Kemahiran Mendengar Dan Bertutur

Unduh sebagai pdf atau txt
Unduh sebagai pdf atau txt
Anda di halaman 1dari 26

BMM 3043 PENGAJARAN KEMAHIRAN BAHASA MELAYU

Tajuk 1

KEMAHIRAN MENDENGAR DAN BERTUTUR

Sinopsis

Tajuk ini akan membolehkan anda mengetahui kemahiran mendengar dan bertutur yang merangkumi
konsep, objektif, proses dan bentuk.

Hasil Pembelajaran

Pada akhir unit ini, anda seharusnya dapat:


1. menjelaskan konsep kemahiran mendengar dan kemahiran bertutur;
2. mengenal pasti tujuan pengajaran dan pembelajaran kemahiran mendengar dan bertutur;
3. menghuraikan kaedah, teknik dan aktiviti dalam kemahiran mendengar dan kemahiran bertutur;
4. menyatakan prinsip pemilihan, penghasilan dan penggunaan bahan yang sesuai bagi proses
pengajaran dan pembelajaran kemahiran mendengar dan kemahiran bertutur; dan
5. mengemukakan bentuk penilaian aktiviti kemahiran mendengar dan kemahiran bertutur.

Kerangka Konsep

Menganalisis
Ciri-Ciri
Pelajar

Menetapkan Menulis Membentuk Membentuk Memilih Media Melaksanakan


Matlamat Objektif ujian aktiviti Pengajaran Pengajaran
pengajaran

Meneliti
Semula Teks

Menyemak Pengajaran

Rajah 1: Modul Strategi Pengajaran Efektif

1
BMM 3043 PENGAJARAN KEMAHIRAN BAHASA MELAYU

Rajah 2: Perilaku - Ucapan Teori Chomsky


Disesuaikan daripada Pengantar Psikolinguistik Moden, 1987: 51)

1.1 Kemahiran Mendengar dan Bertutur

1.1.1 Konsep

Kemahiran lisan secara umum dirujuk kepada keupayaan seseorang atau beberapa
orang bertutur, berkomunikasi atau berinteraksi menyampaikan idea, pandangan,
mahupun pendapat dalam percakapan dan perbualan. Dalam apa-apapun keadaan, di
mana atau bagaimana proses ini berlaku, orang yang terlibat akan saling menghantar
dan menerima, yakni memberikan gerak balas atau respon tertentu. Hal ini bermakna
dalam proses lisan itu, komponen kemahiran mendengar dan bertutur yang tidak
kurang pentingnya. Dalam konteks ini, kemahiran mendengar ialah proses yang
melibatkan aktiviti pemerolehan mesej atau maklumat; manakala kemahiran bertutur
pula melibatkan proses menjana dan menghasilkan penghasilan maklumat.

Aspek-aspek pendengaran itu boleh dikonsepsikan dengan pelbagai cara,


seperti gabungan bunyi-bunyi bahasa yang didengar, difahami dan diingat; proses yang
berlaku dipengaruhi aspek fizikal, psikologi, dan neurologi; berlaku melalui latihan-
latihan khas secara berperingkat-peringkat dan berpusatkan idea utama, hujah, bukti
dan estetika.

2
BMM 3043 PENGAJARAN KEMAHIRAN BAHASA MELAYU

Kemahiran bertutur merupakan proses komunikasi yang amat kompleks.


Semasa bertutur, seseorang itu akan menghasilkan bunyi bahasa dengan
menggunakan unsur-unsur prosodi (intonasi, tekanan sebutan dan jeda) dan para
linguistik (bagi bahasa isyarat dan pergerakan badan). Walau bagaimanapun, selain
menggerakkan alat pertuturan untuk mengeluarkan bunyi bahasa yang bermakna,
proses bertutur juga melibatkan proses mental: memahami, menaakul, memadan,
menyesuaikan dan memberi gerak balas tertentu mengikut situasi sesuatu komunikasi.
Penutur yang baik akan mengkoordinasi keupayaan mendengar dan memperoleh
maklumat bagi tujuan menghasilkan bunyi-bunyi bahasa dengan menggunakan unsur-
unsur prosidi dan melaksanakan proses mental – mendengar dan membaca secara
berkesan

Konsep Pertuturan
(a) Pertuturan merupakan gabungan daripada bunyi-bunyi bahasa yang dilafazkan.
Misalkan bunyi-bunyi, /b/, /a/, /t/, /u/ digabungkan menghasilkan bunyi [batu];
(b) Pertuturan berlaku di peringkat produksi, yakni setelah penutur dapat
mendengar dan memahami dengan baik apa-apa yang didengarinya;
(c) Individu banyak belajar kemahiran bertutur daripada pengalaman kecerdasan
otaknya;
(d) Aspek fizikal, kesihatan, kecerdasan otak, persekitaran, jantina dan tahap
sosioekonomi boleh mempengaruhi tahap pertuturan kanak-kanak; dan
(e) Kemahiran bertutur yang baik boleh dikuasai dengan memberi perhatian kepada
aspek fonologi, struktur, intonasi dan penguasan aspek bunyi yang lain.

1.1.2 Objektif Kemahiran Mendengar dan Bertutur


Kemahiran mendengar membolehkan murid:
 memperoleh idea;
 mencari isi-isi penting;
 melakukan arahan/ tindak balas;
 mengenal pasti perkara yang berhubungan dan tidak berhubungan;
 mengenal pasti isi-isi yang tersirat;
 mentafsir makna-makna yang tersirat,
 mengenal pasti ‘mood’ penutur, suasana, dan keadaan atau konteks, dan
 mengesan ‘pengaruh’ penutur sama ada menggunakan logik atau propaganda,
iaitu seperti memberi yang baik sahaja, menggunakan nama orang-orang
terkemuka atau mengulang sebut perkara yang diperkatakan.

3
BMM 3043 PENGAJARAN KEMAHIRAN BAHASA MELAYU

Kemahiran bertutur membolehkan murid:


 menyebut dengan jelas;
 menyampai atau melahirkan pendapat peribadi;
 melaporkan peristiwa dan memberi sesuatu huraian dengan tepat;
 memberi penerangan dan alasan;
 menunjuk arah;
 membina soalan untuk mencari maklumat;
 bertemu ramah;
 bertukar-tukar pendapat dan maklumat;
 bertutur secara bertatasusila; dan
 bertutur menggunakan bahasa yang tepat dan sesuai dengan pendengar dan
situasi.

Aspek-Aspek Pertuturan
i. Sebutan: Dalam aspek sebutan murid-murid diajar mengenal dan membunyikan
setiap huruf, suku kata, perkataan, frasa kata dan ayat. Dalam hal ini, murid-
murid diajar menyebut dan membunyikan suku kata dan perkataan dengan jelas
dan tepat mengikut kaedah bunyi, sebutan dan maknanya. Aspek ini penting,
terutamanya melibatkan perkataan yang mempunyai ejaan yang sama tetapi
kaedah sebutan dan makna yang berlainan seperti semak, boleh dibunyikan
sebagai /semak/ dan /sǝmak/ dan seumpamanya;
ii. Tekanan: Tekanan merujuk kepada cara dan bagaimana penutur menyebut dan
memberi tekanan kepada sama ada suku kata, perkataan atau rangkai kata
tertentu bagi tujuan menegaskan sama ada keras atau lembutnya sesuatu
pengucapan;
iii. Mora (panjang-pendek): Mora atau panjang-pendek merupakan kadar (dalam
bahasa Arab disebut ‘harakat’), tidak begitu membezakan makna dalam bahasa
Melayu;
iv. Jeda (persendian): Unsur ini merujuk aspek persendian – memisahkan elemen-
elemen linguistik dalam perkataan, rangkai kata atau ayat. Dalam ayat, jeda
digunakan sebagai hentian sementara yang boleh membezakan makna jika
unsur ini digunakan. Misalnya ungkapan, ‘jangan tembak,’ jika tidak
menggunakan jeda bermaksud larangan melepaskan tembakkan, sebaliknya
jika jeda digunakan, ‘jangan/tembak,’ bermaksud menangguhkan seketika dan
kemudiannya melepaskan tembakkan!
v. Intonasi: Intonasi merujuk kepada kedaan sama ada dilafazkan secara menurun
atau menaik sesuatu. Intonasi dalam ayat sama ada menaik, menurun atau
mendatar berbeza-beza mengikut jenis ayat. Misalnya, ayat tanya biasanya
mempunyai intonasi menaik, manakala ayat penyata mempunyai intonasi
menurun di hujung ayat.
vi. Nada: Nada merujuk kepada keadaan bunyi sama ada menaik atau menurun
ketika sesuatu perkataan itu disebut. Dalam muzik misalnya terdapat lapan
nada: Do, Re, Mi, Fa, So, La, Ti dan Do – setiap nada mewakili satu suku kata.

4
BMM 3043 PENGAJARAN KEMAHIRAN BAHASA MELAYU
Pun demikian dalam bahasa Melayu, nada tidak bersifat fonemik berbanding
dengan bahasa Cina, kewujudannya lebih jelas.
vii. Tatabahasa: Aspek tatabahasa merujuk kepada aturan, formula, kaedah dan
tatacara menentukan hukum dalam berbahasa – meliputi bidang fonologi,
sintaksis dan semantik. Aspek tatabahasa dalam pertuturan kerap kali tidak
diberatkan berbanding dalam aktiviti penulisan. Walau bagaimanapun, untuk
memperoleh kebiasaan yang baik dan kesan yang mendalam dalam
pengucapan, aspek tatabahasa perlu diguna pakai sebaik-baiknya;
viii. Kelancaran: Aspek kelancaran menegaskan perihal dan keupayaan murid
bertutur dengan baik, teratur dan kemas tanpa gangguan/tersekat. Keadaan ini
banyak dipengaruhi dan ditentukan oleh tahap penguasaan dan kecekapan
berbahasa dalam kalangan murid-murid.
ix. Kefasihan: Aspek kefasihan menentukan bukan sahaja murid dapat bertutur
dengan baik, lancar dan berkesan, sebaliknya boleh membunyikan kata atau
menyebut perkataan dalam ayat dengan jelas, betul dan betul;
x. Laras bahasa: Aspek laras bahasa dalam konteks ini menegaskan kemahiran
murid-murid menggunakan bahasa dalam konteks yang situasi, keadaan dan
disiplin ilmu berlainan. Ini penting bagi tujuan mempastikan murid-murid boleh
berkomunikasi secara berkesan.

1.1.3 Proses dan Bentuk:


Komunikasi lisan melibatkan dua proses, iaitu penghasilan dan penerimaan mesej.
Proses pertama terlaksana melalui pertuturan sementara proses yang kedua berlaku
melalui pendengaran. Terdapat pernyataan bahawa dalam pengajaran bahasa, aspek
pendengaran amat kurang diberi perhatian oleh guru. Proses mendengar biasanya
berlaku secara berperingkat. Empat peringkat proses mendengar, itu:
 mendengar deretan bunyi-bunyi bahasa;
 memahami bunyi-bunyi bahasa tersebut;
 menilai bunyi-bunyi yang diperdengarkan; dan
 bertindak balas terhadap bunyi-bunyi tersebut.

Seseorang akan membuat tanggapan terhadap gabungan bunyi-bunyi bahasa


yang didengarinya. Kemudian pendengar itu akan menghubungkan bunyi-bunyi bahasa
itu dengan makna berasaskan pengetahuan dan pengalamannya. Proses menanggap
bunyi dan mentafsir makna sesuatu sebutan berlaku secara serentak berdasarkan
pengalaman dan pengetahuan pendengar berkenaan. Akhirnya, bunyi bermakna
sebagaimana yang ditanggapi oleh pendengar itu tadi akan digunakan sebagai asas
bagi membuat tindakan, huraian atau menyatakan pengalamannya kepada orang yang
menghasilkan bunyi bahasa tersebut.

5
BMM 3043 PENGAJARAN KEMAHIRAN BAHASA MELAYU
Penjelasan ini menegaskan bahawa dalam proses mendengar, seseorang
pendengar yang baik menggunakan alat pendengaran dan keupayaan akalnya secara
bijaksana. Justeru, anggapan bahawa mendengar merupakan kemahiran bahasa yang
pasif tidak boleh diterima. Hal ini kerana mendengar merupakan proses yang kompleks
melibatkan proses mendengar, memahami, menghurai dan menilai apa yang
didengarinya itu sebelum sesuatu gerak balas yang sewajarnya dapat dilakukan.
Proses mendengar seperti yang berikut:
 secara pasif;
 secara bertelau-telau;
 tanpa tindak balas;
 secara menebuk-nebuk;
 dengan beremosi;
 secara berhati-hati dengan pengamatan; dan
 secara kritikal.

Aktiviti dalam Kemahiran Bertutur:


 Mengaitkan aksi dengan pertuturan;
 Menjawab soalan-soalan rakan dan guru;
 Membina soalan berdasarkan bahan;
 Memberikan arahan kepada rakan;
 Menerangkan gambar dan bahan grafik;
 Perbualan melalui telefon;
 Perbahasan;
 Perbincangan forum;
 Memberikan taklimat dan ceramah;
 Main peranan;
 Simulasi;
 Teater bercerita; dan
 Drama.

Prinsip Proses Kemahiran Mendengar


i. Mendengar merupakan gabungan daripada segala yang pernah dilihat, didengar
dan dingati;
ii. Proses mendengar berlaku melalui latihan secara khusus yang dilaksanakan
secara berperingkat-peringkat;
iii. Individu lebih banyak belajar mendengar melalui pengalamannyaberbanding
daripada kecerdasan otaknya;
iv. Aspek fizikal, psikologi dan neorologi mempengaruhi proses pendengaran
seseorang;
v. Pendengaran yang cekap menyatukan idea secara logik dan berkesan;

6
BMM 3043 PENGAJARAN KEMAHIRAN BAHASA MELAYU
vi. Mendengar berlaku melalui proses akal bukan perasaan;
vii. Mendengar untuk mengkritik perlu berasaskan idea utama, hujah dan bukti
tertentu;
viii. Mendengar untuk hiburan memerlukan tindak balas terhadap muzik, aspek
kesusasteraan dan aspek seni serta estatika; dan
xi. Mendengar untuk apresiasi memerlukan perlakuan bahasa menganalisis secara
kritis terhadap bentuk dan isi.

Kesimpulannya:

Pengajaran dan pembelajaran kemahiran mendengar membolehkan murid-murid menguasai


kemahiran mendengar dengan teliti terhadap bunyi-bunyi bahasa; dan memahami mesej yang
dibawa oleh bunyi-bunyi bahasa tersebut yang membolehkan murid bertindak dengan betul
dan tepat, bersesuaian dengan mesej yang diterima itu.

Latihan
1. Bincangkan proses dan bentuk mendengar dan bertutur berserta aktiviti yang sesuai.
2. Huraikan maksud kemahiran mendengar dalam situasi formal dan tidak formal berserta
dengan contohnya.

7
BMM 3043 PENGAJARAN KEMAHIRAN BAHASA MELAYU

Tajuk 2
KEMAHIRAN MENDENGAR DAN BERTUTUR

Sinopsis

Tajuk ini akan membolehkan anda mengetahui peringkat penguasaan, unsur dan faktor keberkesanan
serta prinsip pengajaran dalam kemahiran mendengar dan bertutur.

Hasil Pembelajaran

i. Menghuraikan faktor-faktor keberkesanan pengajaran kemahiran mendengar dan bertutur.


ii. Menjelaskan prinsip-prinsip pengajaran kemhairanmmendengar dan bertutur.

Kerangka Konsep

Menganalisis
Ciri-Ciri
Pelajar

Menetapkan Menulis Membentuk Membentuk Memilih Media Melaksanakan


Matlamat Objektif Ujian aktiviti Pengajaran Pengajaran
pengajaran

Meneliti
Semula Teks

Menyemak Pengajaran

Rajah 1: Modul Membangunkan Strategi Pengajaran Efektif

2.1 Peringkat-Peringkat Penguasaan Kemahiran Mendengar dan Bertutur


i. Peringkat Penerimaan (mendengar dan memahami)

Sebelum murid diberi peluang berlatih bertutur, mereka perlu diberi kefahaman
mendengar. Pada peringkat ini latihan diberi kepada murid-murid, tidak memerlukan
mereka bertindak balas dalam bentuk pertuturan. Bahan-bahan yang diperdengarkan
hendaklah mencerminkan penggunaan bahasa yang baik dan boleh dijadikan model
dalam kalangan murid-murid berkenaan.

ii. Penghasilan Semula (bertindak balas)

Pada peringkat ini, latihan yang diberi memerlukan murid bertindak balas secara
pertuturan. Semasa bertutur banyak aspek yang terlibat, seperti intonasi frasa dan ayat,
aspek sebutan, kelancaran, kefasihan, tatabahasa, gaya dan isi penyampaian.

8
BMM 3043 PENGAJARAN KEMAHIRAN BAHASA MELAYU
2.1.1 Peringkat–Peringkat Kemahiran Bertutur
Untuk mencapai objektif pengajaran bertutur, iaitu bertutur dengan fasih dan dapat
mengeluarkan buah fikiran dengan menggunakan bahasa yang tepat dan sesuai
mengikut situasi perhubungan di sekolah dan dalam kalangan masyarakat. Hal ini
menegaskan betapa perlunya kemahiran bertutur itu perlu dikuasai secara
berperingkat-peringkat, yakni peringkat awalnya melibatkan pertuturan di antara murid
dengan murid dalam bilik darjah sehinggalah murid boleh bertutur dengan ahli
masyarakat di luar bilik darjah. Dengan demikian, pengelompokan pengajaran
kemahiran bertutur dapat diklasifikasi mengikut peringkat: peringkat awal, pertengahan
dan maju.

1. Peringkat awal
 Melafazkan pengucapan bertatasusila;
 Mengajuk perkataan dan ayat yang didengar;
 Menyoal untuk mendapatkan maklumat;
 Membuat teguran atau kenyataan mengenai sesuatu situasi;
 Menyoal soalan-soalan mudah berdasarkan situasi-situasi tertentu;
 Bertindak terhadap soalan-soalan mudah;
 Memberi arahan;
 Membuat ayat tentang diri, rakan, ibu dan bapa; dan
 Membuat ayat-ayat daripada gambar.

2. Peringkat pertengahan
 Membuat deskripsi tentang objek atau gambar;
 Bercerita berdasarkan satu siri gambar atau gambar-gambar bersiri;
 Mendeskripsi pengalaman atau sesuatu peristiwa;
 Memberi satu siri arahan untuk membuat sesuatu;
 Menyoal dan menjawab soalan-soalan misalnya, berhubung dengan
peribadi seseorang, masa bersekolah, persekitaran dan di rumah;
 Membaca iklan, peraturan-peraturan;
 Memberi ucapan pendek dan mudah;
 Mengambil bahagian dalam perbualan mudah;
 Memberi komen secara mudah; dan
 Membuat ulasan, memberi pendapat atau pandangan secara mudah.

9
BMM 3043 PENGAJARAN KEMAHIRAN BAHASA MELAYU
3. Peringkat maju
 Mendeskripsi sesuatu peristiwa, kejadian, pengalaman, objek,
permainan, proses dan sebagainya;
 Bercerita dengan menggunakan alat pandang atau tanpa
menggunakannya;
 Mengambil bahagian dalam perbincangan, perbualan atau dialog;
 Bertanya untuk mendapatkan maklumat;
 Menerangkan proses, kejadian, prosedur dan peraturan;
 Memberitahu arah atau hala sesuatu tempat;
 Memberi ceramah, syarahan (yang disediakan);
 Mengambil bahagian dalam perbahasan, diskusi, forum, perbincangan,
seminar dan lain-lain;
 Mengambil bahagian dalam drama dan lakonan;
 Mendeklamsi puisi;
 Menyampaikan komen, laporan atau ulasan; dan
 Mengkritik cerpen, pendapat, puisi, novel dan sebagainya.

Unsur-unsur dan faktor keberkesanan pengajaran kemahiran lisan


Terdapat beberapa faktor yang cukup mempengaruhi keberkesanan pengajaran dan
pembelajaran kemahiran lisan. Faktor seperti yang berikut:

i. Kecerdasan:

Hal ini merujuk tahap kecerdasan otak yang menentukan keupayaan berfikir
dalam proses memperoleh, menyampai dan memproses maklumat - aspek
penting dalam pertumbuhan dan perkembangan bahasa;

ii. Kesihatan:

Hal ini merujuk kepada tahap kesihatan yang cukup menentukan tahap dan
keupayaan berbahasa dalam kalangan murid-murid. Murid yang tidak sihat atau
sakit berpanjangan akan mengalami gangguan dalam proses pemerolehan
bahasa, bahkan gagal berfikir dan berkomunikasi secara berkesan;

iii. Fizikal:

Hal ini, terutamanya yang berkaitan dengan aspek tubuh badan yang berhubung
langsung dengan proses mendengar seperti telinga dan alat artikulasi: lidah,
gigi, gusi dan seumpamanya akan menjejaskan proses penglahiran bunyi-bunyi
bahasa, makna dan tahap pemahaman maklumat yang hendak disampaikan.

10
BMM 3043 PENGAJARAN KEMAHIRAN BAHASA MELAYU
Kanak-kanak yang pekak atau menghadapi masalah pendengaran, terencat
anggota badan dan seumpamanya akan mengehadkan pergaulan, dan dengan
demikian kerap kali menghadapi masalah kosa kata dalam proses pertuturan;

iv. Persekitaran:

Hal ini terutamanya yang melibatkan kalangan ahli keluarga ibu, bapa dan ahli
keluarga keseluruhannya, jiran tetangga, tahap pendidikan, lokasi petempatan
sama ada di bandar atau di luar bandar, tahap dan status sosioekonomi akan
mempengaruhi tahap penguasaan bahasa kanak-kanak. Umumnya, benak
fikiran kanak-kanak yang hidup dalam kalangan masyarakat petani dan nelayan
mempunyai kosa kata terhad berbanding dengan kanak-kanak yang hidup dan
membesar dalam kalangan masyarakat di bandar-bandar;

v. Jantina:

Faktor yang menentukan tahap pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak


berbeza-beza. Kajian menunjukkan kadar pertumbuhan kanak-kanak
perempuan jauh lebih cepat berbanding dengan kadar pertumbuhan dan
perkembangan kanak-kanak lelaki. Hal ini demikian kerana urat saraf
pertuturan dalam kalangan kanak-kanak perempuan berkembang jauh lebih
cepat berbanding kanak-kanak lelaki; dan

vi. Dwibahasa:

Kajian mendapati kanak-kanak ekabahasa biasanya boleh bertutur jauh lebih


baik berbanding dangan kanak-kanak dwibahasa. Ini kerana, dalam proses
pertuturan, kanak-kanak dwibahasa kerap kali mengalami gangguan daripada
bahasa ibundanya.

11
BMM 3043 PENGAJARAN KEMAHIRAN BAHASA MELAYU
2.1.3 Prinsip Pengajaran Kemahiran Mendengar

i. Kemahiran mendengar perlu diajar bersama-sama kemahiran berbahasa


bertutur, membaca dan menulis;

ii. Kemahiran mendengar, seperti kemahiran berbahasa yang lain juga bersifat
dinamik dan aktif. Justeru, aktiviti proses pengajaran dan pembelajaran yang
melibatkan kemahiran mendengar perlu dirancang berteraskan tugasan yang
menjurus kepada sesuatu aktiviti tertentu;

iii. Setiap aktiviti dan kemahiran yang hendak diajar hendaklah dirancang dan
disampaikan dalam bentuk pelbagai. Dengan demikian murid-murid boleh
melibatkan diri secara proaktif, memberi respon yang pelbagai diberi peluang
sebaik-baiknya memberi tindak balas terhadapnya secara maksimum. Dengan
demikian murid-murid boleh merperlihatkan tahap kemahiran berbahasa
masing-masing melalui aksi/lakonan dan aktiviti yang berkaitan;

iv. Aktiviti pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan secara berperingkat-


peringkat, didahulukan daripada yang konkrit kepada yang abstrak, daripada
yang dekat kepada yang lebih jauh, daripada perkara-perkara yang mudah
kepada perkara-perkara yang lebih sukar dan seumpamanya.

v. Guru tidak perlu terlalu gahirah untuk mengajar kemahiran mendengar sehingga
begitu membebankan atau menyusahkan dirinya semasa melaksanakan proses
berkenaan;

vi. Motivasi guru sangat penting bagi tujuan mengekalkan minat dan
kecenderungan mendengar dalam kalangan kanak-kanak;

vii. Paling penting, kanak-kanak perlu diberikan peluang sebanyak mungkin untuk
berlatih kemahiran mendengar sama ada melalui aktiviti yang ditentukan oleh
guru atau melalui daya insiatif murid sendiri.

Anda telah mengetahui bahawa kemahiran bertutur itu dikuasai secara berperingkat -
peringkat. Huraikan faktor-faktor yang mempengaruhi tahap penguasaan kemahiran
bertutur dalam kalangan murid-murid.

12
BMM 3043 PENGAJARAN KEMAHIRAN BAHASA MELAYU

Tajuk 3

KEMAHIRAN MENDENGAR DAN BERTUTUR

Sinopsis
Tajuk ini menghuraikan kaedah dan teknik pengajaran kemahiran kemahiran mendengar dan bertutur
dalam bilik darjah. Perkara-perkara asas mengenai pendekatan situasi dan pendekatan komunikatif,
yakni pendekatan yang mempunyai hubungan langsung dengan kemahiran mendengar dan bertutur
dihuraikan.

Hasil Pembelajaran
i. Menghuraikan pendekatan, kaedah dan teknik pengajaran dan pembelajaran dalam kemahiran
mendengar dan bertutur.
ii. Menjelaskan teknik pengajaran dan pembelajaran yang sesuai berserta contoh yang sesuai.

3.1 Pendekatan, Kaedah, Teknik dan Aktiviti Kemahiran Bertutur


Pemahaman mengenai keperihalan pendekatan, kaedah, teknik dan aktiviti sangat
penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Bagi tujuan
menentukan kaedah dan teknik pengajaran kemahiran mendengar dan bertutur dalam bilik
darjah, ada baiknya dijelaskan terlebih dahulu aspek pendekatan mengajar kemahiran lisan
(mendengar dan bertutur) dalam bilik darjah. Demikian juga, perlu ditegaskan bahawa
pengajaran kemahiran lisan (kemahiran mendengar dan bertutur), perlu dilakukan serentak,
berurutan dan menyaling. Walau bagaimanapun, guru boleh memberi perhatian mengenai
kemahiran yang hendak diajar dalam bilik darjah – merancang dan memilih aktiviti yang sesuai
mengenainya. Dengan berbuat demikian guru boleh menentukan fokus utama pengajarannya
sama ada menguasai menguasai kemahiran mendengar atau bertutur. Paling penting semasa
mengajar aktiviti mendengar, guru sebenarnya juga mengajar kemahiran bertutur. Sehubungan
dengannya, tidak terdapat perbezaan yang jelas antara strategi pengajaran mendengar dan
bertutur itu, bahkan aktiviti yang dilaksanakan itu kerap kali meliputi kedua-dua aspek
kemahiran lisan tersebut.

3.1.1 Pendekatan Pengajaran Kemahiran Bertutur


Modul ini akan hanya membincangkan dua jenis pendekatan sahaja, pendekatan
situasi dan pendekatan komunikatif. Hal ini kerana kedua-dua jenis pendekatan ini amat
berkaitan dengan proses pengajaran dan pembelajaran kemahiran lisan (bertutur dan
mendengar) dalam bilik darjah

13
BMM 3043 PENGAJARAN KEMAHIRAN BAHASA MELAYU
1. Pendekatan Situasi

Pendekatan situasi dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang diperkenalkan oleh Mackey
(1965), antara lain menegaskan bahawa pernyataan lisan itu merangkumi semua unsur kefahaman
mendengar dan penggunaan unsur-unsur bunyi bahasa yang betul dalam pola, nada dan intonasi
tertentu. Pernyataan lisan ini juga meliputi aspek pemilihan kata-kata dan unsur-unsur infleksi yang
disusun dengan betul supaya tergambar juga makna-makna yang betul mengenainya. Tegasnya,
pendekatan situasi yang berlandaskan teori struktural dan teori pembelajaran behaviouris yang
beranggapan bahawa untuk membolehkan seseorang itu menguasai kemahiran lisan (khasnya
bertutur), terlebih dahulu beberapa kemahiran asas yang lain perlu dikuasai terlebih dahulu. Antara lain,
menguasai kemahiran membuat tanggapan, mengingat, membunyikan perkataan dan juga aspek
struktur bahasa berkenaan. Hal ini demikian kerana melaluinya aspek penggunaan dan penguasaan
bahasa secara lisan dapat diperbaik dari semasa ke semasa. Dengan demikian, pendekatan situasi
mestilah berlandaskan prinsip pengajaran yang berikut:

i. Guru perlu memberi peneguhan kepada setiap satu gerak balas murid yang betul supaya
gerakbalas itu diulangi lagi;

ii. Murid mesti dilatih bertutur dengan menggunakan unsur-unsur bahasa yang digunakan oleh
masyarakat;

iii. Guru perlu memahami proses yang terlibat dalam pertuturan supaya dia dapat memandu dan
melatih murid-murid menggunakan alat-alat pertuturan mereka serta dapat menyebut bunyi dan
struktur bahasa dengan betul;

iv. Pengajaran bertutur perlu dimulakan dari peringkat awal pengajaran bahasa untuk mendorong
minat murid-murid belajar bahasa. Jika pengajaran kemahiran bertutur ini diajar pada peringkat
lanjutan, iaitu setelah murid menguasai bahasa tulisan, keupayaan murid-murid bertutur
dengan menggunakan bahasa yang betul akan terganggu. Hal ini deemikian kerana murid
telahpun membentuk kelaziman sebutan bahasa yang salah;

v. Penggunaan pita rakaman dapat membantu guru-guru melatih tubi murid-murid dalam latihan
bertutur;

vi. Kelaziman bertutur dalam sesuatu bahasa berbeza. Apabila murid-murid mempelajari bahasa
kedua, guru tidak boleh membiarkan mereka menghasilkan sebutan-sebutan bahasa sasaran
secara automatik. Sebaliknya, guru perlu memandu murid-murid secara sedar (melalui aktiviti
latih tubi) menggunakan alat-alat pertuturan mereka bagi menghasilkan sebutan-sebutan
bahasa yang baru mereka pelajari itu;

14
BMM 3043 PENGAJARAN KEMAHIRAN BAHASA MELAYU
vii. Bagi penutur-penutur bahasa kedua, kelaziman-kelaziman bahasa pertama mereka akan
mengganggu pembentukan kelaziman bahasa yang baru. Oleh itu, guru perlu melatih tubi
murid-murid tersebut supaya dapat menghasilkan sebutan-sebutan yang betul.

Walau bagaimanapun, Walkins (1975), berpendapat bahawa murid sukar memindahkan pengetahuan
kemahiran bertutur yang dipelajari dalam bilik darjah kepada penggunaan dalam kehidupan seharian.
Hal ini demikian kerana guru biasanya begitu menentukan bahasa yang perlu dihasilkan oleh murid-
murid. Tujuannya, guru ingin membantu murid-murid memilih bahasa untuk digunakan dalam situasi
tertentu. Maka, sebenarnya pembelajaran bahasa perlu berdasarkan kepada pengalaman yang sedia
ada dalam kalangan murid-murid dalam kehidupan harian mereka. Sekiranya semua hasilan bahasa
dikawal oleh faktor luaran, misalnya oleh guru, maka murid tidak mempunyai pengalaman untuk
menguasai kecekapan bahasa mereka secara bersendirian. Ini bermakna murid tidak mampu
memindahkan kemahiran bertutur yang diperoleh melalui situasi pembelajaran bahasa di dalam bilik
darjah untuk digunakan dalam situasi penggunaan bahasa yang sebenarnya dalam kalangan
masyarakat.

2. Pendekatan Komunikatif

Pendekatan komunikatif cuba mengatasi masalah pengajaran bertutur yang terdapat dalam
pendekatan situasi. Melalui pendekatan ini, penguasaan kemahiran bertutur bukan sahaja meliputi
penguasaan kemahiran kecil untuk menanggap, mengingati, menyebut sistem bunyi dan struktur dalam
sesuatu bahasa, tetapi kemahiran ini juga merangkumi kebolehan untuk menggunakan unsur-unsur
tersebut dengan tepat dan sempurna dalam sesuatu interaksi bahasa. Ini bermakna, pendekatan
komunikatif menegaskan bahawa kemahiran bertutur merangkumi kecekapan menggunakan unsur-
unsur bahasa yang terkandung dalam kemahiran bertutur tersebut serta kecekapan berkomunikasi
dalam sesuatu interaksi atau komunikasi bahasa. Untuk memastikan kemahiran bertutur itu bukan
sahaja meliputi kecekapan bahasa tetapi juga kecekapan berkomunikasi, pendekatan komunikatif
mencadangkan bahawa pengajaran bertutur mestilah berlandaskan prinsip-prinsip yang berikut:

i. Kemahiran bertutur melibatkan murid menguasai kecekapan berbahasa dan menggunakannya


dalam konteks penggunaan bahasa yang sebenarnya. Dengan demikian, kedua-dua kecekapan itu
perlu diajarkan dalam pelajaran bertutur;

ii. Guru perlu mendorong murid berinteraksi dengan rakan-rakan mereka. Justeru, komunikasi
sebagai objektif kemahiran bertutur perlu menjadi objektif dalam proses pengajaran dan pembelajaran
guru dalam bilik darjah;

iii. Pembelajaran kemahiran bertutur melibatkan proses kognitif. Sehubungan itu, guru perlu
mendedahkan murid kepada pelbagai situasi formal dan tidak formal dalam pengajaran dan
pembelajaran kemahiran mendengar dan bertutur. Dengan demikian, murid dapat menggunakan
berbagai-bagai strategi komunikasi yang sesuai dengan situasi bertutur tersebut. Pendedahan yang

15
BMM 3043 PENGAJARAN KEMAHIRAN BAHASA MELAYU
begini dapat melatih murid berfikir dan menggunakan berbagai-bagai bentuk bahasa, bentuk
paralinguistik dan bukan linguistik bagi menyampaikan mesej mereka dengan lebih berkesan;

iv. Guru perlu membentuk hubungan yang positif antara murid dengan guru untuk mewujudkan
persekitaran pembelajaran yang dapat mendorong murid untuk bertutur dengan lebih selesa, yakin dan
berkesan;

v. Sesuatu aktiviti bertutur dapat terlaksana dengan lebih berjaya jika murid mempunyai
pengalaman dan pengetahuan tentang perkara yang dibincangkan. Dengan demikian guru perlu
mendedahkan murid kepada pengalaman dan pengetahuan itu melalui alat bantu mengajar, lawatan,
keratan akhbar, bahan bacaan dan bahan rakaman menjadi semakin perlu.

vi. Pendekatan situasi mengutamakan ketepatan penggunaan unsur-unsur bahasa dalam


pertuturan. Dengan itu, aktiviti bertutur merupakan aktiviti latih tubi supaya murid dapat menyebut
bunyi dan struktur bahasa dengan betul. Contohnya, menyebut sesuatu dialog atau karangan lisan
seperti yang berikut.

Wanita : Pak cik, bil air boleh bayar di kaunter ini ke?
Kakitangan pos: “Pak cik”?
Wanita : (terdiam)
Kakitangan pos: Cik adik...umur saya ni baru 35 tahun, kenapa panggil pak cik?
Wanita : Maafkan saya. Tetapi bapa saudara saya yang bongsu baru berumur 30
tahun. Dia pak cik saya.
Kakitangan pos: Lain kali panggil saya abang atau encik. Saya berkahwin pun belum.

Sebenarnya, terdapat persamaan pendekatan situasi dan komunikatif dalam pengajaran kemahiran
bertutur. Kedua-dua pendekatan ini menggambarkan dalam pengajaran kemahiran bertutur, guru perlu
memberi latihan kepada murid-murid menggunakan unsur-bunyi bunyi dan struktur bahasa terlebih
dahulu sebelum menyuruh murid melaksanakan sesuatu aktiviti melibatkan kemahiran bertutur. Tanpa
latihan daripada guru, murid-murid tidak akan dapat menguasai kemahiran bahasa: bertutur dengan
menggunakan bahasa yang tepat dan berkesan.

3.1.2 Kaedah Pengajaran Kemahiran Bertutur

Telah dimaklumkan bahawa kemahiran mendengar dan bertutur dapat diajarkan melalui dua
pendekatan, iaitu pendekatan situasi yang mementingkan penyebutan unsur-unsur bunyi bahasa atau
kecekapan bahasa (tatabahasa) manakala pendekatan komunikatif mengutamakan kecekapan
komunikatif, iaitu ketepatan penggunaan bahasa mengikut konteks penggunaannya dalam interaksi

16
BMM 3043 PENGAJARAN KEMAHIRAN BAHASA MELAYU
pertuturan. Berikut merupakan kaedah pengajaran yang dicadangkan berdasarkan sama ada
pendekatan situasi mahupun pendekatan komunikatif.

1. Kaedah Terus

Kaedah terus beranggapan bahawa murid-murid dapat mempelajari bahasa dengan cara mendengar
pelbagai perbualan dalam bahasa sasaran dan kemudian melibatkan diri dalam perbualan tersebut.
Hal ini berlaku sebagaimana kanak-kanak belajar bahasa ibunda mereka, iaitu dengan cara mendengar,
meniru dan mengulangi perlakuan bahasa yang mereka dengari sehinggalah mereka dapat membentuk
satu kelaziman dalam berbahasa. Pengajaran bertutur melalui kaedah ini memperlihatkan beberapa
ciri yang ketara, antara lain:

i. murid digalakkan memahami perkataan dan frasa yang sukar berdasarkan konteks penggunaan
bahasa tersebut;

ii. sekiranya murid gagal juga memahami perkataan dan frasa tersebut, guru akan menghuraikan
makna dengan menggunakan bahasa sasaran, lukisan, lakaran, lakonan, gerak laku dan lain-lain;

iii. aspek tatabahasa diajar melalui tunjuk cara dan contoh-contoh yang sesuai;

iv. murid dilatih membuat kesimpulan terhadap bentuk-bentuk struktur yang dipelajari secara
induktif, dan

v. guru bahasa perlu menggunakan pengetahuan linguistik bagi mengajar sebutan dan intonasi
yang betul.

Dengan berdasarkan ciri-ciri di atas, langkah-langkah pengajaran guru dapat ditetapkan seperti berikut:

i. Guru akan memperdengarkan kepada murid satu perbualan mudah yang mengandungi ayat-
ayat yang sempurna.

ii. Murid dilatih untuk berbual dengan menggunakan dialog perbualan yang diberi.

iii. Guru menggunakan teknik latih tubi bagi memastikan murid dapat menguasai sebutan dan
intonasi serta dapat menyerapkan peraturan nahu yang terdapat pada pola-pola ayat dalam perbulan
tersebut.

Kelebihan Kaedah Terus

Murid dapat menguasai kemahiran bertutur dengan baik. Mereka juga terlibat secara aktif dalam
pertuturan. Kaedah ini dianggap berjaya, jika murid dapat mempraktik atau menggunakan kemahiran
berbahasa yang diajarkan itu di luar bilik darjah.

17
BMM 3043 PENGAJARAN KEMAHIRAN BAHASA MELAYU
Kelemahan Kaedah Terus

Bahan-bahan pengajaran yang digunakan oleh guru dalam kaedah ini merupakan bahan yang boleh
dihafaz ataupun bahan perbualan yang telah ditetapkan. Bahan-bahan seperti ini mungkin tidak sesuai
digunakan dalam situasi perbualan yang lazim digunakan dalam sesuatu masyarakat.

2. Kaedah Fonetik atau Kaedah Linguistik

Kaedah fonetik ini serupa dengan kaedah terus kerana mementingkan penggunaan bahasa dalam
konteksnya daripada keperluan menghafaz rumus-rumus bahasa ataupun menghuraikan ayat-ayat
secara pencilan. Sehubungan dengannya, guru terlebih dahulu, perlu memastikan penggunaan latih
tubi unsur-unsur bahasa dalam aktiviti bertutur itu dikuasai sebaik-baiknya oleh murid sebelum mereka
dibenarkan membaca bahan dalam konteks bahasa yang dipelajari itu. Bahan-bahan yang digunakan
dalam pengajaran dipilih dan disusun mengikut prinsip-prinsip yang terdapat dalam ilmu linguistik.
Justeru, ketika memilih perkataan, kaedah ini mendahulukan perkataan yang hampir-hampir sama
bunyi daripada kedua-dua bahasa yang dibandingkan itu:

coffee - kopi
school - sekolah
radio - radio
bicycle - basikal
biscuit - biskut
Pemilihan ayat dilakukan berdasarkan bentuk yang sama juga.

Subjek Kata kerja Objek


Saya pergi ke sekolah.
I go to school.
Dia minum susu.
He drinks milk.

Dengan demikian murid boleh memahami dan bertutur dalam bahasa sasaran dengan menggunakan
sebutan yang baik. Guru bolehlah merancang pengajarannya seperti berikut:

i. Guru menyebut bunyi perkataan-perkataan dalam bahasa sasaran;

ii. Murid dilatih tubi menyebut bunyi-bunyi tersebut;

iii. Guru memberi contoh-contoh struktur ayat atau unsur-unsur tatabahasa; dan

iv. Murid membuat kesimpulan berdasarkan contoh-contoh yang diberikan oleh guru.

18
BMM 3043 PENGAJARAN KEMAHIRAN BAHASA MELAYU
3. Kaedah Audio-Lingual

Kaedah audio-lingual ini menggunakan alat-alat rakaman bagi tujuan memudahkan murid menjalankan
latihan bahasa, khasnya latihan bertutur secara intensif. Kaedah pengajaran ini berlandaskan prinsip-
prinsip yang berikut:

i. Bahasa adalah alat pertuturan bukan penulisan;

ii. Bahasa merupakan satu kebiasaan atau kelaziman;

iii. Murid mestilah diajar untuk menggunakan bahasa bukan dajar tentang pengetahuan bahasa;

iv. Bahasa ialah apa yang dituturkan oleh penutur natif;

v. Bahasa berbeza antara satu sama lain.

Berdasarkan prinsip tersebut, kaedah ini mementingkan aspek pertuturan. Kaedah ini juga
beranggapan bahawa pengajaran kemahiran bertutur merupakan proses untuk membentuk kelaziman
pertuturan murid. Dengan demikian, kaedah ini mengutamakan penggunaan bahasa, justeru bahan
sama ada yang digunakan atau diperdengarkan perlu mengambil contoh bahasa yang dipertuturkan
oleh penutur natif bahasa berkenaan. Pun demikian, unsur-unsur bahasa asing yang berbeza dengan
bahasa natif akan dilatihtubikan secara intensif supaya murid dapat membiasakan dirinya dengan
kemahiran bahasa berkenaan dengan lebih mudah. Di samping itu, kaedah ini juga membolehkan
murid memahami kebudayaan asing melalui amalan bahasa, iaitu melalui kemahiran bertutur. Untuk
memastikan kaedah ini berjaya dilaksanakan, guru boleh mengatur langkah-langkah pengajarannya
seperti yang berikut:

i. Murid mendengar dialog dalam bahasa asing;

ii. Murid meniru dan menghafal dialog tersebut;

iii. Setelah menguasai sebutan, murid dilatih tubi untuk berdialog

iv. Apabila murid telah dapat menghasilkan struktur ayat, guru memberi rumus-rumus ataupun
peraturan struktur ayat yang dipelajari itu.

Kaedah ini berjaya menghasilkan murid yang mahir dalam kemahiran bertutur. Kaedah ini juga
dianggap sesuai dengan kanak-kanak kerana mereka suka meniru dan menghafaz. Walau
bagaimanapun, murid sukar untuk menggunakan bahasa dalam konteks yang sebenar kerana situasi
penggunaan bahasa tersebut tidak sama dengan dialog-dialog yang dihafaz.

19
BMM 3043 PENGAJARAN KEMAHIRAN BAHASA MELAYU
4. Kaedah Komunikatif

Pembelajaran menggunakan kaedah komunikatif ini terbentuk berlandaskan teori interaksi. Prinsip
pengajaran menggunakan kaedah ini ialah:

i. Kanak-kanak memperoleh bahasa melalui proses kognitif dan interaksi bahasa. Oleh itu,
pengajaran bahasa mestilah merangkumi pengajaran kecekapan bahasa dan komunikatif.

ii. Kanak-kanak menguasai makna terlebih dahulu dan kemudian baharulah mereka dapat
menggambarkan makna tersebut dalam struktur ayat yang tertentu. Dalam pengajaran bertutur, murid-
murid melibatkan diri dalam aktiviti bahasa yang bermakna seperti dalam penyelesaian masalah,
perbincangan, dialog, sumbang saran, wawancara dan lain-lain supaya mereka dapat berlatih
menggunakan struktur bahasa yang diajar.

iii. Pengajaran bertutur mestilah melalui huraian bahasa dalam teks dan wacana dan bukan secara
ayat pencilan. Ini bermakna, untuk berkomunikasi dengan berkesan, ayat-ayat tidak dihasilkan secara
pencilan tetapi dalam suatu wacana.

iv. Pengajaran bertutur hendaklah mementingkan pengetahuan tentang bahasa dan penggunaan
unsur bahasa dalam konteksnya. Dengan kata lain, pengajaran kemahiran bertutur tidak boleh
bertumpu kepada aktiviti latih tubi atau latih amal unsur-unsur bahasa sahaja tetapi juga perlu
memasukkan aktiviti-aktiviti penggunaan unsur-unsur bahasa yang telah dilatih tubi atau dilatih amal
tersebut.

.v. Murid dibenarkan membuat kesilapan kerana dalam proses pemerolehan bahasa juga kanak-
kanak akan melakukan kesilapan. Mereka melakukannya semasa mereka membuat percubaan
hipotesis terhadap bahasa yang mereka gunakan.

Kesimpulannya dalam proses pengajaran kemahiran bertutur, kaedah komunikatif bertujuan untuk
membolehkan murid menguasai kecekapan bahasa (tatabahasa), dan menguasai kecekapan
menggunakan unsur-unsur bahasa yang dipelajari dalam konteks penggunaan yang sebenar yakni
dalam komunikasi bahasa.

3.1.3 Teknik Pengajaran Kemahiran Bertutur

Kaedah pengajaran kemahiran berbahasa memerlukan guru merancang prosedur atau cara untuk
menyampaikan isi kandungan pelajaran dalam bilik darjah. Apabila seseorang guru memilih dan
menentukan langkah-langkah pengajaran, cara penyampaian isi kandungan pelajaran dan bahan bantu
mengajar yang sesuai, bermakna guru tersebut sedang memilih dan menentukan teknik pengajaran
yang paling sesuai. Meskipun setiap pendekatan dan kaedah mempunyai teknik pengajaran yang
tertentu, seseorang guru boleh menggabungkan beberapa teknik pengajaran sesuai sebagai strategi
pengajaran kemahiran bahasa yang dipercayainya paling berkesan.

20
BMM 3043 PENGAJARAN KEMAHIRAN BAHASA MELAYU
Sebenarnya, terdapat banyak teknik pengajaran kemahiran bertutur yang boleh digunakan oleh guru
untuk mengajar murid bertutur dengan fasih, lancar dan tepat. Contoh teknik:

(a) Latih tubi; (b) Bercerita;

(c) Bersoal jawab; (d) Perbualan / dialog/ wawancara

(e) Perbincangan; (f) Berbahas/ debat

(g) Main peranan dan simulasi; (h) Sumbang saran

(i) Drama atau lakonan; (j) Melapor berita

(k) Permainan bahasa; (l) Pengajaran puisi

(m) Penyelesaian masalah; (n) Tunjuk cara

3.1.4 Aktiviti Pengajaran Kemahiran Bertutur

Teknik pengajaran boleh dipraktikkan dalam bilik darjah melalui aktiviti-aktiviti pembelajaran.
Sebagaimana teknik, terdapat jpelbagai aktiviti yang boleh dijalankan semasa prose mengajarkan
kemahiran bertutur dalam bilik darjah. Walau bagaimanapun, modul ini hanya membincangkan
beberapa contoh aktiviti yang sering digunakan oleh guru di dalam bilik darjah.

1. Latih Tubi Sebutan

Latih tubi sebutan dijalankan untuk melatih murid menguasai bunyi-bunyi


bahasa, sebutan dan pola ayat berdasarkan bahagian-bahagian dialog yang
akan ditiru dan dihafaz oleh murid.

Bola.
Ali menendang bola.
Murid-murid, ikut
cikgu sebut.
Ali menendang bola di padang.

Bola. Ali menendang


bola. Ali ….

21
BMM 3043 PENGAJARAN KEMAHIRAN BAHASA MELAYU
Latih tubi penyebutan bunyi ini juga meliputi latih tubi menyebut bunyi fonem dalam perkataan yang
mungkin menimbulkan masalah sebutan, dan pasangan minimal yang boleh menghasilkan makna yang
berbeza.

daki - laki tari - lari malu - balu

Latih tubi pemintal lidah bertujuan untuk melatih murid-murid menyebut sesuatu bunyi itu dengan betul
dan tepat. Biasanya latih tubi jenis ini mengandungi bunyi-bunyi yang menjadi masalah kepada murid.
Misalnya, kelemahan menyebut fonem /p/
Pandang pandan tepi pagar depan padang.
Cuba pandang lopak-lopak air tepi jalan dengan pantas.

2. Nyanyian

Seni kata lagu digunakan sebagai bahan untuk ditiru dan dihafaz oleh murid-murid. Aktiviti nyanyian
dapat membantu murid menguasai kemahiran bertutur kerana menyanyi memerlukan penyebutan
bunyi-bunyi dengan betul, mengikut rentak dan nada yang tertentu.

Selamat datang.
Sila masuk ke dalam.
Mari kita duduk.
Apa khabar sekarang.
Sudilah minum.
Janganlah segan-segan.
Minum air kopi.
Makan kuih di pinggan.

3. Latihan Pandang dan Sebut

22
BMM 3043 PENGAJARAN KEMAHIRAN BAHASA MELAYU
Gambar-gambar boleh digunakan sebagai bahan rangsangan untuk menghasilkan pertuturan. Latihan
pandang dan sebut merupakan latih tubi bertutur dengan menggunakan gambar-gambar yang
dimasukkan dalam teks latihan. Di samping itu, kad imbasan bergambar, carta bergambar, bahagian
filem dan slaid sering juga digunakan.

i. Pak Abu seorang petani.

ii. Dia bekerja di sawah.

iii. Dia menggunakan kerbau


untuk membajak tanah.

Teliti gambar di atas dan rancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran


kemahiran mendengar dan bertutur bahasa Melayu dalam kalangan murid
murid Tahun 4.

23
BMM 3043 PENGAJARAN KEMAHIRAN BAHASA MELAYU
3. Karangan Lisan

Karangan ini disampaikan dalam bentuk lisan, dihasilkan oleh murid-murid berdasarkan bahan yang
diberi oleh guru. Bahan tersebut menjadi bahan rangsangan kepada murid untuk bersoal jawab,
membuat latihan lisan bagi tujuan memperoleh bahan untuk menulis karangan bebas.

Latihan bersoal jawab

Merupakan latihan lisan sama ada berdasarkan petikan yang dibaca ataupun senarai gambar yang
disediakan. Dalam latihan ini, murid-murid dikehendaki menjawab soalan-soalan yang dikemukakan
oleh guru secara lisan.

Latihan Penghasilan

Dalam latihan penghasilan pula, murid-murid diberi petikan untuk dikaji. Kemudian, murid-murid
dikehendaki menghasilkan petikan itu semula dengan menggunakan perkataan mereka sendiri. Dalam
hal ini aspek kemahiran lisan: mendengar dan bertutur jauh lebih penting daripada menghasilkan
karangan bertulis.

Memproses Maklumat

Aktiviti ini dilakukan dalam kumpulan berempat atau berlima. Umumnya, murid-murid mempunyai
jurang maklumat. Dalam hal ini komunikasi wujud kerana timbul keperluan untuk berbincang dan
menilai fakta-fakta yang diberi dalam kumpulan bagi tujuan menyelesaikan sesuatu tugasan/masalah
yang berkaitan.

Contoh:
Senarai barang yang diberi
oleh guru.
 Khemah
 Lampu picit
 Makanan kering
 Makanan basah
 Alat memasak
 Pakaian
 Baldi
 Alat menjahit
 Pisau
Murid diminta berimaginasi bahawa mereka  Kapak
akan pergi berkhemah di bukit selama tiga
hari. Tiap-tiap seorang hanya boleh  Bantal
membawa barangan seberat tidak melebihi  Selimut
20 kilogram. Kumpulan mesti mengambil  Air
keputusan apa yang paling perlu mereka  Susu tin
bawa dari senarai yang diberi oleh guru.  Cangkul
Mereka juga dikehendaki memberi alasan  Surat khabar
mengapa mereka membuat keputusan
 Radio
begitu. 24
 Mancis api
BMM 3043 PENGAJARAN KEMAHIRAN BAHASA MELAYU
Interaksi Sosial

Aktiviti ini berfokus kepada penggunaan bahasa yang sesuai dalam konteks sosial/situasi tertentu,
dilaksanakan dalam bilik darjah berbentuk perbualan, perbincangan, simulasi dan lakonan. Sebaik-
baiknya, aktiviti ini disusun dari peringkat mudah kepada peringkat yang lebih mencabar.

Contoh: Lakonan Terkawal


Murid A : Pada suatu petang, anda tiba di sebuah hotel. Anda berjumpa
penyambut tetamu hotel itu dan tanyakan sama ada, ada bilik
kosong atau tidak. Tanyakan harga bilik itu. Beritahu berapa
malam anda akan bermalam di situ. Tanyakan di mana anda
boleh meletakkan kereta anda.
Murid B: Anda adalah penyambut tetamu sebuah
hotel yang terkenal dengan pekerjanya yang peramah. Hotel
mempunyai dua bilik kosong, satu bilik untuk seorang dan sebuah
lagi untuk dua orang. Harga bilik untuk seorang ialah RM 10.00
dan RM 15.00 untuk bilik dua orang untuk satu malam. Di
belakang hotel ada tempat letak kereta. Hotel anda juga
menyediakan sarapan pagi bagi pelanggannya.
( Kamaruddin Hussin : 2001)

25
BMM 3043 PENGAJARAN KEMAHIRAN BAHASA MELAYU

Teliti gambar di bawah, kemudian jawab soalan yang berikut:


(a) Perihalkan situasi yang anda lihat dalam gambar tersebut;
(b) Jelaskan mengapa fenomena ini boleh berlaku
(c) Hasilkan dialog yang sesuai bagi tujuan memperbaik dialog yang
terdapat dalam gambar ini.

Rumusan
Perhubungan antara pendekatan, kaedah dan teknik dalam pengajaran dan pembelajaran
bahasa, khasnya kemahiran bertutur adalah sangat rapat. Dalam proses pengajaran dan
pembelajaran bertutur, unsur-unsur ini bukanlah bersendirian atau terpisah sifatnya malahan ia
kelihatan berinteraksi, selaras dan menyaling. Oleh itu, perancangan yang baik dan lengkap
untuk menggunakan unsur-unsur ini akan menghasilkan satu pengajaran yang bermutu serta
pembelajaran yang berkesan.

26

Anda mungkin juga menyukai