Assignment TITAS

Unduh sebagai pdf atau txt
Unduh sebagai pdf atau txt
Anda di halaman 1dari 15

UDT1012 / UDT1022

TITAS 1 / TITAS



PERANAN AGAMA DALAM PEMBENTUKAN DAN
PERKEMBANGAN TAMADUN



NAMA PELAJAR/
NO. MATRIKS












MOHD FAIRUZ BIN JILAINI
DX100156DAJ04
MOHD REDUAN BIN ABDULLAH
DX115025DAJ04
MOHD SHAHRIL BIN AB. RESID
DX115023DAJ04
MUHAMMAD ALHAFIQ BIN HAJA MYDIN
DX100150DAJ04
MUHAMMAD ASYRAF BIN MASRI
DX075317DAD04
MUHAMMAD ISLAH BIN SULAIMAN
DX115028DAJ04
MUHAMMAD ZAKWAN BIN ZAMRI
DX115033DAJ04
SESI - SEM 2012/2013 3
SEKSYEN 01
PENSYARAH PN. ZAHARAH BINTI MUSTAFFA



ISI KANDUNGAN
BAB TAJUK HALAMAN
1 PENGENALAN 1
1.1 Pendahuluan 1
1.2 Objektif dan Skop 2
2 TAMADUN 3
2.1 Peristilahan 3
2.1.1 Bahasa Melayu 3
2.1.2 Bahasa Arab 4
2.1.3 Bahasa Inggeris 5
2.2 Ciri-Ciri Tamadun 5
3 PERANAN AGAMA DALAM TAMADUN 6
3.1 Pengenalan 6
3.2 Perspektif Barat 7
3.3 Perspektif Islam 8
4 KESIMPULAN 11
4.1 Perspektif Barat 11
4.2 Perspektif Islam 12
RUJUKAN 13



BAB 1
1 PENGENALAN
1.1 Pendahuluan
Tamadun adalah peningkatan taraf hidup sesuatu masyarakat. Peningkatan
ini adalah dari segi corak kehidupan bersifat nomad kepada corak kehidupan yang
lebih baik dan teratur. Ia juga merupakan kemajuan yang dicapai oleh sesuatu
masyarakat pada sesuatu zaman di mana kehidupan manusia disediakan dengan
kemudahan hasil ciptaan teknologi pada masa itu.
Secara mudahnya tamadun adalah corak kehidupan manusia yang telah
mempunyai ciri-ciri kemajuan dan sentiasa mencari paningkatan dari masa ke
semasa. Tamadun merujuk kepada perubahan daripada sesuatu yang bersifat
tradisional kepada corak yang lebih sempurna dalam setiap aspek kehidupan
seperti sistem pemerintahan, ekonomi dan komunikasi (Zaharah et al, 2012).
Pengertian tamadun yang difahami oleh masyarakat hanya bersifat umum
seperti kelompok manusia yang mengalami perubahan dalam kehidupan dan
dikaitkan dengan proses dan hasil daripada kemajuan yang dicapai.
Agama pula bermaksud kepercayaan kepada Tuhan atau satu kuasa ghaib
seperti Dewa, dan amalan yang dilakukan disebabkan oleh kepercayaan tersebut.
Agama merupakan kepercayaan oleh sesuatu komuniti dan bukan kepercayaan
yang hanya melibatkan seseorang idividu.
2

Agama merupakan salah satu pengaruh yang dikaitkan dengan
kemunculan dan perkembangan sesuatu tamadun dan salah satu elemen yang
menjadi keutuhan atau keruntuhan sesuatu tamadun. Perbahasan mengenai
ketamadunan sering mengaitkan agama sebagai salah satu perkara yang penting
(Zaharah et al, 2012).
1.2 Objektif dan Skop
Objektif tugasan ini adalah untuk membincangkan tentang tamadun dan
agama serta kaitan agama dengan tamadun. Skop laporan ini melibatkan
penerangan dari persepsi Barat dan Islam.




BAB 2
2 TAMADUN
2.1 Peristilahan
Pelbagai istilah telah digunakan oleh para sarjana tentang pengertian
tamadun bergantung kepada persepsi dan kesesuaian yang dipegang oleh sarjana
tersebut. Kepelbagaian ini juga bergantung kepada masa, tempat dan peningkatan
kemajuan yang dicapai (Zaharah et al, 2012).
Tugasan ini akan menerangkan istilah tamadun dalam bahasa Melayu,
Arab dan Inggeris. Secara umumnya kesemua bahasa tersebut mendefinisikan
tamadun sebagai maju atau kemajuan.
2.1.1 Bahasa Melayu
Istilah tamadun merupakan kata pinjaman daripada bahasa Arab iaitu
'tamaddun' dan diubah dengan menggugurkan huruf d yang kedua (Munif,
2002). Kamus Dewan pula menerangkan maksud tamadun sebagai keadaan
masyarakat manusia yang dicirikan oleh atau didasarkan pada taraf kemajuan
kebendaan serta perkembangan pemikiran (sosial, budaya, politik, dll) yg tinggi,
peradaban. Ringkasnya istilah tamadun bermaksud kemajuan dari segi fizikal,
pemikiran dan peradaban.
4

2.1.2 Bahasa Arab
Peristilahan yang digunakan dalam bahasa Arab adalah umran, hadharah,
madaniyah dan tamaddun.
Perkataan umran dari segi bahasa bermaksud bandar. Istilah ini digunakan
dalam ilmu ketamadunan oleh sarjana Islam Ibn Khaldun dalam bukunya yang
terkenal iaitu al-Muqaddimah. Beliau membahagikan umran kepada enam
peringkat dan menegaskan umran adalah pencapaian kehidupan yang tinggi
merangkumi aspek kehidupan dunia dan akhirat.
Perkataan hadharah berasal daripada perkataan hadhara yang bermaksud
tinggal di bandar dengan perilaku kehidupan yang tinggi. Perkataan hadharah
pada asalnya digunakan oleh Ibn Khaldun sebagai bentuk ketamadunan dari segi
ekonomi dan berlawanan dengan badwi (Arnason dan Stauth, 2004). Hadharah
kemudiannya digunakan untuk maksud yang lebih meluas oleh beberapa sarjana
antaranya ialah Al-Bustani dan Malik Bennabi (Zaharah et al, 2012). Istilah
hadharah juga diambil dalam melaksanakan Konsep Islam Hadhari.
Istilah madaniyyah berasal daripada perkataan madinah yang bermaksud
kemajuan bandar atau kehidupan berasaskan bandar. Ianya bermaksud taraf
kehidupan di kawasan bandar dengan pembangunan yang dirancang dan tersusun
serta dilengkapi dengan pelbagai kemudahan. Madaniyyah lebih menekankan
mengenai pembangunan dari segi fizikal.
Istilah tamaddun pula berasal daripada perkataan maddana yang
bermaksud membangunkan bandar atau mengubah menjadi bersifat bandar.
Tamaddun juga dikatakan berasal dari perkataan madana yang bermaksud datang
dan tinggal di bandar atau berkelakuan seperti orang bandar.
Istilah tamaddun masih digunakan sehingga kini dan dipinjam oleh bahasa
Melayu untuk istilah tamadun.
5

2.1.3 Bahasa Inggeris
Istilah yang sering digunakan untuk tamadun dalam bahasa Inggeris ialah
civilization dan culture. Civilization berasal daripada perkataan latin iaitu civitas
yang bermaksud bandar. Perkataan bandar dirujuk untuk menggambarkan
tamadun kerana bukti-bukti kemajuan yang dicapai oleh sesuatu tamadun mudah
ditemui di kawasan bandar.
Istilah civilization pada asalnya digunakan di Perancis untuk maksud
perundangan tetapi kini digunakan untuk maksud tamadun.
Istilah culture pula asalnya digunakan untuk tanaman atau kegiatan
pertanian, di samping maksud lainnya adalah budaya. Oleh itu culture digunakan
untuk maksud tamadun kerana kemajuan pertanian dan budaya merupakan ciri-
ciri penting sesuatu tamadun.
2.2 Ciri-Ciri Tamadun
Secara umumnya kebanyakan sarjana merumuskan ciri-ciri tamadun
adalah adalah kemajuan dan peningkatan terhadap aspek-aspek berikut:
1. Penempatan kekal
2. Struktur organisasi sosial
3. Pemerintahan dan ekonomi
4. Bahasa dan tulisan
5. Agama dan kepercayaan
6. Budaya dan kesenian
7. Teknologi dan reka cipta





BAB 3
3 PERANAN AGAMA DALAM TAMADUN
3.1 Pengenalan
Agama adalah suatu sistem kepercayaan berdasarkan usaha manusia untuk
menjelaskan alam semesta dan fenomena semula jadi, biasanya melibatkan satu
atau lebih kuasa dan juga yang menghendaki atau mengikat pengikut untuk
mengikuti kewajipan agama yang ditetapkan.
Dalam bahasa Melayu istilah agama berasal daripada bahasa sanskrit
dengan kata a yang bermaksud tidak dan gama yang bermaksud kacau. Perkataan
agama dalam bahasa Arab pula adalah deen dengan kata akarnya dana yang
bermaksud adat kebiasaan, peraturan, undang-undang. Istilah agama dalam bahasa
Inggeris pula adalah religion diterjemahkan sebagai kepercayaan, merendah diri.
Durkheim (1912) mentakrifkan agama sebagai satu sistem bersepadu
tentang kepercayaan dan amalan-amalan yang relatif kepada perkara-perkara suci.
Ia menjadi moral kepada masyarakat di mana setiap orang berpegang kepadanya.
Berdasarkan kajian arkeologi dan penemuan artifak, agama merupakan
perkara yang penting dalam tamadun silam. Walau bagaimanapun peranan agama
dalam tamadun agak berbeza bergantung kepada perspektif Barat atau Islam.
7

3.2 Perspektif Barat
Umumnya Barat tidak membicarakan peranan agama dalam
perkembangan tamadun selaras dengan ideologi mereka yang berasaskan konsep
sekular. Kebanyakan pandangan yang diutarakan oleh sarjana Barat tentang
tamadun hanya tertumpu pada kemajuan dalam aspek material sahaja.
Pada masa dahulu agama memainkan peranan utama dalam tamadun Barat
selepas kejatuhan Rom. Gereja memelihara setiap aspek kehidupan seperti sastera
dan kebudayaan. Pada Zaman Pertengahan peranan gereja meningkat naik
menjadi kuasa yang menyatukan Eropah. Binaan gereja pada masa itu menjadi
senibina ikonik yang paling utama oleh tamadun Barat. Banyak universiti-
universiti di Eropah juga telah diasaskan oleh gereja pada masa itu.
Bagaimanapun selepas beberapa konflik yang melibatkan agama seperti
Perang Salib dan konflik antara Katolik dan Protestan, masyarakat Eropah pada
zaman kebangkitan berpendapat agama adalah sesuatu yang tiada nilai untuk
diperjuangkan. Para pemikir di zaman itu mencadangkan pengasingan yang
mutlak antara agama dan kerajaan. Matlamat tersebut telah dimuatkan ke dalam
Pindaan Pertama Perlembagaan Amerika Syarikat (Mueller, 2013).
Sesetengah pihak pula menganggap agama sebagai penghalang ke arah
kemajuan disebabkan salah faham tentang agama itu sendiri. Russell (1929)
menyatakan tidak kira samada ajaran agama itu benar atau tidak, persoalan yang
penting ialah sama ada ianya berguna. Jika kita percaya agama, tanggapan kita
kepada apa yang baik akan berbeza daripada tanggapan jika kita tidak percaya.
Russell juga berpendapat agama menghalang anak-anak daripada
mendapatkan pendidikan yang rasional, menghalang kita daripada menghapuskan
penyebab utama peperangan, menghalang kita daripada mengajar etika kerjasama
saintifik bagi menggantikan doktrin lama tentang dosa dan hukuman. Beliau
mengumpamakan agama sebagai naga yang mengawal pintu ke arah zaman
kegemilangan.
8

Agama turut dibincangkan sebagai punca pertelingkahan antara tamadun.
Huntington (1996) membahagikan tamadun utama dunia zaman sekarang
berdasarkan agama dan budaya. Beliau seterusnya menyatakan akan berlaku
pertembungan dan pertelingkahan antara tamadun antaranya disebabkan oleh
perbezaan perkara setiap tamadun dari segi sejarah, bahasa, budaya, tradisi dan
yang paling penting agama.
Beliau juga menyatakan konflik utama yang berlaku adalah antara Kristian
dan Islam. Antara faktor yang menyumbang kepada konflik ini adalah usaha
dakwah yang dibuat oleh setiap agama dan setiap agama berusaha menyatakan
agama mereka adalah agama yang betul.
Dari segi dialog peradaban pula, Weingardt (2007) menyatakan dalam
konflik antara tamadun, agama berfungsi sebagai jambatan antara tamadun,
bertindak ke arah pemahaman antara budaya dan bertindak ke arah pengurusan
konflik.
Jelaslah bahawa antara faktor yang menyebabkan Barat memisahkan
agama daripada pentadbiran dan pembangunan adalah salah guna kuasa oleh
pentadbir agama seperti paderi, salah faham masyarakat tentang agama mereka
sendiri dan juga tuntutan agama yang tidak selari dengan kehendak pemimpin.
3.3 Perspektif Islam
Peranan agama menurut perspektif Islam jelas dinyatakan melalui definisi
tamadun itu sendiri. Umumnya sarjana Islam menyatakan tamadun adalah
pencapaian dan kemajuan yang tinggi oleh masyarakat dalam setiap aspek
kehidupan dari segi fizikal dan rohani. Segala bentuk kemajuan yang dicapai
adalah berlandaskan kepada Al-Quran dan Hadith. Agama dan tamadun
mempunyai hubungan yang erat kerana kehidupan manusia sangat memerlukan
agama (Zaharah et al, 2012).
9

Seterusnya kepentingan agama dalam tamadun Islam turut dinyatakan
melalui asas tamadun itu sendiri. Tamadun Islam dibina berlandaskan kepada tiga
asas utama iaitu akidah, syariat dan akhlak. Akidah merupakan kepercayaan,
keyakinan dan kesetiaan seseorang terhadap tauhid. Syariat pula adalah aturan dan
ketetapan yang ditentukan dalam menjalankan kehidupan. Akhlak pula merujuk
kepada amalan yang dilakukan berlandaskan syariat dan hasil daripada akidah.
Akidah, syariat dan akhlak juga merupakan aspek utama dalam agama
Islam itu sendiri. Jelas di sini bahawa agama Islam memainkan peranan yang
sangat penting dalam pembinaan dan perkembangan tamadun Islam. Islam
merupakan agama yang menghasilkan tamadun dan bukan agama yang terhasil
daripada tamadun. Dapat dikatakan juga bahawa Islam itu sendiri merupakan
sebuah tamadun.
Kepentingan agama juga dinyatakan berdasarkan kepada sumber tamadun
Islam iaitu sumber wahyu dan sumber sokongan. Sumber wahyu merupakan
sumber yang diambil daripada Al-Quran dan Hadith di mana sumber ini sendiri
merupakan panduan utama dalam agama Islam. Sumber sokongan pula
merupakan sumber yang berteraskan akal manusia seperti kajian dan penyelidikan
termasuklah pencapaian oleh tamadun lain. Agama memainkan peranan dalam
penggunaan sumber sokongan dengan memastikan sumber tersebut digunakan
selari dengan tuntutan Al-Quran dan Hadith.
Peranan agama turut dinyatakan dengan melihat kepada matlamat tamadun
Islam. Matlamat utama tamadun Islam adalah berkaitan dengan hubungan
manusia dengan Allah, hubungan sesama manusia dan hubungan manusia dengan
alam (Zaharah et al, 2012).
Hubungan manusia dengan Allah jelas menunjukkan betapa pentingnya
agama dalam tamadun Islam. Hubungan sesama manusia yang meliputi seluruh
aspek kehidupan bertujuan, untuk mewujudkan suasana yang harmoni dan
sejahtera juga adalah berlandaskan kepada tuntutan agama. Hubungan manusia
dengan alam pula bertujuan untuk menjalankan amanah sebagai khalifah di dunia.
10

Setiap penjelasan yang telah dinyatakan jelas menunjukkan bahawa agama
memainkan peranan yang sangat penting dalam tamadun Islam. Menurut prspektif
Islam agama merupakan asas utama tamadun, sumber utama tamadun dan
matlamat utama tamadun. Boleh dikatakan di sini bahawa Islam itu sendiri adalah
sebuah tamadun.
Menariknya pernyataan ini turut diakui oleh sarjana Barat. H.A.R Gibb
menegaskan bahawa Islam merupakan tamadun yang sempurna. Dengan ini
jelaslah bahawa agama mempunyai peranan yang sangat penting dalam proses
ketamadunan (Zaharah et al, 2012).




BAB 4
4 KESIMPULAN
Kesimpulan yang dapat dibuat mengenai peranan agama dalam
perkembangan tamadun boleh dibahagikan kepada dua perspektif iaitu menurut
pandangan Barat dan pandangan Islam.
4.1 Perspektif Barat
Pada pandangan Barat agama pada asalnya merupakan salah satu matlamat
mereka dalam peradaban melalui kolonialisme dan imperialisme. Mereka
meningkatkan tahap peradaban mereka melalui faktor penerokaan wilayah baru
atau penjajahan berdasarkan prinsip Gold, Gospel, Glory. Disamping meluaskan
kawasan takluk mereka dan meningkatkan bekalan sumber untuk pembangunan
dan ekonomi, mereka turut menyebarkan agama dalam usaha tersebut.
Bagaimanapun Barat pada zaman ini telah mengasingkan agama daripada
perkembangan tamadun dan wujudnya fahaman sekularisme. Agama hanyalah
sebagai panduan untuk pembentukan moral dan etika seseorang individu, dan
bukan lagi sebagai matlamat ataupun asas perkembangan tamadun. Mereka
berpendapat campur tangan agama dalam urusan pentadbiran dan ekonomi boleh
mengganggu proses ketamadunan.
12

Pengenalan teori hak asasi manusia oleh Barat memisahkan lagi peranan
agama dengan peradaban. Berdasarkan teori ini setiap individu bebas melakukan
apa sahaja asalkan tidak mengganggu orang lain walaupun bertentangan dengan
agama. Contohnya ialah perkawinan sejenis yang telah dibenarkan di beberapa
negeri di Amerika Syarikat dan beberapa negara lain.
4.2 Perspektif Islam
Perspektif Islam pula menjadikan agama bukan sekadar matlamat
perkembangan tamadun tetapi sebagai asas utama bersesuaian dengan definisi
agama sebagai Nidham al-Hayat. Dengan kata lain bukan tamadun yang
menyebabkan perkembangan agama tetapi agama yang menjadikan pembentukan
dan perkembangan tamadun.
Islam menggalakkan apa jua aktiviti pembangunan yang bertujuan untuk
meningkatkan taraf kehidupan. Panduan boleh diambil daripada mana-mana
sumber walaupaun daripada tamadun lain seperti teknologi dan kaedah, asalkan
tidak bertentangan dengan syariat kerana Islam menekankan bahawa matlamat
tidak menghalalkan cara.




RUJUKAN
Bertrand Russell (1929). Has Religion Made Useful Contributions to Civilization?
Kansas: Haldeman-Julius Publications.
Dennis C. Mueller (2013): The State and Religion. Review of Social Economy, 71(1),
1-19. Routledge.
Emile Durkheim (1912). The Elementary Forms of the Religious Life. London:
George Allen & Unwin Ltd.
Johann P. Arnason dan Georg Stauth (2004). Civilization and State Formation in the
Islamic Context: Re-reading Ibn Khaldun. Thesis Eleven, 76, 2947. SAGE
Publications.
Markus A. Weingardt (2007). The Role of Religion in the Dialogue of Civilizations.
Yearbook on the Organization for Security and Co-Operation in Europe, 17,
257-267. OSCE.
Samuel P. Huntington (1996). The Clash of Civilizations and the Remaking of World
Order. New York: Simon & Schuster.
Zaharah Mustaffa, Nik Mohd Zaim Ab. Rahim dan Norhafizah Musa (2012).
Tamadun Islam dan Tamadun Asia. Kuala Lumpur: FTI, UTM.

Anda mungkin juga menyukai