Bahasa Kedua

Unduh sebagai doc, pdf, atau txt
Unduh sebagai doc, pdf, atau txt
Anda di halaman 1dari 18

BEBERAPA MASALAH DALAM PENGAJARAN BAHASA MALAYSIA

3.1 Pengenalan

Tajuk ini penting bagi guru dan pelajar. Pengajaran, pembelajaran, dan penguasaan
bahasa Malaysia yang sempurna adalah penting bagi para pelajar. Tanpa penguasaan
bahasa yang sempurna, seluruh proses pembelajaran yang menggunakan bahasa
Malaysia akan menjadi hambar. Perkara ini perlu ditinjau:sebab, walaupun pengajaran
bahasa Malaysia pada hari ini dapat dikatakan baik pada keseluruhannya, tetapi masih
ada kelemahan-kelemahan yang boleh dibaiki.

Perkara ini dapat dilihat dari enam segi: proses pengajaran dan pembelajaran, sikap
(nilai dan dasar), dorongan dalam pembelajaran, beberapa masalah yang
menyebabkan kegagalan, dan beberapa masalah guru dalam mengajar.

3.2 Proses Pengajaran dan Pembelajaran

Proses pengajaran dan pembelajaran adalah berlainan sekiranya pelajar mempelajari


bahasa kandung atau bahasa kedua.

3.2.1 Pembelajaran Bahasa Malaysia oleh Orang Melayu

Secara umum dapat dikatakan bahawa pelajar-pelajar Melayu telah pun menguasai
sebutan, tatabahasa, dan makna kosa kata bahasa Malaysia semasa mereka masuk ke
sekolah. Jadi, apa yang mereka perlukan bukannya pengajaran tentang perkara-
perkara asas dalam bahasa itu, tetapi tumpuan harus diberikan kepada pengukuhan
bahasanya dan pengayaan kosa katanya. Tatabahasa yang diajarkan bukanlah
bertujuan mengajarkan bahasa kepada mereka, tetapi bertujuan memperkukuh dan
memperkaya bahasa yang sudah dikuasai mereka. Di samping itu, pembelajaran
peribahasa yang betul adalah penting bagi membolehkan mereka memahami
kemampuan atau potensi bahasa itu dalam membuat ungkapan. Di juga memerlukan
bimbingan dalam mempelajari dan menguasai bahasa Malaysia yang digunakan dalam
bidang ilmu, iaitu, mereka perlu menguasai bahasa Malaysia baku dan rasmi.

3.2.2 Pembelajaran Bahasa Malaysia oleh Orang Bukan Melayu

Sekali imbas kita lihat ada perbezaan besar antara keperluan pelajar Melayu dengan
keperluan pelajar bukan Melayu. Pelajar bukan Melayu yang tidak menuturkan bahasa
Malaysia di rumah, perlu mempelajari segala-galanya. Mereka perlu mempelajari
sebutan, tatabahasa, dan kosa kata bahasa Malaysia. Sama ada apa yang dilakukan
sekarang ini sesuai dengan keadaan ini, adalah suatu yang harus dapat kita amati
bersama. Pengajaran bunyi, sebutan, dan intonasi bahasa Malaysia hampir-hampir
tidak wujud langsung dalam pengajaran bahasa Malaysia di sekolah rendah hari ini.
Pengajaran tatabahasa pula adalah sesuatu yang masih boleh diperkemas lagi.
Sebahagian daripada akibat yang berlaku dapat dilihat apabila terdapat kesan langsung
dalam kepincangan sebutan, tatabahasa, dan pemakaian kata bahasa Malaysia
tersebut.

3.2.3 Kaedah Mengajar dan Menguji

Oleh sebab latar belakang dan keperluan pelajar Melayu dan pelajar bukan Melayu
ternyata berlainan, maka jelaslah bahawa keadaan pengajaran bahasa Malaysia
kepada mereka seharusnya juga berbeza. Mengajar dan menguji kedua-dua golongan
pelajar dengan kaedah yang sama akan hanya menyulitkan mereka dan kurangnya
kesan penerimaan pelajaran. Keadaan ini berlanjutan seolah-olah hakikat ini tidak
penting sama sekali.

3.3 Sikap: Nilai dan Dasar

Ada dua perkara berhubung dengan sikap, iaitu: nilai dan dasar.

3.3.1 Nilai

Sikap juga penting dalam mengajarkan bahasa Malaysia. Umumnya, ada guru yang
menganggap tugas mengajarkan bahasa Malaysia itu sebagai mudah. Bahkan sikap
pentadbir juga demikian, sebab kalau berlaku kekurangan guru bahasa Malaysia, siapa
sahaja dianggap boleh menjalankan tugas tersebut. Sehingga tahun 1980 belum ada
sebuah kursus yang menumpukan perhatian kepada pengajaran bahasa Malaysia
sebagai bahasa pertama atau kedua di mana-mana. Hanya sekarang kursus tersebut
diajarkan di universiti-universiti tempatan. Sebenarnya, bahasa Malaysia itu amat sukar
dipelajari. Nampaknya sahaja mudah, tetapi amat sukar untuk dikuasai sepenuhnya.
Jadi, bahasa Malaysia itu memang amat sukar dipelajari untuk menjadi betul-betul
mahir. Buktinya nyata sekali, kerana tidak ramai pelajar yang diajar melalui sistem
sekolah kita sekarang menjadi mahir. Selepas 13 tahun di sekolah, rata-rata dapat
dikatakan mereka belum betul-betul dapat menggunakan bahasa Malaysia itu dengan
berkesan. Walau bagaimanapun, ada tanda-tanda kemajuan dalam hal ini, pada akhir-
akhir ini. Peningkatan kemahiran dalam bahasa Malaysia ini amatlah menggalakkan
dari segi penyuburan bahasa.

Sikap orang bukan Melayu pula agak berlainan. Ada juga antara mereka yang
memandang senang terhadap pembelajaran bahasa Malaysia. Bahasa Malaysia ini
juga kadang-kadang dirasakan tidak perlu sebab bahasa Inggeris dianggap lebih
penting. Bahasa Inggeris mempunyai nilai ekonomi yang lebih tinggi, lebih-lebih lagi
dalam bidang swasta. Nilai ekonomi yang rendah yang diberikan kepada bahasa
Malaysia mungkin menyebabkan sikap ini berlaku. Bahasa Inggeris memang
menduduki tempat istimewa sebagai bahasa hubungan antarabangsa, dan justeru itu,
bahasa Inggeris perlu dikekalkan. Tetapi hubungan psikologi kita yang amat rapat
dengan bahasa tersebut menyebabkan sanjungan kita agak luar biasa tingginya
terhadap bahasa itu.

3.3.2 Dasar

Ada satu lagi hal yang kerap dapat kita perhatikan di kalangan orang-orang Malaysia
yang berada, atau mereka yang berkemampuan, sama ada orang biasa atau pegawai
kerajaan. Oleh sebab faktor-faktor tertentu, ramai antara mereka yang menghantar
anak-anak mereka belajar ke negara lain, lebih-lebih lagi ke negara-negara yang
menggunakan bahasa Inggeris. Ini mungkin timbul daripada hakikat bahawa ada antara
mereka yang tidak mendapat tempat di institusi pengajian tinggi di dalam negara ini,
maka mereka terpaksa pergi ke negara lain. Ini baik, sekurang-kurangnya mereka akan
mendapat pelajaran walaupun terdapat kekurangan tempat belajar di dalam negara.

Perkara yang membimbangkan ialah apabila tindakan mereka itu kerana kurang
percaya kepada institusi-institusi tempatan. Lebih buruk lagi apabila mereka
menghantar anak mereka ke negara lain sejak kecil lagi, iaitu pada peringkat sekolah
menengah, bahkan ada pula yang menghantar anak mereka pada peringkat sekolah
rendah lagi. Ada yang berbuat begitu kerana tidak menyetujui dasar yang
menggunakan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan
Malaysia. Ini biasa dikatakan akan menurunkan mutu pendidikan mereka.

Di samping itu, ramai antara mereka bersungut yang bahasa Inggeris telah turun
mutunya, maka mereka menghantar anak-anak mereka ke negara lain. Ini memang
benar, bahasa Inggeris sekarang hanya menjadi bahasa kedua atau bahasa asing, jadi
tentulah tidak akan sama taraf pencapaiannya dengan bahasa Inggeris dahulu. Hakikat
ini perlu diterima. Kementerian Pendidikan perlulah menimbulkan keyakinan semua
rakyat tentang hal ini.

3.4 Dorongan dalam Pembelajaran

Dorongan diketahui bahawa untuk membolehkan pembelajaran berlaku dengan


berkesan, maka pelajar-pelajar memerlukan dorongan. Dorongan untuk belajar ini
timbul daripada beberapa tujuan. Misalnya, ada orang belajar bahasa untuk melancong,
ada untuk mendapatkan kerakyatan, dan ada pula yang ingin melanjutkan pelajaran.
Jadi, apakah tujuan murid mempelajari bahasa Malaysia itu di samping memenuhi
keperluannya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa pengantar di sekolah-sekolah?
Kita bincangkan perkara ini dari tiga aspek: mendapatkan pekerjaan, mendapatkan
tempat di pusat pengajian tinggi, dan status bahasa dalam masyarakat.

3.4.1 Mendapatkan Pekerjaan

Tujuan untuk mendapatkan pekerjaan memang wajar. Sejak kelulusan dalam bahasa
Malaysia dengan kepujian pada peringkat Sijil Persekolahan Malaysia dijadikan syarat
lulus peperiksaan dan mendapatkan pekerjaan dalam perkhidmatan kerajaan, maka
satu nilai yang tinggi telah ada pada bahasa Malaysia. Orang telah berlumba-lumba
untuk lulus peperiksaan bahasa Malaysia untuk tujuan ini. Walaupun demikian, syarat
ini tidak dikehendaki di badan-badan swasta menyebabkan mereka yang tidak lulus
juga terus boleh mendapatkan pekerjaan. Jadi, walaupun bahasa Malaysia diberi nilai
tinggi pada satu pihak, tetapi oleh sebab ada jalan keluar bagi mereka yang tidak
mendapat kelayakan tersebut maka, pencapaian tujuan tersebut tidaklah mendapat
tujuan mutlak untuk semua orang.

3.4.2 Mendapatkan Tempat di Pusat Pengajian Tinggi

Oleh sebab semua institusi pengajian tinggi di Malaysia hari ini menggunakan bahasa
Malaysia sebagai bahasa pengantar, maka amatlah penting pelajar-pelajar mencapai
kemahiran dalam bahasa Malaysia untuk melanjutkan pelajaran ke maktab, politeknik,
dan universiti. Mungkin ini adalah cara yang agak berkesan dalam melaksanakan
penggunaan bahasa Malaysia sebagai pengantar di institusi-institusi pengajian tinggi.
Dasar ini bukan sahaja menjamin supaya pelajar mencapai kemahiran yang diperlukan
untuk belajar di universiti-universiti tetapi juga memberi suatu makna dan kepentingan
kepada bahasa kebangsaan kita. Ini perlu untuk menjamin kedudukannya sebagai
bahasa rasmi dan bahasa pendidikan, lebih-lebih lagi apabila bersaing degan bahasa
Inggeris. Di samping itu, peraturan ini dapat menimbulkan dorongan yang kuat bagi
pelajar-pelajar mencapai kemahiran yang diperlukan. Ini tidaklah asing daripada
dorongan yang tinggi yang dipunyai oleh seorang yang belajar bahasa Inggeris supaya
dapat belajar di Britain, atau bahasa Jerman untuk belajar di negara Jerman dan
sebagainya.

3.4.3 Status Bahasa dalam Masyarakat

Masyarakat memang sentiasa memberi taraf tertentu kepada sesuatu bahasa. Tidak
sukar untuk kita memahami hal ini. Kita tahu bahawa bahasa Inggeris itu bertaraf tinggi
maka kita boleh melihat sikap ahli-ahli masyarakat dalam menggunakannya. Kita
mengasosiasikan diri dengan bahasa itu, sekurang-kurangnya sebahagian daripada
bahasa itu. Misalnya, seseorang yang baru pulang dari negara Inggeris atau Amerika.
Bahkan ada pula yang bertutur bahasa Inggeris pelat Inggeris untuk menunjukkan
asosiasinya dengan imej bahasa negara tersebut. Dengan berbuat begitu, di
menganggap akan disamatarafkan dengan orang Inggeris atau Amerika. Begitu juga
dengan bahasa Arab, ada taraf yang diberikan oleh masyarakat Melayu kepada bahasa
Arab. Jadi memang orang Melayu yang belajar di Makkah atau di Mesir dianggap akan
mengasosiasikan dirinya dengan dunia dan bahasa Arab. Mungkin mereka tidak
menyebut kata-kata bahasa Malaysia pelat Arab, tetapi mereka akan melafazkan kata-
kata bahasa Arab yang telah lama dipinjam oleh orang Melayu sebagai lafaz orang
Arab. Misalnya, orang biasa akan berkata hari Senen, tetapi mereka akan menyebut
Ithnin, dan Zuhur untuk loho’, Asar untuk asa, dan sebagainya. Yang anehnya pula,
kalau orang itu pulang setelah belajar di India selama beberapa tahun, mereka tidak
pernah menunjukkan pelat India itu dalam bahasa Inggeris atau bahasa Malaysia
mereka. Ini mungkin kerana India tidak diberi taraf atau imej yang sama.
Jadi, apa yang penting di sini ialah, apakah bahasa Malaysia itu dapat memberi mereka
taraf demikian? Bermegahkah mereka kalau dilihat atau didengar menuturkan bahasa
Malaysia dengan fasih dan lancar? Mungkin juga. Dorongan seperti ini telah mula ada,
tetapi masih jauh ke belakang berbanding dengan taraf bahasa Inggeris di kalangan
masyarakat umum.

3.5 Beberapa Masalah Menyebabkan Kegagalan

Walaupun dikatakan di atas bahawa pengajaran bahasa Malaysia pada keseluruhannya


memuaskan, tetapi tidaklah dapat dikatakan tidak ada masalahnya. Ada beberapa
kegagalan umum yang dapat dilihat. Ini harus diperhatikan sebagai satu kritikan untuk
mencari penyelesaian dan bukan untuk tujuan negatif. Kegagalan-kegagalan ini dilihat
dari semua aspek penguasaan bahasa: sebutan, ejaan, imbuhan, ayat, kata, intonasi,
dan peribahasa.

3.5.1 Sebutan

Sebutan menghadapi dua jenis masalah, pertama, masalah dalam bahasa Malaysia itu
sendiri dan kedua masalah dari luar. Dari dalam bahasa Malaysia sendiri, terdapat
masalah menentukan sebutan baku berbanding dengan sebutan dialek. Sebenarnya
kontroversi ini tidak besar. Sebutan kata-kata bahasa Malaysia memang tidak banyak
berbeza, yang menjadi perbalahan ialah pada bunyi a di suku kata akhir terbuka, sama
ada patut diucapkan a atau e. Ini masalah kecil, tetapi pendokong bunyi a sentiasa
mahu melaksanakan ini tanpa kecuali. Tetapi sikap rasmi Dewan Bahasa dan Pustaka,
Kementerian Pendidikan, dan Kementerian Penerangan (Radio dan Televisyen
Malaysia) ialah menerima kedua-duanya a dan e sebagai kelainan yang boleh bertukar
ganti. Tidak ada masalah sebutan lain yang boleh dianggap terlalu rumit.

Di samping itu terdapat pula kesalahan sebutan di kalangan penutur bukan Melayu
untuk kata-kata seperti rume (rumah), datu (datuk), kulang (kurang), ba-niak (banyak),
dan sebagainya. Daerah morfologi juga menimbulkan masalah bagi mereka,
umpamanya dalam menyebut kata-kata seperti: peng-arah (pengarah), meletak-an
(meletakkan), pakai-an (pakai-yan), dan sebagainya.

Masalah kedua, timbul daripada unsur-unsur bahasa asing. Oleh sebab kebanyakan
kita agak terlalu biasa dengan bunyi-bunyi Inggeris, maka apabila kita membawa masuk
kata-kata tersebut ke dalam bahasa Malaysia, misalnya bus yang dibunyikan bas, maka
kita membunyikannya juga sebagai bas. Tetapi bahasa Inggeris juga tidak konsisten,
misalnya, put (disebut put) dan but (disebut bat), put bukan pat. Kebanyakan kita tidak
menyedari yang kekacauan ini wujud dalam bahasa Inggeris, dan terbawa-bawa ke
dalam bahasa Malaysia. Oleh sebab itu ejaan kata pinjaman daripada bahasa Inggeris
ke dalam bahasa Malaysia, kebanyakannya mengekalkan ejaannya, tetapi kita
membunyikan huruf-huruf yang digunakan seperti dalam bahasa Malaysia. Kalau kita
lihat kebalikannya, orang Inggeris pun ada meminjam kata-kata daripada bahasa
Malaysia seperti kampung, orang utan, rotan, tetapi memberi sebutan sendiri kepada
kata-kata ini dan membunyikannya sebagai kempong, oreng uteng, reten, dan
sebagainya. Prinsipnya kita hendaklah membunyikan kata-kata pinjaman itu menurut
sistem bunyi bahasa Malaysia sendiri.

3.5.2 Ejaan

Sebelum ejaan baharu diumumkan, Ejaan Sekolah yang didasarkan kepada Ejaan
Wilkinson (1904) dan dibaiki oleh Za’ba (1938) telah digunakan. Sistem ini cukup untuk
keperluan bahasa Melayu untuk beberapa lama, tetapi menjelang tahun 60-an,
kekurangannya mula ketara (S.T. Alisjahbana 1965). Hal ini bukan sahaja menjadi
masalah kepada penutur bahasa Melayu, tetapi juga kepada proses pembelajarannya.
Ejaan Sekolah tidak konsisten pada beberapa tempat.

Ejaan memang banyak masalahnya. Masalah ini tidaklah harus dikatakan timbul
daripada ejaan baharu. Ejaan bahru itu terlalu mudah untuk dianggap sebagai suatu
masalah. Lagipun, sudah ada Daftar Ejaan Rumi Bahasa Malaysia (1981). Seharusnya
sudah tidak ada masalah ejaan lagi. Ejaan itu telah digunakan selama lebih sepuluh
tahun, maka sepatutnya perkara ini tidak lagi menjadi masalah. Ada kata yang selalu
salah dieja seperti bolih (untuk boleh), goring (untuk goreng), ke- dalam (untuk ke
dalam), dibawah (untuk di bawah), dan sebagainya. Kesalahan ejaan ini timbul hanya
kerana kejahilan sahaja, dan orang tidak mahu membaiki keadaan ini. Aspek kedua
kesalahan ejaan ialah bahawa ada ejaan-ejaan yang berubah untuk penyelarasan
seperti teladan menjadi teladan, aneh menjadi aneh, dan sebagainya. Sebenarnya
tindakan seperti ini tidak perlu dibuat sebab ejaan yang sudah mantap tidak harus
diubah lagi. Walau bagaimanapun, demi keseragaman ejaan yang dicadangkan itu
perlulah diikuti.

Ejaan kata-kata pinjaman merupakan satu masalah lain. Dasar yang dikuatkuasakan
ialah untuk memudahkan pembelajaran, huruf yang tertentu sahaja ditukar, iaitu bunyi
yang tidak berfungsi, atau bunyi-bunyi yang tidak konsisten dalam bahasa Inggeris.
Misalnya, huruf eo dalam homogeneous boleh digugurkan. Huruf ch dalam cholera
sebenarnya berbunyi k dan bukan c seperti dalam cent dan chalk. Ini tidak konsisten.
Oleh sebab ejaannya diutamakan, maka ia disesuaikan menjadi kolera. Inilah yang
sering dikatakan menjadi masalah dalam ejaan apabila pengguna bahasa Malaysia
mengelirukan sistem bahasa Malaysia dengan sistem bahasa Inggeris.

Memang sukar mengubah kebiasaan 14 juta manusia dalam menggunakan ejaan ini.
Lebih rumit lagi jadinya masalah ini apabila hal-hal agam terlibat. Penulisan kata-kata
istilah Arab boleh menimbulkan kerumitan. Misalnya, ejaan baharu bagi ni’mat ialah
nikmat, dan dengan itu mengubah makna kata itu daripada sesuatu yang baik kepada
yang buruk. Memang hal ini harus diberi perhatian yang agak serius supaya kekacauan
tersebut tidak mengganggu perkembangan bahasa Malaysia umumnya.

3.5.3 Imbuhan

Imbuhan juga sering menjadi kesalahan, lebih-lebih lagi dalam pemakaian -kan, me-,
di-, dan ber-. Misalnya, -kan dipakai pada tempat yang tidak perlu seperti Saya
membelikan buku (-kan tidak perlu kerana beli sudah transitif), atau sebaliknya -kan
tidak dipakai seperti dalam mengguna dan membenar (-kan diperlukan supaya kata
kerja tersebut menjadi transitif).

Dalam peringkat kata, kesalahan tatabahasa kerap dilakukan dalam penggunaan


imbuhan. Kalau diperhatikan pula betul-betul, maka akan didapati satu perkara yang
betul-betul sukar kita fahami, iaitu: jumlah imbuhan yang ada dalam bahasa Malaysia
adalah amat sedikit bilangannya. Ada tujuh bilangan imbuhan yang sedikit ini sangat
sukar dipelajari dan digunakan dengan tepat, manakala, kita mungkin berpendapat
bahawa bilangan yang sedikit harus memudahkan pembelajaran.

Kerap pula terjadi kisah kanak-kanak penutur kandung bahasa Malaysia yang telah
menguasai pemakaian imbuhan dengan biak di rumah atau dalam lingkungan
keluarganya, tetapi telah dikelirukan oleh guru yang tidak mahir apabila dia mula
bersekolah. Fungsi guru yang sepatutnya memperkukuh penguasaan tatabahasa
kanak-kanak itu telah bertukar menjadi pengacauan. Bagi kanak-kanak yang tidak
menuturkan bahasa Malaysia sebagai bahasa kandung akan terus terpesong dalam
memakai imbuhan. Setiap satu imbuhan kata kerja dalam bahasa Malaysia itu
mempunyai masalah masing-masing. Pengacauan imbuhan yang terdapat bagi kanak-
kanak penutur kandung bahasa Malaysia ialah kesalahan-kesalahan tertentu.

Ada beberapa jenis kesalahan yang sering saya temui. Pada hakikatnya, seseorang
guru itu mungkin tidak memahami bahawa fungsi tatabahasa sesuatu imbuhan itu
sudah sedia ada dalam setengah-setengah kata. Oleh itu kata-kata tersebut tidak perlu
diberi imbuhan lagi untuk menunjukkan fungsi tatabahasa tersebut. Kesalahan yang
sering berlaku ialah dalam penggunaan imbuhan ber- atau me- pada kata dasar yang
tidak memerlukannya; seperti ber- duduk (untuk duduk), bertimbul (untuk timbul),
berbangun (untuk bangun), menjalan (untuk berjalan), menurun (untuk turun), dan
memindah (untuk berpindah). Jadi kerap terdapat ayat seperti: Dia berduduk di atas
kerusi, Dia telah memindah rumah, Dia menurun bas. Pada pihak yang lain pula, selalu
terdapat masalah yang berhubungan dengan imbuhan -kan. Hal ini berlaku kepada
penutur kandung bahasa Malaysia. Maka terdapatlah ayat seperti Guru mengguna
kapur (untuk Guru menggunakan kapur), Ibu memakai seluar untuk Fadil (untuk Ibu
memakaikan seluar untuk Fadil), dan Air hujan itu membasah kainnya (untuk Air hujan
itu membasahi kainnya). Dalam hal ini, apa yang berlaku ialah imbuhan per-, -kan dan
-i digugurkan. Ini adalah tabiat pelajar-pelajar dan guru-guru yang terdiri daripada
penutur bahasa Malaysia. Dalam bahasa pertuturan, ada unsur-unsur tertentu yang
boleh digugurkan (sebab ketiadaannya ditampung oleh unsur lain) atau telah jelas dari
konteks itu sendiri. Dalam bahasa tulisan per-, -kan, dan -i itu perlu ada. Ini
menjelaskan bahawa mereka mungkin tidak memahami bahawa imbuhan per, -kan,
dan -i itu sebenarnya mempunyai fungsi tatabahasa yang tidak boleh ditampung oleh
me- sahaja.

Satu lagi kesalahan imbuhan yang agak lebih rumit ialah dari segi pemakaian per-, kan,
dan -i. Perkara yang selalu berlaku di sini ialah ketiga-tiga imbuhan ini dipakai dengan
tidak mengetahui perbezaan makna dan fungsi tatabahasanya. Jadi terdapatlah
kesalahan seperti Ahmad menuruni bas (untuk Ahmad turun dari bas), Ahmad
menaikan motokar (untuk Ahmad menaiki motokar), dan Sila masuki perkara ini dalam
perbincangan (untuk Sila masukkan perkara ini ke dalam perbincangan).

Satu lagi imbuhan yang kerap salah digunakan, ialah -kan. Hal ini berlaku kerana
pelajar tidak mengenali perbezaan antara imbuhan -kan dengan -an. Akibatnya, mereka
selalu menggunakan -an untuk -kan. Kesalahan ini terlalu besar untuk dimaafkan,
contohnya: meletakan (untuk meletakkan), dan membetulan (untuk membetulkan).
Kebalikannya juga benar, lebih-lebih lagi apabila dasarnya berakhir dengan k seperti
dalam masakkan (untuk masakan) dan kerosakkan (untuk kerosakan). Perkara seperti
ini patutlah diambil berat dan dibetulkan.

Dalam contoh lain, terdapat pula pelajar Melayu yang tidak mengenali perbezaan
antara pe- (pesakit ‘orang sakit’), peny (penyakit ‘perkara yang menyakitkan’), dan per-
(persakit ‘perbuatan menyakitkan’). Pernah saya temui guru berkelulusan universiti
yang tidak mengetahui bahawa ketiga-tiga imbuhan ini berlainan. Mungkin asalnya
satu, tetapi sekarang jelas bahawa ada perbezaan bentuk dan fungsi antara pe-,
penye-, dan per-. Ini perlu difahami.

Perkara yang lebih merunsingkan ialah apabila terdapat kata-kata pendekan daripada
akhbar menular masuk ke dalam kelas. Dalam akhbar, imbuhan ke-...-an, peN-...-an
sering menjadi -an sahaja. Kerap terdapat putusan STPM, libatan dan ini semakin
banyak digunakan dalam bahasa Malaysia di kalangan pelajar sekolah. Dari satu segi
lain terdapat juga -an digunakan oleh pelajar bukan Melayu seperti: di kalang (untuk di
kalangan).

Unsur gandaan juga kerap menjadi kekeliruan. Sebenarnya sebarang kata nama
bahasa Malaysia itu boleh difahamkan sebagai satu atau lebih. Biasanya bilangan ini
ditandai oleh penjodoh bilangan berserta angka dan bukan dengan gandaan seperti
yang selalu dilakukan. Misalnya, dua orang pelajar, bukan dua (orang) pelajar-pelajar,
(kerap pula penjodoh bilangan itu digugurkan). Pemakaian ganda ini telah kusut jadinya
sehingga digunakan di tempat yang tidak perlu seperti buku-buku sekolah, rumah-
rumah murah, padahal buku sekolah dan rumah murah sudah cukup lengkap
menunjukkan banyak.

3.5.4 Ayat

Masalah struktur ayat juga agak sering berlaku. Peminjaman struktur ayat-ayat Inggeris,
Arab dan sebagainya memang kerap ditemui seperti dalam kes pandai orang, besar
rumah, dan sebagainya. Tetapi yang agak menarik ialah kesalahan seperti Apakah
ialah nama ibu negeri Perak? Di sini ternyata bahawa ialah itu adalah terjemahan unsur
is dalam ayat What is the capital of Perak? Hal ini adalah suatu perkara yang tidak perlu
berlaku, melainkan orang yang terlibat itu tidak memahami sepenuhnya bahawa ayat
bahasa Malaysia tidak memerlukan unsur kopula is (ialah) itu.
Satu lagi kesalahan pada peringkat ayat ialah penggunaan penutup frasa seperti itu
dalam ayat seperti Menteri itu yang baru pulang..., selalu terdengar dalam pembacaan
berita Radio dan Televisyen Malaysia. Itu adalah unsur penutup frasa seperti dalam
Menteri yang baru pulang itu, dan sebagainya. Ini adalah kesalahan-kesalahan yang
agak meluas dan seharusnya boleh diperbetulkan.

Selalu pula terdapat kesalahan tatabahasa dari segi penggunaan ayat bangun kena
membuat (pasif) seperti: Pencabulan tentera Soviet oleh Afghanistan. Pencabulan
itulah yang dilakukan oleh tentera Soviet terhadap Afghanistan dan bukan sebaliknya.
Memang di sini ada ternyata gara-gara pengaruh unsur-unsur bahasa asing dalam
bahasa Malaysia, lebih-lebih lagi apabila orang itu lebih mahir dalam bahasa asing itu
dan tidak pernah belajar bahasa Malaysia secara formal (dan tidak mengenali sistem
tatabahasa).

3.5.5 Kata

Penggunaan kata-kata tertentu dalam pertuturan sehari-hari juga menunjukkan


beberapa kesalahan. Selalu juga terdapat kata-kata yang salah digunakan seperti:
Tukang Jahit Wanita (Tukang Jahit Pakaian Wanita), Kedai Makan Melayu (Kedai
Makanan Melayu), mengambil ubat (memakan ubat), dan sebagainya.

3.5.6 Intonasi

Intonasi adalah suatu masalah yang sering juga berlaku. Intonasi Inggeris, Cina atau
India kerap digunakan dalam ayat-ayat bahasa Malaysia. Kajian lanjut dan meluas perlu
dijalankan untuk mengetahui peringkat dan had kesalahan ini.

3.5.7 Peribahasa

Peribahasa bahasa asing sering digunakan dalam bahasa Malaysia. Misalnya, akan
meninggikan kenamaan universiti, (untuk meningkatkan nama baik universiti), dan
‘sampai menjilat jari’ (untuk terlalu sedap, ungkapan menjilat jari ini tidak wujud dalam
bahasa Malaysia). Perbuatan menjilat jari untuk menunjukkan sedap agaknya wujud
dalam budaya Inggeris. Dalam budaya Melayu, perbuatan begini tidak sopan.

Kejahilan tentang budaya juga selalu menimbulkan kesalahan dalam bahasa Malaysia.
Ada kata-kata yang penuh dengan unsur budaya. Salah satu daripada kata jenis ini
ialah ganti nama, seperti panggilan kakak, mak cik untuk menggantikan nama. Mereka
yang tidak faham budaya Melayu akan salah menggunakan ganti nama kakak atau
mak cik terhadap seseorang wanita, walaupun wanita itu lebih muda daripadanya. Ini
hanya menunjukkan dia tidak faham makna kata-kata tersebut awak dan kamu
hendaklah kena pada tempatnya. Penggunaan ganti nama aku (tidak hormat) juga
digunakan oleh pelajar bukan Melayu, walaupun mereka bertutur dengan guru dan
pensyarah. Begitu juga dengan kata-kata hormat yang salah digunakan. Sila hanya
untuk hormat dalam konteks positif sahaja. Misalnya, tidak boleh dikatakan sila jangan
berdiri; yang boleh hanya sila berdiri atau jangan berdiri.
Ada banyak peribahasa asing yang dipinjam ke dalam bahasa Malaysia, ada yang
cocok dan ada yang janggal. Kita harus berhati-hati dalam hal ini sebelum yang janggal
itu menjadi terlalu biasa dan tidak dapat ditentukan lagi tarafnya. Kadang-kandang
ungkapan bahasa Malaysia lebih pendek dan tepat tetapi kita sering kurang teliti,
misalnya: Tetamu dipersilakan duduk (bukan mengambil ‘tempat dudu’); dibuka siang
malam (bukan ‘dibuka 24 jam’). Ini jelas menunjukkan ciri-ciri bahasa Inggeris telah
menular ke dalam bahasa Malaysia. Dengan kata lain, pengajaran bahasa Malaysia
hari ini kadang-kadang tidak memberi perhatian terhadap hal-hal budaya ini.

3.6 Masalah Guru dalam Mengajar

Dengan keadaan masalah yang dinyatakan di atas ternyata ada banyak masalah yang
mencabar guru bahasa Malaysia. Pertama, ketiadaan model pembelajaran, kedua,
aspek-aspek bahasa, dan aspek-aspek bukan bahasa. dalam keadaan begini guru
terpaksalah menjadi model kepada pelajar-pelajar.

3.6.1 Model dan Buku Teks

Suatu masalah besar yang dihadapi oleh guru ialah dari segi model yang dapat
dicontohi dan buku-buku teks yang boleh digunakan untuk pembelajaran. Bahasa yang
digunakan dalam buku teks itu adalah bahasa rasmi. Jadi model juga adalah satu
masalah. model itu bermaksud bahasa yang dituturkan oleh mana-mana orang atau
kelompok orang yang boleh dijadikan contoh. Tidak ramai orang yang boleh dijadikan
contoh demikian. Jadi dalam ketiadaan contoh, maka sukarlah pelajar-pelajar tersebut
memahami dan menuturkan apa yang dipelajari.

3.6.2 Aspek-Aspek Bahasa

Ada aspek-aspek bahasa yang masih merupakan masalah bagi guru. Yang jelas
merupakan masalah ialah ketiadaan sebuah buku tatabahasa pegangan. Tatabahasa
yang ada sekarang, jelas menunjukkan bahawa ada unsur-unsur yang masih kacau
atau penjelasan yang berlainan antara pengarang-pengarang tatabahasa. Kedua, buku-
buku tatabahasa yang ada sekarang berdasarkan bahasa Melayu dahulu jadi suatu
usaha pengemaskinian perlu dilakukan. Suatu tatabahasa pegangan perlu disediakan
segera untuk menampung keperluan ini. Buku, Nahu Melayu Mutakhir (Asmah 1980)
dan Tatabahasa Dewan, Jld. I, Ayat (Nik Safiah et al., 1986) telah diterbitkan dan harus
dapat membantu menghapuskan masalah ini.

3.6.3 Aspek Bukan Bahasa

Masalah bukan bahasa yang terlibat sering melibatkan masalah ganti nama, sopan atau
tidak sopan seperti aku, saya, kamu/ engkau, taun/ saudara, dan sebagainya. Kalau
penutur tidak memahami kesensitifan budaya dalam hal ini, maka akibatnya mungkin
tidak baik. Misalnya, ada seorang pelajar Amerika yang belajar bahasa Malaysia, telah
dimarahi oleh seorang penghulu kerana menggunakan kata engkau terhadapnya. Ini
adalah masalah budaya. Ada tanda-tanda yang guru bahasa Malaysia juga tidak
mengetahui hal ini dengan lancar.

Di samping itu, satu kesalahan lain ialah gerak laku yang menyertai pertuturan tersebut.
Sambil berkata itu kita mungkin mahu menunjukkan sesuatu, tetapi dalam budaya
Melayu, ibu jari digunakan untuk menunjuk sebagai tanda hormat. Jadi, masalah ini
selalunya merupakan satu aspek yang kerap dilanggar dalam pengajaran. Ada gerak
laku yang dibuat dalam bertutur itu harus dibuat dengan betul.

3.7 Kesimpulan

Dalam suasana yang penuh masalah dan kritikan ini, tugas guru menjadi seakan-akan
mustahil. Tetapi, sebenarnya hal ini memang tidak seburuk itu, keadaannya jelas
semakin bertambah baik kalau berbanding dengan keadaan dahulu. Saya sengaja
memaparkan perkara-perkara ini, untuk mengemukakan masalah yang harus diatasi
oleh seseorang guru itu dalam mendaulatkan bahasa Malaysia. Dalam mencuba
menyelesaikan masalah ini, kita haruslah terlebih dahulu mengenali masalah tersebut,
dan seterusnya mencari penyelesaiannya. Tugas para guru itu tidaklah ringan. Masalah
yang wajib diatasi bukan maslah bahasa sahaja, bahkan juga masalah sosial, budaya,
psikologi, dan pedagogi. Seorang guru bahasa Malaysia bukan sahaja harus
mempelajari selok-belok bahasa, tetapi juga aspek-aspek bukan bahasa. kesemuanya
adalah aspek-aspek yang bergabung jalin dengan aspek bahasa dalam kemahiran
keseluruhan.

Posted by Profesor Emeritus Abdullah Hassan at 6:39 PM

PENDAHULUAN
Lazimnya kita mengetahui bahawa penguasaan bahasa pertama berlaku secara semula jadi
semenjak kecil lagi. Pada tahap ini, pengetahuan bahasa diperolehi secara tidak langsung atau
tidak formal. Menurut Kamarudin Hj. Husin (1998) :

“Mereka dapat menguasai bahasa itu dengan cara ‘memperoleh’ bukan melalui proses
pembelajaran. Mereka hanya perlu didedahkan kepada bahasa ibunda mereka dan secara tidak
disedari mereka akan pandai dengan sendirinya menggunakan bahasa itu.”

Hal ini berbeza dengan pembelajaran bahasa kedua. Bahasa mesti dipelajari secara formal
dan hanya berkembang melalui latihan dan pengukuhan. Oleh itu, dorongan (rangsangan) dan
sikap positif adalah perlu.
 
Dalam konteks pengajaran Bahasa Melayu sebagai bahasa pertama kepada pelajar
Melayu tidak banyak masalah. Sebaliknya, mengajar bahasa kedua kepada bukan penutur jati
(orang Melayu misalnya) memerlukan lebih perhatian. Pelajar perlu melalui rancangan-
rancangan dan aktiviti-aktiviti yang tersusun dengan kaedah-kaedah tertentu.
Menghuraikan masalah pembelajaran bahasa kedua, Abdullah Hassan (1980)
menjelaskan :

“Mungkin salah satu masalah yang besar ialah bahasa Melayu yang diajar itu amat formal dan
tidak ada kegunaan atau persamaannya dengan bahasa yang digunakan hari-hari, sehingga
murid-murid terpaksa mempelajari suatu dialek yang berlainan yang tidak boleh mereka
tuturkan di luar kelas.”

Adalah jelas bahawa mempelajari bahasa kedua merupakan satu proses mempelajari
perlakuan baru. Justeru, dalam proses pembelajaran, gangguan daripada bahasa ibunda sering
terjadi. Lingkungan kebudayaan dan bahasa ibunda pelajar sering mempengaruhi proses
pembelajaran bahasa kedua mereka. Oleh itu, pengajaran bahasa kedua hendaklah dirancang dan
dilaksanakan secara bersistem. dan formal.

DEFINISI BAHASA KEDUA


Menurut Kamarudin Hj. Husin (1998) maksud bahasa kedua “adalah bahasa yang kedua
dipelajari oleh seseorang itu di samping bahasa kandung yang dia peroleh. Bahasa kedua ini
adalah bahasa asing yang dipelajari untuk tujuan-tujuan tertentu.”

PENGUASAAN PEMBELAJARAN BAHASA KEDUA


Pengajaran bahasa kedua berbeza dengan  penguasaan bahasa pertama. Bahasa kedua diperoleh
dan dikuasai melalui pembelajaran. Pembelajaran bersifat formal, menekankan banyak latihan
dan pengulangan hingga membentuk satu tabiat. Rivers W. M (1964) menyatakan pembelajaran
bahasa asing pada dasarnya adalah merupakan satu proses mekanikal yang membentuk tabiat.

Oleh itu, cara penguasaannya adalah sama dengan proses pembentukan


tabiat yang lain seperti belajar menaip, berenang, memandu, dan lain-lain. Proses pembelajaran
menetapkan jika sekali berjaya dilakukan dengan baik maka ia akan dapat diulangkan untuk
seterusnya secara automatik. Proses penguasaan bahasa kedua pada peringkat awal kanak-kanak
berkemungkinan sama dengan proses penguasaan bahasa pertama. Namun, proses penguasaan
bahasa kedua selepas peringkat awal kanak-kanak akan mengalami cara yang berbeza dengan
proses pemerolehan pengetahuan bahasa pertama. Hal ini ditegaskan oleh Brown (1980) :

“Adult, more cognitively secure,appear to operate from the solid foundation of the first
language and thus manifest more interference.”

Seterusnya, Rivers melalui teori pendekatan mengajar bahasa iaitu ‘pendekatan dengar sebut’
menyatakan bahawa :

Ø  Pembelajaran bahasa asing pada asasnya adalah merupakan satu proses yang mekanikal
membentuk tabiat.
Ø  Analogi memberi asas yang lebih kukuh terhadap pembelajaran bahasa asing berbanding analisa.

Daripada kenyataan tersebut dapatlah diandaikan bahawa tabiat terbentuk melalui


peneguhan. Tabiat berbahasa kedua boleh dibentuk dengan cara mempelajari atau latih tubi. Ia
memainkan peranan penting bagi menggalakkan tabiat berfungsi.
         Menurut pendekatan kognitif (Chomsky), mempelajari bahasa ialah satu proses menguasai
pola-pola fonologi, sintaksis dan leksikal bahasa berkenaan. Teori ini menekankan kepentingan
pemahaman murid terhadap struktur bahasa. Kesenangan murid mempelajari bahasa kedua akan
menyebabkan penguasaan kognitif mereka terhadap struktur bahasa itu mudah berkembang.

PRINSIP-PRINSIP PENGAJARAN BAHASA KEDUA


a)    Pembelajaran bahasa kedua ialah satu proses mekanis. Proses ini akan membentuk perlakuan dan
tabiat baru menguasai kemahiran bahasa, iaitu melalui latihan-latihan dan peneguhan.
b)    Bentuk bahasa pertuturan dipelajari terlebih dahulu. Pengajaran bahasa kedua mesti didahulukan
dengan kemahiran lisan. Aktiviti pengajaran dan pembelajaran bermula daripada kemahiran
mendengar, kemahiran bertutur, kemahiran membaca dan kemahiran menulis. Kanak-kanak
diajar menyebut perkataan sebelum bentuk-bentuk tulisan.
c)    Pembelajaran secara membuat analogi. Pelajar cepat menerima dan memahami makna perkataan
dengan cara melihat persamaan dan perkaitannya dengan objek yang dianalogikan. Analogi
digunakan untuk menunjukkan persamaan ciri atau sifat. Cara ini akan mempermudah guru
mengajar tanpa perlu menghabiskan masa panjang untuk menjelaskan konsep-konsepnya.
d)    Makna dipelajari dalam konteks. Makna haruslah dipelajari dalam konteks yang dapat
menerangkan makna itu dalam konteks agama, adat dan adab, dan sosio budaya teks atau rujukan
teks.

PERBEZAAN CARA PEMEROLEHAN BAHASA PERTAMA DENGAN  CARA


PEMBELAJARAN BAHASA KEDUA

1)    Dari Segi Prinsip

Ø  Penguasaan Kemahiran Bahasa


Dalam pemerolehan bahasa pertama, penguasaan sesuatu kemahiran bahasa berlaku secara
beransur-ansur. Mula-mula mereka mengeluarkan bunyi-bunyi, kemudian mencantumkan unit-
unit bunyi menjadi perkataan dan selepas itu mencantumkan perkataan-perkataan menjadi
ungkapan atau ayat. Kanak-kanak memerhati dan menangkap sebarang kemahiran bahasa ibunda
daripada penutur lain. Lama-kelamaan mereka akan menjadi mahir dengan sendiri. Proses
kefahaman boleh wujud lebih awal daripada proses melahirkan ucapan.
Manakala pembelajaran bahasa kedua adalah merupakan satu proses mekanis yang
membentuk lakuan baru, iaitu lakuan kemahiran bahasa. Latihan-latihan peneguhan diberikan
untuk membentuk tabiat bahasa yang dipelajari.

Ø  Penguasaan Aspek Bahasa


Dalam pemerolehan bahasa pertama setiap kemahiran bahasa dikuasai dengan cara yang
perlahan. Cara ini membolehkan beberapa aspek bahasa dapat dikuasai secara sekali gus.
Sebagaimana diketahui, bahasa mempunyai banyak rumus dan peraturan. semuanya itu dikuasai
secara serentak. Kanak-kanak umpamanya dapat menguasai bunyi, perkataan, pengimbuhan,
makna, dan penggunaannya dalam ayat secara sekali gus.
Hal ini berbeza dengan pengajaran bahasa kedua yang mesti didahulukan dengan
kemahiran lisan. Aktiviti pengajaran bermula daripada kemahiran mendengar, kemudian
bertutur, kemahiran membaca dan kemahiran menulis. Kanak-kanak diajar menyebut sesuatu
kata itu dahulu sebelum mengajar bentuk-bentuk tulisan. Cara ini akan menghasilkan satu
pengajaran bahasa kedua yang berkesan.

Ø  Mempelajari Penggunaan Bahasa


Dalam pemerolehan bahasa pertama, prinsip ini menerangkan bahawa kanak-kanak tidak
mengkaji tatabahasa untuk menguasai bahasa tersebut. Mereka belajar menggunakannya. Kanak-
kanak tidak diminta menjelaskan sebab binaan ayat itu adalah betul atau salah, tetapi mereka
diberi tahu betul dan salah ayat itu. Dalam aspek tatabahasa misalnya, kanak-kanak tidak diminta
mengkaji rumus-rumusnya tetapi cukup sekadar menggunakannya dalam ayat-ayat yang betul.
Sebaliknya, dalam pembelajaran bahasa kedua, pelajar belajar secara membuat analogi.
Pembelajaran cara ini membolehkan pelajar menerima pelajaran dengan cara melihat persamaan
dan perkaitan antara bentuk-bentuk yang diajar. Mereka diberi latih tubi dalam pola-pola yang
diajar. Analogi digunakan untuk menghasilkan penguasaan struktur bahasa tanpa menghabiskan
masa dan tenaga untuk menjelaskan konsep-konsep tatabahasa. Mereka diberitahu sebab binaan
bahasa yang digunakan itu adalah salah atau betul.
  
Ø  Penggunaan Bahasa
Dalam pemerolehan bahasa pertama, kanak-kanak belajar menggunakan bahasa melalui
pemerhatian atau pendengaran dan kemudiannya menggunakan unsur yang sama dalam keadaan
yang serupa bagi memberikan maknanya. Walaupun tidak memahami sistem tatabahasa, tetapi
mereka amat mengetahui hubungan antara perkataan dalam ayat dan hubungan antara satu ayat
dengan ayat lain. Mereka menggunakan sesuatu perkataan dalam konteks makna, bukannya
dalam konteks tatabahasa. Semasa mengajar, guru perlulah mencari konteks makna bagi
menjelaskan makna perkataan itu. Pelajar diberi latihan dan latih tubi pemakaian makna dan
perkataan yang betul.
       Sebaliknya, dalam pembelajaran bahasa kedua, makna haruslah dipelajari dalam konteks
yang dapat menerangkan makna itu sendiri. Makna perkataan perlulah diajar dalam konteks
agama, adat dan adab, dan budaya. Ini adalah cara yang difikirkan berkesan dalam memberikan
makna.

Ø  Kebiasaan Mempelajari Bahasa


Dalam pemerolehan bahasa pertama, kanak-kanak mempelajari pertuturan menurut kebiasaan
tertentu. Kebiasaan ini mungkin kebiasaan seseorang individu atau kelompok penutur. Mereka
mempunyai kumpulan sendiri dan mempunyai tabiat  bertutur yang tersendiri. Kanak-kanak
tidak perlu dihalang mengembangkan kebolehan mereka berbahasa secara tersendiri.
Hal ini berbeza dengan pembelajaran bahasa kedua. Pembelajaran berlaku secara formal
dan mempunyai guru. Peluang pembelajaran hanya dapat diikuti di tertentu sahaja.

2) Strategi

Ø  Tatacara Penguasaan
Cara memperolehi bahasa pertama tidak sama dengan cara menguasai bahasa kedua.
Pemerolehan bahasa pertama melalui proses tidak formal. Sebaliknya, pembelajaran bahasa
kedua memerlukan usaha gigih dan perancangan teliti. Manusia tidak perlu berguru dalam
institusi formal untuk membolehkan mereka bertutur dengan baik dalam bahasa ibunda.
Sebaliknya, seseorang perlu berguru secara formal untuk mempelajari bahasa kedua, walaupun
tidak menjamin orang berkenaan bertutur dengan fasih dan lancar dalam bahasa tersebut.
            Proses-proses yang menghasilkan kemahiran berbahasa dalam bahasa pertama dan
bahasa kedua adalah berbeza. Hal ini dapat dilihat dari istilah yang digunakan. Bagi bahasa
pertama, istilah ‘penguasaan’ atau ‘pemerolehan’ digunakan, manakala bagi bahasa kedua,
istilah ‘pemelajaran’ digunakan. Dalam hal ini, Kamarudin (1988) menyatakan :

“Berbeza dengan pemelajaran bahasa pertama, penguasaan bahasa kedua bukanlah didapati
melalui pemerolehan tetapi dikuasai melalui pemelajaran. Ini dilakukan dalam keadaan yang
lebih formal, memerlukan banyak latihan dan pengulangan hingga menjadi sesuatu tabiat.”
Ø  Fungsi
Tujuan yang menguasai pengetahuan bahasa pertama dan mempelajari bahasa kedua adalah
berbeza. Berlainan dengan proses pemerolehan bahasa pertama, pembelajaran bahasa kedua
merupakan usaha yang ditentukan oleh manfaat yang bakal diperoleh.
Tujuan mempelajari bahasa kedua biasanya dikaitkan dengan peranan bahasa dalam
kehidupan seseorang pengguna. Oleh itu, pengajaran bahasa kedua sering mengarah kepada
sesuatu tujuan yang tertentu.

Ø  Kebebasan Memilih
Dalam konteks ini, proses pemerolehan bahasa pertama merupakan satu proses yang tidak ada
pilihan. Manakala proses penguasaan bahasa kedua pula adalah proses yang ada pilihan. Proses
penguasaan bahasa kedua didorong oleh sebab-sebab tertentu. Biasanya kanak-kanak bahasa
pertama mendapat dorongan dan motivasi yang kuat untuk mempelajari bahasa itu bersungguh-
sungguh. Ini kerana mereka mempunyai keperluan untuk menggunakan bahasa itu. Ia agak
berbeza dengan pemelajaran bahasa kedua. Keinginan untuk mempelajari bahasa ini tidak kuat
walaupun mereka sedar bahasa kedua itu berguna.
Corak perasaan dan bentuk pemikiran akan menentukan sama ada seseorang itu akan
berusaha gigih atau tidak mempelajari bahasa kedua. Bagi bahasa pertama pula, penguasaan
pengetahuannya berlaku secara semulajadi, dan tidak ada kanak-kanak normal yang terkecuali
daripada menguasai pengetahuan bahasa pertama.

Ø  Kejayaan Penguasaan
Penguasaan pengetahuan bahasa oleh penutur bahasa pertama dan bahasa kedua adalah berbeza.
Dalam bahasa pertama, kanak-kanak, secara genetik, telah diprogramkan untuk berjaya dalam
proses penguasaan bahasa pertama. Proses tersebut merupakan proses menyesuaikan
pengetahuan bahasa semula jadi yang sedia ada dengan sistem bahasa pertama mereka.
Sementara pembelajaran bahasa kedua pula, faktor genetik tidak memainkan peranan
penting. Faktor-faktor luaran yang menentukan kejayaan proses  pembelajaran bahasa kedua
berkenaan. Berkenaan hal ini, Abdullah Hassan (1987) menegaskan :
“…pemerolehan bahasa ibu tidak berlaku di kalangan kanak-kanak secara tidak formal, yakni
tidak perlu diajar. Bahasa kedua pula terpaksa dipelajari dan hanya berkembang melalui
latihan dan pengukuhan. Bukan itu sahaja yang berlaku, kita mesti mempunyai dorongan dan
sikap yang sihat untuk dapat belajar dengan berkesan.”

Ø  Masa
Dari segi masa, kanak-kanak mempelajari bahasa kedua sering mengalami kesulitan. Mereka
tidak mempunyai masa yang cukup dan tidak pula dapat menumpukan perhatian sepenuhnya
terhadap bahasa yang dipelajari itu. Bahasa yang dipelajari tidak dapat dipraktikkan sepenuhnya,
sebagaimana mereka menggunakan bahasa ibunda sehari-hari. Peluang mempelajari dan
menggunakannya berlaku di dalam kelas-kelas sahaja.

Anda mungkin juga menyukai