Kepentingan Semangat Kejiranan Kepada Masyarakat

Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 2

KEPENTINGAN SEMANGAT KEJIRANAN KEPADA MASYARAKAT

Nusa tercinta kita Malaysia merupakan negara yang mempunyai anak watan berbilang kaum dan hidup secara
bersama sehati sejiwa ibarat peribahasa seikat bak sirih, serumpun bak serai. Sehubungan dengan itu,
kebanyakan anggota masyarakat hidup berjiran di kawasan bandar ataupun di kawasan luar bandar dan
mereka saling berhubung, bertemu dan berurusan antara satu sama lain. Namun terdapat lakaran suram yang
menyelubungi kita bahawa ada pandangan yang menyatakan bahawa semangat kejiranan dalam kalangan
masyarakat Malaysia pada masa ini dikatakan semakin terhakis ibarat hidup segan mati tak mahu. Banyak
kempen dan usaha telah dijalankan oleh pelbagai pihak untuk merapatkan kembali hubungan dalam kalangan
jiran kerana semangat kejiranan begitu penting dalam kehidupan bermasyarakat.

Sebenarnya semangat kejiranan dapat memupuk kerjasama dalam kalangan anggota masyarakat di
sesuatu tempat . Kerjasama ini boleh dipupuk melalui penglibatan anggota masyarakat dalam pelbagai aktiviti
yang diadakan di kawasan tempat mereka tinggal. Aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong, majlis
sambutan perayaan atau perjumpaan bulanan komuniti dapat mempertemukan semua jiran, saling berkenalan
dan merapatkan hubungan . Mereka akan lebih mesra, saling membantu bagai aur dengan tebing tanpa
membezakan warna kulit, bangsa atau kepercayaan. Hal ini menunjukkan bahawa semangat kejiranan yang
dipupuk dapat membentuk kerjasama dalam kalangan anggota masyarakat seterusnya membentuk ukhuwah
yang kukuh dan ampuh.

Selain itu semangat kejiranan juga penting kerana dapat membentuk semangat kekitaan dan melahirkan
masyarakat yang bersatu padu. Mengimbas kembali Peristiwa 13 Mei 1969 menunjukkan bahawa jika
masyarakat tidak bersatu padu dan berpecah-belah, negara akan musnah dan kehidupan anggota masyarakat
tidak akan selesa dan aman. Tuntasnya, semangat kejiranan membolehkan semua anggota masyarakat
memahami antara satu sama lain. Masyarakat yang berbilang kaum ini boleh mempelajari perbezaan budaya
dan sistem sosial masyarakat lain seterusnya memahami sensitiviti mereka agar dapat bertoleransi,
bekerjasama dan saling menghormati. Tegasnya semangat kejiranan penting dalam membentuk masyarakat
yang bersatu padu dan seterusnya dapat memacu pembangunan negara ke arah kegemilangan.

Di samping itu, semangat kejiranan juga penting kepada negara kerana memudahkan kerajaan
melaksanakan pelbagai program pembangunan dan membawa kemajuan kepada rakyat. SloganNegara
Maju Rakyat Sihat menunjukkan apabila rakyat hidup dalam keadaan sihat sejahtera maka pelbagai
rancangan pembangunan dapat diatur, dirancang dan dilaksanakan secara lancar tanpa sebarang kekangan.
Jika masyarakat dapat hidup bersama dalam suasana yang aman dan harmoni maka segala kemajuan yang
disediakan oleh kerajaan di seluruh pelosok tanah air akan dapat dinikmati bersama-sama secara adil dan
saksama. Sebagai contohnya, kerajaan telah berupaya membina pelbagai kemudahan dan infrastrukutr di
kawasan taman-taman perumahan seperti dewan orang ramai, balai raya, taman permainan kanak-kanak
mahupun pusat komuniti atas inisiatif, semangat kejiranan dan perpaduan yang ditunjukkan oleh anggota
masyarakat di sesetengah kawasan tempat tinggal. Jelaslah semangat kejiranan penting bagi membantu
anggota masyarakat dalam suatu kawasan kejiranan menikmati pelbagai kemudahan awam yang disediakan
oleh pihak kerajaan.

Negara yang cemerlang lahir daripada rakyatnya yang berhemah tinggi dan hidup bersatu padu seia sekata .
Jika masyarakat dapat berganding bahu dan saling mengekalkan kehidupan yang harmoni maka negara akan
melakar kejayaan gemilang. Semangat kejiranan merupakan salah satu elemen penting dan vital yang
membantu melahirkan anggota masyarakat yang harmoni, mempunyai jati diri dan semangat cinta
akan negara . Melalui hubungan kejiranan, pelbagai aktiviti berbentuk pemupukan nilai-nilai patriotisme
dapat diimplimentasikan. Sebagai contoh, mengibarkan jalur gemilang, mengadakan pameran sempena ulang
tahun kemerdekaan negara ataupun menyertai perarakan dalam sesebuah pesta. Datuk Azhar Bin Mansor
merupakan contoh paling jelas, dan atas sokongan rakyat Malaysia membolehkan beliau melakukan
pelayaran solo mengelilingi dunia sambil mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh kejayaan. Hal Ini jelas
menunjukkan keharmonian kehidupan rakyat Malaysia membolehkan mereka melakukan sesuatu hal dan
perkara yang amat hebat bagi melonjakkan Malaysia di persada antarabangsa.

Semangat kejiranan yang wujud dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum juga penting
sebagai produk pelancongan. Sesungguhnya, kedatangan pelancong asing ke negara ini banyak disebabkan
kehidupan masyarakat Malaysia yang unik, mempunyai pelbagai seni budaya yang menarik dan hidup secara
harmoni dalam komuniti kejiranan. Sesungguhnya, perpaduan masyarakat banyak membantu menarik
kehadiran pelancong terutamanya ketika musim perayaan besar. Sebagai contohnya pada sambutan Hari
Kemerdekaan, Majlis Rumah Terbuka dan sambutan pesta-pesta tertentu menampilkan perpaduan masyarakat
berbilang kaum di negara kita yang amat disukai oleh para pelancong asing tersebut . Selain di kawasan
bandar, produk pelancongan seperti Program Homestay atau Inap Desa di kawasan luar bandar juga dapat
menunjukkan semangat hidup berjiran dalam kalangan masyarakatnya . Maka sememangnya semangat
kejiranan dalam kalangan masyarakat Malaysia sangat berfaedah dan membawa pulangan ekonomi yang
begitu memberangsangkan kepada negara.

Intihanya, semangat kejiranan merupakan sebahagian daripada amalan dan menjadi budaya masyarakat di
Malaysia yang menjadikan negara kita unik pada pandangan masyarakat di luar sana malah dikenali di seluruh
dunia. Tuntasnya, Semangat kejiranan bukan sahaja penting dalam mengekalkan suasana harmoni dalam
kalangan rakyat di negara kita malah sumbangannya cukup besar terutamanya bagi memastikan Malaysia
terus cemerlang dan mampu berdaya saing pada masa akan datang kerana rakyatnya yang bersahsiah terpuji
bagi melahirkan modal insan berminda kelas pertama yang dapat memacu negara tercinta ke arah
kegemilangan di puncak jagat.

You might also like