Dakwah Kepada Muallaf Orang Asli: Tanggungjawab Dan Peranan PERKIM Pahang

Download as pdf or txt
Download as pdf or txt
You are on page 1of 14

1

DAKWAH KEPADA MUALLAF ORANG ASLI: TANGGUNGJAWAB DAN PERANAN PERKIM PAHANG Oleh; Razaleigh Muhamat @ Kawangit Abstrak Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti pendekatan dakwah Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia Bahagian Pahang terhadap masyarakat Orang Asli di Negeri Pahang. Dua metod utama digunakan dalam kajian ini iaitu kajian kepustakaan dan kajian lapangan. Sementara metod deduksi dan induksi digunakan khusus untuk menganalisis data. Kajian ini mendapati, pendekatan dakwah yang dilakukan oleh Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia Bahagian Pahang terhadap masyarakat Orang Asli adalah dakwah melalui pendidikan dan kebajikan. Kata Kunci: Dakwah, Pendidikan, Kebajikan, PERKIM, Pahang 1. PENDAHULUAN Usaha dakwah kepada masyarakat Orang Asli di Negeri Pahang telah disumbangkan oleh pelbagai organisasi dakwah sama ada di kalangan organisasi dakwah kerajaan atau bukan kerajaan. Salah satu pertubuhan dakwah bukan kerajaan yang bergerak cergas melakukan pelbagai aktiviti dakwah kepada masyarakat Orang Asli khususnya di Negeri Pahang ialah Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM). Penulisan ini bertujuan untuk mengenal pasti pendekatan dakwah yang telah dilakukan oleh PERKIM Bahagian Pahang terhadap masyarakat Orang Asli. 2. PENDEKATAN DAKWAH MELALUI PENDIDIKAN DAN KEBAJIKAN Pendekatan dakwah melalui pendidikan dan kebajikan merupakan sebahagian daripada aspek yang memberikan kejayaan dakwah Rasulullah. Perbincangan mengenai kedua-dua pendekatan dakwah ini adalah seperti berikut: a) Pendidikan Dari sudut istilah pendidikan berasal daripada perkataan didik yang membawa maksud jaga, pelihara, ajar. Apabila perkataan didik ditambah dengan imbuhan per dan an, ianya memberi maksud dengan perihal mendidik (Kamus Dewan 2007:350). Di dalam kamus bahasa Inggeris, pendidikan disebut education yang membawa maksud proses latihan dalam membangunkan pengetahuan, kemahiran, minda dan karekter individu (Websters New Twentieth Century Dictionary 1972:576). Perkara yang sama disebut dalam Kamus Oxford Fajar (2000:2158), bahawa pendidikan melibatkan perihal melatih dan mengajar ilmu pengetahuan. Di dalam bahasa Arab disebut tadib, taclim dan tarbiyyah yang menunjukkan aspek pendidikan yang lebih holistik. Daripada maksud tersebut, dapat dinyatakan bahawa pendidikan adalah proses untuk membangunkan aspek intelektual, emosi dan rohani manusia dengan ilmu pengetahuan ke arah matlamat ketaqwaan kepada Allah. Proses ini melibatkan pembangunan ilmu pengetahuan yang berpandukan al-Quran dan Sunnah. Prof. Syed Naquib Al-Attas menyatakan, pendidikan dalam Islam di dasari dengan konsep agama (Al-din), konsep

manusia (insan), konsep ilmu (cilm dan macrifah), konsep kebijaksanaan (hikmah), konsep keadilan (cadil), konsep amal (camal sebagai adab) dan konsep universiti (kuliyyah-jamicah). Nyata sekali dengan pemahaman tentang tuntutan agama dan kaitannya dengan tanggungjawab amalan insan yang di dasarkan kepada konsep ilmu dan kebijaksanaan akan mencetuskan insan dan masyarakat yang adil (Mohd Yusof Othman 1997:x) . Menerusi tuntutan agama dan tanggungjawab amalan insan, pendidikan turut membawa hala tuju manusia ke arah fitrah insani. Dalam hal ini, Mohd Kamal Hasan menyatakan bahawa matlamat pendidikan dalam Islam adalah tidak terkeluar daripada tujuan asal manusia dijadikan di muka bumi ini, iaitu sebagai khalifah Allah yang bermatlamat untuk mendapatkan hasanah fi al-dunya dan hasanah fi al-khirah. Maknanya kerja mendidik insan adalah suatu usaha untuk menghasilkan insan yang boleh mendatangkan kebaikan di dunia dan di akhirat nanti (Mohd Yusoff Othman 1997:ix). Termasuklah dalam membangunkan seorang Muslim yang baik dari pemikiran dan budinya dalam melaksanakan komitmen amanah keinsanan yang telah ditaklifkan (Sajjad Hussain 1979:37) Bagi melahirkan manusia yang Muslim, pendidikan merupakan kunci ke arah melakukan amal soleh yang baik. Hal ini kerana melakukan amal soleh dengan mahirlah yang menjadi asas kepada penciptaan manusia. Amal soleh juga yang menjadi kayu ukur dalam menentukan kejayaan hidup di dunia dan di akhirat (Muhamood Zuhdi Ab Majid 2003:42). Firman Allah yang bermaksud: Dia (Allah) yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu siapa di antara kamu yang lebih baik amalnnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun. (Surah al-Mulk 67:2) Sidek Baba (2003:16) menyebutkan, pendidikan dihubungkan dengan penitipan penerapan adab manusia atau berlakunya proses taadib. Adab bukan sahaja merujuk kepada ketertiban manusia mengatur kehidupan rohaniah dan jasmaniah tetapi juga pemupukan nilainilai kebaikan (quality of gooness) terhadap diri insan. Hal ini amat jelas diungkapkan oleh Rasulullah s.a.w apabila menghubungkan addaba dan taadib mengharapkan pendidikan terbaik. Addaba merujuk kepada matlamat pendidikan iaitu membentuk insan beradab sementara taadib suatu proses pembentukkan insan yang menumpu kepada pembangunan diri atau hati. Imam al-Ghazli menyebutkan adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah dan bukan untuk memperoleh kedudukan, bermegah-megah dan berlumba-lumba. Sebagai seorang tasawuf, al-Ghazli menekankan pendidikan yang paling utama ialah untuk membuang segala kejahilan diri sehingga individu tersebut dapat mengenal Pencipta dan matlamat ilmu yang sebenarnya yang membolehkan individu itu dapat bertaqarrub kepada Allah. Jika tujuan pendidikan selain bertaqarrub kepada Allah adalah bukan objektif utama. Begitu juga dengan Ibnu Khaldun yang mempergunakan keilmuan Islam sebagai tujuan pendidikan dalam Islam iaitu (Ghazali Darusalam (2001:34): a) Tujuan keagamaan. Pendidikan mesti membawa individu mengenal TuhanNya, dapat beramal untuk akhirat dan dapat menunaikan hak-hak Allah yang menjadi kewajipan kepadanya. b) Tujuan keilmuan iaitu membawa seseorang kepada kemahiran yang membolehkan individu menghadapi kehidupan dunianya.

Pembangunan individu Muslim yang diasaskan melalui pendidikan keagamaan untuk ketaqwaan dan keilmuan untuk membangunkan potensi diri manusia, dapat menjaga kepentingan di dunia dan di akhirat. Dengan ilmu pengetahuan manusia dapat mengerjakan amalan yang diperintah Allah. Dalam hal ini, Mustafa Mashyur (2005:453) menjelaskan amalan yang tidak di dorongi ilmu akan memberikan destruktif kepada agama dan sistem sosial.Semakin tinggi amalan (tindakan) manusia di dunia semakin tinggi keimanannya terhadap Allah. Ini kerana keimanan kepada Allah adalah berdasarkan kepada amalan seseorang Muslim itu sendiri. Perkara yang demikian, telah diberikan keutamaan dalam dakwah Rasulullah iaitu pembangunan manusia dalam kerangka tauhid melalui pendekatan pendidikan. Apabila Nabi Muhammad diutuskan, baginda memberikan perhatian yang serius dalam pembentukan akidah sahihah. Konsep akidah sahihah ini adalah sangat penting kerana ia dapat mengubah sifat manusia dari semua bangsa kepada manusia Islam yang digelar muslim dan mukmin sebenar yang menjadikan ketauhidan sebagai tunjang dalam setiap aspek kehidupan mereka. Islam telah mendidik dan membentuk mereka daripada penyembahan terhadap sesuatu yang bersifat kebendaan kepada peribadatan dan penyembahan kepada Tuhan yang Maha Esa. Mereka tidak lagi memikirkan manfaat yang datang dengan segera, tidak lagi berasa puas untuk menyembah matahari hanya kerana sinar dan panasnya apatah lagi batu yang dipahat dengan tangan dan tenaga mereka sendiri untuk dianggap sebagai tuhan yang layak dipuja (Ahmad Shalaby 1957:21-23). Dalam konteks ini, Rasulullah s.a.w telah memberi pengajaran, pembelajaran dan pentarbiyyahan untuk membina manusia yang beriman kepada Allah. Menurut A.Hasjmy (1974:230) dalam pendekatan dakwah perubahan positif manusia kepada ketauhidan adalah berdasarkan pengajaran dan pendidikan (taclim dan tarbiyyah) sebagaimana dituntut dalam surah al-cAlaq. Ianya ditegaskan bagi membasmi buta ilmu yang boleh membuka minda dan hati manusia kepada keEsaan Allah. Pembangunan aqidah manusia haruslah dipandu dengan ilmu melalui pendidikan. Pendekatan taclim adalah pelajaran yang bersandar kepada pengetahuan dan penyelidikan, manakala tarbiyyah pendidikan manusia agar dengan pengetahuan dan penyelidikan yang telah diajarkan menjadi sedar akan hakikat akidah dan syariah (A.Hasjmy 1974:231). Perbezaan ini dapat dilihat bahawa taclim berinteraksi dengan rasional dan pemikiran, dan tarbiyyah berinteraksi dengan jiwa dan rohani manusia (Mustafa Mashyur 2005:617). Kesan pendekatan Rasulullah s.a.w dalam pendidikan telah membentuk manusia yang berkualiti seperti Abu Bakar al-Siddiq r.a, cUmar al-Khattab r.a, Saidina cAli, cAbd Rahman al-cAuf dan lain-lain. Dalam proses ini, Rasulullah s.a.w telah membentuk institusi pendidikan Islam di awal perkembangan dakwah. Di antara institusi pendidikan yang diwujudkan oleh Rasulullah s.a.w ialah (Nur Karelawati 2002:25-28): i. Rumah Al-Arqam

Peringkat awal dakwah Rasulullah s.a.w di Makkah adalah secara rahsia selepas diperintahkan oleh Allah untuk menyampaikan risalah Islam. Rasulullah s.a.w tidak menyampaikan dakwah secara terang-terangan kerana dikhuatiri dengan tindakan buruk daripada masyarakat jahiliyyah. Pada masa itu, dakwah Rasulullah telah di

sampaikan dan diterima oleh hubungan kerabatnya yang terdekat atau kenalan baiknya. Mereka telah bertemu Nabi Muhammad s.a.w secara rahsia untuk mengetahui tentang akidah dan ibadah Islam. Ketika pemelukan kepada agama Islam bertambah kepada tiga puluh orang, Nabi Muhammad s.a.w telah memilih rumah salah seorang sahabatnya, al-Arqam bin Abi Arqam sebagai tempat pertama mengadakan pertemuan dan pengajaran mengenai Islam (al-Buty 2000:66). ii. Rumah Rasulullah Rumah Nabi Muhammad s.a.w merupakan markas tarbiah sepanjang period sebelum hijrah ke Madinah. Rumah baginda menjadi pusat latihan dan pengkaderan yang efektif sehingga melahirkan mujahid dakwah yang amat komited serta mampu menyambung perjuangan baginda selepas kewafatannya. Dari institusi pengajian inilah muncul kaum muhajirin dan ansar yang menjadi saudara di Madinah. Di sana juga lahirnya tokoh kepimpinan Islam Khulafa al-Rashidin yang menjadi role model kepada masyarkat Islam sehingga hari ini. iii. Rumah Sahabat Semasa Rasulullah s.a.w menjadi tetamu, menerima tetamu atau menziarahi sahabatnya, baginda akan menyampaikan raisalah Islam. Misalnya dalam peristiwa baginda di datangi oleh tetamu dari kabilah Qais yang tinggal di Madinah. Dalam hal ini, Abdullah al-Ashajj sengaja ditumpangkan di rumah Rasulullah dan pengikutnya ditumpangkan di rumah sahabat baginda. Sepanjang menumpang di rumah Rasulullah, Abdullah sentiasa bersamanya untuk bertanya tentang Islam, sementara pengikutnya belajar di rumah para sahabat. iv. al-Suffah Selepas berhijrah ke Madinah, perkara utama yang yang dilakukan oleh Rasulullah ialah membina masjid. Masjid di dirikan untuk pertemuan, pengajian dan pentadbiran Madinah pada masa itu (al-Buti 2002:169). Pusat pengajian di masjid dibimbing secara langsung oleh Rasulullah yang dikenali al-Suffah. Al-Suffah dibangunkan untuk menjadi pusat dakwah di Madinah. Berbanding institusi pengajian Islam di Makkah, al-Suffah lebih tersusun dengan mempunyai sistem pentadbiran dan pengurusan yang teratur. Di antara mereka yang yang menjadi pembantu Rasulullah ialah Abdullah Ibn Said, Ubaidah Ibn Samit, Ubaidah Ibn Kaab dan lain-lain. Menurut Ahmad Ibn Hanbal, terdapat juga di kalangan pendidiknya merupakan tawanan perang Badar. v. Dar al-Qura

Dar al-Qura adalah kediaman Malik Ibn Nawfal yang telah dijadikan tempat berkumpul sahabat untuk membaca dan menghafaz al-Quran yang telah diturunkan kepada Nabi Muhammad.

vi. Kutub Institusi ini merupakan tempat pengajian kanak-kanak Islam yang memerlukan tarbiyyah, terutamanya bagi menggalakan mereka mempelajari al-Quran. Abdullah Ibn Mascud menyatakan beliau bersama Zaid Thabit pernah belajar al-Quran secara talaqqi berhadapan Rasulullah s.a.w di Kutub sewaktu kecil. Oleh itu, dapat dinyatakan bahawa pendekatan dakwah melalui pendidikan sangat penting dalam membina akidah Islam terhadap sasaran. Melalui pendidikan yang di dasar kepada al-Quran dan al-Sunnah, ianya dapat memberi keyakinan terhadap Allah. Hal ini juga ditunjukkan dalam sirah Rasulullah s.a.w yang telah memberikan perhatian serius pangajaran dan pentarbiyyah para sahabatnya sehingga mendapat kesan positif terhadap individu, keluarga, masyarakat dan negara. Begitu juga dalam konteks hari ini, pendidikan dirujuk kepada bentuk secara formal dan tidak formal. b) Kebajikan Kamus Dewan (2007:110) mendefinisikan kebajikan dengan sesuatu yang membawa kebaikan. Dalam bahasa Inggeris kebajikan disebut welfare (Oxford Fajar 2000:2155) yang memberi maksud kebajikan dengan melakukan kebaikan untuk kesejahteraan (Websters New Twentieth Century Dictionary 1972:2077). Oleh itu, dapat difahami bahawa kebajikan adalah tindakan yang memberi kepada kemanfaatan untuk individu, keluarga, masyarakat dan negara. Dalam hal Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) (Surah al-Maidah 5:2) Dalam konteks kepimpinan Islam, aspek kebajikan amat dititikberatkan kerana ianya melibatkan soal tanggungjawab dan amanah yang akan dipersoalkan oleh Allah di hari kiamat. Justeru kepimpinan Rasulullah s.a.w menjadi model penting untuk kepimpinan dari sudut dakwah, ketenteraan, kenegaraan dan sebagainya. Di antara pendekatan dakwah kebajikan yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w: i. Setelah orang kafir Quraish gagal membunuh Nabi Muhammad, mereka telah merancang untuk mengepung orang Islam dengan tidak dibenarkan sebarang urusan ekonomi. Rasulullah s.a.w bersama kaum Muslimin telah menghadapi keadaan ini selama tiga tahun. Mereka menghadapi masalah kekurangan makanan setelah Abu Jahal menyeru peniaga menaikkan harga yang tinggi kepada pengikut Muhammad. ii. Semasa hijrah ke Madinah, Rasulullah s.a.w berhenti di sebidang tanah milik dua anak yatim dari kaum Ansar. Sebelum kedatangan Rasulullah s.a.w, tempat itu telah di jadikan musalla. Kemudian Rasulullah s.a.w memerintahkan untuk dibina masjid. Dalam hal ini, dua anak yatim tersebut menyatakan untuk menghibbahkan tanah tersebut untuk masjid. Namun Rasulullah menolak dan membayar sepuluh dinar kepadanya. iii. Rasulullah s.a.w sentiasa mengutamakan kepentingan agama. Dalam hal ini, Nabi Muhammad s.a.w sebagai seorang pemimpin agama, negara dan ketua peperangan tidak pernah mengambil kepentingan harta. Hatta, harta peninggalan tidak boleh

diwarisi oleh isteri anaknya. Segala usaha yang dilakukan hanya untuk keselamatan agama umatnya di dunia dan di akhirat. Bukahri meriwayatkan, selepas daripada peperangan, Rasulullah s.a.w menyatakan sekiranya kalian mempunyai harta sejumlah pohon di di Tihamah, nescaya akan aku bahagikan kepada kalian, kemudian kalian tidak akan mendapatiku bakhil, pendusta dan pengecut. Wahai manusia, demi Allah, aku tidak punyai hak dari harta rampasan kecuali seperlima dan itupun dikembalikan kepada kalian. iv. Nabi Muhammad s.a.w turut sama menggali parit untuk benteng dalam peperangan khandaq. Imam Bukhari meriwayatkan; ketika kami sedang sibuk menggali parit, kami menemukan batu besar yang sukar untuk dipecahkan. Para sahabat memberitahu kepada Nabi Muhammad s.a.w. Maka Nabi s.a.w turun untuk bersama menggali parit. Dalam masa yang sama, para sahabat melihat Nabi mengikat perut dengan batu, setelah tiga hari tidak mengambil makanan. v. Semasa perang Khandaq, mementingkan kebajikan para sahabatnya yang turun menggali parit tanpa mengambil makanan selama tiga hari. Terdapat salah seorang sahabat yang simpati dengan Rasulullah s.a.w dengan keadaan demikian. Lalu menjemput Nabi ke rumahnya untuk dijamu makanan. Akan tetapi, Nabi mengajak semua sahabatnya yang bersama-sama menggali parit untuk menjamu makanan di rumah sahabat yang bernama Jabir r.a. vi. Nabi Muhammad s.a.w telah memberikan seratus ekor unta kepada mereka yang memeluk Islam semasa perang Hunain. Begitu juga, rasulullah s.a.w telah memberikan harta rampasan (ghanimah) perang Hunain kepada penduduk Makkah yang baru memluk Islam. vii. Di institusi pengajian al-suffah, para sahabat diberikan pengajian secara percuma. Demi menjamin keperluan hidup mereka, Rasulullah telah menyuruh para sahabat untuk menjamin mereka. Malah Nabi Muhammad s.a.w turut menjamin sepuluh orang sahabatnya. Berdasarkan perbincangan di atas, dakwah melalui kebajikan adalah salah satu pendekatan yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. Demikian juga, aspek kebajikan ini diteruskan oleh para sahabatnya dalam pemerintahan khulafa, demi menjaga kemaslahatan dan kesejahteraan agama Islam. 3. LATAR BELAKANG PERKIM BAHAGIAN PAHANG PERKIM telah ditubuhkan pada 19 Ogos 1960 oleh Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putera al-Haj selaku Perdana Menteri Malaysia yang pertama ketika itu dan beliaulah merupakan Yang Dipertua PERKIM yang pertama (PERKIM t.th: 2). Ketika ini PERKIM diterajui oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad. Lantaran kegiatannya merebak ke seluruh negeri, banyak cawangan-cawangannya telah ditubuhkan. Cawangan pertama PERKIM yang ditubuhkan ialah cawangan Selangor yang kemudiannya disusuli cawangan Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Perak, Kelantan dan terakhir sekali Terengganu (PERKIM t.th: 17).

Bagi PERKIM Bahagian Pahang, ia telah ditubuhkan pada tahun 1972 dan beroperasi di Tingkat 3, Jalan Gambut, Kuantan (PERKIM Bahagian Pahang 2002: 5). Orang yang bertanggungjawab menubuhkan PERKIM Pahang ialah Dato Haji Abdul Aziz b. Ahmad dan beliau merupakan pengerusi yang pertama bagi pertubuhan tersebut (PERKIM Bahagian Pahang 1992: 6). Ketika ini, PERKIM bahagian Pahang diterajui oleh Dato Haji Abdul Rashid b. Haji Abdul Rahman sebagai Pengerusi dan Tuan Haji Zainal Abidin Haji Abu Bakar sebagai Setiausaha (PERKIM Bahagian Pahang 2003: 14). Terdapat 11 cawangan PERKIM di seluruh Negeri Pahang iaitu PERKIM Cawangan Daerah Kuantan, Pekan, Maran, Temerloh, Lipis, Cameron Highlands, Wanita PERKIM Bahagian Negeri Pahang, Cawangan Daerah Kuantan, Pekan, Bentong dan Jerantut (PERKIM Bahagian Pahang 2004: T.h). Sebagai sebuah pertubuhan dakwah, PERKIM telah menggariskan lima matlamat utama penubuhannya seperti berikut (PERKIM 1983: 21): a. Dakwah: Menjalankan dakwah Islamiah kepada orang-orang Islam dan bukan Islam dengan cara positif dan berkesan. b. Pelajaran: Memberi, mengada, mengurus dan menjalankan pelajaran dan pendidikan Islam menerusi segala media dan dengan cara yang sah di sisi undang-undang. c. Kebajikan: Menjalankan semua kerja-kerja kebajikan termasuk memberi bantuan, derma, biasiswa atau dermasiswa kepada mereka yang berkelayakan serta menjalankan kerja-kerja amal jariah kepada golongan yang sakit, susah, miskin serta kepada Saudara-saudara Baru. d. Kerjasama dalam bidang agama Islam: Menubuhkan perantaraan dan kerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan dan badan-badan Islam lain demi kemajuan agama Islam. e. Lain-lain: Menjalankan lain-lain kegiatan demi kepentingan dan kemajuan agama Islam. Melalui matlamat yang dirancang di atas, didapati bahawa matlamat pertama menunjukkan PERKIM bukan sahaja sebuah pertubuhan yang melakukan dakwah kepada orang Islam tetapi penumpuan juga turut diberikan kepada mereka yang bukan Islam. Keberkesanan amat dititikberatkan dalam hal di atas. Menerusi matlamat yang kedua, penumpuan diberikan kepada mereka yang telah menganut ajaran Islam supaya mempelajari, memahami dan mendalami melalui saluran pendidikan Islam dengan menggunakan segala media yang ada. Manakala menerusi matlamatnya yang ketiga, penumpuan diberikan kepada hal-hal kebajikan dalam bentuk bantuan kewangan serta membantu golongan-golongan kurang upaya dan miskin termasuklah kepada Saudara Baru. Sementara dalam matlamatnya yang keempat, memperlihatkan terserlahnya kerjasama yang ingin dihulurkan kepada organisasi yang lain demi tersebar dan berkembangnya agama Islam. Sementara itu dalam matlamatnya yang terakhir, memperlihatkan bahawa bukan sahaja penumpuan kepada perkara-perkara dakwah, pendidikan, kebajikan serta kerjasama, malah PERKIM juga bersedia menjalankan kegiatan selain daripada itu asalkan ianya membawa kepada kemajuan agama Islam. Daripada matlamat yang pertama, kedua, ketiga dan kelima ianya boleh disatukan dalam satu matlamat yang khususnya iaitu tidak lain dan tidak bukan kewujudan PERKIM adalah untuk melakukan aktiviti dakwah kepada masyarakat sama ada yang telah Islam mahupun yang bukan Islam. Penumpuan tersebut diberikan melalui pendidikan dan kebajikan. Manakala matlamat yang keempat memperlihatkan kesediaan pertubuhan ini untuk bekerjasama dengan agensi lain demi untuk menyebarkan agama Islam.

Berdasarkan perbincangan di atas, dapat difahami bahawa PERKIM merupakan sebuah organisasi dakwah yang telah melaksanakan aktiviti dakwah yang antara lainnya melalui dua pendekatan iaitu melalui saluran pendidikan dan kebajikan sama ada sebelum sasaran memeluk Islam mahupun selepas sasaran menerima Islam. 4. PENDEKATAN DAKWAH PERKIM BAHAGIAN PAHANG TERHADAP MUALLAF ORANG ASLI Sebagaimana dijelaskan di atas, terdapat dua pendekatan dakwah yang telah dilaksanakan oleh PERKIM Bahagian Pahang terhadap masyarakat Orang Asli di Negeri Pahang iaitu pendekatan dakwah melalui pendidikan dan kebajikan. a. Dakwah melalui pendidikan Pendekatan dakwah melalui pendidkan dapat dibahagikan kepada dua pecahan iaitu dakwah melalui aktiviti pendidikan secara formal dan secara tidak formal yang dapat dijelaskan seperti berikut: i. Dakwah Melalui Aktiviti Pendidikan Secara Formal Pendekatan melalui pendidikan secara formal dilakukan selepas sasaran memeluk Islam. Dalam hal ini, pendidikan kepada Muallaf Orang Asli telah diperluaskan dengan mengadakan beberapa program dakwah seperti ceramah agama1, latihan amali mengenai ibadat. Melalui kerjasama PERKIM bahagian dan cawangan serta JKOA, program tersebut telah diadakan di perkampungan Orang Asli seperti di Kg. Telok Gunung, Sg. Tementong, Sg. Padi dan Pantos di Lipis, Sg. Bangkong, Sg. Tiang dan Sg. Kucing di Jerantut, Sg. Mas, Sg. Lembing dan Buluh Nipis di Muadzam Shah dan di Pos Penderas, Temerloh (PERKIM Bahagian Pahang 1997: 19) serta Kg. Hulu Pareh dan Gapoi di Bentong (PERKIM Bahagian Pahang 1996: 2526). Selain daripada itu, pendidikan Islam turut diberikan penekanan oleh PERKIM Bahagian Pahang dengan mengadakan kelas fardu ain dan kursus-kursus dakwah. Kelas fardhu ain pernah diadakan seperti di kampung Orang Asli Sg. Gapoi, Bentong (PERKIM Bahagian Pahang 1998: 20). Manakala kursus dakwah pula pernah diadakan di Sg. Temetong, Kuala Lipis (PERKIM Bahagian Pahang 1996: 32) dan di Pos Penderas, Temerloh (PERKIM Bahagian Pahang 2000: 17). Bagi mengukuhkan amalan solat Muallaf masyarakat Orang Asli, program solat berjemaah telah diadakan di perkampungan tertentu pada tiap-tiap malam jumaat bersama penduduk kampung (PERKIM Bahagian Pahang 1998: 40). Di samping pendidikan di atas, Muallaf Orang Asli juga didedahkan dengan pendidikan yang lain seperti mendidik mereka untuk memasak dan membina kemahiran dengan mengadakan kelas masakan dan kraftangan sepertimana yang diadakan kepada Saudara Baru di Sg. Ruil, Cameron Highlands (PERKIM Bahagian Pahang 1998: 40).
1

Terdapat pelbagai ceramah agama yang diadakan khusus ketika menyambut hari-hari kebesaran dalam Islam seperti Israk Mikraj dan Maulidur Rasul oleh PERKIM kepada Saudara Baru. Lihat PERKIM Bahagian Pahang 2001: T.h.

ii. Dakwah Melalui Pendidikan Secara Tidak Formal Sebelum masyarakat Orang Asli memeluk agama Islam, PERKIM mengadakan program ziarah ke perkampungan mereka. Semasa berziarah pendakwah PERKIM banyak menggunakan lojik akal dalam setiap pertemuan dengan mereka supaya mereka dapat berfikir mengenai kebenaran agama Islam. Pendekatan ini pernah digunakan di Pos Sinderot dan Lenjang di daerah Lipis (PERKIM Bahagian Pahang (1998: 20). Menurut En. Ahmadi b. Abdullah yang berkhidmat sebagai pendakwah PERKIM, dengan menggunakan kaedah tersebut, pendakwah telah mendidik sasaran supaya menggunakan akal mereka untuk membuat perbandingan antara Islam dengan agama yang lain terutama dari aspek ketuhanan. Contohnya betapa tidak logiknya tuhan itu banyak kerana sudah tentu akan menimbulkan pergaduhan dalam mentadbir alam sebagaimana banyaknya raja dalam mentadbir sesebuah negara dan betapa tidak logiknya manusia menyembah objek beku yang tidak boleh memberi apa-apa rezeki atau manfaat serta bersifat kaku sebagaimana yang terdapat dalam agama-agama lain (Ahmad Ahmadi b. Abdullah 2004). Selepas masyarakat Orang Asli memeluk Islam, pihak PERKIM Pahang turut menekankan aktiviti pendidikan yang bersifat tidak formal. Antaranya, bagi menunjukkan komitmen untuk memajukan pendidikan Muallaf Orang Asli, PERKIM Bahagian Pahang telah mewujudkan Kampung Bimbingan. Antara kampung yang terpilih ialah Kg. Sg. Mas, di Kuantan, Kg. Ulong, di Cameron Hinglands, Kg. Gadak dan Kg. Bukit Serdang di Rompin dan Kg. Temetong di Lipis. Di kampung tersebut akan ditempatkan seorang guru agama untuk mengajar penduduk kampung dengan dipantau oleh pegawai dakwah PERKIM (Berita Harian 1989: 17). b) Dakwah Melalui Aktiviti Kebajikan Pendekatan dakwah yang dilakukan oleh PERKIM Pahang dalam aktiviti kebajikan dapat dilihat kepada dua aspek iaitu kebajikan sosial dan ekonomi: i. Sosial Sebagai sebuah organisasi yang prihatin terhadap pembangunan sosio kehidupan masyarakat Orang Asli, PERKIM Bahagian Pahang membuat bancian penduduk, kemudahan asas, pertanian dan ternakan bagi sesebuah kampung yang dilawatinya. Cara ini adalah lebih berkesan kerana dapat mengetahui secara langsung setiap permasalahan yang timbul di kalangan mereka. Dengan kaedah ini, setiap masalah yang mereka hadapi seperti memerlukan bekalan elektrik, keperluan peralatan pertanian dan bekalan air akan diketahui. Selanjutnya, pihak PERKIM Bahagian Pahang akan memaklumkan kepada pihak-pihak tertentu agar setiap masalah yang mereka hadapi dapat diselesaikan (PERKIM Bahagian Pahang 1996: 22). Sempena dengan lawatan juga pernah diadakan aktiviti ibadah korban, sepertimana yang diadakan di Pusat Latihan Orang Asli Paya Bungor, Kuantan (PERKIM Bahagian Pahang 1998: 17). Bagi menjaminnya keberlangsungan dakwah dalam bentuk kebajikan kepada Muallaf Orang Asli, PERKIM Bahagian Pahang telah menubuhkan jawatankuasa di perkampungan yang tertentu yang dikenali sebagai Jawatankuasa Muhibbah. Ia merupakan suatu pendekatan baru untuk menyampaikan dakwah. Jawatankuasa Muhibbah ini ditubuhkan di kampung-

10

kampung Orang Asli yang berjiran dengan kampung orang Melayu. Tujuannya supaya dakwah dapat disampaikan secara tidak langsung melalui projek-projek kebajikan dan wujudnya persefahaman antara masyarakat Orang Asli dengan orang Melayu. Antara kampung yang telah diwujudkan jawatankuasa tersebut iaitu Kg. Pantos, Teluk Gunung, Harung, Sg. Temetong dan Beletik di Lipis, Kg. Sg. Bangkong dan Sg. Berjuang di Jerantut dan Sg. Mas di Kuantan (PERKIM Bahagian Pahang 1997: 20). Untuk menunjukkan Islam sebagai agama yang mementingkan tolong menolong dan sebagai agama nasihat, aktiviti gotong royong membersihkan kawasan dan kelas motivasi kepada anak-anak Orang Asli turut diadakan di perkampungan Orang Asli seperti di Kampung Sg. Berjuang dan Sg. Bangkong, Jerantut (PERKIM Bahagian Pahang 1996: 32). Malah, di Sg. Temetong, Lipis, PERKIM pernah mengadakan gotong royong membersihkan tanah perkuburan (PERKIM 1996: 11). Di samping mengadakan gotong royong membersihkan kawasan, PERKIM turut mengadakan gotong royong bagi menjayakan majlis perkahwinan Saudara Baru sepertimana diadakan di Kg. Gabong, Sg. Gapoi (PERKIM Bahagian Pahang 1998: 35), Kg. Sg. Penjuring dan Hulu Pareh, di Bentong (PERKIM Bahagian Pahang 2000: 23). Selain daripada itu, bagi meraikan mereka yang telah memeluk agama Islam, PERKIM Bahagian Pahang telah mengadakan majlis berkhatan. Majlis tersebut pernah diadakan di Kampung Sg. Mas, Kuantan, di mana seramai 23 orang telah terlibat dalam program ini (PERKIM Bahagian Pahang 1998: 28). Bagi mengeratkan silaturrahim dan mewujudkan kemesraan dengan masyarakat Orang Asli, lawatan muhibbah ke perkampungan telah dilakukan seperti ke Kg. Sg. Gapoi dan Gabong bagi meninjau masalah Saudara Baru serta perkara yang berkaitan dengan kebajikan, di samping mengadakan majlis berbuka puasa (PERKIM Bahagian Pahang 1998:35). Di samping itu, PERKIM Bahagian Pahang juga turut menganjurkan hari keluarga. Antara aktiviti kebajikan yang diadakan sempena dengan hari tersebut ialah gotong royong dan sukan rakyat sepertimana yang diadakan di Sg. Mas, Kuantan (PERKIM Bahagian Pahang 1996: 22). ii. Ekonomi Pendekatan dakwah melalui ekonomi juga dapat dilihat dengan sumbangan kewangan sebanyak RM 400.00 telah diberikan kepada penduduk kampung untuk tujuan majlis berbuka puasa, umpamanya bantuan yang diberikan kepada penduduk Kg. Pantos, Harong dan Sg. Padi, Lipis. Walaupun demikian, bantuan kewangan ini hanya diberikan di sesetengah tempat dalam masyarakat Orang Asli (PERKIM Bahagian Pahang 1998: 43). Selain itu, sebelum menjelang hari raya aidilfitri, pihak PERKIM juga turut memberi sumbangan kepada setiap keluarga muslim di sesebuah perkampungan supaya mereka turut merasai suasana berhari raya, contohnya bantuan kepada penduduk kampung Bt. 55, Maran (Ibid. :37) dan Sg. Mas, Kuantan (PERKIM Bahagian Pahang 1997: 31). Di samping itu, sambutan majlis jamuan hari raya turut diadakan seperti di Kg. Sg. Padi dan Sg. Temetong di Lipis (PERKIM Bahagian Pahang 2001: t.h).

11

Selain daripada itu, bantuan lain turut dihulurkan oleh PERKIM Bahagian Pahang seperti bantuan kepada Tabung Keluarga Tua Islam seperti kepada Orang Asli di Pusat Latihan Orang Asli Paya Bungor, menyampaikan zakat seperti di Kg. Harong, Pantos dan Sg. Padi, Lipis (PERKIM Bahagian Pahang 1997: 45). Di samping itu, bantuan pakaian terpakai dan pemberian makanan turut dihulurkan kepada masyarakat Orang Asli sepertimana bantuan kepada penduduk Kg. Sg. Temetong, Lipis (PERKIM Bahagian Pahang 1996: 32). Berdasarkan huraian di atas, didapati bahawa terdapat dua pendekatan dakwah yang dilakukan oleh PERKIM Bahagian Pahang kepada Muallaf Orang Asli iaitu melalui pendidikan dan kebajikan. Daripada dua pendekatan itu, pendekatan melalui kebajikan lebih dititikberatkan berbanding dengan pendidikan. Begitu juga jika dilihat dari sudut penekanan akitiviti yang dilakukan, didapati aktiviti selepas pengislaman lebih diambilberat oleh pertubuhan ini berbanding aktiviti sebelum pengislaman. Oleh itu tidak hairanlah, organisasi ini lebih cenderung untuk membina kehidupan seseorang selepas memeluk agama Islam daripada mengajak sasaran memeluk Islam. Jika dilihat daripada aktiviti sebelum pengislaman, aktiviti ziarah telah diadakan. Semasa berziarah sasaran diajak berfikir tentang Islam, mengetahui masalah sasaran, mengadakan aktiviti gotong royong dan kelas motivasi. Selepas sasaran memeluk Islam pula, banyak aktiviti yang telah dilakukan seperti mengadakan ceramah agama, kelas fardhu ain, majlis berkhatan, majlis berbuka puasa, bantuan hari raya, majlis korban, aktiviti gotong royong, bantuan kepada warga tua dan menghulurkan zakat dan bantuan pakaian terpakai dan makanan. Secara keseluruhannya, pendekatan dakwah PERKIM Pahang dari aspek pendidikan sememangnya memberikan kesan yang positif kepada kehidupan beragama di kalangan Muallaf t Orang Asli. Namun dari konteks Muallaf Orang Asli yang tinggal berdekatan dengan masyarakat Melayu, pihak PERKIM masih kurang menekankan pendidikan dakwah yang melibatkan secara langsung dalam kedua-dua komuniti ini. Agar ianya tidak dilihat terdapat perbezaan dalam sebuah masyarakat Islam dalam jangka masa akan datang. Perkara sedemikian, dapat dibentuk dengan memberikan kefahaman tentang konsep kejiranan sepertimana yang dituntut dalam Islam. Walaupun terdapat Jawatankuasa Muhibbah yang ditubuhkan bagi menjalinkan persefahaman antara masyarakat Melayu dan Orang Asli, namun ianya hanya difokuskan kepada pembangunan sosial yang melibatkan pembangunan infrastruktur dan lain-lain. 5. KESIMPULAN Berdasarkan perbincangan di atas, dapat disimpulkan bahawa terdapat dua penumpuan pendekatan dakwah yang telah dilakukan oleh PERKIM Bahagian Pahang kepada masyarakat Orang Asli di Negeri Pahang iaitu melalui pendidikan dan kebajikan. Daripada dua pendekatan tersebut, dakwah melalui kebajikan lebih ditekankan oleh organisasi ini. Dakwah tersebut ditujukan kepada mereka yang belum Islam dan yang telah diislamkan. Daripada dua sasaran tersebut, penumpuan dakwah lebih banyak ditumpukan kepada mereka yang telah memeluk agama Islam. Oleh itu, amat sinonimlah pertubuhan ini dinamakan sebagai Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia kerana hala tuju dakwahnya lebih banyak ditumpukan dalam bentuk kebajikan.

12

Rujukan A.Hasjmy. 1974. Dustur dawah menurut al-Quran. Jakarta: Penerbit Bulan Bintang. Abdul Ghafar Don, Razaleigh Muhamat @ Kawangit, et.al.. 2012. Teaching Dawah as Islamic Studies (Teds) in Higher Learning Institutions: Malaysian Experience. Rujukan: http://www.aensiweb.com/anas/2012/521-523 al-Buti, Muhammad Said Ramdhan. 2002. Sirah Nabawiyyah, Analisis Ilmiah Manhajiah terhadap sejarah pergerakan Islam di masa Rasulullah s.a.w. Anuar Rafiq Saleh (Terj.). Kuala Lumpur: Darul Fajar Niaga. Ghazali Darusalam. 2001. Pedagogi pendidikan Islam. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd. Mahamood Zuhdi Ab Majid. 2003. Pendidikan Islam ke arah pembentukan warga holistik. Dlm. Abd Rahim Abd Rashid. Falsafah budaya dalam pendidikan. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya (UM). Mohd Yusoff Othman. 1997. Teknologi maklumat: cabaran dan harapan dalam pendidikan Islam. Prosiding Seminar Kebangsaan Teknologi Maklumat Dalam Pendidikan Islam 1997. Maktab Perguruan Islam Bangi, hlm. iii-xvi. Muhammad Faisal Ashaari, Abdul Ghafar Don, Razaleigh Muhamat @ Kawangit, et.al.. 2012. The Model of Online Al-Dacwah Al-Fardiyyah: A Hybrid Model of Doing AlDacwah on The Internet. Rujukan: http://www.aensiweb.com/anas/2012/511-520 Mustafa Mahsyur. 2005. Fiqih dakwah. (Terj.) Abu Ridho. Jakarta: Al-Itishom Cahaya Umat. Nur Karelawati. 2002. Metodologi Dakwah Kepada Saudara Baru: Kajian Khusus di Darul Arqam Singapura. Disertasi Sarjana Pengajian Islam. Jabatan Pengajian Dakwah Dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam UKM. Kamus Dewan. 2007. Ed. 4. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka. Websters New Twentieth Century Dictionary. 1972. USA: Collin World. Oxford Fajar Advanced Learners English Malay. 2000. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar. PERKIM. T. Th. Memperkenalkan PERKIM, Pamplet. Kuala Lumpur: PERKIM. PERKIM. T.th. Kisah Ringkas 25 Tahun PERKIM. Kuala Lumpur: Adabi Sdn. Bhd. PERKIM. 1983. Cenderamata Perasmian Bangunan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia. Kuantan: PERKIM Bahagian Pahang. PERKIM Bahagian Pahang. 1989. PERKIM Pilih Lima Kampung Bimbingan, Berita Harian, 2 September. PERKIM Bahagian Pahang. 1992. Ucapan Perasmian Mesyuarat Agung PERKIM Bahagian Negeri Pahang Oleh Dato Haji Ahmad b. Mohd Zin, dalam Mesyuarat Agung PERKIM Bahagian Negeri Pahang Kali Ke-20, 14 Jun. PERKIM. 1996. PERKIM Pahang Aktif, Suara PERKIM, Keluaran 2, Kuala Lumpur: PERKIM, h. 11. PERKIM Bahagian Pahang. 1996. Laporan Tahunan PERKIM Cawangan Daerah-daerah Bagi Tahun 1995, dalam Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Bahagian Negeri Pahang Kali Ke-24, 7 Julai. PERKIM Bahagian Pahang. 1996. Laporan Tahunan PERKIM Bahagian Pahang Bagi Tahun 1995, dalam Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Bahagian Negeri Pahang Kal i Ke24, 7 Julai. PERKIM Bahagian Pahang. 1997. Laporan Tahunan PERKIM Cawangan Daerah -daerah Bagi Tahun 1996, dalam Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Bahagian Negeri Pahang Kali Ke-25, 6 Julai.

13

PERKIM Bahagian Pahang. 1997. Laporan Tahunan PERKIM Bahagian Negeri Pahang Tahun 1996, dalam Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Bahagian Negeri Pahang Kali Ke25, 6 Julai. PERKIM Bahagian Pahang. 1998. Laporan Tahunan PERKIM Bahagian Negeri Pahang Tahun 1997, dalam Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Bahagian Negeri Pahang Kali Ke26, 5 Julai. PERKIM Bahagian Pahang. 1998. Laporan Tahunan PERKIM Bahagian Negeri Pahang Tahun 1997, dalam Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Bahagian Negeri Pahang Kali Ke-26, 5 Julai. PERKIM Bahagian Pahang. 1998. Laporan Tahunan PERKIM Cawangan Daerah-daerah Bagi Tahun 1997, dalam Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Bahagian Negeri Pahang Kali Ke-26, 5 Julai. PERKIM Bahagian Pahang. 2000. Laporan Tahunan PERKIM Bahagian Pahang Bagi Tahun 1999, dalam Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Bahagian Negeri Pahang Kali Ke29, 1 Ogos. PERKIM Bahagian Pahang. 2000. Laporan Tahunan PERKIM Cawangan Daerah-daerah Bagi Tahun 1999, dalam Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Bahagian Negeri Pahang Kali Ke-28, 9 Julai. PERKIM Bahagian Pahang. 2001. Laporan Tahunan PERKIM Bahagian Negeri Pahang Tahun 2000, dalam Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Bahagian Negeri Pahang Kali Ke29, 26 Mei. PERKIM Bahagian Pahang. 2001. Laporan Tahunan PERKIM Cawangan Daerah-daerah Bagi Tahun 2000, dalam Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Bahagian Negeri Pahang Kali Ke-29, 26 Mei. PERKIM Bahagian Pahang. 2002. PERKIM Satu Tinjauan, Risalah PERKIM. Kuantan. PERKIM Bahagian Pahang. PERKIM Bahagian Pahang. 2003. Laporan Tahunan PERKIM Bahagian Negeri Pahang Tahun 2002, dalam Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Bahagian Negeri Pahang Kali Ke31, 6 Julai. PERKIM Bahagian Pahang. 2004. Laporan Tahunan PERKIM Bahagian Negeri Pahang Tahun 2000, dalam Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Bahagian Negeri Pahang Kali ke32, 3 Julai. Razaleigh Muhamat @ Kawangit, Abdul Ghafar Don, et.al.. 2012. The History of Ethnic Relationship in Malaysia. Rujukan: http://www.aensiweb.com/anas/2012/504-510 Razaleigh Muhamat @ Kawangit, Abdul Ghafar Don, et.al.. 2012. Assimilation Level of Chinese Muallaf In Kuala Lumpur. Rujukan: http://www.aensiweb.com/anas/2012/524-533 Razaleigh Muhamat @ Kawangit. 2013. Kepimpinan dan Pengurusan Islam: Teori dan Amalan. Rujukan: http://issuu.com/jaliwangit/docs/buku_kepimpinan_dan_pengurusan_isla Razaleigh Muhamat @ Kawangit. 2013. Ilmu Organisasi Dakwah. Rujukan: http://issuu.com/jaliwangit/docs/buku_ilmu_organisasi_dakwah-pm__204 Razaleigh Muhamat @ Kawangit. 2013. Dakwah Muallaf Orang Asli in Pahang:Focussing on Problems Pertaining to the Target Group in Efforts of Dakwah. Rujukan: http://www.scribd.com/doc/186230713/Dakwah-Muallaf-Orang-Asli-in-PahangFocussing-on-Problems-Pertaining-to-the-Target-Group-in-Efforts-of-Dakwah Razaleigh Muhamat @ Kawangit. 2013. Agama Sebagai Altenatif Penyelesaian Masalah Belia. Rujukan: http://www.scribd.com/doc/185380682/Agama-Sebagai-AltenatifPenyelesaian-Masalah-Belia

14

Razaleigh Muhamat @ Kawangit. 2013. Dasar Amalan Pengurusan Hal Ehwal Islam: Tumpuan Kepada Organisasi. Rujukan: http://www.scribd.com/doc/185370070/Dasar-AmalanPengurusan-Hal-Ehwal-Islam-Tumpuan-Kepada-Organisasi Razaleigh Muhamat @ Kawangit. 2013. Pengurusan Doktrin Al-Ehsan Dalam Pekerjaan. Rujukan: http://www.scribd.com/doc/185383158/Pengurusan-Doktrin-al-EhsanDalam-Pekerjaan Syed Sajjad Hussain Syed Ali Ashraf. 1979. Crisis in Muslim education. Jeddah: King Abdul Aziz University Of Jeddah.

You might also like