Refleksi KPR

Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 6

REFLEKSI RPH SMK BUKIT KATIL, MELAKA

Pengenalan

Saya telah menjalankan aktiviti pengajaran makro yang melibatkan murid tahun 5
Yakin seramai 33 orang. Walaupun pada asalnya bilangan murid seramai 43 orang
disebabkan beberapa orang murid terlibat dengan latihan koir sekolah maka 10 orang murid
tiada di dalam kelas. Murid-murid di dalam kelas ini adalah terdiri daripada murid yang
beraras cerdas dan sederhana. Saya menjalankan pengajaran matapelajaran Sains untuk
pengajaran makro ini.

Tajuk pengajaran yang saya pilih ialah Menyiasat Dunia dan Teknologi. Hasil pengajaran
adalah mengetahui faktor yang mempengaruhi kestabilan struktur. Saya menetapkan tiga
objektif pembelajaran iaitu objektif mata pelajaran, objektif saintifik dan objektif berkaitan
kemahiran manipulatif sains. Saya telah menyediakan beberapa bahan bantu mengajar yang
bersesuaian dan menjalankan pengajaran mengikut rancangan pengajaran yang dirancang
lebih awal. Pengajaran makro ini telah dijalankan selama 30 minit di dalam makmal bagi
memudahkan murid menjalankan aktiviti berkumpulan.

Kebaikan

Dalam pengajaran makro yang telah saya jalankan ini, beberapa kekuatan atau kebaikan
dapat dikesan. Antaranya ialah guru merancang set induksi yang menarik minat murid untuk
meneruskan pengajaran. Ia juga melibatkan keseluruhan kelas iaitu semua murid berdiri
dengan sebelah kaki dan dua belah kaki untuk merasai situasi yang dikehendaki. Ia juga dapat
merangsang minda murid untuk mengaitkan dengan pengajaran dan pembelajaran pada hari
ini. Guru menekankan tentang difinisi kestabilan bagi memudahkan murid mengikuti isi
pelajaran yang seterusnya.

Penerangan guru jelas dalam setiap aktiviti yang dijalankan. Penerangan dan intonasi guru
yang jelas dapat membantu murid memahami apa yang disampaikan oleh guru dengan lebih
berkesan. Guru sentiasa memastikan semua murid dapat mendengar dan melihat dengan jelas
bahan yang ditunjukkan semasa P&P. Guru juga peka terhadap murid dengan memberikan
bantuan dan tunjuk ajar dalam memahami sesuatu konsep. Contohnya, guru memberikan
tunju cara kepada murid untuk menjalankan aktiviti berkumpulan.

Bahan bantu mengajar yang disediakan juga bersesuaian. Terdapat beberapa alat bantu
mengajar yang menarik minat murid seperti basikal yang jarang dilihat oleh murid. Alat
bantu mengajar yang fleksibal dan menjimatkan masa seperti carta dan kad bergambar
membantu proses P&P berjalan lebih lancar tanpa perlu mengambil masa untuk menulis nota
di papan putih dan melukis gambar. Murid juga melakukan pergerakkan ke hadapan kelas
untuk menampal kad bergambar. Aktiviti ini dirancang bagi menghilangkan rasa tegang
dengan hanya duduk di kerusi mereka.

Guru merancang aktiviti berkumpulan yang sesuai bagi membolehkan murid merasai dan
melihat sendiri faktor yang mempengaruhi kestabilan struktur. Aktiviti seumpama itu dapat
membuatkan murid lebih faham dan mudah untuk mengingati isi pelajaran iaitu faktor yang
mempengaruhi kestabilan. Guru memberikan tunjuk ajar disetiap kumpulan bagi memastikan
murid dapat menjalankan aktiviti dengan betul. Aktiviti ini juga dapat menjana minda murid
dengan melakukan aktiviti berdasarkan kad tugasan yang diberi. Kad tugasan memuatkan
arahan yang jelas bagi membolehkan murid membuat aktiviti dengan baik. Murid juga dapat
membaca dan memahami arahan dengan baik.

Aktiviti berkumpulan yang dijalankan dapat melibatkan semua murid. Ini mendorong murid
untuk melibatkan diri dengan aktif sepanjang pengajaran dijalankan. Saya dapat melihat
semua murid berusaha untuk mencuba aktiviti yang disediakan secara sukarela. Aktiviti ini
juga dapat menggalakkan komunikasi antara rakan kerana mereka perlu berbincang untuk
menjalankan aktiviti dengan betul. Melalui aktiviti ini juga , saya dapat melihat beberapa
nilai murni yang ditonjolkan oleh murid seperti semangat kerjasama, bertimbangrasa,
bertanggungjawab dan bertoleransi. Setelah aktiviti selesai dijalankan, semua murid
menunjukkan sikap yang positif dan meluahkan perasaan gembira. Suasana pembelajaran
kelihatan ceria dan memberangsangkan.

Pembentangan hasil aktivti yang dijalanakan dapat membantu murid mempunyai daya
keberanian untuk bercakap dikhalayak ramai. Murid akan mempunyai rasa tanggungjawab
dan berkebolehan untuk menerangkan kepada rakan-rakan hasil dapatan mereka.

Dalam fasa aplikasi idea guru menekankan aspek penting dalam kemahiran proses sains iaitu
mengenal pasti pemboleh ubah. Aspek ini sangat penting dan guru berjaya menyampaikan
dengan menjawab soalan yang bersesuaian dengan aktiviti yang telah dijalankan oleh murid.
Guru sentiasa memberikan bimbingan kepada murid untuk menjawab soalan dengan baik dan
berkesan.

Guru juga merupakan seorang yang ada mempunyai unsur kecindan, tidak terlalu garang atau
menunjukkan rasa marah jika murid tidak dapat menjawab soalan, guru turut memberikan
penghargaan dan galakan seperti memberikan tepukan, kata-kata pujian dan ganjaran (gula-
gula) kepada murid yang dapat menjawab soalan dengan betul. Elemen ini dapat
mengeratkan hubungan antara murid dengan guru dan murid akan meresa selesa untuk
bertanya atau berkongsi idea bersama guru mereka. Saya dapat mengaplikasikan kemahiran
memperkukuh sepanjang pengajaran dijalankan. Kemahiran pengukuhan atau peneguhan
merupakan satu teknik mengajar yang digunakan apabila murid memberi jawapan yang betul.
Dalam keadaan ini guru memberi pujian kepada murid itu sebagai pengukuhan tingkah
laku .Saya yakin dengan menggunakan kemahiran ini dapat memberi galakan kepada murid
untuk melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti pembelajaran.

Memberi pengukuhan kepada murid juga dapat memupuk semangat keyakinan untuk murid
yang mewujudkan tingkah laku positif. Ia juga dapat membantu memperbaiki disiplin kelas
dengan mengubah tingkah laku negatif yang timbul. Keadaan ini dapat ditunjukkan apabila
saya menjalankan aktiviti semua murid berusaha untuk memilih jawapan yang betul untuk
mendapat pujian tersebut. Bagi murid yang belum menerima pengukuhan juga sentiasa
berusaha menunjukkan tingkah laku yang baik .Situasi ini menjadikan disiplin kelas
bertambah baik dan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dengan lancar dan
berkesan. Murid yang telah menerima pengukuhan merasa usahanya telah dihargai dan
semangat keyakinan terhadap daya pembelajarannya semakin bertambah. Perhubungan
diantara saya dengan murid juga bertambah mesra dan aktiviti pengajaran saya menjadi
proses pengajaran dan pembelajaran yang digemari oleh murid.

Akhir sekali, satu lagi kebaikan yang dapat dikesan ialah guru tidak lupa untuk bertanyakan
semua rumusan pelajaran pada hari itu dengan bertanyakan semula isi pelajaran yang
disampaikan. Kebolehan murid merumuskan semula isi pelajaran dapat menguji kejayaan
pengajaran dan pembelajaran pada hari itu. Rumusan oleh guru juga penting untuk
memantapkan pengetahuan murid tentang apa yang telah dipelajari.

Kelemahan

Setiap guru tidak dapat lari dari melakukan kesilapan dan mempunyai kelemahan
dalam pengajarannya. Saya turut menyedari kelemahan yang terdapat dalam pengajaran
makro ini menerusi penyediaan ringkasan mengajar dan tayangan semula video rakaman.
Beberapa kelemahan saya ialah alat bantu mengajar yang saya gunakan untuk aktiviti
berkumpulan kurang menggunakan radas sains yang sebenar. Seharusnya saya boleh
menggunakan radas sains seperti kelalang kon, bentuk-bentuk bongkah kayu dan bikar yang
pelbagai saiz. Ini dapat membantu murid mendekatkan diri dengan peralatan sains.

Pada fasa set induksi juga saya rasakan adalah lebih baik jika saya memanggil
seorang murid sahaja untuk melakukan aktiviti berdiri sebelah kaki dan dua belah kaki
supaya murid-murid lain lebih jelas dengan situasi yang ingin disampaikan. Arahan kurang
jelas menyukarkan murid melakukan aktiviti yang diingini oleh guru. Murid juga boleh
menggunakan pengetahuan lepasnya untuk membina konsep yang baru dengan lebih mudah.
Saya dapati set induksi dalam pengajaran makro yang saya rancangkan tidak menarik. Ia juga
tidak mencabar minda murid dan kurang sesuai dengan tahap kebolehan murid. Saya juga
tidak dapat meyediakan alat bantu mengajar dalam fasa ini yang boleh menarik perhatian
murid dan memperkembangkan pengetahuan sedia ada murid.

Pada fasa penstrukturan semula idea, di mana aktiviti kumpulan dijalankan adalah
lebih baik ia dibuat dalam sistem stesen. Ini kerana setiap kumpulan akan melakukan aktiviti
yang berbeza iaitu 4 aktiviti dapat di lakukan untuk mengukuhkan pemahaman mereka
tentang konsep yang disampaikan. Kad tugasan jelas tetapi kurang menarik. Guru lupa
menyediakan borang pemerhatian untuk murid mencatatkan hasil aktiviti mereka. Murid
tidak membentangkan hasil kumpulan di hadapan kelas, tetapi hanya menunjukkan semula di
dalam kumpulan masing-masing.

Kelemahan yang seterusnya di dalam fasa aplikasi idea dimana aktiviti permainan
tidak dapat dijalankan kerana kesuntukan masa untuk membawa murid ke luar kelas. Makmal
dirasakan tidak sesuai untuk menjalankan aktiviti permainan tersebut kerana berbasikal
memerlukan tempat yang lebih luas. Guru juga tidak membincangkan tentang aplikasi
kestabilan struktur dalam kehidupan seharian murid. Seharusnya pada fasa ini, guru meminta
pendapat murid tentang perkaitan kestabilan struktur dengan situasi yang sebenar.

Guru yang baik seharusnya dapat memastikan pengurusan masa yang sesuai dengan
aktiviti yang dirancangkan. Jika masa tidak dirancang dengan baik dan tidak bersesuaian
dengan aktiviti yang dijalankan sudah pasti pengajaran dan pembelajaran tidak dapat
dijalankan dengan sempurna. Pengurusan masa saya juga tidak terlalu memuaskan dan perlu
difikirkan semula supaya dapat melaksanakan pengajaran dengan berkesan dan mencapai
objektif yang dirancang.
Langkah mengatasi kelemahan

Setiap kelemahan dan kekurangan yang dikesan memerlukan penambahbaikan bagi


meningkatkan kualiti pengajaran pada masa akan datang. Berdasarkan kelemahan dan
kekurangan dalam pengajaran makro yang telah saya jalankan, penambahbaikan yang perlu
dilakukan ialah menyediakan set induksi yang lebih menarik semasa permulaan pengajaran.
Saya perlu menyediakan suatu aktiviti yang luar biasa untuk membangkitkan rasa ingin tahu
murid untuk meneroka ilmu seterusnya. Dalam set induksi juga terdapat empat jenis
komponen iaitu untuk menarik perhatian, mewujudkan motivasi, membuat perkaitan dan
menstruktur. Aktiviti pengajaran dalam set induksi hendaklah dirancang berdasarkan
komponen-komponen tersebut disamping penyediaan alat bantu mengajar yang lebih relevan
untuk menjamin keberkesanan aktiviti dalam permulaan pengajaran.

Banyak bahan bantu mengajar yang lebih menarik dan lebih baik boleh saya gunakan dalam
pengajaran saya untuk tajuk ini. Dalam aktiviti yang dijalankan seharusnya saya dapat
menggunakan pelbagai radas sains untuk memperkembangkan pengetahuan murid dalam
mengenali radas-radas Sains. Antaranya yang boleh saya gunakan ialah kelalang kon, bikar
dan lain-lain peralatan yang sesuai.

Untuk memperbaiki kad tugasan saya yang kurang menarik, saya seharusnya menggunakan
teknologi komputer untuk menghasilkan kad tugasan yang lebih baik. Kad tugasan itu juga
boleh dilengkapi terus dengan borang pemerhatian setiap kumpulan untuk menjawab hasil
aktiviti mereka. Pembentangan yang dijalankan di hadapan kelas seharusnya dilaksanakan.
Guru boleh menyediakan sebuah meja dihadapan kelas untuk diletakkan bahan yang
digunakan dan menunjukkan cara aktiviti yang dilaksanakan oleh setiap kumpulan. Murid
lain dapat melihat dan memberi komen yang lebih membina dalam setiap aktiviti yang
dijalankan

Penambahbaikan lain yang boleh saya lakukan ialah memastikan masa untuk melaksanakan
sesuatu fasa dilakukan dengan baik. Contohnya, aktiviti permainan yang tidak dapat
dijalankan memerlukan masa yang lebih untuk mambawa murid keluar dari kelas dan tempat
yang lebih sesuai. Murid sememangnya teruja untuk menaiki basikal tersebut tetapi saya
lebih menitik beratkan faktor keselamatan murid. Jika masa mencukupi saya akan membawa
murid ke padang sekolah untuk mencuba menaiki basikal tersebut dengan kawalan guru. Ini
dapat memberikan kesan positif apabila murid gembira dan terkenang aktiviti yang mereka
lakukan. Untuk itu saya akan memastikan aktiviti yang dirancang bersesuaian dengan masa
yang diperlukan dalam pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan.

Saya juga perlu menguasai teknik menyoal supaya aras soalan sesuai dengan murid,
kebolehan dan pengalaman masing-masing. Melalui aktiviti soal jawab juga, perhubungan
guru dan murid dapat dijalin dengan baik. Saya akan cuba menyoal setiap orang murid
secara keseluruhan kelas supaya semua murid sentiasa bersedia dan menyediakan jawapan
bagi soalan yang saya kemukakan. Setiap murid perlu diberikan peluang dan masa untuk
memikirkan jawapan yang dikehendaki oleh guru.

Kesimpulan

Refleksi pengajaran makro yang dibuat dapat menilai kekuatan dan kelamahan saya dalam
pengajaran dan pembelajaran yang saya jalankan. Saya juga dapat meneliti setiap fasa
pengajaran dengan cara yang lebih sistematik dan mendapatkan maklumbalas dengan segera
untuk memperbaiki kelemahan yang ada. Guru yang bijak dan dedikasi seharusnya
memikirkan cara yang terbaik untuk proses pengajaran dan pembelajarannya. Murid adalah
pelanggan yang perlu diutamakan. Refleksi yang dibuat akan memperlihatkan kelabihan dan
kekurangan guru dalam pengajarannnya. Langkah memperbaiki kelemahan perlu
dilaksanakan bukan sekadar membiarkannya sahaja tanpa mengambil tindakan yang
sewajarnya.

Bagi saya yang mengajar untuk tiga kelas tahun 5 akan memastikan kesilapan tidak berulang
untuk mengajar topik yang sama di kelas yang lain. Penambahbaikkan perlu dilakukan. Itulah
tugas guru dalam menempuh arus perjuangan mendidik anak bangsa. Guru perlu sentiasa
peka, sedia dan menanamkan sikap untuk membuat yang terbaik. Jika kita dapat membuat
yang terbaik, kejayaan anak didik akan menjamin kepuasan guru dalam kerjayanya.

Setelah meneliti video pengajaran dan rancangan pengajaran yang saya sediakan, saya dapati
proses pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan adalah berjaya dan mencapai objektif.
Walaubagaimanapun penambahbaikkan perlu dijalankan supaya pengajaran dan
pembelajaran lebih berkesan. Bagi saya, perkara utama adalah persediaan guru, teknik
pengajaran dan bahan bantu mengajar yang sesuai dapat membantu guru dan murid
memahami isi pelajaran dengan lebih baik dan berkesan.

You might also like