Pergi ke kandungan

Perang Salib Keenam

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Perang Salib Keenam
Sebahagian daripada Perang Salib

Frederick II (kiri) berjumpa al-Kamil.
Tarikh1228 - 1229
Lokasi
Keputusan Penyerahan secara aman Jerusalem kepada Frederick II. Bermulanya ketegangan di antara Empayar Rom Suci dan Negeri Salib.
Nota: Jerusalem kemudian dirampas oleh bangsa Turki Khwarezm.
Perubahan
wilayah
Jerusalem, Nazareth, Sidon, Jaffa, dan Bethlehem diberikan kepada Tentera Salib. Orang Islam mengekalkan Temple Mount.
Pihak yang terlibat

Empayar Rom Suci dan sekutu

Negeri Salib dan Sarasen

Komandan dan pemimpin
Frederick II
Hermann von Salza
Henry I
John dari Ibelin
Al-Kamil

Perang Salib Keenam bermula pada tahun 1228 sebagai cubaan untuk menawan kembali Baitulmaqdis. Perang ini berlaku selama tujuh tahun selepas kegagalan Perang Salib Kelima.

Frederick II dan pihak Paus

[sunting | sunting sumber]

Frederick II, Maharaja Suci Rom, melibatkan diri secara umumnya dalam Perang Salib Kelima dengan menghantar pasukan tentera dari Jerman, namun dia gagal untuk menyertai pasukan tentera tersebut secara langsung meskipun telah diberi galakan oleh Honorius III dan kemudiannya Gregory IX, disebabkan dia perlu mengukuhkan kedudukannya di Jerman dan Itali sebelum bertolak untuk melancarkan Perang Salib. Walau bagaimanapun, Frederick sekali lagi berjanji untuk keluar berperang selepas dimahkotakan sebagai maharaja oleh Paus Honorius III pada tahun 1220.

Pada tahun 1225, Frederick mengahwini Yolande dari Jerusalem (juga dikenali sebagai Isabella), puteri John dari Brienne, pemerintah Kerajaan Jerusalem pada nama, dan Maria dari Montferrat. Frederick kini menuntut kerajaan yang sudah kontot itu, dan mempunyai alasan bagi cubaan untuk memulihkannya kembali. Pada tahun 1227, setelah Gregory IX menjadi paus, Frederick dan pasukan tenteranya belayar dari Brindisi ke Acre, tetapi satu wabak telah memaksa Frederick kembali ke Itali. Gregory mengambil peluang ini untuk mengucilkan Frederick kerana melanggar sumpah perang salibnya, walaupun ini cuma satu alasan, disebabkan Frederick cuba mengukuhkan kuasa selama beberapa tahun di Itali sehingga menjejaskan pihak Paus.

Gregory menyatakan bahawa alasan bagi pengucilan tersebut ialah keengganan Frederick untuk keluar berperang dalam Perang Salib Kelima. Bagi Gregory, perang salib tersebut cuma satu alasan yang berguna untuk mengucilkan maharaja tersebut. Frederick cuba berunding dengan paus tersebut, namun akhirnya dia mengambil keputusan untuk tidak mengendahkannya, dan belayar ke Syria pada tahun 1228 di sebalik pengucilan tersebut lalu tiba di Acre dalam bulan September.

Perang Salib

[sunting | sunting sumber]

Frederick tidak terus menuju ke Tanah Suci, sebaliknya dia mula-mula sekali belayar ke Cyprus yang merupakan jajahan empayarnya sejak penawanannya oleh Richard si Hati Singa dalam perjalanan ke Acre semasa Perang Salib Ketiga. Maharaja tersebut tiba dengan niat yang jelas untuk mengukuhkan kuasanya ke atas kerajaan tersebut, namun dia dilayan dengan mesra oleh pembesar-pembesar tempatan sehinggalah satu perbalahan tercetus antaranya dengan anggota keluarga Baili Cyprus, John dari Ibelin. Frederick mendakwa bahawa keregenannya adalah tidak sah dan menuntut penyerahan jajahan John di tanah besar, Beirut kepada pemerintah empayar. Bagaimana pun, di sini dia telah membuat satu kesilapan, disebabkan John menegaskan bahawa kerajaan Cyprus dan Jerusalem menurut perlembagaan adalah berasingan dan dia tidak boleh dihukum atas kesalahannya di Cyprus dengan perampasan Beirut. Peristiwa ini mempunyai akibat yang penting terhadap perang salib tersebut apabila ia mengalihkan puak Ibelin yang berkuasa itu lalu menyebabkan mereka menentang maharaja tersebut.

Sebagai ibu kota Kerajaan Jerusalem pada nama dan kerusi Kepatriarchan Latin, Acre berpecah dalam sokongan terhadap Frederick. Tentera Frederick dan Kesatria Teutonik menyokongnya, namun Patriarch Gerald dari Lausanne menyebelahi pihak Paus yang bermusuhan dengannya. Apabila berita pengucilan Frederic tersebar, sokongan umum terhadapnya merosot dengan mendadak. Kedudukan Kesatria Hospital dan Kesatria Kuil adalah lebih rumit; walaupun mereka enggan menyertai pasukan tentera maharaja tersebut secara langsung, mereka menyokong perang salib tersebut apabila Frederick bersetuju untuk membuang namanya daripada perintah-perintah rasmi. Pada mulanya para pembesar tempatan dengan ghairah menyambut Frederick, tetapi mereka berwaspada terhadap sejarah pemusatan maharaja tersebut dan keinginannya untuk berkuasa. Ini disebabkan sebahagian besar oleh layanan Frederick terhadap John dari Ibelin di Cyprus, dan penghinaannya yang nyata terhadap urusan perlembagaan para pembesar tersebut.

Meskipun berada bersama-sama dengan pasukan-pasukan kesatria tersebut di atas kapal, pasukan tentera Frederick hanyalah bayang-bayang pasukan tentera tersebut semata-mata yang dikumpulkan apabila perang salib itu dilancarkan pada asalnya. Dia sedar bahawa satu-satunya harapan yang tinggal untuk mencapai kejayaan di Tanah Suci ialah rundingan penyerahan Jerusalem disebabkan dia kekurangan tenaga manusia untuk bertempur dengan empayar Bani Ayyubiyah dalam medan pertempuran. Frederick berharap agar satu tanda kekuatan angkatan bersenjata, satu ancaman kemaraan ke pantai cukup untuk menyakinkan al-Kamil, sultan Mesir supaya menghormati perjanjian yang disyorkan yang telah dirundingkan beberapa tahun dahulunyasebelum kemangkatan al-Muazzam, gabenor Damsyik. Sultan Mesir itu yang sibuk dengan pembanterasan angkatan-angkatan bersenjata di Syria, bersetuju untuk menyerahkan Baitulmaqdis kepada orang Frank beserta dengan koridor sempit ke pantai.

Di samping itu, Frederick menerima Nazareth, Sidon, Jaffa dan Bethlehem. Ketuanan-ketuanan yang lain mungkin kembali ke dalam penguasaan orang Kristian, namun ada sumber yang tidak bersetuju. Ini bagaimana pun adalah perjanjian tolak ansur. Orang Islam masih tetap menguasai kawasan Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis, Masjid al-Qibli dan Kubah Al-Sakhrah. Kota-kota di Transjordan kekal dalam tangan Bani Ayyubiyah, dan sumber-sumber Arab menyebutkan bahawa Frederick tidak dibenarkan membaikpulih kubu pertahanan Baitulmaqdis. Perjanjian itu yang disempurnakan pada 18 Februari 1229 melindungi kedamaian sementara selama 10 tahun.

Frederick memasuki Baitulmaqdis pada 17 Mac 1229, dan menghadiri majlis kemahkotaan pada hari berikutnya. Tidak diketahui samada dia menginginkan ini ditafsirkan sebagai pemahkotaan rasminya sebagai Raja Baitulmaqdis; walau apa sekalipun ketidakhadiran patriarch Gerald menyebabkan ia tidak sah. Wujud bukti yang menunjukkan bahawa mahkota yang dipakai Frederick sebenarnya adalah mahkota diraja,[1] tetapi apa sekalipun tindakan mengisytiharkan ketuanannya ke atas Baitulmaqdis adalah satu perkara yang bersifat provokatif. Dari segi undang-undang, dia sebenarnya hanyalah pemangku bagi anaknya Conrad II dari Jerusalem, satu-satunya anak Yolande dan cucu Maria dari Montferrat dan John dari Brienne yang dilahirkan sejurus sebelum pemergian Frederick pada tahun 1228.

Kerana mempunyai hal-hal yang perlu diuruskan di tanah air sendiri, Frederick meninggalkan Baitulmaqdis pada bulan Mei. Walaupun dia gagal membuatkan Paus menarik balik pengucilan, namun kini Frederick telah menunjukkan bahawa satu-satu perang salib mampu berjaya sekali pun tanpa kelebihan dari segi ketenteraan mahu pun sokongan pihak Paus. Perdamaian sementara itu yang tidak diterima pada mulanya berakhir pada 1239; Baitulmaqdis diambilalih oleh orang Turki Khwarezm dalam satu pengepungan pada tahun 1244.[2]

Frederick telah mewujudkan duluan dalam mencapai kejayaan perang salib tanpa penglibatan pihak Paus. Perang-perang salib selanjutnya dilancarkan oleh raja-raja perseorangan seperti Louis IX dari Perancis (Perang Salib Ketujuh dan Perang Salib Kelapan) dan Edward I dari England (Perang Salib Kesembilan) yang sebenarnya menunjukkan penghakisan kekuasaan pihak Paus.

  1. ^ Crusading and the Crusader States, Jotischky, (Edinburgh, 2004), 225.
  2. ^ Jerusalem (Israel) - Britannica Online Encyclopedia