Guru Inovasi

Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 14

SU 3 : GURU INOVATIF MELONJAKKAN PRESTASI NEGARA oleh SHAHIRA BT RAMLI

1.

1.1

PENGENALAN

Setiap tahun, sambutan hari guru disambut dengan tema tertentu yang
mengandungi makna tersendiri. Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi
Pendidikan Negara telah dipilih sebagai tema Sambutan Hari Guru Peringkat
Kebangsaan ke-41 bagi tahun 2012. Pemilihan tema ini bersesuaian dengan era
kini yang bukan sahaja memerlukan guru berpengetahuan bahkan juga memiliki
ciri kreatif dan inovatif untuk menghasilkan proses pengajaran dan
pembelajaran efektif seterusnya melahirkan produk yang berkualiti.

Transformasi Pendidikan Negara yang berlaku memerlukan perubahan dari aspek


peningkatan profesionalisme guru. Bidang pendidikan mesti melalui
pembaharuan agar bidang ini tidak ketinggalan jauh oleh bidang-bidang lain
seperti bidang ekonomi, reka bentuk, teknologi, kejuruteraan dan lain-lain.
Tambahan pula bidang ini merupakan satu sistem dinamik yang memerlukan
perubahan dari semasa ke semasa bagi memenuhi keperluan dan aspirasi
sesebuah negara.

Kamus Dewan edisi keempat mendefiniskan perkataan inovasi sebagai sesuatu


yang baru diperkenalkan seperti kaedah, sistem, adat dan lain-lain yang baru.
Inovasi juga merupakan perihal (tindakan dan sebagainya) mengadakan,
memulakan dan sebagainya sesuatu yang baru. Istilah yang berkait rapat
dengan inovasi ialah inovatif yang bererti bersifat inovasi. Inovatif
bermaksud suatu tindakan bagi mengada atau memulakan sesuatu yang baru.
(Zainal bin Haji Bujang, 2008)

Perkataan kualiti pula ditakrifkan sebagai darjah kecemerlangan biasanya yang


tinggi dan mutu manakala berkualiti adalah mempunyai kualiti atau bermutu.
Toh, 2005 (dalam Noraini Idris, Shuki Osman, 2009), menyatakan bahawa kualiti
guru merujuk kepada pengethaun, kemahiran dan sikap.

1.2 PERKEMBANGAN HUJAH

Dalam teks ucapan perasmian YB Datuk Seri Mustapha Mohamad, Menteri


Perdagangan Antarabangsa dan Industri bersempena dengan Karnival Sains dan
Inovasi Zon Timur pada 14 April 2012 di Jeli Kelantan, dinyatakan :

Daya kreativiti dan inovasi terletak kepada faktor sumber manusia negara iaitu
rakyat Malaysia. Setiap rakyat Malaysia seharusnya menerima inovasi sebagai
sebahagian daripada cara hidup. Inovasi bukan hak milik para saintis,
penyelidik, teknologis dan akademia semata-mata. Sebaliknya, melibatkan
kelompok masyarakat Malaysia.

Dalam ucapan perasmian tersebut turut dinyatakan bahawa inovasi telah


dijadikan sebagai mauduk utama dalam usaha kerajaan mentransformasikan
negara dari tahap ekonomi sederhana kepada yang berpendapatan tinggi. Yang
Amat Berhormat Perdana Menteri pernah berkata : Menjadikan inovasi supaya
diterima oleh masyarakat dahulu adalah penting sebelum setiap ahli masyarakat
menerimanya sebagai sebahagian daripada kehidupan sehariannya. Menjadikan
inovasi sebagai budaya kita akan membolehkan Malaysia mencapai tahap
transformasi serta pembangunan yang lebih tinggi dan maju di masa hadapan.

Yusniza Mohd Yusof, dalam artikel Tiga Agenda Besar Ubah Cara Masyarakat
Berfikir memberi definisi inovasi sebagai perubahan cara berfikir bagi
mendapatkan hasil atau produktiviti lebih baik dari semasa ke semasa. Ia bukan
hanya berkaitan sains dan teknologi semata-mata. Menurut beliau, inovasi juga
bukan hanya untuk golongan profesional tetapi termasuk masyarakat pelbagai
taraf sosial tidak kira di bandar atau pedalaman. Kesedaran mengenai
kepentingan inovasi perlu ditingkatkan dalam kalangan masyarakat, seiring
kemajuan negara dan perubahan global.

Berdasarkan artikel ini terdapat beberapa ciri guru berinovasi yang dinyatakan
oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Antara
ciri guru berinovasi adalah mempunyai kebolehan untuk melengkapkan murid
dengan kemahiran alaf baru seperti keupayaan berfikir secara bijaksana,
menyelesaikan masalah dan daya kreativiti yang tinggi. Hal ini sejajar dengan
pandangan Noriati A. Rashid dalam Guru dan Cabaran Semasa iaitu guru-guru
perlu memiliki keupayaan dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran
yang mampu melahirkan generasi yang kreatif dan inovatif.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam teks khutbah jumaat 11 Mei
2012, menyatakan bahawa guru Inovatif adalah guru yang mampu membuat
transformasi atau mencipta sesuatu yang baru samada dalam bentuk sumber
atau kaedah yang sesuai dengan perkembangan semasa ke arah penjanaan dan
perkembangan minda yang lebih dinamik.

Di samping itu, guru berinovasi tidak akan terikat dengan sesuatu cara dalam
melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah, sebaliknya
sentiasa berfikir di luar kotak pemikiran biasa untuk mencari kaedah serta
pendekatan baru yang lebih berkesan. Menurut Esah Sulaiman, 2003, guru perlu
cekap mengubahsuai pengajaran, prihatin terhadap keperluan pelajar dan
jangan terlalu terikat dengan sesuatu keadaan atau bahan tertentu.

Noriati A. Rashid, 2009 menyatakan bahawa guru-guru tidak sepatutnya


meneruskan pengajarannya sedangkan ada dalam kalangan muridnya yang
didapati sudah hilang tumpuan. Halizah Hamzah, 2009, pula berpadangan
bahawa guru seharusnya melaksanakan kaedah atau teknik yang baharu, efektif
dan yang dapat merangsang minat murid. Kepelbagaian aktivti bukan sekadar
berupaya menarik minat murid bahkan juga boleh mewujudkan suatu situasi di
mana murid tertunggu-tunggu untuk melihat aktiviti berikutnya.

Sememangnya terdapat pelbagai cara yang boleh diusahakan oleh guru bagi
meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran Antara
kepelbagaian aktiviti yang dicadangkan oleh Noriati A. Rashid dalam Murid dan
Alam Belajar adalah melalui pelbagai bermain sebagai usaha menarik minat
murid menguasai sesuatu pengetahuan tanpa disedari oleh murid bahawa
mereka sedang belajar. Bagi murid-murid yang mempunyai gaya berfikir yang
tinggi, guru boleh menyediakan aktiviti analisis atau penyelesaian masalah
dengan menggunakan borang grafik manakala bagi murid yang kurang berminat
untuk belajar. Guru turut boleh mendorong pembelajaran pembelajaran aktif
dengan menggunakan audio visual yang menarik selain daripada menggunakan
banyak peralatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) atau menggalakkan
murid menghasilkan sendiri bahan pembelajaran mereka.

Satu daripada tanggungjawab guru kepada murid adalah menjadi kreatif dan
inovatif. Syed Ismail bin Syed Mustapa dan Ahmad Subki bin Miskon, 2010,
mengemukakan bahawa :

Guru yang kreatif dan inovatif dapat mencetuskan idea baharu dan dapat
menterjemahkan kehendak dan matlamat kurikulum dengan menggunakan
kaedah, pendekatan dan strategi pengajaran serta pembelajaran yang kreatif
dan inovatif.

Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Malaysia, 1994, memberi takrifan bahawa
inovasi merupakan sesuatu yang baru diperkenalkan atau dimaklumkan (seperti
kaedah, sistem, adat dan lain-lain). Inovasi atau pengenalam idea-idea baru

dalam pelbagai bentuk seperti pengenalan teknologi baru, perubahanperubahan prosedur yang boleh menjimatkan tenaga, masa dan kos, dan
perubahan ini meningkatkan penghasilan kerja.

Menurut INTAN, antara ciri-ciri orang yang mempunyai sifat kreativiti dan inovasi
adalah sentiasa mencari idea dan kaedah baru dalam menyelesaikan masalah.
Orang yang kreatif dan inovatif juga berani untuk untuk mencuba teknik dan
kaedah baru bertujuan memudahkan sesuatu kerja selain suka bermain dengan
idea dan berani mencuba. Sebaliknya, sifat orang yang tidak mempunyai
kreativiti dan inovasi antaranya adalah tidak gemar kepada perubahan dan
pembaharuan. Golongan ini juga tidak berminat untuk mencuba dan takut
kepada kegagalan di samping bersikap mudah putus asa. Ciri negatif lain yang
dimiliki oleh mereka adalah memandang remeh usaha-usaha pembaharuan
orang lain serta berperasaan hasad dan dengki.

Tan Sri Muhyiddin juga menyebutkan bahawa, "Keutamaan guru berinovasi


adalah memastikan murid berupaya menggunakan ilmu yang diajarkan di dalam
bilik darjah bukan semata-mata untuk berjaya dalam peperiksaan malah
membolehkan mereka menyelesaikan masalah yang dihadapi di dunia nyata.
Guru berinovasi mementingkan aplikasi ilmu oleh para murid sebagaimana yang
dikemukakan oleh Haliya Hamzah dan Joy Nesamalar Samuel dalam Pengurusan
Bilik Darjah dan Tingkah Laku bahawa mutu pendidikan dapat dibuktikan melalui
kefahaman murid yang mendalam terhadap topik yang dikaji serta dapat
menggunakan pilihan tersebut dalam situasi-situasi yang memerlukan.
Selain itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mengutarakan bahawa guru berinovasi
antara lainnya mampu menyediakan persekitaran pembelajaran paling kondusif
dan memberi ruang seluas-luasnya kepada murid untuk mengasah
kebijaksanaan berfikir. Penyediaan persekitaran pembelajaran yang positif
sememangnya merupakan suatu aspek yang amat penting. Noraini Idris dan
Shuki Osman, 2009, menyatakan bahawa guru perlu menyediakan suasana dan
persekitaran yang kondusif terhadap pembelajaran semasa mengajar.
Persekitaran pembelajaran dalam konteks pendidikan merujuk kepada iklim dan
budaya bilik darjah secara menyeluruh yang merangkumi beberapa aspek
tertentu iaitu pola komunikasi, reka bentuk, pelan lantai dan susun atur ruang
fizikal, dan kebolehan guru mengurus murid-murid dalam bilik darjah. (Choong
Lean Keow, 2009).

Mook Soon Sang, 2011, pula mengemukakan ciri-ciri iklim bilik darjah yang
kondusif yang merangkumi hubungan yang saling hormat-menghormati di antara
guru dengan pelajar-pelajarnya serta kesukarelaan pelajar-pelajar menerima
aspirasi dan peraturan bilik darjah yang diaturkan. Menurut beliau perasaan

kekitaan antara pelajar-pelajar dengan guru-guru sebagai sebuah keluarga yang


mesra dan kewujudan satu keadaan yang setiap murid melibatkan diri dalam
kegiatan keilmuan dalam setiap kesempatan juga antara ciri bilik darjah yang
baik.

Dari aspek iklim persekolahan yang kondusif, Mook Soon Sang, 2009
menyebutkan iklim persekolahan yang kondusif adalah iklim persekolahan yang
terbuka dan menggalakkan murid bebas berinteraksi antara pelajar dengan
pelajar, pelajar dengan guru, serta bebas melibatkan diri dalam aktiviti sekolah.
Seorang guru yang baik berupaya untuk mengurus bilik darjah dan mengawal
tingkah laku pelajar proses pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan
dengan lancar.

Dalam artikel berkenaan, Timabalan Perdana Menteri juga berpandangan


bahawa guru berinovasi juga termasuklah guru yang berupaya menilai
pencapaian dan potensi murid secara holistik serta sentiasa mengambil langkah
proaktif untuk meningkatkan kecemerlangan murid supaya dapat bersaing di
dunia yang semakin mencabar. Mahmud Khalifah dan Usamah Khutub
mentafsirkan penilaian sebagai proses metodologi yang tersusun rapi untuk
mengumpulkan beberapa keterangan dan mentafsirkan bukti-bukti guna
melahirkan keputusan yang berhubungan dengan para murid atau program
pendidikan. Proses ini juga adalah sandaran informasi yang digunakan pakai
bagi tujuan mengetahui keberhasilan dan kekurangan dalam meraih tujuantujuan umum yang terkandung oleh sistem pendidikan.

Menurut kamus dewan edisi keempat holistik membawa makna bersifat saling
berkait antara satu sama lain sebagai satu sistem bersepadu yang menyeluruh,
bukan sekadar menyentuh aspek-aspek tertentu sahaja. Berikutan
pembaharuan dari segi pentaksiran Azmi Mohamed, berpandangan pelaksanaan
Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) yang bermula bagi murid tahun satu 2011
diyakini dapat melahirkan modal insan yang holistik serta seimbang dari segi
jasmani, emosi, rohani dan intelek seperti yang diaspirasikan dalam Falsafah
Pendidikan Kebangsaan.

Pandangan Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa guru berinovasi ialah guru yang
sentiasa memikirkan apakah cabaran yang bakal dihadapi oleh murid setelah
mereka melangkah keluar dari lingkungan sekolah, dan apakah ilmu yang
dipelajari di sekolah mampu memberi kelebihan kepada mereka untuk bersaing
di dunia nyata, selari dengan tujuan pendidikan seperti yang terdapat dalam
Undang-Undang Malaysia iaitu Pendidikan 1995 iaitu untuk membolehkan
masyarakat Malaysia menguasai ilmu, kemahiran, dan nilai murni yang

diperlukan dalam dunia yang berdaya saning tinggi serta bersifat global, kesan
daripada perkembangan pesat sains, teknologi dan maklumat.

Satu alternatif telah dijalankan menerusi kerjasama antara Kementerian


Pelajaran dan Agensi Inovasi Malaysia bertujuan memupuk kemahiran pemikiran
tinggi dan inovatif di peringkat sekolah rendah dan menengah iaitu program iThink. Ia juga untuk mempertingkatkan dan membudayakan kemahiran berfikir
dalam kalangan murid ke arah menghasilkan murid yang berinovatif. i-Think
adalah pendekatan yang realistik dan praktikal untuk memupuk proses
pemikiran dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran di sekolah di kalangan
guru dan pelajar sama-sama melalui penggunaan peta pemikiran yang
dibangunkan oleh Dr David Hyerle.

1.3 IMPLIKASI HUJAH

Hujah-hujah yang diutarakan menunjukkan guru berinovasi sangat diperlukan


selari dengan kemajuan dan perkembangan semasa. Kriteria guru berinovasi
sebagai satu daripada ciri guru berkualiti berupaya meningkatkan kemahiran
seseorang guru. Hal ini selari dengan pandangan Mok Soon Sang, 2011, yang
menyebut tentang satu daripada peranan guru iaitu sebagai inovator. Menurut
beliau, sebagai inovator guru seharusnya memperkenalkan idea, pendekatan,
strategi, kaedah dan teknik mengajar yang baru daam bilik darjah. Peranan ini
penting bagi guru untuk meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan
pembelajaran.

Inovasi dari aspek pengurusan bilik darjah yang kondusif menurut Noriati A.
Rashid, 2010, membawa kepada perubahan dari aspek pendekatan berpusatkan
murid, kemudahan pengajaran dan pembelajaran dan landskap
maklumat. Perubahan daripada pengajaran tradisional yang lebih berpusatkan
guru perlu diubah agar bersesuaian dengan kehendak semasa. Pengajaran yang
berpusatkan murid merupakan suatu pendekatan terkini yang dapat
menggalakkan murid untuk berfikir pada aras tinggi. Antara kaedah
pembelajaran yang boleh digunakan ialah inkuiri penemuan, pembelajaran
berasaskan projek, pembelajaran berasaskan masalah dan pembelajaran
berasaskan main.

Dari segi pengajaran dan pembelajaran, kemudahan harus dipelbagaikan dan


ditambah bagi memenuhi kepelbagaian bakat dan kecerdasan murid di samping
meningkatkan kebolehan murid untuk merancang, mengenal pasti kekuatan dan
kelemahan diri, mencipta dan berkarya. Kemudahan pengajaran dan
pembelajaran yang menitikberatkan kepelbagaian latar belakang dan
sosiobudaya murid membolehkan pengalaman dan pengetahuan sedia ada
murid dikaitkan dengan pengalaman baharu yang hendak dibina.

Perubahan landskap maklumat sudah tentu mengalami perubahan dengan


perkembangan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (TMK). Hal ini
meliputi kualiti pusat sumber yang menjadi pusat Literasi Maklumat di sekolah.
Guru perlu bertindak untuk memainkan peranan dalam mengurus pusat sumber
dengan sehabis baik bagi membolehkan murid belajar untuk memperoleh
kemahiran mengakses maklumat, membuat penelitian bahan, memahami bahan
serta proses pemilihan dan memproses bahan.

Inovasi guru seterusnya membolehkan penilaian secara holistik dan menyeluruh


ke atas murid. Sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan dan terlalu
mengiktiraf pencapaian akademik menyebabkan penglibatan pelajar kurang
dalam kokurikulum serta memberi tekanan kepada guru, ibu bapa dan pelajar
berkenaan. (Azmi Mohamed, Utusan Malaysia 5/11/2012). Hal ini seterusnya
mendorong kepada pembinaan modal insan yang bukan hanya mementing
aspek intelek atau akademik semata-mata tetapi menyeluruh dalam segenap
aspek.

Glenn (2001) menyatakan bahawa kualiti guru merupakan faktor penting dalam
menentukan kualiti sekolah. Guru yang bersifat inovatif sekali gus dapat
membawa peningkatan kepada kualiti sesebuah sekolah. Dr. Baharom
Mohamad dalam Prosiding Seminar Pembangunan Modal Insan
2009 menyatakan bahawa sistem persekolahan yang sentiasa menghadapi
pelbagai perubahan dan pembaharuan,memerlukan peningkatan inovasi dan
kreativiti dalam sistem persekolahan. Ini kerana ia merupakan institusi yang
berkesan bagi merangsang dan mengembangkan potensi pelajar. Hal ini secara
jelas menunjukkan bahawa guru berinovasi mampu meningkatkan sistem
persekolahan dan kualiti sesebuah sekolah.

Suatu yang tidak dapat dinafikan bahawa kesediaan para guru meningkatkan
sifat inovatif dalam diri berupaya membantu sistem pendidikan negara mencapai
tahap sistem pendidikan bertaraf dunia. Walau bagaimanapun, pelaksanaan
proses integrasi teknologi dan pendidikan dalam kalangan guru bukanlah suatu
perkara yang mudah. Perubahan dalam aplikasi TMK yang meluas untuk
meningkatkan tahap pembelajaran murid merupakan cabaran buat guru kerana

fungsi teknologi hanyalah sebagai alat. (Noraini Idris, 2009). Wujudnya faktorfaktor tertentu yang menjadi halangan kepada pengintegrasian teknologi di
sekolah seperti para guru yang menolak perubahan, masalah kewangan, masa
yang terhad, kekurangan kemahiran serta kekurangan pekakasan dan perisian.

Pembaharuan yang berlaku juga menjadikan peranan guru semakin mencabar.


Guru mesti mempunyai kesedaran tentang keperluan untuk berinteraksi dengan
teknologi terkini supaya dapat membiasakan generasi kini dengan cara hidup
canggih pada abad ke-21. Antara kemahiran yang harus dimiliki oleh guru
adalah dari segi penggunaan multimedia dalam pendidikan dan pemilihan
maklumat mengikut kesesuaian tujuan pengajaran dan pembelajaran.
Penguasaan kemahiran selari dengan perkembangan semasa adalah sesuatu
yang amat penting bagi peningkatan profesionalisme keguruan dan kualiti
keguruan seseorang guru.

Mahmud Khalifah dan Usamah Qhutub dalam Menjadi Guru Yang Dirindu, satu
daripada sebab tekanan jiwa yang berhubungan dengan peribadi guru adalah
hanya menggunakan satu kaedah dalam pengajaran; tidak adanya pembaharuan
mahupun inovasi sehingga menjadikan proses belajar dan mengajar hanya rutin
harian belaka. Hal ini boleh menyebabkan guru berpandangan bahawa proses
pendidikan merupakan
sesuatu yang tidak berkembang, bahkan mati. Pandangan sebegini menjadikan
guru gagal dalam meningkatkan kualiti diri sebagai seorang guru. Tekanan yang
dihadapi secara tidak langsung akan memberi kesan negatif terhadap kepada
murid, sekolah dan masa depan pendidikan.

1.4 CADANGAN DAN RUMUSAN

Berdasarkan pandangan yang diutarakan oleh, saya berpandangan bahawa


seseorang guru berkualiti masa kini mesti mengikuti perubahan yang berlaku
dalam masyarakat dan perkembangan antarabangsa. Maka, guru inovasi masa
kini perlu berkemahiran tinggi dari aspek Teknologi Maklumat dan Komunikasi
(TMK) memandangkan pada abad ini, negara berdepan dengan cabaran
globalisasi, liberalisasi, pengantarabangsaan dan pengembangan TMK.

Bagi melahirkan guru yang berinovasi, perkara paling utama yang mesti
diutamakan adalah latihan kemahiran kepada bakal guru dan para guru dalam

perkhidmatan. Latihan kepada para guru praperkhidmatan bermula daripada


latihan guru sama ada di Institut Pengajian Tinggi (IPTA) atau Institut Pendidikan
Guru (IPG). Pembentukan modal insan guru harus diberi keutamaan bagi untuk
membolehkan pembentukan modal insan yang cemerlang. Bertitik tolak
daripada ini, maka perubahan dalam latihan perguruan yang selari dengan
tuntutan perkembangan semasa merupakan suatu keperluan.

Bagi meningkatkan ilmu pengetahuan pendidikan, Mok Soon Sang, 2011,


mencadangkan agar guru harus sentiasa membaca buku ilmu pendidikan,
mengikuti kursus peningkatan ilmu profesionalisme keguruan serta menghadiri
seminar atau konvensyen pendidikan di dalam atau luar negeri. Guru akan
keluar daripada amalan pengajaran dan pembelajaran yang lapuk hanya apabila
mereka didedahkan dengan pengetahuan dan kemahiran pedagogi
terkini. (Syed Ismail bin Syed Mustapa dan Ahmad Subki bin Miskon, 2012).
Maka dalam hal ini, pelaksanaan program Latihan dalam Perkhidmatan (LDP)
yang dijalankan secara berkesan akan menyumbang ke arah pembentukan guru
yang inovatif seperti yang diharapkan oleh sistem pendidikan kini.

Selaras dengan transformasi pendidikan yang mementingkan TMK, menurut


Zahri Ramlan dalam Pendidik bil. 58, Mac 2009, para guru di Malaysia diberi
pendedahan dengan kepelbagaian kursus pengkayaan dalam kemahiran dan
kompentensi menggunakan peralatan TMK seperti kemahiran perkakasan dan
perisian aplikasi. Kursus-kursus kemahiran TMK yang dilaksanakan dapat
meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah
sekiranya guru yang menerima kursus ini berjaya mengintegrasikan kursus yang
diterima.

Di samping itu, amalan reflektif dan penyelidikan tindakan wajar menjadi amalan
para guru dalam menyuburkan nilai-nilai inovasi dalam profesionalisme
keguruan. Pendekatan guru sebagai penyelidik akan memberi ruang kepada
guru untuk merancang sendiri inovasi seterusnya memerhati dan menilai sendiri
tindakan yang dilaksanakan. (Noraini Idris dan Shuki Osman, 2009). Hal ini akan
lebih mendatangkan keberhasilan terhadap perubahan sebarang bentuk amalan
dalam bilik darjah kerana individu guru sendiri melalui pengalaman dalam
melaksanakan perubahan tertentu.

Galakan daripada pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) kepada para guru
untuk melaksanakan inovasi merupakan sesuatu usaha dan sangat baik dan
wajar diteruskan. KPM telah memperkenalkan Pertandingan Inovasi pada
peringkat bahagian dan institusi bertujuan memupuk dan mencungkil kehebatan
inovasi dalam kalangan warga kementerian. Selain itu, KPM telah menjadikan

elemen kreativiti dan inovasi sebagai satu daripada elemen yang terdapat dalam
Pelan Strategik Interim Kementerian Pelajaran Malaysia 2011-2020.

Perkongsian pintar antara pihak Kementerian Pelajaran Malaysia dengan pihak


swasta yang bermula apabila sistem pendidikan negara terlibat secara langsung
dalam usaha melahirkan dan membekal tenaga manusia yang mempunyai
kemahiran dalam bidang TMK merupakan sesuatu yang sangat bermanfaat
kepada bidang pendidikan. Antara projek perkongsian pintar
termasuklah program i-Think seperti yang telah dinyatakan sebelum
ini, Schoolnet , GSB Technology Learning in School, Program Sekolah Angkat
bersama Samsung Digital Classroom, K-Perak E-Learning Cluster No.1
(KPEC) dan Cyberkids Camp.
Selain itu, budaya kolaborasi dalam pendidikan juga adalah suatu usaha yang
baik dalam mempertingkatkan amalan inovasi dalam kalangan guru. Budaya ini
boleh dijadikan amalan sama ada sesama guru dalam sekolah yang sama atau
dalam program-program tertentu merangkumi peringkat daerah, kebangsaan
bahkan antarabangsa. Penyelidkan tindakan juga boleh dijalankan secara
kolaborasi. Pada era ini, terdapat juga kolaborasi guru dalam bentuk atas talian
melalui pembinaan laman web tertentu seperti laman portal cikguNet dan portal
pendidikan utusan. Hal ini membolehkan para guru dan pelajar berbincang serta
berkongsi ilmu dan kemahiran tanpa sempadan.

Secara keseluruhannya, era globalisasi dunia dan transformasi pendidikan dalam


negara memerlukan para guru sebagai agen penggerak untuk melaksanakan
perubahan dalam kepelbagaian aspek pendidikan. Peranan guru sebagai
inovator penting dalam usaha melahirkan generasi memenuhi ciri-ciri modal
insan holistik iaitu modal insan yang sejajar dengan perkembangan peringkat
global dan memiliki peribadi unggul, menjunjung budaya bangsa dan negara.
Guru perlu sedar bahawa bidang pendidikan akan ketinggalan sekiranya tidak
mengikut perkembangan arus perdana.

REFLEKSI

Sepanjang melalui proses menyelesaikan tugasan EDU 3108, saya telah


memperoleh banyak pengalaman dan mendapat input-input baru berkaitan
pendidikan serta isu keguruan. Tugasan bagi subjek ini bukanlah sesuatu yang
mudah dan agak mencabar buat saya. Tambahan pula ini merupakan
pengalaman pertama saya dalam mengulas artikel dan membina blog
berunsurkan pendidikan secara kolaboratif bersama rakan-rakan lain.

Walaupun menghadapi pelbagai cabaran sepanjang usaha saya menyelesaikan


kerja kursus ini, saya bersyukur kerana dapat menyiapkan kerja kursus ini dalam
tempoh yang ditetapkan. Langkah pertama bagi pelaksanaan tugasan ini adalah
pencaran isu yang bertepatan dengan guru dan keguruan. Saya telah melayari
laman-laman web tertentu, mencari, memahami dan memilih isu yang tertentu.
Seterusnya saya telah berbincang dengan rakan-rakan dan merujuk kepada Puan
Salina binti Mokhtar, pensyarah subjek ini bagi membincangkan kesesuaian isu
yang dipilih dengan kehendak tugasan subjek.

Dari aspek pemerolehan maklumat, saya telah membuat rujukan bahan-bahan


ilmiah seperti buku-buku yang berkaitan dan artikel daripada majalah serta
akhbar atas talian. Di samping itu saya melayari laman-laman web tertentu
berkaitan pendidikan bagi meningkatkan pemahaman saya berkaitan guru
berinovasi dan inovasi pendidikan yang berlaku pada hari ini. Saya turut
membuat pembacaan berkaitan program-program dan pelan-pelan yang
direncanakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).

Melalui kerja kursus ini, saya dapat memperoleh pengalaman dan kemahiran
untuk membaca secara dan berfikir secara kritikal. Aspek ini saya peroleh
melalui proses menganalisis bahan bacaan yakni artikel yang telah saya pilih dan
kemudiaannya mencari bahan rujukan bagi proses mengulas perkara-perkara
tertentu yang terdapat dalam artikel berkenaan. Pembacaan secara kritikal
memerlukan saya memahami konsep, istilah, logik dan sebagainya. Manakala
pemikiran kritis menuntut saya membuat banyak rujukan untuk penjanaan idea.

Bagi pembinaan blog laman ilmu, kerjasama sesama ahli kumpulan merupakan
sesuatu yang sangat penting. Pembinaan blog membolehkan saya da rakanrakan mengaplikasikan kemahiran dari aspek TMK. Selain itu, ianya secara tidak
langsung dapat meningkatkan amalan kolaboratif sesama kami dalam
membangunkan blog laman ilmu bagi memenuhi tugasan bagi subjek ini. Hal ini
menyedarkan saya bahawa perkongsian kemahiran melalui amalan kolaboratif
sememangnya memberi manfaat dan meningkatkan kemahiran guru sekali gus
memberi impak positif kepada profesionalisme keguruan.

Tugasan bagi subjek ini telah membuka hati saya untuk menjadi seorang yang
lebih sensitif tentang profesin yang telah saya pilih iaitu profesin keguruan.
Isu-isu berkaitan pendidikan dan keguruan merupakan antara isu yang kerap
diperkatakan. Dalam hal ini, sebagai seorang bakal guru, saya tidak sepatutnya
mengambil remeh tentang isu-isu ini memandangkan saya sendiri berada dalam
bidang ini.

Pembinaan blog laman ilmu sewajarnya saya teruskan dan pengetahuan


berkaitan kemahiran dalam bidang integrasi maklumat dan komunikasi perlu
saya tingkatkan pada masa hadapan sebagai satu usaha meningkatkan kualiti
diri sebagai seorang guru yang inovatif. Anlisis daripada artikel yang saya pilih
mendorong saya supaya sentiasa melengkapkan diri dengan pengetahuan dari
semasa ke semasa kerana setiap saat dunia ini mengalamai perubahan.

Harapan saya agar segala ilmu dan kemahiran yang saya peroleh sepanjang
proses yang saya lalu bagi menyelesaikan tugasan ini tidak saya persia-siakan.
Ilmu hanya benar-benar bermanfaat sekiranya dijadikan amalan.
BIBLIOGRAFI

BUKU
Ahmad Sarji Abdul Hamid. (1993). Penerapan Nilai dan Budaya Kerja Cemerlang
dalam Pentadbiran Awam Malaysia. Kuala Lumpur : Institut Tadbiran Awam
Negara (INTAN).
Choong Lean Keow. (2009). Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku. Kuala
Lumpur : Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
Haliza Hamzah, Joy Nesamalar Samuel. (2009). Pengurusan Bilik Darjah dan
Tingkah Laku. Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku. Selangor : Oxford
Fajar Sdn. Bhd.
Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN). (1994). Citra Karya Falsafah, Nilai dan
Etika dalam Perkhidmatan Awam. Kuala Lumpur : Institut Tadbiran Awam Negara
(INTAN).
Kamus Dewan. (edisi keempat). (2005). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Mok Soon Sang. (Jun 2009). Pedagogi Untuk Pengajaran & Pembelajaran.
Selangor : Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.
Mok Soon Sang. ( 2011). Pengurusan Bilik Darjah & Tingkah Laku. Selangor :
Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.
Mahmud Khalifah, Usamah Khutub. Menjadi Guru Yang Dirindu. Bagaimana
Menjadi Guru Yang Memikat dan Profesional. Kuala Lumpur : SynergyMedia,
S.A.Majeed & Co. Sdn. Bhd.

Noraini Idris, Shuki Osman. (2009). Pengajaran dan Pembelajaran Teori dan
Praktis. Kuala Lumpur : Mc Graw Hill
Noriati A. Rashid, Boon Pong Ying, Sharifah Fakhriah Syed Ahmad. (2009). Murid
dan Alam Belajar. Selangor : Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Noriati A. Rashid, Boon Pong Ying, Sharifah Fakhriah Syed Ahmad, Zuraidah A.
Rashid. (2010). Guru dan Cabaran Semasa. Selangor : Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Syed Ismail bin Syed Mustapa, Ahmad Subki bin Miskon. (2010). Asas
Kepimpinan & Perkembangan Profesional. Selangor : Penerbitan Multimedia
Sdn. Bhd.
Zainal bin Haji Bujang. (2008). Guru Bestari Pelajar Jauhari. Kuala Lumpur : AlHidayah Publication.

MAJALAH
Zahri Ramlan. (Bil. 58 Mac 2009). Guru Inovatif didik pelajar alaf kini. Pendidik,
muka surat 50-53.

INTERNET
Baharom Mohamad, Mohamad Johdi Salleh. Kepimpinan Pendidikan Dalam
Pembangunan Modal Insan diakses
daripada http://www.ipbl.edu.my/bm/penyelidikan/1998/98_Muhd.pdf pada 27
Ogos 2012.
Berita Harian Online. (16 Mei 2012). Guru berinovasi adalah guru berkualiti:
Muhyiddin diakses
daripada http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Guruberinovasiadalahguru
berkualiti_Muhyiddin/Article pada 13 Ogos 2012.
Azmy Mohamed. (5/12/201). Rasional Pelaksanaan PBS diakses daripada
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?
y=2011&dt=1205&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_01.htm pada
27 Ogos 2012.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. Khutbah Jumaat 19 Jamadilakhir 1433h (11
Mei 2012m) Guru Penjana Inovatif Pendidikan diakses
daripada http://www.jheains.sabah.gov.my/downloads1/Khutbah-Jumaat/Tahun2012/05-Mei/11-Mei-2012.pdf pada 27 Ogos 2012.
Kementerian Pelajaran Malaysia. (2012). Pelan Strategik Interim Kementerian
Pelajaran Malaysia 2011-2012. http://www.moe.gov.my/userfiles/file/Pelan
%20Strategik%20Interim%20KPM%202011-2020.pdf diakses pada 28 Ogos
2012.

Laman Web Rasmi Kementerian Pelajaran Malaysia diakses


daripada http://www.moe.gov.my/ pada 27 Ogos 2012.
Modul i-Think diakses
daripada http://www.ipkent.edu.my/ipkent/images/ithink/ithink.pdf pada 26 Ogos
2012.
Ucapan perasmian YB Datuk Seri Mustapha Mohamad, Menteri Perdagangan
Antarabangsa dan Industri bersempena dengan Karnival Sains dan Inovasi Zon
Timur pada 14 April 2012 di Jeli Kelantan diakses daripada
http://sgi2012.mosti.gov.my/sgi/index.php?r=site/getSpeech&id=7 pada 27 Ogos
2012.
Yusliza Mohd Yusoff. Tiga Agenda Besar Ubah Cara Masyarakat Berfikir diakses
daripada
http://www.bharian.com.my/articles/Tigaagendabesarubahcaramasyarakatberfiki
r/Article/ pada 26 Ogos 2012

You might also like