Laporan Adat Resam
Laporan Adat Resam
Laporan Adat Resam
Saya telah menemu bual rakan saya yang merupakan seorang yang berketurunan jawa.
Kebanyakan orang Jawa terdapat di Johor, Selangor dan Perak. Di negeri Selangor, masyarakat
jawa kebanyakannya tinggal di kawasan Klang, Hulu Langat, Tanjung Karang, Sabak Bernam,
Banting, Sepang dan Kuala Selangor. Masyarakat jawa sangat mementingkan adat resam
terutamanya bagi aspek perkahwinan. Perkahwinan menurut adat istiadat Melayu Jawa ini masih
lagi menjadi amalan mengikut asal usul Melayu Jawa dan pelaksanaan sebilangan masyarakat
di negara kita.
Adat istiadat perkahwinan Melayu Jawa dibahagikan kepada beberapa peringkat tertentu,
iaitu sebelum majlis perkahwinan, sebelum majlis persandingan dan semasa istiadat
persandingan. Terdapat banyak adat perkahwinan masyarakat jawa seperti upacara siraman,
Gendongan, Pangkas Rikmo lan Tanam Rikmo, Upacara Midodareni dan banyak lagi. Upacara
siraman misalnya dilangsungkan sehari sebelum akad nikah (ijab kabul). Pengantin perempuan
akan mengenakan kain putih bersih sepanjang dua meter dan mestilah menguraikan rambut.
Pihak yang bertugas menyiram pengantin perempuan ialah ayah dan ibu kedua- dua mempelai,
diteruskan dengan ahli keluarga terdekat seperti nenek, ibu dan bapa saudara mempelai.
Semasa majlis perkahwinan juga adat merewang menjadi salah satu perkara wajib bagi
masyarakat jawa. Merewang adalah gotong royong dalam menyiapkan majlis persandingan dari
sudut menyediakan jamuan, persiapan hiasan rumah dan membersihkan kawasan rumah.
Kebiasaaanya rewang bahagian jamuan adalah terdiri daripada kaum wanita. Manakala rewang
bahagian membersihkan kawasan rumah adalah terdiri daripada kaum lelaki. Amalan merewang
ini sangat dituntut oleh Islam. Ini kerana amalan ini seolah-olah menerapkan nilai-nilai tolong-
menolong serta bekerjasama dalam sesebuah masyarakat.
Namun begitu, terdapat sesetengah adat perkahwinan masyarakat jawa yang dilihat tidak
menepati hukum Islam. Sebagai contoh, air penaik seri muka boleh digunakan di dalam majlis
perkahwinan kerana ketika membuat air ini, mak andam telah membaca surah al-Fatihah dan
doa akasyah dan dihembuskan di dalam bekas yang berisi air yang dinamakan air penaik seri
muka. Sesuatu amalan yang dilakukan berlandaskan al-Quran adalah dibenarkan dan dituntut.
Ia menjadi haram sekiranya air penaik seri muka itu dibacakan ayat mentera dan jampi serapah
yang mempunyai unsur-unsur pemujaan syaitan.
Adapun begitu, adat perkahwinan masyarakat melayu Jawa di Malaysia tidak lagi terikat
dengan adat warisan nenek moyang mereka. Sebaliknya, mereka telah mengambil adat
tempatan seperti majlis persandingan cara Melayu. Oleh yang demikian, dari aspek yang sangat
relevan, dapatlah dikatakan bahawa adat Jawa ada yang bercanggah dengan Islam dan tidak
boleh dipraktikkan keseluruhannya. Contohnya seperti jampi serapah, tabur bertih dan beras
kunyit, jarang digunakan oleh masyarakat Melayu Jawa kini kerana peredaran masa dan
kebanyakan masyarakat Melayu Jawa yang tahu mengenai hukum-hukm agama Islam
menjadikan adat tersebut tidak diguna pakai sekarang. Kebanyakan adat istiadat perkahwinan
masyarakat Melayu Jawa yang mempunyai unsur-unsur khurafat, tidak semua yang masih
diamalkan oleh masyarakat Melayu Jawa itu sendiri.