TEMERLOH: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menumpaskan aktiviti penyeludupan rokok dan minuman keras bernilai lebih RM1.6 juta dalam tiga serbuan berasingan di Johor dan Selangor pada 3 Disember lalu.
Pengarah JKDM Pahang, Mohd. Asri Seman berkata, dalam operasi pukul 11.15 malam, JKDM Stesen Temerloh menyerbu sebuah rumah di Ulu Tiram, Johor yang dijadikan stor penyimpanan rokok putih dan kretek.
“Hasil pemeriksaan menemui rokok pelbagai jenama sebanyak 449,400 batang yang dianggarkan bernilai RM49,340 dengan cukai berjumlah RM301,538,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Kastam Daerah Temerloh di sini hari ini.
Mohd. Asri berkata, pihak kastam turut menyita sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire yang membawa muatan rokok putih dan kretek di kawasan tempat letak kereta berdekatan sebuah taman perumahan di Tebrau, Johor pada 10 Disember lalu.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati terdapat barang larangan iaitu 380,800 batang rokok pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM55,856 dengan nilai duti RM256,913.
“Nilai keseluruhan rampasan sebuah MPV dan rokok termasuk cukainya dianggarkan berjumla RM462,769. Bagaimanapun, tiada tangkapan ekoran pemandu MPV dipercayai sempat melarikan diri,” jelasnya
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, pihak kastam dengan kerjasama Unit Kawalan Kontena (CCU) Selangor berjaya menyita sebuah kontena bersaiz 12 meter dengan muatan 52,800 tin atau 26,400 liter minuman keras di Pelabuhan Utara Klang, Selangor.
Katanya, minuman keras yang dianggarkan bernilai RM60,693 dengan duti sebanyak RM891,208 itu dibawa masuk selepas diisytiharkan sebagai kertas hiasan dinding dan disyaki tidak mempunyai permit import. #Kosmo!