Diperkenalkan di pasaran Malaysia pada 2008, kejayaan yang diraih motosikal Yamaha FZ150i mungkin tidak segah 'abangnya' RX-Z namun populariti yang dikecapi tidaklah menghampakan.
Tiba dengan harapan menjadi 'pengganti' kepada RX-Z yang ketika itu bakal ditamatkan pengeluarannya, FZ150i sememangnya datang dengan pelbagai pakej yang boleh disifatkan menarik.
Antaranya adalah ia menggunakan teknologi suntikan bahan api yang menjadikannya sebuah motosikal yang jimat minyak, penggunaan rangka 'Delta-box' yang membuatkannya 'sedap' ditunggang selain reka bentuk yang berbeza.
Jika berpandukan kepada populariti RX-Z, tindakan Yamaha menerusi Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) dengan memperkenalkan FZ150i tampak tepat.
Tetapi hakikatnya, penjualannya tidak mampu mencabar RX-Z kerana penerimaan model 4 lejang dalam segmen motosikal naked atau 'street bike' ketika itu tidak begitu tinggi berbanding ketika ini.
Begitupun, FZ150i masih bertahan berikutan ia masih mempunyai peminatnya yang tersendiri serta ketiadaan persaingan sebenar daripada jenama Jepun yang lain dalam segmen berkenaan.
Ketika dikeluarkan, reka bentuk FZ150i sebenarnya tidaklah begitu menarik tetapi ia diperbaiki dan tampak moden menerusi versi naik taraf yang diperkenalkan pada 2014.
Sambutan yang diterima ketika pelancaran V2 itu boleh dikatakan baik namun kehadiran 'adiknya', Y15ZR – yang menggunakan platform enjin sama - beberapa tahun kemudian membuatkan pilihan pengguna mulai berbelah bahagi.
Berbalik kepada pakej yang dimiliki FZ150i, sebagai sebuah motosikal dengan gaya 'naked' ia sememangnya dicipta untuk mendapatkan tunggangan yang selesa dan menyeronokkan terutama bagi tunggangan santai dan jauh.
Menggunakan rangka Delta-box, ia sememangnya berjaya memberikan pengendalian yang lebih baik buat penunggang selain perjalanan yang lebih stabil dan selesa.
Justeru, rata-rata pemiliknya berpuas hati dengan keupayaan jentera berkenaan malah ramai diantara mereka melakukan modifikasi menjadikannya sebagai motosikal touring dan sebagainya.
Seperti kebanyakan kenderaan lain, FZ150i bukan sempurna. Ia turut mempunyai masalah dan paling menakutkan ialah membabitkan 'fuel coil' yang menyebabkan motosikal berkenaan mati secara tiba-tiba. Begitupun, masalah berkenaan dipercayai sudah pun dapat diatasi.
Sekali pun ia tidak begitu diminati di negara ini, FZ150i yang dikenali sebagai Yamaha V-Ixion 'laku keras' di pasaran Indonesia. Malah penjualannya di negara itu masih baik dengan versi terbarunya masih kukuh dalam pasaran.
Jika melihat kepada pasaran terpakai di Malaysia, ia boleh dikatakan murah dengan model 2015 boleh dibeli pada harga RM3,900.
Sejak HLYM menghentikan pengeluaran FZ150i pada 2018, rata-rata peminat motosikal itu kecewa kerana tiada lagi jentera jenis ‘naked’ bersesaran 150cc ditawarkan di Malaysia.
Ada yang berkira-kira tindakan HLYM ketika itu adalah bagi memberi ruang untuk kehadiran satu lagi model iaitu Yamaha M-Slaz kesudahannya tidak seperti diharapkan.
Namun pada tahun lalu, pengganti kepada FZ150i ini hadir dengan bentuk lebih 'ganas' dan mengancam iaitu Yamaha MT-15.