Ulasan Kritis Model

Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 10

SARJANA PENDIDIKAN

(PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN PENDIDIKAN)

PLG 516: PENGAJIAN KEBERKESANAN SEKOLAH


TUGASAN INDIVIDU (ULASAN KRITIS)
PENSYARAH: PROF DR ABDUL GHANI KANESAN

SITI ZALEHA BT OTHMAN


S-PM0274/15
SEMESTER 4 SIDANG AKADEMIK 2016/2017

1
MODEL PILIHAN: Pengurusan Kualiti Menyeluruh (TQM)

1.0 PENGENALAN

Kajian-kajian sekolah efektif atau sekolah berkesan secara khusus mendefinisikan


keberkesanan sekolah melalui pemboleh ubah yang dianggap penting dan digunakan untuk
mengukur keberkesanan sekolah. Secara keseluruhan, tidak ada persetujuan di kalangan
pengkaji tentang definisi keberkesanan. Secara umum terdapat dua kriteria yang digunakan,
iaitu outcome atau output dan proses. Di Amerika Syarikat kebanyakan pengkaji mengukur
keberkesanan sekolah berasaskan output, iaitu pencapaian dalam ujian piawaian bagi mata
pelajaran matematik dan bacaan. Di United Kingdom, pemboleh ubah proses seperti
kedatangan, kelakuan pelajar dan peningkatan skor pencapaian digunakan sebagai pengukur
keberkesanan. Selain mengukur keberkesanan dari segi kualiti ada juga pengkaji yang
menggunakan kriteria kesaksamaan (equity).

Edmonds (1979) mendefinisikan keberkesanan bukan sahaja dari segi kualiti hasil tetapi
juga dari segi kesaksamaan (equity). Mengikut beliau, keberkesanan sekolah diukur
berdasarkan kejayaannya meningkatkan penguasaan akademik kanak-kanak kurang beruntung
sehinggakan kadar bilangan kanak-kanak kurang beruntung yang menguasai akademik sama
seperti bilangan anak-anak kelas menengah yang menguasainya. Juga, sekolah tidak layak
diiktiraf sebagai berkesan jika tidak memberi kesaksamaan peluang pendidikan. Mengikut
kriteria ini, pada pendapat beliau, bilangan sekolah di Amerika Syarikat yang boleh dianggap
berkesan amat sedikit.

Rowan (1983) pula menyarankan empat cara mengenalpasti sekolah yang berkesan: (1)
menentukan kriteria yang khusus seperti peratus pelajar yang mencapai lebih daripada median
kebangsaan, (2) analisis tren yang menunjukkan skor dalam gred yang tertentu telah meningkat
dari semasa ke semasa, (3) skor yang meningkat bagi sesuatu kohort, dan (4) pencapaian
sekolah berbanding dengan latar belakang pelajarnya.

Selain melihat hasil sebagai pengukur keberkesanan, pengkaji telah meluaskan definisi
keberkesanan dengan mengkaji peningkatan yang menjadi nilai tambahan yang dialami oleh
murid disebabkan keberkesanan sekolah. Maka keberkesanan sekolah bukan hanya diukur dari
segi hasil tetapi juga dari segi proses peningkatan yang dialami. Mortimore (1991) merumuskan
bahawa sekolah yang berkesan ialah sekolah yang pelajarnya meningkat lebih daripada apa

2
yang diharapkan jika diambil kira latar belakang mereka. Mengikut Stoll dan Fink (1996) jika
ditambah perkataan semua pelajar dalam rumusan Mortimore itu, maka konsep nilai tambahan
dan kesaksamaan dapat disatukan dalam mendefinisikan keberkesanan sekolah. Dari itu,
jelaslah bahawa sekolah yang berkesan itu, berkesan bagi semua pelajar tidak kira latar
belakang mereka. Berdasarkan definisi ini bolehkah kita katakan bahawa sekolah berasrama
penuh yang sedia mengambil pelajar yang memang berkebolehan itu berkesan berdasarkan
prestasi mereka dalam peperiksaan umum? Atau bolehkah kita anggap sekolah luar bandar
yang telah menunjukkan peningkatan tahun demi tahun walaupun prestasinya tidak sebaik
sekolah berasrama penuh, sebagai sekolah yang berkesan? Jelaslah jika sekolah berasrama
penuh tidak menunjukkan nilai tambahan dan prestasi pelajarnya hanya apa yang diharapkan,
maka sekolah itu belum boleh dianggap berkesan. Sebaliknya jika sekolah kampung itu boleh
menunjukkan nilai tambahan berserta dengan usaha menyamaratakan peluang pendidikan dan
pelajarnya mencapai lebih daripada apa yang diharapkan maka sekolah ini boleh dianggap
sebagai berkesan.

Sergiovanni (1987) juga mendefinisi keberkesanan sekolah berasaskan peningkatan


sekolah. Beliau menyenaraikan lapan criteria untuk mengukur keberkesanan: (1) peningkatan
dalam skor ujian, (2) peningkatan dalam kehadiran, (3) pertambahan dalam bilangan tugasan
penulisan dan kerja rumah, (4) pertambahan peruntukan masa untuk Matematik, Bahasa
Inggeris, Sains dan Sejarah, (5) penglibatan komuniti dan ibubapa, (6) penglibatan pelajar
dalam aktiviti kokurikulum, (7) ganjaran dan pengiktirafan bagi pelajar dan guru, dan ( 8)
sokongan yang berkualiti untuk pelajar istimewa.

Aspek lain yang digunakan oleh pengkaji sebagai pengukur keberkesanan sekolah ialah
kelakuan murid, kehadiran, sikap dan konsep kendiri (Mortimore et al., 1988; Teddlie dan
Stringfield, 1993). Manakala Stoll dan Fink (1996) mendefinisikan keberkesanan sekolah seperti
berikut: (1) sentiasa meningkat dari tahun ke tahun, (2) menggalakkan peningkatan untuk
semua pelajar lebih daripada apa yang dijangkakan jika diambil kira latar belakang dan
kebolehan asal mereka, (3) memastikan setiap pelajar mencapai setinggi yang mungkin
potensinya, dan (4) menggalakkan (enhance) semua aspek perkembangan dan pencapaian
pelajar.

Bagi mencapai keberkesanan dalam aspek-aspek tersebut, beberapa jenis model


digunakan dalam membantu mencapai tujuan tersebut. Antara model-model ini ialah seperti

3
Model Bermatlamat, Model Sumber Input, Model Proses, Model Kepuasan, Model Kesahan,
Model Organisasi Pembelajaran, Model Ketidakberkesanan dan Model Pengurusan Kualiti
Menyeluruh. Dan bagi tugasan kali ini, saya memilih salah satu daripada model-model ini iaitu
Model Kualiti Menyeluruh untuk saya kupas dan huraikan dengan lebih kritis.

2.0 MODEL PENGURUSAN KUALITI MENYELURUH

Model Pengurusan Kualiti Menyeluruh atau TQM ialah satu proses pengurusan kualiti
yang berorientasikan pelanggan, beroperasi secara berterusan dan melibatkan semua elemen
dalam sesuatu organisasi. Secara mudahnya, TQM akan memacu organisasi mencapai "kualiti
menyeluruh" atau "total quality" dalam segala aspek operasinya. Matlamat TQM ialah memberi
kepuasan hati pelanggan. Ini dilakukan dengan cara menghasilkan output-output yang dapat
memenuhi kehendak pelanggan serta menepati ekspektasi mereka. Setiap keluaran yang
dihasilkan itu mestilah juga dipastikan tidak mempunyai kecacatan (defect free) atau kesilapan
(error free) kerana kecacatan atau kesilapan boleh menjejaskan kepuasan hati pelanggan. Di
atas alasan yang sama juga sesebuah organisasi itu perlu memastikan sejak dari mula lagi
bahawa output yang dikeluarkan adalah output yang betul seperti mana yang dikehendaki oleh
pelanggan.

Menurut Deming (1986 ) dalam Aimee Shahrin (2012) kualiti ialah sasaran yang mahu
dicapai berdasarkan apa yang dikehendaki atau diperlukan oleh pelanggan. Sasaran ini
meliputi hasil yang mahu dicapai oleh organisasi di masa kini dan juga pada masa hadapan.
Penjelasan ini dikukuhkan lagi melalui pendapat Crosby (1984) dalam Aimee Shahrin ( 2012 )
bahawa sesuatu organisasi perlu akur kepada kehendak pelanggan di mana keperluan
pelanggan dapat didokumentasikan, keakuran kepada kehendak pelanggan, boleh diselidik dan
dapat diukur. Apabila semua aspek ini dilakukan maka organisasi itu mempunyai kualiti.
Jelaslah, kualiti bukan sahaja merupakan sesuatu yang dapat dilihat pada keluaran
atau perkhidmatan, tetapi ia dilihat secara keseluruhan dan meliputi semua operasi dan
urusan yang dikendalikan oleh sesebuah organisasi Pada tahap ini kualiti akan dipamerkan
melalui kecekapan pentadbiran, kebolehan kakitangan, kelicinan sistem-sistem operasi dan
sebagainya. Mengapa kualiti menjadi teras kepada penilaian keberkesanan sesuatu
organisasi? Hal ini kerana pengurusan yang berkualiti akan membawa perubahan yang
menyeluruh ke arah melahirkan organisasi yang cemerlang. Oleh itu, TQM dapat dilihat
sebagai proses transformasi budaya, melalui mana ciri-ciri budaya yang sedia ada akan

4
diubahsuai, ditukar atau diperkukuh dengan ciri-ciri baru yang lebih baik. Ciri-ciri itu meliputi
sikap dan nilai, sistem dan prosedur, amalan-amalan operasi, struktur organisasi dan
sebagainya. Pengiktirafan ISO 9000 merupakan contoh TQM yang akan diberikan kepada
jabatan atau syarikat yang berjaya memenuhi kriteria TQM tersebut.

3.0 KRITIKAN MODEL


3.1 KEKUATAN MODEL

TQM telah diperkenalkan bagi meningkatkan kualiti pengurusan yang memberi implikasi
positif terhadap proses pengajaran dan pembelajaran serta pengurusan aktiviti murid. Oleh itu
model ini telah digunakan dalam pendidikan sebagai satu pendekatan mewujudkan sebuah
sekolah efisien atau efektif bagi mencapai piawaian yang ditetapkan. Indikator kepada
penilaian keberkesanan Model TQM ini dilihat kepada aspek kepemimpinan, pengurusan
sumber manusia, pengurusan proses, maklumat dan analisis, perancangan strategik kualiti,
kepuasan pihak-pihak yang berkepentingan, pencapaian operasi, pencapaian akademik murid
dan kesan kepada masyarakat.

TQM memberi perhatian kepada golongan pelanggan dan pembekal. Segala


maklumbalas dan pandangan daripada pelanggan digunakan untuk tujuan membuat rekabentuk
sistem dan proses-proses kerja yang akan dijalankan. Golongan pembekal pula dianggap
sebagai rakan kongsi yang sama-sama bertanggungjawab menghasilkan keluaran-keluaran
yang berkualiti. Golongan ini penting kerana peranannya membekalkan input-input yang
berkualiti kepada organisasi. Dari segi strategi peningkatan kualiti pula, TQM menekankan
proses penambahbaikankan berterusan (continuous improvement). Proses ini mengandungi
tindakan-tindakan strategik yang dirancang dengan teliti dan berorientasikan matlamat jangka
panjang. Proses ini melibatkan seluruh organisasi(total involvement) di mana segala sumber
dan kekuatan yang ada dalam organisasi berkenaan akan digembleng sepenuhnya dalam
usaha kualiti. Dalam konteks di sekolah, pelajar dan ibu bapa serta waris merupakan
pelanggan manakala pihak sekolah merupakan pembekal. Bagi mempastikan sesebuah itu
berkesan, pihak sekolah akan berusaha sedaya upaya untuk melaksanakan tanggungjawab
yang perlu dipikul bagi merealisasikan visi TQM ini. Usaha ini bukan setakat untuk
mempastikan keputusan akademik pelajar berada di tahap cemerlang malahan seluruh proses
gerak kerja warga dalam sesebuah sekolah tersebut juga perlu seiring dengan aliran TQM
tersebut.

5
Berdasarkan konsep dan ciri-ciri TQM, saya berpendapat model ini PALING sesuai
digunakan disekolah berbanding model-model lain. Hal ini kerana dapatan kajian yang
dilakukan oleh Ahmad Zabidi Abdul Razak (2006) mendapati sekolah yang berkesan mengikut
perspektif guru-guru sekolah agama di sekitar Selangor ialah sekolah yang mempunyai iklim
persekitaran yang baik, guru yang komited dengan tugas, amalan kepimpinan yang cemerlang ,
murid bermotivasi dan semua warga sekolah saling bekerjasama. Ciri-ciri yang dinyatakan ini
menepati elemen-elemen yang terkadung dalam konsep TQM.

Selain itu, Pn Sri Hajah Halimah Abd Majid (2014) telah mempraktikkan Model
Pendidikan Berualiti 6S di SMK Putrajaya Presint 11 dan beliau mendapati model tersebut
berjaya mentransformasi pendidikan sekolah di bawah pimpinannya menjadi lebih berkualiti.
Model yang digunakan ini berdasarkan Model TQM yang telah diubahsuai dengan tambahan
nilai-nilai kemanusiaan yang tinggi.
Tidak dapat disangkal lagi bahawa model ini paling sesuai digunakan di dalam sistem
pendidikan negara kita kerana model ini memfokuskan kepada penglibatan menyeluruh setiap
anggota di dalam sesuatu organisasi. Ini bermakna semua ahli bertanggungjawab dan
berperanan menjadi penyumbang kepada kualiti pendidikan di sesebuah sekolah, dari pekerja
bawahan sehinggalah peringkat pemimpin. Berdasarkan Laporan Jemaah Nazir Sekolah
(2004) petunjuk sekolah berkesan dirujuk kepada hala tuju kepimpinan, pengurusan organisasi,
pengurusan program pendidikan dan kemenjadian mujrid. Disebabkan itu, kementerian
mengadakan satu anugerah iaitu pemberian Tawaran Baru Kepada Pengetua (Baiah) , dan
sekolah yang terpilih akan diverifikasi oleh Jemaah Nazir Jaminan Kualiti dengan menilai
semua aspek penglibatan secara menyeluruh warga sekolah. Jika wujud permuafakatan
kerja dari peringkat atasan sehingga bawahan maka sekolah tersebut di verifikasikan sebagai
berkualiti dan berkesan.
Justifikasi yang dapat menjelaskan model ini paling sesuai digunakan dalam sistem
pendidikan kita ialah amalan semangat kerja berpasukan. Budaya kolaboratif ini memberi
impak positif terhadap kualiti kerja. Hal ini diakui oleh Abdul Ghani Abdullah dan Tan Keow
Ngang ( 2006 ) bahawa jika pengetua mampu mengaplikasikan budaya kolaboratif dengan baik,
sudah pasti tahap motivasi guru akan semakin tinggi yang seterusnya dapat membangun dan
mencapai visi sekolah bersama. Yeop Hussin Bidin (2006) juga berpendapat pemupukan
semangat berpasukan dapat memotivasikan rakan sekerja, meningkatkan komitmen dan
keberkesanan kesefahaman. Malahan menurut Ahmad Fadzli Yusof (2007), dengan kerja
berpasukan, organisasi seolah-olah mendapat kekuatan yang baru iaitu semangat, fokus dan
produktiviti ahli meningkat.

6
Dalam kajian Myazaitul Akma Mohamad ( 2010 ) beliau mendapati amalan budaya
kolaboratif di IKM Lumut telah meletakkan IKM Lumut di satu tahap yang boleh dibanggakan.
IKM Lumut merupakan sebuah IKM yang cemerlang di mana ia telah menerima beberapa
anugerah seperti Anugerah IKM / KKTM Cemerlang, Anugerah IKM Terbaik, Anugerah Ketua
Pengarah 2007 dan telah mementerai beberapa MOU dengan syarikat swasta dan universiti
tempatan. IKM Lumut telah dianugerahkan sijil Persekitaran Berkualiti 5S oleh MPC buat kali
pertama pada Isnin 30 Mac 2009 dan persijilan semula pada 28 April 2010. Melalui kejayaan ini,
IKM Lumut telah menjadi penanda aras perlaksanaan program 5S oleh beberapa institusi
pendidikan MARA khasnya dan beberapa agensi kerajaan.
Seperkara lagi, model ini mempunyai kekuatan yang tersendiri iaitu input yang
terkandung di dalamnya adalah berunsurkan manusia. Menurut Pn Sri Hajah Halimah Abdul
Majid (2014) model yang menekankan unsur kemanusiaan yang positif akan menghasilkan
pendidikan yang berkualiti dan output juga akan berakhir dengan nilai kemanusiaan yang
positif. Menurutnya lagi, sistem pendidikan melibatkan sistem manusia dan ia diibaratkan
sebagai sebuah buku yang terbuka. Oleh itu, pembinaan sekolah berkesan akan terhasil
apabila sistem manusia seperti ibu bapa, agensi kerajaan, swasta, NGO, komuniti setempat
dan sudah tentunya pihak sekolah.
Model ini juga berupaya merealisasikan hasrat kerajaan untuk mewujudkan institusi
pendidikan sekolah yang berkualiti seiring dengan slogan `Pendidikan bertaraf dunia yang
diperkenalkan pada 1995 oleh Yang Berhormat Menteri Pendidikan Malaysia pada ketika itu
Dato Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak. Menurut beliau, pendidikan bertaraf dunia bermaksud
usaha-usaha strategik untuk menglobalisasikan pendidikan, mencari ilmu pengetahuan tidak
kira di mana dan membuka minda untuk menghadapi cabaran Manakala penegasan terhadap
pengantarabangsaan diperkukuhkan lagi pada tahun 1996 apabila Perdana Menteri Malaysia
pada waktu itu, iaitu Yang Amat Berhormat Tun Mahathir bin Mohamed menyatakan hasrat
untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah Pusat Kecemerlangan Pendidikan Serantau.
Justeru itu, untuk bersaing dengan negara termaju dunia adalah penting untuk Malaysia
menyediakan pendidikan berkualiti yang mampu menghasilkan murid bertaraf dunia. Apatah
lagi, Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah membentangkan wawasan
negara menjelang 2020. Wawasan ini menuntut sistem pendidikan negara setanding di
peringkat global dan berkualiti. Oleh itu, pendekatan model TQM sesuai digunakan dalam
sistem pendidikan negara bagi mewujudkan institusi pendidikan yang efisyen dan berkualiti, jika
tidak hasrat kerajaan yang disemai sejak 1995 sehingga 2020 tidak akan tercapai.

7
3.2 KELEMAHAN MODEL

Dalam aspek perniagaan, peranan siri ISO 9000 sebagai piawaian ekspot untuk
transaksi antara negara dan antarabangsa telah menjadi semakin penting. Akan tetapi, wujud
satu keadaan dimana kebanyakan pengurusan bagi syarikat-syarikat yang memperolehi
kelulusan kualiti membuat demikian hanya untuk tujuan keperluan kontrak. Akibatnya, mereka
mendapati sukar untuk memenuhi kehendak-kehendak ini secara berterusan kerana tidak
mempunyai cara yang betul dan efektif dalam mengekalkan pencapaian.

Di dalam menguruskan sesebuah sekolah itu sendiri, adakalanya ia menjadi satu


bebanan kepada warga sekolah untuk sentiasa menjaga prestasi kerja mereka agar memenuhi
cirri TQM ini dalam apa jua tindakan yang dilaksanakan. Guru guru dihujani dengan
lambakan tugas tugas sampingan lain demi memenuhi kriteria tersebut walhal peranan
sebenar guru tersebut adalah merancang, melaksana serta menilai PdP mereka sahaja.
Namun ekoran daripada pelabelan ISO 9000, maka para guru akan mula mengeluh dengan
keputusan tersebut. Akhirnya, nilai kreativiti, kemahiran keusahawanan, nilai mengintrepretasi
serta kepelbagaian kecerdasan murid mulai digugah akibat kekalutan guru memenuhi kehendak
fasa fasa yang perlu ada dalam TQM tersebut.

Kekeliruan terhadap TQM berasal dari kata kualiti itu sendiri. Perkataan kualiti
mempunyai banyak makna, bergantung dari bagaimana kita memandangnya. Kualiti
merupakan suatu jabatan yang ada dengan tanggungjawab khusus untuk kawalan kualiti, di
mana disiplin tersebut cenderung lebih tertumpu kepada proses penstabilan daripada
memperbaiki proses. Idea keseluruhan dari falsafah kualiti juga membuat konsep secara
keseluruhan kelihatan misteri bagi kebanyakan orang. Pendekatan-pendekatan baru seperti
ISO 9000 atau reengineering tidak disepadukan ke dalam usaha kualiti yang ada. Dari satu
sudut pendidikan, persoalan yang mugkin timbul ialah nilai apa yang perlu kita garap kepada
pelajar kita? Apakah kualiti itu hanya dilihat dari sudut kecemerlangan akademik semata
mata sedangkan dari sudut akhlak dan jati diri, isu masalah sosial di kalangan pelajar kita
semakin meruncing. Di mana penilaian kualiti yang perlu kita tafsirkan?

Banyak jabatan atau syarikat yang membuat kualiti lebih kabur atau tidak jelas dengan
menetapkan matlamat yang kelihatan positif tanpa memilki cara untuk memantau kemajuan
pencapaian matlamat tersebut. TQM merupakan aktiviti yang bersifat hanya di dalam jabatan-

8
jabatan di banyak syarikat. Masing-masing jabatan mempunyai fahaman tersendiri sehingga
tidak merangkumi keseluruhan organisasi. Akhirnya, perlaksanaannya akan terjejas dan
mengganggu prestasi pekerja pekerja yang terlibat. Di sekolah, sekiranya TQM ini tidak
difahami oleh setiap ahli dalam komuniti sekolah tersebut, ia akan mengakibatkan kecelaruan
dalam proses perlaksanaan pengurusan dan seterusnya akan menimbulkan banyak isu di
kemudian hari.

TQM mengajarkan incremental atau perkembangan yang sedikit (small improvement),


bukan perkembangan secara radikal (radical improvement) sehingga banyak pemimpin korporat
tidak sabar setelah munculnya konsep reengineering. Reengineering adalah reka bentuk atau
reka bentuk semula perniagaan yang mirip dengan process redesign, walaupun amalan
merangkumi skala yang lebih

4.0 RUMUSAN

Pelaksanaan TQM adalah satu keperluan yang akan menjamin kecemerlangan prestasi
perkhidmatan awam. Tindakan ini membolehkan jabatan-jabatan menghasilkan keluaran dan
perkhidmatan yang berkualiti serta dihargai oleh orang ramai. Di samping itu, jabatan-jabatan
juga akan dapat mempertingkatkan kecekapan dan keberkesanannya dalam menjayakan
matlamat operasi masing-masing.

Namun begitu, pelaksanaan TQM ini bukanlah satu usaha yang mudah, sebaliknya
memerlukan perancangan dan perlaksanaan yang teratur. Komitmen pengurusan atasan juga
ternyata menjadi satu keperluan yang asasi. Dalam hal ini pihak pengurusan perlu menerajui
segala perubahan yang dilakukan dalam proses tersebut. Dengan persekitaran seperti ini
barulah TQM dapat berkembang sebagai teras sistem kualiti jabatan-jabatan Kerajaan. Banyak
usaha yang perlu dirancang dengan teliti agar semua warga yang terlibat faham dan jelas
tentang visi dan proses TQM itu sendiri. Sudah menjadi satu kelaziman di kalangan masyarakat
kita, apabila seseuatu pembaharuan yang hendak dilaksanakan akan mendapat tentangan
negative namun demikian sekiranya pihak pelaksana yang akan melaksanakan model ini
khususnya di sekolah, mereka sendiri harus jelas terlebih dahulu dan mahir dalam setiap fasa
fasa TQM itu sendiri. Ini adalah untuk mempastikan keberkesanan perlaksanaan TQ mini di
sekolah yang bukan sahaja melonjakkan kecemerlangan prestasi sekolah malah ia juga

9
melonjakkan prestasi kerja warga itu sendiri. Jika setiap ahli yang terlibat faham akan TQM ini
dengan jelas, maka seudah pasti keberkesanan sesebuah sekolah itu dapat dilihat dengan
jayanya.

10

You might also like