Gggd5022 - Sekolah Dan Masyarakat Tugasan 1 Ulasan Buku

Download as pdf or txt
Download as pdf or txt
You are on page 1of 4

FAKULTI PENDIDIKAN (FPEND)

NAMA KURSUS:
GGGD5022 – SEKOLAH DAN MASYARAKAT

TUGASAN:
ULASAN BUKU / BOOK REVIEW

Peranan Sekolah dalam Pembentukan Perpaduan Antara Kaum dalam


Kalangan Pelajar

PENSYARAH:
DR. MARLISSA OMAR

DISEDIAKAN OLEH:
LUQMAN AFIQ BIN MOHD ADNAN

NO MATRIK :
P133629
Tajuk artikel :
Peranan Sekolah dalam Pembentukan Perpaduan Antara Kaum dalam Kalangan Pelajar
Penulis:
1. Nur Ayuni Nusaibah Husin
2. Amir Hasan Dawi

ULASAN / KRITIKAN :
Berdasarkan penulisan artikel ini, pandangan saya ialah artikel ini sangatlah penting
kepada keseluruhan rakyat Malaysia terutamanya para pelajar di peringkat sekolah dalam usaha
untuk memupuk perpaduan antara masyarakat yakni para pelajar sendiri di sekolah. Dalam artikel
ini, penulis telah mengatakan bahawa perpaduan dapat dipupuk dalam kalangan masyarakat
terutamanya para pelajar walaupun terdapat kepelbagaian latar belakang sama ada dari segi agama,
bangsa dan bahasa ibunda, dengan syarat sekolah dijadikan sebagai ladang-ladang untuk
penanaman benih perpaduan diantara kaum. Dalam artikel ini, perbincangan dimulakan dengan
fungsi sesebuah institusi pendidikan iaitu sekolah sebagai pusat perpaduan antara kaum. Penulis
telah menerangkan dengan lebih teliti iaitu sekolah merupakan salah satu medium semaian yang
paling sesuai untuk mengintegrasikan pelajar-pelajar yang berlainan latar belakang. Hal ini kerana
sekolah bukanlah sekadar pusat menimba ilmu semata-mata ia juga berfungsi sebagai pusat
pengantaraan bagi mewujudkan perpaduan dalam kalangan masyarakat terutamanya para pelajar.
Contohnya, interaksi antara pelajar-pelajar yang berlainan latar belakang membolehkan mereka
untuk memahami dan mempelajari agama, bangsa, etnik, gaya hidup dan budaya pelajar-pelajar
lain dengan syarat sekolah dijadikan sebagai pusat interaksi untuk para pelajar.. Hal ini sudah
semestinya sangat membantu dalam usaha pemupukan perpaduan antara kaum di sekolah melalui
proses sosialisasi antara pelajar-pelajar. Selain itu, dengan adanya sikap perpaduan antara kaum
ini, ia akan menerbitkan nilai-nilai murni yang mana apabila dipraktikkan oleh masyarakat yakni
para pelajar, ia akan menjadi baja yang menyuburkan lagi perpaduan dalam masyarakat majmuk
di Malaysia.
Walaubagaimanapun, penulis turut menyatakan bahawa corak pemikiran rakyat Malaysia
mengenai perpaduan masih belum berubah walaupun telah mencapai kemerdekaan melebihi 60
tahun. Hal ini lebih jelas apabila dilihat kepada fokus perbincangan dalam negara yang mana masih
lagi berkaitan dengan masalah perpaduan kaum. Menurut Suzana Sulaiman (2013), beliau
mendapati hubungan perpaduan antara pelajar di Universiti Malaysia Perlis masih lagi berada pada
tahap sederhana. Oleh itu, penulis telah menjalankan penyelidikan untuk merungkai punca-punca
kepada isu hubungan antara kaum. Antara puncanya adalah pelajar-pelajar kurang menguasai
Bahasa Melayu yang menyebabkan sistem komunikasi di sekolah menjadi sukar dek kerana
pelajar-pelajar Melayu tidak memahami mesej yang ingin disampaikan oleh pelajar-pelajar bukan
Melayu. Hal ini disokong oleh Zulkifli Hamid (2011) yang menyatakan perpaduan pelajar yang
berbilang kaum di sekolah sukar untuk dicapai sekiranya pelajar-pelajar tidak menguasai bahasa
rasmi negara iaitu Bahasa Melayu. Selain itu, apabila pelajar-pelajar tidak dapat memahami antara
satu sama lain, maka tahap pergaulan sesama pelajar berbilang kaum secara automatik akan
menjadi tidak mesra. Menurut kajian penulis, pelajar-pelajar berbangsa Melayu lebih suka memilih
untuk bermain bola tampar bersama rakan-rakan berbangsa Melayu sahaja berbanding pelajar-
pelajar bukan Melayu. Hal ini jelas membuktikan berlakunya perpecahan dalam kalangan pelajar-
pelajar di sekolah. Oleh itu, pihak sekolah perlu mengambil tindakan segera dalam menangani isu
ini sebelum ianya menjadi barah yang boleh membawa kepada kehuru-haraan dalam negara.
Persoalannya, apakah langkah-langkah yang perlu dilaksanakan oleh pihak sekolah dalam
mengembalikan perpaduan antara pelajar-pelajar berbilang kaum?
Antara langkah-langkah yang telah disenaraikan oleh penulis ialah pihak sekolah perlu
meningkatkan perpaduan antara pelajar-pelajar. Hal ini boleh dilaksanakan dengan pihak sekolah
mengadakan program penggunaan akhbar Utusan Malaysia dan mewajibkan para pelajar untuk
membeli senaskah akhbar setiap minggu. Apabila pelajar diajar untuk membaca akhbar-akhbar
dalam Bahasa Melayu, mereka akan mula memahami corak penggunaan Bahasa Melayu dengan
lebih baik malah membantu mereka untuk berkomunikasi dengan pelajar-pelajar Melayu secara
efisien. Selain itu, pihak sekolah juga boleh mengadakan bulan bahasa yang mempunyai pelbagai
aktiviti berkumpulan yang mestilah terdiri daripada pelajar-pelajar berbilang kaum. Dengan
adanya aktiviti ini, pelajar-pelajar akan mula berinteraksi antara satu sama lain dalam
menyelesaikan tugasan yang diberi pada bulan bahasa tersebut. Secara tidak langsung, aktiviti-
aktiviti berkumpulan sebegini akan mewujudkan hubungan silaturahim yang erat antara pelajar-
pelajar dan sekali gus mengukuhkan lagi hubungan antara kaum dalam kalangan pelajar.
Seterusnya, pihak sekolah juga boleh memperkenalkan penggunaan sistem audio di kawasan
berkumpul pelajar contohnya seperti di kantin, koperasi , dewan makan asrama dan sebagainya.
Pengenalan sistem audio ini adalah sangat sesuai dengan pelajar-pelajar generasi Z ini kerana
mereka lebih gemar untuk mendengar lagu-lagu sewaktu di luar bilik darjah. Oleh itu, pihak
sekolah boleh memainkan pelbagai jenis lagu-lagu Melayu yang terkini yang menjadi bualan para
pelajar tidak kira sama ada Melayu, Cina atau India. Dengan kaedah ini, pelajar-pelajar dapat
mengetahui perkataan-perkataan baru dan juga cara-cara pembinaan ayat melalui lirik lagu yang
mereka dengar. Tambahan pula, dengan pengenalan sistem audio ini ia juga dapat mengeratkan
hubungan perpaduan antara pelajar iaitu dengan mewujudkan minat yang sama antara pelajar
terhadap sesuatu lagu. Akhir sekali, semua pelajar diwajibkan untuk mengambil bahagian dalam
semua aktiviti-aktiviti yang dianjurkan pihak sekolah dan mereka akan dibahagikan mengikut
kumpulan masing-masing bagi setiap program. Sekiranya mana-mana pelajar yang gagal untuk
berbuat sedemikian, maka tindakan disiplin perlu diambil ke atas pelajar tersebut.

KESIMPULAN:
Kesimpulannya, sekolah merupakan tapak semaian yang mempunyai medium tanah yang
sesuai untuk menanam pokok-pokok perpaduan dalam kalangan para pelajar. Ianya merupakan
titik permulaan untuk negara bagi mewujudkan perpaduan antara kaum kerana meluntur buluh
biarlah daripada rebungnya. Sekiranya negara gagal untuk menanam sikap bersatu padu ini dalam
diri generasi-generasi muda terutamanya para pelajar pada masa kini, maka negara mungkin bakal
berdepan dengan ketidakstabilan politik yang boleh mengancam keamanan negara. Oleh itu,
penulis telah mengenal pasti punca-punca yang boleh menjejaskan keutuhan perpaduan negara dan
beliau juga telah mencadangkan beberapa langkah-langkah yang sesuai bagi menangani isu-isu
perpaduan ini daripada terus merebak dan menjadi barah dalam negara. Oleh yang demikian,
semua pihak termasuklah, ibubapa, pihak sekolah, masyarakat dan kerajaan perlulah
menggembleng tenaga bagi mengukuhkan perpaduan antara kaum dalam kalangan para pelajar
agar keamanan yang wujud di Malaysia dapat terus dilestarikan.

You might also like