Dasar Pendidikan Dan Pembinaan Negara Bangsa
Dasar Pendidikan Dan Pembinaan Negara Bangsa
Dasar Pendidikan Dan Pembinaan Negara Bangsa
Secara umumnya, dasar pendidikan di Malaysia dalam konteks pembinaan negara bangsa,
telah melalui beberapa tahap dalam perkembangannya. Pembentukan kabinet Persekutuan
Tanah Melayu yang pertama merupakan tahap awal kepada terbentuknya dasar pendidikan di
negara ini. Kerajaan yang dibentuk selepas pilihanraya 1955 mula menjadikan pendidikan
sebagai saluran penting untuk membina semangat kewarganegaraan dan perpaduan akibat
kepelbagaian kaum di Tanah Melayu. Selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31
Ogos 1957, wujud ketidakstabilan dalam negeri seperti ancaman keselamatan dan masalah
perkauman akibat pertembungan ras dan budaya antara penduduknya. Kerapuhan dalam
integriti politik ketika itu turut dikaitkan dengan kelemahan sistem pendidikan sebagai alat
membentuk semangat kewarganegaraan.
Pada tahun 1960, satu Jawatankuasa Penyemak Pendidikan ditubuhkan bagi menilai
kelemahan-kelemahan tersebut. Hasilnya satu laporan dikeluarkan yang dikenali sebagai
Laporan Rahman Talib. Umumnya, laporan ini bersetuju dan menyokong hampir semua dasar
yang dicadangkan oleh Laporan Razak sebelum ini disamping terdapat beberapa usul dasar
tambahan. Dasar-dasar yang terkandung dalam kedua-dua laporan itu dikuatkuasakan melalui
Akta Pendidikan 1961 sekaligus menjadikannya sebagai dasar perundangan yang mesti
dilaksanakan di sekolah-sekolah. Dari sudut proses pembinaan negara bangsa, Dasar
Pendidikan Kebangsaan 1961 yang berasaskan Laporan Razak dan Laporan Rahman Talib
mempunyai fungsinya yang penting. Kedua-dua dokumen ini sememangnya mempunyai
unsur perpaduan negara dan penghasilan tenaga rakyat yang menjadi asas pembinaan negara
bangsa khususnya dari aspek perpaduan. Laporan Razak turut mencadangkan penyatuan
kaum dilaksanakan melalui satu sistem pendidikan yang sama dengan semua sekolah-sekolah
rendah dan menengah haruslah bercorak Tanah Melayu dengan menyamakan sukatan
pelajaran. Laporan Razak ini dengan jelas mengutamakan perpaduan rakyat yang menjadi
asas pembentukan negara bangsa.
Pada tahun September 1974, kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Kabinet untuk menyemak
kembali dasar pendidikan kebangsaan dan bagi meningkatkan kualiti pendidikan yang
dipengerusikan oleh Dato Seri Dr. Mahathir bin Mohamad. Laporan jawatankuasa ini hanya
dibentangkan pada tahun 1979. Antara lain, laporan ini menyatakan tentang tujuan
jawatankuasa ini;
Mengkaji semula matlamat dan kesannya sistem pendidkan termasuk kurikulumnya,
dalam rangka dasar pendidikan kebangsaan yang wujud, dengan tujuan untuk
memastikan bahawa keperluan tenaga rakkyat negara dapat dipenuhi sama ada dari
segi jangka pendek mahupun jangka panjang, dan lebih-lebih lagi untuk memastikan
bahawa sistem pelajaran itu dapat memenuhi matlamat negara ke arah melahirkan
masyarakat yang bersatu padu, berdisiplin dan terlatih.
Aspek perpaduan terus diberi penekanan dalam laporan Jawatankuasa Kabinet tersebut di
samping dasar pendidikan untuk melahirkan tenaga kerja mahir yang diperlukan oleh negara.
Bagi melahirkan bangsa Malaysia yang bersatu padu, bidang pendidikan akan berfungsi
untuk membimbing dan mendidik murid-murid di sekolah ke arah perpaduan.
Sehubungan itu, Laporan Jawatankuasa Kabinet mencadangkan semua murid hingga
ke Tingkatan 5 di sekolah-sekolah termasuk sekolah-sekolah swasta, menggunakan sukatan
pelajaran yang sama serta mengambil peperiksaan awam yang sama. Murid-murid
dikehendaki mengikuti mata pelajaran yang sememangnya menganjurkan ke arah perpaduan
seperti Pendidikan Agama Islam atau Pendidikan Moral, Sivik dan ilmu pendidikan sosial
yang lain. Mata pelajaran Bahasa Malaysia diutamakan memandangkan fungsinya sebagai
bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan. Di samping menitikberatkan bidang kurikulum,
laporan Jawatankuasa tersebut juga telah menekankan kepentingan bidang ko-kurikulum
sebagai asas perpaduan.
Hasil daripada saranan laporan berkenaan, perubahan besar dilakukan ke atas kurikulum
pendidikan yang menyebabkan terlaksanannya Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) di
semua sekolah rendah pada tahun 1983 dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah
(KBSM) di sekolah menengah pada tahun 1989. Kedua-dua kurikulum ini dihasilkan oleh
Pusat Perkembangan Kurikulum. Kementerian Pendidikan juga mengemukakan Falsafah
Pendidikan Kebangsaan pada tahun 1988. Kurikulum KBSR dan KBSM dihasilkan bagi
tujuan untuk membentuk individu murid yang menyeluruh dan seimbang dari segi intelek,
rohani, emosi dan jasmani. Keseimbangan ini mampu menjadi murid-murid sebagai individu
yang berguna kepada matlamat pengisian negara bangsa. Falsafah pendidikan negara pula
diperkenalkan sebagai kerangka kerja pendidikan ke arah penghasilan individu seimbang
tersebut.
Menjelang tahun 1990, inovasi dan pembangunan sistem pendidikan semakin mantap
dan menuruti dasar-dasar yang dicadangkan oleh laporan-laporan jawatankuasa yang
ditubuhkan oleh kerajaan. Sistem pendidikan juga secara umumnya berjaya mendokong
hasrat intergrasi nasional untuk membentuk negara bangsa yang bersatu padu. Langkah ini
turut dibantu melalui penghayatan Rukun Negara oleh generasi muda yang menyumbang
kepada proses pembinaan negara bangsa. Tamatnya pelaksanaan DEB pada 1990
menimbulkan keresahan khususnya di kalangan orang Melayu. Dr Mahathir Mohamad
bagaimanapun menyeru mereka supaya mengorak langkah ke hadapan untuk bersaing dengan
kaum yang lain. Melalui Wawasan 2020, elemen-elemen perpaduan rakyat diserapkan dalam
sembilan aspek yang digariskan oleh beliau untuk mencapai status negara maju termasuk
konsep negara bangsa digariskan dengan lebih jelas berbanding sebelumnya.
Kerajaan kemudiannya meluluskan pula Akta Pendidikan 1995. Akta ini berfokuskan
kepada kesinambungan dasar-dasar sedia ada dan kepada pembangunan pentadbiran
pendidikan dan pembangunan beberapa jenis pendidikan, khususnya pendidikan pra-sekolah,
pendidikan khas, pendidikan tinggi, dan pendidikan swasta. Melalui Akta Pendidikan 1995,
terdapat tujuh perakuan utama yang digariskan oleh kerajaan khususnya menjadikan ilmu
sebagai penentu utama arah tujuan negara dan penyelamat bangsa. Perakuan-perakuan ini
dipenuhi dengan semangat globalisasi, Wawasan 2020, Rukun Negara, nasionalisme,
integrasi nasional, dan demokrasi. Daripada perakuan-perakuan inilah, dapat dilihat tentang
kepentingan saluran pendidikan kepada kerajaan dalam usaha membentuk negara bangsa di
Malaysia.
Antara langkah kerajaan ialah memperkenalkan sekolah bestari (smart schools) dan
diikuti dengan konsep sekolah wawasan. Konsep sekolah ini bertujuan menggabungkan
beberapa sekolah yang terdiri daripada sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan
dalam satu tempat (sekolah). Ia bertujuan melahirkan generasi yang boleh berinteraksi dan
bekerjasama tanpa mengira kaum. Perancangan ini menimbulkan kontroversi apabila terdapat
sekolah-sekolah jenis kebangsaan terutamanya dari sekolah Cina yang menampilkan reaksi