Pergi ke kandungan

Takwim Hijrah

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Hari ini
1 Jamadilawal 1446
Ahad
3 November 2024
(UTC 0)

Takwim Hijrah (Arab: ٱلتَّقْوِيم ٱلْهِجْرِيّ, rumi: at-taqwīm al-hijrī) atau tahun Hijriah (Arab: سَنَة هِجْرِيَّة, rumi: sanat hijrīyah) merupakan takwim yang digunakan di kebanyakan negara Islam yang bermula dari tahun 622 AD untuk menentukan hari kebesaran Islam. Ia merupakan sejenis kalendar berdasarkan bulan dan mempunyai kira-kira 354 hari setahun. Pada tahun itu, Muhammad dan pengikutnya berpindah dari Mekah ke Yathrib (sekarang Madinah). Peristiwa ini, yang dikenali sebagai Hijrah, diperingati dalam Islam kerana peranannya dalam penubuhan masyarakat Islam pertama (ummah).

Di negara-negara Barat, tahun ini paling sering dilambangkan sebagai AH (Latin: Anno Hegirae / ænoʊ hɛdʒɪriː /, "pada tahun Hijrah") selari dengan tahun Kristian (AD) dan Yahudi (AM). Di negara-negara Islam, ia juga disingkat H ("Hijrah") dari singkatan Arab hā' (ه). Tahun-tahun sebelum AH 1 dikira dan dikenali dalam Bahasa Inggeris sebagai BH ("Sebelum Hijrah").

Disebabkan kalendar qamari Islam hanya mempunyai 354 atau 355 hari dalam tahunnya, ia berputar secara berbanding tahun Gregorian. Tahun 2018 AD bersesuaian dengan tahun-tahun Islam 1439 - 1440 H.

Di Indonesia (Pulau Jawa) kalender hijriyah dikenali sebagai kalender jawa yang mengubahsuai kalender Hijriah semasa raja Kerajaan Mataram yaitu Sultan Agung.

Masa Hijriah dikira menurut pengiraan qamari dan bukannya suria seperti Julian atau Gregorian. Oleh itu, ia tidak bermula pada 1 Januari 1 M, tetapi pada hari pertama bulan Muharram yang berlaku pada 622 M. Setaraf Juliannya ialah 19 April, tetapi, ianya kadang-kadang tersilap diletakkan pada 16 Julai. Kesilapan itu berasal dari jadual kalendar Islam yang dibuat oleh ahli astronomi Islam yang lebih baru. Hal ini menganjakkan masa ke belakang mengikut kalendar lunar, yang menyebabkan ia terlepas tiga bulan haram (kira-kira 88 hari). Seterusnya, ditambah pada kalendar kemudian lunisolar antara waktu Hijrah dan 10 H, ketika Muhammad menerima wahyu yang melarang penggunaan lunisolar.

Permulaan penggunaan Kalendar Tahun Hijrah / Hijriah ialah hasil daripada ilham Khulafa Ar-Rasyidin yang kedua iaitu Sayidina Umar Al-Khattab r.a. Ini turutan daripada Kesatuan Arab yang ditubuhkan di bawah naungan Islam pada zamannya.

Terdapat satu riwayat lain yang mengatakan bahawa Gabenor Abu Musa Al-Asya'ari telah mengirimkan surat kepada Sayidina Umar r.a. minta beliau menjelaskan tentang tahun bagi tarikh surat/arahan Umar yang telah dihantar kepadanya. Maka dengan ini beliau (Umar r.a.) mahukan satu kalendar / taqwim Islam yang khas untuk menggantikan tahun rujukan kalendar yang berbagai-bagai yang digunakan oleh bangsa-bangsa Arab dan bangsa-bangsa lain pada zaman itu.

Dalam kalangan bangsa Arab sendiri pun ada berbagai-bagai kalendar yang digunakan seperti Kalendar Tahun Gajah, Kalendar Parsi, Kalendar Romawi dan kalendar-kalendar lain yang berasal dari tahun peristiwa-peristiwa besar sebelum tahun hijrah dicipta. Maka Umar telah memilih tahun yang terdapat di dalamnya peristiwa paling agung dalam sejarah Rasulullah SAW untuk dijadikan asas permulaan tahun pertama bagi kiraan kalendar / takwim Islam.

Peristiwa tersebut ialah peristiwa hijrah Rasullullah SAW dari Makkah ke Madinah. Ini adalah kerana dengan hijrah inilah permulaan pertolongan Allah kepada Rasul-Nya dan agama Islam ditegakkan. Hasil daripada itu, Kesatuan Arab lebih sistematik, bersatu dan tersusun serta mendapat berbagai-bagai kejayaan besar dan bertambah kuat hasil daripada pilihan Umar itu.

Antara kejayaan besar Islam waktu itu ialah kerajaan Kisra dapat ditumbangkan, Baitulmaqdis dibebaskan daripada Empayar Rom dan Masjid al-Aqsa dibangunkan. Setelah Umar membandingkan kalendar tersebut dengan kalendar-kalendar Parsi dan Romawi, didapati bahawa kalendar ini ternyata lebih baik. Maka dengan itu Umar mengisytiharkan Kalendar Tahun Hijrah sebagai Kalendar / Takwim Islam yang rasmi.

Penggunaan

[sunting | sunting sumber]

Dalam takwim Hijrah, terdapat 12 bulan. Setiap bulan mengandungi 29 atau 30 hari, tetapi lazimnya tidak dalam turutan yang tetap. Secara tradisinya, hari pertama setiap bulan akan bermula setelah anak bulan (hilāl) kelihatan ketika matahari terbenam. Jika hilāl tidak kelihatan selepas 29 hari pada bulan tersebut, sama ada dilindungi awan atau langit di ufuk barat terlalu terang apabila bulan terbenam, maka, hari tersebut dikira sebagai hari yang ke-30. Pencerapan atau rukyah tersebut haruslah dilakukan oleh orang yang dipercayai dan mengakuinya di hadapan pemimpin.

Dengan pencerapan begini mendorong umat Islam berkecimpung dalam bidang ilmu falak, yang meletakkan Islam terkehadapan dalam sains tersebut buat beberapa kurun. Amalan tradisi ini masih diikuti di negara-negara lain seperti Pakistan dan Jordan. Walau bagaimanapun, kebanyakan peraturan astronomi negara Muslim membenarkan penggunaan kalendar dan tidak tertakluk sentiasa kepada cara ini. Malaysia, Indonesia, dan beberapa negara yang lain memulakan bulan ketika matahari terbenam pada hari pertama ketika bulan terbenam selepas matahari terbenam. Di Mesir, bulan bermula ketika matahari terbenam pada hari pertama yang bulan terbenam sekurang-kurangnya lima minit selepas matahari terbenam.

Umm al-Qura yang rasmi, kalendar Arab Saudi menggunakan kaedah astronomi yang berlainan hinggalah beberapa tahun kebelakangan ini.[1] Sebelum 1420H (sebelum 18 April 1999), jika usia bulan yang terbenam di Riyadh sekurang-kurangnya 12 jam, maka hari yang tamat ketika matahari terbenam itu merupakan hari pertama setiap bulan. Ini menyebabkan negara tersebut meraikan hari-hari raya sehari atau dua hari awal berbanding negara lain termasuklah Haji yang hanya menggunakan tarikh Arab Saudi kerana berlangsung di Makkah. Pada tahun 1380-an H (1970-an), negara Islam berlainan menamatkan puasa Ramadan pada empat hari yang berbeza. Perayaan Aidilfitri lebih seragam pada 1420H. Bagi 1420-22H, jika bulan terbenam selepas matahari terbenam di Makkah, maka hari yang bermula ketika matahari terbenam tersebut ialah hari pertama bulan Saudi, peraturan yang sama juga bagi Malaysia, Indonesia dan yang lain (kecuali tempat rukyah dijalankan).

Sejak 1423H (16 Mac 2002), peraturan telah dijelaskan sedikit yang memerlukan gabungan geosentrik matahari dan bulan untuk berlaku sebelum matahari terbenam, sebagai tambahan untuk memerlukan bulan terbenam berlaku selepas matahari terbenam di Makkah. Ini memastikan yang bulan telah berlalu melepasi matahari ketika senja, walaupun langit masih terlalu terang sebaik sebelum betul-betul kelihatan anak bulan. Secara tegasnya, kalendar Umm al-Qura digunakan untuk kegunaan awam sahaja. Pembuatnya menyedari yang untuk dapat benar-benar mencerap hilāl buat kali pertamanya boleh berlaku dua hari selepas apa yang dikira dalam kalendar Umm al-Qura.

Sejak 1419H (1998/99) beberapa pegawai jawatan kuasa pencerap hilāl telah ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi untuk menentukan rukyah anak bulan bagi permulaan bulan. Tidak kurang juga, pegawai agama Arab Saudi turut menerima saksi pencerapan oleh sesiapa yang kurang berpengalaman lalu mengumumkan yang hilāl dapat dilihat walaupun pihak pegawai tidak dapat melihatnya. Kebanyakan kesnya, pencerapan tersebut amat sukar dan terdapat yang salah lihat.

Bulan terbenam terkemudian daripada matahari bagi negara yang di barat, maka negara Islam di sana sering menyambut hari perayaan sehari awal berbanding negara Muslim di timur.

Terdapat pelbagai kalendar Islam yang digelar kalendar Islam tabular yang bulannya dikira melalui kaedah hisab berbanding rukyah atau pengiraan falak. Ia mempunyai kitaran setiap 30 tahun dengan 11 tahun lompat dengan 355 hari dan 19 tahun dengan 354 hari. Bagi jangka masa panjang, ia tepat kepada satu hari dalam 2500 tahun. Ia juga menyisihkan 1 atau 2 hari bagi jangka pendek.

Microsoft telah menggunakan "algoritma Kuwaiti" untuk menukar kalendar Gregorian kepada kalendar Islam secara sulit. Untuk merealisasikan hasratnya itu, Microsoft telah mendakwa menggunakan analisis statistik data bersejarah dari Kuwait tetapi sebenarnya Microsoft telah menggunakan taburan kalendar Islam tabular.

Pengharaman mengubah bilangan bulan

[sunting | sunting sumber]

Pada tahun kesembilan Hijrah, Allah berfirman akan pengharaman mengubah pengharaman bulan seperti tertera dalam al-Quran dalam Surah At-Taubah:36-37

Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah ugama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertakwa.[al-Quran 9:36 (Basmeih)]

Sesungguhnya perbuatan mengundurkan (kehormatan itu dari satu bulan ke satu bulan yang lain) adalah menambah kekufuran yang menjadikan orang-orang kafir itu tersesat kerananya. Mereka menghalalkannya pada satu tahun dan mengharamkannya pada tahun yang lain, supaya mereka dapat menyesuaikan bilangan (bulan-bulan yang empat) yang telah diharamkan Allah (berperang di dalamnya); dengan itu mereka menghalalkan yang telah diharamkan oleh Allah. Perbuatan buruk mereka itu dihias dan dijadikan indah (oleh syaitan) untuk dipandang baik oleh mereka. Dan (ingatlah) Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang kafir.[al-Quran 9:37 (Basmeih)]

Pengharaman ini turut diulang baginda Nabi Muhammad SAW dalam Khutbah Terakhir baginda di Arafah iaitu ketika berlangsungnya Haji Widak pada 9 Zulhijjah 10H di Makkah (perenggan ini sering dibuang daripada khutbah oleh penyunting moden kerana dianggap tidak penting):[perlu rujukan]

Wahai manusia! Sesungguhnya perbuatan mengundurkan (kehormatan dari satu bulan ke satu bulan yang lain) adalah menambahkan kekufuran yang menyebabkan orang-orang kafir itu tersesat kerananya. Mereka menghalalkannya pada satu tahun dan mengharamkannya pada satu tahun yang lain, supaya mereka dapat menyesuaikan bilangannya. Mereka merendahkan-rendahkan yang diharamkan oleh Allah. Oleh sebab itulah mereka menghalalkan yang diharamkan oleh Allah SWT dan mengharamkan yang dihalalkan oleh Allah SWT. Sesungguhnya masa telah beredar seperti keadaan hari, kejadian langit dan bumi, setahun adalah dua belas bulan. Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah SWT adalah sebanyak dua belas bulan. Dari bulan-bulan tersebut ada empat bulan haram, tiga daripadanya berturut-turut iaitu: Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram, seterusnya bulan Rejab yang berada di antara bulan Jamadilakhir dan Syaaban.

Terdapat tiga bulan suci (atau bulan haram) berturut-turut yang dinyatakan oleh baginda iaitu Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram lantas mengelakkan pertambahan sebarang bulan sebelum Muharam. Bulan suci yang tunggal lain ialah Rejab. Bulan-bulan ini dianggap suci dalam kalendar Islam baru dan juga kalendar ketika zaman jahiliah Makkah yang dari itu ia diterbitkan dengan membuang bulan-bulan yang tidak perlu atau ditambah-tambah pada penghujung 10H. Turutan bulan yang ditambah-tambah, sebelum dibuang, tidaklah diketahui.

Nama bulan Islam

[sunting | sunting sumber]

Berikut ialah nama bulan Islam dan asal-usulnya (yang kebanyakannya muncul sebelum Islam lagi). Kebanyakan nama tersebut timbul sempena cuaca ketika suatu peristiwa besar berlaku ataupun sempena peristiwa besar tersebut. Walau bagaimanapun, oleh kerana semuanya ialah nama bulan dan bulan berubah 11 hari lebih awal setiap tahun, maka, musim atau peristiwa asal tidak begitu mempengaruhi nama sesetengahnya kini.

  1. Muharam al-Haram (dipendekkan kepada Muharram – محرّم)
    • Bulan ini mengambil perkataan "Haram" yang bermaksud terlarang. Hal ini disebabkan budaya atau tradisi Arab mengharamkan sebarang peperangan pada bulan ini. Selepas munculnya Islam, Allah meneruskan budaya ini lantas menjadi satu antara empat bulan haram dalam Islam.
  2. Safar (صفر)
    • Perkataan ini bermaksud tiupan angin. Ketika nama tersebut mula diguna pakai, kemungkinan yang ketika itu adalah waktu yang berangin. Safar juga menunjukkan yang masyarakat Arab (badwi) meninggalkan rumah mereka.
  3. Rabiulawal (ربيع الأول)
    • Bulan pertama musim bunga iaitu masa ketika bulan tersebut dinamakan.
  4. Rabiulakhir (ربيع الآخر/ ربيع الثاني)
    • Bulan kedua musim bunga.
  5. Jamadilawal (جمادى الأولى)
    • Bulan pertama musim panas. "Jumada" bermaksud kering.
  6. Jamadilakhir (جمادى الآخرة / جمادى الثانية)
    • Bulan kedua musim panas. Jamada, juga bulan yang lain juga lebih sejuk, yang membawa maksud telaga menyejuk adalah suatu yang biasa ketika itu.
  7. Rejab (رجب)
    • Satu lagi bulan suci yang mengharamkan perlawanan atau peperangan dan salah satu bulan yang dihormati. Ia juga dikenali sebagai Rajab al Fard. Fard bermaksud keseorangan; kerana tiga bulan suci yang lain berada jauh dan berturutan berbanding Rejab di tengah-tengah.
  8. Syaaban (شعبان)
    • Bulan ini terbit dari perkataan "syu'ba", bermaksud berpecah/menyimpang. Masyarakat Arab dahulu sering keluar dan berpecah untuk mencari air.
  9. Ramadan (رمضان)
    • Diambil daripada perkataan "ramda", yang bermaksud batu panas. Ini menceritakan ketika nama tersebut diberikan, keadaan amat panas ketika itu.
  10. Syawal (شوال)
    • Diambil daripada perkataan yang membawa maksud, apabila unta betina bunting. Ketika nama bulan ini diberikan, lazimnya unta betina bunting pada ketika itu.
  11. Zulkaedah (ذو القعدة)
    • Diambil daripada perkataan "qa'ada" bermaksud untuk duduk. Inilah bulan suci ketiga yang mengharamkan sebarang pertempuran. Kebanyakan orang juga mula menghentikan aktiviti perniagaan mereka untuk duduk dan bersedia untuk menunaikan Haji.
  12. Zulhijah (ذو الحجة)
    • Ini adalah bulan suci terakhir dalam setahun dan dilarang melakukan sebarang pertempuran kerana pada bulan ini, haji dilaksanakan. Perkataan tersebut juga mengambil perkataan "haji" sebagai rujukan nama bagi bulan haji ini.
  1. ^ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2008-02-19. Dicapai pada 2007-08-19.

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]