Isu Dan Etika

Download as doc, pdf, or txt
Download as doc, pdf, or txt
You are on page 1of 12

TOPIK 10: ISU DAN ETIKA DALAM PENGUJIAN DAN PENILAIAN

1. ISU PROFESIONAL
i. Ketepatan keputusan ujian berbanding dengan ramalan klinikal.
ii. Isu teoritikal di mana ujian dikatakan mengukur sesuatu entiti yang stabil dan
tidak berubah.
iii. Isu kecukupan dari kesahan, kebolehpercayaan, keseragaman, objektiviti, norma
dan reka bentuk ujian.

Ketepatan keputusan ujian berbanding dengan ramalan klinikal:


Isu ini adalah berkaitan dengan ketepatan sesuatu keputusan ujian. Terdapat
beberapa kajian yang menyokong bahawa hasil kajian yang diperoleh melalui
pentadbiran ujian psikologi yang teratur, sistematik dan standard adalah lebih
tepat berbanding ramalan klinikal dan kaedah-kaedah lain (Brown, 1984).
Isu teoritikal:
Dalam penyelidikan sains sosial, suatu ujian itu dikatakan mengukur sesuatu entiti
yang stabil iaitu tidak berubah. Manusia dianggap mempunyai ciri-ciri yang statik
atau kekal tanpa dipengaruhi oleh faktor luaran. Menurut Anastasi (1988), tingkah
laku manusia bukanlah statik. Persekitaran adalah berubah dan perubahan
persekitaran akan mengubah tingkah laku manusia secara langsung dan tidak
langsung. Andaian dalam pembinaan ujian atau alat ukuran ialah bahawa apa yang
diukur oleh sesuatu ujian itu merupakan varian sistematik yang ada pada diri
individu yang diukur dan bukan disebabkan oleh pengaruh faktor-faktor luaran
atau persekitaran individu tersebut.
Isu kecukupan:
Baik atau tidaknya sesuatu ujian mesti dilihat dari segi kecukupan dan
kesesuaiannya. Antara perkara-perkara yang perlu dilihat dalam
mempertimbangkan isu kecukupan ini ialah dari segi prinsip-prinsip asas ujian
psikologi seperti kesahan, kebolehpercayaan, keseragaman, objektiviti, norma,
reka bentuk ujian dan sebagainya.

2. ISU SOSIAL
i. Kegunaan alat ujian di mana tiada suatu alat ukuran yang sempurna atau bebas
daripada ralat.
ii. Bias di mana ujian psikologi dikatakan bias kepada kumpulan minoriti.
iii. Dehumanization timbul kerana penggunaan komputer atau teknologi maklumat.
iv. Keupayaan mengguna perkhidmatan ujian psikologi dikatakan mahal.

Kegunaan alat ujian:


Tiada suatu alat ukuran yang sempurna atau bebas daripada ralat. Dalam hal ini,
ahli psikologi berpendapat walaupun sesuatu alat ukuran atau ujian itu tidak
sempurna, ia masih boleh digunakan selagi keputusan yang diperoleh dapat
memberi manfaat kepada pengguna atau mereka yang mengambil ujian.
Bias:
Walaupun ujian psikologi dikatakan ujian yang piawai tetapi tetap dikatakan ‘bias’
atau berat sebelah terhadap kumpulan minoriti. Ujian kecerdasan yang dicipta untuk
orang berkulit putih akan memberi keputusan yang lebih tinggi kepada subjek berkulit
putih dan sebaliknya kepada subjek yang berkulit hitam.
Implikasinya ialah generalisasi yang menyatakan bahawa darjah kecerdasan pelajar
kulit putih adalah lebih tinggi berbanding pelajar kulit hitam adalah tidak tepat. Hal
ini dapat diperhatikan daripada keputusan ujian yang diperoleh. Perbezaan skor
mungkin disebabkan oleh penafsiran konsep yang digunakan adalah berlainan.
Dehumanization:
Isu dehumanization selalunya timbul semasa proses penganalisisan data dijalankan.
Dengan adanya kemudahan komputer, penganalisisan dan interpretasi profil ujian
selalunya dibuat menggunakan bantuan komputer. Oleh kerana komputer adalah
mesin maka cara komputer menginterpretasi sesuatu profil ujian adalah kurang baik
berbanding interpretasi oleh manusia. Hal ini adalah disebabkan komputer tidak dapat
mengambil kira faktor-faktor manusia.
Keupayaan menggunakan perkhidmatan ujian psikologi:
Perkhidmatan ujian psikologi memerlukan belanja yang banyak terutamanya dalam
bidang neurologi dan psikiatrik. Oleh kerana perkhidmatan ujian psikologi ini adalah
mahal, hanya golongan yang mamu dapat menikmati perkhidmatan ini.

3. ISU-ISU MORAL
i. Hak manusia di mana individu tidak boleh dipaksa untuk menjalani ujian.
ii. Isu melabel di mana masyarakat lebih bimbang kepada label yang diberi
olehpsikiatris berbanding label yang diberi oleh doktor.
iii. Pelanggaran rahsia peribadi di mana sesiapa sahaja berhak tidak menjawab
sebarang ujian jika ia merasa hak peribadinya diganggu.
Hak manusia:
Seseorang individu tidak boleh dipaksa untuk menjalani ujian dan berhak menolak.
Individu yang diuji berhak mengetahui skor ujian dan interpretasi yang dibuat
berdasarkan skor tadi. Pengguna ujian juga harus berpegang kepada moral dalam
melindungi hak individu yang menjalani ujian.
Melabel:
Seseorang individu boleh menerima label dalam bidang perubatan seperti sakit
jantung, demam selesema, sakit kepala atau batu karang tanpa rasa malu, marah
dan terhina. Mendapat label seperti ini dianggap biasa dan tidak mendatangkan
mudarat kepada kehidupan seseorang itu. Walau bagaimanapun, label bagi
penyakit psikiatri atau psikologi paranoia, psychasthenia dan schizophrenia adalah
sangat memalukan.
Pelanggaran rahsia peribadi:
Sesiapa saja berhak tidak menjawab sebarang ujian jika merasa hak peribadinya
diganggu. Namun begitu, Dahlstrom (dalam Kaplan & Saccuzzo 1982)
menegaskan bahawa ujian psikologi tidak berkeupayaan untuk mengganggu
peribadi seseorang individu dan jika ia mengganggu pun, gangguannya adalah
sangat terhad. Kod etika American Psychological Association atau singkatannya
APA menjelaskan bahawa maklumat peribadi individu hanya boleh diumumkan
kepada awam setelah mendapat persetujuan daripada individu berkenaan, kecuali
dalam kes-kes tertentu seperti maklumat daripada ujian dikehendaki oleh pihak
mahkamah.

4. ISU ETIKA
Kaunselor yang ingin menggunakan ujian psikologi perlu:
i. Mempunyai kebolehan menyelenggara, mengurus dan menyelaras sesi-sesi ujian.
ii. Mempunyai kebolehan dan pengetahuan yang mencukupi dalam bidang
pengujian.
iii. Menguasai statistik gunaan dan penganalisaan data.
iv. Berkebolehan membuat interpretasi atau pentafsiran.

Kaunselor perlu berhati-hati semasa membuat interpretasi terutama apabila menginterpretasi


prestasi individu yang tidak termasuk dalam golongan norma (Corey, Corey & Callahan
1984).

Jika seseorang itu tidak mempunyai latihan yang mencukupi dalam bidang ini, tetapi cuba
mentadbir dan mentafsir ujian, ia sebenarnya telah melanggar etika (Corey, Corey &
Callahan 1984).

Ujian yang berbeza memerlukan aras kebolehan dan pengetahuan yang berbeza untuk
mentadbir, membuat pemarkatan, membentuk profil dan interpretasi (Apga 1981).

ETIKA DALAM PENGUJIAN UJIAN PSIKOLOGI


Selain masalah pokok berkaitan dengan kesahan dan kebolehpercayaan yang berhubung kait
pula dengan masalah silang budaya, masalah pentadbiran dan pengurusan ujian psikologi
juga perlulah diberi perhatian. Selain kebolehan menyelenggara, mengurus dan menyelaras
sesi-sesi ujian, kaunselor juga perlu mempunyai kebolehan dan pengetahuan yang mencukupi
dalam bidang pengujian dan pengukuran, statistik gunaan, dan penganalisisan data di
samping berupaya dan berkebolehan untuk membuat interpretasi atau pentafsiran. Dalam hal
ini, Corey, Corey & Callahan (1984: 130-131, 352-326), American Counseling Association
(ACA) (1995), American Association for Counseling and Development (AACD)(1981),
American Personnel and Guidance Association (APGA) (1981), Brown (1980:111-114) dan
Anastasi dan Urbina (1997) telah memberikan beberapa garis panduan.

Umum:
Etika yang paling asas dalam American Counseling Association (ACA) (1995) ialah teknik
penilaian dan kebajikan klien. Dari segi teknik penilaian, tujuan utama penilaian pendidikan
dan psikologi ialah untuk memberi ukuran yang objektif dan boleh ditafsirkan sama ada
secara komparatif atau ‘absolute’. Dalam hal kebajikan klien, kaunselor perlu mengutamakan
kebajikan dan kepentingan mereka dalam pembangunan, penerbitan dan penggunaan teknik
penilaian dalam pendidikan dan psikologi. Kaunselor mestilah tidak menyalahgunakan
keputusan penilaian dan mengambil langkah yang wajar untuk menghalang orang lain
daripada menyalahgunakan maklumat yang diperoleh daripada ujian.
Panduan etika yang paling asas untuk menggunakan sesuatu ujian ialah sentiasa ingat akan
kegunaan utama ujian itu dihasilkan iaitu untuk memberikan pengukuran yang objektif dan
deskriptif yang boleh digunakan oleh klien dalam membuat keputusan yang lebih baik
(Corey, Corey & Callahan 1984: 1301). Dalam hal ini, kaunselor mestilah berhati-hati
apabila membuat interpretasi ujian terutamanya apabila menginterpretasi prestasi individu
yang tidak termasuk dalam golongan norma ketika alat ujian itu distandardisasikan. Apabila
tiba masanya untuk menginterpretasi ujian kumpulan-kumpulan minoriti, adalah penting
supaya semua faktor yang mempengaruhi hasil ujian diberikan perhatian.
Etika piawai American Personnel and Guidance Association (APGA) (1981) mengingatkan
para profesional ‘mesti mengiktiraf’ kesan faktor-faktor sosioekonomi, etika dan budaya
dalam skor atau markat ujian yang diperoleh. APGA (1981) kemudiannya memberikan
panduan tambahan iaitu ahli mestilah meneruskannya dengan berhati-hati apabila mahu
menilai dan mentafsir pencapaian ahli-ahli kumpulan minoriti atau individu lain yang tidak
termasuk dalam kumpulan norma di mana alat dipiawaikan.

Kebolehan dan kecekapan:


Berhubung dengan kebolehan atau kecekapan, Corey, Corey & Callahan (1984) menyatakan
bahawa jika seseorang itu yang tidak mempunyai latihan mencukupi dalam bidang ini tetapi
cuba memberi dan menginterpretasi ujian, sebenarnya telah melanggar etika.
APGA (1981) juga memberikan panduan dalam hal ini dengan menyatakan bahawa ujian
yang berbeza memerlukan aras kebolehan serta pengetahuan yang berbeza untuk mentadbir,
membuat pemarkatan, membuat profil dan membuat interpretasi. Dalam hal ini, Ethical
Principles of Psychologist and Code of Conduct, American Psychological Association (APA)
juga telah memberikan beberapa garis panduan, antaranya ialah:

Prinsip ke 2 APA
Prinsip kedua yang terkandung dalam etika APA ini adalah berkaitan dengan kecekapan ahli
psikologi yang bertanggungjawab dalam mengendalikan ujian ini. Dalam hal ini, APA
(dalam Corey, Corey & Callahan 1984) menyatakan:
Ahli psikologi yang bertanggungjawab untuk membuat keputusan yang melibatkan individu
atau polisi berasaskan keputusan ujian mempunyai kefahaman mengenai pengukuran
psikologi dan pendidikan, masalah kesahan dan penyelidikan mengenai ujian.

Prinsip ke 8 APA
Prinsip kelapan yang terkandung dalam Etika APA ini adalah berkaitan teknik Penilaian.
Penggunaan ujian adalah terbatas kepada mereka yang telah mendapat Latihan dan
memperoleh kemahiran daripada individu-individu yang berpengetahuan dan berpengalaman.
Dalam hal ini, American Psychological Association (APA dalam Corey, Corey & Callahan
1984) menyatakan:
Ahli-ahli psikologi tidak digalak atau mempromosi teknik penilaian psikologikal ini
khususnya mereka yang tidak terlatih atautidak mempunyai kelayakan melalui pengajaran,
tajaan atau penyeliaan.
Dua isu penting di bawah isu etika perlu diberi perhatian khusus ialah pembahagian loyalty
serta tanggungjawab pengguna-pengguna ujian dan Pembina atau pembentuk ujian.

Pembahagian kesetiaan:
Ahli psikologi mestilah melindungi kebajikan dan privasi klien, pengguna ujian atau majikan.
Jika wujud percanggahan hak asasi klien adalah sangat penting dan ia mengatasi yang lain-
lainnya.

Satu prinsip etika yang penting di bawah isu pembahagian kesetiaan atau loyalti ialah ahli
psikologi mesti melindungi kebajikan dan privasi klien serta pengguna ujian atau majikan.
Dalam praktis yang sebenar, konflik selalu timbul apabila kebajikan individu bertentangan
dengan kebajikan institusi yang menjadi pelanggan ujia psikologi. Dalam hal kesetiaan, ahli
psikologi telah dibahagikan. Dalam hal ini, panduan yang jelas ialah ahli psikologi mesti
melindungi keselamatan ujian dan juga tidak melanggar hak asasi klien. Dari segi etika,
kaunselor atau ahli psikologi boleh menyelesaikan konflik jika ada dengan memberitahu
kesetiaan mereka. Ahli psikologi mesti memberitahu klien secara jelas tentang bagaimana
ujian akan digunakan dan menerangkan had-had kerahsiaan.
Dalam sesuatu keadaan, keselamatan alat ukuran atau ujian adalah tidak begitu penting
berbanding hak asasi individu untuk mengetahui asas pertentangan keputusan jika ada. Dalam
hal ini, keputusan itu bolehlah diterangkan kepada klien ataupun keputusan itu diberi kepada
wakil klien yang layak untuk menerangkannya. Dalam hal ini, jelas menampakkan bahawa
hak asasi klien adalah sangat penting mengatasi yang lain-lain.

Tanggungjawab pengguna dan pencipta ujian:


Pengguna ujian adalah bertanggungjawab mengetahui sebab-sebab penggunaan ujian, akibat
dan prosedur yang diperlukan untuk memaksimumkan keberkesanan ujian dan meminimakan
ketidakadilan.

Kaunselor mesti menguasai asas-asas prinsip dalam pembinaan ujian, mengetahui kualiti
psikometrik (kesahan, kebolehpercayaan & norma) ujian dan kajian-kajian lepas yang
berkaitan dengan ujian yang digunakan.

Isu etika yang kedua ialah tanggungjawab pengguna ujian dan pencipta ujian. Hampir
kesemua ujian psikologi boleh digunakan dalam situasi yang betul. Namun begitu, sesuatu
ujian yang sempurna jika diguna dengan cara yang tidak betul boleh menimbulkan kerugian
dan kemudaratan kepada klien. Bagi mengurangkan kesan kerugian atau kerosakan kepada
klien, APA mengkhususkan bahawa pengguna ujian adalah bertanggungjawab mengetahui
sebab-sebab penggunaan ujian, akibat dan prosedur yang diperlukan untuk memaksimumkan
ketidakadilan.
Kaunselor atau ahli psikologi mestilah memiliki pengetahuan yang mencukupi untuk
memahami asas-asas prinsip dalam pembinaan ujian yang mereka tadbirkan. Mereka juga
harus mengetahui kualiti psikometrik alat-alat ukuran yang digunakan serta kajian-kajian
lepas yang relevan dengan aplikasi alat ukuran ujian berkenaan. Tambahan lagi, pengguna
ujian bertanggungjawab menentukan interpretasi yang berdasarkan ujian yang
dijustifikasikan dan digunakan secara betul.
Dalam hal ini, pengguna mesti mempunyai kelayakan yang diperlukan untuk mentadbirkan
alat ukuran atau ujian-ujian itu. British Psychological Society (BPS) telah mengkategorikan
ujian kepada 3 tahap iaitu Tahap A, B dan C berasaskan mudah atau sukarnya ujian itu
ditadbirkan dan tahap latihan yang diperlukan untuk menggunakan ujian tersebut.
Pengendalian ujian Tahap A adalah paling mudah, manakala pengendalian ujian Tahap C
yang paling sukar. Setiap tahap memerlukan kelayakan dan latihan tertentu.

Tahap-Tahap Ujian Psikologi Oleh British Psychological Society- BPS:


Tahap A: meliputi ujian pencapaian dan kecekapan vokasional. Mudah ditadbir dan dimarkat
secara objektif dan tidak memerlukan kelayakan formal.

Meliputi ujian-ujian atau alat ukuran kemahiran vokasional. Ini meliputi ujian dan inventori
yang mudah ditadbirkan dan diberi skor objektif serta tidak memerlukan latihan dan
kelayakan formal. Pembeli atau pengguna ujian seharusnya mempunyai sedikit pengalaman
mengenai ujian serta menggunakan ujian tersebut untuk tujuan yang telah ditentukan.

Tahap B: meliputi ujian kecerdasan, sikap dan minat yang ditadbir secara berkumpulan.
Hanya boleh diguna oleh ahli yang memperoleh kelayakan formal atau yang telah mengikuti
latihan mentadbir dan menginterpretasi sesuatu ujian dengan jayanya serta diiktiraf oleh BPS.

Ujian-ujian atau alat ukuran kecerdasan, sikap dan minat yang ditadbir secara kumpulan.
Ujian-ujian atau alat ukuran ini hanya boleh dikendalikan oleh ahli psikologi atau kaunselor
yang memiliki kelayakan formal dalam bidang psikologi atau mereka yang telah mengikuti
kursus latihan mentadbir dan mentafsir ujian-ujian yang spesifik dengan jayanya serta
mendapat pengiktirafan daripada British Psychological Society (BPS) memiliki status yang
setara. Individu yang mempunyai pengalaman dalam menggunakan ujian serta mendapat
penyeliaan daripada ahli psikologi juga boleh diterima.

Tahap C: meliputi ujian kecerdasan dan personaliti untuk tujuan klinikal. Hanya boleh
dikendali oleh ahli psikologi yang menjadi ahli bersekutu dengan BPS atau yang mempunyai
latihan dan pengalaman yang setara.

Ujian-ujian kecerdasan dan personaliti untuk tujuan klinikal dan diagnosis. Ujian-ujian atau
alat ukuran ini hanya boleh digunakan oleh ahli psikologi yang menjadi ahli bersekutu
kepada British Psychological Society (BPS) atau mereka yang mempunyai latihan dan
pengalaman yang setara.

Pandangan Kochlar 1983


Penjualan dan pengedaran ujian psikologi mestilah dihadkan kepada pemeriksa yang
berkelayakan.
Skor ujian hanya boleh diperoleh oleh individu-individu yang berkebolehan untuk
mentafsirkannya.
Dalam hal yang berkaitan dengan etika ini, Kochlar (1983) telah menyarankan dua perkara:
1) Penjualan dan pengedaran ujian-ujian mestilah dihadkan kepada pemeriksa-pemeriksa
yang berkelayakan dan 2) Skor ujian hanya boleh diperoleh oleh individu-individu yang
berkebolehan untuk mentafsirkannya. Hal ini membawa implikasi bahawa bukan semua
individu boleh terlibat dalam pentadbiran dan interpretasi sesuatu ujian, tetapi hanya kepada
mereka yang berkebolehan dan berkelayakan, sesuai dengan kehendak etika pengujian dan
pengukuran.
Bagi, membolehkan seseorang individu berupaya mentadbir, mengurus, membuat
pemarkatan dan menginterpretasi sesuatu ujian, perlulah mendapat latihan profesional.
Masalah yang timbul ialah ketiadaan institusi-institusi pendidikan yang pakar di Malaysia
yang boleh memberikan latihan ini. Dalam hal ini, mahu tidak mahu individu yang berminat
di dalam bidang ini terpaksa pergi ke Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia dan
sebagainya.
Jika ini diteruskan, bukan sahaja ia tidak akan dapat menyelesaikan masalah kesahan dan
kebolehpercayaan yang berhubung kait dengan isu-isu silang kebudayaan malahan kos
latihan juga akan menjadi mahal dan tidak ekonomikal. Di sinilah kewujudan alat-alat ujian
tempatan yang lengkap dengan manualnya akan dapat memberikan sumbangan yang
signifikan.
Etika Pengujian dan Pengukuran, juga mengingatkan ahli supaya berjaga-jaga agar tidak
menceduk, mengubahsuai dan menggunakan ujian-ujian yang diterbitkan tanpa menyatakan
penghargaan atau mendapatkan kebenaran dari penerbit. American Personnel and Guidance
Association (APGA 1981) dalam kod etikanya menyatakan:
‘Ahli-ahli hendaklah dilarang daripada mencedok, menerbit semula atau membuat modifikasi
keseluruhan ujian atau sebahagian ujian yang diterbitkan tanpa memberi penghargaan atau
mendapat kebenaran daripada penerbit terawal’.
Untuk mengubah suai sesuatu ujian piawai yang sedia ada juga bukanlah satu misi yang
mudah. Hal ini adalah disebabkan oleh masalah kerenah pentadbiran atau ‘red tape’ yang
melibatkan etika dan undang-undang seperti meminta kebenaran daripada pengasas dan
penerbit berkenaan yang rata-rata berada di luar negeri.
Selain itu, pengubahsuaian juga sukar disebabkan kelainan kriteria-kriteria yang mewakili
konstruk atau gagasan. Kadang-kadang pengubahsuaian yang melibatkan penterjemahan juga
menjadi tidak praktikal kerana item-item yang terkandung dalam ujian yang ingin diubah suai
itu tidak mempunyai apa-apa makna di sini kerana kelainan latar belakang kebudayaan.
Dalam keadaan yang begini adalah lebih baik dan lebih praktikal untuk membentuk sendiri
alat ujian bedasarkan persekitaran tempatan daripada mengubahsuai ujian piawai yang sedia
ada yang rata-ratanya datangnya dari barat.
Pengguna-pengguna ujian terutamanya para kaunselor dan ahli psikologi perlu mengemas
kini pengetahuan mereka tentang ujian-ujian yang baru dicipta. Hal ini adalah untuk
memastikan para kaunselor dan ahli psikologi memiliki pengetahuan terkini dalam ujian-
ujian psikologi. Misalnya mengikut Buros (1978), terdapat sebanyak 209 alat ukuran minat
dan pemilihan kerjaya. Maklumat-maklumat terkini ujian-ujian psikologi boleh diperoleh
daripada Mental Measurement Yearbooks (2003, 2001, 1999, 1998, 1995).
Etika PERKAMA –bahagian H
Persatuan Kaunseling Malaysia (PERKAMA) mempunyai etika yang khusus tentang
Pengukuran dan Penilaian. Etika ini sebenarnya memberikan garis panduan yang perlu diikuti
oleh para kaunselor apabila menggunakan ujian psikologi. Bahagian H etika PERKAMA
telah menggariskan perkara-perkara berikut:
1. Kaunselor hendaklah dengan memberi penerangan yang lengkap tentang ujian supaya
keputusan ujian itu dapat diterima oleh klien dalam perspektif yang betul.
2. Kaunselor hendaklah berhati-hati dalam menggunakan ujian. Ujian yang berlainan
memerlukan tahap kelayakan yang berlainan untuk mengendali dan menginterpretasi.
Ahli mestilah menyedari had-had kebolehan sendiri dan hanya menjalankan ujian-
ujian yang mempunyai kelayakan.
3. Tujuan dan kegunaan keputusan hendaklah diberitahu kepada klien sebelum ujian
diberi kecuali pengecualian hak yang eksplisit dipersetujui terlebih dahulu.
4. Kaunselor hendaklah memberi keterangan yang tepat apabila membuat kenyataan
kepada orang awam tentang ujian dan pengujian. Ahli mestilah mengelak daripada
membuat dakwaan yang tidak benar atau tanggapan yang salah.
5. Kaunselor hendaklah mengawasi supaya keputusan ujian tidak disalah erti atau
disalahgunakan.
6. Pencapaian yang bermakna daripada keputusan ujian lazimnya disebabkan oleh
ketidakbiasaan calon tentang sesuatu perkara yang terdapat dalam sesuatu ujian.
Mengajar atau memberitahu bahan-bahan ujian sebelum sesuatu ujian itu dijalankan
memungkinkan keputusan ujian menjadi tidak sah. Oleh yang demikian, pengawasan
yang rapi ke atas alat ujian adalah satu daripada tanggungjawab ahli.
7. Ujian-ujian mestilaah dijalankan dalam keadaan-keadaan yang sama dengan norma.
Apabila ujian diadakan dalam keadaan yang tidak lazim atau berlaku sesuatu semasa
pengendalian ujian, perkara itu mestilah dicatatakan. Keputusan ujian hendaklah
diisytiharkan dengan jelas kepada klien.
8. Ahli-ahli mestilah berhati-hati apabila menginterpretasi sesuatu keputusan daripada
bahan atau alat ujian yang tidak lengkap. Tujuan utama penggunaan alat ujian itu
mestilah dinyatakan dengan jelas kepada klien.
9. Keputusan ujian yang diberi kepada majikan atau lain-lain pihak yang berkenaan
untuk tujuan penilaian atau klasifikasi mestilah diawasi supaya tidak disalah erti atau
disalah guna. Kebajikan calon mestilah diambil kira sebagai kriteria penting dalam
apa-apa pertimbanagn.
10. Ahli-ahli mestilah berhati-hati apabila membuat penilaian dan menginterpretasi
prestasi calon yang tidak termasuk dalam kumpulan norma di mana alat ujian itu
distandardisasikan. Ahli-ahli yang menggunakan ujian dari luar negara mestilah
berhati-hati semasa mengguna dan menginterpretasi keputusan ujian dengan
mengambil kira budaya golongan norma yang telah digunakan oleh pencipta ujian
dalam proses piawaian.
11. Ahli-ahli mestilah berhati-hati supaya tidak mencedok, mengubahsuai dan
menggunakan ujian-ujian yang diterbitkan tanpa menyatakan penghargaan atau
mendapat kebenaran daripada penerbit.
ETIKA ACA
Umumnya, etika American Caunseling Assosiation (ACA) mempunyai persamaan dengan
apa yang digariskan dalam etika PERKAMA. Dalam kod etika yang berkaitan Penilaian,
pentaksiran dan Interpretasi diletakkan di bahagian E, kod etika ACA. Ianya kemudiannya
dipecahkan kepada 12 komponen seperti berikut :

E.1 UMUM
a. Teknik penaksiran. Kegunaan utama penilaian Pendidikan dan psikologikal ialah
menyediakan pengukuran yang objektif dan boleh ditafsirkan sama ada secara
komparatif atau secara mutlak. Kaunselor menerima keperluan untuk
mengintepretasi pernyataan dalam bahagaian ini untuk diaplikasikan kepada
keseluruhan Teknik penaksiran yang meliputi data ujian dan bukan ujian.
b. Kebajikan klien. Kaunselor mengutamakan kebajikan dan keutamaan klien dalam
pembangunan, penerbitan dan penggunaan Teknik-teknik penilaian Pendidikan
dan psikologikal. Mereka tidak menyalahgunakan keputusan dan pentafsiran
penilaian dan mengambil Langkah-langkah wajar untuk menghalang orang lain
meyalahgunakan maklumat yang diperoleh daripada Teknik ini. Mereka
menghormati hak klien untuk mengetahui keputusan , interpretasi yang dilakukan
dan asas kesimpulan dan saranan mereka.

E.2 KELAYAKAN UNTUK MENGGUNAKAN DAN MENGINTERPRETASI


UJIAN.
a. Had-had kelayakan. Kaunselor mengetahui had kelayakan mereka dan hanya
menjalankan ujian atau perkhidmatan pennilaian yang mereka telah mendapat
Latihan. Mereka biasa dengan kebolehpercayaan, keesahan, piawaian yang
berkaitan, ralat pengukuran dan aplikasi yang betul tentang sesuatu Teknik yang
digunakan. Kaunselor yang menggunakan pentafsiran ujian berbantukan komputer
hendaklah mendapatkan latihan tentang gagasan yang diukur serta alatan khusus
yang digunakan sebelum menggunakan aplikasi computer jenis ini. Kaunselor
hendaklah mengambil Langkah yang sesuai untuk memastikan penggunaan
Teknik-teknik penilaian yang betul oleh individu di bawah seliaan mereka.
b. Kesesuaian penggunaan. Kaunselor bertanggungjawab menentukan aplikasi yang
bersesuaian, pemarkatan, interpretasi dan penggunaan alat-alat penilaian sama ada
mereka memberikan markah atau mengintepretasi dan penggunaan alat-alat
penilaian sama ada mereka memberi markah atau mengintepretasi sendiri ujian
tersebut atau menggunakan komputer atau perkhidmatan lain.
c. Membuat keputusan berasaskan keputusan ujian. Kaunselor yang
bertanggungjawab dalam membuat keputusan yang melibatkan individua tau
polisi berasaskan keputusan penilaian hendaklah memiliki fahaman yang
menyeluruh tentang pengukuran Pendidikan dan psikologikal termasuklah kriteria
kesahan, penyelidikan tentang ujian dan garis panduan untuk pembinaan dan
kegunaan ujian.
d. Maklumat yang tepat. Kaunselor memberi maklumat yang tepat dan mengelak
tuntutan palsu atau salah anggap apabila membuat kenyataan tentang alat-alat atau
Teknik penilaian. Usaha khusus mestilah dibuat untuk mengelak memberi erti
selain makna yang biasa seperti istilah darjah kecerdasan (IQ) dan skor gred
taraan.

E.3. PEMBERITAHUAN PERSETUJUAN


a. pemberitahuan kepada klien. Sebelum penilaian kaunselor hendaklah
memberitahu sifat dan kegunaan penilaian serta tujuan khusus keputusan ujian
menggunakan Bahasa yang boleh difahami oleh klien (atau individu lain yang
diberi kuasa secara perundangan) melainkan jika pengecualian khusus terhadap
hak ini dipersetujui terlebih dahulu. Tanpa mengambil kira sama ada pemarkatan
dan interpretasi dilakukan oleh kaunselor, pembantu atau komputer atau lain-lain
perkhidmatan, kaunselor hendaklah mengambil langkah-langkah perlu bagi
memastikan penjelasan yang bersesuaian diberikan kepada klien.
b. penerimaan keputusan. Kebajikan individu yang mengambil ujian, persefahaman
yang jelas dan persetujuan awal menentukan penerimaan keputusan ujian.
Kaunselor hendaklah memberikan intepretasi yang yang tepat dan betul mana-
mana keputusan yang dilaksanakan secara individua tau berkumpulan.

E.4. PELEPASAN MAKLUMAT KEPADA PROFESIONAL BERKELAYAKAN


a. Salah guna keputusan. Kaunselor tidak menyalahguna keputusan penilaian,
meliputi keputusan ujian dan pentafsiran dan mengambil Langkah-langkah perlu
untuk menghalang penyalahgunaan keputusan individu lain.
b. Pelepasan data mentah. Kaunselor biasanya melepaskan data (misalnya protocol,
nota kaunseling dan temuduga atau soal selidik) klien yang telah dikenalpasti
setelah mendapat kebenaran klien atau wakil sah klien. Data sedemikian biasanya
dilepaskan hanya kepada individu yang diiktiraf oleh kaunsleor sebagai mahir
dalam mengintepretasi data.

E.5. DIAGNOSIS BETUL KECELARUAN MENTAL


a. Diagnosis yang betul. Kaunselor hrndaklah mengambil Langkah khusus untuk
memberi diagnosis yang betul tentang kecelaruan mental. Teknik penilaian
(termaksuk temu duga peribadi) digunakan untuk menentukan penjagaan klien
(contoh, lingkungan rawatan, jenis rawatan atau susulan rawatan yang
dicadangkan) hendaklah dipilih dengan teliti dan digunakan dengan baik
b. Sensitiviti budaya. Kaunselor mengiktiraf bahawa budaya memberi kesan kepada
cara bagaimana masalah klien didefinisikan. Taraf sosioekonomi dan pengalaman
budaya klien hendaklah diambil kira apabila mendiagnisis kecelaruan mental.

E.6. PEMILIHAN UJIAN


a. Kesesuaian alat ukuran. Kaunselor hendaklah menimbang secara hati-hati
kesahan, kebolehpercayaan, limitasi psikometrik dan kesesuaian alat ukuran
apabila memilih ujian untuk digunakan dalam sesuatu keadaan atau dengan klien
tertentu.
b. Populasi pelbagai budaya. Kaunselor hendaklah berhati-hati apabila memilih ujian
untuk populasi pelbagai budaya bagi mengelak ketidaksesuaian ujian yang
mungkin wujud disebabkan ujian dibangunkan di luar norma perlakuan yang telah
disosialisasikan atau diluar cara gaya kognitif.

E.7. SUASANA PENTADBIRAN UJIAN


a. Suasana pentadbiran. Kaunselor hendaklah mentadbir ujian di bawah suasana
yang serupa dengan suasana di mana ujian itu dipiawaikan. Apabila ujian tidak
ditadbirkan di bawah suasana yang serupa atau tingkah laku di luar dari kebiasaan
atau ketidakserupaan berlaku semasa sesi ujian dan keputusan mungkin dianggap
sebagai tidak sah atau keesahannya diragukan.
b. Pentadbiran menggunakan komputer. Kaunselor adalah bertanggungjawab untuk
memastikan program pentadbiran ujian berfungsi dengan baik untuk memberi
klien keputusan yang tepat apabila komputer atau kaedah-kaedah elektronik lain
digunakan untuk pentadbiran ujian.
c. Mengambil ujian tanpa penyeliaan. Kaunselor tidak dibenarkan menggunakan
ujian tanpa seliaan atau seliaan yang tidak mencukupi melainkan ujian atau
penilaian itu dibina, dimaksudkan dan disahkan untuk pentadbiran dan
pemarkatan secara sendiri.
d. Pemberitahuan suasana yang menguntungkan. Sebelum ujian ditadbirkan suasana
yang menghasilkan keputisan ujian paling menguntungkan hendaklah diberitahu
kepada individu yang mengambil ujian.

E.8. KEPELBAGAIAN DALAM PENGUJIAN


a. Kaunselor hendaklah berhati-hati dalam menggunakan teknik pentaksiran,
membuat penilaian dan mengintepretasi pencapaian populasi yang tidak diwakili
dalam kumpulan norma di mana alat ukuran dipiawaikan. Mereka hendaklah
menyedari kesan umur, warna kulit, budaya, kerencatan, kumpulan, etnik, ras,
agama, orientasi seksual dan status ekonomi ke atas pentadbiran dan pentafsiran
dan meletakkan keputusan ujian pada prospektif yang betul dengan faktor lain
yang relevan.

E.9 PEMARKATAN DAN PENTAFSIRAN UJIAN


a. Had melaporkan. Dalam melaporkan keputusan penilaian, kaunselor hendaklah
menyatakan apa-apa had atau batasan yang ada tentang kesahan atau
kebolehpercayaan disebabkan keadaam penilaian atau norma yang tidak bersesuaian
untuk individu yang diuji.
b. Instrumen penyelidikan. Kaunselor hendaklah berhati-hati apabila mentafsir
keputusan instrumen penyelidikan yang mempunyai data teknikal yang tidak
mencukupi untuk menyokong keputusan responden. Tujuan yang spesifik untuk
penggunaan instrumen sedemikian hendaklah dinyatakan secara eksplisit kepada
individu yang mengambil ujian.
c. Perkhidmatan ujian. Kaunselor yang menyediakan perkhidmatan pemarkatan dan
interpretasi ujian bagi menyokong proses penilaian hendaklah mengesahkan
kesahan pentafsiran adalah sedemikian. Mereka hendaklah secara tepat
menghuraikan tujuan, norma, kesahan, kebolehpercayaan dan aplikasi prosedur
serta kelayakan khusus yang bersesuaian dengan penggunaanya. Orang ramai yang
menawarkan perkhidmatan pentafsiran ujian secara automatik hendaklah dianggap
sebagai penasihat profesional kepada profesional. Tanggungjawab formal penasihat
individu yang diberi nasihat, tetapi tanggungjawab muktamad mengatasi yang lain-
lain ialah tanggungjawab kepada klien.

E.10 KESELAMATAN UJIAN


Kaunselor hendaklah mengekalkan integriti dan keselamatan ujian serta teknik
penilaian lain konsisten dengan tanggungjawab perundangan dan kontrak. Kaunselor
tidak boleh mengambil dan menggunakan sebagai hak sendiri, menghasilkan semula
atau mengubahsuai ujian-ujian yang diterbitkan atau sebahagian daripadanya tanpa
memberi penghargaan dan memperoleh kebenaran daripada penerbit.

E.11 UJIAN YANG LAMA DAN KEPUTUSAN UJIAN LUPUT TARIKH


Kaunselor hendaklah tidak menggunakan data atau keputusan ujian yang sudah lama
atau luput tarikh untuk kegunaan semasa. Kaunselor hendaklah berusaha sedaya
upaya usaha bagi penyalahgunaan pengukuran dan data ujian yang lama oleh individu
lain.

E.12 PEMBINAAN UJIAN


Kaunselor hendaklah menggunakan prosedur saintifik yang kukuh, piawaian yang
relevan dan pengetahuan profesional terkini untuk pembinaan, penerbitan dan
penggunaan teknik penilaian pendidikan dan psikologikal.

You might also like