangan mahasiswa di institusi pengajian tinggi tidak kira awam atau swasta juga perlu diberi
penekanan. Hal ini kerana merekalah yang akan menentukan sama ada menggunakan Bahasa
Melayu yang tercemar ataupun tidak dalam urusan pentadbiran.
Menurut Awang Sariyan pula, bagi mengelakkan Bahasa Melayu tercemar akibat penggunaan
bahasa SMS, guru mesti memberi penekanan kepada pelajar supaya tahu membezakan antara
bahasa untuk urusan rasmi dan tidak rasmi Menurutnya, penggunaan singkatan perkataan berlaku
terhadap semua bahasa di dunia, tetapi tidak menjadi masalah jika mereka dapat membezakan
pengunaannya untuk tujuan rasmi atau tidak. Menurutnya lagi, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)
tidak memberi perhatian terhadap bahasa yang diguna pakai dalam SMS, tetapi jika ragam bahasa
itu digunakan dalam urusan rasmi yang mempengaruhi masyarakat, DBP akan memberi perhatian
terhadap penggunaan bahasa tersebut bagi mengelakkannya merosakkan bahasa. Beliau juga
berkata bahawa pihak berkuasa tempatan dan jabatan kerajaan perlu bekerjasama dalam hal ini
kerana mereka bertanggungjawab mengawal selia papan tanda dan memastikan pihak yang
mengeluarkan iklan menggunakan bahasa betul. Tambahan pula, penerbitan bahan bacaan yang
menggunakan bahasa rojak atau pasar perlu dihentikan kerana dikhuatiri mempengaruhi remaja.
(Utusan Malaysia, 15 Februari 2004)
Pencemaran Bahasa Melayu ini juga dapat diatasi dengan menguatkuasakan undang-undang yang
sedia ada di Malaysia. Hal ini adalah seperti yang dinyatakan oleh Menteri Kesenian, Kebudayaan
dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim bahawa Kabinet telah bersetuju untuk memberi kuasa
kepada DBP untuk mendenda pencemar bahasa di negara ini. Denda RM1,000 itu akan dilaksanakan
apabila Akta Bahasa Kebangsaan 1963 dan Akta Pendidikan 1996 dipinda dan diluluskan Parlimen .
Namun, tumpuan hanya pada papan iklan dan notis awam. Sementara itu, Pengarah Jabatan
Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Sharifuddin
Ibrahim pula menyatakan bahawa DBKL sentiasa memantau bagi memastikan Bahasa Melayu
dimartabatkan. Menurutnya, semua pihak di bawah bidang kuasa DBKL terikat dengan Undang-
undang Kecil Wilayah Persekutuan 1982 pindaan 1985 yang mensyaratkan mereka meletakkan
Bahasa Melayu lebih jelas dan terang di papan tanda atau papan iklan, sekali pun jika ada bahasa
lain bersamanya.
Tambahan lagi, pucuk pimpinan yang menerajui negara juga berperanan untuk mengatasi
pencemaran bahasa ini daripada berleluasa. Hal ini dapat dilakukan dengan menjadikan Bahasa
Melayu sebagai bahasa pengantar di semua pusat pengajian tinggi tidak kira awam ataupun swasta
untuk semua jurusan. Menurut Abdul Hamid Mahmood (2000:247), pucuk pimpinan perlu
melancarkan Wawasan Bahasa terhadap pelaksanaan Bahasa Melayu sepenuhnya di pusat
pengajian tinggi sama seperti pelancaran Wawasan 2020. Hal ini akan mengurangkan penggunaan
bahasa rojak dalam kalangan mahasiswa yang bakal menceburi alam pekerjaan kerana mereka
terdedah dengan penggunaan Bahasa Melayu sepenuhnya dalam kehidupan mereka. Hal ini dapat
disokong dengan pernyataan Nothofer Bernad, profesor Bahasa Melayu dari Jerman dalam Abdul
Hamid Mahmood (2000:246) bahawa:
Bahasa Melayu memang sudah mampu berperanan sebagai bahasa akademik, jika pensyarah
mempunyai sikap dan tanggungjawab untuk memberikan kuliah dalam Bahasa Melayu.
Hal ini juga dapat disokong oleh pandangan Abdullah Munsyi mengenai isu pendidikan yang
menyatakan bahawa, sesebuah bangsa akan maju sekiranya ilmu yang disampaikannya dalam
bahasa mereka sendiri.
Di samping itu, media elektronik dan bukan elektronik perlu menyekat penggunaan bahasa yang
tidak mengikut sebutan baku bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pendengar, penutur dan
pengguna Bahasa Melayu. Media massa ini juga berperanan untuk menyekat iklan-iklan dalam
Bahasa Melayu yang menyalahi sistem Bahasa Melayu akibat daripada terjemahan yang salah.
Sebagai contoh, iklan-iklan tersebut adalah seperti berikut:
15. Tukang Jahit Wanita, sepatutnya Tukang Jahit Pakaian Wanita.
16. Castrol GTX2 lebih pantas ke seluruh bahagian enjin, sepatutnya
Castrol GTX2 lebih pantas menyerap ke seluruh bahagian enjin.
Sektor pengiklanan seharusnya turut menggunakan Bahasa Melayu yang ilmiah dan bermutu.
Pengamal-pengamal media juga perlu memartabatkan Bahasa Melayu yang bermutu tinggi. Bagi
syarikat-syarikat penerbitan majalah pula hendaklah mewujudkan satu biro khas berkaitan dengan
bahasa baku agar makalah yang diterbitkan diedit dan mengikut bahasa baku yang betul. Hal yang
sama juga harus dilakukan syarikat-syarikat penerbitan filem Melayu. Perkara ini adalah untuk
mengelakkan penggunaan bahasa yang bercampur aduk antara Bahasa Melayu dengan bahasa asing
terutamanya bahasa Inggeris. Hal in kerana penggunaan bahasa rojak ini boleh dilihat secara
langsung dalam penggunaan judulnya, contohnya:
17. Senario The Movie.
18. Lu Pikirlah Sendiri The Movie.
Pihak yang terlibat dalam industri perfileman harus mengutamakan penggunaan Bahasa Melayu
yang berkualiti kerana bahasa menunjukkan bangsa dan filem pula menunjukkan cerminan
bangsa. Filem mempunyai pengaruh yang kuat dalam kalangan masyarakat. Oleh itu, penggunaan
bahasa yang standard harus ditonjolkan bagi mengelakkan berlakunya pencemaran Bahasa Melayu.
Seterusnya, pengguna bahasa itu sendiri perlu sedar dan mempunyai kewarasan untuk
menggunakan bahasa dengan sebaik mungkin tanpa mencemarkannya., misalnya mengenai
pengaruh bahasa lain ke dalam Bahasa Melayu, seseorang pengguna itu harus berpegang kepada
prinsip buang yang keruh, ambil yang jernih. Hal ini dapat menjadi benteng yang mempertahankan
Bahasa Melayu itu daripada tercemar dengan menerima pengaruh-pengaruh bahasa asing.
5.0 Kesimpulan
Kesimpulannya, pencemaran bahasa ini merupakan suatu isu atau perkara yang semakin meruncing
sejak akhir-akhir ini. Namun, jika pihak-pihak yang bertanggungjawab menjalankan tugas dengan
penuh teliti dan kerap, tidak mustahil bahasa kita akan menjadi bahasa antarabangsa yang berada di
tahap terpenting khususnya dalam bidang pendidikan dan perniagaan. Pihak yang mempunyai kuasa
yang besar seperti Perdana Menteri harus sentiasa menekankan penggunaan bahasa kebangsaan
kita setiap masa sama ada dalam ucapan rasminya ataupun semasa ditemu bual oleh wartawan.
Dengan ini, apabila beliau sentiasa menggunakan bahasa kabangsaan secara baik dan kerap, ini akan
menjadi ikutan kepada orang bawahannya.
Bahasa rojak dan bahasa pasar tidak seharusnya digunakan secara meluaskan walaupun bukan
dalam situasi formal. Hal ini jelas membuktikan bahawa bahasa rojak atau pasar ini akan merosakkan
Bahasa Melayu yang juga merupakan bahasa kebangsaan kita. Kekerapan menggunakan bahasa
yang tercemar secara meluas akan menlahirkan rakyat yang buta bahasa sendiri. Tidak mustahil
kegagalan pelajar-pelajar di sekolah dalam mata pelajaran Bahasa Melayu disebabkan mereka
terlalu kerap menggunakan bahasa rojak dan pasar. Anak-anak muda kini juga kerap membaca
majalah berupa bahasa rojak dan pasar.
Oleh itu, bagi pihak-pihak penerbit majalah atau drama juga haruslah sedar yang mereka juga
bertanggungjawab membawa pembaharuan dan penambahbaikan dalam bidang bahasa. Janganlah
sibuk mengejar keuntungan tetapi nilai dan tanggungjawab patriotisme diabaikan. Dari sinilah kita
mendidik masyarakat agar menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, sebutan, dan tatabahasa
Bahasa Melayu. Masyarakat mudah menerima perkara yang positif andainya di keliling mereka
penuh dengan perkara positif. Sebagaimana kata-kata periBahasa Melayu iaitu bagaimana
acuannya, begitulah kuihnya. Kata-kata ini sudah cukup memberitahu kepada kita agar setiap
perkara yang ingin diubah atau dibuat perlulah dari atas atau pemimpin dahulu. Jika pemimpin
begitu prihatin dan bersungguh-sungguh dalam hal memartabatkan bahasa kebangsaan, rakyat juga
akan mengikutinya.
http://dermagabmk1.blogspot.com/2009/10/unsur-bahasa-asing-dalam-bahasa-
melayu.html
UNSUR BAHASA ASING DALAM BAHASA MELAYU
8:24 PTG SUHAIMI MOHD SALLEH 2 comments
UNSUR asing dalam bahasa Melayu wujud melalui proses pengambilan atau peminjaman daripada
bahasa-bahasa lain, iaitu bahasa yang lebih maju dalam tamadun yang lebih tinggi. Hal demikian
terjadi apabila berlaku pertembungan dengan tamadun tersebut.
Latar Belakang Peminjaman Bahasa
Bahasa yang memberikan sumbangan dalam proses peminjaman oleh bahasa Melayu merupakan
bahasa yang pernah berdampingan atau terlibat dalam sejarah orang Melayu. Oleh itu, besar atau
kecilnya pengaruh bahasa asing itu bergantung kepada tempoh dan rapatnya keterlibatannya
dengan masyarakat atau budaya Melayu.
Bahasa tertua yang dipinjam oleh bahasa Melayu ialah bahasa dari India, iaitu bahasa Sanskrit.
Bahasa ini merupakan bahasa elit India yang digunakan oleh golongan istana dan bangsawan.
Sanskrit datang menerusi agama dan budaya Hindu yang mendominasi kebudayaan alam Melayu
pada lebih 2,000 tahun dahulu. Peminjaman berlaku semenjak abad ketujuh lagi apabila bahasa
Melayu kuno menggunakannya untuk keperluan mengungkapkan pelbagai makna dan mesej pada
batu-batu bersurat. Pada ketika itu kerajaan Hindu Sriwijaya berada pada puncak kegemilangannya.
Bahasa India lain yang turut menyerap masuk ke dalam bahasa Melayu ialah bahasa Tamil (bahasa
golongan bawahan dari selatan India), bahasa Hindustani, dan bahasa Telegu. Bahasa-bahasa ini
datang melalui aktiviti perdagangan di kepulauan Melayu.
Bahasa yang kuat pengaruh dari Asia Barat ialah bahasa Arab. Kedatangan pengaruh Islam ke
Nusantara pada abad ke-13 menyerapkan perbendaharaan katanya ke dalam bahasa Melayu.
Bahasa ini menghadiahkan sistem aksaranya yang digunakan oleh bahasa Melayu, dikenali sebagai
tulisan Jawi di Malaysia dan tulisan Melayu-Arab di Indonesia. Selain bentuk tulisan, susuk ayat
Arab juga terserap dengan ketara dalam penulisan kitab dan kesusasteraan Melayu pada abad ke-16
hingga ke-18. Selain itu, bahasa Farsi turut dipinjam oleh bahasa Melayu, yang tersebar melalui
kegiatan perdagangan.
Kehadiran penjajah Barat juga memaksa bahasa Melayu menerima kosa kata bahasa-bahasa dari
Eropah. Bahasa-bahasa itu ialah bahasa Portugis, bahasa Belanda, dan bahasa Inggeris. Namun, kosa
kata bahasa Inggeris lebih mempengaruhi bahasa Melayu kerana pembudayaan yang mendalam
melalui sistem pendidikan, tempoh penjajahan yang panjang semenjak pendudukan di Pulau Pinang
hingga Malaysia mencapai kemerdekaan, dan penerimaan aspek dan bidang moden yang diasaskan
oleh tamadun Barat yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa.
Pinjaman juga melibatkan bahasa Cina. Hal ini terjadi kerana pergaulan dengan orang Cina,
khususnya melalui perniagaan di Semenanjung Tanah Melayu semenjak pendudukan Inggeris di
Pulau Pinang dan penubuhan Negeri-Negeri Selat.
Bahasa Melayu turut menerima pengaruh daripada bahasa Nusantara, iaitu bahasa Jawa, bahasa
Sunda, bahasa Bugis, bahasa Sumatera, dan lain-lain lagi. Bahasa-bahasa ini mula dipinjam pada
zaman kerajaan Melayu Melaka, kerana pergaulan dan hubungan perdagangan serantau. Bahasa lain
di Asia Tenggara yang turut dipinjam ialah bahasa Siam, tetapi sangat kecil.
Jelasnya, bahasa sumber yang dipinjam oleh bahasa Melayu terdiri daripada tiga kumpulan utama,
iaitu Sanskrit, Arab dan Inggeris. Walaupun begitu, bahasa sumber ini boleh dilihat dengan lebih luas
berdasarkan kelompok-kelompok:
(a) Bahasa India Sanskrit, Tamil, dan Hindustani
(b) Bahasa Tanah Arab Arab, dan Farsi
(c) Bahasa Nusantara Jawa, Sunda, Bugis, Sumatera, dan sebagainya
(d) Bahasa Cina,
(e) Bahasa Eropah Portugis, Belanda, dan Inggeris,
(f) Bahasa lain di Asia Tenggara Siam, dan lain-lain.
Peminjaman unsur asing tersebut terjadi disebabkan oleh hal-hal: (1) Peperangan dan penjajahan
politik membawa masuk bahasa Portugis dan Inggeris; (2) Perniagaan dan perdagangan serta
pendidikan dan penyebaran agama menyerapkan bahasa-bahasa Sanskrit dan Arab; (3) Kejiranan
dan persahabatan membawa masuk perkataan-perkataan daripada bahasa Cina, Tamil, dan Jawa.
Faktor-faktor Peminjaman Unsur Bahasa Asing
Zaba memberikan beberapa faktor orang Melayu meminjam unsur bahasa asing.
(1) Keperluan
Peminjaman dilakukan apabila tidak terdapat perkataan yang sesuai untuk menyatakan atau
memberikan nama kepada sesuatu perkara atau benda yang baharu atau asing daripada fikiran dan
budaya orang Melayu. Hal ini disebabkan oleh perkembangan dunia ilmu. Walaupun perkataan
Melayu mungkin ada, perkataan tersebut tidak sesuai, tidak tepat atau tidak setara maknanya untuk
menyatakan sesuatu maksud dengan berkesan. Mungkin pula perkataan yang ada itu sudah lapuk
atau lusuh, yang menyebabkan tidak sesuai lagi digunakan.
Kosa kata daripada bahasa lain terpaksa dipinjam juga kerana penggunanya tidak mengetahui
kewujudan perkataan berkenaan dalam bahasa Melayu. Walaupun perkataan itu wujud, mungkin
penggunanya gagal mengingat atau mencarinya ketika hendak digunakan.
Peminjaman dilakukan untuk melicinkan usaha merancang dan membina bahasa Melayu. Dengan
cara itu juga, status bahasa Melayu dapat ditingkatkan sebagai bahasa moden.
(2) Sikap
Sesetengah pengguna bahasa Melayu suka menggunakan sesuatu yang baharu dan dirasakan lebih
bergaya dan canggih, dengan anggapan perkataan Melayu sudah lapuk dan tidak bergaya. Hal ini
lebih-lebih lagi bagi orang yang suka berlagak dan menunjukkan dirinya pandai dalam bahasa asing
atau bahasa baharu. Keadaan ini menyebabkan orang-orang lain turut menggunakannya walaupun
tidak memahami maknanya dengan tepat. Contohnya, perkataan hulu telah digantikan dengan
kepala.
Selain itu, orang berkenaan tidak fasih dalam bahasanya sendiri. Sikap bebalnya menyebabkan dia
tidak malas menyiasat atau mengkaji bahasa sendiri, lalu dengan mudahnya menggunakan
perkataan asing. Pada zaman pascamerdeka ini, terdapat pihak yang menganggap bahasa Melayu
tidak dapat menandingi kewibawaan bahasa Inggeris.
Kesimpulannya, peminjaman bahasa asing disebabkan keperluan mengungkapkan konsep moden,
dan menganggap bahasa lain lebih berprestij. Senario ini wujud semenjak zaman bahasa Melayu
kuno dengan dominasi bahasa Sanskrit hinggalah kini pada era bahasa Melayu moden yang disaingi
dengan hebat oleh bahasa Inggeris. Selain itu, lazimnya kebudayaan yang maju dan kuat berjaya
memaksa masyarakat lain menerima tamadun mereka.
Unsur-unsur Pinjaman
Unsur bahasa asing yang dipinjam oleh bahasa Melayu terdiri daripada bunyi, bentuk morfem dan
sintaksis.
(1) Pinjaman Bunyi
Terdapat 27 bunyi dalam bahasa Melayu, iaitu 6 vokal, 3 diftong, dan 18 konsonan. Beberapa bunyi
konsonan dipinjam daripada bahasa Sanskrit, Arab dan Inggeris.
(a) Bahasa Sanskrit:
> sy - syurga
> sw - swasta
(b) Bahasa Arab:
> kh - khairat, bakhil, fasakh
> gh - ghaib, maghrib, baligh
> sy - syarikat, masygul, Quraisy
> f - fikir, fatsir, takrif
> z - zahir, azab, lafaz
> q - Quran, furqan
Selain itu, dipinjam juga bunyi dh dan th, tetapi kini untuk penulisan dalam bahasa Melayu, masing-
masing diubah bentuk menjadi d dan s sahaja.
dh - dharab (darab), fardhu (fardu)
th - Thalatha (Selasa), Ithnin (Isnin), hadith (hadis)
(c) Bahasa Inggeris:
> f - filem, fokus
> v - vokal, variasi , novel, levi
> sy - syif
> z - zoo, zink
Semua bunyi pinjaman tersebut terdapat dalam perkataan daripada bahasa tersebut.
(2) Pinjaman Kata Dasar
(a) Bahasa Sanskrit
Perkataan bahasa Sanskrit yang disenaraikan oleh Zaba tidak kurang daripada 388 patah, tetapi
yang digunakan tidak lebih daripada 200 patah sahaja, melibatkan sekurang-kurangnya 14 bidang.
(i) Tubuh manusia
anggota , bahu , kepala , lidah , nadi , nama , roma, rupa , sendi
(ii) Waktu
bila , dewasa , dinihari , hari , kala , kali , ketika , masa , purnama , pertama , sedia , sedia kala, senja ,
senja kala , sentiasa , tadi , tatkala
(iii) Barang dagangan dan perniagaan
angka , arang gula , bahara , benda , cendana , gaharu , guni , harga , harta , juta , kapas , kapur barus
, kasturi , laba , laksa , lawang , neraca , pala , sutera
(iv) Barang-barang leburan dan batu-batu
baiduri , delima , emas , geliga , gemala , kaca , kencana , maknikam , mestika , mutia , mutiara ,
nilam . pancalogam , permata , raksa , suasa , tembaga , timah
(v) Nama barang dan perkakas
bangsi , catur , cerana , genta , gergaji , jala , jentera , judi , kecapi , kendi , keranda , kunci , manik ,
panca-persada , pancaragam , peterakna , peti , tenggala
(vi) Pergaulan dan persaudaraan
ayah , bangsa , baya , belia , dara , isteri , keluangsa , keluarga , muda , pangkat , remaja , saudara ,
sila , suami , tabik , teruna , tua
(vii) Berkenaan bintang dan awang-awangan
angkasa , bima sakti , buana , cahaya , cakerawala , daksina , gelita , gema , gempa , gerhana , kertika
, mega , nusantara , pancalima , pernama , rahu , udara , utara
(viii) Binatang
biri-biri , cenderawasih , cerpelai , cintamani , gagak , gajah , gembala , geroda , harimau , jentayu ,
kala , kuda , merak , mergastua , merpati , naga , rajawali , sawa , serigala , singa , unta
(ix) Tumbuh-tumbuhan
angsana , bedara , beringin , bunga , cempaka , cendana , delima , gandamala , gandapura ,
gandarusa , jambu , jati , kemboja , kenanga , kesumba , labu , lenggundi , lontar , mangga , melaka ,
melati , melur , mempelam , nagasari , petola , puspa sari , seroja , teratai
(x) Perasaan dan keadaan
asa , asmara , bahagia , bencana , berahi , bodoh , budi , budiman , cela , celaka , cerca , cinta ,
durjana , derma , dermawan , dosa , duka , dukacita , dusta , loba , malas , murka , nestapa , pahala ,
pandai , papa , sangka , segera , seloka , sengsara , setia , setiawan , suci , suka , sukacita
(xi) Senjata dan peperangan
bahaya , bala , bala tentera , cedera , gempita , hulubalang , jaya , kendera , keris , kota , panah ,
panglima , perkasa , senjata , seteru
(xii) Kebesaran
adiraja , anugerah , baginda , bendahara , bentara , beti , biduanda , duli , gahara , hulubalang ,
istana , kurnia , laksamana , maha , maharaja , maharani , mahkota , menteri , mulia , paduka ,
pegawai , pendeta , penggawa , raja , perdana menteri , permaisuri , perwira , putera , puteri , sida-
sida , singgahsana , upacara
(xiii) Pemerintahan
acara , angkara , aniaya , bahagi , balai , bangsa , bicara , denda , desa , dosa , gelora , kuasa ,
merdeka , negeri , penjara , periksa . perkara , pesaka , sahaya , saksi , segara , seksa , ufti
(xiv) Agama dan pengetahuan
agama , badi , bahasa , bakti , betara , bidadari , biduan , bijaksana , Bisnu , boga , bota , bujangga ,
bukti , cendera , dewa , dewata , dewi , dupa , gergasi , guru , hantu , Hanuman , indera , jelma , jiwa
, mantera , neraka , permai , petala , puasa , puja , pujangga , puji , raksasa , rencana , sakti ,
sangkakala , sastera , sasterawan , sempena , syurga , tapa
Bahasa Sanskrit yang merupakan bahasa elit India mula dipinjam ketika itu, kerana:
(i) bahasa Melayu terlalu baharu, menyebabkan timbul masalah kekurangan perkataan yang sesuai
dan tepat untuk menyatakan makna bagi sesuatu ilmu atau budaya yang belum dikuasai oleh
masyarakat Melayu,
(ii) tanggapan bahawa bahasa Sanskrit berwibawa dan berprestij tinggi.
(b) Bahasa Tamil
apam , auta , bedil , candi , cemeti , cerpu , cerutu , gerudi , gurindam , jodoh , keldai , kalekati ,
kapal , kari , katil , kawal , kedai , ketumbar , kodi , kolam , kuli , ladam , lebai , logam , mahligai ,
malai , mempelam , modal , nira , paceri , paria , perli , peti , pili , pondan , putu , ragam , ranggi ,
sami , santeri , tambi , tandil , tirai , taulan
(c) Bahasa Hindustani
Perkataan yang dipinjam daripada bahasa ini banyak juga merupakan perkataan yang asalnya
daripada bahasa lain yang pernah dipinjam oleh bahasa Hindustani. Oleh itu, terjadilah pinjam atas
pinjam.
acar , agar , aria , baldi , banglo , barua , basi , bendahari , biti , boria , boya , cap , capal , coli , cuka ,
cukai , curi , cuti , dal , dian , dobi , gabra , gala-gala , ganda , ganja , gari , gudang , guni , gusar ,
jamin , jenaka , kanji , kapas , kaskas , kerani , ketur , kubis , kunci , kurma , lucah , madat , neraca ,
rebana , roti , rupiah , seterika , suji , sundal , topi
(d) Bahasa-bahasa Sumatera
cegah , dekak-dekak , gadis , gedang , kemanakan , kemanga , landai , malahan , ragu , rapi ,
semenda , tambu , teliti , teromba , teuku (tengku)
(e) Bahasa Jawa dan Sunda
agus , aji , alun-alun , ancam , andai , anggap , ayu , babad , bagus , bajik , batik , beres , bibit , buntu ,
cerdas , dingin , dokoh , embok , enak , enteng , galuh , gamelan , gerobok , gusti , intip , inu , jaguh ,
jelik , jeragan , kejam , keraton , kesal , ketara , kodok , kuping , lahar , lakon , lamun , lanang , leluasa
, lucu , luntur , lurah , mendung , menginap , mesti , nona , nyaman , obor , oleh-oleh , omong ,
pamer , pecal , penting , ratu , rogol , ronggeng , saban , saringan , senohong , sepi , sering , sore ,
sumsum , sumur , tamu , tindak , tulen , urus , walang , waras , warung , wayang.
(f) Bahasa Bugis dan Borneo
Abang , Beladau , daeng , mengayau , pengeran , sulitawang , sundang , tembadau
(g) Bahasa Arab
Pinjaman daripada bahasa Arab lebih banyak jumlahnya berbanding dengan pinjaman daripada
bahasa Sanskrit. Kebanyakannya disesuaikan mengikut sebutan Melayu, dan sesetengahnya sudah
sebati sehingga tidak disangka berasal daripada bahasa Arab. Pinjaman melibatkan pelbagai bidang.
(i) Agama
ajal , akaid , akil , Allah Taala , amal , anbia , arasy , aulia , baligh , batal , bilal , dajal , doa , fardu ,
fikah , fitrah , haid , haji , hakikat , halal , haram , hidayat , ibadat , iktikad , imam , iman , jin , junub ,
kadi , kiblat , kufur , Loh Mahfuz , makmum , makrifat , makruh , maksiat , malaikat , masjid , mikraj ,
murtad , mustakmal , nabi , najis , nifas , qada , Quran , rahmat , rasul , rukuk , rukun , sah , sujud ,
syahadat , syaitan , syarat , syariah , syariat , taat , tahlil , takdir , umrah , wali , wuduk , zakat , zikir
(ii) Ilmu
ahad , ahli , ahmak , alim , arif , ayat , bab , baki , dakwat , darab , falak , falsafah , fasal , fatwa , hadis
, hafaz , hakim , hikayat , hikmat , hisab , hukum , huruf , ibarat , iklim , ilmu , Isnin , jahil , jawab ,
jumlah , kaedah , kalam , kamus , kasidah , kertas , khabar , khasiat , khat , khatam , kisah , kitab ,
loghat , madrasah , majalah , maklum , maktab , maktub , misal , mufti , nahu , nujum , petua ,
Ramadan , riwayat , saat , saraf , sejarah , siasat , sihir , soal , surat , Syaaban , syair , syarah , syeikh ,
tabib , tafsir , takbir , takwim , tamsil , tarikh , tawarikh , ulama , usul , waktu , zaman.
(iii) Fikiran dan perasaan
aib , ajaib , akal , akhir , am , aman , asyik , awal , bahas , dahsyat , faham , fikir , hairan , hajat , hawa
, hebat , ijtihad , ikhlas , ikhtilaf , iktibar , ilham , insaf , izin , kabul , kalbu , khas , khuatir , khusus ,
khutbah , laknat , makna , maksud , masyghul , muhibah , mustahil , musykil , nafsu , nasib , nasihat ,
niat , syak , syok , tadbir , takjub , umum , waham , yakin , yakni
(iv) Hukuman dan peraturan
adil , amir , baitulmal , daerah , daftar , dakwa , had , hakim , hukum , kadi , khalifah , mahkamah ,
makam , mansuh , mukim , rakyat , sultan , tabal , takluk , tertib , uzur , wajib , wakaf , wakil , wali ,
wazir , wilayah , zalim
(v) Benda-benda kejadian dan perbuatan
akhirat , alam , dunia , haiwan , halwa , insan , jati , jubah , kawat , kopiah , kuat , kubah , layak , lazat
, loh , nahas , nur , roh , sahur , salji , sifat , syarbat , taun , wabak , wajah , wujud
(vi) Adat dan pergaulan manusia
adat , afiat , akad , awam , azimat , bahlul , batin , darjat . darurat , faedah , fitnah , ghaib , ghalib ,
hadir , hadiah , hormat , ijazah , istiadat , jahil , jenazah , jimak , kafilah , karib , kaum , kerabat ,
khadam , khalwat , khilaf , khunsa , kubur , lazim , majnun , makmur , manfaat , marhum , martabat ,
maruah , masyhur , maulud , maut , mastautin , mesyuarat , mudarat , muhrim , musafir , musibat ,
nafkah , nasab , nazar , nazir , nikah , nisbah , redha , rezeki , sanduk , sedekah , sihat , siti , syahwat ,
syarifah , syarikat , syukur , tahniah , taksir , takziah , takzim , umat , waris , watan , ziarah , ziarah
(h) Bahasa Farsi
andam , badam , bahari , baju , bandar , bedebah , beriani , biaperi , bina , bius , cogan , cokmar ,
darwis , destar , dumba , firdaus , firman , gandum , geram , gusti , honar , istana , jam , johan ,
juadah , kahwin , kapur , kesmis , laksa , lasykar , lawak , lazuardi , medan , nafiri , nakhoda , nesan ,
nobat , pasar , pelana , perca , peri , Peringgi , pesona , piala , pinggan , reja , rubah , sal , saudagar ,
serban , seluar , sudah , syah , takhta , taman , teraju , zadah
(i) Bahasa Cina
Hampir semua pinjaman daripada bahasa Cina daripada bahasa Hokkien, iaitu kaum yang mula-mula
datang ke Tanah Melayu dan bergaul dengan orang-orang Melayu di kampung dan di tepi laut.
(i) Makanan dan buah-buah
angki (pisang kaki) , bakmi , bepang , bihun (mihun) , cincau , kuaci , kucai , kuih , lai , laici , mi ,
samsu , tauhu , tauge , teh , tokyu
(ii) Pakaian dan barang-barang dagangan
bak (dakwat) , candu , cat , ci (1/10 tahil) , cukin , gincu , hun (1 inci Cina) , kekwa , (bunga) , koyan ,
koyok (ubat) , tahil , tocang
(iii) Rumah dan perkakasnya
bangsal , beca , boh (batu) , cawan , dacing , jong , kincir , lanca , langkan , loceng , loteng , pangkin ,
pungkis , sampan , sia (bakul bertingkat) , sipua (alat mengira) , tanglung , tangsi (tali halus) , teko ,
tongkang , toya (kayu panjang)
(iv) Manusia dan hal ehwalnya
ampau , apek , banci (hitung) , cempiang , centeng , cuak , gua (saya) , kampuh (tutup dengan kain) ,
kongsi , kuntau , lancau , lancong , lu (engkau) , nyonya , ponteng , samseng , sue (malang) , tauke ,
tekong , toa pekong , tokong , tongsan
(v) Permainan
capjiki , ceki , congkak , pakau , pakbu , poh toa , cukai
(j) Bahasa Portugis
baldi , bangku , meja , baulu , baldu , beranda (kota) , bola , bomba , dadu , garpu , gereja , istinggar ,
jendela , kapitan , kara , kebaya , keju , kemeja , lampu , lancang , lelong , mandur , mentega ,
merinyu , meski , minggu , paderi , palsu , peluru , peniti , peon , perada , pipa , pita , renda , rial ,
roda , sekolah , selada , sepatu , sinyor , tempoh , terangkera , terongkoh , tinta , tuala , wizurai
(k) Bahasa Belanda
bor , dam , dansa , duit , engsel , geladak , kamar , kantor , koran , laci , ongkos , pelekat , pelesir ,
peluit , permisi , rokok , sekoci , sekopong , senapang
(l) Bahasa Inggeris
aiskrim , bank , bas , basikal , beer , beg , besen , bikin , bil , biskut , botol , brek , buku , coklat ,
diploma , doktor , drebar , ekar , elaun , elektrik , enjin , epal , gabenor , gear , gelas , eran , glob , gol
, inspektor , jel , jem , kapten , kek , kelab , kelas , kelindan , kenari , kolej , koman , kompas ,
kompeni , kopi , kopral , kot (baju) , kuinin , lesen , lokap , loket , lori , majistret , malaria , mancis ,
mem , mesin , misi , motobot , motokar , muzik , nat , nombor , not , notis , opera , paip , pam , pas ,
paun , pencen , pensel , piano , pil , pin , pistol , poket , polis , rekod , rel , residen , resit , saman ,
sarjan , sarkas , skru , selipar , setem , simen , sepana , standard , stereng , stesen , stoking , sup ,
tayar , telefon , telegraf , tenis , tiket , tin , tiub , trompet , wap , wisel
(m) Bahasa Siam
kop (mata wang Siam) , makyung , menora , wat , perai (sj. kain sutera hitam) , samsam , senarai
(3) Pinjaman Imbuhan
Tekanan yang kuat untuk menerima unsur asing datang daripada kemajuan sains dan teknologi. Ini
memaksa bahasa Melayu mengambil imbuhan asing. Pada masa dahulu, yang dipinjam hanyalah
imbuhan daripada bahasa Sanskrit, Jawa dan Arab, tetapi kegunaannya terhad. Bermula 1960-an,
peminjaman dilakukan dengan terancang.
Imbuhan yang dipinjam berbentuk awalan dan akhiran kata nama.
(a) Imbuhan Bahasa Sanskrit
(i) Awalan
> dwi- (dua) : dwibahasa; dwifungsi; dwiguna; dwilambang
> eka- (satu) : ekabahasa; ekabunyi; ekasuku; ekawarna
> maha- (agung, besar, tinggi) : mahaguru; maharani; mahasiswa; mahasiswi
> panca- (lima, bermacam-macam) : pancabentuk; pancalogam; pancasuara; pancawarna
> pasca- (selepas) : pascamerdeka; pascaperang; pascasiswazah
> tuna- (tidak mempunyai) : tunabudaya; tunasusila; tunabusana
> pra-(sebelum) : prakata; pramoden; prasangka; prauniversiti
(ii) Akhiran
> -man : budiman; seniman;
> -wan (memiliki sesuatu; ahli) : cendekiawan; hartawan; usahawan
> -wati (merujuk feminin) : peniagawati; seniwati
(b) Imbuhan Bahasa Jawa
Imbuhan bahasa Jawa tidak produktif. Yang selalu digunakan hanyalah berupa awalan.
(i) Awalan
> tata- (peraturan) : tatabahasa; tatacara; tatasusila; tatatertib
(c) Imbuhan Bahasa Arab
Pinjaman imbuhan daripada bahasa Arab juga tidak produktif, dan hanya berbentuk akhiran.
(i) Akhiran
> -ah (merujuk perempuan) : sultanah; ustazah; siswazah
> -at (merujuk perempuan) : hadirat; muslimat
> -iah ("bersifat") : ilmiah; rohaniah; wataniah
> -in (merujuk lelaki) : hadirin; muslimin
> -wi (bersifat) : duniawi; manusiawi
(d) Imbuhan Bahasa Inggeris
Imbuhan daripada bahasa Inggeris yang dipinjam oleh bahasa Melayu meliputi awalan dan akhiran.
(i) Awalan
> anti- (melawan, menentang) : anti-Amerika; antibiotik; antihadis; antipoligami
> pan- (seluruh; genap) : pan-Afrika; pan-Amerika; pan-Asia
> pro- (menyokong) : pro-Amerika; prodemokrasi; pro-Russia
> sub- (pecahan; bawahan) : subgolongan; subjenis; subkontraktor
> supra- (atasan; tinggi) : suprakebangsaan; supranasional; suprasegmental
> ultra- (keterlaluan; terlampau) : ultralembayung; ultramerah; ultraungu
2. Akhiran
> -is (ahli) : artis; cerpenis; kartunis; novelis; sosialis
> -isme (fahaman, ideologi) : komunisme; nasionalisme; sosialisme
(4) Pinjaman Tatabahasa (Nahu) Asing
Tatabahasa asing yang kuat mempengaruhi bahasa Melayu ialah bahasa Inggeris. Pengaruh struktur
bahasa ini menyebabkan sukar dibezakannya daripada bahasa Melayu.
Unsur tatabahasa yang dipinjam ialah bentuk ialah dan adalah daripada bahasa Inggeris, iaitu bentuk
kopula is. Bentuk kopula tidak wujud dalam bahasa Melayu, tetapi diterima sebagai betul dan
digunakan dengan fungsinya sebagai pemeri semenjak 1934 kerana pernah dihuraikan oleh Zaba
melalui bukunya, Ilmu Mengarang Melayu.
> Ali ialah penoreh getah. (Pengaruh bahasa Inggeris)
> Ali penoreh getah.
Bentuk ialah dan adalah tiada dalam bahasa Melayu klasik.
(5) Pinjaman Bentuk Majmuk
Pinjaman bentuk majmuk kebanyakannya daripada bahasa Inggeris, untuk memenuhi keperluan
melengkapkan istilah.
> bawah tanah (underground) ; beban kerja (work load) ; buku hijau (green book) ; bulan madu
(honey moon) ; duit poket (pocket money) ; gajah putih (white elephant) ; kepala surat (letter head)
; nota kaki (footnote) ; pencakar langit (skyscraper); perang dingin (cold war).
(6) Kesan-kesan Pinjaman
Pinjaman unsur daripada bahasa asing membawa dua kesan utama, iaitu memberikan faedah, dan
sebaliknya.
Kebaikan peminjaman adalah dapat menambahkan kekuatan makna konsep yang hendak
diperkatakan. Hal ini akan mewujudkan keadaan saling terjemah dengan bahasa moden lain.
Sebaliknya, Zaba beranggapan bahawa menggunakan perkataan daripada bahasa asing dengan
sengaja atau dipaksa-paksa dapat menimbulkan kerugian, kerana akan memburukkan rupa dan
bunyi bahasa Melayu, dan membanyakkan perkataan yang tidak akan difahami oleh pembaca.
Kemungkinan besar terjadinya pencemaran bahasa. Hal ini terjadi sekiranya peminjaman dibuat
sesuka hati.
E-melkan Ini
BlogThis!
Kongsi ke Twitter
Kongsi ke Facebook
Catatan Terbaru Catatan Lama Laman utama
2 ulasan:
Fakeh berkata...
Cubalah google tajuk BANGSA MELAYU MENGIKUT ULAMA AHLU SUNNAH WAL JAMAAH, maka akan
fahamlah kita tentang hakikat bangsa ini. Dan cubalah google pula tajuk-tajuk berikut agar kita kenal
musuh dalam selimut yang mencari peluang dan ruang untuk mengkhianati bangsa ini, iaitu:-
(a) http://www.mediafire.com/?ne2dmyeinzo
(b) Jaringan Wahabbi Sdn Bhd
(c) Jom Kenali Dr Maza & Co
(d) Ahlul Bait Yang Dicerca
(e) Tok Ayah Zid Kedai Lalat
(f) Kuasa Tiang Kepada Cita-cita
(g) 40 Mutiara Hikmat Serambi Mekah
Aniefah Awang
http://www.academia.edu/5596450/Peminjaman_bahasa
12
banyak bergantung kepada kepakaran golongan pendidik dalam menurunkan ilmu yang betul
kepada golongan pelajar. Selain itu peranan media massa turut menyumbang kepada proses
memartabat dan mendaulatkan bahasa Melayu.
Media massa mempunyai tanggungjawab sosial untuk memartabatkan dan mendaulatkan bahasa
Malaysia. Stesen penyiaran TV3 terus menggunakan bahasa Malaysia dalam kebanyakan siaran. TV3
merupakan stesen penyiaran yang mula-mula menggunakan bahasa baku walaupun kini tidak lagi
dan begitu juga harapan kita kepada RTM. Walaupun pihak RTM telah memulakan penyebutan baku
bagi istilah asing, namun usaha itu masih belum boleh dibanggakan. Oleh itu, diharapkan kebanjiran
stesen-stesen baharu ini dapat bersama-sama memartabatkan bahasa Malaysia di negara kita. Di
samping itu peranan sektor swasta juga diperlukan dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu.
Sebagai contoh, lebih banyak kegiatan dan aktiviti penganjuran bahasa di luar Negara seiring
dengan promosi perniagaan atau produk barangan dan perkhidmatan di pasaran secara terancang
telah memberi pulangan memberangsangkan kepada perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa
ekonomi, sains dan teknologi. Ini akan terlaksana jika papan tanda dan iklan menggunakan kata-kata
bahasa Melayu dengan betul. Secara tidak langsung cara ini dapat mendaulat dan memartabatkan
bahasa Melayu di pentas dunia.
Seterusnya, usaha memartabatkan bahasa Melayu adalah menambah buku-buku ilmiah dan buku-
buku rujukan dalam bahasa Melayu. Masalah yang dihadapi oleh golongan pelajar maupun pendidik
dewasa ini ialah kurangnya buku-buku ilmiah yang boleh digunakan sebagai rujukan dalam
pengajaran dan pembelajaran. Kebanyakan buku-buku yang terdapat di pasaran semuanya
menggunakan bahasa Inggeris. Keadaan ini sangat menyukarkan terutamanya golongan pelajar
universiti. Para pelajar universiti sukar membuat rujukan tentang sesuatu perkara kerana tidak
terdapat penterjemahan dari segi istilah. Buku-buku ilmiah ini didatangkan dari luar negara untuk
rujukan para pelajar. Para penerbit buku seharusnya lebih agresif untuk menerbitkan buku-buku
ilmiah yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa utamanya.
3. Halangan-halangan Untuk Memartabatkan Bahasa Melayu
13
Banyak usaha telah dijalankan untuk memartabatkan Bahasa Melayu namun usaha-usaha yang
diberikan itu masih belum mencukupi. Banyak halangan atau kekangan yang dihadapi dalam usaha
memartabatkan Bahasa Melayu. Antara halangan-halangan yang dihadapi adalah pengaruh Bahasa
Inggeris. Peranan Bahasa Melayu dalam agenda pembangunan negara yang baharu makin tidak
diambil kira lagi. Rakyat Malaysia khususnya orang Melayu diseru supaya menguasai bahasa Inggeris
jika mereka hendak menjadi bangsa yang maju. Cabaran paling serius terhadap kedudukan bahasa
Melayu sebagai bahasa ilmu. Di Institut Pengajian Tinggi berlaku apabila 600 lesen diluluskan kepada
pihak swasta untuk menubuhkan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS). Walaupun Akta
Pendidikan Tinggi Swasta 1996 menyatakan bahawa semua IPTS di negara ini hendaklah
menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utamanya, akta yang sama
memberikan kuasa kepada Menteri Pelajaran untuk membenarkan IPTS menggunakan bahasa
Inggeris sebagai bahasa pengantar utamanya. Seterusnya melalui konteks globalisasi, ancaman
bahasa Inggeris terhadap bahasa Melayu adalah kenyataan. Kini hampir 600 buah institur pengajian
tinggi swasta di negara ini mengamalkan dasar berkembar dengan menggunakan bahasa Inggeris
sepenuhnya sebagai bahaga pengantar dan juga sebagai strategi menjadikan Negara sebagai pusat
kecemerlangan ilmu. Kepesatan ekonomi yang memberangsangkan turut melonjakkan bahasa
Inggeris sebagai
lingua franca
golongan elit dan sektor swasta. Mencampuradukkan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris dalam
situasi formal sehingga terbit bahasa rojak turut menjadi penyumbang kepada halangan
memartabatkan bahasa Melayu. Situasi ini sering terjadi dan berlaku melalui rancangan televisyen
seperti drama-drama tempatan, rancangan temubual atau wawancara dan sebagainya dalam siaran
televisyen swasta. Oleh itu wajar rasanya pihak media disalahkan kerana membenarkan perkara ini
berlaku. Selain itu adalah pengaruh bahasa slanga.
Kekacauan bahasa sering kali berlaku dalam kalangan masyarakat di negara ini. Hal ini sebenarnya
berlaku tanpa disedari oleh penuturnya. Bahasa slanga dilahirkan oleh sesuatu kumpulan. Kumpulan
ini mencipta istilah dan kata-kata
14
yang bermakna dan hanya difahami oleh kumpulan itu sahaja. Mereka menggunakan istilah-istilah
tersebut dalam berkomunikasi. Apabila wujudnya bahasa slanga secara tidak langsung terbinalah
pelbagai golongan mengikut identiti mereka. Bahasa Slanga adalah satu kelainan bahasa yang
dicirikan oleh perbendaharaan kata yang baru digubal dan cepat berubah. Bahasa ini sering
digunakan oleh golongan muda seperti kumpulan rock dan kawanan melepak, atau pelajar universiti.
Jika keadaan ini tidak dibendung nescaya proses untuk memartabatkan bahasa Melayu tidak akan
tercapai. Seterusnya adalah masalah yang dihadapi oleh golongan pelajar mahupun pendidik dewasa
ini iaitu kurangnya buku-buku ilmiah yang boleh digunakan sebagai rujukan dalam pengajaran dan
pembelajaran. Kebanyakan buku-buku yang terdapat di pasaran semuanya menggunakan bahasa
Inggeris. Keadaan ini sangat menyukarkan terutamanya golongan pelajar universiti. Para pelajar
universiti sukar membuat rujukan tentang sesuatu perkara kerana tidak terdapat penterjemahan
dari segi istilah. Buku-buku ilmiah ini didatangkan dari luar negara untuk rujukan para pelajar. Dasar
mempercayai budaya orang luar telah menular di dalam diri masyarakat di negara Malaysia. Para
penerbit buku seharusnya lebih agresif untuk menerbitkan buku-buku ilmiah yang menggunakan
bahasa Melayu sebagai bahasa utamanya.
4. Penutup
Sebagai sebuah negara yang telah merdeka, seharusnya adalah menjadi keperluan untuk
memajukan negara dan bangsa mengikut acuan sesuai dengan budaya, nilai, falsafah, dan aspirasi
sendiri. Bahasa bukan sekadar simbol malah merupakan imej jati diri. Bahasa indah ini perlu
ditatarkan sebaik mungkin. Menunding jari kepada mana-mana pihak untuk mencari kesalahan
adalah mudah. Akan tetapi sikap dan usaha sendiri untuk membawa bahasa ini kembali dijulang
kelihatannya tidak bermaya. Saranan serius adalah mencari ruang untuk kita membawa kesedaran
ini demi servival nilai tempatan. Kukuhnya Melayu dan nilai Islam adalah akibat kukuhnya bahasa
yang menjadi pengantar umat itu sendiri. Kukuhnya Islam kerana Bahasa Arab. Kukuhnya Melayu
adalah dengan menggenggam kembali bahasa ini. Oleh yang demikian, usaha untuk mengukuhkan
Bahasa Melayu bukanlah suatu tugas yang mudah. Ia
15
memerlukan kerjasama setiap warga untuk bersama-sama membentuk sikap mencintai bahasa.
Tanpa sikap ini, usaha demi pengukuhan Bahasa Melayu amatlah sukar untuk dilaksanakan.