Contoh Karangan

Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 34

1.

KEPENTINGAN PERPADUAN
Dalam meniti era globalisasi kini, perpaduan merupakan aset terpenting Malaysia
kerana tanpa perpaduan, tidak mungkin keharmonian dapat dinikmati ibarat 'bersatu
kita teguh, bercerai kita roboh'. Oleh sebab itu semangat tolong-menolong sesama
masyarakat amat penting untuk melaksanakan sesuatu perkara. Bertitik tolak daripada
sikap saling menolong ini, akan lahirlah masyarakat yang bersatu padu. Persoalannya,
apakan kepentingan perpaduan dalam membina negara harmoni?

Antara kepentingan perpaduan ialah perpaduan dapat menjadikan Malaysia


sebagai sebuah negara yang merdeka. Hal ini dikatakan demikian kerana sebelum
Malaysia mencapai kemerdekaan, pelbagai ranjau berduri yang dilalui oleh generasi
terdahulu untuk menuntut kemerdekaan. Hasil perpaduan masyarakat Tanah Melayu
ketika itu yang berganding bahu menuntut kemerdekaan telah membuka mata pihak
Inggeris supaya memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu. Implikasinya,
masyarakat kini hidup harmoni tanpa gangguan dan kongkongan penjajah. Jelaskah
menunjukkan bahawa perpaduan yang telah wujud kini adalah warisan daripada
warisan nenek moyang yang harus dikekalkan agar tak lapuk dek hujan, tak lekang
dek panas.

Selain itu, perpaduan kaum juga dapat mengelakkan semangat assabiah iaitu
semangat kekitaan yang hanya mementingkan diri sendiri ala 'enau dalam belukar,
melepaskan pucuk masing-masing'. Semangat assabiah ini akan menimbulkan
permusuhan antara kaum. Hasilnya, Malaysia dapat menjadi contoh terbaik kepada
negara lain seperti negara Amerika Syarikat yang mengamalkan Dasar Aparteid.
Dasar Aparteid ialah dasar yang mewujudkan jurang perbezaan antara golongan
berkulit putih dengan golongan berkulit hitam. Akibatnya, wujudlah pelbagai masalah
sosial yang melibatkan perkauman berdasarkan warna kulit. Sebagai iktibar,
masayarakat Malaysia wajar mengekalkan perpaduan demi mengelakkan semangat
assabiah terjadi di atas bumi Malaysia ini.

Di samping itu, kepentingan perpaduan yang lain pula ialah perpaduan dapat
membangunkan ekonomi negara. Perpaduan yang ditunjukkan oleh masyarakat
Malaysia akan menarik minat pelancong asing untuk mengenali dengan lebih dekat
lagi budaya masyarakat Malaysia yang berbeza kaum dan agama tetapi dapat hidup
dengan harmoni di bawah satu bumbung. Selaras dengan itu, ekonomi negara akan
berkembang dengan kemasukan palancong asing. Masyarakat Malaysia juga dapat
berkongsi ilmu antara satu sama lain dalam membangunkan negara. Pelabur dari luar
negara juga akan berminat untuk melabur di Malaysia. Rentetan itu, perpaduan kaum
yang mampu meningkatkan taraf ekonomi negara akan menjadikan Malaysia berdiri
sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara lain.

Konklusinya, pihak kerajaan perlulah mengadakan pelbagai program atau


aktiviti yang dapat memupuk semangat perpaduan kaum. Masyarakat Malaysia juga
perlu memainkan peranan dalam memupuk perpaduan kaum supaya negara kekal
dalam kemerdekaan. Semoga tahun kemerdekaan pada tahun ini akan meningkatkan
kesepakatan masyarakat untuk menobatkan Malaysia agar gah dan popular di seluruh
sarwajagat ini. Laungan 'Malaysia Boleh' perlu diteruskan agar semangat warganegara
Malaysia ini digeruni oleh negara luar.
2. LANGKAH MEMUPUK PERPADUAN KAUM
Malaysia telah melalui pelbagai pengalaman pahit sebelum berdiri teguh dan kukuh
sebagai negara membangun. Bagi memastikan negara tidak dijajajah dan digugat oleh
negara asing, perpaduan kaum sangat penting demi menjamin ketenteraman negara
ini. Persoalannya, apakah langkah-langkah memupuk perpaduan antara kaum?
Antara langkah memupuk perpaduan antara kaum ialah menyemaikan
perasaan cinta dan sayangkan negara dalam diri semua lapisan masyarakat. Hal ini
dikatakan demikian kerana semangat nasionalisme yang mendalam tanpa mengira
kaum, agama dan warna kulit telah dapat memupuk perpaduan kaum. Sebagai contoh
di sekolah, lagu kebangsaan dinyanyikan dan Rukun Negara dihayati sebagai ikrar
untuk mendisiplinkan diri. Kesannya, mereka akan menyedari akan kepentingan
bersatu padu saling hormat-menghormati.
Seterusnya, pada zaman yang kian maju ini, pendidikan menjadi tunjang
kepada perpaduan dan nasionalisme negara. Dalam pembinaan dan pembentukan
warganegara yang bersatu padu, sekolah dan pendidikan sebenarnya memainkan
peranan dan watak penting dalam hal ini. Falsafah Pendidikan Kebangsaan dicatatkan
satu usaha berterusan ke arah untuk memperkembangkan dan menyerlahkan lagi
potensi setiap individu supaya sentiasa bersatu padu dengan mewujudkan individu
yang harmonis dan mendapat keseimbangan dari segi intelek, emosi, rohani dan juga
jasmani. Kesannya, masyarakat Malaysia yang bersatu padu dan berintegrasi dapat
dilahirkan selari dengan hasrat yang terkandung di dalam Rukun Negara. 
Beralih pada perpektif seterusnya, usaha lain yang dapat direncana untuk
memupuk perpaduan antara kaum di Malaysia adalah dengan menyambut hari
perayaan bersama-sama. Konsep ini sebenarnya telahpun diperkenalkan iaitu
penganjuran rumah terbuka. Negara kita merupakan antara masyarakat yang banyak
meraikan perayaan sepanjang tahun seperti Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri dan
Aidiladha, Deepavali dan sebagainya. Dengan pengajuran rumah terbuka, bangsa lain
yang tidak mengetahui budaya dan tradisi kaum yang menyambut perayaan tersebut
boleh mmepelajari dan menikmati hidangan yang lazimnya dihidangkan. Bak kata
pepatah, tak kenal maka tak cinta. Pada masa yang sama, aktiviti kunjung
mengunjung semasa hari perayaan dapat mengeratkan hubungan antara jiran tetangga
dan komuniti. Sudah terang lagi bersuluh, penganjuran rumah terbuka dapat
memupuk perpaduan antara kaum menerusi perayaan yang disambut.
Dari kaca mata yang lain, perpaduan antara kaum boleh dipupuk dengan
memperkasa aktiviti sukan dan rekreasi dalam komuniti. Hal ini penting kerana selain
memberi manfaat kepada kesihatan, aktiviti sukan dan rekreasi juga mampu
melahirkan sifat bekerjasama dan toleransi antara satu sama lain. Aktiviti sukan dan
rekreasi sangat mudah untuk disertai dan boleh dilakukan pada setiap hari tanpa
mengira waktu dan lapisan umur masyarakat. Oleh itu, pihak berkuasa tempatan dan
kerajaan persekutuan hendaklah berganding bahu bagai aur dengan tebing dalam
menyediakan dan menyelenggara infrastruktur rekreasi dan sukan untuk masyarakat
umum. Intihannya, dengan menyertai aktiviti sukan dan rekreasi, masyarakat bukan
sahaja dapat bersatu padu malah menjadi lebih sihat dan cergas.
Konklusinya, banyak usaha yang boleh dijalankan untuk memastikan
perpaduan antara kaum kekal utuh. Ahli-ahli politik hendaklah menghentikan
diskriminasi antara kaum demi kepentingan diri sendiri. Masyarakat hari juga perlu
mempunyai minda yang terbuka dan luas pengetahuan untuk menerima dan
menghormati kaum atau bangsa lain demi melahirkan sebuah negara yang aman dan
harmoni di bawah satu bendera.
3. MENUJU KECEMERLANGAN DIRI
Tidak dapat dinafikan bahawa setiap murid pasti mempunyai keinginan untuk
mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Kecemerlangan ini hanya akan dapat
dicapai sekiranya pelajar-pelajar berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya.
Kecemerlangan dalam peperiksaan bukanlah sesuatu yang sukar untuk dicapai
sekiranya murid itu sendiri mempunyai azam yang tinggi untuk mencapainya. Justeru,
beberapa langkah perlu saya laksanakan bagi mencapai kecemerlangan dalam
peperiksaan.
Langkah pertama yang saya ambil untuk mencapai kecemerlangan dalam
peperiksaan ialah sentiasa memberikan perhatian ketika guru sedang mengajar di
kelas. Hal ini penting kerana apabila saya memberi perhatian ketika seseorang guru
sedang mengajar, sudah tentu sesuatu pembelajaran  tersebut akan cepat diserap
masuk ke dalam minda saya. Bahkan seorang pakar psikologi pernah mengatakan
bahawa “Lima puluh peratus kejayaan pelajar-pelajar adalah disebabkan kerana
mereka memberikan sepenuh perhatian ketika proses pengajaran dan pembelajaran
sedang dijalankan”. Justeru, bagi membolehkan saya kekal fokus dalam kelas, saya
akan membuat ulangkaji terlebih dahulu tentang subtopik yang bakal diajar oleh guru.
Dengan cara ini, saya akan lebih memahami sesuatu topik dan tidak akan ketinggalan.
Jelaslah bahawa memberikan sepenuh perhatian dalam kelas merupakan langkah yang
terbaik dalam mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.
 Selain itu, pengurusan masa yang bijak dan baik turut menjadi langkah dalam
memperoleh kecemerlangan dalam peperiksaan. Dalam hal ini, jadual waktu belajar
mampu membantu saya menguruskan masa secara berkesan supaya mempunyai masa
yang mencukupi untuk mengulangkaji pelajaran dengan lebih menyeluruh dan bersiap
sedia untuk menghadapi peperiksaan. Setiap pelajar perlu membuat persiapan awal
kerana “masa itu emas”.Oleh itu, pengurusan masa yang cekap akan memberi saya
masa yang cukup untuk membuat persediaan awal supaya saya dapat mencapai
kecemerlangan dalam peperiksaan.
Di samping itu, saya juga akan bergaul dengan rakan-rakan yang baik dan
mempunyai keinginan untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Melalui
pergaulan dengan rakan-rakan yang mengutamakan pendidikan mereka, saya akan
dapat bertukar-tukar pendapat serta ilmu dengan mereka. Secara tidak langsung,
pencapaian keputusan peperiksaan saya akan meningkat hasil kerana pergaulan ini
turut menimbulkan persaingan yang sihat dalam diri saya. Ironinya, saya akan
bersemangat untuk belajar dengan lebih bersungguh-sungguh agar diri saya
memperoleh kecemerlangan sama seperti rakan lain.
Akhir sekali, saya akan mematuhi segala nasihat ibu bapa saya dan sentiasa
berdoa kepada Tuhan. Kata orang-orang tua, “Tuhan hanya akan menolong dan
memberkati hidup anak yang taat kepada ibu bapa”. Oleh itu, saya akan sentiasa
mengingatkan diri untuk sentiasa berusaha mencapai kecemerlangan demi ibu bapa
yang telah banyak berkorban untuk diri saya. Malah, saya juga akan sentiasa berdoa
kepada Tuhan supaya untuk memudahkan urusan saya menimba ilmu. Jelasnya, untuk
mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan, saya perlulah mematuhi segala nasihat
kedua-dua ibu bapa saya
Konklusinya, bagi memperoleh kecemerlangan dalam peperiksaan, saya
perlulah menyusun strategi dan berusaha bersungguh-sungguh ibarat “genggam bara
api biar sampai jadi arang” supaya menperoleh kecemerlangan yang diidamkan.
Usaha ini penting bagi saya untuk memperoleh masa depan yang lebih cerah sekali
gus membina kerjaya yang saya inginkan.
4. MANFAAT SUKAN KEPADA NEGARA
Dewasa ini, aktiviti bersukan dalam kalangan masyarakat semakin mendapat
perhatian. Bersukan dilihat sebagai salah satu aktiviti yang bermanfaat untuk
dilakukan semasa waktu lapang.Perkembangan infrastruktur sukan seperti gelanggang
futsal, badminton dan kawasan lapang dimanfaatkan sebaiknya oleh masyarakat kita
dimana bersukan bukan sahaja menjadi aktiviti di waktu siang malah telah
dipraktikkan pada waktu malam.Pelbagai faedah yang diperoleh daripada bersukan
terutamanya kepada diri dan masyarakat secara tidak langsung.
Salah satu faedah bersukan ialah bersukan dapat menjamin kesihatan diri
seseorang individu kerana ia merupakan aktiviti yang melibatkan penggunaan fizikal
dan juga mental individu tersebut. Peluh dan toksik dalam badan dapat dirembes
keluar dengan melakukan aktiviti bersukan dalam tempoh masa yang tertentu. Tahap
kardio seseorang juga akan bertambah baik serta berat badan yang ideal dapat  dicapai
sekiranya individu tersebut konsisten dalam bersukan. Ironinya, tahap kesihatan diri
seseorang individu akan kekal terpelihara dengan bersukan.
Di samping itu, bersukan dapat membantu membina keyakinan dan
ketrampilan diri seseorang individu. Ketika bersukan, kita akan didedahkan dengan
pelbagai nilai-nilai kehidupan. Dengan menyertai aktiviti sukan dan bertanding, kita
akan merasai perasaan apabila menang atau kalah. Sepertimana dalam kehidupan, ada
waktu kita akan mengalami kekalahan atau kekecewaan dan pengajarannya adalah
bagaimana untuk kita bangkit dan mengecapi kejayaan. Nilai ini amat penting bagi
generasi muda supaya mereka tabah dan kuat menghadapi cabaran hidup. Tambahan
pula, dalam aktiviti sukan yang melibatkan rakan sepasukan, kita akan belajar untuk
bekerjasama dan bertoleransi dalam mencapai suatu misi. Intihannya, bersukan dapat
melahirkan masyarakat yang kaya dangan nilai murni dan berketrampilan tinggi.
Pada masa yang sama, faedah dinikmati oleh masyarakat yang aktif dalam
bersukan adalah dapat membanteras perlakuan gejala-gejala negatif. Mutakhir ini,
pelbagai gejala sosial yang negatif berlaku dalam kalangan remaja khususnya. Mereka
yang mempunyai banyak masa lapang akan terjebak melakukan perkara yang tidak
berfaedah seperti menyalah guna dadah dan menyertai gangsterisme. Situasi ini dapat
dibendung jika ibu bapa atau pihak berkuasa memastikan golongan terbabit bergiat
aktif dalam sukan sebagai aktiviti di masa lapang. Selain itu, jika aktiviti sukan
dilakukan bersama-sama ahli keluarga, pastinya ia dapat merapatkan lagi hubungan
silaturrahim antara satu sama lain. Anak-anak akan berasa disayangi kerana ibu bapa
meluangkan masa bersama melakukan aktiviti yang seronok dan menarik. Izharnya,
bersukan memebrikan faedah dimana gejala negatif dapat dibendung dalam kalangan
masyarakat.
Dari sudut pandang lain, manfaat bersukan adalah membuka peluang kerjaya
kepada masyarakat. Sehingga hari ini, kita telah berjaya melahirkan ramai atlet
bertaraf antarabangsa. Tamsilnya, Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Nicol Ann David
yang berjaya merangkul pelbagai kejuaraan di peringkat dunia. Rentetan itu,
kerjasama antara Kementerian Pendidikan serta Kementerian Belia dan Sukan adalah
penting dalam usaha merencana rancangan pembangunan atlet sukan di dalam negara.
Jelaslah bahawa bersukan juga membantu mencungkil bakat-bakat yang ada dalam
kalangan rakyat di Malaysia.
Tuntasnya, banyak faedah yang diperoleh masyarakat jika menyertai aktiviti
sukan dengan aktif. Sebagai manusia, kita perlu mengimbangkan masa bekerja,
berehat, beribadat dan bersukan atau beriadah supaya kesihatan fizikal dan mental
tejamin.Kemudahan infrastruktur sukan yang dibangunkan wajar dimanfaatkan
sepenuhnya oleh masyarakat agar memperoleh kesihatan yang sihat.
5. LANGKAH MEMBINA KELUARGA BAHAGIA
Keluarga merupakan institusi yang amat penting dalam sesebuah masyarakat. Setiap
manusia juga inginkan sebuah keluarga bahagia. Hal ini kerana sebuah keluarga yang
bahagia dapat terhindar daripada masalah sosial. Justeru, keluarga bahagia penting
dalam membina kesejahteraan masyarakat dan negara
Bagi membina sebuah keluarga yang bahagia, ibu bapa perlu mempunyai hubungan baik
dengan anak-anak seperti kata pepatah bagai isi dengan kuku. Hal ini penting kerana anak-anak
merupakan golongan yang memerlukan kasih sayang dan perhatian yang secukupnya
daripada ibu bapa mereka. Ibu bapa boleh meluangkan masa lapang mereka untuk
beriadah bersama keluarga kita atau berkelah di luar bandar.. Aktiviti ini bukan sahaja dapat
mencergaskan fikiran kita tetapi turut membantu mengeratkan kemesraan hubungan ahli keluarga.
Selain itu, ibu bapa hendaklah mengambil berat terhadap pelajaran anak-anak walaupun sibuk
bekerja. Dengan cara ini, hubungan ibu bapa dan anak-anak akan kekal terpelihara
dan mereka berasa tidak terabai. 
Beralih pada persektif seterusnya, anak adalah tanggungjawab besar yang
diamanahkan. Oleh itu, ibu bapa haruslah menjadi contoh yang baik kepada mereka
kerana mereka yang paling kerap berada dengan kita. Tutur kata yang sopan dan
lemah lembut juga akan dapat membina keharmonian dalam keluarga. Rentetan itu,
ibu bapa perlu mengelakkan diri menunjukkan sikap negatif seperti bergaduh, maki
hamun dan penderaan kepada anak-anak. Tidak dapat dinafikan ibu bapa
menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak merupakan langkah membina
sebuah keluarga bahagia.
Selain itu, langkah terbaik bagi membina sebuah keluarga yang bahagia adalah
dengan memupuk sikap hormat-menghormati antara ahli keluarga. Hal ini dikatakan
demikian kerana sikap hormat-menghormati ini akan dapat mengelakkan sebarang
konflik dalam keluarga. Oleh itu, anak-anak mesti menghormati ibu bapa dengan
menjaga tutur kata dan membantu ibu bapa menyelesaikan tugasan-tugasan harian
seperti membersihkan persekitaran rumah, membasuh baju dan sebagainya. Selain itu,
anak-anak juga perlu menghormati antara satu sama lain dan tidak mencetuskan isu-
isu yang boleh menimbulkan pergaduhan. Langkah ini penting dalam membina
sebuah keluarga yang harmoni.
Pada zaman kini yang serba mencabar dalam mencari rezeki, ibu bapa kadang-
kala terlalu sibuk sehingga mengabaikan keselamatan anak-anak. Keluarga yang
bahagia akan dapat dibentuk jika keselamatan anggota keluarga terjamin. Oleh itu, ibu
bapa perlu memastikan keselamatan anak-anak terjaga ketika berada di rumah
mahupun di luar rumah terpelihara. Kemalangan yang berlaku bukan sahaja akan
menyusahkan anak-anak tetapi juga turut menyusahkan ibu bapa. Hal ini kerana
kemalangan bukan sahaja mengundang kecelakaan tetapi turut membuka ke arah
kematian. Oleh itu, aspek keselamatan perlu dititik beratkan dalam membentuk
keluarga bahagia.
Kesimpulannya, dalam membentuk sebuah keluarga bahagia, ibu bapa dan
anak-anak mesti saling memahami dan bertanggungjawab. Hal ini penting kerana
pembentukan keluarga yang bahagia akan memberikan kesan positif kepada
masyarakat dan negara. Justeru, pihak kerajaan perlu memainkan peranan dalam
membantu masyarakat membentuk keluarga bahagia agar dapat membina sebuah
negara yang harmoni dan sejahtera.
6. KEPENTINGAN INDUSTRI PELANCONGAN
(contoh karangan pelajar cemerlang)
Kebanyakan di antara kita menggunakan masa lapang di hujung minggu untuk
melancong ke kawasan peranginan seperti pantai, kawasan air terjun dan juga
menjamu selera di restoran yang mendapat sambutan ramai. Hal ini terbukti sebaik
sahaja larangan merentas sempadan negeri dibuka susulan penularan COVID-19,
ramai yang mengambil peluang untuk mengunjung setiap pusat pelancongan dalam
negara sehingga mengakibatkan kesesakan jalan raya yang luar biasa. Perkara ini
memberikan signal bahawa industri pelancongan di negara kita berpotensi tinggi dan
disukai ramai oleh masyarakat tempatan. Oleh yang demikian, mari kita perhalusi
faedah melancong dalam negara dan kelebihan yang akan diperoleh pengunjung
secara khusus dan orang sekeliling secara amnya.
Manfaat paling utama apabila kita melancong dalam negara adalah dapat
menyumbang kepada peningkatan ekonomi tempatan. Industri pelancongan
merupakan salah satu industri yang terjejas teruk akibat penularan COVID-19. Hotel
penginapan tidak menerima sebarang pengunjung dan kebanyakan pekerja
diberhentikan. Maka, kita sebagai masyarakat tempatan seharusnya memikul
tanggungjawab untuk menyemarakkan semula industri pelancongan domestik.
Sebagai contoh, golongan yang berkemampuan boleh melancong dan berbelanja di
industri pelancongan tempatan. Kesannya mereka dapat membina semula perniagaan
atau perkhidmatan mereka yang terjejas sebelum ini dan bersedia untuk menerima
semula pelancong asing apabila sempadan negara dibuka. Ibarat cendawan tumbuh
selepas hujan, peluang pekerjaan untuk masyarakat tempatan dalam industri
pelancongan akan turut berkembang seperti perkhidmatan penginapan, pengangkutan
dan pemakanan. Intihannya, melancong dalam negara kita dapat menyumbang kepada
penjanaan ekonomi negara secara langsung dan tidak langsung.
Faedah lain yang diperoleh sekiranya kita melancong di kawasan-kawasan
pelancongan tempatan adalah kita dapat mengenali budaya dan warisan negara
dengan lebih dekat. Masyarakat dunia mengetahui kita di Malaysia merupakan sebuah
negara yang unik kerana mempunyai masyarakat majmuk yang berbilang kaum dan
agama. Namun, kita berjaya hidup dengan harmoni dan telah melahirkan pelagai jenis
budaya dan warisan. Tamsilnya, apabila kita berkunjung ke negeri Melaka, kita dapat
melihat budaya Baba Nyonya yang dibesarkan mengikut cara hidup dan upacara
agama orang Cina tetapi diubah oleh unsur kemalayuan serta unsur tempatan yang
lain. Selain itu, aktiviti melancong ke muzium-muzim juga antara aktiviti menarik
dimana dapat meningkatkan pengetahuan kita mengenai seni budaya dan warisan
yang dimiliki oleh nenek dan moyang kita. Persis kata pepatah, tak kenal maka tak
cinta. Izharnya, melancong dalam negara dapat membantu masyarakat terutamanya
generasii muda untuk mengenali budaya dan warisan negara.
Dari sudut pandang yang lain, masa dan kos dapat dijimatkan apabila kita
melancong di dalam negara. Dalam menghadapi ketidak-tentuan ekonomi masa kini,
kita seharusnya mengukur baju di badan sendiri. Melancong merupakan salah satu
istirehat setelah kita berhempas pulas mengerah peluh dan tenaga bekerja pada
tempoh masa tertentu. Justeru, melancong dalam negara tidak melibatkan kos
perbelanjaan yang tinggi kerana tiada pertukaran mata wang diperlukan dan banyak
pilihan untuk kita tentukan aktiviti dan tempat penginapan yang sesuai dengan
perbelanjaan kita. Dari segi masa pula, kebanyakan kawasan pelancongan boleh
dilawati dengan mudah samada menaiki kenderaan persendirian atau pengangkutan
awam. Kecuali di Sabah dan Sarawak dimana pengunjung perlu menaiki kapal
terbang dengan tambang yang berpatutan. Aktiviti pelancongan boleh dilakukan pada
masa hujung minggu dan kita tidak perlu mengambil cuti yang panjang untuk
melawat tempat yang menarik dan keluar daripada hiruk-pikuk kehidupan di kawasan
bandar. Tuntasnya, melancong dalam negara dapat menjimatkan kos dan masa yang
kita ada.
Akhir sekali, kelebihan yang terbaik jika kita melancong dalam negara adalah
mudah untuk kita berkomunikasi dengan orang sekeliling apabila melawati pusat-
pusat peranginan. Khusus bagi mereka yang berkeluarga dan membawa anak kecil
melancong, pastinya pelbagai ragam yang mereka perlu hadapi tanpa mengira waktu.
Maka, jika kita menghadapi kesulitan, mudah untuk kita meminta sebarang bantuan
daripada pekerja atau kakitangan pusat pelancongan tersebut supaya memudahkan
urusan kita tanpa menggangu percutian pengunjung lain. Bayangkan jika kita
melancong ke negara asing yang mempunyai pertuturan bahasa yang lain dan tidak
difahami. Bagaimana jika berlaku kecemasan seperti kehilangan pasport dan ingin
meminta bantuan? Kita perlu menggunakan perkhidmatan peralihan bahasa di telefon
bimbit dan kadang kala memakan masa yang lama. Nescaya ia akan merumitkan
keadaan dan berharap bahawa pihak berkuasa di negara tersebut memberikan
kerjasama dan layanan yang baik. Tegasnya, kemudahan dalam berkomunikasi adalah
faedah yang diperoleh jika kita melancong secara lokal.
Sebagai kesimpulan, pelbagai faedah yang diperoleh sekiranya kita melancong
dalam negara kita sendiri. Pepatah melayu berkata, hujan emas di negeri orang, hujan
batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri. Peribahasa itu jelas menunjukkan
bahawa negara kita mempunyai banyak kelebihan berbanding negara lain. Pelbagai
jenis pusat pelancongan telah dibangunkan sama ada di kawasan pulau, pantai, tanah
tinggi dan juga taman tema yang mampu menarik minat segenap usia masyarakat di
Malaysia. Dengan usahasama pengusaha pelancongan dan agensi kerajaan, promosi
untuk melancong dalam negara wajar diperkasa dan menjadi tontonan umum bukan
sahaj untuk masyarakat kita tetapi juga tatapan masyarakat global. Semoga pandemik
yang telah kita hadapi merupakan pandemik terakhir dan memberikan ruang kepada
industri pelancongan negara untuk terus berkembang maju dan dikunjungi oleh
pelancong dari seantero dunia.

(701 patah perkataan)


7. LANGKAH MEMAJUKAN INDUSTRI PELANCONGAN
Sedasawarsa ini, Malaysia semakin dikenali sebagai lokasi pelancongan pilihan warga
asing terutamanya daripada negara beriklim sejuk. Kedudukan geografi negara yang
terletak di garisan khatulistiwa telah menyebabkan cuaca yang panas dan lembap di
mana ia menjadi antara faktor yang menarik pelancong asing untuk berkunjung ke
Malaysia. Selain itu, kepelbagaian bentuk muka bumi seperti deretan pulau, gunung-
ganang dan bandaraya yang penuh dengan keunikan budaya dan bangsa juga
merupakan faktor penarikan pelancong. Izharnya, sektor pelancongan telah menjadi
antara pendorong kerancakan ekonomi negara sejak kebelakangan ini. Maka, bagi
memaksimakan potensi yang terdapat pada industri pelancongan negara, wajar untuk
kita bincangkan langkah-langkah yang mampu membawa industri pelancongan negara
ke tahap yang lebih baik.
Langkah pertama yang perlu diusahakan dalam memastikan industri
pelancongan negara berada di tahap terbaik adalah dengan meningkatkan prasarana
awam. Pihak kerajaan berperanan dalam melengkapkan kemudahan awam seperti
jaringan pengangkutan dan perhubungan di dalam negara supaya ia menjamin
keselesaan pelancong untuk berkunjung ke seluruh kawasan di Malaysia. Dengan
adanya rangkaian perhubungan yang lengkap seperti lapangan terbang, lebuhraya dan
pengangkutan awam yang efektif, tahap ketersampaian akan menjadi lebih baik.
Hasilnya, pelancongan desa dan agro dapat meningkatkan jumlah pelancong domestik
mahupun antarabangsa. Bak kata peribahasa Melayu, sambil menyelam minum air di
mana inisiatif melengkapkan prasarana awam bukan sahaja dapat meningkatkan
industri pelancongan malah memastikan kesejahteraan hidup masyarakat
konvensional terjamin.
Seiring dengan langkah di atas, industri pelancongan akan bertambah maju
sekiranya pihak berkuasa mengukuhkan tahap keselamatan dalam negara. Mutakhir
ini, pelbagai kes jenayah seperti kes penculikan, ragut dan rompakan telah memenuhi
dada-dada akhbar serta menjadi berita utama di televisyen. Senario ini akan
menimbulkan kebimbangan para pelancong terutamanya pelancong asing yang
berhasrat untuk berkunjung ke Malaysia. Bagi menjernihkan air yang semakin keruh,
pihak berkuasa hendaklah melaksanakan inisiatif keselamatan negara yang lebih
menyeluruh. Sebagai contoh, penambahan bilangan anggota keselamatan di kawasan
tumpuan pelancong atau pemasangan kamera litar tertutup sebagai mata-mata yang
mampu menjejak perkara yang meragukan atau berpotensi menyebabkan kejadian
jenayah berlaku. Intihannya, pelancong akan lebih selesa untuk berkunjung tanpa
memikirkan ancaman keselamatan terhadap diri mereka serta imej negara terpelihara.
Mekasnime lain yang boleh dilaksana bagi memajukan industri pelancongan
negara adalah dengan menganjurkan acara antarabangsa dengan lebih kerap. Sebelum
ini, Malaysia merupakan negara pertama di Asia Tenggara yang menganjurkan
Kejohanan Formula 1 dengan adanya Litar Antarabangsa Sepang. Terdapat juga
penganjuran acara lain seperti Le Tour de Langkawi dan Pameran Maritim dan Udara
Langkawi (LIMA) yang mendapat sambutan yang memberansangkan dalam kalangan
pelancong asing dan tempatan. Walaupun penganjuran acara sukan atau pameran
antarabangsa memakan kos yang tinggi tetapi pulangan yang terhasil adalah berbaloi.
Hal ini demikian kerana, kedatangan pelancong asing bukan sahaja tertumpu pada
musim tertentu sahaja tetapi ia akan berterusan sepanjang tahun untuk menyertai
acara atau kejohanan antarabangsa yang dianjurkan dalam negara. Persis peribahasa
Melayu, tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas. Jelaslah bahawa penganjuran acara
antarabangsa dapat meningkatkan industri pelancongan negara kerana peserta atau
atlet yang menyertai acara terbabit akan menjadi ejen pelancongan negara serta
membuka mata peminat mereka di seluruh pelusuk dunia terhadap keunikan tanah air
kita.

Bagi mendokong langkah-langkah yang telah diutarakan, industri pelancongan


negara seharusnya dipromosikan dengan teknik pemasaran yang unggul. Langkah ini
adalah mustahak kerana dalam mendepani era teknologi dan globalisasi hari ini,
kumpulan sasar sesuatu perkara dapat diperluaskan ke segenap pelusuk dunia. Dengan
perkembangan teknologi tanpa batasan, kita dapat menghasilkan iklan atau video
yang boleh ditonton oleh semua pengguna teknologi pintar. Maka, bagi menarik
kehadiran pelancong untuk berkunjung ke negara kita terutamanya dalam kalangan
pelancong antarabangsa, teknik pemasaran yang efektif harus dilaksanakan. Sebagai
contoh, hasil produk dan tenaga kerja penyiaran tempatan, saluran GO ASEAN telah
berjaya memaparkan kecantikan dan keunikan kawasan pelancongan dalam negara ke
pasaran dunia. Pendekatan menggunakan personaliti atau selebriti untuk menikmati
aktiviti pelancongan di tempat-tempat tertentu merupakan formula terbaik dalam
menarik perhatian pelancong serta memaparkan infrastruktur yang selesa bagi para
pelancong.
Secara tuntasnya, pelbagai langkah yang boleh digarap oleh semua pihak
dalam meningkatkan tahap kemajuan industri pelancongan negara. Setiap inisiatif
yang direncanakan memerlukan obligasi dan komitment yang jitu dari pihak yang
terbabit seperti kerajaan, kakitangan awam, agensi pelancongan dan pengusaha pusat
pelancongan. Masyarakat pula seharusnya menyokong usaha pragmatik yang
diperkenalkan dengan kerap melancong di pusat-pusat pelancongan dalam negara.
Keindahan dan kekayaan alam semula jadi serta keunikan budaya kita seharusnya
menjadi agenda utama dalam mempromosikan negara di persada antarabangsa. Semua
pihak seharusnya sedar bahawa industri pelancongan negara mempunyai potensi yang
besar dan setanding dengan negara jiran seperti Thailand dan Indonesia. Diharapkan
agar Malaysia dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara asing
lain khususnya dalam memacu industri pelancongan sebagai penyumbang utama
perkembangan ekonomi negara.
8. LANGKAH MEMAJUKAN INDUSTRI PERTANIAN
Dalam meniti arus kemodenan hari ini, sektor pertanian di dalam negara sering kali
dipandang enteng dan tidak mendapat perhatian oleh pentadbir negara. Malahan
masyarakat konvensional masih mempunyai stigma fikiran bahawa pertanian adalah
suatu pekerjaan yang kuno dan tidak mendatangkan hasil yang lumayan. Perkara ini
menjadi faktor-faktor yang membantutkan usaha bagi meningkatkan kemampuan
industri tani domestik menjadi salah satu pemain utama dalam ekonomi negara. untuk
makluman semua pertanian merangkumi aktiviti perladangan sawit dan getah,
penanaman sayur-sayuran dan buah-buahan serta penternakan ayam, lembu, dan
hidupan laut seperti ikan dan udang. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang
perlu diambil bagi memajukan sektor pertanian di Malaysia?
Langkah pertama untuk memajukan sektor pertanian dengan mengubah
kaedah pertanian menggunakan teknologi terkini. Industri tani mengalami
kelembapan dalam kemajuan dek kerana petani dan syarikat perladangan masih
menggunakan kaedah lama yang menghasilkan kuantiti produk yang tidak banyak dan
berlaku banyak kerosakan. Hal ini disebabkan oleh kos untuk mengubah kaedah
pertanian adalah tinggi dan pengguna tidak akan membeli sekiranya harga produk
pertanian meningkat. Petani kecil dan syarikat pertanian bertindak untuk mengekalkan
kaedah lama dan mencipta keuntungan daripada mengambil risiko kerugian. Maka,
anjakan paradigma seharusnya diusahakan supaya hasil pertanian menjadi lebih
berkualiti dan kuantiti produk dapat ditingkatkan. Sokongan daripada pelbagai pihak
terutamanya masyarakat diperlukan agar sektor yang menghasilkan sumber mentah
bekalan makanan dan minuman kita dapat dibawa ke tahap yang lebih baik.
Selaras dengan langkah pertama, sektor pertanian boleh dimajukan dengan
bantuan bimbingan dan insentif daripada pihak yang bertanggungjawab. Penerapan
kaedah baru yang menggunakan teknologi tinggi memerlukan kepakaran pekerja yang
mampu membimbing petani menghasilkan produk yang terbaik. Lambakan graduan
yang terhasil pada ketika ini boleh diberikan peluang untuk menyertai sektor
pertanian dan menyumbangkan kepakaran masing-masing dalam meningkatkan
kemampuan industri pertanian domestik. Selain itu, sektor pertanian juga layak
mendapatkan bantuan insentif sebagai modal untuk mereka beralih kepada
penggunaan kaedah pertanian yang berteknologi tinggi. Kewujudan agensi-agensi
kerajaan seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI) sepatutnya
menjadi penggerak kepada inisiatif untuk memajukan sektor pertanian dalam negara.
Dengan adanya peruntukkan bajet yang mencukupi dan bimbingan yang tepat, pasti
kemajuan sektor pertanian dapat dijalankan dengan baik.
Pada masa yang sama, sektor pertanian boleh dimajukan dengan
menggalakkan pengguna membeli produk tani tempatan. Menurut laporan tahunan
oleh Bank Negara Malaysia, negara kekal sebagai pengimport makanan dengan
sekurang-kurangnya seperempat daripada jumlah keseluruhan bekalan makanan
diimport. Ini bermakna Malaysia masih lagi tidak mencapai tahap keberdikarian
dalam bekalan makanan. Jika dilihat pada sudut geografi, Malaysia dikurniakan
sumber seperti air dan tanah yang sesuai dan cukup untuk menjadikan sektor
pertanian sebagai salah satu industri utama dalam negara. Oleh itu, sebagai rakyat
yang cinta akan negara perlu sedar kita berkemampuan untuk menghasilkan bekalan
makanan domestik kita. Produk tani tempatan juga telah dipelbagaikan di mana satu
jenis hasil seperti buah strawberi boelh menjadi sambal, jem dan juga jus minuman.
Justeru, dengan membeli dan menyokong produk-produk hasil pertanian tempatan,
kita telah memberikan secara terus suntikan insentif yang diperlukan industri tersebut
untuk mengorak langkah dalam kemajuan yang sepatutnya dilaksanakan.
Bagi menyokong langkah di atas, ladang-ladang pertanian yang baru perlu
dibuka dengan lebih banyak mengikut kadar pertumbuhan dan permintaan pengguna.
Hal ini demikian kerana apabila terciptanya permintaan yang tinggi, kuantiti produk
perlu ditambah bagi menampung keperluan pengguna. Dengan pembukaan ladang
atau kawasan pertanian yang baru, kaedah pertanian yang terkini boleh diasimilasikan
sekaligus membentuk pertanian terancang dan lebih berkesan berbanding kaedah
lama. Perkara ini boleh direalisasikan jika setiap pihak yang terlibat bekerjasama demi
membantu memajukan sektor pertanian dalam negara. Tamsilnya, Jabatan Pertanian
telah memperkenalkan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di mana dengan
kerjasama kerajaan negeri, sebahagian tanah telah digazetkan sebagai kawasan
pertanian kekal dan menggalakkan aktiviti pertanian secara komersial dan berskala
besar. Inisiatif ini perlu disemarakkan lagi supaya masyarakat tahu dan lihat bahawa
hasil pertanian adalah menguntungkan dan membantu meningkatkan ekonomi diri dan
negara.
Kesimpulannya, pelbagai langkah yang boleh dilaksanakan bagi memajukan
sektor pertanian di Malaysia. Sejarah menunjukkan bahawa negara kita pernah
menjadi pusat dagangan dunia dalam membekalkan barang dagangan seperti hasil
pertanian ke seluruh pelusuk dunia. Sekiranya sektor pertanian diangkat sebagai
industri utama dalam negara, Malaysia berpotensi menjadi hub produk pertanian di
rantau Asia Tenggara. Tambahan pula, industri halal yang semakin mendapat
perhatian masyarakat dunia wajar disinergikan bersama sektor pertanian negara yang
lazimnya menghasilkan produk-produk yang “Halalan Toyyiban”.Semoga masyarakat
bersikap cakna dalam potensi yang ada pada industri pertanian dan pemimpin negara
membuka mata dan peluang kepada rakyat untuk menghasilkan produk pertanian
yang terbaik serta mampu dipasarkan ke pasaran antarabangsa. Bak kata peribahasa
Melayu, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.
9. KESAN PENCEMARAN ALAM SEKITAR
Marcapada ini, nilai-nilai material semakin memberkas dan meluas dalam masyarakat
global. Pembangunan yang pesat seperti cendawan tumbuh selepas hujan berlaku di
hampir setiap sudut sesebuah negara sehingga menyebabkan pencemaran terhadap
alam sekitar. Dalam dunia yang kaya dengan kajian sains dan teknologi, kebanyakan
manusia memilih untuk mengejar kekayaan daripada memelihara satu-satunya alam
yang kita boleh diami demi generasi masa hadapan. Ketamakan dan kerakusan ini
perlu dihentikan kerana pelbagai bencana alam dan kejadian yang luar biasa telah
berlaku serta meragut nyawa-nyawa yang tidak berdosa. Perindustrian yang tidak
menitik beratkan kesannya terhadap alam sekitar bukan sahaja mengancam planet ini
tetapi juga semua penghuninya termasuklah kita. Oleh yang demikian, penting untuk
kita jelaskan kesan-kesan terhadap manusia dan alam sekitar akibat pencemaran agar
perkara ini dapat diubah dengan tindakan dan kesedaran daripada semua pihak.

Antara kesan utama pencemaran alam sekitar kepada manusia adalah terdedah
kepada pelbagai masalah kesihatan. Salah satu pencemaran yang mengakibatkan
pelbagai masalah kesihatan kepada kita adalah pencemaran udara. Sebagai manusia,
kita bergantung kepada udara untuk membekalkan oksigen yang optimum bagi proses
pernafasan. Apabila udara yang kita hirup dicemari dengan gas-gas kimia yang
berbahaya, kita akan jatuh sakit kerana badan kita tidak boleh memproses kandungan
udara yang telah tercemar. Peristiwa ini persis dengan apa yang berlaku di Sungai
Kim Kim di Pasir Gudang, Johor. Terdapat individu yang tidak bertangguungjawab
membuang sisa kimia ke sungai tersebut tanpa dirawat dahulu dan mengakibatkan
kanak-kanak di kawasan berdekatan jatuh sakit. Peristiwa ini jelas menunjukkan
kepada kita kesan apabila alam sekitar dicemari dengan perkara yang tidak sepatutnya
berada di situ seperti sisa kimia dan sampah sarap. Bak kata pepatah, mencegah lebih
baik daripada merawat.

Di samping itu, pencemaran alam sekitar juga akan mengancam punca rezeki
masyarakat kita khususnya bagi golongan nelayan dan para petani. Hal ini demikian
kerana pencemaran sering kali berlaku di kawasan sungai dan pantai yang merupakan
lokasi pertanian serta penangkapan hasil laut. Tumpahan minyak daripada kapal
komersial di laut akan mencemari hidupan akuatik yang berpotensi menjadi punca
rezeki kepada nelayan-nelayan yang menangkap ikan di laut lepas. Apabila berlaku
tumpahan minyak, hidupan akuatik tidak mendapat oksigen kerana permukaan air
ditutupi dengan lapisan minyak. Manakala, kejadian banjir yang berlaku kerana
pembalakan di kawasan hulu sungai akan mengakibatkan kawasan pertanian di
persisiran sungai ditelenggami dan musnah. Kerugian yang tidak boleh diganti ini
akan mengakibatkan nelayan dan petani hilang punca rezeki mereka. Tegasnya,
pencemaran alam sekitar meninggalkan kesan yang teruk seperti nelayan dan petani
hilang punca pendapatan mereka.

Dari sudut alam sekitar pula, pencemaran akan mengakibatkan tragedi


bencana alam berlaku dengan lebih kerap. Saban tahun kita digelumangkan dengan
kejadian banjir kilat dan banjir besar yang menimpa kawasan tertentu. Mangsa akan
kehilangan tempat tinggal, kenderaan dan harta benda dalam sekelip mata sahaja. Jika
bencana ini berlaku pada setiap tahun, mangsa yang terjejas tidak akan mempunyai
masa untuk memulihkan keadaan hidup mereka dan menanggung kerugian sepanjang
tahun. Perkara yang memudaratkan masyarakat kita ini seharusnya dibendung dan
pihak berkuasa perlu melaksanakan tindakan yang sepatutnya. Agenda pembangunan
lestari dan teknologi mesra alam kini mudah untuk didapati dan hanya memerlukan
implementasi yang menyeluruh di setiap peringkat. Bak kata pepatah, dayung sudah
di tangan, perahu sudah di air. Intihannya, pencemaran akan menyebabkan bencana
alam untuk berlaku dan kita terpaksan menanggung akibatnya.

Pada masa yang sama, pencemaran alam sekitar akan mengakibatkan


pemanasan global atau kenaikan suhu bumi. Kerancakan sektor perindustrian dunia
yang semakin pesat telah mencemari kandungan udara di dalam atmosfera sehingga
menyebabkan penipisan lapisan ozon. Kesannya, cahaya matahari yang menembusi
atmosfera akan terus sampai ke permukaan bumi. Selain meningkatkan suhu bumi,
pancaran matahari ini akan mengakibatkan radiasi UV yang boleh menjadi asbab
kepada penyakit kanser kulit dalam kalangan manusia. Selain itu, pemanasan global
akan menyebabkan peningkatan paras air laut kerana berlaku pencairan glasier di
kutub utara dan selatan. Peningkatan paras air laut akan menenggelamkan kawasan-
kawasan persisir pantai dan kebanyakan pusat pelancongan kita seperti pantai dan
pulau turut terancam. Natijahnya, pencemaran alam sekitar menyumbang kepada
pemanasan global dan kenaikan suhu bumi.

Kesimpulannya, pencemaran meninggalkan pelbagai kesan kepada manusia


dan alam sekitar. Kita telahpun menanggung beberapa kesan tersebut pada hari ini
kerana perubahan yang diharap masih belum menjelma. Justeru, semua pihak perlu
menjalankan obligasi masing-masing dalam memastikan pencemaran alam sekitar
dibendung dan setiap tindakan kita tidak menyumbang kepada pencemaran untuk
berlaku. KIta perlu bersikap proaktif dan saling bantu-membantu untuk mengelakkan
pencemaran daripada berulang. Persis Peribahasa Melayu,, berat sama dipikul, ringan
sama dijinjing. Semoga wawasan untuk memajukan negara seiring dengan tindakan
yang diambil untuk memelihara kesejahteraan masa kini demi kepentingan generasi
akan datang.
10. LANGKAH MENGATASI MASALAH PENCEMARAN ALAM
Fenomena pemanasan global semakin hari semakin menjadi realiti. Kenaikan suhu
bumi yang kian terasa di setiap pelusuk dunia telah menjadi tajuk berita dan amaran
yang diberikan oleh para saintis kini dialami sendiri oleh manusia. Salah satu punca
berlakunya perubahan iklim yang ekstrim dan tidak menentu ini adalah disebabkan
pencemaran terhadap alam sekitar. Tamadun manusia telah mengecapi suatu kejayaan
apabila sektor perindustrian diperkenalkan. Namun disebalik kejayaan tersebut,
pemeliharaan alam sekitar telah terabai dan meninggalkan kesan kepada kita generasi
hari ini. Berbekalkan kemajuan sains dan teknologi ketika ini, kita masih berpeluang
untuk memperbaiki kesilapan generasi terdahulu agar khazanah alam yang kita miliki
dapat dinikmati selamanya. Oleh yang demikian, penting untuk kita mengetahui
apakah langkah-langkah untuk mengatasi pencemaran alam sekitar demi
kemaslahatan manusia sejagat.

Langkah pertama untuk mengatasi pencemaran alam sekitar adalah dengan


melaksanakan dasar kerajaan dan polisi pentadbiran yang mesra alam. Pihak kerajaan
berperanan besar dalam membentuk undang-undang yang wajid dipatuhi oleh rakyat
yang menetap di negara tersebut. Maka, penggubal polisi dan undang-undang negara
bertanggungjawab untuk melaksanakan dasar yang mementingkan pemeliharaan alam
sekitar. Sebagai contoh, dasar negara bebas karbon pada tahun 2050 perlu
dilaksanakan dengan tepat dan menyeluruh. Perlepasan gas karbon ke udara perlu
dikurangkan secara berperingkat bermula hari ini. Pihak kerajaan juga perlu
menukarkan cara kita menjana kuasa elektrik pada hari ini iaitu dengan pembakaran
arang batu dan menggantikannya dengan penjanaan kuasa yang boleh diperbaharui.
Pelbagai alternatif dan teknologi yang telah dicipta supaya mesra alam tetapi
memerlukan modifikasi dan kos untuk menggunakannya secara domestik. Ibarat
peribahasa, dayung sudah di tangan, perahu di air. Tegasnya, Dengan melaksanakan
dasar dan polisi yang mesra alam, pemeliharaan alam sekitar pasti dapat

Langkah seterusnya untuk mengatasi pencemaran alam sekitar adalah dengan


memperkasa pendidikan mengenai penjagaan alam sekitar. Pepatah melayu ada
berkata, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Begitu juga apabila kita ingin
mendidik generasi muda supaya menghargai alam sekitar dan tidak melakukan
pencemaran. Pendidikan mengenai kepentingan alam sekitar terhadap kehidupan
manusia dan tahap kebergantungan kita kepada satu-satunya alam yang boleh kita
diami ini adalah signifikan. Misalnya jika sungai-sungai dicemari dengan sisa toksik,
mereka mungkin sukar untuk mendapat sumber air bersih untuk kegunaan harian.
Pendidikan mengenai contoh-contoh tindakan yang mencemarkan alam sekitar juga
penting untuk mereka mengetahui modus operandi pesalah laku terhadap alam sekitar.
Apabila pendedahan seperti ini diberikan kepada mereka yang berusia setahun jagung,
pastinya mereka akan melakukan perkara yang betul untuk memastikan kelangsungan
generasi mereka kekal. Jelasnya, pencemaran terhadap alam sekitar dapat diatasi
melalui pendidikan yang efektif dan berkesan.

Di samping itu, kaedah untuk membendung pencemaran alam sekitar adalah


dengan menyediakan pengurusan sisa yang terbaik. Secara konvensional, kita
membuang sampah tanpa mengasingkan kategorinya dan akhirnya loggokan sampah
tersebut akan dibiarkan lupus di tanah pelupusan sampah. Jika kaedah konvensional
ini berterusan, jumlah tanah pelupusan sampah akan bertambah dan menyebabkan
pencemaran berlaku. Justeru, sebagai individu kita perlu mengamalkan budaya kitar
semula secara proaktif. Dengan melakukan kitar semula, kita dapat mengurangkan
jumlah sisa sampah dan pencemaran dapat dikurangkan. Dari aspek masyarakat pula,
kita hendaklah mengamalkan sikap bersederhana dalam kehidupan khususnya
pemakanan. Malaysia mencatatkan lebih 17,000 tan sisa makanan pada setiap hari.
Jika kita berhemah dalam kehidupan seperti memastikan makanan kita dimakan
sehingga habis dan sisanya digunakan untuk membaja pastinya jumlah sisa sampah
dapat dikurangkan. Intihannya, budaya pengurusan sisa sampah yang baik dapat
membantu mengatasi pencemaran alam sekitar.

Akhir sekali, pencemaran alam sekitar dapat diatasi dengan menghukum


pesalah laku terhadap dengan hukuman yang berat. Pihak berkuasa seperti Jabatan
Alam Sekitar sewajarnya menguatkuasakan undang-undang dan menghukum pihak
yang berkenaan. Jika kita lihat pada hari ini, hanya segelintir kilang industri yang
dibina mengikut piawai yang ditetapkan oleh kerajaan. Dan juga terdapat berita
mengenai kilang yang membuang sisa toksik terus ke sungai atau parit sebelum
merawat sisa tersebut. Sikap pemain industri yang seperti enau dalam belukar,
melepaskan pucuk masing-masing akan menyebabkan pencemaran untuk terus
berlaku. Oleh sebab itu, apabila pesalah ditangkap dan dikenakan hukuman yang berat
seperti menarik lesen perniagaan atau kilang mereka. Jika hukuman hanya sekadar
bayaran denda, mereka pasti akan mengulangi kesalahan yang sama kerana hukuman
tersebut tidak memberikan kesan kepada mereka. Izharnya, pencemaran alam sekitar
boleh diatasi sekiranya pesalah yang membuat pencemaran dihukum dengan berat
sebagai iktibar kepada masyarakat umum.

Kesimpulannya, terdapat banyak langkah-langkah yang boleh dilakukan untuk


mengatasi masalah pencemaran kepada alam sekitar. Tidak dinafikan masalah
pencemaran alam sekitar merupakan satu isu yang tidak asing lagi di negara kita.
Anggota masyarakat perlu memainkan peranan masing-masing untuk memastikan
inisiatif-inisiatif mengatasi pencemaran alam sekitar dilaksanakn dengan efisien. Hari
ini kita sendiri dapat mengalami kesan pencemaran seperti jerebu, banjir kita dan
sebagainya. Cuba fikirkan apa yang bakal dihadapi oleh anak cucu kita nanti jika
pencemaran terhadap alam sekitar ini tidak dibendung? Ibarat peribahasa melayu
berkata, ingat antara belum kena, hemat antara belum habis. Semoga usaha yang kita
lakukan hari ini memberikan hasil kepada generasi akan datang untuk manfaat
mereka.
11. PUNCA PENCEMARAN ALAM SEKITAR
Dalam meniti kerancakan arus pemodenan pada era pascaperindustrian dan
pascaglobalisasi yang serba mencabar akal dan minda ini telah membuatkan kita alpa
akan tanggungjawab kita menghargai serta memelihara keindahan alam semula jadi.
Dewasa ini, kita boleh lihat hampir setiap hari buletin di televisyen menyiarkan
bencana-bencana alam yang menimpa manusia tidak kira di dalam mahupun luar
negara. Jadi adakah kita sedar bahawa sebahagian daripada musibah ini berpunca
daripada kegagalan kita menjaga habitat alam yang kita diami bertahun-tahun
lamanya. Alam sekitar yang dahulunya merimbun memayungi lapisan bumi semakin
lenyap dek kerakusan manusia. Oleh itu, rasionalnya untuk kita mengupas apakah
dalang yang menyebabkan pencemaran ini berlaku dan menjadi semakin berleluasa
mutakhir ini.

Punca utama dalam berlakunya pencemaran ini adalah sikap tidak


bertanggungjawab individu mahupun sesebuah organisasi dalam pencemaran. Sebagai
contoh, aktiviti ekonomi seperti pembukaan kawasan perumahan dan perindustrian
yang baru diperlukan tetapi, ekosistem sesebuah kawasan tersebut perlu dipelihara.
Penebangan hutan dan penarahan bukit tanpa ada tindakan pemuliharaan seperti
penanaman semula pokok telah menyebabkan flora dan fauna kehilangan habitat
mereka. Hal ini menyebabkan berlaku bencana seperti tanah runtuh dan banjir kilat
kerana ketiadaan pokok-pokok yang selama ini menjadi tunjang utama kekuatan tanah
di kawasan tersebut. Justeru, kekayaan yang kian mengaburi mata-mata orang yang
tidak prihatin akan alam semula jadi ini harus dibukakan mata dan ditunjukkan kesan
dan akibat sekiranya pencemaran ini berlaku dan meniggalkan kesan terhadap diri
mereka sendiri.

Dalam pada itu, penguatkuasaan undang-undang yang lemah juga antara


punca berlakunya pencemaran yang semakin menjadi-jadi hari ini. Peranan pihak
berkuasa dilihat semakin kurang dan pemantauan yang tidak konsisten menyebabkan
ramai individu yang tidak bertanggungjawab membuat onar dan mengendahkan
kedaulatan undang-undang. Intergriti pihak berkuasa perlu dipersoalkan lantaran kes-
kes penerimaan rasuah yang dikaitkan dengan penjawat-penjawat awam. Hal ini
berlaku kerana tekanan ekonomi dan sikap tidak bertanggungjawab individu yang
menawarkan wang haram tersebut hanya kerana ingin melepaskan diri daripada
tindakan undang-undang. Pihak kerajaan sewajarnya lebih menumpukan perhatian
dalam bab kebajikan pegawai-pegawai yang bertugas menegakkan kedaulatan
undang-undang negara.

Pada masa yang sama, antara dimensi lain yang menyebabkan pencemaran ini
adalah kelonggaran dasar atau polisi kerajaan dalam kepentingan alam sekitar.
Kerajaan telah mengimplementasikan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974
mengandungi peruntukan yang bertujuan mencegah, menghapus, mengawal
pencemaran serta memperbaiki kualiti alam sekeliling dan daripada pencemaran
meliputi pencemaran air, udara, bunyi, tanah dan laut, namun pencemaran masih
berlaku secara berleluasa. Bak kata peribahasa Melayu, seperti melepaskan batuk
ditangga yang bermaksud perlakuan kerja yang dilakukan secara sambil lewa. Jikalau
kita lihat, kepupusan haiwan semakin menjadi-jadi, pembangunan secara lestari tidak
dilaksana sehinggakan berlaku pencemaran yang memakan diri. Misalnya, kejadian
yang berlaku di Pasir Gudang, Johor di mana kawasan perindustrian dibina hampir
dengan kawasan perumahan dan sekolah dan pencemaran udara yang teruk telah
melanda dan mengakibatkan sekolah ditutup dan kanak-kanak dihantar ke hospital.
Harapan yang tinggi untuk pihak kerajaan hari ini mengutamakan pemeliharaan dan
pemuliharaan alam sekitar di samping memacu ekonomi negara ke arah
kegemilangan.

Selain itu, punca pencemaan alam sekitar adalah penggunaan sumber tenaga
yang mencemarkan alam seperti diesel dan bahan bakar yang lain. Faktor
perindustrian dan pengangkutan yang bergantung pada bahan bakar petrol dan diesel
menyumbang kepada pencemaran udara dan bunyi. Gas-gas karbon dioksida yang
dilepaskan ke udara oleh kenderaan bermotor seperti kereta, lori, bas, dan motosikal
secara berlebihan telah menyebabkan indeks udara berada pada tahap yang
membimbangkan bagi kesihatan marhaen dewasa ini. Kita boleh melihat contoh di
negara Norway yang menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik ataupun yang
berasaskan tenaga yang boleh diperbaharui. Mereka memberi pengecualian cukai dan
kemudahan parkir untuk pengguna kenderaan tersebut sekaligus mengurangkan
pelepasan gas-gas yang mencemarkan udara dan memanfaatkan sumber tenaga yang
berpotensi untuk masa hadapan. Maka, pendekatan teknologi dan sistem yang mesra
alam perlulah digalakkan agar kita dapat bersama-sama mencegah pencemaran ini
daripada terus berleluasa.

Konklusinya, pelbagai punca yang dapat dirangkum dalam punca pencemaran


ini terjadi. Masyarakat dengan kerjasama media massa harus meningkatkan tahap
kesedaran sivik orang-orang sekeliling kita tentang pentingnya pemeliharaan alam
sekitar. Jika setiap pihak mengambil langkah yang proaktif persis mutiara kata, ke
bukit sama di daki, ke lurah sama dituruni, sudah pasti kemelut ini dapat diatasi
dengan berkesan. Setiap individu hendaklah meluaskan horizon pemikiran dan
memanifestasikan fikiran dan membuat inteprestasi masing-masing dalam
kepentingan memelihara dan memulihara alam sekitar demi kelangsungan generasi
akan datang. Semoga mereka dapat merasai keindahan alam semula jadi secara
langsung dan tidak hanya melihat video atau bentuk digital keunikan flora dan fauna
yang kita miliki hari ini.
12. LANGKAH MENJAGA KESIHATAN DIRI
Era pasca perindustrian dan pasca globalisasi yang serba mencabar akal dan minda
kita telah menunjukkan graf masalah kesihatan dalam kalangan masyarakat kita
semakin meningkat dari hari ke hari. Walaupun kemudahan dan infrastruktur
kesihatan bertambah maju dan lengkap, pelbagai wabak dan penyakit yang melanda
setiap golongan tanpa mengira usia. Mengikut kajian statistik yang dikeluarkan oleh
Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2011, angka pesakit yang menghadapi
masalah kesihatan telah meningkat sebanyak 200 000 orang pesakit melebihi bilangan
pesakit pada tahun sebelumnya. Angka yang membimbangkan ini sepatutnya menjadi
polemik yang perlu diambil tindakan oleh semua pihak. Justeru, wajar untuk kita
mengenal pasti cara-cara menjaga kesihatan diri dan keluarga bagi mengelakkan
masalah kesihatan menimpa diri dan orang sekeliling kita.

Antara cara bagi memastikan kesihatan diri berada dalam keadaan baik adalah
dengan melakukan aktiviti riadah. Pada masa lapang, setiap di antara kita digalakkan
untuk melakukan aktiviti riadah seperti bersukan dan bersenam. Senaman adalah
aktiviti regangan badan yang mudah dan boleh diaplikasikan di mana-mana pada
tempoh masa yang singkat. Bagi mereka yang meminati aktiviti yang mencabar
kekuatan fizikal dan mental, bersukan adalah aktiviti terbaik dalam memastikan
kesihatan diri terjamin. Tambahan pula, melakukan aktiviti riadah akan
mendatangkan manfaat lain yang cukup baik untuk diri, keluarga dan masyarakat
secara amnya. Pembangunan kawasan rekreasi dan infrastruktur sukan yang lain
hendaklah dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat yang cergas. Natijahnya,
aktiviti riadah dapat membantu kita untuk memperkasa kekuatan fizikal dan mental
supaya imun terhadap serangan penyakit yang menjejaskan kesihatan diri.

Pada masa yang sama, mengamalkan pemakanan seimbang juga mustahak


bagi memastikan kesihatan diri terjamin. Untuk makluman, Malaysia telah
dikategorikan antara negara yang mempunyai masalah obesiti yang tinggi di rantau
Asia. Kenyataan ini menunjukkan bahawa masyarakat kita kurang sedar akan faktor
pemakanan dalam kesihatan. Kesibukan dalam pekerjaan dan pengaruh iklan mungkin
telah menyebabkan ramai dalam kalangan masyarakat di negara ini tidak
mengamalkan pemakanan yang seimbang dan sihat. Walaupun pelbagai kempen telah
dilaksanakan seperti penggunaan piramid makanan, namun kadar penghidap obesiti
tidak berkurangan. Tindakan yang sepatutnya setiap ahli masyarakat lakukan adalah
dengan mengurangkan pemakanan makanan segera dan makanan ringan. Sebaliknya,
kerapkan memasak makanan sendiri di rumah dan bawa bekal ke tempat kerja atau
institusi pengajian. Dengan kaedah ini, kita dapat menentukan keseimbangan
makanan yang kita sediakan serta berjimat cermat dalam ketidak tentuan ekonomi
hari ini.

Selain itu, penjagaan kebersihan diri, keluarga dan kawasan sekitar juga
adalah penting dalam menjaga kesihatan. Hal ini kerana, penyakit boleh berpunca
daripada pelbagai sudut terutamanya apabila terdapat kekotoran daripada sisa sampah
dan sebagainya. Sebagai contoh, wabak denggi yang seringkali melanda negara kita
adalah disebabkan takungan air yang terbiar lama dan membolehkan nyamuk aedes
untuk membiak. Maka, setiapa ahli masyarakat bertanggungjawab memastikan
kawasan perumahan serta premis perniagaan atau tempat kerja masing-masing
dibersihkan dengan baik secara berkala. Perkara yang mudah ini dapat membantu kita
melawan musuh yang tidak zahir di mata kita. Di samping itu, pastikan bahan-bahan
mentah yang ingin dimakan, dimasak dan disediakan dengan bersih. Pembuangan
sampah diuruskan dengan betul serta berusaha mengurangkan pencemaran alam
dengan menjaga kebersihan akan menyumbang kepada kesihatan yang baik.

Akhir sekali, sudah terang lagi bersuluh dimana pemeriksaan kesihatan yang
kerap dapat membantu menjamin kesihatan diri dan keluarga. Kita sepatutnya
bersyukur dengan kemudahan kesihatan awam yang disediakan oleh Kementarian
Kesihatan Malaysia kerana ia adalah sangat berpatutan berbanding negara lain.
Tambahan pula, kemudahan kesihatan disediakan di setiap pelusuk di seluruh negara
kita samada klinik desa, klinik kesihatan daerah dan juga hospital-hospital besar yang
semakin lengkap dengan peralatan perubatan yang terkini. Maka, sebagai rakyat
Malaysia yang bertuah, kita hendaklah memanfaatkan kemudahan ini dengan
melakukan pemeriksaan atau rawatan kesihatan mengikut arahan yang dinasihatkan
oleh pegawai kesihatan. Bagi yang berkemampuan, institusi kesihatan swasta juga
turut menawarkan pemeriksaan kesihatan yang lebih lengkap dan menyeluruh. Bak
kata peribahasa Melayu, mencegah adalah lebih baik daripada merawat. Tuntasnya,
pemeriksaan kesihatan dapat menjamin kesihatan diri, keluarga dan masyarakat.

Intihannya, setiap individu bertanggungjawab untuk memastikan kesihatan diri terjaga


dengan melakukan cara-cara yang telah dihuraikan di atas. Usaha menjaga kesihatan
diri dan keluarga adalah usaha yang mulia dan wajar menerima sokongan yang positif
oleh setiap pihak.  Secara tidak langsung, setiap di antara kita adalah agen penyampai
kepada orang disekililing kita. Maka jika diri kita, orang sekeliling dan masyarakat
secara amnya menjaga kesihatan masing-masing, pasti generasi yang cergas dapat
dilahirkan. Minda yang cergas menjamin kualiti hidup yang lebih baik. Semoga kita
terhindar daripada masalah kesihatan dan penyakit kerana pepatah Melayu ada
berkata, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.
13. Kelebihan Pendidikan Maya (Pengajaran & Pembelajaran Dalam Talian)

Dasawarsa ini, penggunaan gajet seperti telefon pintar, komputer riba dan tablet
menjadi kewajipan bagi segenap manusia. Evolusi teknologi yang pesat membangun
telah banyak merubah cara hidup manusia pada hari ini. Misalnya, penggunaan surat
telah digantikan dengan emel yang hanya menggunakan alam maya untuk berhubung
dan perkhidmatannya adalah percuma. Kemajuan yang dikecapi manusia pada hari ini
menjadi satu bukti bahawa kita hendaklah terus berevolusi untuk memanfaatkan
teknologi. Hal ini kerana tamadun yang maju adalah tamadun yang sentiasa
menambah baik kehidupan mereka khususnya anggota masyarakat agar kita dapat
duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara maju yang lain. Antara
sektor yang perlu meraikan penggunaan teknologi masa kini dan meninggalkan cara
konvensional adalah sektor pendidikan. Maka, wajar untuk kita bincangkan apakah
kelebihan pendidikan secara maya atau pengajaran & pembelajaran dilaksanakan
secara dalam talian?

Pendidikan secara dalam talian dapat membantu guru untuk menyampaikan


ilmu dengan cara yang lebih mudah serta interaktif buat para pelajar. Berbeza dengan
pembelajaran secara bersemuka, pendidikan maya memerlukan guru dan pelajar
berinteraksi melalui tablet, komputer atau telefon. Guru-guru perlu menyediakan
bahan pembelajaran secara video dan mengajar melalui webinar atau panggilan video
kepada anak muridnya. Kita akui, cara ini kurang memberikan kepada pelajar
khususnya kanak-kanak yang memerlukan pembelajaran secara bersemuka. Tetapi,
guru boleh menggunakan video interaktif yang terdapat secara percuma di Internet.
Pelajar juga boleh mencari sumber pembelajaran yang lebih banyak berbanding hanya
bergantung kepada buku teks. Malah, terdapat banyak aplikasi seperti quiz yang dapat
memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian untuk guru dan
pelajar. Bak kata pepatah Melayu, laut yang ditimba tidak akan kering. Selagi kita ada
kemahuan untuk mencari dan menyampaikan ilmu, pasti ada jalan yang terbaik untuk
kita mengecapi niat murni itu.

Dari sudut pandang yang lain, pendidikan secara maya dapat memberi
keselesaan atau suasana yang kondusif kepada pelajar dan guru. Jika di sekolah,
pelajar perlu memakai pakaian seragam yang bagus untuk mendisiplinkan mereka
tetapi apabila di rumah, pelajar tidak perlu untuk berpakaian seragam dan hanya
memakai pakaian mengikut keselesaan mereka. Selain itu, pendidikan secara maya di
rumah membolehkan pelajar untuk fokus dengan lebih baik kerana kurang gangguan
daripada pelajar atau raka sekelas. Tapi realitinya, masih ramai pelajar di luar bandar
yang ssukar untuk mengikuti pendidikan secara maya. Oleh itu, pihak berkuasa
hendaklah melakukan tindakan untuk meningkatkan infrastruktur Internet di seluruh
negara agar pendidikan secara maya ini dapat dinikmati oleh segenap penduduk di
Malaysia.

Kelebihan lain pendidikan secara maya adalah ia dapat meningkatkan


kemahiran teknologi dalam kalangan guru dan juga pelajar. Umum mengetahui,
pendidikan secara maya memerlukan kemahiran teknologi pelajar untuk akses masuk
ke dalam aplikasi pembelajaran dalam talian. Pelajar perlu mendapatkan talian
Internet yang stabil untuk melalui proses pendidikan maya secara lancar. Di waktu
negara kita menghadapi pandemik COVID-19, kita dapat menyaksikan guru-guru
menggunakan pelbagai kaedah khususnya penggunaan teknologi untuk
menyampaikan pengajaran kepada murid-murid. Situasi ini telah membuatkan warga
pendidik untuk berfikir di luar kotak dan menghasilkan bahan pengajaran yang terbaik
menggunakan teknologi yang ada. Intihannya, pendidikan secara maya dapat
meningkatkan kemahiran teknologi dalam kalangan guru serta pelajar secara langsung
atau tidak langsung.

Akhir sekali, kelebihan pendidikan secara dalam talian ialah memudahkan


pelajar untuk mengulang kaji pelajaran. Contohnya, pelajar boleh melihat semula
rakaman pengajaran guru sekiranya mereka tidak memahami atau ingin
mengulangkaji pelajaran. Situasi ini adalah satu kelebihan jika dibandingkan dengan
pendidikan secara bersemuka kerana pelajar mungkin berasa malu dan takut untuk
bertanyakan kepada guru. Tambahan pula, pelajar dapat mengakses pelbagai bahan
pembelajaran yang terdapat di Internet untuk mengulang kaji dan tidak bergantung
kepada buku teks sahaja. Pembelajaran yang interaktif ini sedikit sebanyak dapat
membuka minda dan ruang kreatif pelajar dalam mendapatkan ilmu pengetahuan dan
menambah kemahiran diri mereka. Natijahnya, pendidikan secara maya banyak
membantu pelajar untuk tidak menjadi seperti katak di bawah tempurung kerana
penggunaan tekcnologi akan menjadi satu perkara penting di masa kini dan akan
datang.

Kesimpulannya, pelbagai kelebihan yang diperoleh sekiranya guru atau pelajar


melaksanakan pendidikan secara maya. Seperti yang saya bincangkan, masih terdapat
jurang di kawasan luar bandar yang tidak mampu untuk menikmati pendidikan dalam
talian dengan baik. Justeru, kerajaan hendaklah berganding bahu dengan pembekal
perkhidmatan talian Internet untuk memastikan liputan Internet di Malaysia
ditingkatkan dan berada di tahap yang terbaik. Pandemik Covid-19 menjadi satu bukti
bahawa kita perlu bersedia untuk melakukan anjakan paradigma dalam mendepani
apa jua situasi agar pendidikan anak-anak kita terjamin. Seterusnya memastikan
generasi akan datang yang mewarisi barisan kepimpinan negara dapat menjadi lebih
baik dan membawa negara yang maju ke persada dunia.
14. Langkah Memupuk Semangat Patriotisme Di Dalam Kalangan Masyarakat
Di Malaysia

Dalam memupuk semangat patriotik dalam kalangan masyarakat negara kita pada
masa ini banyak pihak telah mendakwa bahawa ianya semakin luntur. Hal ini terjadi
kerana sikap masing-masing yang sibuk dengan urusan sendiri dan menyebabkan
mereka tidak menghiraukan perkara lain. Menurut mereka, apa yang penting bagi
kehidupan adalah bekerja untuk mengumpul kekayaan serta ingin mendapatkan wang
bagi menambahkan pendapat mereka sahaja. Justeru itu, mereka mungkin terlupa dan
tidak menitikberatkan langsung semangat patriotik sehingga tidak mempedulikan
sambutan hari kebangsaan. Sebagai contoh, ada dari kalangan masyarakat kita kini
alpa untuk mengibarkan bendera Malaysia ketika sambutan ulang tahun kemerdekaan
negara dijalankan. Hal ini amat membimbangkan dan kita berharap agar semangat
patriotik dalam kalangan masyarakat dapat dipertingkatkan. Sama-sama kita sebagai
rakyat Malaysia mengambil langkah yang sewajarnya bagi memupuk semangat
patriotik dalam diri sendiri dan juga kalangan masyarakat.

Bila dilihat secara terperinci, sebenarnya terdapat banyak cara yang boleh
dijalankan bagi memupuk semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara
kita. Antaranya adalah dengan memupuk semangat patriotik sejak dari awal umur lagi
seperti di bangku sekolah. Hal ini membolehkan semangat patriotik hidup sebati
dalam diri pelajar seperti kata pepatah Melayu iaitu “melentur buluh, biarlah dari
rebungnya”. Perlu difahami pengaruh guru di sekolah adalah penting dan beperanan
dalam usaha menyemai semangat patriotik dalam jiwa anak-anak murid mereka
semenjak mereka masih kecil. Hal ini disebabkan para guru yang mengajar di sekolah
boleh menekankan sifat-sifat patriotik di dalam kelas. Mereka perlu mendorong
kanak-kanak untuk melahirkan perasaan bangga dan syukur terhadap negara serta
cinta akan tanah air. Sebagai contoh, pihak sekolah boleh mengadakan program
seperti sambutan Hari Kemerdekaan peringkat sekolah, nanyian Lagu Negara ku
ketika perhimpunan dan banyak lagi.Sekiranya semangat patriotik dapat dipupuk
sejak kecil, sudah pasti semangat itu akan terus diamalkan dan dikekalkan sehingga
dewasa. Dalam pada itu, amalan sebegini penting kerana kita dapat melahirkan
masyarakat yang sentiasa cinta pada negara dan tidak akan melakukan perkara-
perkara yang boleh mencemarkan nama baik negara.

Sementelahan itu, ibu bapa juga harus memainkan peranan penting dalam
memupuk semangat patriotik pada jiwa sanubari anak-anak mereka. Ini kerana, anak-
anak yang masih belum matang untuk berfikir akan sentiasa mencontohi tingkah laku
ibu bapa mereka ibarat kata pepatah “bapa borek, anak rintik”. Kanak-kanak akan
ingat pada pengajaran yang mereka lihat dan sering mendengar kata-kata ibu bapa
mereka. dan sikap yang diamalkan semasa kecil biasanya akan kekal hingga mereka
dewasa. Disebabkan itu, ibu bapa sewajarnya menerapkan semangat patriotik dalam
jiwa anak mereka “bagai menatang minyak yang penuh”. Hal ini dikatakan demikian
kerana anak-anak remaja zaman kini dilihat sering terlibat dengan masalah sosial.
Gejala buruk ini mestilah dielakkan kerana ianya boleh menyebabkan remaja semakin
alpa dan lalai tentang tanggungjawab mereka terhadap tanah air tercinta ini.
Sebaliknya, ibu bapa haruslah mendidik anak mereka tentang sejarah kemerdekaan
negara dan kepahlawanan tokoh-tokoh terkenal yang berjuang demi tanah
air.Tegaslah, peranan ibu bapa adalah sangat penting dalam langkah-langkah untuk
memupuk semangat patriotik dalam masyarakat Malaysia dan lebih spesifiknya
kepada anak-anak ketika masih kecil.

Selain itu, pihak yang bertanggungjawab hendaklah menjalankan kempen


secara besar-besaran dalam memupuk semangat patriotik antara masyarakat. Kempen-
kempen yang berkaitan dengan semangat patriotik ini akan memberikan kesedaran
kepada masyarakat tentang kepentingan semangat patriotik dalam kalangan
masyarakat di negara kita. Pelbagai pertandingan boleh dianjurkan sempena bulan
penghayatan kemerdekaan. Oleh itu, Jabatan Penerangan Malaysia boleh
menggunakan media elektronik seperti televisyen dan radio untuk menyiarkan
rancangan. Selain itu, program yang berunsurkan patriotisme juga boleh disiarkan
supaya dapat meningkatkan semangat patriotik seperti menyiarkan rencana tentang
pejuang-pejuang kemerdekaan negara. Dengan ini, ianya bukan sahaja dapat
memupuk semangat patriotik malahan dapat mengeratkan perpaduan antara kaum di
negara kita seperti ayat pepatah “sambil menyelam minum air”. Jelaslah, sekiranya
pihak yang bertanggungjawab mengambil peranan mereka masing-masing, ia sedikit
sebanyak dapat menerapkan semangat patriotik dalam diri masyarat.

Akhir sekali, generasi pada masa kini perlu menyertai program yang dilakukan
oleh pihak kerajaan. Program-program tersebut lazimnya dipenuhi dengan aktiviti
yang memupuk semangat patriotik seperti kawad kaki dan latihan berkumpulan.
Program seperti ini dapat memupuk semangat patriotik di mana para peserta akan
lebih merasai semangat cinta akan negara. Program ini juga akan dapat melahirkan
generasi yang mengetahui hal kenegaraan yang berkaitan dengan kedaulatan negara
serta kerajaan yang memerintah. Hal ini sekali gus mampu memupuk semangat
perpaduan yang merupakan elemen yang penting di dalam semangat patriotik sesuai
dengan pepatah iaitu “bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”. Oleh itu, jelaslah
bahawa menggalakkan generasi muda menyertai program kenegaraan mampu
memupuk semangat patriotisme dalam diri mereka.

Kesimpulannya, semangat patriotik sangat penting untuk melahirkan


warganegara yang cinta akan negaranya dan pastinya akan menjadi individu yang
berguna kepada agama, bangsa dan negara sendiri. Seseorang yang memiliki
semangat patriotik yang tinggi akan sentiasa berusaha untuk memajukan diri dan
negaranya demi mencapai kemajuan dan pembangunan dengan cepat seiring dengan
negara-negara maju yang lain. Oleh itu, semua pihak hendaklah bersama-sama
berganding bahu bagi memainkan peranan masing-masing agar semangat patriotik
dapat disuburkan dan dipupuk dalam generasi akan datang. Kita perlu ingat seperti
kata-kata Samuel Johnson yang merupakan seorang editor, pengkritik sastera, penyair,
moralis, biografi, penyusun kamus dan penulis esei yang terkenal ini yang
menyatakan bahawa “masa depan itu dibeli oleh masa sekarang”.
15. MANFAAT MENABUNG
Di era globalisasi dan modenisasi ini, kebaikan amalan menabung dalam kalangan
masyarakat tidak dapat disangkal lagi. Hal ini kerana kehidupan rakyat Malaysia
dilihat kian terbeban dengan kos hidup yang meningkat. Masyarakat dilihat kurang
memberi respon yang baik atau tidak berminat terhadap amalan menabung walaupun
kaedah menabung masa kini adalah selamat dan terjamin berbanding masa lalu. Untuk
mencapai kehidupan yang selesa, kita mesti bersedia secara fizikal dan mental tanpa
mengabaikan aspek kewangan terutamanya.Oleh itu, sebelum berdepan dengan
pelbagai masalah di masa akan datang, kita mestilah membuat persiapan bijak seperti
pepatah Melayu “sediakan payung sebelum hujan” agar kita tidak dilanda musibah
dalam keadaan tidak bersedia. Wang yang kita perolehi melalui pekerjaan boleh
disimpan di dalam bank atau juga tabung. Biarlah kita mula menabung atau
menyimpan walaupun dengan jumlah yang sedikit pada awalnya kerana “Sedikit-
sedikit lama-lama menjadi bukit”. Dapatlah dilihat bahawa amalan menabung sudah
pasti memberi impak positif kepada kita pada masa depan.

Pertama sekali, antara faedah menabung adalah dapat membekalkan sebuah


keluarga atau individu dengan sumber kewangan untuk kegunaan masa depan. Hal ini
demikian kerana wang boleh dianggap segalanya pada zaman kini. Jika seseorang itu
gagal untuk menyimpan wang yang secukupnya untuk masa hadapan, akan menjadi
sukar untuk menjamin masa depan yang cerah baginya. Sebagai contoh, jika sepasang
suami isteri yang melahirkan anak dalam usia agak lewat serta tidak mempraktikkan
kegiatan menabung, mereka akan berhadapan dengan masalah kewangan apabila tiba
waktu persaraan kerana perlu menanggung kos pembelajaran anak mereka yang masih
kecil. Oleh yang demikian, menabung mesti diamalkan sejak kecil lagi supaya wang
tersebut dapat digunakan pada masa akan datang.

Seterusnya, setiap orang perlu sedar bahawa keperluan duit semasa waktu
kecemasan juga membuatkan amalan menabung itu sangat penting. Hal ini kerana
manusia tidak dapat menjangka pada bila masa mereka perlu mengeluarkan wang
yang banyak bagi menanggung kos perbelanjaan sesuatu perkara yang boleh hadir
tanpa diduga seperti peribahasa “malang tidak berbau”.Justeru, kita perlu mengambil
langkah bersiap sedia jika hal yang tidak diingini seperti ini menimpa kita atau
keluarga kita. Oleh itu, memang tidak dapat dinafikan dengan simpanan yang banyak
hasil menabung dapat membantu mengatasi masalah atau situasi ketika kecemasan.

Selain itu, menabung dapat menjauhkan diri daripada sikap pembaziran. Hal
ini kerana dengan menyimpan wang, ianya mempunyai kesan termasuk dapat
memupuk nilai-nilai murni seperti berjimat-cermat dan bertanggungjawab ke atas diri
sendiri dan masa depan kita. Seseorang itu cenderung untuk boros ketika berbelanja
dan berfikiran secara tidak rasional ketika membuat pilihan. Manusia akan mudah
tertarik dengan promosi produk keluaran syarikat yang bijak mempromosikan sesuatu
produk dengan pakej pembungkusan yang cantik dan menarik perhatian. Lalu pembeli
akan terus membeli produk tersebut dengan tidak berfikir panjang walaupun barang
itu tidak diperlukan.Secara rumusannya, menabung boleh menghindarkan diri
daripada bersikap boros serta dapat meningkatkan jumlah simpanan seseorang.

Tambahan pula, amalan menabung yang disemai oleh ibu bapa dapat dijadikan
contoh teladan kepada anak mereka. Perkara ini bermaksud sesebuah keluarga yang
mengambil berat tentang amalan menabung akan disambung generasi seterusnya
melibatkan anak, cucu, sehinggakan cicit akan turut serta mencontohi perbuatan
moyang mereka. Ini sangat sesuai dengan pepatah Melayu, “bapa borek, anak rintik”.
Sebagai contoh, anak-anak yang setahun jagung akan diajar untuk menabung
sehingga dewasa, dan seterusnya ideologi ini akan diwariskan. Oleh itu, amalan
menabung dalam keluarga akan berkekalan sekiranya ibu bapa memainkan peranan
penting dalam memupuk tabiat menabung di kalangan ahli keluarga.

Secara kesimpulannya, amalan menabung mempunyai banyak kepentingan


untuk seorang individu dan keluarga kerana menabung akan memberi manfaat pada
jangka masa panjang khususnya. Galakkan amalan menabung mesti diwujudkan agar
lebih ramai orang yang menyedari kepentingan amalan ini. Tidak kira usia samada
muda mahupun tua, marilah kita mula menabung dengan cermat kerana “berakit-rakit
ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersusah-susah dahulu, bersenang-senang
kemudian”.
16. Ciri-Ciri Pengguna Yang Bijak
Dalam meniti arus kemodenan hari ini, ekonomi negara amat bergantung kepada
kemampuan pengguna untuk membeli barangan di pasaran. Namun begitu,
kerancakkan pembangunan dalam negara tidak sejajar dengan dapatan yang diperoleh
oleh rakyat secara purata. Maka timbul kempen untuk menjadi pengguna yang bijak
bagi mengelakkan pengguna tidak berbelanja terhadap pasaran negara. Pengguna
yang bijak bermaksud menjadi konsumer yang mengamalkan beberapa langkah
sebelum mendapatkan atau membeli barangan yang diperlukan tanpa mengakibatkan
kerugian atau masalah kepada diri di masa hadapan. Bak kata peribahasa Melayu,
sediakan payung sebelum hujan, dimana persediaan adalah mustahak dalam
menghadapi segala situasi
Antara ciri pengguna yang bijak adalah mengutamakan keperluan berbanding
kehendak. Perkara ini amat lazim dengan masyarakat kita terutamanya golongan
muda yang mudah terpedaya atau terpikat dengan promosi serta iklan barangan yang
dipasarkan. Media sosial juga menjadi medan kepada penjual untuk menarik perhatian
pengguna-pengguna dengan taktik yang licik sehingga mereka tidak sedar bahawa
barang yang mereka telah beli adalah di luar kemampuan mereka. Maka sebagai
pengguna bijak, individu itu perlu berfikir secara rasional dalam berbelanja dan tidak
mudah tertarik dengan anasir yang membawa mereka untuk berbelanja lebih dari
kemampuan mereka. Jelaslah bahawa, mengutamakan keperluan berbanding
kehendak dalam berbelanja merupakan ciri-ciri pengguna yang bijak.
Selain itu, pasaran yang besar memberikan pilihan kepada pengguna untuk
membuat pilihan yang terbaik dengan melakukan perbandingan harga. Amalan
perbandingan harga sebelum berbelanja seharusnya diamalkan supaya kita dapat
berjimat-cermat. Pengguna yang berhemat dalam berbelanja dapat menggunakan kos
penjimatan yang mereka peroleh untuk simpanan masa hadapan serta mengelak
daripada peniaga yang bersifat lintah darat. Amalan ini juga dapat membantu
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)
dalam membanteras sikap penjual yang tidak mematuhi arahan dan peraturan yang
digariskan oleh pihak kerajaan. Tidak dapat disangkal lagi, amalan membuat
perbandingan harga sebelum berbelanja merupakan ciri-ciri pengguna yang bijak.
Di samping itu, pengguna yang bijak seharusnya mengelakkan untuk
berhutang dalam berbelanja. Berbeza dengan pembelian kenderaan dan rumah,
pengguna sewajarnya berbelanja sekiranya mereka mampu membeli barang tersebut
sebanyak dua kuantiti. Nisbah ini adalah antara tips mengira kemampuan diri kita
dalam memiliki sesuatu barang. Sekiranya tidak mampu adalah wajar untuk kita tidak
berbelanja ataupun mencari sumber kewangan yang kukuh sebelum membeli apa
yang diperlukan, bukan dengan menggunakan jalan pintas seperti penggunaan kad
kredit dan sebagainya. Seperti peribahasa Melayu, mengukur baju di badan sendiri,
berbelanjalah mengikut kemampuan kita sendiri. Oleh itu, pengguna yang bijak perlu
mengelakkan diri daripada masalah hutang ketika berbelanja.
Tuntasnya, banyak ciri pengguna yang bijak wajar dipraktikkan oleh seluruh
rakyat Malaysia seperti huraian di atas. pucuk pangkalnya adalah pengurusan
kewangan kita yang menjadi pemangkin dalam menjadi pengguna yang bijak.
Pengurusan kewangan adalah suatu yang wajib dalam kehidupan setiap individu dan
pihak kerajaan sewajarnya memulakan pembelajaran pengurusan kewangan dan
pengguna bijak sejak dibangku sekolah lagi dek kerana melentur buluh biarlah dari
rebungnya. Dengan pengguna yang bijak membelanja dengan arif maka ekonomi
negara juga dapat berkembang dengan lebih baik dan menguntungkan semua pihak.

17. LANGKAH MEMPOPULARKAN PERMAINAN TRADISIONAL


Era pasca perindustrian dan pasca globalisasi yang serba mencabar akal dan minda
kita telah menyebabkan permainan tradisional semakin dilupakan dek ditelan zaman.
Masyarakat Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum, agama dan bangsa telah
mewujudkan pelbagai budaya yang wajar untuk dikekalkan untuk manfaat generasi
akan datang. Permainan tradisional merupakan salah satu budaya yang membentuk
sebahagian daripada kehidupan yang dilalui oleh nenek moyang kita. Mereka mengisi
waktu lapang dengan bermain permainan tradisional seperti guli, congkak, wau,
selambut, sepak raga dan gasing bersama-sama dengan jiran tetangga mereka. Aktiviti
hiburan yang dimainkan bersama-sama telah mewujudkan perpaduan dan suasana
yang harmoni dalam kehidupan masyarakat pada waktu dahulu. Apakah langkah-
langlah yang boleh dilaksanakan untuk mempopularkan kembali permainan
tradisional pada hari ini?

Langkah pertama dan yang paling utama adalah memperkenalkan permainan


tradisional kepada kanak-kanak atau golongan muda. Usaha ini merupakan peranan
ibu, bapa dan ahli keluarga dalam memberikan tauladan kepada generasi yang baru
setahun jagung bahawa bermain permainan tradisional juga menghiburkan. Ibu atau
bapa boleh menghadiahkan anak-anak permainan tradisional sebagai hadiah hari lahir.
Selain itu, golongan muda hari ini perlu dibawa ke muzium atau pameran permainan
tradisional bagi membuka mata mereka terhadap keunikan yang dimiliki oleh
masyarakat kita. Peribahasa Melayu berkata, melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Oleh itu, setiap di antara kita perlu sedar bahawa kita adalah ejen penyampai sesuatu
perkara kepada orang sekeliling kita khusunya ahli keluarga dalam usaha untuk
mempopularkan semula permainan tradisional masyarakat Malaysia.

Seterusnya, langkah untuk mempopularkan semula permainan tradisional


adalah dengan memperkasa pertandingan permainan tradisional di setiap peringkat.
Selain di rumah, sekolah juga boleh memainkan peranan dalam memperkenalkan
permainan tradisional kepada pelajar. Tamsilnya, sekolah mempunyai aktiviti
kokurikulum di mana permainan tradisional perlu diberikan perhatian oleh guru-guru.
Sebuah kelab permainan tradisional boleh diwujudkan bagi mengesan pelajar yang
mempunyai bakat terpendam dalam permainan tradisional. Sebagai contoh, permainan
sepak raga yang memerlukan teknik yang baik oleh pemain bagi memenangi satu
pertandingan. Justeru, pihak sekolah seharusnya mengambil kesempatan yang ada
untuk memupuk pelajar di sekolah tentang permainan tradisional yang wujud dan
boleh dimainkan oleh mereka di waktu lapang. Tambahan pula, penganjuran kempen
seperti Minggu Permainan Tradisional di peringkat sekolah, daerah mahupun negeri
mampu menjadi permulaan kepada usaha menaikkan semula kemasyhuran permainan
tradisional seperti waktu dahulu.

Di samping itu, inisiatif yang wajar untuk dilaksanakan adalah dengan


memberikan dana secara konsisten kepada penggiat permainan tradisonal di seluruh
negara. Perkara ini sedikit sebanyak bersangkut paut dengan autonomi yang dikawal
oleh pihak berkuasa dimana kematangan dan kestabilan politik adalah penting dalam
mengekalkan warisan dan tradisi sesuatu bangsa. Permainan tradisional masih lagi
dimainkan oleh sekumpulan kecil masyarakat yang duduk di kampung atau desa.
Maka, pihak berkuasa sewajarnya membantu penggiat yang meneruskan tradisi nenek
moyang kita ini untuk kekal relevan dan diperhatikan oleh seluruh masyarakat dalam
negara. Antara inisiatif yang boleh dilaksanakan adalah dengan membawa penggiat
permainan tradisonal ini ke sekolah-sekolah atau institusi yang melibatkan
masyarakat secara amnya. Dengan cara ini, mereka dapat memperkenalkan permainan
tradisional mereka dengan lebih berkesan. Contohnya, pemain gasing boleh
menunjukkan jenis-jenis gasing yang ada dan menunjukkan demo atau cara untuk
melawan gasing dengan rakan-rakan. Tambahan pula, peggiat permainan tradisional
ini boleh menjual secara terus kepada mereka yang berminat untuk membeli dan
bermain di halaman rumah masing-masing. Intihannya, pemberian sokongan yang
konsisten kepada penggiat permainan tradisional dapat membantu mereka untuk kekal
relevan dan menjadi popular.

Akhir sekali, media massa juga berperanan untuk mempopularkan semula


permainan tradisional yang kian dilupakan. Stesen televisyen, media cetak dan media
elektronik merupakan medium penyampai yang utama kepada masyarakat hari ini.
Oleh itu, inisiatif yang boleh digarap adalah dengan memperbanyakkan dokumentasi
tentang permainan tradisional. Mungkin generasi muda dewasa ini menjumpai
congkak atau batu seremban apabila mereka pulang ke kampung tetapi tidak tahu
bagaimana untuk bermain. Maka, mereka akan merujuk kepada media massa yang
mudah dan ringkas bagi mereka untuk mempelajari dan mengetahui tentang cara
permainan congkak ataupun batu seremban yang mereka jumpai. Selain itu, penggiat
seni juga wajar melazimi permainan tradisional dalam segala bentuk seni yang
mereka ketengahkan. Misalnya, produk animasi tempatan yang semakin mendapat
perhatian masyarakat kita boleh menggunakan elemen permainan tradisional dalam
jalan cerita mereka. Permainan sepeti gasing boleh menjadi senjata dan rekabentuk
wau sebagai kapal terbang. Kesannya, kanak-kanak akan mempersoalkan dan berfikir
akan apakah elemen menarik dalam animasi fiksyen kegemaran mereka.

Secara tuntas, pelbagai langkah boleh direalisasikan untuk mempopularkan semula


permainan tradisional dalam kalangan masyarakat hari ini. Permainan tradisional
adalah salah satu warisan dan budaya bangsa yang perlu dipelihara dan diraikan agar
tidak tenggelam akibat kemodenan serta kehadiran teknologi hari ini. Seperti yang
dihuraikan di atas, setiap pihak perlu memainkan peranan masing-masing dalam
usaha yang ingin dilaksanakan. Kita tidak seharusnya menjadi seperti kacang lupakan
kulit yang melupakan asal usulnya dengan mengabaikan peninggalan warisan nenek
moyang kita. Semoga setiap di antara kita sedar dan melakukan sesuatu bagi
memastikan generasi akan datang mengetahui dan memelihara keunikan budaya dan
warisan mereka tanpa ditelan arus kemajuan dunia.
18.Ciri-Ciri Remaja Yang Berwawasan

Dasawarsa ini, sama ada kita sedar atau tidak lantaran terlalu dihidangkan dengan
pembangunan negara yang semakin gah di persada dunia. Namun disebalik itu, kita
acapkali tersentak oleh pelbagai permasalahan sosial yang dicetuskan oleh golongan
remaja hari ini. Generasi muda merupakan pelapis yang akan menduduki tampuk
pemerintahan negara pada masa akan datang. Sayang dan malang sekali, mereka tidak
sedar akan obligasi yang terbeban di bahu mereka itu. Kelekaan dalam menikmati
hiburan yang dihidangkan oleh teknologi hari ini bakal memberi kesan yang buruk
kepada mereka. Justeru, setiap pihak perlu memainkan peranan masing-masing dalam
mengubah persepsi dan tingkah laku golongan remaja dengan mengenal pasti apakah
ciri-ciri remaja berwawasan?

Remaja yang berwawasan adalah golongan remaja yang mempunyai


personaliti yang mulia. Personaliti boleh didefinisikan sebagai tingkah laku,
keperibadian dan akhlak seseorang. Remaja yang mempunyai personaliti yang mulia
mempunyai tingkah laku yang sopan, saling hormat-menghormati dan mengamalkan 
nilai-nilai murni yang lain. Selain itu, menjaga kesihatan dengan bersukan dan
memastikan kebersihan diri dan kawasan sekeliling di tahap yang baik adalah ciri
personaliti yang mulia.  Dengan personaliti yang sebegini, mereka akan mudah
didampingi dan berkomunikasi dengan semua pihak tanpa mengira umur dan latar
belakang. Mereka juga tidak akan terjebak dengan kemelut sosial yang mementingkan
dunia hedonistik semata-mata serta berusaha untuk menghindarkan diri daripada
bergaul dengan remaja-remaja yang bermasalah. Intihannya, remaja yang berwawasan
adalah remaja yang mempunyai personaliti yang mampu membezakan yang mana
kaca dan yang mana permata supaya tidak terjerumus ke dalam lembah kegagalan
dalam kehidupan.
Pada masa yang sama, remaja yang berwawasan juga perlu mempunyai ilmu
pengetahuan yang luas dan tinggi. Ilmu pengetahuan merupakan faktor perdana untuk
menjanakan kecemerlangan tamadun bangsa. Remaja yang mempunyai ilmu
pengetahuan yang mencakupi semua bidang dapat membuat penilaian dan keputusan
yang bijak dalam menghadapi era globalisasi yang serba mencabar akal dan minda.
Golongan remaja perlu mengutamakan pembelajaran daripada melakukan perkara lain
yang sia-sia.  Tidak dapat dinafikan bahawa tanpa keputusan yang cemerlang, remaja
sukar melanjutkan pelajaran ke menara gading untuk merealisasikan segala impian
mereka. Justeru, ketekunan dan tidak berputus-asa merupakan nilai yang mustahak
dalam mendepani rintangan untuk menguasai ilmu pengetahuan. Persis kata
peribahasa, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

Di samping itu, bersikap patriotik terhadap negara adalah ciri-ciri remaja


berwawasan. Hal ini demikian kerana, George Santayana pernah berkata, manusia
yang melupai sejarah, pasti akan mengulanginya semula. Oleh itu, dengan menanam
sikap cinta akan negara dalam golongan remaja, ia pasti dapat membantu negara dari
segi kemajuan dan potensi untuk berjaya bersaing dengan negara yang lain. Mereka
juga tidak akan mudah terpengaruh dalam segala bentuk penjajahan sama ada dari
segi mental, intelektual, hiburan dan sebagainya. Para remaja yang berwawasan akan
memastikan budaya, tradisi dan warisan negara dipelihara di samping mengejar
kemajuan yang diacu sendiri oleh air tangan mereka. Jiwa patriotik yang menebal ini
akan menjamin keharmonian negara dan sekali gus berupaya menjaga maruah negara
di pentas global.

Akhir sekali, ciri-ciri remaja yang berwawasan adalah remaja yang sedar dan
melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan baik. Perjalanan kita sebagai
manusia dari kecil sehingga dewasa banyak berubah apabila kita mempunyai
tanggungjawab sama ada sebagai seorang pelajar, seorang anak dan seterusnya
menjadi ketua keluarga. Justeru, linkungan usia remaja merupakan masa yang penting
bagi seseorang individu untuk belajar menggalas tanggungjawab supaya di masa
hadapan ia menjadi sesuatu perkara yang mudah. Remaja yang berwawasan akan
melaksanakan tugas atau tanggungjawab mereka sebagai pelajar dengan mendapatkan
kecemerlangan akademik dan kokurikulum. Manakala tanggungjawab sebagai anak
pula sentiasa menjaga hati budi dan membalas jasa ibu bapa mereka dengan
membantu menyelesaikan kerja-kerja rumah. Kesannya, golongan remaja ini akan
lebih matang apabila diamanahkan dengan tanggungjawab yang lebih berat pada masa
akan datang.

Konklusinya, ciri-ciri remaja yang berwawasan terdiri daripada pelbagai aspek


kehidupan. Golongan remaja adalah golongan yang penting dalam menentukan masa
hadapan sesebuah masyarakat mahupun negara. Justeru itu, setiap pihak daripada
keluarga, guru, kerajaan dan ahli masyarakat sendiri perlu menggembleng tenaga
untuk memanifestasikan mekanisma terbaik bagi memupuk dan melahirkan remaja
yang berwawasan. Persis kata peribahasa Melayu, seikat bagai sirih, serumpun bagai
serai. Semoga setiap anjakan paradigma yang diatur mampu memberikan kesan yang
efektif kepada mereka dalam menjadi tunjang masa hadapan negara.
19. Tanggungjawab Masyarakat Dalam Membendung Jenayah Negara

Dalam meniti arus kemodenan ini, kita sering kali digemparkan dengan berita
perlakuan jenayah-jenayah yang berlaku dalam negara sehingga membuatkan kita
bimbang akan keselamatan diri dan orang yang tersayang. Peningkatan kes-kes
jenayah yang semakin hari semakin banyak amat merunsingkan kita sebagai
penduduk tanah air ini. Jenayah seperti gengsterisme, vandalisme, bunuh, rogol, ragut,
pengedaran dadah, rasuah, pelacuran dan sebagainya kerap menghiasi dada-dada
akhbar, dan media massa yang lain. Pelbagai mekanisme yang telah diusahakan oleh
pihak kerajaan untuk membantu mengurangkan kadar jenayah yang berlaku dalam
negara namun perlakuan negatif ini sentiasa menemui jalan untuk dilakukan oleh
orang yang tidak bertanggungjawab. Oleh itu, kita sebagai masyarakat haruslah
memainkan peranan dalam membendung perlakuan jenayah yang merosakkan
keharmonian negara yang kita cintai.
Masyarakat sebenarnya merupakan mata-mata kepada semua pihak berkuasa
yang menjadi badan pelaksana undang-undang negara. Keupayaan pegawai polis
untuk memastikan tiada sebarang jenayah berlaku adalah mustahil. Namun, kita
sebagai warganegara yang prihatin sewajarnya melaporkan setiap perlakuan yang
mencurigakan dan mempunyai unsur jenayah kepada pihak berkuasa seperti polis dan
sebagainya. Kecanggihan teknologi hari ini memberikan kelebihan kepada kita untuk
merakam atau mengambil gambar sebagai bukti perlakuan jenayah berlaku dalam
pemerhatian kita. Pemasangan kamera di kereta telah menunjukkan contoh terbaik
penggunaan teknologi masa kini untuk mencekup pelaku jenayah trafik. Justeru,
tindakan melaporkan perlakuan jenayah adalah tanggungjawab utama masyarakat
dalam membanteras perlakuan jenayah dalam negara.
Pada masa yang sama, kita sebagai ahli masyarakat seharusnya sentiasa
menunjukkan teladan yang baik kepada orang sekeliling kita. Pengaruh orang
sekeliling seperti rakan sekerja, keluarga atau rakan sekolah memberi impak kepada
perlakuan seseorang individu itu. Jika baik pengaruh sekelilingnya maka baiklah
tingkah laku mereka dalam menghadapi liku-liku kehidupan. Tetapi jika orang
sekeliling kita memberi pengaruh negatif maka buruklah implikasinya kelak kepada
diri dan masyarakat terutamanya. Persis kata mutiara, buat baik berpada-pada, buat
jahat jangan sekali. Maka, masyarakat konvensional ini perlu berubah menjadi
inteligensia dalam memastikan nilai kehidupan kita bertambah baik dan membuang
perlakuan negatif dalam diri dan masyarakat. Prakarsa ini boleh dijayakan juga
dengan input daripada media massa dan kerajaan kerana pengaruh mereka dalam
membuka mata dan pandangan hati setiap ahli masyarakat.
Selain itu, bagi mengelakkan aktiviti-aktiviti jenayah ini sering berlaku, kita
boleh menganjurkan acara kemasyarakatan yang melibatkan semua orang tanpa ada
had umur dan latar belakang. Dewasa ini, pelbagai syarikat-syarikat koporat yang
semakin berjaya dan mereka seharusnya  melaksana tanggungjawab sosial korporat
mereka dengan lebih berkesan. Aktiviti seperti gotong-royong dan pembersihan
kawasan perumahan atau tempat-tempat awam dengan penyertaan setiap ahli
masyarakat akan memastikan masa terluang yang ada digunakan untuk faedah
bersama. Tambahan pula, aktiviti sukan seperti futsal, larian maraton dan berbasikal
yang semakin mendapat perhatian belia terutamanya perlulah disemarakkan agar
mereka dapat manfaat yang berguna untuk diri dan masa santai mereka digunakan
sebaiknya serta membendung perlakuan jenayah. Secara tidak langsung, masyarakat
bersukan akan melahirkan masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat.

Seterusnya, pendidikan sivik dan moral dalam kalangan pelajar wajar untuk
diperkasakan supaya masyarakat mendapat manfaat dalam mencegah perlakuan
jenayah. Bak kata peribahasa Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya yang
bermaksud kita seharusnya mendidik anak bangsa kita dari kecil dengan nilai-nilai
sivik dan murni yang kita inginkan supaya kelak membuahkan hasil yang baik.
Pemerkasaan pendidikan sivik ini akan membantu golongan pelajar untuk lebih
berfikiran terbuka dan kritis dalam menilai sesuatu situasi yang berlaku dalam
kehidupan. Penayangan atau pertunjukkan senario yang sering berlaku dalam
masyarakat kemudiannya dijelaskan dan ditelusuri bersama oleh guru dan pelajar
dalam pendidikan sivik akan membantu mereka menjadi lebih waras dan bertoleransi
dalam masyarakat kita yang majmuk ini. Sikap keterbukaan dan toleransi akan
membantu kita menambah kesepaduan kaum dan menyemarakkan kehidupan
bermasyarakat tanpa ancaman jenayah.
Kesimpulannya, pelbagai peranan yang penting harus dilaksana oleh setiap
ahli masyarakat dalam membendung jenayah negara. Kita perlu berganding bahu bagi
memastikan langkah yang proaktif diambil supaya kadar jenayah yang membawa
virus epidimik ini dan akan menjatuhkan imej negara di mata dunia dapat
dikurangkan. Seterusnya, ia dapat menjamin keselamatan diri dan keluarga kita serta
memberikan harapan yang tinggi untuk generasi masa hadapan berasa selamat dan
hidup aman sentosa. Tindakan tegas pihak berkuasa dan keprihatinan masyarakat
akan memastikan kita diri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara lain
yang selamat untuk didiami dan cemerlang dalam pelaksanaan aktiviti ekonomi
mereka. Negara yang selamat akan menarik perhatian seantero dunia dalam menjadi
contoh sekaligus dapat membantu dunia mencegah jenayah antarabangsa.
20. Cara-Cara Mengatasi Stress Atau Tekanan
Sejak kebelakangan ini, isu depresi dan kemurungan menjadi polemik yang
dibincangkan dalam masyarakat konvensional. Kenaikan kos sara hidup dan ketidak
tentuan ekonomi negara telah menyebabkan isu yang sebelum ini tidak diberi
perhatian umum kini menjadi masalah utama dalam kalangan komuniti terutamanya
golongan remaja dan belia. Masalah depresi atau kemurungan berpunca daripada
tekanan atau stres yang berpanjangan, keterlaluan dan tiada kemampuan daya tindak
seseorang individu terhadap masalah tersebut. Ia merupakan tindak balas fizikal,
emosi dan juga mental yang dialami oleh seseorang apabila terdapat desakan terhadap
sesuatu perkara. Sesiapa sahaja yang mengamalkan berbagai cara gaya hidup samada
kanak-kanak, remaja, dewasa serta warga emas boleh mengalami stres atau tekanan.
Justeru, wajar untuk kita bincangkan apakah cara-cara yang boleh dilaksanakan bagi
mengatasi tekanan atau stres sebagai panduan kepada masyarakat hari ini.
Prakarsa utama dalam membendung tekanan atau stres adalah dengan
mempelajari kawalan emosi kendiri. Terdapat tekanan yang berbentuk sedikit,
sederhana dan berlebihan di mana dalam jangka masa panjang dan tidak dapat
ditangani oleh individu tersebut, ia akan menyebabkan kesan negatif serta
memudaratkan kesihatan mereka. Oleh itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)
telah memperkenalkan penyelesaian jangka pendek sebagai kawalan emosi kendiri
yang dikenali sebagai kaedah “10B”. Sekiranya anda mengalami stres atau tekanan
anda perlu mengikuti kaedah ini secara berturutan iaitu bertenang, bernafas secara
dalam, berkata relaks kepada diri, beribadat, bercakap dengan seseorang, berurut,
berehat dan mendengar muzik, beriadah, bersenam serta akhir sekali berfikiran
positif. Kaedah ini juga baik untuk membantu menangani tekanan darah tinggi yang
meyumbang kepada punca stres. Memang kita tidak boleh nafikan bahawa punca
tekanan dan stres lazimnya bukan daripada diri kita dan sukar untuk mengatasinya
tetapi dengan kaedah yang diutarakan, kita dapat mencegah perkara yang lebih negatif
daripada berlaku.
Di samping itu, tekanan atau stres boleh diatasi dengan berkongsi masalah
atau bercerita tentang perkara yang dilalui kepada individu yang dipercayai. Sebagai
contoh, apabila majikan memarahi pekerja tentang tugasan yang diberikan, pekerja
tersebut tidak berasa tertekan dan tidak tahu cara untuk menyelesaikan masalah
terbabit untuk mengurangkan stress. Maka, pekerja tersebut boleh mencari rakan kerja
yang berkecimpung dalam bidang yang sama seterusnya berkongsi masalah dan
berbincang tentang jalan penyelesaian terbabit. Tindakan ini bukan sahaja dapat
mengurangkan tekanan malah menunjukkan teladan dan tahap profesional yang lebih
baik daripada majikan pekerja tersebut yang menuding jari tanpa memberikan
sebarang bantuan. Selain itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan
Masyarakat telah pun membangunkan Talian Kasih 15999 yang beroperasi selama 24
jam pada setiap hari. Talian aduan krisis ini membolehkan sesiapa sahaja yang
mempunyai masalah berkaitan kaunseling, kebajikan, perlindungan dan masalah
keluarga untuk berhubung dengan pegawai yang bertugas dan mereka akan membantu
mangsa atau individu yang tiada kenalan untuk berkongsi masalah serta untuk
menghilangkan stres.
Alternatif lain yang dapat dilakukan oleh individu bagi mengelakkan tekanan
atau stres adalah dengan melakukan aktiviti riadah seperti bersenam atau bersukan.
Umum mengetahui bahawa aktiviti riadah mendatangkan pelbagai manfaat sekiranya
kita aktif dalam menyertainya. Misalnya, apabila seseorang bermain sukan badminton
bersama rakn-rakan, secara zahirnya mereka dapat melepaskan tekanan yang mereka
alami dengan menghasilkan pukulan smesy ke arah lawan. Tambahan pula permainan
sukan mewujudkan semangat setiakawan dan kerjasama di mana satu bentuk
kepuasan akan diperoleh sekiranya pasukan individu tersebut memenangi permainan
yang disertai. Bagi golongan dewasa yang berkerjaya dan mempunyai kekangan masa
untuk bersukan seharusnya meluangkan masa dihujung minggu untuk beriadah
sekurang-kurangnya selama 30 minit. Kemudahan pusat riadah seperti taman
permainan dan taman komuniti telah lengkap dengan trek untuk berjoging atau
berbasikal serta kelengkapan asas gimnasium yang boleh digunakan tanpa bayaran
untuk melepaskan hormon kesehatan tubuh. Kesannya, badan yang cergas akan
membentuk minda sihat dan tekanan atau stres dapat diatasi.
Jika dilihat pada sudut pandang yang berlainan, tekanan dapat dielakkan dengan
mendekatkan diri kepada Tuhan. Hal ini demikian kerana, ketenangan hati dan segala
urusan duniawi adalah kurniaan dan ujian yang diberikan oleh Tuhan. Maka, kita
seharusnya sentiasa bermuhasabah diri sama ada perkara atau kehidupan yang kita
jalani seiring dengan ajaran dan kehendak Beliau. Setiap agama mengetengahkan
konsep kebaikan dan nilai-nilai murni supaya kita tidak terjerumus dalam lembah
duniawi yang tidak kekal dan bersifat sementara. Sebagai seorang muslim, ibadat
solat merupakan tiang agama dan mampu membantu menenangkan hati dan minda
jika dilakukan dengan kekhusyukan. Tambahan pula, segala perbuatan dalam solat
telah ditafsirkan sebagai bentuk senaman ringan kepada kita setelah mengharungi
pekerjaan sepanjang hari. Lantaran itu, pendekatan diri kepada Sang Pencipta bukan
sahaja memberikan kita ketenangan malah menunjukkan jalan yang benar dan
diperlukan oleh manusia yang lemah seperti kita semua untuk meningkatkan
kerohanian. Izharnya, kekuatan rohani akan mezahirkan ketahanan jasmani terhadap
apa sahaja masalah yang timbul.
Sebagai kesimpulan, terdapat banyak cara menghilangkan stress yang boleh
dilakukan bagi mengatasi tekanan atau stres. Ia adalah perasaan semula jadi yang ada
pada setiap individu dan pelbagai faktor yang menyumbang kepada desakannya
terhadap sesorang individu. Dengan kesedaran masyarakat yang semakin baik
terhadap perkara ini, ramai pihak seharusnya menggembleng tenaga bagi
memperkenalkan mekanisme kawalan terhadap tekanan atau stres yang dihadapi oleh
ahli masyarakat. Perkara ini boleh diputar menjadi sumber motivasi seseorang untuk
mencapai segala bentuk kejayaan dalam perkara yang mereka ceburi. Kita hanya
memerlukan kepakaran dan kajian yang telus supaya dapat membantu golongan yang
terkesan serta untuk mengetahui kaedah terbaik kerana mencegah lebih baik daripada
merawat. Semoga segala inisiatif dan cara menghilangkan stres yang diatur dapat
memangkin sifat mahmudah dalam diri setiap individu seterusnya melahirkan
komuniti yang hidup sejahtera, aman dan harmoni.

You might also like