Faktor An Islam Di Alam Melayu

Unduh sebagai docx, pdf, atau txt
Unduh sebagai docx, pdf, atau txt
Anda di halaman 1dari 20

Faktor Perkembangan Islam Di Alam Melayu

FAKTOR-FAKTOR PERKEMBANGAN ISLAM DIALAM MELAYU

Pendahuluan Agama Islam mula berkembang di alam Melayu dalam abad ke 13 Masihi. Menjelang abad ke 15 Masihi, agama Islam berjaya meluaskan pengaruhnya hampir ke seluruh alam Melayu dan menamatkan pengaruh agama Hindu dan Buddha yang menguasai daerah tersebut sejak abad ke 15 Masihi. Pengembang-pengembang Islam yang menyebarkan agama Islam ke alam Melayu telah memahami permasalahan budaya yang dihadapi oleh penganut-penganut Islam di daerah tersebut. Pemikir-pemikir budaya melayu dengan Islam telah menyesuaikan pelbagai aspek dari kebudayaan Melayu denga ciri-ciri keislaman, sehingga dengan itu lahirlah peradaban Melayu yang memperlihatkan unsur-unsur Islam yang universal. Dengan keunggulan peradaban Melayu yang bercorak Islam melahirkan suatu masyarakat alam Melayu yang dinamik sehingga terbentuk kuasa-kuasa sahsiah yang kuat. Tetapi kekuatan penjajahan Barat yang dibantu oleh teknologi moden dapat mengatasi dan menguasai dunia Islam. Akibatnya umat Islam ketinggalan beberapa abad lamanya dari arus perkembangan tamadun dunia. Apabila dunia Islam bebas dari belenggu penjajahan maka umat Islam menghadapi suatu permasalahan budaya semasa untuk menyesuaikan berbagai-bagai aspek dalam tamadun yang menguasai kehidupan mereka dengan roh agama. Ini merupakan satu cabaran yang memerlukan pendekatan yang konkrit bagi memperlihatkan ciri keunggulan yang boleh menarik sokongan yang mengembalikan kekuatan seperti yang dijanjikan oleh Allah di dalam Al-Quran.

Pengenalan Alam Melayu

Alam Melayu merupakan kawasan yang turut dikenali sebagai Nusantara . Ia merujuk kepada negaranegara Asia Tenggara iaitu kepulauan-kepulauan Indonesia, Malaysia dan Filipina. Konsep alam Melayu yang dipakai oleh UNESCO mengambil kira seluruh rumpun Melayu Polonesia dari Pulau Malagasi di sebelah barat dan Pulau Paskah di timur, Pulau Formosa, Hawaii di utara serta kepulauan Indonesia dan New Zealand di sebelah selatan. Alam Melayu terkenal sebagai Mutiara Timur . Muka buminya subur dengan pelbagai flora dan fauna serta menyimpan pelbagai khazanah sumber ekenomi di perut bumi dan di dasar lautnya. Di persadanya

pelbagai kelompok etnik manusia hidup bersama. Ini menjadikan alam Melayu sebagai Taman Kesuma Wicitra atau Taman Aneka Bunga yang melahirkan falsafah kepelbagaian budaya dalam satu rumpun Melayu yang besar. Dari perspektif sejarah, tamadun Melayu telah berusia lebih 5000 tahun dengan mengambil kira Tamadun Melayu Deutro yang wujud sekitar 3000 tahun sebelum masihi. Alam melayu juga telah lama membina kebudayaanya yang tersendiri seiring dengan tamadun dunia yang lain. Dalam proses perkembangannya, ia melalui 3 peringkat utama iaitu: a) Tamadun Purba atau Pra-sejarah(sehingga abad ke-3 Masihi) b) Tamadun Hindu iaitu mulai kedatangan pengaruh Hindu(abad ke-3 Masihi & Arab Jahiliah, hingga tahun 1200 Masihi) c) Tamadun Moden iaitu selepas kedatangan Islam(1200 Masihi hingga kini) FAKTOR-FAKTOR PERKEMBANGAN ISLAM DI ALAM MELAYU Terdapat banyak faktor yang mempengaruhi perkembangan agama Islam di alam Melayu. Antara faktorfaktor tersebut adalah seperti berikut :

1) Perdagangan Ramai ahli sejarah bersetuju yang agama Islam telah diperkenalkan di Nusantara melalui perdagangan. Peranan pedagang Islam terutama di zaman permulaan Islam di Nusantara amat penting sekali. Para pedagang dari Arab, India, dan Parsi telah menumpukan kegiatan perdagangan di rantau ini semenjak abad ke-8 atau ke-9 lagi. Manakala menurut catatan China, pedagang-pedagang Islam sudah ada di kawasan perairan melayu semenjak pertengahan abad ke-7 lagi. Diantara barang-barang tersebut ialah lada, rempah, kemenyan dan terutamanya kapur barus. Khusus tentang kapur barus, ia pernah dianggap sebagai punca yang membawa orang-orang Arab ke Nusantara sejak awal lagi. Sebenarnya barangbarang ini bukan sahaja dikehendaki oleh orang-orang Arab bahkan juga orang-orang Barat.

Pedagang-pedagang Islam dipercayai telah mendirikan koloni-koloni mereka di Perairan Semenanjung Tanah Melayu dan Sumatera untuk menjalankan kegiatan perdagangan. Selain menjadi pedagang, saudagar-saudagar tersebut menjalankan kegiatan dakwah di kawasan-kawasan yang disinggahi. Ada antara mereka yang tidak menjalankan kegiatan dakwah tetapi telah memberikan kemudahan kepada golongan pendakwah menaiki kapal-kapal mereka bagi menyebarkan dakwah dari satu pelabuhan ke pelabuhan yang lain.

Dengan cara ini Islam cepat tersebar di alam Melayu. Melaka telah menjadi sebuah negara Islam hasil daripada kegiatan perdagangan. Setelah Melaka menjadi negara Islam, kegiatan dakwah diperluaskan pula ke Jawa dan Brunei melalui cara yang sama. Akhirnya kedua-dua negara itu mengikut langkah Melaka.

2) Keunggulan Islam Faktor-faktor penyebaran Islam di alam Melayu juga datang daripada keunggulan Islam itu sendiri. Antaranya ialah kesederhanaan, kesucian, dan keluhuran agama Islam yang bertunjangkan kepada ketuhanan yang tunggal dan persamaan taraf antara sesama Islam, tidak sebagaimana agama Hindu yang dianuti oleh penganut-penganut Melayu sebelum itu yang bertuhankan kepada berhala dan dewa disamping mangamalkan sistem kasta.

Ahli-ahli sosiologi moden menjelaskan bahawa sentimen pro-Islam yang mendalam di kalangan penganut Islam di kawasan ini terutama sekali di kawasan Bandar adalah dipengaruhi dengan kuatnya oleh perasaan anti sistem kasta. Kelas-kelas bawahan dalam masyarakat menyedari bahawa kedudukan mereka tidak ada nilai dalam sistem masyarakat lama. Memeluk agama Islam adalah satu cara yang berkesan untuk membebaskan mereka dari belenggu kasta. Islam dengan ajarannya yang mementingkan persamaan taraf sesama manusia telah menjadi faktor yang utama dalam penukaran agama.

Sesungguhnya sistem-sistem kasta diikuti sebagaimana yang diamalkan di India, tetapi tidaklah benar sama sekali jika dianggap bahawa tidak ada perbezaan taraf dikalangan masyarakat orang beragama Hindu digugusan kepulauan melayu pada masa itu.

3) Perkahwinan Ramai saudagar yang datang ke alam Melayu merupakan golongan yang kaya raya. Sesetengahnya mempunyai hubungan yang rapat dengan pembesar-pembesar tempatan. Dengan kekayaan yang ada, mereka berjaya mempengaruhi wanita-wanita tempatan untuk dijadikan isteri. Malahan ada saudagar yang dapat berkahwin dengan puteri-puteri dari kalangan anak pembesar terutamanya di zaman Kesultanan Melayu Melaka. Perhubungan keluarga telah memudahkan para pedagang Islam berdakwah secara terus dengan kaum kerabat mereka sendiri.

Perkahwinan ini juga sekurang-kurangnya dapat menarik minat pembesar-pembesar tempatan untuk menerima Islam. Biasanya apabila pembesar-pembesar menerima Islam maka seterusnya akan diikuti golongan bawahan ataupun rakyat secara beramai-ramai. Hasilnya bertambahlah bilangan penduduk yang menganut agama Islam.

Agama Islam juga tersebar melalui perkahwinan antara raja sesebuah negara dengan puteri raja dari negara lain. proses ini biasanya dipanggil perkahwinan sahsiah. Langkah ini turut membantu perkembangan Islam ke sesebuah negara. Umpamanya perkahwinan puteri Pasai dengan Megat Iskandar Syah menyebabkan Islam tersebar dari Pasai ke Melaka. Begitulah juga perkahwinan anak-anak raja Melaka dengan putera puteri Pahang dan Kedah yang akhirnya telah menyebabkan kedua-dua menjadi negeri Islam kemudiannya.

4) Pengislaman Pemerintah Pengislaman pemerintah merupakan salah satu faktor bagi perkembangan Islam di alam Melayu. Contohnya ialah di Melaka, apabila raja Melaka Parameswara memeluk Islam ramai pengikut-pengukut dan rakyat jelata yang masuk Islam. Apabila pemerintah memeluk Islam, nama mereka ditukar dan digelar sebagai sultan. Dalam proses pengislaman pemerintah saudagar-saudagar berperanan sebagai pendakwah. Saudagar-saudagar ini bukan sahaja berdagang tetapi juga menyebarkan Islam. Selalunya saudagar ini terdiri daripada orang-orang yang kaya. dan dapat menarik minat golongan pemerintah dengan kekayaan yang mereka miliki.

5) Perlumbaan Penyebaran Agama Islam Dan Kristian Satu lagi faktor yang bertanggumgjawab bagi perkembangan agama Islam di rantau ini disebabkan adanya perlumbaan penyebaran agama Islam dan Kristian, terutama di dalam abad ke-15 dan ke-16 yang dianggap ekoran dari Perang Salib. Sejak semenanjung Iberia ditawan oleh kuasa Islam dalam tahun 732 M berlanjutan hingga Peperangan Salib dan seterusnya dalam abad ke-15 telah meninggalkan kesan-kesan yang mendalam dan di dalam tulisan-tulisan orientalis Barat selalu mengecil-ngecilkan peranan Islam di samping usaha-usaha melemahkan agama Islam. Persaingan ini menjadi satu sebab Islam telah berkembang dengan pesat di kalangan penduduk Kepulauan Melayu.

6) Penaklukan Penaklukan juga tidak kurang pentingnya menjadi faktor pendorong tersebarnya Islam di Nusantara ini. Apa yang dimaksudkan ialah penaklukan yang dilakukan oleh sesebuah negara Islam ke atas daerah lain. Jika daerah yang ditawan itu belum Islam maka dengan penaklukan itu para pembesarnya akan

terpengaruh dengan Islam kerana motif politik, kedudukan, ekonomi dan sebagainya. Jika daerah yang ditawan itu telah Islam maka dangan penaklukan itu, Islam dapat dikembangkan dengan lebih berkesan lagi. Kerajaan Pasai sebagaimana yang diterangkan dalam catitan Ibnu Batutah telah meluaskan kuasa politiknya ke daerah sekitarnya dengan peperangan lalu Islam tersebar di daerah tersebut. Melaka di zaman kekuasaan Bendahara Tun Perak telah berjaya menakluki beberapa daerah diTanah Melayu dan Sumatera seperti Pahang, Terengganu, Petani, Kampar, Inderangiri, Rokan, Siak, Johor, Bangkalis dan lain-lainya. Oleh itu Islam tentunya dapat disebarkan dengan mudahnya di daerah jajahan takluk tersebut. Kerajaan Acheh yang merupakan sebuah empayar Islam yang tersebar di abad 16 dan 17 di Asia Tenggara ini yang mempunyai jajahan takluk yang luas di Sumatera dan Tanah Melayu tentunya dapat menyebarkan Islam dengan mudah juga di daerah tanah tajahannya itu. Memangnya ada tercatit dalam sejarah Acheh bahawa kerajaan Acheh telah mengirimkan para pendakwah Islam ke daerah tanah jajahannya itu di Tanah Jawa. Kerajaan Islam Demak juga telah menakluki daerah-daerah yang diperintah oleh kerajaan-kerajaan Hindu. Misalnya kerajaan Hindu Majapahit telah ditewaskan dan dijadikan tanah jajahan takluknya. Dengan ini maka Majapahit bertukar menjadi sebuah negara Islam.

7) Kesusasteraan Kesusasteraan juga telah menjadi saluran penting kepada penyebaran Islam di Asia Tenggara. Dengan kedatangan Islam, masyarakat di Alam Melayu sebagai bahasa perhubungan utama. Dengan adanya satu bahasa ini, kegiatan menyebarkan Islam menjadi lebih mudah dan lancar. Kedatangan Islam juga telah memperkenalkan tulisan jawi. Hal ini memudahkan para ulamak dan pendakwah mengajar tentang ilmu yang berkaitan dengan Islam kerana mereka dapat menguasai tulisan jawi. Dizaman keagungan Melaka dan Acheh, Bahasa Melayu telah dijadikan bahasa pengantar dalam system pendidikan mereka. Pelbagai bentuk sastera Arab seperti syair dan gurindam talah mempengaruhi Bahasa Melayu. Hasilnya sastera-sastera Islam telah dikembangkan melalui Bahasa Melayu dan ini sudah tentu dapat mengembangkan lagi fahaman orang-orang melayu terhadap ajaran Islam. Beberapa tokoh karyawan dan ulama luar dan tempatan telah menghasilkan karya-karya yang berunsur Islam sama ada dalam bentuk asli ataupun terjemahan dan saduran. Sebahagian besar daripada karya tersebut seperti Hikayat Nabi Bercukur, Hikayat Raja Khandak, Hikayat Amir Hamzah dan sebagainya begitu diminati oleh orang-orang Melayu. Karya-karya ini mengandungi pelbagai unsur yang boleh mendekatkan kefahaman pembacannya kepada ajaran Islam itu sendiri. Bidang kesusasteraan Islam begitu pesat berkembang di Acheh sehingga melahirkan ramai tokoh satera seperti Hamzah Fansuri dan Nuruddin al-Raniri yang berhasil mengarang pelbagai jenis kitab agama. Kitab-kitab ini kemudiannya disebarkan keseluruh jajahan takluk dan hal ini sudah tentu membantu penyebaran Islam ke Alam Melayu atau Nusantara.

8) Peranan Ahli Tsawuf dan Sufi

Kegiatan penyebaran Isalm dikebangkan oleh ahli-ahli tasawuf dan sufi. Ahli tasawuf da sufu merupakan ulama Islam yang kuat beramal. Kedua-dua golongan ini telah menunjukkan teladan yang baik tentang islam itu sendiri. Mereka berpakaian bersih, bersopan satun dan bertatatertip sehingga tingkah laku dan tutur kata mereka mempersonakan orang ramai. Di zaman Melaka, golongan ini juga diberi penghormatan yang tinggi oleh pemerintah kerana bija dalam tutur kata. Nasihatnya di dengar oleh sultan dan par pembesar. Di zaman kesultanan Acheh,golongan tasawuf telah diberi peranan penting dalam pentadbiran. Semasa pentadbiran Iskandar Muda,seramai 22 orang ulama(ahli tasawuf) telah menganggotai Balai Gadang yang menjadi pusat bagi membicangkan masalah pemarintahan negara dan masalah agama. Antara mereka adalah Hamzah Fansuri dan Nuruddin al-Raniri. Mereka telah memberi sumbangan yang besar kepada Acheh dalah kegiatannya sebagai pusat penyebaran Islam di Asia Tenggara. Sementara pada zaman kerajaan Islam Demak, golonhan ini lebih dikenali sebagai Wali Songo. Mereka memainkan peranan penting dalam penyebaran Islam di Pulau Jawa. Tokoh-tokoh Sunan Ampel,Sunan Bonang dan Sunan gunung Jati memang tidak asing dalam sejarah perkembangan pengaruh islam di Jawa dan sekitarnya.

Kesimpulan Agama Islam telah berjaya mempengaruhi sebahagian besar penduduk alam Melayu walaupun agama Hindu lebih awal bertapak di rantau ini. Islam telah membawa tamadun yang tinggi dan seba lengkap meliputi semua aspek kehidupan. Asas asas tamadun Islam yang tersebar di nusantara semenjak awal abad ke 15 telah menjadi nilai hidup orang-orang Melayu sehingga kini.

Tepri kedatangan islam

1.1 Pengenalan

Tamadun mendedahkan kita suatu cara hidup yang tentiasa berkembang tatkalala manusia mula menetap di satu kota atau bandar. Di dalam kota atau bandar tersebut akan wujudnya suatu organisasi sosial dan politik yang dikenali sebagai negara. Manakala agama merupakan satu aspek yang tidak boleh diabaikan dalam menjalankan sesuatu kajian tentang ketamadunan. Fenomena agama penting difahami kerana ianya merupakan sebahagian daripada kehidupan manusia. Dengan kata lain, tanpa manusia mustahil wujudnya satu-satu agama. Justeru itu perkara asas yang diguna pakai dalam menentukan sama ada bertamadun atau tidak sesuatu masyarakat haruslah dibina di atas perspektif yang berpaksikan sistem nilai iaitu agama Islam.

1.2 Objektif Kajian

Antara objektif kertas kerja ini ialah seperti berikut: (i) Mendedahkan kepada pembaca tentang beberapa teori tentang kedatangan Islam ke Alam Melayu. (ii) Memberi pendedahan serta huraian terperinci tentang proses-proses penyebaran agama Islam ke Alam Melayu. (iii) Mengetahui jenis-jenis pusat-pusat tamadun Melayu selepas kedatangan agama Islam. (iv) Memberi gambaran sebenar tentang kesan dan pengaruh agama Islam terhadap Alam Melayu.

1.3 Kaedah Kajian

Batasan Kajian Pelbagai kaedah dan pendekatan telah digunakan dalam menghasilkan tugasan ini. Antara kaedah yang digunakan dalam usaha menyempurnakan tugasan ini ialah kaedah keperpustakaan dengan membuat penyelidikan di perpustakaan-perpustakaan di Sibu, Sarikei dan Bintangor. Kebanyakan kaedah kajian adalah lebih kepada pengumpulan maklumat dengan mentelaah karya-karya, kamus-kamus yang berkaitan dengan tugasan ini serta memanfaatkan pandangan daripada tutor dan ahli kumpulan agar kajian ini dapat memenuhi kehendak tugasan yang diberikan.

1.4 Batasan Kajian

Penulis tugasan ini membataskan kajian kepada beberapa teori tentang kedatangan Islam ke Alam Melayu. Tugasan ini hanya menerang proses-proses penyebaran agama Islam ke Alam Melayu. Ianya juga akan hanya membincangkan jenis pusat tamadun Melayu, kesan serta penaruh selepas kedatangan agama Islam ke Alam Melayu.

1.5 Definisi Konsep

Menurut Kamus Dewan Edisi Ke-3 Terbitan DBP (1994), membawa maksud perkataan: (i) Islam bermaksud agama yang disampaikan oleh Nabi Muhammad s.a.w. (ii) Pembinaan bermaksud perbuatan (kegiatan,usaha, dsb), membina (mendirikan, membangunkan) (iii) Tamadun bermaksud keadaan masyarakat manusia yang dicirikan oleh atau didasarkan pada taraf kemajuan kebendaan serta perkembangan pemikiran. (iv) Melayu membawa maksud nama sesuatu bangsa dan bahasa (terutamanya di Semenanjung Malaysia)

2.0 Teori Kedatangan

Tidak dapat dipastikan bilakah Islam mula datang dan sampai ke Alam Melayu. Bukti-bukti sejarah juga masih tidak jelas dan bersimpang-siur. Namun, terdapat beberapa bahan sejarah yang boleh membantu kita untuk menentukan tarikh kedatangan Islam ke Alam Melayu. Pertama dari sudut riwayat yang dicatat oleh para pengembara dan pedagang yang sampai ke Asia Tenggara. Catatan telah dibuat oleh pengembara Arab dan juga Parsi.

Mengikut riwayat Cina, telah ada orang Islam di Sriwijaya pada tahun 674 Masihi/ 55 Hijrah. Kemudian Al-Mas udi meriwayatkan bahawa pada 887 telah ada petempatan orang Islam di Khanfu (Canton), negeri Cina. Oleh yang demikian terdapat sarjana yang melihat kedatangan Islam ke Alam Melayu melalui pelbagai teori. Antara teori-teori tersebut ialah;

(a) Islam datang melalui India dan para pembawanya ialah para saudagar yang berniaga terutamanya dari Gujerat . Teori ini banyak didukung oleh pengkaji-pengkaji Barat seperti Winstedt dan lain-lain. (b) Islam datang melalui Parsi yang dibawa oleh orang Islam yang berniaga dan yang berdakwah. (c) Islam datang secara lansung dari Tanah Arab. (d) Islam datang melalui negeri China seperti yang didukung oleh S.Q. Fatimi, seorang penyelidik dari Pakistan. (e) Islam datang melalui pelbagai jurusan dan tempat seperti Asia Barat, Asia selatan dan Afrika utara.

Namun ketetapan yang dibuat oleh para sarjana ialah Islam telah datang ke Alam Melayu sejak zaman Khalifah Ar-rasyidin lagi tetapi melalui perantara. Perantara yang dimaksudkan ialah pedagangpedagang dari China dan India yang datang berdagang ke Alam Melayu.

Teori Kedatangan Islam Dari India

1. Van Ronkel menganggap Islam dibawa dari India Selatan dengan alasan adanya bentuk-bentuk popular Islam seperti adanya ciri-ciri mistik, sastera Roman dan sebagainya di Indo yang berasal dari India Selatan 2. Moquette & R.A Kem memilih Gujerat sebagai tempat asalnya. Islam- kerana kesamaan batu-batu nisan di Pasai (1428) & dan di Gerisek (1419). Dengan batu nisan di Gujerat 3. Disokong oleh D.G.E Hall (1987) mengatakan sebelum akhir abad ke 13M, pedagang-pedagang dari Gujerat, India menyebarkan Islam di Alam Melayu 4. Teori ini dicabar oleh G.E Morisson & S.Q Fatimi. 5. G.E Morisson & S.Q Fatimi: Islam datang dari Bengal 6. G.E Morisson: Ketika Samudera Pasai diislamkan, Gujerat dan daerah- daerah lain di India masih lagi beragama hindu. Bengal lebih dahulu menerima Islam setelah ditawan oleh orag-orang Islam pada awal abad ke-13, diikuti dengan kawasan-kawasan lain. 7. S.Q Fatimi: Malikus Salleh adalah orang berketurunan Benggali. Batu nisan beliau (1297) berbeza daripada batu nisan di Pasai (1428) dan batu nisan Malik Ibrahim di Gerisek (1419) sebab itu negeri Bengalah negeri utama asal agama Islam. 8. S.M Naquib al-Atas: batu nisan ini hanya menunjukkan ianya mudah dipesan dari sana, bukannya menunjukkan Islam datang dari sana. 9. Ahli sejarah Belanda, Josselin De Jung (1965); Daerah Pasai yang terletak di Pantai Sumatera Utara adalah sebuah negeri yang mana penduduknya mengamalkan ajaran Islam lebih awal berbanding kedatangan Marco Polo pada tahun 1292 M.

Teori Kedatangan Islam Dari China.

i. Syed Naquib al-Atas menyebut tentang pemberontakan di Canton pada tahun 877 M yang mengorbankan kira.kira 120000 hingga 200000 pedagang yang kebanyakannya beragama Islam (Arab dan Parsi). Manakala yang selebihnya terpaksa menyelamatkan diri mereka dengan berhirah ke Kalah (Kedah) ii. S.Q Fatimi: kewujudan kerajaan Bani Champa (1000-1471 M) yang dianggap didirikan oleh pelarian Syiah Alawiyah, Damsyik tetapi serangan kerajaan Annam, mereka berpindah ke Mekah dan Acheh iii. Batu Bersurat di Terengganu yang sebenamya bertarikh 1301 M mempunyai persamaan dengan batu nisan yang ada di Champa Selatan iv. Juga ada persamaan pada batu nisan Fatimah Bt. Maimon (1082M di Leran, Jawa Timur dengan batu nisan di Phan rany, Champa Selatan 1039 & 1035M) v. Dr. Abdul Jalil Hj. Hassan: dalam catatan sejarah Chau-Ju-Kua (1225M) terdapat negeri Islam yang disebut sebagai 'Fo-lo-an' ialah Kuala Berang di Terengganu yang menjalankan perniagaan dengan orang Arab di samping Srivijaya. Batu bersurat 1303 M di Kuala Berang, nyatalah Terengganu sebagai negeri yang mempunyai pengaruh Islam pada ketika itu vi. Terbaru pula ditemui batu bersurat di Teluk Cik Munah, di Pahang yang bertarikh 702 H (1303 M) itu. Ini menunjukkan bahawa kemungkinan Islam masuk melalui Pantai Timur iaitu bererti dari China dan Indochina.

Teori Kedatangan Islam dari Arab/Parsi

i. Wang Gungwu & C.A Majul: pedagang Arab sehingga abad ke 9M menguasai kegiatan perdagangan laut antara Mesir, India, Asia Tenggara & China serta didirikan penempatan di kawasan Pantai Nusantara. Semua ini berlaku sejak zaman jahiliah hingga abad pertama hijrah ii. S.M Nuqaib al-Atas: perkembangan Islam di rantau ini benar-benar dari Tanah Besar Semenanjung Arab disebabkan pengaruh dari sudut tulisan dan hasil karangan yang berasal dari Asia Barat. Tulisan jawi dan cara pembacaan al-Quran juga jelas pengaruh dari Asia Barat iii. Mubaligh Islam daerah ini terdiri daripada orang Arab/Parsi iv. Fahaman keagamaan yang dibawa oleh mereka bersifat Timur Tengah, bukan dari India contohnya cara penghuraian mazhab ilmu tasawuf dan sebagainya

v. Hamka :telah menjadi kepercayaan sejarah pada seluruh negeri melayu bahawa mereka menerima Islam dari Arab atau daripada salah seorang syeikh atau waliullah dari Arab dan atas alasan: pengislaman ke negeri-negeri melayu adalah langsung dari sumber Makkah dengan terutusnya Syeikh Ismail oleh Sharif Makkah yang singgah di Malabar untuk mengambil 'Fakir Muhd' (keturunan Abu Bakar as-Siddiq) menyertai ke Nusantara untuk mengislamkan Merah Silu vi. Pengislaman Parameswara dilakukakan oleh Syed AbduI Aziz yang datang dari Jeddah vii. Pengislaman di Acheh dirintis oleh Syeikh Abdullah Arif yang datang dari Tanah Arab bersama, muridnya Burhanuddin viii. Maulana Malik Ibrahim (salah seorang wali songo) turut mempelopori penyebaran Islam di Jawa adalah keturunan Ali Zainal Bidin, cucu Saidina Ali ix. Sunan Gunung Jati/ Sharif Hidayatullah Saleh, Wali Songo turut mengembangkan Islam di Jawa adalah bangsawan Quraisy x. Pengislaman Raja Kedah dalam Hikayat Merong Mahawangsa dilakukan oleh Syeikh Abdullah Yamani, ulama Arab xi. Pengislaman di Pulau Sulu diusahakan oleh Sayyid Abdul Aziz yang mengislamkan Parameswara dan juga Abu Bakar, seorang penyair Arab.

2.1 Penyebaran Islam Ke Alam Melayu

Dalam proses penyebaran Islam ke Alam Melayu dua faktor penting yang mebawa kepada perkembangan Islam ke Alam Melayu ialah

Pertama, peranan golongan-golongan penyebar Islam yang terdiri daripada golongan bangsawan, peranan kerajaan-kerajaan Islam, golongan mubaligh, golongan ulama dan sufi serta pedagangpedagang asing.

Kedua, ciri-ciri yang terdapat pada agama Islam itu sendiri seperti;

a. Islam tidak memaksa masyarakat Alam Melayu supaya menerima ajarannya. b. Islam merupakan agama yang sederhana dan sifatnya ini telah mendapat tempat dikalangan masyarakat melayu. c. Agama baru juga boleh mengasimilasikan ajarannya dengan budaya masyarakat melayu yang telah sebati dengan diri mereka.

3.0 Pusat-Pusat Tamadun Melayu Selepas Kedatangan Islam

Selepas kedatangan Islam ke Alam Melayu maka wujudlah beberapa pusat-pusat Tamadun Melayu umpamanya;

3.1 Kerajaan Pasai (1250-1524 M)

Kerajaan Pasai lebih dikenali sebagai Kerajaan Melayu pertama yang memeluk agama Islam berikutan dengan peristiwa pemelukan Islam oleh pemerintahnya Merah Silu (Sultan Malik al-Salih). Pasai merupakan zaman kegemilangan Kesusteraan Melayu memandangkan sistem tulisan Bahasa Melayu iaitu tulisan Jawi telah bertindak sebagai medium penyebaran agama dan kesusasteraan Melayu-Islam ketika itu.

Ketinggian daya penciptaan yang mencerminkan ketinggian pemikiran bangsa melayu dapat dikesan melalui penghasilan pelbagai hasil kesusasteraan agama seperti ;

a. Hikayat Nabi Bercukur b. Hikayat Nabi Wafat c. Hikayat Nur Muhammad

d. Hikayat Bulan Berbelah dan sebagainya.

Hikayat Raja Pasai merupakan hasil kesusasteraan sejarah yang menjadi sumber pemikiran Tamadun Melayu melalui beberapa dimensi iaitu;

a. Sistem Kepercayaan

- Agama Islam menjadi teras kepercayaan masyarakat Melayu b. Sistem Politik dan Pentadbiran

- Sistem Feudal (bangsawan) merupakan bentuk sistem pentadbiran yang diamalkan di kebanyakan kerajaan Melayu Tradisi.

c. Sistem Sosial dan Budaya

- Masyarakat melayu mempunyai hierarki sosialnya yang mana Raja mempunyai kedudukan yang tinggi dalam kerajaan dan diikuti oleh golongan pegawai, pemimpin-pemimpin tempatan dan seterusnya rakyat biasa. - Dari aspek kebudayaan ditonjolkan adat istiadat melayu seperti adapt menyambut kelahiran putera raja, adapt pertabalan raja dan sebagainya.

d. Sistem Ekonomi

- Hikayat Raja Pasai telah melukiskan kegiatan ekonomi masyarakat Melayu tradisi seperti memungut hasil hutan, memburu dan menternak binatang serta bertani (padi huma). Masyarakat Melayu juga pada ketika itu telah ada aktiviti perdagangan dan perlombongan emas.

Dapatlah kita lihat atau renungkan bahawa Pasai merupakan pusat intelektual Melayu-Islam yang terus berkembangan biarpun Melaka mengambil alih sebagai pusat Tamadun Melayu. Namun begitu Pasai tetap menjadi sumber rujukan kepada Melaka yang berkaitan dengan agama Islam.

3.2 Kerajaan Melaka (1400-1511 M)

Kerajaan Melaka telah wujud pada awal abad ke-15 Masihi. Pada mulanya ia merupakan sebuah kerajaan yang kecil yang menjadi mangsa serangan dari luar terutamanya dari Siam. Mujurlah pada masa itu terdapat kekuatan angkatan laut China di Asia Selatan yang melindungi Melaka. Angkatan China ini dipimpin oleh Laksamana Cheng Ho ( atau Cheng He ) yang beragama Islam.

Setelah kedatangan Islam Melaka telah muncul sebagai sebuah kuasa dan empayar yang terpenting dalam Tamadun Melayu khususnya sebagai;

3.2.1 Pusat Penyebaran Agama Islam

Kerajaan Melaka muncul sebagai pusat agama Islam yang terpenting di Asia Tenggara menjelang pertengahan abad ke-15. Pemerintah pertama yang memeluk agama Islam ialah Megat Iskandar Syah

manakala Sultan Muzaffar Syah pula telah menjadikan Islam sebagai agama rasmi Kerajaan Melaka pada ketika itu. Terdapat pelbagai cara atau kaedah digunakan bagi menyebarkan agama Islam di Melaka seperti melalui perkahwinan, perdagangan, penaklukan wilayah serta kegiatan mubaligh atau pendakwah.

3.2.2 Pusat Perdagangan

Melaka muncul sebagai pelabuhan entreport antarabangsa yang sibuk dan maju disebabkan oleh kedudukannya yang strategic iaitu terletak ditengah-tengah jalan perdagangan Timur-Barat. Empat orang Syahbandar telah ditugaskan untuk menyediakan kemudahan bagi aktiviti perdagangan dan juga memungut cukai. Dengan kata lain, Melaka ketika itu telah mempunyai sistem ekonomi yang sistematik dan teratur bagi melicinkan lagi perjalanan aktiviti ekonominya. Ini telah mendorong Melaka muncul sebagai pusat Tamadun Melayu yang termaju pada abad itu.

3.2.3 Pusat Perkembangan Bahasa Melayu

Melalui peranan sebagai pusat perkembangan bahasa Melayu, ianya mempunyai perkaitan yang rapat dengan peranan Melaka sebagai pusat penyebaran agama islam dan pusat perdagangan sebagaimana yang telah dijelaskan di atas. Bahasa Melayu telah menjadi bahasa pendakwah yang mana ia telah digunakan bagi menyebarkan agama Islam.

4.0 Kesan Dan Pengaruh Islam Dalam Tamadun Melayu

Kesan kedatangan Islam ke Alam Melayu boleh dilihat melalui pelbagai dimensi kehidupan masyarakat Melayu antaranya iaitu;

4.1 Sistem Politik Pentadbiran dan Perundangan

Sistem politik pentadbiran dan perundangan Tamadun Melayu sememangnya banyak mengalami perubahan selepas kedatangan Islam. Dalam sistem kesultanan Kerajaan Utmaniyyah telah diperkenalkan dimana ketua negara dan ketua agama Islam ialah Sultan iaitu sebagai amanah Allah di muka bumi. Baginda dibantu oleh penasihat, ulama dan mufti semasa menjalankan pentadbiran. Malah penggunaan kata raja yang berasal daripada bahasa Sanskrit juga telah ditukarkan kepada perkataan Arab iaitu Sultan .

Manakala dari aspek perundangan pula, undang-undang Islam iaitu Hukum Syara telah dijadikan sebagai asas kepada sistem perundangan Tamadun Melayu. Sebagai contoh Hukum Kanun Melaka yang mengambil undang-undang Islam sebagai asasnya untuk mengukuhkan sistem perundangan Kerajaan Melayu Melaka. Dalam Hukum Kanun Melaka yang juga dikenali sebagai Undang-undang Darat Melaka atau Risalat Hukum Kanun yang mengandungi 44 Fasal yang berkuatkuasa di Melaka dan kawasan jajahannya. Antara kandungan Hukum Kanun Melaka ialah; a) tanggungjawab raja dan pembesar b) pantang larang dikalangan anggota masyarakat c) hukum kesalahan awam dan jenayah d) undang-undang keluarga e) permasalahan ibadat dan muamalat f) hokum perhumaan

Antara yang jelas mengikut undang-undang Islam ialah undang-undang keluarga. Tetapi dalam hal-hal lain, wujud percampuran antara hukum aadat dengan hukum syara .

4.2.1 Pendidikan dan Pandangan Semesta

Semasa zaman Hindu, sistem pendidikan hanya diberikan kepada golongan bangsawan sahaja. Namun setelah kedatangan Islam sistem pendidikan lebih bersifat menyeluruh yang mana golongan rakyat biasa juga telah diberi peluang mendapatkan pendidikan selaras dengan ajaran agama Islam yang menekankan pendidikan untuk semua umat manusia tanpa mengira kedudukan atau pangkat seseorang. Sistem pendidikan madrasah, pondok telah diperkenalkan malah masjid dan surau telah menjadi institusi pendidikan yang penting setelah kedatangan Islam. Institusi istana pula telah menjadi pusat penyebaran ilmu pengatahuan yang berkaitan dengan agama Islam. Menurut pandangan salah seorang sarjana Islam, Syed Naquibb al-Attas, pandangan semesta Islam merangkumi dunia dan akhirat yang mana aspek dunia merupakan persediaan bagi aspek akhirat.

Oleh itu pandangan semesta dari prespektif Islam ialah pandangan tentang realiti atau hakikat yang terjelma dari mata hati manusia mengenai kewujudan seluruh alam. Islam cenderung kepada menyuburkan dirinya kepada seluruh alam manusia.Kunhi dhat semangat kegamaan Islam itu, sebagaimana disebutkan tadi, ialah kepercayaan ketuhanana yang tunggal, dan ini terkandung dalam satu konsepsi tersendiri peri keEsaan Tuhan atau Tauhid. Ditilik dari segi pandangan falsafah menerusi ilmu kalam dan tasawwuf, Tauhid mengemukakan suatu ontologi, kosmologi dan psikologi tersendiri dalam satu konsep agung yang biasa dinamai dengan istilah Keesaan Wujud atau Wahdat al-Wujud. Ontologi dan psikologi demikian itu tiadalah boleh sewenang-wenangnya disamakan dengan falsafah Neo-Platonisme dan falsafah Hindu sebagaimana yang dihuraikan mengikut pandangan Vedanta, sebab pada umumnya konsep-konsep itu berdiri tegak atas dasar-dasar terdapat yang terkandung dalam alQuran yang berkesan mendalam bagi tiap segi dan kaedah, tiap aspek kehidupan orang Islam.

4.3 Kehidupan Masyarakat Melayu

Perubahan dalam kehidupan masyarakat melayu amat jelas kelihatan setelah kedatangan Islam ke Alam Melayu. Pada umumnya perubahan penting sememangnya telah berlaku dalam kehidupan masyarakat Melayu berikutan penerimaan Islam oleh mereka. Tidaklah keterlaluan untuk mengatakan bahawa gabungan antara kepercayaan yang terbentuk oleh rukun Iman dan kehidupan yang direncana dan diransangi oleh ritus dan institusi Islam telah mewujudkan batasan budayanya yang tersendiri. Tetapi apakah dalam semua segi kehidupan mereka perubahan redikal telah benar-benar berlaku, atau perubahan seumpama itu hanya berlaku dalam aspek tertentu dalam kehidupan tersebut, umpamanya dalam aqidah mereka, sehingga pandangan hidup masyarakat Melayu mengalami transformasi, daripada kepercayaan animisme kepada kepercayaan tauhid.

Dalam institusi kesultanan umpamanya sultan dianggap sebagai amanah Allah yang mana Sultan dibantu oleh para ulama dan agama Islam telah menjadikan agama rasmi kerajaan-kerajaan Melayu.

Sesungguhnya agama Islam telah merubah kehidupan masyarakat melayu melalui pelbagai demensi kehidupan. Namun begitu adat-adat lama masyarakat Melayu yang dipengaruhi oleh unsur-unsur Hindu masih dipraktikkan tetapi tidak merosakkan aqidah masyarakat Melayu.

5.0 Kesimpulan

Kedatangan Islam ke Alam Melayu sememangnya membawa banyak perubahan dan pengharapan baru dalam keagungan Tamadun Melayu. Tidak dapat dinafikan bahawa wujudnya pusat-pusat tamadun unggul didunia amnya dan di Asia Tenggara khasnya adalah kesan daripada pengaruh Islam yang meresap masuk kedalam tamadun itu.

Daripada apa yang dibincangkan diatas kedatangan Islam bukan sahaja mewujudkan pusat-pusat Tamadun Melayu yang unggul tetapi Islam juga telah menyebabkan perubahan yang besar kepada pelbagai aspek kehidupan masyarakat melayu termasuklah sistem politik pentadbiran dan perundangan, pendidikan dan pandangan semesta dan kehidupan masyarakat Melayu itu sendiri. Dicatat oleh abubakar di 8:51 PG

Anda mungkin juga menyukai