Pergi ke kandungan

Masakan Austria

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Apfelstrudel

Masakan Austria (Jawi: ماسقن اوستريا) banyak dipengaruhi negara jiran seperti Jerman, Hungary, Itali dan Republik Czech. Sebenarnya cara masakan Austria adalah gabungan masakan Jerman dengan sedikit pengaruh Hungary seperti sosej Jerman dan stew orang Hungary. Oleh kerana muka buminya dikelilingi gunung-ganang dan daratan, masakan ikan segar serta burung sangat popular. Etika menikmati hidangan Austria menggunakan garfu dan pisau walaupun dengan makanan ringkas. Mengikut tradisi sebelum makan, orang Austria akan menyebut mahlzeit bermaksud 'masa untuk makan'.

Diet Orang Austria

[sunting | sunting sumber]
Wiener Schnitzel iaitu daging yang dileperkan, biasanya digoreng bersama serbuk roti.
Frittatensuppe.
Tafelspitz.

Sarapan biasanya terdiri daripada roti dengan jem atau daging atau keju. Ia juga dinikmati dengan teh, kopi atau jus. Pada zaman moden, hidangan utama diambil pada sebelah petang. Selain itu, sup juga sering dihidangkan sebagai pembuka selera seperti Frittatensuppe (mi dalam brot daging) dan Leberknoedelsuppe (sejenis sup). Manakala snek dan sepotong roti berkeju atau daging ham yang dipanggil Jause diambil pada waktu pagi atau tengah hari. Hidangan utama hanya diambil pada sebelah petang. Masakan Austria yang lain adalah kutlet goreng bersalut, Wiener schnitzel. Cara masakan Schnitzel di Austria berlainan dengan menu bergorong terdiri daripada daging bersalut tepung, telur dan serbuk roti. Selain itu, Tafelspitz iaitu brot daging dengan lobak kuda merupakan makanan kegemaran Maharaja Franz Joseph I. Jadi, makanan ini dianggap sebagai menu kebangsaan Austria.

Pencuci mulut

[sunting | sunting sumber]
Dikatakan semasa Kongres Vienna pada tahun 1815, Austria berusaha menyediakan yang terbaik untuk delegasi antarabangsa dan pencuci mulut Sachertorte ini menjadi sebahagian daripadanya.

Budaya kafe atau kedai kopi di Austria bermula sejak abad ke-17 selepas tentera Uthmaniyyah meninggalkan banyak biji kopi. Sejak itu, orang Austria mendirikan kafe pertama di sebelah Katedral St. Stephen. Akhirnya, afe ini menjadi tempat orang Austria berehat selepas penat bekerja sambil menikmati secawan kopi semasa berbual-bual bersama rakan.

Kemudian pada abad ke-19, budaya moden Vienna semakin berkembang dan kafe Vienna sudah menjadi tempat artis dan pemikir seperti Gustav Klimt, Egon Schiele dan Sigmund Freud untuk melakukan kerja. Ketika minum petang (juga dikenali sebagai Jause) antara pukul 3 hingga 4 petang, orang Austria sering ke kafe untuk secawan kopi atau menikmati pastri yang enak. Antara minuman kopi yang popular ialah cappucino manis dan Wiener Melange dengan krim putar dinikmati bersama Sachertorte yang enak. Pencuci mulut terkenal yang lain adalah Salzburger Nockerl.

  • Kembara Khazanah Austria m/s 86-87