Falsafah Pendidikan Guru (FPG)

Unduh sebagai docx, pdf, atau txt
Unduh sebagai docx, pdf, atau txt
Anda di halaman 1dari 5

1.

0 Falsafah Pendidikan Guru (FPG)

1.1 Pengenalan Pertama-tamanya eloklah jika kita memahami apa yang dimaksudkan dengan falsafah pendidikan guru itu sendiri. Menurut laman web ensaiklopedia bebas, wikipedia, falsafah ialah satu disiplin ilmiah yang mengusahakan kebenaran yang umum dan asas. Manakala perkataan pendidikan bermaksud usaha sistematik yang disengajakan,yang dibuat oleh sesuatu masyarakat untuk menyampaikan pengetahuan, nilai, sikap dan kemahiran kepada ahlinya, usaha memperkembangkan potensi individu dan perubahan yang berlaku dalam diri manusia. Seterusnya, menurut Noor Jamaluddin (1978: 1) guru adalah pendidik, yaitu orang dewasa yang bertanggungjawab memberi bimbingan atau bantuan kepada anak didik dalam perkembangan jasmani dan rohaninya agar mencapai kedewasaannya, mampu berdiri sendiri dapat melaksanakan tugasnya sebagai makhluk Allah khalifah di muka bumi, sebagai makhluk sosial dan individu yang sanggup berdiri sendiri. Berdasarkan kepada dasar yang telah digubal oleh kerajaan, Falsafah Pendidikan Guru adalah seperti berikut: Guru yang berpekerti mulia, berpandangan progresif dan saintifik, bersedia menjunjung aspirasi negara serta menyanjung warisan kebudayaan negara, menjamin perkembangan individu dan memelihara suatu masyarakat yang bersatu-padu, demokratik, progresif dan berdisiplin

1.2 Matlamat Falsafah Pendidikan Guru Matlamat falsafah pendidikan guru adalah untuk melahirkan guru yang berkualiti dari segi peribadi, professional, sosial, menguasai ilmu dan kemahiran serta amalan keguruan. Seseorang guru cemerlang perlu mempunyai ciri-ciri dalaman iaitu peribadi yang seimbang terlebih dahulu. Ianya sangat penting kerana seseorang guru perlulah mempunyai emosi yang stabil untuk membolehkan mereka membentuk generasi yang positif pula. Guru juga akan menjadi contoh teladan kepada murid-murid. Justeru, guru harus menjadi ikon yang terbaik kepada murid-murid. Seterusnya, guru perlulah professional tentang karier mereka. Seseorang bakal guru perlulah berusaha sehabis mungkin untuk mendalami ilmu berkaitan keguruan ketika masih dalam tempoh latihan agar mereka tidak kekok ketika bertugas di kemudian hari.

Disamping itu, falsafah pendidikan guru juga adalah untuk melahirkan guru yang berkualiti dari segi sosial. Guru perlulah mempunyai bijak bergaul dengan semua masyarakat sekeliling tidak kira dalam kawasan sekolah mahupun dengan masyarakat luar. Ini kerana, ke mana sahaja seseorang guru itu pergi dia akan membawa imej seorang guru. Guru juga perlu mempunyai penguasaan terhadap ilmu dan kemahiran keguruan. Seseorang guru itu bukan hanya perlu memberikan didikan akademik, tetapi dia juga perlu menyelitkan nilai-nilai murni dalam proses pengajaran dan pembelajaran seharian.

1.3 Konsep Falsafah Pendidikan Guru Bagi memahami sesuatu perkara kita terlebih dahulu perlu memahami konsep perkara atau tajuk itu. Justeru sama seperti falsafah pendidikan guru ini, kita perlu memahami konsep yang ingin disampaikan menerusi falsafah ini terlebih dahulu. Di Malaysia, falsafah pendidikan guru ini digubal berasaskan model konseptual pendidikan guru (rujuk lampiran: rajah 1). Berdasarkan model tersebut, karakter seorang guru berkait rapat dengan tiga dimensi utama iaitu ketuhanan, kemasyarakatan dan kendiri. Bagi elemen ketuhanan, ia berkaitan peningkatan ilmu, penghayatan dan amalan individu berteraskan kepercayaan dan kepatuhan kepada ajaran agama. Seterusnya menerusi kemasyarakatan, model ini memberi penekanan mengenai peranan guru sebagai pendidik, pemimpin dan agen perubahan. Manakala aspek kendiri memberi penekanan pembinaan daya kefahaman dan patriotisme, pemupukan budaya ilmu serta pembentukan sahsiah murni dan berpekerti mulia. Dalam hal ini, seorang guru itu harus terlebih dahulu melengkapkan tiga elemen asas mengikut model konseptual guru ini iaitu pengetahuan, nilai serta kemahiran tentang keguruan. Pengetahuan yang dimaksudkan ialah yang berhubung dengan perkembangan dan kepentingan pendidikan dalam kehidupan. Manakala kemahiran menekankan tentang kemahiran menggunakan bahan-bahan pelajaran dengan tujuan meningkatkan lagi kualiti pengajaran dan pembelajaran. Nilai pula merujuk kepada amalan nilai-nilai murni, perlakuan seorang guru, berdaya tahan, patriotik dan patuh terhadap profession keguruan. Guru pada peringkat rendah harus memberi contoh yang sesuai yang melambangkan ciri-ciri kesempurnaan dari segi jasmani dan rohani. Selain itu, guru perlu mengamalkan dan menghayati nilainilai yang diajar. Ini kerana, nilai-nilai yang dihayati oleh guru akan tercermin dalam amalan-amalan sehariannya.

Berhubung model konseptual pendidikan guru ini juga, ia turut menekankan matlamat mengembangkan potensi guru secara seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek. Keempat-empat aspek ini juga adalah selaras dengan matlamat falsafah pendidikan kebangsaan. Aspek yang dititikberatkan ini adalah penting kerana seorang pendidik itu haruslah terlebih dahulu mempunyai unsur dalaman yang stabil agar berupaya pula melahirkan generasi seimbang jasmani, emosi, rohani dan intelek selaras dengan falsafah pendidikan negara kita. Justeru, dapatlah disimpulkan disini mengikut model konseptual guru ini bahawa seseorang guru itu perlulah mengukuhkan terlebih dahulu aspek dasar iaitu ketuhanan, kemasyarakatan dan kendiri. Langkah seterusnya ialah memantapkan unsur rohani, jasmani, intelek dan nilai. Selepas itu, memupuk serta mengekalkan aspek kemahiran, pengetahuan serta nilai seorang guru. Bersatunya kesemua unsur-unsur dalam model konseptual ini dapat memantapkan lagi unsur akauntabiliti seorang guru.

1.4 Ciri-Ciri Guru Yang Berkesan Ciri-ciri guru yang berkesan sangat ialah guru yang dapat melahirkan unsur kecindan yakni dapat menghidupkan suasana di dalam kelas. Unsur kecindan adalah unsurunsur lucu yang diselitkan dalam proses pengajaran. Selain itu, guru juga perlulah mempunyai daya kepimpinan yang tinggi agar mampu mengawal kelasnya. Ini kerana, walaupun guru itu bertugas di sekolah rendah, ia bukanlah satu tugas yang boleh dipandang enteng kerana kanak-kanak lebih banyak kerenahnya. Seterusnya, guru juga perlulah berdedikasi dan berwibawa terhadap professionnya. Dedikasi merupakan asas kepada kejayaan yang cemerlang. Guru perlulah komited terhadap kerjayanya supaya semua aktiviti yang dirancang dalam proses pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lancar. Ciri-ciri ini haruslah dicapai oleh semua guru-guru agar hasrat falsafah pendidikan guru Malaysia dapat dicapai dengan jayanya.

2.0 Implikasi Implikasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) dan Falsafah Pendidikan Guru (FPG)

2.1 Pengenalan Falsafah Pendidikan Kebangsaan telah dilancarkan secara rasmi pada tahun 1988 telah dipengaruhi oleh beberapa faktor iaitu faktor agama, sosial, ekonomi, politik individu dan faktor faktor sejagat. Berdasarkan faktor faktor ini, Falsafah Pendidikan Kebangsaan telah dilaksanakan bagi mencapai matlamat matlamat yang diharapharapkan. Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan Guru telah membawa beberapa implikasi terhadap sistem kurikulum sekolah, pendidik dan institusi pendidikan.

2.2 Implikasi terhadap sistem kurikulum sekolah Implikasi terhadap kurikulum sekolah telah membawa perubahan sukatan subjek pelajaran yang diorientasikan kepada program bersepadu seperti Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah. Selain itu, perubahan dari segi bahan bahan pengajaran dan pelajaran yang hanya mengutamakan nilai nilai murni akan diserap dalam semua subjek. Hal ini bertujuan untuk melaksanakan perubahan program pendidikan bagi melahirkan modal insan yang seimbang dan harmonis. Tambahan pula, perubahan kurikulum sekolah juga dapat dilihat melalui sistem pendidikan negara yang mula berorientasikan ke arah pendidikan umum. Perubahan sukatan pelajaran yang sesuia juga telah dibuat untuk melatih pelajar pelajar agar mempunyai kemahiran teknologi dan vokasional.

2.3 Implikasi terhadap pendidik Implikasi yang kedua yang telah tercetus ialah terhadap pendidik. Implikasi ini telah membawa perubahan sikap pendidik dan profesionalnya untuk menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan sejajar dengan tujuan dan dasar Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Di samping itu, sikap peribadi pendidik perlulah diubah kepada pandangan dan visi yang positif terhadap tugas demi merealisasikan matlamat dan cita cita Falsafah Pendidikan Negara. Perubahan positif secara profesional dengan mengubah strategi dan teknik pengajaran yang sesuai diharap mampu melahirkan pendidik yang inovatif, berpengetahuan luas, berakhlak mulia dan berketrampilan yang cemerlang.

2.4 Implikasi terhadap institusi pendidikan Implikasi yang terakhir ialah implikasi terhadap institusi pendidikan. Di dalam institusi pendidikan pada zaman ini kita dapat melihat perubahan yang amat ketara berbanding dengan institusi pendidikan pada zaman dahulu. Perubahan yang amat ketara dapat dilihat melalui perkembangan infrasturktur yang dibina di sekolah. Hal ini bertujuan untuk memberi peluang terhadap para pelajar bagi mengembangkan lagi potensi yang ada dalam diri para pelajar dari segi intelek, rohani, emosi, sosial, dan jasmani secara menyeluruh dan seimbang. Selain itu juga, aktiviti aktiviti budaya di sekolah telah mengalami perubahan bagi memupuk nilai nilai murni dalam jiwa para pelajar. Perubahan iklim di sekolah secara kondusif bagi melahirkan pelajar pelajar yang amat mencintai ilmu dan seterusnya memupuk budaya membaca dalam kalangan mereka.

Anda mungkin juga menyukai