Faktor1 Ponteng
Faktor1 Ponteng
Faktor1 Ponteng
Nik Selma Bt Muhammad Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi Malaysia Abstrak : Ponteng sekolah merupakan salah satu masalah disiplin yang semakin ketara. Oleh itu kajian ini cuba melihat masalah ponteng sekolah dikalangan pelajar-pelajar tingkatan empat sekolah menengah yang terletak di daerah Kulaijaya, Johor. Kajian ini bertujuan untuk mengenalpasti faktor-faktor yang menyebabkan pelajar-pelajar terlibat dengan gejala ponteng sekolah. Seramai 120 orang pelajar tingkatan empat dan 60 orang guru di sekolah berkenaan yang terlibat dalam kajian ini. Kajian ini merupakan kajian deskriptif dengan menggunakan soal selidik sebagai instrumen kajian yang mengandungi tiga bahagian iaitu latar belakang responden, faktor-faktor yang menyebabkan pelajar terlibat dengan gejala ponteng sekolah dan cara-cara untuk mengatasi masalah ponteng sekolah dikalangan pelajar. Data diperolehi dianalisis dengan menggunakan perisian Statistical Packages for the Social Science (SPSS) versi 11.5 dan diterangkan dalam bentuk peratusan, kekerapan dan min. Dapatan kajian menunjukkan faktor guru, sikap pelajar, rakan sebaya dan ibu bapa merupakan faktor-faktor yang banyak mempengaruhi pelajar-pelajar terlibat dengan gejala ponteng sekolah. Guru-guru berpendapat bahawa faktor sikap pelajar yang malas merupakan faktor utama yang menyebabkan pelajar terlibat dengan gejala ponteng sekolah. Mereka juga menyarankan agar diadakan sesi kaunseling dan kem motivasi serta mengadakan program Ponteng Sifar sebagai cara untuk mengatasi masalah ponteng sekolah. Katakunci : faktor, masalah ponteng Pengenalan Sekolah merupakan tempat untuk menimba ilmu pengetahuan dan juga merupakan institusi pendidikan masyarakat yang akan membentuk pola budaya generasi akan datang. Sekolah juga merupakan tempat untuk memperkembangkan potensi pelajar dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelektual seterusnya dapat memberi sumbangan yang bermakna kepada pembangunan dan kesejahteraan negara. Namun begitu, tidaklah mudah untuk mencapai matlamat bagi melahirkan manusia terdidik dan berguna yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Kerajaan menghadapi pelbagai cabaran berat untuk menangani pelbagai salah laku pelajar yang semakin membimbangkan sejak akhir-akhir ini. Masalah sosial yang melibatkan golongan remaja kian meningkat di negara kita. Pelbagai masalah yang sering dikaitkan dengan remaja misalnya ponteng sekolah, lari dari rumah keluarga, terlibat dengan gejala dadah dan berkecimpung dalam kegiatan seks diluar nikah hingga membawa kehamilan, keguguran dan membuang anak semakin berleluasa. Menurut Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Mahadzir Mohd Khir dalam Utusan Malaysia (15 Oktober 2004), isu ponteng kini berada pada tahap kritikal dan dianggap sebagai langkah pertama remaja memasuki dunia yang penuh dengan masalah. Pelajar sekolah menengah terutamanya diperingkat usia 14 dan 15 tahun, dikenalpasti sebagai kumpulan majoriti yang terbabit dengan gejala ponteng (Berita Harian, 2 April 2001).
Usaha bersepadu seluruh masyarakat amat diperlukan bagi mencari punca sebenar masalah ponteng ini agar dapat ditangani diperingkat akar umbi kerana ia dikhuatiri menyebabkan masalah yang lebih serius. Justeru itu, jika usaha menanganinya tidak dapat dilaksanakan segera, kemungkinan perangkaan ini terus meningkat dan memberi kesan kurang baik kepada sistem pendidikan negara dan masa depan generasi muda. Pernyataan Masalah Masalah ponteng merupakan masalah yang sering melanda pelajar dipelbagai peringkat bermula dari sekolah rendah hinggalah ke peringkat yang paling tinggi iaitu Institusi Pengajian Tinggi (IPT). Melalui pengalaman pengkaji sendiri dalam menangani masalah ponteng sekolah dikalangan pelajar sekolah sememangnya terdapat faktor-faktor yang menyebabkan pelajar melakukan perbuatan salahlaku ponteng di sekolah samada ponteng kelas, ponteng sekolah atau ponteng menghadiri aktiviti luar bilik darjah. Kebanyakkan pelajar yang terlibat dengan ponteng sekolah datangnya dari sekolahsekolah yang terletak dipinggir-pinggir bandar. Pelajar-pelajar yang tinggal dipinggir bandar seringkali menghadapi masalah dari segi persekitaran tempat tinggal, sosioekonomi keluarga dan pergaulan antara rakan-rakan. Kebanyakkan ibu bapa mereka berpendapatan rendah dan tidak dapat menyediakan perbelanjaan yang mencukupi untuk menampung bilangan anak yang ramai. Jadi untuk meringankan bebanan yang ditanggung oleh ibu bapa mereka, ada pelajar yang sanggup berhenti sekolah dan bekerja bagi mendapatkan wang untuk perbelanjaan harian mereka. Masalah ini perlulah diatasi dengan segera bagi mengelakkan daripada timbulnya pelbagai gejala buruk yang lain rentetan daripada perilaku ponteng. Bagi mengurangkan masalah ini, langkah pertama yang perlu dicari ialah punca dan faktor yang menyebabkan berlakunya masalah ponteng sekolah seterusnya mencari cara-cara untuk mengatasinya. Oleh yang demikian, kajian ini dijalankan adalah untuk mengkaji sejauhmanakah faktor-faktor yang menyebabkan pelajar ponteng sekolah dan faktor manakah yang lebih mendorong pelajar terlibat dengan gejala ponteng sekolah. Faktor-faktor yang dikaji ialah faktor sikap pelajar, rakan sebaya, ibu bapa dan guru. Objektif Kajian Kajian ini dijalankan untuk memperolehi dapatan dalam menangani masalah ponteng sekolah. Secara khususnya objektif kajian dalam penulisan ini ialah: 1. Untuk mengenalpasti faktor-faktor atau punca utama yang mendorong pelajar terlibat dalam gejala ponteng sekolah. 2. Untuk mengenalpasti sejauhmana faktor sikap pelajar, rakan sebaya, ibu bapa dan guru yang mempengaruhi pelajar terlibat dalam masalah ponteng sekolah. 3. Untuk mengenalpasti pandangan guru-guru terhadap faktor-faktor yang menyebabkan gejala ponteng di kalangan pelajar. 4. Untuk mengenalpasti pandangan guru-guru terhadap cara-cara untuk mengatasi mengatasi masalah ponteng sekolah. Kepentingan Kajian Persoalan terhadap salahlaku ponteng ini telah banyak diperkatakan oleh pelbagai golongan sama ada ibu bapa pelajar sendiri, anggota masyarakat, anggota teknokrat, ahli akademik dan sebagainya di mesyuarat sekolah, seminar dan sebagaiya. Hasil kajian ini dapat mendedahkan kepda pihak sekolah punca masalah ponteng di kalangan pelajar.
Selain itu dapatan kajian ini penting sebagai pedoman atau panduan kepada pihak sekolah, ibu bapa, guru-guru kaunselor sekolah agar memahami dan mengenalpasti apakah faktor-faktor yang menyebabkan ponteng di kalangan pelajar. Pihak-pihak yang terbabit juga dapat mencari alternatif lain di samping memikirkan langkah-langkah untuk mengatasi masalah ponteng ini. Kejayaan dalam mencari jalan penyelesaian gejala ponteng sekolah ini, maka hasrat guru, pihak sekolah, ibu bapa serta negara untuk menghasilkan generasi unggul yang diimpikan akan terlaksana, sesuai dengan saranan kerajaan yang ingin mewujudkan masyarakat bermoral dan beretika yang mana warganegaranya kukuh dalam nilai agama dan kejiwaan dan didokong oleh tahap etika yang paling tinggi. Rekabentuk Kajian Reka bentuk kajian adalah kaedah atau teknik yang digunakan untuk memperolehi data atau maklumat bagi menyelesaikan masalah kajian. Kajian yang digunakan ini adalah kajian jenis deskriptif satu tinjauan yang menggunakan soal selidik kerana ia hanya memberi gambaran yang sedia ada. Kaedah ini digunakan kerana ia dapat mengumpulkan maklumat mengenai pembolehubah (Mohd Najib, 1990). Dalam kajian ini perkara yang dikaji adalah untuk mengetahui pandangan pelajar-pelajar terhadap masalah ponteng sekolah dan juga faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya gejala ponteng sekolah. Faktor-faktor yang telah dikenal pasti yang menyebabkan ponteng sekolah dikalangan pelajar ialah faktor sikap pelajar, faktor rakan sebaya, faktor ibu bapa dan faktor guru. Selain itu kajian ini juga adalah bertujuan untuk mengetahui cara-cara untuk mengatasi masalah ponteng sekolah. Terdapat dua set soal selidik iaitu set pertama diedarkan kepada pelajar-pelajar dan set ke dua diedarkan kepada guru-guru. Set-set soal selidik telah disediakan adalah bertujuan untuk mengumpul maklumat dan data. Segala pengukuran terhadap pembolehubah yang dibuat berdasarkan maklum balas terhadap semua pertanyaan yang terkandung dalam soal selidik. Soal selidik ini mengandungi tiga bahagian iaitu bahagian A, bahagian B dan bahagian C. Soal selidik dalam bahagian A mengandungi soalan-soalan tentang latar belakang pelajar dan soal selidik dalam bahagian B mengandungi soalan-soalan yang berkaitan dengan faktor-faktor yang menyebabkan pelajar ponteng sekolah Sampel kajian Menurut Mohd Najib (1999), saiz sampel adalah penting kerana ia melambangkan kekuatan keputusan kajian. Dalam kajian ini pengkaji menggunakan sampel rawak jenis kelompok dengan memilih pelajar-pelajar tingkatan empat di tiga buah Sekolah Menengah Kebangsaan di daerah Kulaijaya, Johor yang terlibat dengan gejala ponteng sekolah. Seramai 120 orang pelajar dan 60 orang guru yang digunakan sebagai sampel bagi kajian ini yang dipilih secara rawak mudah dari kelompok tiga buah sekolah menengah berkenaan. Segala maklumat untuk mendapatkan populasi dan sampel bagi kajian ini dirujuk daripada Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM), guru disiplin dan juga guru kelas di sekolah-sekolah yang terlibat. Jadual 1: Jadual bilangan sampel kajian
Jadual diatas menunjukkan taburan bilangan sampel yang di pilih bagi kajian ini. Bagi Sek.Men.Keb.Kulai Besar, bilangan tingkatan empat di sekolah berkenaan ialah 188 orang dan pengkaji telah mengambil bilangan sampel sebanyak 38 orang responden manakala bagi Sek.Men.Keb.Indahpura 1, bilangan tingkatan empat di sekolah berkenaan ialah 234 dan pengkaji telah mengambil bilangan sampel sebanyak 47 orang serta bagi sekolah Sek.Men.Keb.Indahpura 2, bilangan tingkatan empat di sekolah berkenaan ialah 175 orang dan pengkaji mengambil sampel sebanyak 35 orang responden. Jadi bilangan sampel bagi pelajar seramai 120 orang. Bagi guru pula pengkaji telah mengambil bilangan sampel sebanyak 20 orang responden bagi setiap sekolah. Jadi bilangan keseluruhan sampel bagi guru ialah 60 orang. Instrumen kajian Instrumen kajian yang digunakan dalam kajian ini adalah berbentuk soal selidik sebagai alat ukur bagi pengumpulan data. Soal selidik ialah satu instrumen yang lazim digunakan dalam kajian tinjauan. Ia membolehkan penyelidik dapat mengetahui sikap seseorang dalam menjawab soalan bagi memastikan keesahan soal selidik yang digunakan. Pengkaji telah memastikan soalansoalan yang dikemukakan dapat menjelaskan faktor-faktor yang menyebabkan pelajar ponteng sekolah. Kaedah soal selidik digunakan untuk mendapatkan maklumat lengkap daripada responden mengenai faktor-faktor yang menyebabkan gejala ponteng sekolah. Pemilihan kaedah ini adalah disebabkan ia dapat: Menjimatkan masa. Lebih mudah dan sesuai untuk responden. Tidak memerlukan perbelanjaan yang tinggi Pengumpulan data dengan lebih cepat. Bilangan responden yang tidak ramai. Soal selidik ini berupa sejenis borang yang mengandungi soalan-soalan tertutup iaitu soalan yang telah disediakan jawapannya dan juga disertakan soalan terbuka iaitu untuk mengetahui pandangan atau respon dari dalam pelajar. Ia dibentuk berdasarkan persoalan kajian yang ingin dihuraikan dan juga berdasarkan sorotan kajian yang telah dijalankan. Terdapat dua set soal selidik yang telah disediakan iaitu set pertama diedarkan kepada pelajar-pelajar dan set kedua diedarkan kepada guru-guru. Soal selidik bagi set pertama ini mengandungi dua bahagian iaitu bahagian A dan B serta soal selidik bagi set kedua mengandungi bahagian C sahaja. Soal selidik bagi bahagian A dan B adalah bertujuan untuk mengetahui pandangan pelajar-pelajar ponteng terhadap faktor-faktor yang menyebabkan pelajar terlibat dengan gejala ponteng sekolah manakala bahagian C pula adalah bertujuan untuk mengetahui pandangan guruguru terhadap faktor-faktor yang menyebabkan pelajar terlibat dengan gejala ponteng serta caracara untuk mengatasi masalah ponteng sekolah. Bahagian A mengandungi 12 soalan yang terdiri daripada soalan-soalan yang meliputi latar belakang pelajar dan ibu bapa. Bahagian B pula mengandungi 36 soalan yang dikaji selidik
berkaitan dengan faktor-faktor yang telah dikenal pasti yang menyebabkan pelajar terlibat dengan gejala ponteng sekolah iaitu berdasarkan faktor-faktor sikap pelajar, rakan sebaya, ibu bapa dan guru. Setiap faktor mengandungi sembilan item soalan. Bahagian C pula mengandungi 15 soalan yang meliputi cara-cara untuk mengatasi masalah ponteng sekolah. Sebelum borang soal selidik ini diedarkan kepada responden, terlebih dahulu pengkaji akan memberi penerangan mengenai tujuan soal selidik ini dan cara-cara menjawab soalan yang dikemukakan. Di samping itu jaminan diberikan oleh pengkaji mengenai kerahsiaan segala maklumat yang diberikan. Jadual 2 Pengelasan item soal selidik.
Dalam instrumen kajian terdapat beberapa kaedah yang biasa digunakan dan didalam kajian ini pengkaji menggunakan skala Likert sebagai instrumen kajian. Responden dikehendaki menandakan jawapan mereka mengenai sesuatu kenyataan berdasarkan skil skala yang telah ditetapkan dalam jadual 3 diatas. Responden hanya perlu menandakan pilihan jawapan yang sesuai dengan membulatkan nombor pilihan. Kajian rintis Kajian rintis dijalankan sebelum set soalan diedarkan kepada responden untuk tujuan kefahaman pelajar dari segi isi kandungan dan kebolehpercayaan item soalan. Kajian rintis ini telah dijalankan ke atas 20 orang pelajar yang terlibat dengan masalah ponteng sekolah di SMK Taman Mutiara Rini dan SMK Taman Universiti 1. Kajian rintis ini juga dapat membantu penyelidik menganggar tempoh masa yang diperlukan untuk mentadbir soal selidik bagi kajian sebenar. Berikut adalah nilai alpha yang telah diperolehi hasil daripada kajian rintis yang telah dijalankan. Jadual 4: Nilai alpha bagi kajian rintis.
Daripada jadual yang ditunjukkan diatas didapati nilai alpha yang telah diperolehi hasil daripada kajian rintis yang dijalankan menunjukkan faktor-faktor yang menyebabkan pelajar terlibat dengan gejala sekolah menunjukkan nilai min sebanyak 0.7964 dan cara-cara untuk mengatasi masalah ponteng sekolah dikalangan pelajar menunjukkan min sebanyak 0.7273. Analisis Data Jadual 5: Jadual perbandingan nilai min
Daripada jadual 5 diatas, didapati nilai min yang tertinggi ialah 3.71 iaitu faktor guru, diikuti faktor sikap pelajar dengan nilai min sebanyak 3.68 dan faktor rakan sebaya dengan nilai min sebanyak 3.53. Manakala nilai min yang terendah pula ialah 3.41 iaitu faktor ibu bapa. Di sini pengkaji dapat rumuskan bahawa faktor guru merupakan faktor utama yang menyebabkan pelajar-pelajar terlibat dengan gejala ponteng sekolah. Guru-guru harus mencari jalan penyelesaian bagi mengelakkan gejala ponteng sekolah ini terus berleluasa. Selain itu faktor sikap pelajar juga banyak menyebabkan aktiviti ponteng sekolah ini tidak dapat diatasi. Justeru itu di harap semua pihak bekerjasama untuk mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi seterusnya menghapuskan aktiviti ponteng sekolah ini. Perbincangan Faktor sikap pelajar merupakan salah satu faktor utama yang menyebabkan pelajar-pelajar terlibat dengan gejala ponteng sekolah. Melalui dapatan kajian yang telah dibuat dan telah dipamerkan, kajian ini menunjukkan peratusan faktor sikap pelajar agak tinggi dengan nilai min sebanyak 3.68. Pelajar-pelajar yang ponteng adalah terdiri daripada mereka yang mempunyai sikap yang negatif terhadap sekolah dan pelajaran. Mereka tidak mempunyai motivasi untuk belajar kerana menganggap belajar itu tidak penting dan mereka lebih rela tidur daripada bangun awal pagi untuk ke sekolah atau mengulangkaji pelajaran. Dikalangan pelajar-pelajar ponteng ini masih tidak faham akan objektif mereka pergi ke sekolah. Mereka datang ke sekolah semata-mata untuk bersuka-suka dan menganggap tidak datang sekolah tidak akan merugikan mereka. Ini dapat dibuktikan dengan hasil dapatan daripada kajian ini menunjukkan nilai min sebanyak 3.78 yang menyatakan mereka tidak berminat untuk belajar. Jika keadaan ini berlarutan akan menjejaskan masa depan mereka untuk menjadi seorang insan yang berilmu pengetahuan serta berketrampilan. Berdasarkan dapatan daripada kajian ini jelas menunjukkan pelajar-pelajar pergi ke sekolah bukan sebagai menunaikan tanggungjawab tetapi hanya untuk memenuhi masa lapang mereka. Sekiranya pelajar masih meneruskan sikap yang sedemikian lambat laun akan merugikan mereka. Dalam hal ini ibu bapa serta guru hendaklah menyedarkan mereka tentang kepentingan pendidikan dalam menempuh cabaran hidup pada masa akan datang. Faktor rakan sebaya merupakan faktor yang mempengaruhi gejala ponteng sekolah di kalangan pelajar-pelajar. Sesuatu perbuatan yang baru bagi seseorang pelajar biasanya mempunyai kaitan dengan perbuatan kawan yang lain. Sekiranya seseorang pelajar tidak mengikut perlakuan kawan, pelajar tersebut akan berasa bimbang dan kemungkinan tidak
mendapat kawan yang ramai. Jadi menganggotai sesuatu kumpulan merupakan jalan untuk mencapai objektif pelajar tersebut. Menurut Mohd Amin (1998), pelajar yang ponteng adalah mereka yang mempunyai pendirian yang lemah. Lemahnya pendirian seseorang akan menyebabkan seseorang itu mudah dipengaruhi oleh orang lain. Pada usia yang sebegini, pelajar dalam proses ingin mencari identiti diri maka mereka senang mencuba sesuatu yang baru tanpa berfikir panjang. Positif dan negatif kelakuan seseorang pelajar banyak dipengaruhi oleh rakan sebaya. Oleh itu pemilihan rakan sebaya yang sesuai akan dapat meningkatkan prestasi pelajar dalam pelajaran. Ia juga penting bagi mempertingkatkan mutu pencapaian pelajaran. Jadi pelajarpelajar seharusnya bijak untuk mencari siapakah rakan-rakan yang sepatutnya dijadikan kawan sewaktu berada di sekolah kerana kawan yang baik akan sentiasa berada di sisi kita walau dalam apa pun keadaan. Sehubungan dengan itu juga perbuatan ponteng sekolah akan dapat dikurangkan. Dapatan kajian menunjukkan kebanyakkan responden datang daripada latar belakang keluarga yang bertaraf sosioekonomi yang sederhana iaitu pendapatan antara RM 1000 hingga RM 3000 iaitu seramai 60 responden. Kebanyakkan ibu bapa responden bekerja di kilang-kilang dan bekerja sebagai buruh kasar di Singapura. Dengan pendapatan yang tidak seberapa ini kemungkinan menyebabkan ibu bapa responden kurang memberi penekanan terhadap persekolahan anak-anak mereka. Mereka lebih mementingkan keperluan asas anak-anak seperti makanan, pakaian dan sebagainya. Kajian yang dilakukan oleh Mohamad Yunus (1977) menyatakan salah satu sebab berlakunya ponteng sekolah ialah ibu bapa tidak mampu membeli perkakasan sekolah seperti buku, alat tulis dan pakaian sekolah. Dapatan daripada analisis kajian ini mendapati pelajarpelajar tidak datang ke sekolah sebab ibu bapa menyuruh mereka menjaga adik-adik apabila mereka keluar bekerja. Pengkaji mendapati ramai ibu responden bekerja sambilan untuk membantu meringan beban keluarga. Jadi terpaksa anak-anak yang lebih dewasa membantu menjaga adik-adik dirumah. Selain itu daripada dapatan kajian ini juga menunjukkan pelajarpelajar tidak hadir ke sekolah kerana terpaksa membantu keluarga membuat kerja-kerja harian dirumah. Walaupun kewangan menjadi agenda utama pada era ini, ibu bapa harus juga memikirkan tentang kehidupan harian anak-anak sama ada dirumah atau pun di sekolah. Sungguhpun demikian ibu bapa perlu perlu memberi perhatian yang lebih kepada anak-anak yang kian meningkat remaja supaya mereka tidak terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang tidak sihat. Sekiranya perhatian yang lebih diberikan kepada anak-anak, kemungkinan besar perbuatan ponteng sekolah tidak berlaku. Kesan daripada ponteng sekolah ini boleh membawa kepada perbuatan yang lebih teruk. Hasil daripada dapatan kajian ini menunjukkan faktor guru mempunyai nilai min yang tertinggi iaitu sebanyak 3.71. Daripada dapatan kajian menunjukkan faktor guru merupakan faktor yang utama yang menyebabkan pelajar-pelajar terlibat dengan gejala ponteng sekolah. Dapatan kajian ini menunjukkan guru-guru suka mengeluarkan kata-kata yang kesat dan kasar semasa memarahi pelajar-pelajar. Ini akan menimbulkan kebencian pelajar terhadap guru seterusnya menyebabkan mereka tidak suka untuk datang ke sekolah. Ismail Darus (1981) yang menyatakan peraturan dan disiplin yang ketat boleh mengakibatkan berlakunya ponteng. Corak kawalan yang membenarkan hukuman fizikal boleh mengakibatkan pelajar tidak suka terhadap sekolah dan seterusnya mendorong pelajar melakukan salah laku ponteng sekolah.
Dapatan kajian ini juga menunjukkan pelajar-pelajar berasa diri mereka disisihkan oleh guru-guru apabila guru-guru mereka hanya memberi perhatian yang lebih kepada sebilangan pelajar sahaja. Guru seharusnya berusaha untuk mewujudkan hubungan yang baik dengan para pelajar tidak kira mereka pandai atau sebaliknya dan juga tidak mengamalkan sikap pilih kasih antara pelajar. Corak hubungan guru yang mesra dapat menghasilkan suasana persekolahn yang sihat. Menurut Matsumoto, S et al (1982), perhubungan individu yang lemah diantara guru dengan pelajar merupakan salah satu sebab yang menyebabkan pelajar ponteng sekolah. Daripada kenyataan-kenyataan diatas jelaslah menunjukkan peranan guru dalam menangani ponteng sekolah amat diperlukan. Guru merupakan model bagi pelajar-pelajar untuk meneruskan kerjaya mereka dimasa hadapan. Jadi guru-guru haruslah sentiasa menunjukkan teladan dan contoh yang baik kepada semua pelajar bagi meneruskan harapan negara untuk melahirkan insan yang cemerlang. Rujukan Azizah Salleh (1992). Konsep Kendiri Remaja Nakal Yang Melanggar Disiplin Sekolah Ditinjau Dari Aspek Ponteng Sekolah. Universiti Teknologi Malaysia: Tesis Ma.Ed Bakhtiar Mansor (1994). Ponteng, Satu Pendekatan Secara Kaunseling. Jurnal dalam Aminah Hj.Hashim Bimbingan dan Kaunseling di Malaysia Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. 165 176. Berita Harian, 2 April 2001, Kuala Lumpur: Malaysia. Clifford Marcussem (1978). Titik-Titik Fikiran Untuk Dimenung Dalam Dian. Januari. Dewan Bahasa dan Pustaka (1996). Kamus Dewan. Kuala Lumpur. Eh Ah Meng (1995). Pedagogi Satu Pendekatan Bersepadu (edisi 2). Kuala Lumpur: Fajar Bakti. Foziah Binti Ab.Rahman (1999). Masalah Ponteng Sekolah Mempengaruhi Keruntuhan Akhlak Pelajar: Satu Kajian Di Sekolah Men. Keb. Kuala Tembeling, Jerantut Pahang. Tesis Sarjana Muda Universiti Teknologi Malaysia: Tidak Diterbitkan. Galloway,D (1985). School And Persistent Absentees. Pergamon Press: Great Britian. Hamdan bin Mis (1999). Fenomena Ponteng Di Kalangan Pelajar Sekolah Menengah Teknik Alor Gajah. Tesis B,Ed. Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi Malaysia. Latihan Ilmiah yang tidak diterbitkan. Ismail Yusuf (1983). Disiplin Disekolah: Ponteng Sekolah, Laporan Persidangan Nasional Mengenali Kaum Remaja Di Malaysia. Universiti Malaya Jaafar Abdul Rahim (1977). Ponteng Sekolah: Ponteng Sekolah Tanggungjawab Semua Pihak. Dalam Ibrahim (1982). Isu Pendidikan Di Malaysia. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa Dan Pustaka. Jawatankuasa Khas Kementerian Pelajaran Malaysia(1982). Panduan Bagi Ibubapa Mengenai Disiplin Pelajar-pelajar Sekolah. ( 1982 ). Kuala Lumpur Kamus Dewan (1996). Edisi ke-3. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Kamaruddin Hj. Hussin (1997), Psikologi Bilik Darjah, Asas Pedagogi. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd. Mustaza Abu Amin (1994). Fenomena Ponteng Di Kalangan Pelajar Sekolah Menengah Di Bandar Yasin. Universiti Teknologi Malaysia: Tesis Sarjana Muda. Ooi Yeh Hwa (1992). Satu Kajian Mengenal Punca-Punca Ponteng Di Salah Sebuah Sekolah Menengah Vokasional Di Johor Bahru. Universiti Teknologi Malaysia : Tesis Sarjana Muda.
Omardin Ashaari (1996). Pengurusan Sekolah. Kuala Lumpur: Utusan Publications&Distributor Sdn. Bhd. Rafiah Ismail (1993). Masalah Disiplin pelajar dan penyelesaiannya. Kuala Lumpur: Utusan Melayu Press. Raven (1978). School Rejection And Its Ameliovatio. Educational Research Vol.20(5): 3 9. Robiah Sidin, Ahmad Nadri Mat Daud (1993), Disiplin Dan Pengajaran: Satu Kajian Awal Dalam Disiplin Dan Pendidikan, Kuala Lumpur: Nurin Enterprise. Ruhiyati Idayu (1978). Ponteng Dan Permasalahannya. Dalam Ibrahim Saad (1982), Isu Pendidikan Di Malaysia. Kementerian Pendidikan Malaysia. Kuala Lumpur. Shairi Harun (1999), Masalah Ponteng Dikalangan Pelajar Orang Asli Di 3 Buah Sekolah Menengah Daerah Kecil Tapah.: Tesis Sarjana Muda Utusan Malaysia, 15 Oktober 2004: Kuala Lumpur, Malaysia Wan Ahmad Nasir ( 1985 ). Pentadbiran Dan Pengurusan Sekolah Ke Arah Peningkatan Disiplin Sekolah. Jurnal Kementerian Pendidikan Malaysia. Jld.29 (66). Wan Mohd Nor Wan Daud (1989). Budaya Ilmu. Kuala Lumpur: Nurin Enterprise. Yaakub Hj. Yusof (1977), Perbandingan Mengenai Nilai-Nilai Diantara Ibubapa Murid-Murid Yang Ponteng Dan Tidak Ponteng. Kuala Lumpur: Universiti Malaya. Tidak diterbitkan.