Novel Mencari Azizah
Novel Mencari Azizah
Novel Mencari Azizah
Kritikan sastera merupakan usaha mempertimbangkan dan menilai sesebuah karya sastera secara jujur dan sistematik. Kritikan sastera juga merupakan cabang ilmu yang mempunyai fungsi-fungsinya yang tersendiri dan matlamat untuk memperkayakan lagi hasil sesebuah karya. Pertimbangan dan penilaian terhadap karya-karya sastera akan diperkuatkan dengan alasan-alasan yang munasabah. Takrif atau definisi kritikan sastera yang dipegang oleh setiap pengkritik sastera adalah berbeza-beza. Umpamanya, Hashim Awang dalam bukunya Kritikan Kesusasteraan: Teori dan Penulisan (1997) mentakrifkan kritikan kesusasteraan itu merupakan suatu usaha untuk menilai hasil-hasil ciptaan seseorang sasterawan atau penulis sastera dengan cara yang beralasan serta bersistem dan bertujuan untuk mengembangkan sesuatu yang difikirkan baik lagi indah. Beliau juga mengatakan bahawa takrif bagi kritikan sastera itu ialah suatu kegiatan untuk membuat penilaian, pertimbangan dan penganalisisan terhadap sesebuah karya sastera. Kritikan sastera dapat menyumbangkan pengetahuan dan seterusnya mengembangkan pengetahuan tersebut. Selain itu, pembaca juga dapat menikmati karya sastera dengan jelas sekiranya terdapat penerangan tentang karya dan pengarangnya melalui kritikan sastera. Pengkritik dan pembaca dapat membuat perbezaan antara karya sastera yang baik dengan karya sastera yang tidak baik. Kritikan sastera turut memberikan penerangan kepada pengarang cara-cara hendak menyesuaikan karya sasteranya dengan pembaca. Melalui bidang kritikan sastera, usaha untuk menghapuskan prasangka buruk terhadap karya sastera dan juga kesusasteraan dapat dilaksanakan di samping memperkenalkan karya sastera yang baru kepada mereka yang tidak sempat membaca. Kritikan sastera terhasil oleh kekritisan rasa dan fikiran tentang sesuatu karya atau judul sastera. Untuk mengkritik sesebuah karya, para pengkritik memerlukan pengetahuan yang mantap dari aspek teori, strategi, pendekatan,
kaedah dan teknik. Pengajaran dan pembelajaran Kesusasteraan Melayu dapat menyediakan guru pelatih ke arah bidang sastera terutama dalam bidang kritikan karya. Pelbagai teori yang sesuai perlu digunakan untuk mengkritik sesebuah karya untuk dipaparkan dan menjadi bacaan khalayak. Hasil daripada kritikan sastera oleh tokoh-tokoh sastera secara tidak langsung telah menyedarkan rakyat terhadap kepentingan individu dalam pembangunan masyarakat dan negara. Dalam ilmu kritikan sastera, terdapat jenis-jenis kritikan. Ilmu kritikan dapat dilihat dari dua penggolongan dasar iaitu Kritikan Teori dan Kritikan Amali. Kritikan Teori ialah kritikan yang memperkatakan tentang istilah, konsep dan pelbagai masalah yang berkaitan dengan soal-soal menilai, menimbang, menafsir dan menganalisis. Manakala Kritikan Amali itu ialah kritikan yang menggunakan atau menerapkan secara langsung prinsip-prinsip teori yang diambil dari Kritikan Teori yang berkenaan dan diaplikasikan kepada karya atau pengarang sastera. Kritikan teori telah diaplikasikan semasa membuat kajian dan kritikan terhadap sebuah novel Melayu yang bertajuk Mencari Azizah karya Khadijah Hashim. Satu teori sastera telah dikenalpasti sesuai untuk membuat kritikan terhadap novel ini iaitu Teori Feminisme yang dipelopori oleh Elaine Showalter. Teori feminisme ini adalah teori yang memperjuangkan wanita untuk
mendapatkan tempat yang sedarjat dengan lelaki dan untuk memperkasakan kuasa feminis. Ulasan yang dapat dibuat berdasarkan novel yang dikaji ialah watak utama novel Mencari Azizah iaitu Azizah seorang wanita yang mengahapi kesukaran hidup dan konflik bangkit untuk mempertahankan maruah dan kedudukannya supaya dipandang mulia oleh masyarakat dalam novel tersebut.
TEORI FEMINISME
Teori feminisme merupakan salah satu teori yang amat penting dan sangat kuat pengaruhnya di seluruh dunia. Teori feminisme berpunca daripada perjuangan wanita untuk mendapat tempat yang sedarjat dengan lelaki yang berdasarkan pengalaman wanita. Mereka menganggap selama ini mereka telah ditindas, dianiaya dan dipinggir oleh kaum lelaki. Untuk menghayati sepenuhnya teori ini dan memanfaatkannya, konsep-konsep utama dan perbezaan antara konsepkonsep ini perlu diketahui dan difahami lebih dahulu. Konsep dasar teori ini ialah feminis, female dan feminin. Bagi memudahkan pemahaman, Toril Moi (1985) mencadangkan supaya konsep feminism diertikan sebagai merujuk kepada isu dan kedudukan politik, femaleness (wanita) diertikan sebagai merujuk kepada aspek fizikal atau biologi dan feminity (kewanitaan) diertikan sebagai tingkah laku yang diingini oleh kebudayaan. Tokoh-tokoh falsafah era Yunani menganggap kedudukan wanita adalah rendah berbanding kaum lelaki. Malah, Thomas Aquinas, seorang ahli falsafah yang kuat pegangan agama pernah menyatakan, bahawa wanita sebenar tidak lengkap tanpa lelaki. Dalam tradisi masyarakat bangsa Arab sebelum Islam. Kaum wanita juga dianggap sebagai tidak penting dan dipandang rendah oleh masyarakat, malah bayi perempuan yang baharu lahir akan ditanam hidup-hidup kerana dianggap membawa `sial` kepada keluarga. Sekian lama, kaum lelaki telah menjadi `kuasa` penentu dalam semua urusan kehidupan, termasuk dalam hal ehwal yang berkait dengan wanita. Di semenanjung Arab, Islam diturunkan untuk membebaskan wanita daripada perspektif songsang masyarakat dengan meletakkannya sama taraf dengan kaum lelaki di sisi Allah. Di Barat, pandangan dan tanggapan klasik yang mengakar sekian lama dalam pemikiran masyarakat, akhirnya goyah pada penghujung tahun 1700-an, apabila kedengaran suara yang meragukan pandangan kuno terhadap kaum wanita. Mary Wollstnecraft, seorang pengarang A Vindication of the Light of Women (1792) merupakan tokoh wanita terawal yang menyuarakan pandangan bahawa, kaum wanita mesti bangun dan tidak hanya bergantung kepada kaum lelaki sahaja. Wollstcraft mendapat ilham
berkenaan persamaan hak bersuara lelaki dan wanita dalam kerajaan menerusi tulisan Thomas Paine (1791-1792) dalam bukunya yang berjudul The Right of Man. Walau bagaimanapun, pandangan Mary Wollstnecraft tidak merubah keadaan. Selepas Mary Wollstnecraft muncul pula Margaret Fuller (1845-1969) dengan bukunya Women in the 19th dan John Stuart Mill dengan karyanya The Subjection of Women. Karya-karya ini membincangkan dominasi lelaki, ideologi yang bersifat phallosentrik dan konsep patriarki yang mula mencabar tradisi dan tanggapan lelaki terhadap biologi wanita (Siti Hajar Che Man,2000:4). Memasuki abad ke-20, munculnya Jane Tompkins yang bangkit memperjuangkan keterampilan wanita. Meskipun tidak ada suatu tulisan yang boleh menjelaskan tentang teori ini secara terperinci, dan lagi tidak ramai kaum wanita yang terlibat dalam teori Feminisme ini, namun begitu, penglibatan dan kelompok kaum wanita yang dalam teori ini boleh dirujuk kepada tiga negara iaitu Amerika Syarikat, Britain dan Perancis. Teori Feminisme Amerika lebih memberi perhatian kepada aspek tekstual, manakala teori Feminisme Britain pula cenderung kepada pengaruh Marxisme dengan fokus kepada penindasan terhadap kaum wanita. Teori Feminisme Perancis mementingkan aspek dalam jiwa wanita atau lebih cenderung kepada psikoanalisis. Meskipun berbeza dari segi pandangan dan metodologi, namun ketiga-tiga kumpulan feminsme ini sama dalam usaha mereka mendokong aspirasi wanita, memperjuangkan hak dan menyelamatkan wanita dari persepsi yang buruk dan dipinggirkan. Kelompok pendokong teori ini juga dapat dibahagikan kepada dua era atau dua gelombang. Kelompok pertama ialah kelompok gelombang pertama (first wave) dan kelompok kedua ialah kelompok gelombang baharu (new wave/second wave). Gelombang Pertama bermula dari tahun 1890 hingga tahun 1920. Kelompok pendokong Feminisme dalam gelombang pertama lebih menumpukan kepada aspek-aspek persamaan hak. Gelombang ini dikatakan telah mencipta satu bentuk indentiti wanita di mana mereka telah mendapat hak yang sah di samping menikmati kebebasan yang diingini (Siti Hajar Che
Man,2000:4). Kelompok dalam gelombang kedua lebih radikal dengan menuntut kepentingan wanita secara menyeluruh. Gelombang ini juga dikenali dengan Feminisme Gender. Feminisme Perancis cenderung kepada pengaruh teori Psikoanalisis. Ini bermakna, mereka memberi penekanan kepada aspek-aspek kejiwaan wanita. Meskipun pada dasarnya, Feminisme mengkritik pandangan Frued terutama yang berkait dengan seksimenya (Raman Selden,1989:137). Walau
bagaimanapun, Feminisme Perancis tidak cenderung kepada idea Sigmund Frued, sebaliknya lebih kepada idea Jaque Lacan dan Derrida. Di negara kita, perkembangan teori ini boleh dikatakan terkini dalam sejarah perkembangan pendekatan kritikan sastera. Sebagai sebuah teori yang baru dan mengandungi konsep feminis, teori ini sering dipandang serong dan disalah-ertikan. Kita sering mendengar suara-suara tentang wanita yang mahu memperjuang dan mempertahankan hak serta kedudukan wanita. Ramai penulis yang memperjuangkan hak wanita ini telah menulis karya mengenai perjuangan wanita dan penindasan yang dialami. Oleh itu, gambaran cerita yang ditulis ada persamaan feminis tentang wanita hilang hak bersuara dan mengalami penderitaan.
Ciri-Ciri dan Kriteria Kritikan Kritikan feminis dicirikan oleh aktiviti politik dalam menentang patriaki dan seksisme. Namun demikian, bukan semua wanita menggunakan dan memegang kepada pendekatan ini. Maksudnya bukan semua karya yang ditulis oleh wanita dan ditujukan kepada wanita bersikap feminis. Selain itu, kriteria kritikan
feminisme menolak peniruan pola pemikiran lelaki. Hal ini menunjukkan bahawa cara penulisan dan olahan penulis wanita dan lelaki adalah berbeza berdasarkan pengalaman dan pengetahuan. Di samping itu, ciri-ciri kesamaan sosial, politik dan ekonomi antara kedua-dua jantina disertakan untuk meningkatkan taraf sosial wanita. Perbezaan jantina harus tidak merupakan factor penentu yang membentuk identiti sosial
atau-hak-hak sosiopolitik dan ekonomi seseorang. Karya yang dicipta haruslah membuktikan bahawa wanita tidak selemah yang dianggap oleh golongan lelaki. Prinsip Kritikan Teori kritikan feminisme menggunakan istilah koda/kod atau disebut aspek dalam analisis-analisisnya. Koda merupakan konsep tentang sesuatu yang telah dipersetujui akan keciriannya. Koda ini bersedia untuk ditokok-tambah dan ditukar ganti mengikut kesesuaian tempat, zaman dan keperluan.
Biologi
Sosial
Kod
Psikologi
Pengalaman
perbezaan biologi dan hubungannya dengan penulisan tentang watak wanita. Ini bermaksud, apabila membincangkan mengenai biologi, jangan hanya tertumpu kepada tubuh wanita tetapi perlu berfikir lebih jauh daripada itu. Contohnya fungsi biologi wanita itu sendiri, tugas wanita sebagai ibu, isteri dan kakak. Pengkritik feminis yang menulis dalam perspektif biologi menekankan,
pentingnya tubuh badan mereka sebagai sumber inspirasi dalam tulisan mereka.
Terdapat perbezaan pandangan penulis lelaki dan wanita dalam perspektif biologi. Penulis lelaki lebih tertumpu pada kecantikan tubuh badan wanita dan kelembutannya manakala penulis wanita lebih kepada tanggungjawab dan membela nasib wanita. 2. Pengalaman Mempunyai kaitan yang erat dengan aspek biologi. Maksudnya, perkembangan tubuh badan wanita yang merupakan satu pengalaman sejak meraka dilahirkan sehingga mereka tua. Contohnya, pengalaman melahirkan anak. Pengalaman yang dialami kaum wanita amat berbeza dengan kaum lelaki. Bagi golongan feminis radikal, aspek pengalaman ini perlu dihuraikan dengan sejelas-jelasnya. Penjelasan ini diperlukan untuk membetulkan fakta sebenar yang digambarkan oleh penulis lelaki. 3. Psikologi Pengetahuan ilmu psikologi penting kerana menjadi alat dan dasar kajian untuk menghayati watak-watak dalam genre sastera. Wilbur Scott (1962) menyatakan bahawa disiplin psikologi dapat diaplikasikan dalam karya sastera bagi menerangkan aksi atau reaksi seseorang watak yang sukar diramal. Golongan feminis menitikberatkan psikologi dalam karya melalui psikologi watakwatak dalam sesuatu karya. Antaranya, pemikiran watak, imaginasi, keinginan watak, cita rasa, tekanan perasaannya, jiwa dan segala sesuatu yang lahir dari hati dan kata-kata watak. 4. Sosial Terdapat perbezaan antara sosial kaum lelaki dengan sosial kaum wanita apabila dicerminkan dalam karya. Antara aspek sosial wanita yang dikenalpasti boleh digarap dalam karya ialah : i. ii. iii. proses sosialisasi (soal didikan, pendidikan, pekerjaan dan pergaulan) tugas sosial (anak gadis, dara, ibu, isteri, nenek) kelas sosial wanita (kelas bawahan, menengah dan atasan)
SINOPSIS NOVEL
Berdasarkan novel Mencari Azizah, pengarangnya iaitu Khadijah Hashim mengajak para pembaca mendalami dan menjiwai watak seorang wanita yang tabah dalam mencari identiti dan kekuatan diri. Novel ini sarat dengan nilai-nilai kasih sayang, kekeluargaan, ketuhanan dan nilai persahabatan yang ditulis dalam gaya bahasa yang menarik dan indah untuk dihayati oleh pembaca. Pada permulaaan cerita, watak Azizah dihurai dengan cukup menarik dan penuh dengan konflik. Kisah yang bermula di lapangan terbangyang dalam perjalanan menuju ke Iowa, Chicago, Azizah membiarkan dirinya terbuai dan hanyut dalam dilema antara mencari kekuatan dan identiti diri serta perasaan berbelah bagi meninggalkan anak-anak demi mencapai impiannya
menggenggam segulung ijazah sarjana (MA). Watak Azizah memang menarik sebagai seorang wanita Pan-Asian yang amat manis dari segi luaran mahupun dalaman. Namun begitu, Azizah tidaklah sebahagia yang digambarkan. Kehidupan rumahtangganya apabila beliau mendapat tahu suaminya telah berkahwin lain tanpa pengetahuannya. Di perantauan, Azizah belajar untuk membina semula keyakinan diri di samping mencari kekuatan diri yang telah lama hilang. Azizah juga berusaha mencari bapanya yang tidak pernah ditemui sepanjang usianya 35 tahun. Di kemuncak cerita, usaha yang ditunjangi dengan keberanian dan pertolongan rakan-rakannya untuk mencari ayah membuahkan hasil. Jejak kasih itu telah merubah keseluruhan hidup Azizah. Dirinya yang dulu dipandang rendah oleh bekas suami dan ibu mertuanya, kini menjadi pujaan dan harapan mereka untuk menyelamatkan perniagaan dan maruah sebagai keluarga bangsawan. Novel ini diakhiri dengan cukup dramatik setelah Azizah berjaya mengembalikan semula harga diri dan kekuatan dirinya. Ayah yang tidak pernah ditemui sejak dalam kandungan kini telah bersua muka, bekas suami dan ibu mertua yang dulu meminggirkannya kini telah menjilat kembali ludah mereka dan
seorang teman yang disangka ikhlas dalam membantu rupanya mempunyai maksud dan tujuan yang tersirat.
Watak utama dalam novel yang dikaji adalah seorang wanita yang bernama Azizah. Pengaplikasian teori feminisme amat sesuai terhadap watak utama novel ini kerana novel ini banyak menceritakan kisah kehidupan seorang wanita yang penuh cabaran dan dugaan untuk mencapai tahap yang setaraf dengan watakwatak lain dalam novel. Teori feminisme yang dikaji dalam novel ini adalah melalui beberapa prinsip kritikan teori feminisme seperti prinsip biologi, prinsip sosial, prinsip psikologi dan prinsip pengalaman.
KRITIKAN BIOLOGI Menurut Elaine Showalter, pengkritik-pengkritik feminis seharusnya berfikir mengenai perbezaan biologi dan hubungannya dengan penulisan watak wanita. Hal ini bermaksud apabila membincangkan mengenai biologi, penulis dan pengkritik tidak hanya perlu menumpukan kepada tubuh wanita tetapi perlu lebih jauh daripada itu. Contohnya fungsi biologi wanita itu sendiri, tugas wanita sebagai ibu, isteri, kakak dan lain-lain. Dalam novel Mencari Azizah ini, watak Azizah digambarkan sebagai seorang wanita Pan-Asian yang jelita. Memiliki sepasang mata yang bulat bersinar, berbulu mata lentik, berkulit halus putih melepak, berhidung mancung dan berdahi jendul. Azizah ibarat sekuntum mawar merah yang menjadi rebutan jejaka di kampus sewaktu bergelar mahasiswi. Azizah juga merupakan wanita kacukan hasil perkahwinan ibunya seorang gadis kampung dan ayahnya seorang Pegawai Penyelidik Hutan dari Amerika yang meminati keunikan alam semulajadi di hutan negara.
Selain itu, dalam prinsip biologi juga pengarang menekankan aspek-aspek pembangunan wanita dalam memperjuangkan nasib dan mencari kekuatan diri setelah menghadapi hidup yang sukar. Contoh petikan berikut memperjelaskan penerangan ini : Azizah kini adalah Azizah baru masih bernyawa, belum patah hati, belum hilang semangat. Aku mahu hidup seribu tahun lagi! Akan kubuktikan pada dunia bahawa terdirinya Azizah di sini bukan lari daripada kenyataan hidup. Berdirinya aku di bumi Iowa bukan kerana merajuk diceraikan Zamri. Semangatku segagah pohon maple itu, tegak berani menghadapi pertukaran cuaca empat musim. (Mencari Azizah; hal. 65) Berdasarkan contoh petikan, pengarang telah menggarapkan ciri-ciri kebangkitan dalam watak Azizah. Azizah berjaya bangkit daripada kegagalannya di alam rumah tangga. Dengan satu semangat baru, Azizah cuba keluar dari kepompong seorang wanita yang pasrah menerima apa saja. Walaupun telah biasa hidup dalam kemewahan dan kesenangan, Azizah berjaya berdikari dan sanggup menerima cabaran baru di tempat orang. Azizah mendapat suntikan semangat yang baru untuk mencari kekautan diri walaupun terpaksa merantau ke tempat yang jauh.
KRITIKAN SOSIAL Terdapat perbezaan antara kehidupan sosial kaum lelaki dengan kaum wanita apabila dicerminkan dalam sesebuah karya. Antara aspek sosila wanita yang selalu digarapkan dalam karya ialah seperti soal pendidikan, pekerjaan, pergaulan, tugas sosial dan kelas sosial wanita tersebut sama ada kelas bawahan, kelas sederhana dan kelas atasan. Mengikut kepada novel Mencari Azizah ini, watak Azizah merupakan seorang yang mempunyai kelas sosial yang rendah dan sering dihina oleh masyarakat kelas sosial atasan. Azizah juga sering menerima kutukan dan cercaan orang kerana memiliki wajah mat saleh terutama daripada ibu mertuanya sendiri. Situasi ini dapat digambarkan melalui petikan di bawah:
Itulah tuah celaka berwajah pan-asian. Kerana hidung yang cantik berbentuk itulah menjadi keraguan kepada keluarga Zamri. Ibu mertua bergelar datin itu masih tertanya-tanya siapa sebenar bapa Azizah meskipun telah diterangkan bahawa ayahnya seorang lelaki Amerika yang telah memeluk Islam. (Mencari Azizah; hal. 11)
Azizah juga turut dipinggirkan oleh ibu mertua. Ia dapat dilihat dalam situasi seperti di bawah: Perbincangan ibu mertua dengan anak-anaknya usah disampuk sebab itu adalah urusan keluarga. Dia cuma ditugaskan untuk menghidangkan kopi. Dia seolah-olah bukan sebahagian daripada ahli keluarga itu. (Mencari Azizah; hal. 151) Dalam rumahtangganya, Azizah sering merasakan dirinya hanyalah sebagai hiasan. Tidak ada hak untuk bersuara dan memberikan pandangan. Pernah sesekali mencuba, namun Azizah serik dengan teguran ibu mentua yang lebih merupakan ingatan dan amaran. Kalau ada idea bernas pun cuma disimpan dalam kepala. Azizah hanya berlagak pasif semata-mata menjaga ego suami dan ibu mentua. Azizah juga tidak faham kenapa Zamri bekas pemimpin pelajar sewaktu di universiti yang terbuka menerima pendapat orang lain tetapi bersikap kuku besi terhadap isteri. Kuasa veto digunakan sehabis-habisnya. Untuk tidak menimbulkan kekecohan dalam keluarga, Azizah hanya mengambil sikap berdiam diri. Menurut teori keperluan manusia Maslow (1962), manusia perlu melalui beberapa peringkat iaitu peringkat kesempurnaan diri, kesempurnaan
keselamatan, kesempurnaan sosial, keperluan harga diri dan kesempurnaan kendiri. Keperluan-keperluan inilah yang gagal dipenuhi ketika Azizah hidup bersama-sama Zamri. Keadaan ini jelas seperti dalam petikan di bawah : Zamri yang besar panjang ini pun masih takut dengan ibunya, masih tidak dapat berfikiran rasional. Apa gunanya mendukung biawak hidup? Demi
maruah! Maruah apa kalau semuanya hampir tergadai? Mujurlah ada penyelamatnya. Tetapi penyelamat itulah pula yang menyingkir Azizah daripada keluarga bangsawan Datin Mariah. (Mencari Azizah; hal. 29) Daripada petikan tersebut, jelas bahawa segala keperluan Azizah tidak dapat dipenuhi oleh Zamri. Zamri tidak dapat menjaga harga diri Azizah di mata keluarganya sebaliknya Zamri sendiri yang menafikan kesempurnaan kendiri dan sosial Azizah melalui kata-katanya : Awak fikir senang hendak menguruskan perniagaan dua syarikat menjadi satu! itu pula alasannya. Jawapan itu sekaligus memperkecilkan kebolehan Azizah yang mempunyai ijazah ekonomi. Apakah kerana aku ini suri rumah sepenuh masa, maka pandanganku, ideaku tidak boleh dipakai? Bodoh benarkah aku? Aku masih membaca, masih mengikuti perkembangan dunia. (Mencari Azizah; hal. 31) Ketika berusia 35 tahun, Azizah mula menjalani kehidupan yang penuh berliku dalam rumahtangganya. Hidup sebagai seorang suri di sangkar emas yang membesarkan dua anak gadis yang masih kecil, Azizah sentiasa bersikap mengalah dan menerima kerana menyedari dirinya tidak setaraf dengan keluarga Zamri, suaminya. Azizah sering menyamakan dirinya seperti bacang yang berkulit licin tetapi busuk di dalam. Perumpamaan untuk dirinya ini jelas menggambarkan kehidupan yang tidak seindah seperti yang dipamerkan kepada umum.
KRITIKAN PSIKOLOGI Pengetahuan ilmu psikologi penting kerana menjadi alat dan dasar kajian untuk menghayati watak-watak dalam genre sastera. Wilbur Scott(1962) menyatakan bahawa disiplin psikologi dapat diaplikasikan dalam karya sastera bagi menerangkan aksi atau reaksi seseorang watak yang sukar diramal. Karya feminis lebih menitikberatkan psikologi dalam karya melalui psikologi watak-
watak. Antaranya pemikiran watak, cita rasa, tekanan perasaan, jiwa dan segala sesuatu yang lahir daripada hati dan kata-kata watak. Dalam novel Mencari Azizah, peranan prinsip psikologi watak Azizah banyak digarapkan oleh pengarang. Untuk menghadapi segala konflik, watak Azizah digambarkan banyak bermonolog sendirian. Seharusnya aku tidak berada di sini. Kalau setakat hendak mendapat masters, di universiti Malaysia pun boleh. Tetapi kenapa aku di sini? Bukan. Bukan masanya untuk menyesal. Aku sendiri yang membuat pilihan belajar di Iowa. Jauh daripada Zamri. Kalau begitu tepatlah kata Kamaliah, aku datang ke Iowa untuk mengubat hati yang luka. Apapun tanggapan Kamaliah, sebenarnya tidak penting bagiku. Soal pokok, aku mesti berjaya membina hidup baru. (Mencari Azizah; hal. 69) Menurut Robiah (1995), penghargaan kendiri yang tinggi dan padat dilihat melalui ciri-ciri positif seperti berdikari, sanggup menerima tanggungjawab, bersedia menghadapi cabaran baru dengan penuh azam, berjaya menghadapi kekecewaan dan berkeupayaan mempengaruhi orang lain. Penghargaan kendiri ini sebenarnya mempengaruhi tahap keyakinan seseorang terhadap dirinya sendiri samaada ia bersikap optimis atau sebaliknya. Sebagai seorang yang baru bangkit dari kegagalannya, Azizah berjaya mengembalikan harga dirinya yang telah lama tercalar. Azizah berazam untuk membina hidup baru tanpa bergantung harap lagi kepada keluarga bekas suaminya. Hal ini dipaparkan oleh pengarang seperti dalam petikan : Teguhkan iman, kuatkan semangat, Azizah sekarang bukan Azizah dulu yang berpaut bergantung pada orang lain. Izinkan aku mencorak masa depanku. (Mencari Azizah; hal. 17). Namun Azizah masih dapat mendidik jiwanya agar tidak menurut kata hati. Azizah cuba menerima takdir hidupnya dengan cara yang paling baik iaitu berserah kepada Allah dan cuba mencari kembali dirinya yang telah hilang.
Azizah pasrah dengan ketentuanNya seperti yang dipaparkan dalam petikan tersebut: Kenapa mesti bersedih? Bukankah ini pilihanku? Usah gelisah resah. Di mana pun aku berada aku masih di bawah lindunganMu...Kenapa aku mesti di sini? Alangkah selesanya kalau di rumah bersama anak-anak! Allah, berilah aku petunjuk dalam menjalani hidup di tempat yang jauh ini. Permudahkan hidupku di sini. (Mencari Azizah; hal. 37 & 110) Azizah juga menilai dirinya yang baru sebagai seorang yang tabah menghadapi cabaran, berkeyakinan dan mempunyai kekuatan untuk mengatasi setiap dugaan. Azizah ingin bangkit dari kehidupannya yang lalu. Azizah ingin membuktikan bahwa dia akan boleh menjadi seorang Azizah yang baru bukan lagi hanya mengangguk dan mengiakan. Azizah juga ingin membuktikan bahawa dia seorang yang mempunyai harga diri, bukan untuk dijadikan patung di dalam rumah. Azizah banyak menerima tekanan daripada suami dan ibu mertuanya. Keadaan ini ditunjukkan dalam apabila Azizah sering bermonolog kepada dirinya sendiri seperti petikan di bawah: Akulah manusia bodoh yang menurut kata membuta tuli tidak ubah macam hamba. Makan dilayan, nasi mesti disenduk ke pinggan, Cuma tidak disuap ke mulut. Segala yang teringin mesti dimasakkan. Ikut segala keletahnya. Ada masanya tidak mahu masakan pembantu, aku juga yang jadi babunya. Begitulah taatnya aku melayan Datin Mariah, tetapi apabila Zamri berkahwin lagi dia tidak pun membantah, malah gembira kerana dapat merapatkan dua keluarga bangsawan. Aku pula diungkit-ungkit sebagai tidak kufu. (Mencari Azizah; hal. 6) Azizah juga memberikan kesetiaan sepenuhnya kepada Zamri. Sikapnya ini jelas terbukti berdasarkan petikan tersebut : Aku bukan suri yang bergayut di telefon mendengar gosip suami dengan para artis. Aku suri rumah yang diamanahkan supaya menjaga nama baik
suami. Aku isteri yang berpegang kepada Islam sebagai prinsip hidup. Aku isteri yang sentiasa mendengar nasihat orang tua. Aku isteri yang taat dan ibu yang bertanggungjawab. (Mencari Azizah; hal. 31) Namun seperti susu dibalas tuba, begitu jugalah yang terjadi kepada Azizah. Zamri sering menolak untuk berbincang masalah mereka. Penolakan Zamri ini jelas melalui perlakuannya dalam petikan yang berikut : Mati hidup balik dia tidak mengaku bahawa perubahan yang berlaku kerana seorang wanita lain dalam hidupnya. Azizah belas dengan anakanak yang tidak dapat bermanja. Segala hal diserahkan bulat-bulat kepada Azizah. Dari soal makan hinggakan soal sekolah anak. Zamri semakin tidak lekat di rumah. (Mencari Azizah; hal. 31) Disebabkan sikap Zamri yang tidak bertanggungjawab terhadap Azizah dan anak-anaknya telah memberi kesan psikologi dalam watak Azizah. Dia sebenarnya ingin meluahkan segala yang terpendam di dalam hati, namun apakan daya. Dia sering tidak dihiraukan. Azizah sedar akan masalah yang dihadapi oleh Zamri dan ingin menolong, tetapi apa sangat yang dapat dibantu apabila nasihat dan pandangannya tidak dihiraukan orang. (Mencari Azizah; hal. 29) Ketika watak Azizah sedang berusaha mencari ayah kandungya, dia sanggup menanggung risiko dengan menjalankan pencarian ayah kandungnya di media massa walaupun menerima kutukan dan pandangan sinis orang lain yang mengatakan dia hanya mahu mencari populariti. Azizah tetap bertegas dengan tindakannya. Ini kerana walau apapun pendapat dan pandangan orang, keputusan akhirnya masih terletak di tangan sendiri. Ketegasannya ini jelas dipaparkan melalui petikan:
Dalam suasana bening bersendirian menunggu bas tengahari itu dia masih bertanya: jika bukan aku yang berusaha mencari ayah, siapa lagi? (Mencari Azizah; hal. 124) Dalam situasi ini, Azizah mengambil risiko tinggi dengan mencari ayahnya melalui televisyen, akhbar dan internet. Azizah mengenepikan soal malu dan pandangan masyarakat atas usahanya itu. Seperti yang dikatakan oleh Khalifah Ali ra bahawa orang yang banyak memikirkan soal risiko, beliau menjadi seorang yang tidak berani. Sifat yakin sebenarnya terletak pada diri sendiri. Kita boleh memilikinya atau melenyapkan keyakinan itu. (Muhammad Isa, 1998) Atas keyakinan itulah Azizah tekad untuk terus mencari ayahnya. Ah, apa hendak dihairankan, dasar langit terbuka, entahkan emak dan ayah Sudin pun sudah tahu. Kalau berita itu tersiar di CNN tentu saja tersiar di televisyen Malaysia. (Mencari Azizah; hal. 186) Semua mainan psikologi ini telah menguatkan lagi penceritaan watak Azizah dalam usaha mencari identiti dirinya. Azizah digambarkan sebagai seorang yang tidak mudah berputus asa dan tidak malu sekiranya dikutuk kerana dia telah berubah kepada Azizah yang baru dengan semangat yang baru.
KRITIKAN PENGALAMAN Prinsip ini mempunyai kaitan yang erat dengan prinsip biologi. Namun, prinsip ini lebih menjuruskan kepada peristiwa yang pernah dilalui oleh watak-watak sejak mereka dilahirkan sehingga mereka tua. Pengalaman yang dialami kaum wanita amat berbeza dengan kaum lelaki. Watak Azizah mempunyai satu pengalaman yang buruk dan tidak manis sejak dilahirkan. Pergolakan konflik jiwa Azizah ini ditambah lagi dengan persoalan yang sentiasa timbul dalam diri Azizah. Azizah anak tunggal berbintikan Mat Saleh. Sering menjadi tanda tanya dan dipandang sinis oleh masyarakat mahupun oleh keluarga suaminya sendiri.
Dalam membina estim yang positif Azizah telah menanamkan rasa yakin bahawa dia mampu menentukan kedudukan dirinya. Azizah tahu bahawa dia bukan anak haram seperti yang digembar-gemburkan oleh orang-orang kampung seperti dalam petikan di bawah : Emak dihina oleh orang kampung kerana melahirkan seorang bayi berwajah mat saleh. Orang kampung memfitnah kononnya emak berlaku sumbang sebelum bernikah. (Mencari Azizah; hal. 15) Anak dara gatal! itu gelaran diberi. Padan muka ditinggalkan dek orang putih! tempelak jiran-jiran Mak Long. (Mencari Azizah; hal. 57) Namun berdasarkan pengakuan ibunya: Kau anak yang suci. Emak tidak melakukan perkara terkutuk sebelum bernikah. (Mencari Azizah; hal. 15) Kau tetap suci di mata Islam. Emak tidak melakukan perkara sumbang sebelum bernikah dengan ayah kamu. Allah saja yang tahu apa sebenar yang berlaku. (Mencari Azizah; hal. 17) Ainon Mohd. (1997) berpendapat bahawa estim adalah bagaimana kita menilai diri kita. Konsep estim ini memberi penekanan bagaimana kita melihat diri sendiri meliputi aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial kita. Pengalaman menjalani hidup sebagai seorang isteri dan ibu juga dapat dilihat pada watak Azizah. Tetapi pengalaman yang dilalui olehnya merupakan satu pengalaman yang pahit apabila dia telah dimadukan oleh suaminya, Zamri secara diam-diam dan Zamri lebih menyayangi isteri keduanya. Untuk mempertahankan maruahnya, Azizah telah berpisah dengan Zamri. Akhirnya jalan keluar sebagai penyelesaiannya ialah perceraian. Ini kerana Azizah tidak
sanggup terus hidup dalam pahitnya bermadu. Sikap Azizah ini jelas ditunjukkan dalam petikan-petikan yang berikut: Hem, orang tak merasa tentulah tidak tahu pahitnya bermadu. Bukanlah aku tamakkan kasih sayang, tapi aku mahukan keadilan. Apalah ertinya bersuami kalau tidak bertanggungjawab, lebihkan isteri muda? (Mencari Azizah; hal. 7) Azizah juga menyatakan kekesalan dan kesedihannya terhadap
perbuatan Zamri kepadanya seperti yang digambarkan melalui luahan Azizah ini, Tetapi dalam baikku orang mengambil kesempatan. Nasibku ditakdirkan bermadu kemudian bercerai...Entahlah, hatiku hancur-lebur tidak dapat dipujuk apabila Zamri kahwin lagi. (Mencari Azizah; hal. 18 & 38) Lantas, kebetulan menjejakkan kaki ke bumi Amerika digunakan sebaikbaiknya untuk mencari ayah kandungnya demi untuk membuktikan bahawa semua cercaan orang salah belaka. Azizah menenggelamkan rasa gelisah dalam dirinya dengan mengambil satu langkah positif iaitu menyambung pelajaran ke peringkat MA di rantau orang. Selain sebagai satu usahanya untuk menimba ilmu, langkah ini juga sebagai satu cara untuk Azizah mengalihkan rasa sedih dan kecewa terhadap keruntuhan rumahtangganya. Azizah menjadikan tuntutan menimba ilmu ini sebagai satu cara mencari identiti baru dan meningkatkan keyakinan diri untuk menghadapi masa akan datang. Pergolakan diri Azizah ini jelas terpapar di awal novel ini : Merajuk atau melarikan diri? Moga-moga jauh dari Zamri akan dapat mengubat hati yang luka. Harap-harap jauh di mata, jauh juga dari ingatan...Aku pergi berbekalkan semangat waja mencari diri,
membetulkan arah. Lebih sepuluh tahun masa terbuang, menghamba diri, membodohkan diri mengikut kata Zamri semata-mata hendak menjaga hati suami, demi kebahagiaan rumahtangga. (Mencari Azizah; hal. 4-5)
Semasa menjalankan penilaian dan analisis terhadap novel Mencari Azizah yang ditulis oleh Khadijah Hashim, pendekatan yang dikenalpasti sesuai dan digunakan ialah pendekatan sosiologi. Pendekatan sosiologi dijadikan sebagai fokus utama dalam mengkaji dan mengkritik novel tersebut. Pendekatan sosiologi merupakan satu jenis pendekatan dalam kritikan sastera yang menilai karya dari aspek-aspek sosio-budaya, politik, dan ekonomi. Kesemua aspek ini adalah sebagaimana yang ada dalam realiti kehidupan dan sering kali didapati dalam karya sastera dalam dunia pengkaryaan. Pendekatan sosiologi ini melihat hubungan antara pengarang dengan masyarakat seperti kedudukannya, pengaruhnya dan status sosialnya. Selain itu, pendekatan ini juga melihat pengaruh persekitaran seperti budaya, politik, sosial, ekonomi atau pendidikan terhadap diri dan penciptaan pengarang sesebuah karya. Selain itu, dapat juga memperlihatkan reaksi atau peranan pembaca dan pengaruh pembaca terhadap penciptaan karya sastera. Tulisan sastera diciptakan oleh penulis sastera untuk dimanfaatkan oleh pembacanya. Penulis sastera itu sendiri adalah anggota masyarakat. Sastera adalah lembaga sosial yang menggunakan bahasa sebagai pengantar, media atau medium. Ini adalah kerana bahasa itu sendiri merupakan ciptaan sosial. Sastera memaparkan gambaran realiti sosial. Kritikan yang menggunakan pendekatan sosiologi adalah tergolong sebagai kritikan ekstrinsik, iaitu mengandaikan sastera sebagai cerminan kehidupan masyarakat, mendapat pengaruh dari masyarakat dan juga boleh mempengaruhi kehidupan masyarakat dan pengarang menjadi anggota masyarakat. Berdasarkan pendekatan sosiologi, kritikan ekstrinsik dapat
membincangkan pelbagai hal seperti hubungan karya sastera dengan penulis, faktor-faktor yang mempengaruhi atau mendorong penulis menghasilkan karya sastera, fungsi sosial sastera yang berhubung kait dengan tema, sastera sebagai cermin masyarakat dan budaya, kesan sesebuah karya kepada khalayak pembaca dan sebagainya. Untuk mendalami kritikan jenis ini, penulis hanya
menumpukan kepada satu-satu aspek sahaja. Antara aspek-aspek yang ingin dibincangkan adalah, aspek gambaran masyarakat yang dilukiskan di dalam novel Mencari Azizah serta fungsi-fungsi yang dapat diambil dalam gambaran tersebut. Salah satu fungsi yang tergambar dalam novel ini ialah kebangkitan seorang wanita daripada dihina untuk mencari identiti dan kekuatan diri. Novel Mencari Azizah ini mampu membentuk moral dan membangkitkan semangat wanita yang selalu ditindas dan dihina oleh masyarakat. Penulis yang sudah tentu seorang wanita memahami jiwa dan perasaan watak utama Azizah dan perwatakannya. Masalah rumahtangga Azizah di dalam novel digambarkan dengan jelas oleh penulis menunjukkan terdapat konflik keluarga di samping campur tangan ibu mertua serta isteri kedua suaminya. Azizah menjalani kehidupan yang sangat menyedihkan sewaktu bersama keluarga tersebut dan akhirnya untuk mengubah nasibnya, Azizah bercerai dengan suaminya untuk mencari identiti diri yang baru. Penulis novel ini memaparkan hal yang sememangnya berlaku iaitu konflik di dalam rumahtangga.
ISU-ISU HASIL DARIPADA KRITIKAN Konflik Jiwa Terdapat gambaran konflik jiwa yang dialami oleh watak utama dalam novel Mencari Azizah. Penulis ternyata ingin memaparkan segala masalah yang dihadapi oleh watak utama. Konflik rumahtangga telah menyebabkan Azizah mengundur diri daripada sebuah keluarga yang sering tidak menghiraukan dia sebagai seorang isteri yang setia malah dia selalu dicemuh oleh ibu mertuanya sendiri kerana dia berasal daripada golongan sosial yang rendah dan tidak setaraf dengan suaminya. Azizah sering bermonolog sendiri kerana segala yang ingin dinyatakan olehnya mungkin tidak bermakna. Sebagai contoh konteks di bawah : Akulah manusia bodoh yang menurut kata membuta tuli tidak ubah macam hamba. Makan dilayan, nasi mesti disenduk ke pinggan, Cuma tidak disuap ke mulut. Segala yang teringin mesti dimasakkan. Ikut segala keletahnya. Ada masanya tidak mahu masakan pembantu, aku juga yang
jadi babunya. Begitulah taatnya aku melayan Datin Mariah, tetapi apabila Zamri berkahwin lagi dia tidak pun membantah, malah gembira kerana dapat merapatkan dua keluarga bangsawan. Aku pula diungkit-ungkit sebagai tidak kufu. (Mencari Azizah; hal. 6)
Penindasan dan Diskriminasi Terdapat unsur penindasan dan diskriminasi di dalam novel Mencari Azizah. Penindasan yang sering dialami oleh watak utama iaitu Azizah ialah daripada suaminya sendiri. Zamri telah mengabaikan tanggungjawabnya terhadap Azizah dan anak-anaknya. Mati hidup balik dia tidak mengaku bahawa perubahan yang berlaku kerana seorang wanita lain dalam hidupnya. Azizah belas dengan anakanak yang tidak dapat bermanja. Segala hal diserahkan bulat-bulat kepada Azizah. Dari soal makan hinggakan soal sekolah anak. Zamri semakin tidak lekat di rumah. (Mencari Azizah; hal. 31) Unsur diskriminasi yang digarapkan di dalam novel ini ialah perbezaan kelas sosial masyarakat. Dalam masyarakat terdapat berlainan golongan seperti golongan atasan dan golongan bawahan. Azizah merupakan seorang gadis golongan bawahan telah berkahwin dengan Zamri yang merupakan golongan atasan. Oleh itu, Azizah sering mendapat penghinaan daripada keluarga Zamri. Itulah tuah celaka berwajah pan-asian. Kerana hidung yang cantik berbentuk itulah menjadi keraguan kepada keluarga Zamri. Ibu mertua bergelar datin itu masih tertanya-tanya siapa sebenar bapa Azizah meskipun telah diterangkan bahawa ayahnya seorang lelaki Amerika yang telah memeluk Islam. (Mencari Azizah; hal. 11)
Azizah juga turut dipinggirkan oleh ibu mertua. Ia dapat dilihat dalam situasi seperti di bawah: Perbincangan ibu mertua dengan anak-anaknya usah disampuk sebab itu adalah urusan keluarga. Dia cuma ditugaskan untuk menghidangkan kopi. Dia seolah-olah bukan sebahagian daripada ahli keluarga itu. (Mencari Azizah; hal. 151) Ketidak-adilan Dalam Perkahwinan Penulis juga mengisahkan watak Azizah menghadapi konflik rumahtangga yang dia sendiri tidak sangka. Azizah telah dimadukan oleh suaminya secara diamdiam. Pengalaman pahit ini dilalui oleh Azizah apabila dia telah dimadukan oleh suaminya, Zamri secara diam-diam dan Zamri lebih menyayangi isteri keduanya. Untuk mempertahankan maruahnya, Azizah telah berpisah dengan Zamri. Akhirnya jalan keluar sebagai penyelesaiannya ialah perceraian. Ini kerana Azizah tidak sanggup terus hidup dalam pahitnya bermadu. Sikap Azizah ini jelas ditunjukkan dalam petikan-petikan yang berikut: Hem, orang tak merasa tentulah tidak tahu pahitnya bermadu. Bukanlah aku tamakkan kasih sayang, tapi aku mahukan keadilan. Apalah ertinya bersuami kalau tidak bertanggungjawab, lebihkan isteri muda? (Mencari Azizah; hal. 7) Azizah juga menyatakan kekesalan dan kesedihannya terhadap
perbuatan Zamri kepadanya seperti yang digambarkan melalui luahan Azizah ini, Tetapi dalam baikku orang mengambil kesempatan. Nasibku ditakdirkan bermadu kemudian bercerai...Entahlah, hatiku hancur-lebur tidak dapat dipujuk apabila Zamri kahwin lagi. (Mencari Azizah; hal. 18 & 38) Berserah Kepada Tuhan Watak Azizah digambarkan sebagai seorang yang beragama Islam dan sentiasa ingat kepada Tuhan dalam menghadapi dugan hidup. Walaupun dihina oleh ibu mertuanya, namun Azizah masih dapat mendidik jiwanya agar tidak
menurut kata hati. Azizah cuba menerima takdir hidupnya dengan cara yang paling baik iaitu berserah kepada Allah dan cuba mencari kembali dirinya yang telah hilang. Azizah pasrah dengan ketentuanNya seperti yang dipaparkan dalam petikan tersebut: Kenapa mesti bersedih? Bukankah ini pilihanku? Usah gelisah resah. Di mana pun aku berada aku masih di bawah lindunganMu...Kenapa aku mesti di sini? Alangkah selesanya kalau di rumah bersama anak-anak! Allah, berilah aku petunjuk dalam menjalani hidup di tempat yang jauh ini. Permudahkan hidupku di sini. (Mencari Azizah; hal. 37 & 110) Doa itu ibadat. Mereka yang tidak berdoa pada Allah adalah orang yang sombong. Sombong? Hendak sombong pada siapa? Aku tidak sombong. Aku tahu betapa kecilnya aku di bumi Mu, Allah! (Mencari Azizah; hal. 114)
Cintakan Ilmu Pengetahuan Watak Azizah dilakarkan sebagai seorang yang sentiasa ingin mencari ilmu pengetahuan. Walaupun usianya mencecah 35 tahun, dia sanggup pergi jauh ke negara asing agar impiannya untuk memiliki masters tercapai. Seharusnya aku tidak berada di sini. Kalau setakat hendak mendapat masters, di universiti Malaysia pun boleh. Tetapi kenapa aku di sini? Bukan. Bukan masanya untuk menyesal. Aku sendiri yang membuat pilihan belajar di Iowa. Jauh daripada Zamri. Kalau begitu tepatlah kata Kamaliah, aku datang ke Iowa untuk mengubat hati yang luka. Apapun tanggapan Kamaliah, sebenarnya tidak penting bagiku. Soal pokok, aku mesti berjaya membina hidup baru. (Mencari Azizah; hal. 69)
Novel yang dikarang oleh Khadijah Hashim iaitu Mencari Azizah banyak membangkitkan isu-isu konflik yang dihadapi oleh watak utama iaitu Azizah. Tumpuan utama pengkritikan novel ini adalah kepada watak Azizah yang telah dikaji menggunakan teori feminisme. Walaupun watak Azizah mengharungi pelbagai masalah, dia bangkit dengan semangat baru dalam mencari kekuatan diri dan menjauhkan dirinya dari belenggu kesengsaraan. Hal ini dapat mendidik masyarakat pembaca agar sentiasa berusaha untuk mencari kekuatan diri dalam menghadapi cabaran hidup. Cubalah keluar dari takuk lama yang penuh derita agar dapat menikmati masa depan yang gemilang. Watak Azizah yang sanggup merantau jauh membawa diri setelah dia dipinggirkan oleh suaminya dapat membangkitkan semangat pembaca novel tersebut. Perantauan jauh Azizah ke luar negara adalah untuk mendapatkan masters. Semangatnya untuk mencari ilmu tidak pernah luntur. Dia walaupun dikatakan cuba lari daripada kegagalan rumahtangga sebenarnya ingin mengubah nasib dan cuba mencari ayah kandungnya yang tidak pernah dia tatapi sejak lahir. Perginya Azizah adalah untuk mencari ketenangan dan kejayaan dalam hidup supaya dia tidak lagi dipandang hina oleh golongan atasan. Kecintaan Azizah terhadap ilmu patut dicontohi oleh masyarakat agar menjadi lebih maju dalam dunia pendidikan dan menjadi sebuah negara yang mempunyai generasi beilmu pengetahuan tinggi. Isu penindasan dan diskriminasi yang digambarkan di dalam novel Mencari Azizah tidak patut menjadi ikutan masyarakat kerana mendatangkan keburukan kepada masyarakat. Perbezaan golongan atasan dan golongan bawahan perlu dihapuskan agar kehidupan bermasyarakat di negara ini lebih bertamadun. Isu ketidakadilan seorang suami yang beristeri dua tidak patut dicontohi. Seseorang suami yang tidak mampu untuk membahagikan kasih sayang antara isteri tidak patut berkahwin dua kerana mungkin ada hati yang terluka. Contohnya, akhirnya Azizah bercerai jua dengan suaminya kerana sudah tidak tahan dengan kehidupan yang sering dipinggirkan.
KESIMPULAN Kesimpulannya, Mencari Azizah adalah sebuah novel yang indah dan penuh dengan pelbagai mesej yang merangkumi nilai-nilai kekeluargaan, kepercayaan, saling kebergantungan dan persahabatan. Pengarangnya, Khadijah Hashim ingin memperlihatkan bahawa cinta dan kasih sayang merupakan satu perasaan yang kuat bagi memenuhi keperluan emosi dan rohani dalam jiwa manusia. Perasaan cinta dan kasih sayang yang dimuatkan dalam novel ini sarat dengan pergolakan jiwa dan konflik yang berlaku dalam watak utamanya. Di sinilah letaknya unsur dedaktik atau unsur pengajaran yang ingin disampaikan dalam novel ini iaitu bagaimana Azizah menangani konflik dalaman seterusnya mencari kekuatan untuk meneruskan hidup. Sebagai watak yang protagonis dalam novel ini, Azizah merupakan simbol seorang wanita yang berhati tabah, optimis melihat masa depannya dan sanggup menghadapi risiko dalam mencari kebenaran. Perjalanan novel yang penuh dengan konflik ini juga diwarnai dengan watak-watak sampingan yang antagonis seperti suami Azizah iaitu Zamri dan Datin Mariah, ibu mertuanya. Kehadiran watak-watak antagonis ini melahirkan satu suasana tegang dalam kehidupan Azizah. Konflik dan pergelutan jiwa Azizah berlaku sepanjang keterlibatan Azizah bersama watak-watak ini. Selain itu, muncul juga watak-watak sampingan lain yang lebih optimis seperti watak yang menjadi sahabat Azizah iaitu Robert, Kelvin dan Kamaliah. Watak-watak inilah yang menguasai perjalanan cerita ini untuk tampil lebih menarik. Bersesuaian dengan konflik yang banyak ditimbulkan dalam novel ini, Khadijah Hashim menggambarkan dengan begitu baik sekali bagaimana sesebuah konflik itu berakhir jika dapat ditangani dengan bijak. Lalu Novel Mencari Azizah ini mengajar kita pelbagai persoalan yang di kemukakan oleh pengarang cerita ini melalui watak utamanya. Novel ini mengajar kita erti ketabahan dan kekuatan diri yang disertai dengan nilai-nilai kasih sayang dan kekeluargaan serta sikap berserah diri pada Tuhan. Pengarangnya juga ingin menunjukkan bahawa setiap usaha yang dilakukan itu pasti akan membuahkan hasil dan setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya. Di sinilah letaknya sebuah
harga diri dan kebijaksanaan dalam menangani konflik, mempertahankan hak dan mencari kebenaran.