Pergi ke kandungan

Tengkera

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

JIKA menelusuri jalan sekitar Melaka, pasti dapat melihat kewujudan bangunan-bangunan lama termasuk rumah ibadah. Berdasarkan sejarah, terdapat banyak rumah ibadah yang dibina pada atau selepas zaman awal pembukaan Melaka termasuk masjid yang digunakan sebagai tempat penduduk berkumpul dan bersama-sama menjalankan aktiviti kemasyarakatan. Apabila menyebut kawasan Tengkera di Melaka, sudah pasti ingatan kita tertumpu pada masjid tertua diperbuat daripada kayu dengan atapnya daripada daun nipah. Itulah Masjid Tengkera yang dibina pada 1728, kira-kira 300 tahun selepas pembukaan Kota Melaka oleh Parameswara. Masjid berkenaan pernah menjadi masjid negeri di Melaka sebelum kewujudan Masjid Al-Azim. Dibina pada zaman pemerintahan Belanda dan ketika awal pembinaannya terkenal sebagai pusat gerakan tabligh. Namun begitu, ramai yang tidak tahu asal usul perkataan Tengkera, malah ada yang secara sinis mengaitkan Tengkera dengan haiwan, kera. Justeru, Sinar Harian mengupas asal usul Tengkera menerusi seorang penduduk asal, Rahim Adam, 71. Rahim yang kini menjadi Pengerusi Masjid Tengkera berkata, Tengkera berasal daripada perkataan Portugis iaitu Tranquerah yang bermaksud benteng. “Saya bukan pakar dalam bidang sejarah cuma saya dilahirkan di sini. Menurut cerita orang-orang lama, Tranquerah adalah benteng pertahanan dan ia seperti kubu yang dibina sepanjang pantai pada zaman dahulu. “Ketika saya dilahirkan pada 1946 dan membesar, kubu-kubu tersebut dah tak ada. Tapi difahamkan, perkataan itu kemudian menjadi Tengkera apabila kebanyakan orang Melayu terdahulu selalu menyebutnya. Ia seolah-olah dimelayukan,” katanya. Menurutnya, Tengkera adalah kawasan pantai yang aktif dengan aktiviti nelayan dan menjadi lokasi riadah termasuk berkelah pada zaman kanak-kanaknya. “Asalnya, Tengkera atau Jalan Tengkera ini adalah laluan di tepi laut yang mempunyai rumah dan kampung di tepi pantai sama seperti yang ada sekarang ini di Tanjung Bidara, Pengkalan Balak dan Tanjung Kling. “Di Tengkera ada kawasan pantai yang kini dipanggil Jalan Pantai. Dulu, dalam tiga baris rumah sudah ada laut dan kawasan itu memang sangat terkenal dalam kalangan orang ramai yang datang nak mandi-manda dan berkelah. Memang tempat saya bermain masa kecil-kecil dulu. “Kalau cuti sekolah masa umur belasan tahun, saya dan kawan-kawan akan pungut siput dan kerang yang akan dibakar tepi laut dan makan beramai-ramai. Kita juga akan panjat pokok kelapa yang ada di pantai, ambil buahnya untuk diminum,” katanya. Penduduk asalnya pedagang Menurut Rahim, Tengkera adalah kawasan majoriti dihuni penduduk Melayu, bagaimanapun terdapat juga perkampungan terdiri daripada orang Portugis menetap di kampung yang diberi nama Beting. "Dalam pengetahuan saya, penduduk asal Tengkera ini kebanyakannya pedagang. Ada pedagang dari India jual kain dan rempah. Ada dari Arab jual batu permata. Kebanyakan mereka datang ke Melaka kemudian menetap di Tengkera dan Limbongan. "Mungkin sebab itu juga kenapa kebanyakan penduduk dalam dua kawasan ini mempunyai wajah iras Arab dan mamak,” katanya sambil berseloroh. Rahim kini menetap di Taman Kenanga Seksyen 1 tinggal bersama isterinya, Aminah Abdullah, 62, dan dikurniakan dua anak serta dua cucu. “Saya adalah anak kepada kakitangan mahkamah yang ketika itu terletak di bangunan kerajaan Stadthuys. Datuk saya pula nelayan. Pada tahun 50an, masih ada lagi pantai dengan pasir yang cantik dan bersih di Tengkera, tapi semua itu dah hilang sejak pembinaan jeti pada 70an dan kini pula ditambak. “Saya bukannya tak menyokong pembangunan yang dilakukan kerajaan tapi sayang sekali tak dapat dipelihara. "Saya rindu Tengkera yang dahulu, nostalgia sungguh...,” katanya ketika mengakhiri perbualan.