Pergi ke kandungan

Kartrij ROM

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
IBM PCjr; dua slot kartrij ROM terletak di bawah pemacu cakera liut.


Kartrij ROM merupakan sejenis kartrij boleh tanggal yang mengandungi ingatan baca sahaja (justeru imbuhan read-only memory - "ROM") serta ingatan kilat untuk membolehkan sedikit keupayaan baca-tulis. Kartrij ROM bagi permainan video ada kalanya dipanggil kaset kerana bentuknya yang menyerupai kaset audio. Selama beberapa tahun, Nintendo Amerika menggunakan istilah Game Pak bagi merujuk kepada kartrij ROM bagi konsol permainan videonya.[1]

Penerangan

[sunting | sunting sumber]

Kartrij ROM merupakan salah satu cara bagi menambah fungsi atau kandungan — contohnya, permainan video yang dimainkan pada konsol permainan video atau program perisian berbeza yang dijalankan pada satu komputer serba guna. Sistem ini dipopularkan oleh komputer rumah terawal seperti Atari 400/800 dan Commodore 64, di mana satu port bas khas disediakan untuk membolehkan kartrij yang mengandungi perisian yang disimpan di dalam cip ROM dimasukkan. Pada kebanyakan kes rekaannya agak kasar, dengan keseluruhan bas alamat dan data terdedah oleh port tersebut; kartrij tersebut dipetakan ingatannya terus ke ruang alamat sistem. Sistem jenis ini dipelopori oleh sistem permainan TV terawal, serta terus menjadi media storan konsol permainan sehingga kini. Kelebihan kartrij berbanding pendekatan lain seperti memuatkan perisian dari media lain ialah perisian dari kartrij boleh didapati dengan segera tanpa masa muatan serta dikendalikan dalam bentuk yang kukuh serta tahan kerosakan. Namun demikian, ketahanan terhadap kerosakan bergantung kepada reka bentuk. Walaupun ia lebih mudah dilindungi daripada CD yang boleh dicalarkan, ataupun pita kaset yang boleh ditarik keluar, cip di dalam kartrij masih boleh dirosakkan dengan kejutan yang mencukupi, terutamanya jika perumahnya tidak menjadikan kartrij kekal stabil. Sesentuh yang terdedah juga boleh dirosakkan oleh pengumpulan bendasing, kerosakan fizikal serta kehausan.

Penggunaan

[sunting | sunting sumber]

Komputer yang dikenali menggunakan kartrij sebagai tambahan kepada storan magnetik ialah Commodore VIC-20 dan 64, Keluarga Atari 8-bit (400/800/XL/XE), Texas Instruments TI-99/4A (di mana ia dipanggil Modul Perintah Keadaan Pepejal serta tidak dipetakan terus ke bas sistem) serta IBM PCjr (di mana kartrij dipetakan ke ruang BIOS).

Dari lewat 1970an sehingga pertengahan 1990an, kebanyakan konsol permainan video rumah adalah berasaskan kartrij. Semasa teknologi CD mula digunakan secara meluas sebagai storan data, kebanyakan syarikat perkakasan beralih daripada kartrij kepada sistem permainan berasaskan CD, memandangkan CD-ROM lebih murah untuk dikeluarkan serta boleh menyimpan lebih banyak data. Nintendo kekal sebagai satu-satunya pengeluar sistem kartrij serta tidak membangunkan sistem berasaskan media optikal sehinggalah beberapa tahun kemudian, sebaliknya memilih untuk menjadikan sistem generasi seterusnya iaitu Nintendo 64 berasaskan kartrij. Pendekatan tersebut dipersoalkan oleh kebanyakan orang dalaman industri, yang mendakwa permainan berasaskan kartrij tidak mungkin boleh sepanjang atau sekompleks permainan berasaskan CD, seperti pada sistem pesaing seperti Sony PlayStation dan Sega Saturn, serta kos pengeluaran kartrij yang tinggi berbanding media optikal akan menjadikan sistem berasaskan kartrij mempunyai harga yang tidak kompetitif. Kesudahan ekonomik yang dideritai Nintendo hasil pertaruhan tersebut sering dianggap sebagai penamat kepada sistem permainan rumah berasaskan kartrij. Sungguhpun demikian, walaupun mempunyai saiz storan yang kecil, kartrij Nintendo 64 membolehkan masa muatan yang lebih pantas serta ciri-ciri pencegahan cetak rompak yang lebih kukuh berbanding saingannya.

Menjelang 2001, masa muatan yang ditambah baik bagi permainan berasaskan cakera menyebabkan Nintendo melancarkan konsolnya yang seterusnya, GameCube, yang menggunakan format berasaskan mini DVD yang mempunyai mekanisme pencegahan cetak rompak yang lebih baik berbanding DVD biasa.[perlu rujukan]

Kapasiti kartrij permainan sering dinyatakan dengan salah. Walaupun amalan tahun 1990an yang menyatakan kapasiti ROM dalam "meg" — yang boleh dikelirukan antara megabit dan megabait — sudah tiada lagi, kartrij perisian permainan sering disebut sebagai, contohnya, '512 megabit' dan bukannya '64 megabait' yang lebih mudah difahami.

Kelebihan dan kelemahan

[sunting | sunting sumber]
Kartrij permainan arked Neo Geo berukuran 7.5 inci (190 mm) x 5.34 inci (136 mm)

Kelebihan utama kartrij berbanding pendekatan lain ialah prestasi masa capaian yang mencukupi bagi membenarkan pelaksanaan terus dari ROM — ROM tersebut biasanya akan dipetakan ingatannya ke ruang alamat biasa sistem, maka ia boleh dibaca seperti ingatan biasa. Ia bukan sahaja membolehkan masa muatan serta-merta bagi kebanyakan permainan memandangkan pelaksanaan kod boleh bermula terus dari ROM malah ia kurang menggunakan RAM fizikal, memandangkan data sudah tersedia di dalam ROM tanpa perlu menyalinnya dari media yang lebih lambat seperti cakera liut, cakera keras, atau CD-ROM. Kelemahan utamanya pula ialah kos yang tinggi; faktor ini menjadi isu dalam konsol permainan video moden; pengeluar mengorbankan masa muatan kepada CD yang lebih murah serta berkapasiti tinggi semasa pertengahan 1990an.[2][3]

Kartrij ROM menampilkan bentuk perumah perisian yang kukuh serta tahan rosak. Walau bagaimanapun, sungguhpun ia lebih mudah dijaga berbanding CD, yang boleh calar, atau pita, yang boleh ditarik keluar, cip di dalam kartrij boleh dirosakkan oleh gegaran yang cukup kuat, terutamanya apabila perumah tidak berupaya untuk memastikan cip tersebut stabil. Sesentuh yang terdedah boleh dirosakkan oleh pengumpulan bendasing, kerosakan atau kehausan. Kartrij ROM tidak terjejas akibat kotoran dan habuk pada sesentuh kartrij. Hasilnya, penyelesaian termudah ialah dengan hanya meniup bahagian slot kartrij.[4] Ia boleh menyelesaikan isu tersumbat yang mudah. Namun demikian, cara ini juga boleh merosakkan kartrij dalam jangka masa panjang, kerana kelembapan dari nafas manusia boleh mengakis penyambung.[perlu rujukan] Penyelesaian yang lebih baik ialah dengan menggunakan larutan isopropil alkohol untuk membersihkan sesentuh tanpa risiko kakisan.[5]

Selain itu, tiada piawaian rasmi bagi faktor bentuk. Sementara siri PlayStation dan Xbox merupakan format berbeza (mengikut cara arahan permainan dan data diformatkan pada media), mereka masih menggunakan cakera CD/DVD, membolehkan bekas menyimpan yang boleh dikenali, risalah, dsb. Rekaan kartrij ROM dipelbagaikan, dan kartrij yang direka untuk satu sistem jarang boleh digunakan oleh orang lain — jualan permainan dalam satu pakej bagi pelbagai sistem adalah jarang.

Satu lagi kelebihan ialah kemungkinan untuk menyertakan penambahan ingatan atau perkakasan luaran lain. Contoh termasuklah penyertaan cip Super FX dalam beberapa permainan Super Nintendo Entertainment System, serta modul suara dan catur di Magnavox Odyssey².

  1. ^ Nintendo - Customer Service - NES Game Pak Troubleshooting
  2. ^ "The SNES CD-ROM". Gamer's Graveyard. Dicapai pada 2009-02-26.
  3. ^ Isbister, Katherine (2006). "Interview: Ryoichi Hasegawa and Roppyaku Tsurumi of SCEJ". Better Game Characters by Design: A Psychological Approach. San Francisco, California: Elsevier Inc. m/s. 99. ISBN 978-1-55860-921-1. Dicapai pada 2009-02-26.
  4. ^ Mirabella III, Fran (2008-03-07). "IGN Classics: N-Retrospect Vol. 1". IGN. Dicapai pada 2009-02-26.
  5. ^ NES Cleaning Kit manual

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]