Makanan Dan Perpaduan
Makanan Dan Perpaduan
Makanan Dan Perpaduan
TAJUK 09
Pengalaman harian: Menjalin Kesepaduan dan Melahirkan Keharmonian
hasil Pembelajaran
Selepas mempelajari bab ini, pelajar dapat:
1. Memahami kepelbagaian pengalaman harian yang dapat menyatukan pelbagai etnik.
2. Memelihara nilai kepelbagaian sebagai teras kesepaduan sosial.
3. Memperkukuh jati diri melalui kepelbagaian pengalaman harian etnik.
Pengenalan
Malaysia memiliki keistimewaan yang berkait rapat dengan ciri-ciri latar belakang masyarakatnya yang
terdiri daripada pelbagai etnik. Mereka saling berhubungan dengan menggunakan bahasa Melayu yang
diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan dalam pertuturan harian sehingga membolehkan mereka bertutur
dengan fasih. Keadaan ini menunjukkan masyarakat Malaysia dapat hidup bersatu walaupun
mempunyai bahasa, agama dan kepercayaan yang berbeza. Keadaan yang saling berhubungan antara
individu dengan individu dan antara kelompok dengan kelompok lain dalam kehidupan harian mereka
memang tidak dapat dielakkan. Hal ini didorong oleh keadaan saling bergantungan untuk kelangsungan
hidup kerana tidak ada individu mahupun kelompok yang sempurna kebolehan, keupayaan dan
kehendak naluri mereka dalam usaha untuk memenuhi keperluan hidup harian masing-masing. Tanpa
disedari perlakuan saling kebergantungan ini terus diulang dan dalam tempoh yang lama menzahirkan
hubungan berbentuk kesepaduan dalam masyarakat, lebih-lebih lagi dalam masyarakat pelbagai etnik.
Hubungan baik yang terjalin antara individu atau kelompok yang berbeza latar belakang budaya, agama
dan bahasa biasanya berlaku tanpa paksaan. Pengalaman harian yang terhasil daripada hubungan
tersebut pula berlaku dalam pelbagai suasana dan ruang lingkup yang luas seperti menerusi perkongsian
dalam aspek makanan, kesenian dan media. Secara kebetulan ketiga-tiga aspek tersebut memainkan
peranan penting dan memberikan impak yang besar sama ada secara langsung atau tidak langsung
dalam proses membina kesepaduan antara etnik.
Kepelbagaian Makanan etnik
Pemangkin Perpaduan
Apabila Malaysia ditubuhkan pada tahun 1963 sebagai sebuah negara berdaulat dengan identiti nasional
tersendiri, penubuhan ini diikuti dengan pembentukan satu bangsa Malaysia yang saling hormat-
menghormati dan memahami dalam kalangan rakyatnya yang berbeza latar belakang budaya, bahasa,
agama dan keturunan. Kesemua kumpulan etnik yang sedia ada diberi kebebasan mengamalkan cara
hidup masing-masing termasuk perkara yang berkaitan dengan warisan budaya mereka seperti dalam
aspek makanan. Kepelbagaian makanan yang merupakan warisan pelbagai etnik di Malaysia pada hari
ini sebenarnya telah turut sama menyumbang kepada keunikan masyarakatnya.
Aspek kepelbagaian makanan memberikan ruang kepada pembentukan kesepaduan sosial yang
mencerminkan latar belakang kehidupan masyarakat Malaysia yang bersifat pelbagai. Setiap kumpulan
etnik memiliki warisan jenis makanan yang beraneka warna dan rasa serta memaparkan sejarah
masakan yang menarik untuk diketahui, dipelajari dan seterusnya dimiliki bersama. Keadaan ini telah
menjadikan Malaysia memiliki aset yang amat bernilai dari segi kepelbagaian makanan yang bukan
hanya menyumbang dalam proses mengeratkan ikatan perpaduan tetapi juga sebagai satu daripada
produk yang menarik dalam industri pelancongan di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Dalam sektor pelancongan, promosi Malaysia sebagai destinasi
syurga makanan dengan tema Malaysian Cuisines merupakan salah satu asas kepada penonjolan
pelbagai jenis makanan merentas etnik yang turut membentuk identiti masyarakat Malaysia. Dalam
promosi tersebut nasi lemak sebagai contoh merupakan sajian yang popular di
Malaysia kerana keenakannya dan nasi ini pula mudah disediakan. Nasi lemak yang pada asalnya sebagai
hidangan untuk sarapan pagi dalam kalangan etnik Melayu tetapi kini telah menjadi pilihan semua etnik
di Malaysia. Bertitik tolak daripada menjadi hidangan sarapan pagi, namun kerana penerimaan meluas
dalam kalangan masyarakat setempat dan antarabangsa, kini nasi lemak bukan sahaja untuk hidangan
sarapan pagi tetapi boleh didapati sepanjang masa dan setiap hari.
Nasi lemak yang pada satu ketika dahulu hanya dinikmati di rumah tetapi kini nasi lemak dapat
diperoleh di tempat yang menjadi tumpuan ramai seperti di gerai makanan, restoran malah di tempat
makan yang eksklusif. Dalam konteks kesepaduan sosial sama ada disedari ataupun tidak nasi lemak
berperanan memupuk kekuatan ikatan kesepaduan tersebut. Hal ini berlaku kerana pengalaman
pelbagai etnik yang makan nasi lemak telah mengetepikan stereotaip bahawa nasi lemak adalah milik
etnik Melayu, sebaliknya beranggapan nasi lemak sudah menjadi milik bersama.
Pengalaman harian dalam aspek makanan yang memupuk kesepaduan sosial juga berlaku menerusi
pengambilan jenis makanan popular etnik lain. Makanan daripada pelbagai jenis mi, sup, dim sum dan
kuih pau misalnya, adalah antara makanan kegemaran etnik Cina tetapi makanan tersebut juga digemari
oleh etnik lain di Malaysia. Begitu juga dengan makanan rojak, capati, tose dan pelbagai masakan
berkari yang popular dalam kalangan etnik India dan beberapa jenis makanan daripada kalangan etnik di
Sabah dan Sarawak seperti umai, ambuyat atau linut dan ayam pansuh menjadi kegemaran masyarakat
pelbagai etnik yang secara tidak langsung menyumbang kepada kesepaduan sosial.
Makanan dan ruang Sosial dalam Konteks hubungan etnik
Makanan merupakan aspek penting dalam kehidupan manusia untuk memenuhi keperluan biologi dan
sosiologi. Makanan berperanan menyatupadukan pelbagai etnik dalam sesebuah masyarakat dan
sebaliknya makanan juga dapat membahagikan individu kepada kumpulan sosial tertentu dalam
masyarakat. Penyatupaduan dan pembahagian tersebut bergantung kepada bentuk ruang sosial sesuatu
makanan mengikut fungsinya dalam masyarakat khususnya masyarakat pelbagai etnik.
Cara makan dan jenis makanan yang tidak boleh dimakan oleh individu atau kelompok masyarakat
membentuk ruang sosial makanan kepada dua, iaitu ruang awam dan ruang bukan awam. Pembentukan
kedua-dua ruang tersebut boleh memberi kesan tidak sihat ke atas hubungan antara etnik yang berbeza
latar belakang budaya dan agama. Oleh itu penyesuaian dilakukan supaya membolehkan pelbagai etnik
turut serta menikmati juadah yang disajikan dalam kedua-dua ruang sosial makanan tersebut. Rajah 9.1
menjelaskan fungsi kedua-dua ruang sosial makanan yang boleh dilakukan penyesuaian tanpa
menjejaskan fungsi asal.
RAJAH 9.1: Ruang Sosial Makanan
Model Sosial Makanan Masyarakat Pelbagai Etnik di Malaysia
Ruang Awam
Tidak berkaitan dengan acara keagamaan atau kepercayaaan tetapi ada kalanya boleh berkaitan dengan
acara keraian keagamaan.
Contoh: Perayaan yang boleh dikongsi bersama.
Ruang Bukan Awam
Berkaitan dengan acara keagamaan atau kepercayaan.
Contoh: Makanan larangan berkaitan dengan acara tertentu dalam meraikan keagamaan.
Peranan Makanan dalam Kesepaduan Sosial
Melangkaui makanan yang berhubung kait dengan larangan agama terutama melalui tahap kefahaman
dan hormat antara satu sama lain.
Dalam konteks ruang awam, sebagai contoh majlis perkahwinan etnik Melayu dan jamuan hari raya
turut dihadiri oleh masyarakat pelbagai etnik. Beraneka juadah disediakan supaya ada pilihan kepada
tetamu yang tidak boleh makan juadah yang dilarang mengikut kepercayaan agama mereka. Dalam
majlis berkenaan juadah seperti rendang daging lembu ialah makanan larangan kepada etnik India dan
sebagai pilihan disediakan juadah daripada ayam dan kambing. Begitu juga sebaliknya jika etnik Melayu
yang menjadi tetamu dalam majlis yang diadakan oleh etnik India, sajian ayam ataupun kambing yang
dihidangkan mestilah halal, iaitu yang telah disembelih mengikut cara Islam. Tindakan
kolektif seperti ini menunjukkan tahap kefahaman dan sikap hormat- menghormati terhadap budaya
dan agama etnik yang berbeza dan berlaku secara semula jadi yang seterusnya dapat mengeratkan
ikatan kesepaduan sosial.
Dalam bentuk ruang awam yang lain, makanan terus menjadi simbol persahabatan dan keakraban yang
begitu unik dikongsi bersama oleh pelbagai etnik di Malaysia. Semasa bulan Ramadan contohnya, bazaar
Ramadan dan bufet Ramadan yang ditawarkan di hotel dan di restoran menyajikan makanan yang
pelbagai gabungan antara masakan tradisi Melayu dan makanan antarabangsa. Pilihan sajian ini menarik
minat masyarakat bukan Melayu untuk datang dan membeli makanan yang disediakan.
Bagi rakyat Malaysia yang bukan beragama Islam, suasana berkenaan merupakan peluang untuk mereka
merasai masakan tradisi Melayu yang digemari. Bulan Ramadan juga menyaksikan ramai rakan yang
bukan beragama Islam menghadiri majlis berbuka puasa rakan Islam mereka, dan mereka turut
memberi penghormatan menunggu sehingga waktu berbuka untuk makan bersama. Kesepaduan sosial
yang terjalin, terus dapat dilihat dalam majlis rumah terbuka sempena sambutan hari raya dan perayaan
etnik yang lain. Rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai etnik akan berduyun-duyun datang
menghadiri majlis tersebut sama ada yang dianjurkan oleh rakan atau jiran, jawatankuasa kawasan
tempat tinggal mereka ataupun rumah terbuka yang dianjurkan oleh pemimpin ataupun jamuan rumah
terbuka hari raya yang diadakan pada peringkat kebangsaan. Majlis rumah terbuka yang melibatkan
pelbagai etnik ini sekali gus memberi peluang kepada pengunjung untuk bertegur sapa, beramah mesra,
bertanya khabar dan berkongsi pendapat tentang sesuatu perkara. Suasana ini dapat memupuk sikap
bertoleransi antara satu sama lain kerana dengan mengadakan sesuatu majlis, mereka akan mengajak
jiran dan kenalan tanpa mengira taraf, status atau keturunan masing-masing.
Makanan yang termasuk dalam ruang bukan awam pula ialah makanan yang dikaitkan dengan acara
keagamaan atau kepercayaan. Contohnya, dalam majlis aqiqah bagi orang Islam, daging yang dimasak
bagi majlis tersebut tidak boleh dihidangkan kepada orang bukan Islam. Rakan-rakan dan keluarga yang
bukan Islam tetap boleh hadir dalam majlis tersebut tetapi mereka dihidangkan dengan masakan yang
berbeza dan keadaan ini tidak dianggap sebagai beban kepada tuan rumah.
Kemeriahan majlis yang disambut oleh pelbagai etnik adalah lebih bermakna kerana kesepaduan sosial
dapat dibentuk daripada interaksi sedemikian.
Hidangan pelbagai jenis makanan tradisi mahupun moden yang disajikan dalam majlis atau upacara
tertentu sesuatu etnik yang dihadiri oleh etnik lain di negara ini memberikan impak dalam hubungan
antara mereka. Kesepaduan sosial boleh dilihat dengan jelas semasa rakyat Malaysia meraikan perayaan
seperti Hari Raya, Tahun Baru Cina, Deepavali, Krismas, Hari Kaamatan dan Hari Gawai. Dalam setiap
perayaan tersebut, makanan menyatukan semua melalui hidangan jamuan yang disediakan. Manakala
dalam kehidupan harian kesepaduan sosial menerusi makanan ini dapat disaksikan di tempat-tempat
makan umum seperti di restoran milik etnik Melayu, restoran Mamak yang biasanya beroperasi dua
puluh empat jam, restoran Kopitiam milik etnik Cina atau Melayu, atau di tempat makan yang eksklusif.
Pelbagai etnik bertumpu di tempat berkenaan, menikmati makanan yang juga bersifat pelbagai dan
secara tidak langsung interaksi antara etnik berlaku lalu membentuk kesepaduan sosial yang lestari.
http://notactu553.blogspot.com/2012/11/tajuk-09.html
Sesungguhnya Malaysia merupakan sebuah negara yang kaya dengan keindahan alam semula jadi
ditambah dengan keunikan latar belakang masyarakatnya. Gabungan daripada kedua-dua elemen
tersebut menawarkan kepelbagaian hidangan makanan warisan pelbagai etnik dan berperanan pula
mewujudkan kesepaduan sosial melalui amalan pemakanan harian masyarakat tanpa memikirkan
perbezaan latar belakang budaya antara mereka.
Kesenian Pelbagai etnik dan Kesepaduan Sosial
Keperluan lain dalam kehidupan manusia selain daripada makanan untuk memenuhi tuntutan jasmani
ialah keperluan terhadap tuntutan rohani. Walaupun memenuhi keperluan rohani hanya bersifat relatif
dan tidak bersifat mutlak tetapi keperluan ini tetap merupakan sumber penting kepada manusia untuk
meningkatkan kualiti kehidupan mereka. Keperluan rohani dapat dipenuhi menerusi beberapa sumber
seperti daripada himpunan seni dalam bentuk alunan muzik, nyanyian, tarian, sukan, seni lukis dan
bentuk-bentuk kreativiti lain yang dapat memberikan ketenangan, hiburan dan melegakan tekanan
dalam kehidupan manusia.
Rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai etnik kaya dengan pelbagai corak seni warisan yang
menggambarkan identiti etnik masing- masing. Malah penerimaan, penghormatan dan pengiktirafan
masyarakat kepada kepelbagaian corak seni tersebut menjadi salah satu unsur penting dalam usaha
memupuk kesepaduan sosial. Penerimaan, penghormatan dan pengiktirafan masyarakat terserlah
khususnya terhadap karya seni nukilan karyawan tempatan, di samping dapat membentuk hubungan
sosial dalam proses penghasilan dan penghayatan setiap karya