Assignment TiTAS

Unduh sebagai docx, pdf, atau txt
Unduh sebagai docx, pdf, atau txt
Anda di halaman 1dari 5

BANDING BEZA INTERAKSI POSITIF DAN NEGATIF ANTARA TAMADUN MELAYU,

TAMADUN CINA DAN TAMADUN INDIA.

1.0. Pengenalan

Interaksi antara tamadun bermaksud hubungan, pertemuan, komunikasi, dan


sebagainya dengan individu, kelompok, masyarakat dan seterusnya negara. Secara
realitinya interaksi yang berlaku ialah antara individu dengan masyarakat yang mewakili
interaksi tamadun. Interaksi tersebut tidak semestinya berlaku kerana tujuan tertentu
malah ia boleh berlaku secara tidak langsung sama ada di peringkat nilai, idea, institusi
dan insan. Menurut Azam (2000), beliau menyatakan bahawa proses interaksi tamadun
ini mengambil masa yang agak panjang memandangkan interaksi antara tamadun
mempunyai kaitan yang rapat dengan masa kerana tamadun itu melampaui masa dan
tempat. Walaupun setiap tamadun mempunyai keistimewaan tersendiri namun sifat
sebenar sesebuah tamadun tidak tertutup. Keterbukaan seperti ini telah memungkinkan
berlakunya percambahan pemikiran dan budaya, sekali gus dapat mengelakkan
berlakunya kejumudan atau kebekuan yang boleh menyebabkan kemerosotan tamadun.
Hasil daripada hubungan interaksi di antara tamadun dapat dilihat dengan lahirnya
kesan-kesan positif dan tidak dinafikan juga terhasilnya kesan negatif.

2.0. Banding beza Interaksi Positif Dalam Tamadun Melayu, Cina Dan India Dari Segi
Pendidikan

Interaksi antara Tamadun India dengan Tamadun China telah memberi kesan positif
kepada kedua-dua tamadun (Musa, 2005). Hal ini terbukti dengan adanya pelbagai
kemahiran yang diperkembangkan dalam pendidikan sains dan teknologi seperti
membuat gula daripada tebu dan juga bidang pendidikan astronomi yang turut
diperkembangkan hasil interaksi antara tamadun India dan Cina. kesan lain juga dapat
dilihat melalui adanya karya perubatan India yang telah diterjemah ke dalam bahasa
Cina selain daripada 60 koleksi ilmu astronomi India turut melalui perkara yang sama.
Manakala, dalam tamadun India kesan positif hasil interaksi dengan tamadun Cina telah
mengembangkan lagi kemahiran teknologi dan sains seperti kemahiran membuat kertas,
bahan letupan, percetakan dan penggunaan kompas. Menurut Idris (2004), dalam bidang
bahasa, kesusasteraan dan kesenian, tamadun Cina turut menerima banyak keuntungan
melalui interaksinya dengan India. Bidang fonetik di Cina menggunakan teknik daripada
ilmu fonetik Sanskrit yang dipelajari melalui ajaran Buddhisme. Jadi, disebabkan itu,
perbendaharaan kata bahasa Sanskrit dan Pali telah banyak mempengaruhi
kesusasteraan Cina. Malahan, alat muzik Cina seperti pipa dan konghou juga berasal
dari India. Interaksi di antara kedua-dua tamadun ini sememangnya telah berlangsung
secara aman melalui hubungan perdagangan dan keagamaan.
Seterusnya, kesan positif kedatangan tamadun India ke Tanah Melayu dari segi
pendidikan pula dapat dilihat melalui perkembangan bahasa dan kesusasteraan. Menurut
Mohd Taib dan A.Aziz (2005), mereka menyatakan bahawa interaksi antara tamadun
Melayu dan tamadun India telah memperlihatkan Bahasa Sanskrit telah mulai tersebar di
Tanah Melayu. Hal ini dapat dibuktikan melalui penemuan Batu Bersurat Talang Tuwo,
Batu Bersurat Terengganu dan sebagainya. Pada Batu Bersurat Terengganu, selain
daripada perkataan Arab, turut ditemui juga sebanyak 29 perkataan daripada bahasa
Sanskrit. Bukan itu sahaja, sesetengah perkataan bahasa Melayu yang kita gunakan
pada masa sekarang sebenarnya berasal daripada bahasa Sanskrit seperti perkataan
bhakti, bhumi, dosa dan banyak lagi. Ini jelas menunjukkan hasil daripada interaksi
kedua-dua tamadun ini telah menyumbang kepada perkembangan bahasa dan
kesusteraan. Manakala, kesusteraan Sanskrit seperti Epik Ramayana dan Mahabharata
juga tersebar. Hikayat Seri Rama yang cukup terkenal sebenarnya telah mendapat
inspirasi daripada Epik Ramayana. Selain itu, Epik Mahabharata turut diberi wajah
tempatan dan lahirlah hikayat seperti Hikayat Pendawa Lima, Hikayat Panca Delima dan
Hikayat Sang Boma. Karya kesusasteraan Melayu tradisional amat menitikberatkan
aspek kesenian, keromantisan, keagungan raja-raja dan menyelitkan unsur epik dan
mitos. Ia juga turut diaplikasi dalam persembahan wayang kulit. Ini jelas menunjukkan
bahawa interaksi tamadun India dalam tamadun Melayu telah memperlihatkan
perkembangan kesusasteraan dan bahasa yang telah diterapkan dalam pendidikan
masa kini.
Interaksi positif tamadun Cina dan tamadun Melayu dari segi pendidikan pula dapat
dilihat dengan wujudnya perkembangan ialah penggunaan bahasa Melayu yang menjadi
lingua franca pada zaman Kesultanan Melayu. Menurut Zainul (2007), dalam zaman
Kesultanan Melayu pula bahasa Melayu dipelajari dan digunakan untuk urusan
perdagangan dan kehidupan oleh orang Cina daripada golongan lain juga, khususnya
pedagang. Pentingnya bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan yang merentas
tamadun turut menggerakkan usaha menyusun kamus dwibahasa yang penting untuk
kegunaan pedagang dan orang Cina dalam interaksi di alam Melayu. Kamus China-
Melayu disusun untuk keperluan Kerajaan Cina dalam Dinasti Ming dalam menjalin
hubungan dengan Melaka dan hingga akhir abad ke-16. Kamus itu masih menjadi
rujukan, termasuk dalam penyusunan buku sejarah Cina. Ini jelas menunjukkan
hubungan perdagangan di antara Cina dan Melayu telah memberi kesan yang positif
terhadap cina dalam penggunaan bahasa Melayu.
3.0 Kesan negatif interaksi antara tamadun Melayu, Cina dan India

Setiap interaksi tamadun yang berlaku mempunyai kesan positif dan negatifnya yang
tersendiri. Kesan negatif pertembungan tamadun dalam sesuatu bidang menunjukkan
bahawa setiap tamadun mempunyai pegangan agama, falsafah atau matlamat mereka yang
tersendiri. Hal ini jelas dapat dilihat kesan negatif dalam pertembungan tamadun Melayu,
Cina dan India dari aspek pendidikan. Dalam pertembungan antara tiga tamadun iaitu
Melayu, Cina dan India telah melahirkan satu kesan negatif dari aspek pendidikan iaitu
pencapaian pendidikan yang tidak seimbang di antara ketiga-ketiga tamadun tersebut. Hal
ini kerana setiap tamadun mempunyai matlamat pendidikan yang tersendiri sama ada
pendidikan yang bersifat keduniaan atau untuk akhirat. Kelemahan dan kejatuhan sesuatu
bangsa salah satu faktor ialah kepincangan konsep ilmu dari aspek kegagalan dalam
pelaksanaan (Dr. Wan Mohd, 2010).

Pendidikan Tamadun Melayu menekankan akidah, ibadah, syariah dan akhlak yang
berpandukan kepada Al-Quran dan Sunah (Prof. Sidek, 2016). Tenaga pengajar yang diguna
pakai oleh tamadun Melayu ialah para ulama yang mendalami ilmu pengetahuan
bersumberkan Al-Quran dan sunah. Selain itu, Tamadun Melayu juga memberikan sanjungan
yang tinggi terhadap ilmu pengetahuan Islam, ulama-ulam, kitab-kitab dan hari-hari
kebesaran Islam (Mohd Roslan dan Wan, 2011). Manakala, pendidikan dalam tamadun India
menjadikan agama Hindu sebagai teras pendidikan di mana pembelajaran berpandukan
kitab-kitab Veda. Pendidikan Tamadun India lebih memfokuskan kepada golongan lelaki
dengan menggunakan kaedah hafalan. Pendidikan yang berlaku dalam Tamadun Cina pula
memfokuskan kepada ajaran Confucius dengan menekankan lima kepercayaan dalam
mencapai kecemerlangan kehidupan iaitu pertama; keyakinan yang kukuh terhadap potensi
manusia dalam mencapai kejayaan sama ada secara individu atau berkumpulan, kedua;
pendidikan sentiasa diutamakan, ketiga; kepercayaan bahawa setiap individu harus dan
boleh dididik, keempat; pembentukan keperibadian atau ajaran moral dan etika dan yang
kelima; guru harus dihormati dan diberi status sosial yang tinggi.
Berdasarkan fakta-fakta penerangan tersebut dapat dilihat perbezaan pencapaian
yang tidak seimbang di antara tamadun. Hal ini kerana Tamadun Melayu memfokuskan
kepada kedua-dua aspek dunia dan akhirat, manakala Tamadun India lebih cenderung
kepada aspek akhirat dan tamadun cina jelas cenderung kepada aspek keduniaan. Cara
pendidikan diberi itu sendiri masing-masing mempunyai cara yang tersendiri dan
menunjukkan tidak terdapat matlamat dan pemahaman yang sama di antara tamadun
Melayu, Cina dan India.

Selain itu, kesan negatif yang dapat dilihat dari aspek pendidikan ialah masalah
perpaduan yang berlaku antara tamadun Melayu, India dan Cina di mana hal ini berlaku
ketika zaman penjajahan British. British telah mengumpulkan ketiga-tiga tamadun ini di
bawah satu naungan di tanah Melayu lantas terbentuk lah sekolah vernakular iaitu sekolah
yang mengasingkan kaum Melayu yang mewakili Tamadun Melayu, kaum India yang
mewakili Tamadun India dan kaum Cina mewakili tamadun Cina. Sekolah ini diorganisasikan
dengan menggunakan pendidikan dari negara masing-masing di mana guru, buku teks, isi
kandungan pelajaran diimport dari negara masing-masing. Hal ini mewujudkan satu jurang
pendidikan yang ketara dan seterusnya melahirkan masalah perpaduan di antara Melayu,
India dan Cina.

4.0 Kesimpulan

Kesimpulannya, setiap tamadun mempunyai sifat yang terbuka seterusnya


mewujudkan satu peluang interaksi berlaku di antara tamadun Melayu, India dan Cina.
Kesan sampingan interaksi antara ketiga-tiga tamadun melahirkan kesan positif dan negatif
di mana kesan positif mampu memajukan dan memperkasakan sesebuah tamadun,
manakala kesan negatif pula sering kali mewujudkan konflik antara tamadun Melayu, India
dan Cina. Menurut Global Peace Index (2012), konflik antara kaum di Malaysia berada pada
tahap minimum serta Malaysia berada di tangga ke-20 negara paling aman di dunia dan
tangga ke-4 di Asia Tenggara. Oleh itu, masyarakat pada hari ini perlu mempelajari dari
interaksi antara tamadun yang telah berlaku agar perkara yang tidak diingini berulang
kembali. Manakala kebaikan yang berlaku di antara interaksi tamadun Melayu, India dan
Cina dapat dimanfaatkan oleh generasi sekarang dan akan datang. Kepelbagaian tamadun
di Malaysia dilihat sebagai satu keistimewaan dan kekuatan dalam membentuk identiti
budaya Malaysia perpaduan kaum di samping jalinan yang kukuh untuk menjamin
kesejahteraan negara (Fatimi et. al, 2016).
Rujukan

Azam Hamzah. (2000). Islam dan Tamadun. Klang : Fontarz Enterprise

Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud, (2010). Budaya Ilmu Sebagai Asas Tamadun. Jurnal
Pendidkan Islam vol. 3(2), M/s 51-67.
Fatimi Hanafi, Zulkanain Abdul Rahman & Arbaiyah Mohd Noor, (2016). Perpaduan Politik
Asas
Global Peace Index (Sixth Edition). (2012). Australia: Institute for Economics and Peace.

Idris Zakaria. (2004). Islam Hadhari dan Pembagunan Umat. Kuala Lumpur : Jabatan Hal
Ehwal Penerangan Malaysia.

Mohd. Taib Osman dan A. Aziz Deraman. (2005). Tamadun Islam Di Malaysia. Kuala
Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Musa Ahmad. (2005). Pembangunan Masyarakat Islam. Shah Alam : Golden Book Centre
Sdn. Bhd.

Mohd Roslan Mohd Nor & Wan Mohd Tarmizi Wan Othman, (2011). Sejarah dan
Perkembangan Pendidikan Islam di Malaysia. Jurnal At-Tadib vol. 6(1), M/s 59-78.
Integrasi Nasional di Malaysia. Jurnal Politik vol. 3(1), M/s 23-36.

Prof. Datuk Dr. Sidek Baba, (2011). Pendidikan dalam Tamadun Melayu. Dilayari pada
29 Mac 2017 di http://www.utusan.com.my/rencana/pendidikan-dalam-tamadun-
melayu-1.408966.

Zainul Faqar . (2007). Retrieved Mac 29, 2017 from


http://zainulfaqar.wordpress.com/2007/10/21/teori-kedatangan-islam-ke-alam-melayu-

Zawiah Mat dan Mashitah Sulaiman. (2008). Pertalian Antara Cina dan India ke Atas
Pengukuhan Bahasa dalam Tamadun Melayu. Jurnal Pengajian Umum. 10 (1) : 25-
33.

Anda mungkin juga menyukai