Bert Utur
Bert Utur
Bert Utur
Kebudayaan warisan bangsa bolehlah ditakrifkan sebagai kebudayaan sesuatu bangsa itu yang amat dihargai oleh
rakyat. Kebudayaan warisan bangsa merujuk budaya yang sudah diamalkan sejak berkurun lamanya oleh sesuatu
bangsa itu. Antara kebudayaan itu meliputi pakaian, makanan dan juga bahasa yang begitu diagungkan oleh setiap
kaum itu. Pihak media massa juga ada menyiarkan pelbagai ulasan mereka tentang kebudayaan warisan kita yang
semakin terhakis terutama dalam jiwa remaja zaman modern ini. Lantaran itu, pelbagai langkah susulan boleh diambil
untuk memastikan kebudayaan warisan ini terus berkekalan.
Langkah awal sudah pasti melibatkan penggunaan kempen kesedaran yang berkesan oleh pihak berkuasa. Kempen ini
disiarkan melalui media massa dengan menggunakan tokoh budaya sebagai jurucakap kempen itu bersama-sama
informasi yang lengkap tentang kebudayaan kita. Kaedah ini memastikan remaja memahami dan mengetahui mengenai
kebudayaan sendiri dengan mudah dan menarik pula lalu timbul perasaan menghargainya. Jadi, kempen yang efektif
berupaya untuk memastikan kebudayaan ini terus berkekalan.
Selain itu, pihak berkuasa boleh menubuhkan pelbagai agensi dan institusi latihan yang berkaitan dengan kebudayaan
ini. Peranan agensi ini adalah untuk melancarkan program berkaitan dengan kebudayaan sepanjang tahun dan institusi
ini pula berpeluang melatih remaja tentang aspek kebudayaan itu dengan baik. Sudah pasti ramai remaja kita akan
mahir dalam tarian, seni tukang, lukisan corak batik dan nyanyian dondang sayang itu. Jelaslah, kewujudan agensi khas
dan institusi latihan menjamin kebudayaan kita ini terus wujud dalam sanubari remaja kita pula.
Bukan sahaja kempen dilancarkan dan agensi serta insitusi ditubuhkan tetapi perubahan minda masyarakat terhadap
kebudayaan juga harus berlaku dengan drastiknya. Masyarakat terutama ibu bapa sering memandang rendah aktiviti
atau kerjaya dalam bidang kebudayaan dengan alasan tiada prospek masa depan. Jika ibu bapa melihat kebudayaan
sesuatu yang baik sudah pasti remaja lebih rela untuk melibatkan dirinya dalam sebarang aktiviti budaya ini.
Sesungguhnya, persepsi masyarakat yang kelirulah yang menyebabkan kebudayaan kita terus whiling ditelan dek
zaman.
Malah, pemberian pelbagai insentif daripada pihak kerajaan boleh memberikan galakan agar masyarakat menghargai
kebudayaan ini. Pemberian insentif itu meliputi pemberian geran kewangan, biasiswa, kemudahan pinjaman dan
sebagainya yang memudahkan pihak tertentu untuk mengikuti latihan atau menganjurkan program berunsur
kebudayaan ini. Jika lebih banyak aktiviti kebudayaan boleh dianjurkan sudah pasti tahap kefahaman masyarakat
tentang kepentingan kebudayaan itu amat dihargai pula. Oleh itu, insentif yang betul dan banyak serta mudah
memberikan satu peluang untuk kebudayaan ini terus wujud di Malaysia.
Tambahan pula, kebudayaan warisan negara ini boleh diteruskan melalui pengawalan budaya asing ke negara ini.
Maksudnya, semua program televisyen yang berunsur budaya kuning hendaklah dipantau oleh pihak berkuasa kerana
penghakisan kebudayaan warisan negara ini berlaku disebabkan oleh mudahnya budaya luar meresap ke dalam jiwa
remaja. Kesukaran untuk melihat budaya luar mengurangkan risiko buat remaja untuk mengikuti budaya yang tidak
sesuai itu. Maka, tindakan tegas untuk mengawal kehadiran budaya luar menjadi benteng asas memastikan kebudayaan
warisan kita ini terus wujud untuk beberapa dekad akan datang pula.
Kesimpulannya, semua tindakan yang disuarakan tadi memang praktikal untuk dilaksanakan di Malaysia. Kerjasama
semua pihak terutama remaja itu amat diperlukan agar kebudayaan kita ini terus berkekalan. Kegagalan untuk
mengekalkan kebudayaan sendiri boleh menyebabkan imej negara dan masyarakat itu sendiri akan musnah dalam
sekelip mata sahaja. Bak kata pepatah 'tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan' yang membuktikan betapa
pentingnya kebudayaan sesebuah bangsa itu dalam kehidupan.
F2 KEPENTINGAN ADAT KEPADA NEGARA
Salah satu kelebihan negara kita ialah masyarakatnya yang berbilang kaum. Kita mempunyai kaum Melayu,
Cina, India, dan berdozen-dozen kaum minoriti yang lain terutama di Sabah serta Sarawak. Situasi ini
menyebabkan negara kita mempunyai pelbagai adat atau budaya yang menarik untuk diperhatikan. Malah,
adat atau budaya yang unik ini mempunyai banyak kepentingan jika dihargai dengan sewajarnya.
Sebenarnya, budaya yang unik ini memang wajar dihargai kerana budaya inilah yang menonjolkan sesuatu
kaum itu. Tanpa budaya ini sesuatu kaum itu akan kehilangan identitinya buat selama-lama. Budaya yang
diamalkan itu seperti memakai pakaian tradisional, makan menggunakan tangan, pergi ke kubur ketika hari
raya dan sebagainya turut menimbulkan rasa bangga kepada pengamal budaya kaum itu. Individu yang
terbabit akan berasa mereka telah berjaya mengekalkan budaya turun-temurun nenek moyang mereka selama
ini.
Selain itu, tindakan individu tertentu menghargai budaya ini menjadi satu cara yang paling mudah untuk
mempamerkan rasa mengormati generasi tua daripada generasi muda. Budaya memakai pakaian tradisional
menjadi satu kaedah yang mudah untuk diamalkan oleh remaja dalam usaha mereka mengekalkan budaya
tradisional ini. Remaja bukan sahaja mamu membuktikan rasa hormat mereka tetapi turut menerima
penghargaan generasi tua lantaran sanggup mengekalkan budaya.
Salah satu kepentingan mengekalkan budaya ialah budaya mempunyai nilai-nilai murni dan sikap
menghormati. Kedua-dua sikap ini sudah hampir terkikis daripada diri remaja negara ini. Remaja sudah mula
memanggil ibu bapa mereka dengan nada yang kasar, lari dari rumah, dan suka memarahi orang tua. Jadi,
pengekalan dan pengamalan budaya ini sudah pasti akan menonjolkan rasa hormat dan sikap atau jati diri
remaja yang murni. Remaja akan menjadi individu yang terbilang.
Malah, sikap menghargai budaya memastikan sesuatu budaya kaum itu tidak akan luput ditelan zaman.
Lihat sahaja budaya bekerjasama menjalankan kenduri sudah mula hilang sedikit demi sedikit lantaran
masyarakat kita lebih suka menggunakan perkhidmatan katering. Atas alasan mudah, kita sudah melupakan
budaya bekerjasama ketika mengadakan kenduri yang mempunyai banyak impak positif tetapi penat itu.
Usaha mengekalkan budaya kaum sudah pasti akan mengembalikan nostalgia majlis kenduri yang dijalankan
secara meriah.
Tambahan pula, pengamalan budaya ini memastikan peraturan dan saling bergantung anggota masyarakat
diamalkan. Untuk mencapai perpaduan, semua kaum harus mengekalkan budayanya kerana melalui budayalah
kita bersatu. Sikap hormat antara satu sama lain menyebabkan kita tidak akan cuba menyakiti kaum lain atas
perkara-perkara yang remeh. Sebaliknya, penghargaan terhadap budaya menguatkan semangat perpaduan
kita.
Kesimpulannya, budaya atau adat sesuatu kaum itu merupakan satu khazanah yang arus dipertahankan
oleh rakyat negara ini. Usahlah kita terlalu memandang ke arah kemodenan sehingga menganggap budaya
sendiri sudah lapuk atau tidak sesuai lagi. Kita harus melihat budaya sebagai satu alat yang mampu
membentuk kita ke arah kemodenan yang lebih baik lagi iaitu kemodenan rohaniah dan kebendaan. Mungkin
selepas menguasai budaya barulah kita boleh menganggap diri kita sudah mencapai kemodenan hidup.
KESIHATAN
F1 CARA-CARA MENJAGA KESIHATAN
Kesihatan amat penting dalam kehidupan kita sehari-hari. Dengan memiliki tubuh badan yang sihat, seseorang dapat melaksanakan aktiviti
harian tanpa halangan. Anak-anak dapat ke sekolah menimba ilmu dan ibu bapa dapat mencari rezeki untuk keluarga. Bagi sesetengah
orang, nikmat kesihatan hanya disedari apabila mereka diserang penyakit. Mereka sanggup menghabiskan wang membeli ubat dan
makanan kesihatan untuk mengubati penyakit yang dihadapi. Tambahan pula, pelbagai ubat dan produk makanan kesihatan wujud di
pasaran sekarang seperti “cendawan tumbuh selepas hujan”. Oleh sebab peri pentingnya nikmat ini dalam kehidupan, beberapa langkah
perlu diambil agar kesihatan kita terjamin.
Salah satu langkah yang perlu kita beri perhatian untuk menjaga kesihatan adalah dengan menjaga kebersihan persekitaran tempat
tinggal. Keadaan di dalam dan di luar rumah hendaklah bersih daripada sampah sarap dan tempat-tempat air bertakung. Perkara ini akan
dapat menghapuskan tempat pembiakan agen-agen penyakit seperti lalat, tikus, nyamuk dan lain-lain. Kita perlulah menyahut seruan
kempen yang dilancarkan oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam iaitu kempen “Jumpa Sampah Kutip” dan kempen
“Memerangi LILATI (lipas,lalat dan tikus).” Oleh itu, sampah perlu dibakar, dikambus atau dibuang di tempat khas. Pasu-pasu bunga dan
longkang perlu diperiksa agar air tidak bertakung dan menjadi tempat pembiakan nyamuk. Dengan demikian, penyakit-penyakit bawaan
vektor seperti taun, malaria, dan denggi dapat dielakkan. Tegasnya, menjaga kebersihan persekitaran merupakan langkah asas untuk kita
semua ke arah mencapai tahap kesihatan yang optimum.
Selain itu, pemeriksaan kesihatan amat wajar dilakukan untuk memastikan kesihatan kita berada dalam keadaan baik. Mengikut saranan
pakar perubatan, seseorang perlu melakukan pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya dua kali setahun atau enam bulan sekali.
Pemeriksaan ini meliputi tekanan darah, paras gula dalam darah, tahap kolesterol dan lain-lain lagi. Tujuan pemeriksaan dibuat untuk
memastikan tahap kesiahatan kita berada dalam keadaan sihat dan dapat mengesan penyakit kronik dengan lebih awal seperti penyakit
darah tinggi, kencing manis dan sebagainya. Hal ini bertepatan dengan peribahasa, “Mencegah lebih baik daripada mengubatinya”. Bagi
pesakit yang telah diserang penyakit ini, keadaannya akan boleh dikawal sebelum menjadi serius seperti peribahasa,“Cegah sebelum
parah”. Pendek kata, kesihatan seseorang akan berada dalam keadaan baik jika kita secara berdisiplin menjalani pemeriksaan kesihatan
diri di hospital-hospital secara berjadual.
Mengamalkan pemakanan seimbang tidak kurang pentingnya sebagai langkah menjaga kesihatan kita. Amalan pemakanan berkait rapat
dengan kesihatan seseorang. Hal ini bertepatan dengan peribahasa Inggeris tentang amalan pemakanan iaitu “What you are, is what you
eat”. Boleh dikatakan seseorang yang mengamalkan pemakanan yang seimbang akan memperoleh kesihatan yang baik. Mengamalkan
pemakanan seimbang bermakna seseorang mengambil makanan yang berkhasiat dan berzat sesuai dengan keperluan tubuh badan
seseorang. Seseorang individu memerlukan makanan yang sesuai berdasarkan usia, pekerjaan dan keperluan-keperluan lain. Sebagai
contohnya, seorang bayi memerlukan lebih kalsium berbanding orang dewasa yang memerlukan lebih protein. Untuk lebih jelas,
seseorang perlu merujuk kepada piramid makanan sebagai panduan untuk mendapatkan gizi seimbang. Sehubungan dengan itu, makanan
ringan dan minuman bergas perlu dielakkan kerana boleh memudaratkan kesihatan kita. Pendek kata, langkah terbaik untuk mencapai
tahap kesihatan adalah dengan mengamalkan diet makanan seimbang.
Seterusnya, kesihatan kita akan lebih terjamin jika kita melakukan kegiatan riadah. Amalan riadah seperti berenang, jogging, menunggang
basikal dan kegiatan sukan lain adalah baik untuk kesihatan. Pensyarah Sains Sukan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Madya Dr.
Zulkifli Abdul Kadir, menyarankan setiap individu melakukan kegiatan riadah selama 30 minit dua kali seminggu bagi mendapatkan tahap
kesihatan yang optimum. Kegiatan riadah ini akan menjadi kebiasaan jika setiap hari kita melakukannya dengan penuh disiplin dan
istiqamah sesuai dengan peribahasa, “Alah bisa tegal biasa.” Dengan melakukan kegiatan riadah, otot-otot tubuh akan lebih bertenaga
dan kecergasan badan akan bertambah baik. Di samping itu, seseorang dapat menghirup udara segar semasa melakukan senaman di
taman-taman permainan serta dapat mengurangkan tekanan atau stress selepas seharian penat bekerja di pejabat. Seyogia disarankan
agar kita dapat melakukan kegiatan senaman secara untuk memperoleh kesihatan yang baik.
Amalan gaya hidup sihat merupakan langkah yang tidak kurang pentingnya untuk mendapatkan kesihatan yang baik. Kini, kita dikejutkan
dengan bermacam-macam amalan hidup yang negatif telah menular dalam masyarakat kita. Antara gaya hidup yang negatif ialah amalan
seks rambang dan bebas, melanggani pelacur, penagihan dadah dan pil-pil khayal, ketagihan arak serta lain-lainnya. Begitu juga amalan
merokok yang masih menjadi sebahagian cara hidup muda-mudi dan remaja dalam masyarakat kita seolah-olah kempen “Katakan Tak Nak
Pada Rokok” giat dijalankan. Sudah tentu, gaya hidup tidak sihat akan mengundang penyakit seperti Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit
(AIDS), siflis dan lain-lain. Amalan-amalan sebegini perlu dijauhkan seterusnya mengamalkan cara hidup sihat berdasarkan norma-norma
agama dan budaya timur kita. Lantaran itu, beralihlah kepada cara hidup sihat bagi mendapatkan kesihatan yang baik sebagaimana
kempen “Gaya Hidup Sihat” yang diuar-uarkan oleh kerajaan.
Sebagai kesimpulannya, penjagaan kesihatan perlu menjadi agenda dan keutamaan dalam hidup kita seharian. Pelbagai langkah boleh
diambil untuk memperoleh kesihatan yang baik. Antaranya, menjaga kebersihan diri dan persekitaran, mengambil pemakanan seimbang
dan melakukan kegiatan riadah. Kita haruslah lebih prihatin dan mengambil berat tentang kesihatan diri agar dapat menjalani kehidupan
yang berkualiti. Individu yang sihat akan mampu memberi sumbangan kepada pembangunan dan kemakmuran negara selaras dengan
slogan, “Rakyat Sihat Negara Sejahtera”
F2 KEPENTINGAN KESIHATAN
Dasawarsa ini, sama ada kita sedar atau tidak lantaran terlalu dihidangkan dengan pembangunan negara yang
semakin gah di persada dunia. Namun disebalik itu, kita acapkali tersentak oleh pelbagai masalah kesihatan
dan penyakit berjangkit yang semakin meningkat dalam kalangan masyarakat domestik dan antarabangsa.
Polemik ini boleh dikurangkan dengan mengamalkan dua perkara asas iaitu menjaga kesihatan dan kebersihan
diri. Amalan ini mungkin dipandang remeh oleh sesetengah orang tetapi ia merupakan kunci utama dalam
memastikan kelansungan hidup seseorang pada ketika ini. Kita sering kali digalakkan untuk bersenam,
bersukan, membasuh tangan dan bergotong-royong membersihkan kawasan sekitar. Oleh itu, wajar untuk kita
mengetahui apakah kepentingan mengamalkan aktiviti tersebut demi menjaga kesihatan dan kebersihan diri.
Salah satu kepentingan memastikan kesihatan dan kebersihan diri berada pada tahap yang tinggi kerana ia
dapat meningkatkan produktiviti kehidupan seseorang. Apabila kita dikurniakan kesihatan yang baik, kita
mampu melakukan kerja-kerja yang secara langsung dan tidak langsung membantu setiap makhluk dimuka
bumi ini. Pelajar sekolah dapat memberikan fokus pada pelajaran mereka dan pekerja professional boleh
menjadi lebih kreatif dan inovatif dalam melaksanakan tugas masing-masing. Setiap pekerjaan berfungsi
dengan baik seperti mana kitaran ekologi yang berlaku dengan semula jadi. Justeru, kesihatan dan kebersihan
diri yang baik dapat menjamin kemajuan dalam setiap perkara untuk dikecapi.
Di samping itu, menghindari penyakit berjangkit dan masalah kesihatan juga merupakan kepentingan dalam
menjaga kesihatan dan kebersihan diri. Tamsilnya, apabila seseorang itu aktif bersukan, kekuatan sistem
kardiovaskular individu tersebut akan bertambah kuat dan dapat menghindar daripada serangan jantung.
Selain itu, amalan membasuh tangan menggunakan sabun selama 20 saat juga adalah penting agar kita tidak
membawa bakteria atau virus yang mungkin dibawa oleh kita tanpa disedari. Amalan gotong-royong
membersihkan kawasan sekitar juga dapat membantu mencegah pembiakan nyamuk aedes dan sisa lain yang
mampu menjadi punca kepada penyakit-penyakit berjangkit. Kesannya, masyarakat dapat hidup dengan
sejahtera tanpa merisaukan maslah kesihatan atau penyakit berjangkit.
Pada waktu yang sama, amalan menjaga kesihatan dan kebersihan diri adalah penting bagi memupuk sikap
disiplin dalam setiap individu. Hal ini demikian kerana, apabila individu tersebut ingin melaksanakan aktiviti
seperti bersukan, mereka perlu mematuhi peraturan dan etika dalam aktiviti tersebut. Sebagai contoh, sukan
olahraga dimana atlet perlu mengikuti jadual latihan dan konsisten untuk menjaga kekuatan fizikal dan mental
sebelum menyertai kejohanan tertentu. Selain itu, dari sudut kebersihan, amalan memberus gigi di waktu pagi
telah pun menjadi rutin harian semua manusia. Secara tidak langsung, perkara di atas telah membuatkan kita
untuk lebih berdisiplin berbanding dahulu hasil daripada usaha untuk menjaga kesihatan dan kebersihan diri.
Seterusnya, penjagaan kesihatan dan kebersihan diri penting kerana ia dapat menonjolkan imej dan
perwatakan yang menarik seseorang individu. Jika anda perlu menemuduga calon pekerja anda, apakah
kriteria yang anda utamakan terlebih dahulu? Sudah semestinya calon yang mempunyai perwatakan menarik
beserta pakaian yang rapi dan imej yang kemas. Mutakhir ini, pelbagai produk kesihatan yang boleh
membantu kita untuk mendapatkan imej yang menarik di samping baik untuk kesihatan. Contohnya,
penggunaan gel rambut dapat membantu golongan lelaki merapikan rambut mereka dengan kemas agar ia
kelihatan elok di mata setiap orang yang memerhati. Natijahnya, apabila imej dan perwatakan yang menarik
hasill daripada penjagaan kesihatan dan kebersihan diri, ia akan memudahkan kita untuk bergaul dengan orang
ramai serta diterima oleh masyarakat.
Intihannya, menjaga kesihatan dan kebersihan diri adalah penting seperti yang telah dihuraikan di atas. Setiap
pihak mempunyai peranan dalam memastikan kesihatan dan kebersihan diri, keluarga dan masyarakat berada
pada tahap yang baik. Hasil usaha ini dapat menjadikan masyarakat kita sentiasa dihormati dan disanjung
tinggi. Oleh itu, amalan menjaga kesihatan dan kebersihan perlu disemai dan dipupuk kepada setiap generasi
agar ia menjadi budaya contoh manusia sejagat. Sejajar dengan kata-kata hikmat, ” Negara bersih, rakyat sihat;
Badan sihat, otak cergas”.
EKONOMI, KEUSAHAWANAN, KEWANGAN
F1 CARA PENGURUSAN KEWANGAN YANG BERKESAN
Persoalan:
1. Kita perlulah mengamalkan sikap jimat cermat dan mengelakkan daripada sikap pembaziran.
2. Kita juga haruslah membandingkan harga barang yang dijual oleh beberapa kedai sebelum membeli.
3. Kita wajarlah menyenaraikan barangan keperluan sebelum membeli dan memastikan barangan tersebut ialah barangan
keperluan atau barangan kehendak.
Sebab:
1. Hal ini kerana kita boleh mengelakkan daripada perbelanjaan yang tidak perlu dan boleh mengelakkan daripada
membazir wang. Maka, kita boleh menyimpan wang yang terlebih dalam tabung kita. Wang simpanan kita
mungkin akan diperlukan pada suatu hari nanti
2. Hal ini kerana harga jualan setiap kedai adalah berbeza. Ada peniaga yang berjualan murah , tetapi juga ada peniaga
yang berjualan mahal ,kerana mereka hendak mendapat keuntungan yang banyak.
3. Hal ini kerana penyenaraian barangan dapat mengingati kita untuk mengawal pembelanjaan kita. Oleh itu, apabila
kita sedang membuat penyenaraian barangan, kita perlu berfikir dengan baik-baik barangan itu ialah barangan
keperluan atau barangan ehendakan sahaja. Selepas itu, kita hanya perlu membeli barangan dengan mengikuti
penyenaraian tersebut sahaja.
Cntoh:
1.Sebagai contoh, wang tersebut mungkin diperlukan apabila belajar di universiti atau diperlukan apabila menghadapi
kesukaran.
2.Contohnya, kita boleh membuat rujukan daripada satu kedai dengan kedai yang lain untuk membandingkan harga. Selain
itu, kita juga boleh membandingkan harga jualan yang dijual atas talian seperti Shopee.
3. Tamsilnya, barangan keperluan mengandungi makanan biasa, alat tulis, baju dan sebagainya. Manakala barangan
kehendakan mengandungi makanan ringan, minuman bergas, telefon bimbit yang baharu dan sebagainya.
Kesan:
1. Kesannya, ini dapat meringankan beban ibu bapa kerana murid-murid boleh membayar yuran sekolah dengan wang
simpanan sendiri. Kita juga tidak perlu meminjam wang daripada orang lain.
2. Dengan ini, kita boleh membeli barangan yang berkualiti dengan harga yang berpatutan. Kita akan berasa puas hati
kerana membeli barangan yang harganya murah tetapi mutunya tinggi. Maka, kita akan menjadi seorang pembeli yang
bijaksana dan tidak akan ditipu oleh orang yang jahat.
3. Oleh itu, kita tidak akan menghabiskan wang kita secara boros untuk membeli barangan yang tidak penting. Ini juga tidak
akan melebihi anggaran yang kita perlu. Maka, kita tidak akan menghadapi masalah hutang piutang.
Penutup kecil:
1. Jelaslah bahawa, kita perlu menguruskan kewangan kita secara bijak dengan mengamalkan sikap jimat cermat.
2. Jelaslah bahawa, membuat bandingan harga barang sebelum membeli juga merupakan salah satu cara untuk menjadi
seorang pengurusan kewangan yang pantai.
3. Jelaslah bahawa, minhaj untuk menjadi seorang pengurusan yang bijak ialah kita wajarlah menyenaraikan barangan
keperluan secara awal sebelum membeli.
F2 CIRI-CIRI USAHAWAN BERJAYA
1. Inisiatif dan Bertanggung jawab
Fokus usahawan dan mula merebut peluang tidak bergantung kepada kerajaan,
struktur atau startegi. Mereka bermula dengan peluang yang ada dan membiarkan
kefahaman mereka menjadi panduan ke atas isu-isu yang penting. Usahawan
mempunyai kebijaksanaan di dalam mencari peluang yang ada. Di dalam mencari
peluang perniagaan baru, usahawan melihat peristiwa atau kejadian sama seperti
orang lain, tetapi hasilnya atau penilaian terhadap peristiwa tersebut adalah
berlainan. Usahawan bukan sahaja berkebolehan mencari peluang yang ada tetapi
mempunyai kebolehan untuk meraih peluang tersebut.
Usahawan bukanlah seorang yang sanggup mengambil risiko tanpa memikir terlebih
dahulu, segala risiko yang bakal dihadapi telah diambil kira. Apabila seseorang
usahawan melibatkan diri di dalam sesuatu pelaburan, semua perkiraan telah
diambil kira demi untuk mengelakkan usahawan tersebut menanggung risiko yang
tidak sepatutnya.
BAHASA
F1 LANGKAH-LANGKAH MEMARTABATKAN BAHASA DI PERINGKAT DUNIA
Pendahuluan
Mutakhir ini, ledakan teknologi telah membuatkan kkebanyakan di antara generasi muda gemar untuk menonton
kandungan yang terdapat di alam maya. Namun kandungan yang ditonton majoriti menggunakan bahasa asing atau Bahasa
Inggeris. Kesannya, anak-anak muda lebih fasih berbahasa asing dan Bahasa Inggeris berbanding bahasa ibunda mereka
iaitu Bahasa Melayu. Seperti kacang yang melupakan kulit, generasi muda yang merupakan warisan bangsa untuk masa
hadapan akan lupa akan asal usul mereka dan Bahasa Melayu akan pupus ditenggelam zaman. Bahasa yang merupakan
salah satu khazanah kita miliki sepatutnya menjadi imej sesebuah negara kini semakin dilupakan. Justeru, setiap di antara
kita bertanggungjawab untuk mengetahui cara memperkasakan Bahasa Melayu agar khazanah ini dirai semula dan kekal
relevan untuk generasi akan datang.
Usaha sulung yang wajar dilaksanakan untuk memartabatkan bahasa ibunda kita adalah dengan menetapkan identiti
bahasa Melayu. Sebelum ini, timbul polemik apabila terdapat segelintir pihak yang ingin menukar perkataan bahasa
Melayu kepada bahasa Malaysia. Tetapi perkara tersebut tidak kekal lama kerana masyarakat kita telah biasa dengan
Bahasa Melayu. Polemik seperti ini yang menjadikan martabat bahasa kita kurang dihargai. Tambahan pula, kata-kata
pinjaman bahasa asing yang digunakan dalam bahasa Melayu seperti zalim daripada bahasa Arab dan asimilasi daripada
bahasa Inggeris perlu dikurangkan. Kita mempunyai pakar-pakar bahasa dan sasterawan yang mampu memberikan pilihan
perkataan yang sesuai untuk digunakan berbanding meminjam bahasa asing. Jika isu seperti ini dapat diselesaikan, pasti
martabat bahasa Melayu akan terjamin kerana mempunyai identiti yang jelas dan unik.
Pada masa yang sama, langkah memartabatkan bahasa Melayu boleh digiatkan dengan menghasilkan banyak karya seni
dan penyiaran dalam bahasa Melayu. Seiring dengan peredaran zaman, karya sastera tidak boleh kekal di takuk lama iaitu
hanya dilakukan di atas media cetak dan fizikal. Para penerbit dan usahawan sastera perlu berkecimpung dalam dunia
elektronik supaya kekal relevan dengan generasi masa kini dan akan datang. Usaha ini boleh direalisasikan dengan bantuan
pihak berkuasa seperti kerajaan untuk memberikan geran kepada penggiat seni bagi menghasilkan karya yang
memartabatkan bahasa Melayu. Apabila media cetak dan media elektronik dipenuhi dengan karya-karya yang
mengutamakan penggunaan bahasa Melayu pastinya penonton akan menikmati karya tersebut serta menghargai bahasa
ibunda dengan lebih baik. Di mana ada kemahuan, di situ pasti ada jalan untuk kita memartabatkan bahasa Melayu melalui
seni di media cetak ataupun media elektronik.
Inisiatif lain yang wajar dilaksanakan demi menaikkan semula martabat penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan
masyarakat kita adalah dengan memastikan urusan rasmi negara menggunakan bahasa Melayu. Sejak mengecapi
kemerdekaan, bahasa Melayu telah diisytiharkan sebagai bahasa rasmi. Oleh sebeb itu, kakitangan awam khususnya wajib
untuk menggunakan bahasa Melayu dalam setiap urusan demi menampilkan kepentingan bahasa rasmi tersebut. Pihak
berkuasa tempatan juga boleh memainkan peranan dengan memastikan papan iklan, jalan raya dan juga nama perumahan
yang dibina dipaparkan dalam bahasa Melayu. Pengenalan kawasan seperti Bangsar South adalah tidak relevan kerana ia
menenggelamkan identiti kawasan tersebut dan usaha menamakannya semula sebagai Kampung Kerinchi wajar disokong.
Jelasnya, bahasa Melayu boleh dimartabatkan semula dengan memastikan urusan rasmi berkaitan kerajaan persekutuan
mahupun negeri dilakukan dalam bahasa Melayu.
Akhir sekali, langkah drastik yang boleh dilakukan untuk memartabatkan bahasa Melayu adalah dengan memansuhkan
sekolah berbentuk vernakular seperti sekolah jenis kebangsaan cina dan tamil. Hal ini kerana apabila wujudnya sekolah
yang mengasingkan kaum dan menggunakan bahasa yang berbeza, ia akan memecah belahkan masyarakat apatah lagi
dalam menggunakan bahasa Melayu. Jika sekolah di peringkat rendah hanya mempunyai satu jenis iaitu sekolah
kebangsaan, setiap pelajar di sekolah akan bertutur dalam bahasa perantara utama iaitu bahasa Melayu. Dalam masa yang
sama, bahasa lain seperti bahasa cina dan tamil booleh dipelajari sebagai bahasa kedua di samping bahasa Inggeris.
Pemansuhan ini bukan bertujuan untuk merendahkan potensi kaum lain tetapi jika kita disatukan bawah institusi
pendidikan yang sama, pastinya masyarakat yang mampunyai nilai perpaduan yang utuh akan terhasil. Izharnya,
memansuhkan sekolah vernakular dapat membantu memartabatkan bahasa Melayu.
Kesimpulan kepada perbincangan di atas, banyak usaha boleh dilakukan oleh setiap pihak untuk memartabatkan bahasa
ibunda kita iaitu bahasa Melayu. Masyarakat perlu memainkan peranan masing-masing dengan menjayakan inisiatif-
inisiatif yang memelihara martabat bahasa kebangsaan kita. Usaha mengangkat martabat bahasa ini perlu selaras dengan
usaha membina pencakar-pencakar langit di ibu kota Malaysia
F2 KEPENTINGAN MENGUASAI PELBAGAI BAHASA
. Bahasa merupakan alat yang digunakan oleh masyarakat untuk berhubung sejak zaman dahulu lagi. Dalam mendepani era globalisasi
ini,kemampuan menguasai dan berkomunikasi dalam pelbagai bahasa merupakan suatu kelebihan kepada seseorang. Lantaran itu,
Sekolah Berasrama Penuh (SBP) misalnya, memberikan peluang kepada para pelajar untuk mempelajari lima bahasa antarabangsa iaitu,
bahasa Peranchis, Jerman, Jepun, Cina dan Arab melalui pembelajaran bahasa antarabangsa. Tanpa kemampuan dan kemahiran bertutur
dalam pelbagai bahasa, agak sukar seseorang untuk berkomunikasi khususnya dengan individu yang berlainan bangsa. Oleh itu, banyak
kepentingan akan diperoleh oleh seseorang dengan menguasai pelbagai bahasa lain selain bahasa ibunda.
Kebaikan pertama menguasai pelbagai bahasa ialah seseorang lebih mudah untuk berhubung atau berkomunikasi dengan orang lain. Hal
ini demikian kerana seseorang akan lebih berkeyakinan untuk bersemuka dengan sesiapa sahaja. Sebagai contoh, dengan menguasai
bahasa Inggeris, seseorang boleh memberitahu tempat-tempat menarik serta keistimewaan yang terdapat di negara kita kepada
pelancong yang datang ke negara kita. Faedah daripada itu, para pelancong berasa lebih dihargai malah akan lebih tertarik untuk
berkunjung ke negara kita. Seseorang juga akan lebih memahami psikologi serta penutur jati individu tertentu. Sebaliknya, tanpa
menguasai pelbagai bahasa seseorang sukar untuk menolong walaupun masih mempunyai niat untuk membantu. Impak daripada itu, para
pelancong akan berfikiran negatif dan berkemungkinan menganggap kita tidak peramah dan bersikap sombong. Jelas bahawa, dengan
menguasai pelbagai kita mudah berkomunikasi dengan lebih berkesan untuk bertukar fikiran serta maklumat antara satu sama lain.
Selain itu, dengan menguasai pelbagai bahasa seseorang lebih mudah untuk memperoleh ilmu pengetahuan. Hal ini demikian kerana
pelbagai ilmu pengetahuan yang terdapat di dunia ini ditulis dalam pelbagai bahasa, khususnya bahasa Inggeris yang menjadi bahasa
utama dunia. Dengan memperoleh pelbagai ilmu pengetahuan seseorang akan lebih dihormati, dipandang tinggi serta tidak dianggap
bagai katak di bawah tempurung. Sebagai contoh, untuk meningkatkan pengetahuan dalam bidang agama Islam seseorang wajib
menguasai bahasa Arab yang merupakan bahasa kitab suci Al-Quran. Sementara itu, bagi golongan pelajar mereka lebih mudah untuk
membuat rujukan sama ada melalui buku-buku atau Internet. Kemahiran menguasai bahasa Inggeris misalnya, sering kali menjadi
halangan kepada pelajar Bumiputera di pusat pengajian tinggi untuk menghasilkan kajian serta bahan ilmiah yang berkualiti. Tegasnya,
memiliki kemahiran bahasa Inggeris yang baik sama ada mendengar, bercakap, membaca atau menulis adalah amat perlu sejajar dengan
usaha kerajaan Malaysia membangunkan modal insan di negara ini.
Seterusnya, seseorang lebih mudah untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, baik di pusat pengajian tinggi awam atau
swasta. Tambahan lagi kemampuan menguasai dan berkomunikasi dalam pelbagai bahasa menjadi semakin penting sekiranya seseorang
hendak melanjutkan pelajaran ke luar negara. Hal ini demikian kerana hampir semua pusat pengajian tinggi menggunakan bahasa Inggeris
sebagai bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran kerana kekuatannya sebagai bahasa komunikasi masyarakat dunia. Hal ini
dikukuhkan lagi apabila seseorang ingin melanjutkan pelajaran di negara-negara maju seperti Jepun dan Peranchis yang menggunakan
bahasa ibunda mereka sendiri sebagai bahasa pengantar utama. Tamsilnya, untuk melanjutkan pelajaran di negeri matahari terbit, Jepun
pelajar perlulah mengikuti kurusus untuk menguasai bahasa Jepun terlebih dahulu sebagai pakej untuk terpilih untuk mengikuti pengajian
di sana. Jelas terbukti bahawa penguasaan pelbagai bahasa memberikan kemudahan kepada setiap orang untuk melanjutkan pelajaran ke
peringkat yang lebih tinggi di samping mudah untuk memahami budaya dan gaya hidup sesuatu masyarakat yang ditemui.
Akhir sekali, tidak dapat dinafikan bahawa dengan menguasai pelbagai bahasa seseorang lebih mudah untuk memperoleh peluang
pekerjaan. Hal ini disebabkan seseorang pekerja yang berkemahiran bertutur dalam pelbagai bahasa dianggap mempunyai banyak
kelebihan serta keistimewaan kerana mampu bertutur dengan pelbagai pihak. Sebagai contoh, di Malaysia seseorang yang boleh bertutur
dalam bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan Mandarin memiliki ciri-ciri pekerja yang digemari dan disukai majikan kerana masyarakat
majmuk yang terdapat di negara kita. Di samping itu, dengan menguasai pelbagai bahasa membolehkan seseorang itu, menceburkan diri
dalam bidang penterjemahan atau jurubahasa dalam bidang kehakiman dan juga sektor pelancongan. Bidang terjemahan dikatakan
mempunyai masa depan yang cerah kerana mempunyai permintaan yang tinggi. Begitu juga dalam bidang pelancongan yang amat
memerlukan khidmat pemandu pelancong asing yang boleh menguasai bahasa asing. Sesungguhnya, penguasaan pelbagai bahasa dan
kemahiran berkomunikasi menjadi suatu kriteria dan pertimbangan utama majikan dalam memilih ciri pekerja yang berkualiti.
Intihanya, langkah Kementerian Pelajaran Malaysia memperkenalkan subjek bahasa tambahan di peringkat sekolah perlulah dipuji bagi
memperkasakan lagi modal insan yang bakal dilahirkan. Oleh itu, semua pihak khususnya ibu bapa bukan sahaja perlu menerimanya
secara positif malahan memberikan sokongan tanpa wujud perasaan berbelah bahagi. Semua individu khususnya golongan pelajar
perlulah merebut peluang yang disediakan oleh pihak kerajaan kerana kemahiran bertutur dalam pelbagai bahasa akan memberikan nilai
tambah sekali gus menyediakan masyarakat yang mampu duduk sama rendah berdiri sama tinggi untuk bersaing di peringkat global.
Justeru, tepuk dada tanya selera, adakah kita ingin menjadi individu yang hanya memahami bahasa ibunda atau mampu menguasai
pelbagai bahasa yang pastinya memberikan kelebihan kepada kita kelak.