Refleksi BIG
Refleksi BIG
Refleksi BIG
REFLEKSI Syukur Alhamdulillah kerana saya telah berjaya melaksanakan program Bina Insan Guru yang diadakan pada 12 Mac 2013 yang lalu. BIG pada kali ini adalah lawatan penandaarasan ke sekolah cemerlang. Sekolah yang telah dipilih sebagai tempat lawatan ialah SK Agama Sibu iaitu merupakan sekolah kluster bagi fasa enam. Sepanjang lawatan ini dijalankan saya dapat melihat kekuatan yang terdapat pada sekolah ini. Tidak hairanlah sekolah ini diiktiraf sebagai sekolah kluster. Jika dilihat dari aspek kawasan sekolah ini sememangnya luas. Kemudahan
infrastrukturnya pula lengkap dan boleh dikatakan terkini. Terdapat kamera litar tertutup yang mengawasi kawasan sekolah untuk memantau keselamatan sekolah dan pelajar. Dewan sekolahnya walaupun kelihatan agak kecil tetapi dilengkapi dengan penghawa dingin dan pentas yang luas. Dari aspek pengurusan pula, mereka sangat komited, dedikasi dan tekun dalam menjalankan tugas tidak kira sama ada guru atau pembantu tadbir. Mereka bekerja tujuh kali seminggu jika menurut guru besar di sekolah itu. Oleh sebab itu, pelajar-pelajar di SK Agama Sibu ini tidak kurang ilmunya dan mempunyai pencapaian akademik yang cemerlang kerana sentiasa mendapat ilmu dari guru di sekolah setiap masa. Walaubagaimanapun, terdapat juga kelemahan yang terdapat di sekolah melalui pemerhatian yang saya lakukan. Antaranya ialah tempat meletak kenderaan guru. Kawasan yang disediakan sangat terhad terutama kereta. Oleh itu, guru perlu bersesak untuk meletakkan kereta. Tempatnya juga agak jauh ke belakang kawasan sekolah. Bagi sesi pengajaran dan pembelajaran pendidikan jasmani agak kurang diberi penekanan kerana sekolah ini merupakan sekolah agama yang lebih menumpukan subjek Agama Islam. Oleh itu, padang sekolah ini sangat kecil untuk digunakan yang hanya memuatkan sebuah kelas sahaja. Bilik pemulihan juga terbiar dan kurang teratur akibat tiada guru yang sesuai. Bilik ini juga dikhabarkan sedang dalam proses penyelenggaraan untuk lebih baik dan selesa.
Secara keseluruhannya, saya amat berpuas hati dan kagum melihat sekolah seperti ini. Walaupun bergelar sekolah agama tetapi masih mampu bersaing dengan sekolah harian yang lain. Ini juga merupakan pertama kali saya menjejakkan kaki saya ke sekolah kluster sepanjang hidup saya. Banyak perkara dan maklumat yang saya perolehi sepanjang program BIG ini dijalankan. Harapan saya ialah padang yang sedia ada dibesarkan sedikit mengikut kesesuaian supaya murid lebih selesa untuk melakukan aktiviti pendidikan jasmani. Hal ini kerana sekolah perlu melahirkan pelajar yang seimbang dari segala aspek bukan rohani semata-mata. Selebihnya adalah sangat baik dan saya mendoakan sekolah ini terus berjaya dan cemerlang dalam mencapai misi dan visi sekolah. Terima kasih kepada pensyarah pembimbing yang bersama-sama mengikuti program BIG ini serta rakan-rakan yang terlibat. Tidak lupa juga kepada pihak sekolah yang tidak lokek untuk berkongsi ilmu dan maklumat mengenai pengurusan dan pentadbiran sekolah. Pengalaman ini akan saya gunakan ketika sudah menjadi guru kelak.