Bimbingan Dan Kaunseling PDF
Bimbingan Dan Kaunseling PDF
Bimbingan Dan Kaunseling PDF
1.0 Pengenalan
Kaunseling adalah satu proses interaksi yang melibatkan seorang kaunselor dan klien
dan merupakan cabang psikologi yang membabitkan proses perhubungan atau interaksi
secara profesional dengan kaunselor berdaftar mengikut etika yang dibenarkan (Akta
kaunselor 1998). Tujuannya adalah untuk memahami diri klien dan alam sekelilingnya bagi
melahirkan satu perubahan, penyesuaian, dan perkembangan yang positif dalam diri klien
terhadap sesuatu permasalahan yang dihadapi. Segala keputusan dan pilihan yang dibuat
adalah daripada klien dan bukannya kaunselor. Kaunseling boleh dilaksanakan secara
individu, kelompok, keluarga dan perkahwinan. Kedua-dua kaunselor dan klien akan
bekerjasama memastikan proses terapi dijalankan dengan jayanya. Demi kaunseling yang
berkesan, kaunselor harus mempunyai empati terhadap klien tetapi tidak meletakkan
sebarang syarat atau desakan terhadap mereka.
Dalam kalangan rakyat Malaysia, ramai berangapan individu yang menyertai program
kaunseling terdiri daripada golongan yang berpendidikan, bijak, berpengalaman, mempunyai
kerjaya yang baik dan stabil dari sudut ekonomi. Walau bagaimanapun, individu yang
menyertai program kaunseling ini sering kali mempunyai tekanan dan konflik di tempat
kerja, masalah-masalah kecil yang tidak dapat ditangani selain mencari jalan untuk
mengembangkan potensi diri dan kerja. Kaunseling dijalankan dalam dua situasi. Pertama,
membantu klien mempertimbangkan satu-satu pilihan yang berpotensi dari pelbagai sudut
sebelum membuat pilihan. Kedua, membantu klien mengubah suai, mengukuh atau
mengetepikan satu satu pilihan yang telah dibuat. Dari segi objektif, kaunselor akan
memastikan klien celik akal dan dapat melihat masalah dari sudut yang berlainan dan
berkebolehan mengatasinya dengan baik dan berkesan. Ini dapat mempertingkatkan
keupayaan mengurus emosi, tingkah laku dan cara berfikir. Proses kaunseling juga
membolehkan klien mengenal pasti kekurangan dan keupayaan yang ada di dalam diri sendiri
serta membantu meningkatkan konsep kendiri selain pendedahan terhadap bakat, minat dan
keupayaan diri agar menjadi positif dalam pembentukan amalan hidup yang membina.
Bagi satu sesi kaunseling yang berjaya, kaunselor harus menjadikan klien
selesa pada awal setiap sesi dengan menyatakan sebab dengan jelas sambil menekankan yang
kaunselor berasa prihatin dengan keadaan yang dihadapi oleh klien serta bersedia
memberikan bantuan. Jika tidak, klien akan berasa terancam dan defensif. Antara kemahiran
asas kaunseling adalah membina hubungan. Dalam kemahiran ini, terdapat beberapa sub
HMEF5063
kemahiran asas seperti membina suasana alam sekeliling, suasana teraputik, ruang untuk
berkomunikasi, penampilan diri, ekspresi muka, kontek mata, pergerakan tangan dan kaki,
nada suara, senyuman dan cara-cara duduk dalam kaunseling. Kemahiran ini digunakan oleh
kaunselor untuk membawa klien dalam menghadapi realiti dengan cara menyelaraskan
mental, emosi, tingkah laku komunikasi lisan dan bukan lisan. Kedua, mendengar secara
aktif. Dalam hal ini, kaunselor perlu banyak meluangkan banyak masa mendengar daripada
menyampuk percakapan klien. Pemahaman yang tepat hanya akan diperolehi dengan adanya
pendengaran yang baik. Ketiga ialah dorongan minima di mana kemahiran yang digunakan
oleh kaunselor bagi menggalakkan klien meluahkan isi hati mereka. Tujuannya supaya klien
merasakan bahawa kaunselor sedang mendengar dan menumpukan perhatian terhadap apa
yang diceritakan klien contohnya dengan menganggukkan kepala, senyuman dan wajah yang
tenang.
Kaunselor juga menggunakan pendedahan kendiri. Dalam erti kata lain, menceritakan
kisah peribadi bagi tujuan untuk difahami dan dibantu atau hanya sekadar perkongsian.
Selain itu, kemahiran menyoal seperti soalan terbuka digalakkan iaitu soalan yang tidak
memerlukan jawapan yang khusus manakala soalan tertutup digunakan pada situasi yang
sesuai tetapi harus dielakkan supaya klien aktif dalam meluahkan perasaannya. Kemahiran
konfrontasi pula merupakan kata-kata yang boleh mencabar perasaan, pandangan dan tingkah
laku tanpa lisan mereka. Kemahiran ini digunakan oleh kaunselor bagi mengetahui dengan
lebih mendalam ruangan dalaman klien. Seterusnya, kemahiran menyemak persepsi di mana
klien dirasionalkan oleh kaunselor berkaitan dengan sesuatu perkara. Contohnya menyatakan
yang tingkah laku klien tidak dapat membezakannya. Di samping itu, kemahiran parafrasa
iaitu kemahiran mengulang ayat klien tanpa mengubah maknanya bagi mendapatkan
kepastian dan menyatakan bahawa kaunselor faham dengan apa yang dinyatakan oleh klien.
Kemahiran refleksi pula merujuk kepada refleksi perasaan iaitu respon kaunselor
untuk menggambarkan emosi klien bagi menujukkan empati kaunselor. Dengan itu, klien
akan merasa dirinya difahami dan serterusnya menjadi lebih terbuka dalam mepersepsikan
masalahnya manakala kemahiran refleksi pula merupakan respon kaunselor untuk
menggambarkan isi perbualan dengan klien yang menunjukkan kefahaman kaunselor.
Tujuannya adalah untuk membuat semakan di samping memberi keyakinan kepada klien
bahawa masalahnya diberi sepenuh perhatian oleh kaunselor. Kemahiran yang seterusnya
ialah kemahiran meminta penjelasan di mana kemahiran yang perlu ada dalam diri kaunselor
HMEF5063
dalam menjalankan sesi. Ia merupakan kenyataan dari klien untuk memberikan kefahaman
yang jelas tentang apa yang telah dibincangkan. Terakhir sekali merupakan kemahiran
membuat interpretasi. Kaunselor menjelaskan makna apa yang telah dibincangkan dan
apakah isu tersirat yang klien tidak nampak semasa dalam perbincangan. Ia merupakan suatu
proses aktif dimana kaunselor menjelaskan makna perkara atau isu yang dibawa klien
mengikut kefahaman kaunselor dari perspektif yang baru. Tujuannya adalah untuk memberi
penghuraian kepada klien supaya klien dapat melihat perkara dari sudut pandangan yang
berbeza.
Selain itu, proses mengenal pasti masalah dan menentukan matlamat kaunseling
dilakukan selepas meneroka masalah klien supaya memudahkan kaunselor membantu klien
menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka. Kemahiran yang lebih mencabar seperti
konfrantasi dan membuat interpretasi juga memainkan peranan yang amat penting. Di
samping itu, kemahiran memilih alternatif penyelesaian dan tindakan juga adalah
tanggungjawab kaunselor dalam menilai kejayaan yang dipilih melalui maklum balas yang
diterima oleh klien itu sendiri. Terakhir sekali adalah, proses penamatan dan susulan di mana
pada peringkat ini, kaunselor perlu menggunakan peneguhan dengan tujuan meyakinkan
klien dan memastikan klien benar-benar melaksanakan alternatif yang dipilih. Secara
keseluruhannya, kaunselor akan membuat rumusan besar dan menyatakan semula isi penting
yang diceritakan oleh klien pada awal sesi sehingga mendapat jalan penyelesaiannya.
HMEF5063
2.1 Perubahan dalam Kaunseling (Pemilihan Kerjaya)
Salah satu perubahan yang dapat dikesan adalah melalui melalui pemilihan kerjaya
pelajar. Di sekolah, Unit Bimbingan Kaunseling dan Kerjaya adalah berperanan sebagai
membimbing seseorang individu dalam meneroka pilihan kerjaya, membuat perancangan
kerjaya, menyediakan diri untuk latihan yang sesuai dan menyelesaikan masalah yang
berkaitan dengan kerjaya (Suradi, 2004). Unit ini adalah untuk memberi khidmat kaunseling
kepada para pelajar yang memerlukan bimbingan, panduan, pertolongan pada setiap masa,
membantu dan membimbing pelajar menyelesaikan masalah peribadi, emosi, pelajaran,
keluarga dan aspek-aspek lain serta membimbing pelajar dalam melengkapkan diri dalam
memilih kerjaya yang betul. Selain itu, unit ini juga berfungsi sebagai proses penemuan
interaksi bersemuka antara kaunselor dengan pelajar yang mengakibatkan berlakunya
perubahan dalam diri mereka.
Kerjaya bagi seseorang individu itu adalah untuk menentukan kehidupan mereka pada
masa hadapan. Pernyataan ini disokong oleh Mohd Salleh, Mahmud & Amat (2006) yang
menjelaskan bahawa proses memilih dan merancang kerjaya adalah proses terpenting dalam
kehidupan seseorang. Tanpa bimbingan dan panduan yang betul, pelajar mungkin akan
menghadapi kebuntuan dalam pekerjaan mereka kelak kerana pemikiran mereka semasa
merancang kerjaya tidak tercapai dalam pekerjaan yang diceburi. Ini disebabkan kekurangan
maklumat tentang keperluan lain yang tidak dipenuhi semasa membuat pemilihan pekerjaan.
Selain itu, unit ini juga membantu pelajar dalam menyesuaikan personaliti, minat, bakat,
kebolehan dan keperluan diri pelajar berkaitan dengan kerjaya. Oleh itu, Unit Psikologi,
Kaunseling dan Kerjaya ini perlu diubah agar semua pelajar dapat menerimanya dan
HMEF5063
menjadikan ia berkesan selain mendapatkan sebanyak mungkin maklumat tentang kerjaya
bersesuaian dengan cita-cita dan kelulusan mereka melalui unit ini.
Pelajar selalu menghadapi kesukaran dalam mebuat pilihan dan keputusan tentang
bentuk kerjaya mana yang perlu diceburi (Amir, 1993). Suradi (2004) telah menyatakan dua
sebab utama mengapa berlaku kesukaran apabila membuat pemilihan kerjaya dalam kalangan
pelajar. Pertama, pelajar bermasalah dalam mencari maklumat dan ketiadaan sumber tentang
pekerjaan atau kerjaya yang boleh digunakan sebagai rujukan. Kedua, kekurangan kemahiran
atau motivasi untuk mendapatkan maklumat tentang pekerjaan atau kerjaya yang akhirnya
menimbulkan masalah identiti kepada seeorang pelajar itu. Seterusnya, pengaruh daripada
keluarga serta rakan sebaya. Akibatnya, ramai graduan tidak serasi dengan pekerjaan yang
dipilih tanpa nasihat dari golongan yang berpengalaman seperti kaunselor dari Unit
Kaunseling dan Kerjaya.
Dalam salah satu skop bimbingan adalah merujuk kepada bimbingan kerjaya.
Bimbingan kerjaya boleh dijelaskan sebagai salah satu alat untuk menolong seseorang pelajar
atau graduan untuk memlih pekerjaan yang diminati dan berseseuaian dengan kebolehan,
minat dan kecenderungan berdasarkan perwatakan. Matlamatnya adalah membantu atau
memberi jalan agar manusia dapat mengurus dirinya sendiri sama ada dari segi mental,
perasaan, kerohanian dan tingkah laku. Selain itu, matlamat perkhidmatan ini juga adalah
untuk membantu kilen bertanggungjawab ke atas dirinya, memperbaiki imej dirinya yang
negatif, mengajar klien untuk menyesuaikan diri dengan keadaan, membantu klien untuk
menjadi lebih produktif, membimbing klien mencari dan memupuk sumber dalaman serta
mempertingkatkan kemampuan klien membuat keputusan dan membantu dalam
menyelesaikan masalah yang belum selesai dalam hidup klien itu (Ahmad Ibrahim, 1992).
Merancang dalam aspek kerjaya adalah penting dan perlu diketahui setiap individu
ataupun pelajar yang sedang dalam proses membuat pemilihan kerjaya, persediaan kerjaya,
mendapatkan kerjaya, meneroka kerjaya dan membuat penyesuaian kerjaya (Havighurt,
1987). Dengan kaedah ini, seseorang pelajar akan mendapat sedikit gambaran tentang kerjaya
yang diminati dan sentiasa berusaha untuk mendapatkan kerjaya tersebut. Antara perubahan
positif yang dapat dilihat dalam diri pelajar adalah, pertama; mendapatkan kefahaman
berkaitan diri sendiri. Individu mendapatkan maklumat tentang diri sendiri yang meliputi cara
dia membuat keputusan, matlamat peribadi, konsep kendiri, minat, kemahiran dan
pengalaman. Kedua, mendapatkan kefahaman berkaitan kemahiran persekitaran di mana dia
HMEF5063
hidup. Individu mendapatkan maklumat berkaitan dengan persekitarannya yang meliputi
kefahaman tentang organisasi dunia kerjaya, pilihan-pilihan kerjaya dan maklumat tentang
kerjaya. Akhir sekali, mengintegrasikan antara maklumat diri dan maklumat berkaitan dunia
pekerjaan. Individu akan menggabungkan kedua-dua maklumat yang diperoleh tentang diri
sendiri dan dunia pekerjaan untuk membuat keputtusan yang tepat dan seterusnya mengambil
tindakan untuk melaksanakan keputusannya. Oleh kerana pendidikan kerjaya adalah
pembangunan modal insan di peringkat sekolah, maka usaha memperkasa program
bimbingan kerjaya yang ada sekarang perlu menjadi satu keutamaan.
Khidmat kaunseling di sekolah perlu diberi perhatian dengan serius kerana menerusi
temu bual lepas telah menyatakan bahawa khidmat kaunseling yang berkesan mempunyai
perkaitan yang positif dengan perkembangan murid secara menyeluruh. Antara lain, khidmat
kaunseling memberi pengaruh positif dengan perkembangan murid secara holistik. Khidmat
kaunseling juga memberi pengaruh positif terhadap pencapaian akademik murid sekolah
rendah (Hadley 1998; Lee 1993), membentuk murid lebih berdisiplin dan mengurangkan
tingkah laku agresif (Baker & Gerler, 2001), membina kemahiran sosial positif (Verdyun,
Lord & Forrest, 1990), meningkat estim kendiri murid di samping membina locus of control
yang kukuh (Omizo & Omizo, 1998; Rose & Rose, 2001), membantu murid-murid yang
menjadi mangsa buli di sekolah (Hanish & Guerra, 2000) serta membina jangkaan kerjaya
murid pada masa akan datang (Mau, Hitchcock & Calvert, 1998). Selain itu, program-
program pencegahan yang dijalankan di sekolah dapat mengurangkan pelbagai masalah tegar
murid seperti cubaan bunuh diri dan lari dari rumah (Jones, 2001). Pada keseluruhannya,
HMEF5063
khidmat kaunseling yang berkesan banyak memberikan faedah kepada perkembangan murid
dan membentuk iklim sekolah yang harmoni.
Tidak dapat dinafikan bahawa perkembangan sosial dan akademik pelajar hari ini
banyak dipengaruhi oleh pembangunan negara. Pelajar hari ini disediakan dengan pelbagai
HMEF5063
kemudahan yang dapat membantu mereka menjadi lebih cemerlang dalam mencapai modal
insan jika dibandingkan dengan generasi terdahulu. Memiliki ilmu dan kemahiran semata-
mata tanpa dipupuk dengan nilai-nilai murni tidak cukup untuk membina modal insan yang
berkualiti dalam kalangan pelajar. Oleh yang demikian, wajarlah pelaksanaan dalam bentuk
kaunseling dijalankan bagi membantu menbangunkan pembentukan modal insan kerana
golongan pelajar merupakan harapan dan pemangkin kepada pembangunan negara pada masa
hadapan.
Hasil temu bual lepas bersama murid-murid, didapati kaunseling yang diberikan guru
mereka berjaya dalam mengubah pendirian dan sikap mereka, terutama dalam menetapkan
cita-cita di masa hadapan. Mereka mengakui bahawa kaunseling dapat membantu dan
menyedarkan mereka menjadi insan yang lebih berguna kepada diri, keluarga dan
masyarakat. Kesan daripada pendekatan kaunseling individu, murid-murid dapat
mempamerkan bahawa perkhidmatan ini amat penting untuk dilaksanakan kerana ia mampu
membentuk pembangunan individu secara holistik dan menyeluruh dengan menjadikan
mereka sebagai insan yang berakhlak mulia dalam menjalankan kehidupan yang lebih
HMEF5063
bermakna serta berjaya melahirkan modal insan dalam kalangan murid selepas khidmat
kaunseling ini. Remaja memerlukan pertolongan orang dewasa dalam membentuk nilai-nilai
dan dalam memahami diri mereka (Riccio dan Quaranta, 1968). Justeru, pertolongan ini
dapat diberikan oleh kaunselor melalui perkhidmatan bimbingan dan kaunseling supaya para
remaja dapat berkembang ke arah individu yang bertanggungjawab, dengan penuh kesedaran
siapa diri mereka dan dapat menghadapi segala cabaran dan dugaan yang semakin mencabar
dalam kehidupan masa kini (Ligon dan McDaniel, 1970).
Kaunselor akan berusaha untuk membantu kliennya mengubah tingkah laku murid ke
arah yang postif iaitu kepada kehidupan bermakna dan produktif di mana matlamat ini adalah
selaras dengan matlamat bimbingan dan kaunseling di sekolah. Salah satu aspek penting yang
perlu digabungjalinkan dalam melaksanakan semua aktiviti perkhidmatan bimbingan dan
kaunseling adalah penerapan nilai murni. Pelaksanaan penerapan nilai murni dalam
perkhidmatan bimbingan dan kaunseling adalah selari dengan konsep nilai merentasi
kurikulum, kurikulum tersembunyi, penerapan nilai Islam dan penerapan nilai murni. Justeru,
kaunselor memainkan peranan penting di sekolah bagi mengadakan program-program seperti
Program Ceramah Motivasi, Program Kemahiran Belajar, Program Pencegahan Dadah,
Rokok dan Alkohol, Pengendalian Bimbingan Kerjaya, Bimbingan Individu dan Kelompok
serta Pembentukan kem Ibadah.
Melalui Program Ceramah Motivasi menurut Ibrahim Mamat (2001), remaja perlu
sedar tentang tujuannya hidupnya di dunia ini. Remaja perlu ditekankan dengan konsep dan
tujuan hidupnya di muka bumi ini supaya mereka sedar akan tanggungjawab mereka. Asas ini
menekankan bahawa manusia mempunyai tujuan hidup yang perlu disesuaikan dengan segala
kegiatan dan keperluannya. Oleh yang demikian, kaunselor harus menanam konsep kendiri
yang positif dalam diri remaja. Amer Shikir (2001) menyatakan seseorang yang sentiasa
mendapat perhatian, menggalakkan usaha-usaha dan memujinya akan mendorong orang itu
membentuk dirinya ke arah konsep kendiri yang positif. Adalah dipercayai golongan remaja
merupakan golongan yang sentiasa berubah emosi, agresif, tingkah laku sukar dijangka dan
peka terhadap masalah serta perubahan sekeliling (Ibrahim, 1999). Oleh itu, remaja seperti
individu yang lain; mempunyai kepercayaan, prinsip dan nilai-nilai dalam diri yang
tersendiri. Di sekolah, segala tindak-tanduk rakan-rakan dan guru-guru boleh memberi kesan
ke atas keyakinan diri remaja, harapan, harga diri, sikap dan motivasi. Para remaja yang
HMEF5063
sering membawa perhatian, diberi pujian dan dorongan akan mempunyai konsep kendiri yang
positif adalah individu yang berpuas hati dengan dirinya, peramah, mudah berkawan, berpuas
hati dengan pencapaian akademik dan sukan, tahu menghargai sesuatu yang dilakukan dan
bersedia memuji orang.
Dalam Program Kemahiran Belajar, teknik belajar perlu dianjurkan kaunselor demi
meningkatkan prestasi pencapaian akademik seperti ceramah teknik belajar untuk
menghadapi peperiksaan umum UPSR, PT3, SPM, STPM sehingga ke pengajian lebih
tinggi. Hal ini jelas termaktub dalam Kementerian Pendidikan Malaysia (2002) yang
menjelaskan peranan guru kaunseling adalah merancang, melaksana, membimbing serta
menilai program dan aktiviti pemilihan mata pelajaran elektif bagi peperiksaan umum seperti
UPSR, PT3, SPM dan STPM. Banyak pusat kecemerlangan minda dan motivasi peperiksaan
telah ditubuhkan berikutan kesedaran ibu bapa dan para pendidik terhadap kepentingan
motivasi kepada anak-anak mereka. Program Teknik Belajar dapat membentuk kesedaran
dalaman dan berupaya meningkatkan motivasi pelajar dalam menghadapi peperiksaan di
samping keberkesanan dalam penerapan nilai-nilai murni seperti nilai kejujuran dan
keikhklasan dalam diri yang terbentuk secara tidak disedari, walaupun tiada pengawas
peperiksaaan semasa perperiksaan. Baginya, konsep keredaan semasa menjawab kertas
peperiksaan telah ditanam dalam dirinya (Syeikh Mustafa, 1996).
Seterusnya ialah Program Pencegahan Dadah, Rokok dan Alkohol. Peranan kaunselor
di sekolah dalam usaha memastikan para pelajarnya menjauhi amalan pengambilan dadah
haruslah berusaha menyusun dan membentuk program pencegahan dadah, rokok dan alkohol.
Antaranya adalah usaha menggalakkan para pelajar sekolah terlibat aktif dalam persatuan
pelajar atau unit beruniform sekolah. Kaunselor perlu mengadakan program atau aktiviti
bersesuaian bagi menggalakkan remaja sekolah mempunyai kesedaran terhadap penggunaan
bahaya dadah. Antaranya seperti Kem Jaya Diri, Ketahanan Diri, Program Intelek Asuhan
Rohani (PINTAR), Sekolah Anak Didik, Skim Lencana Anti Dadah (SLAD), Kursus
Pendidikan Pencegahan Dadah PIBG/Guru, Program Pembimbing Rakan Sebaya dan
Program Lima Minit. Bagi program atau aktiviti yang dianjurkan khas untuk para pelajar
bermasalah dengan dadah, penekanan diberi terhdap nilai-nilai murni keagamaan dan moral,
disiplin diri, memahami potensi diri, berkomunikasi dan menyelesaikan masalah. Ia juga
bertujuan menanamkan sifat membenci dadah dan memahami kesan akibat dadah pada diri,
keluarga, masyarakat, ekonomi negara dan keagamaan. Bagi penyertaan Skim Lencana Anti
HMEF5063
Dadah, skim ini dikuti oleh unit beruniform seperti Pengakap, Pandu Puteri, St. John
Ambulance, Bulan Sabit Merah dan Puteri Islam. Tujuannya adalah untuk mengadakan
sekumpulan pelajar yang boleh menyebarkan mesej anti dadah, menolong rakan-rakan yang
mungkin terlibat dan seterusnya aktif dalam akitivit-aktiviti pencegahan dadah. Skim ini
dilancarkan pada 28 mac 1986 oleh Menteri Pendidikan dan kini meliputi seluruh negara.
Dengan adanya penerapan nilai-nilai terhadap Program Pencegahan Dadah, Rokok dan
Alkohol, maka ia dapat menimbulkan kesedaran, kefahaman dan sifat benci belia terhadap
gejala ketagihan dadah. Dadah, rokok, alkohol dan bahan-bahan ketagihan dianggap sebagai
satu benda yang berbahaya terhadap kesihatan dan tidak membawa sebarang faedah yang
boleh merosakkan sistem imuniti tubuh badan sehingga menjejaskan kesihatan diri mereka.
Selain itu, peranan kaunselor juga mencakupi penyediaan program bimbingan rakan
sebaya dimana kerjaya perlu menitikberatkan 5 langkah iaitu kesedaran dan minat kerjaya,
perancangan kerjaya, pelaksanaan (penggunaan inventori minat kerjaya), sumber maklumat
dan pemilihan kerjaya pelajar dan masa depan kerjaya pelajar. Suradi (1998) menggariskan 5
langkah kaunselor untuk mendorong pelajar menentukan kejayaan iaitu kaunselor perlu
mengarahkan guru sekolah mengenal pasti masalah kerjaya yang dihadapi pelajar, kaunselor
perlu melibatkan setiap guru menyediakan senarai lengkap tentang pekerjaan yang khusus dan
mempunyai hubungan dengan mata pelajaran yang diajar, menyediakan bahan-bahan bertulis
dan alat pandang dengar tentang kumpulan pekerjaan, melibatkan guru-guru dalam projek hari
kerjaya, lawatan ke pusat perniagaan dan perindustrian dengan melibatkan pelajar serta guru
dalam kajian susulan yang sistematik bagi pelajar sekolah sama ada yang berjaya atau tercicir.
Justeru itu, penyediaan program ini adalah selaras dengan matlamat bimbingan dan kauseling
di sekolah iaitu membantu klien berkembang secara positif.
Akhir sekali ialah Kem Ibadah. Terdapat sesetengah aktiviti dan program yang
dianjurkan oleh kaunselor di sekolah melibatkan kem-kem perkhemahan pelajar. Kem-kem
perkhemahan pelajar semakin diminati oleh kebanyakan pelajar pada masa kini kerana mereka
akan didedahkan dengan kursus-kursus yang bersesuaian seperti kursus disiplin, kursus
peningkatan akhlak dan sahsiah diri. Di samping itu, mereka juga turut didedahkan dengan
aktiviti dan program yang berbentuk kerohanian. Program kerohanian ini dibahagikan kepada
dua iaitu ketahanan fizikal dan aktiviti ibadah. Program seperti perkhemahan, jungle trekking
dengan menempuh sungai, mendaki bukit, masuk hutan belantara dan sebagainya merupakan
aktiviti-aktiviti lasak yang mencabar serta mengasak minda, fizikal dan emosi remaja
manakala aktiviti kerohanian pula adalah aktiviti-aktivi yang melibatkan keagamaan bagi
mengisi kerohanian dan kesyukuran dalam diri pelajar. Bagi yang beragama Islam, ketua
komander dan fasilitatior boleh meminta remaja supaya mempunyai disiplin dalam pengurusan
diri khususnya penjagaan solat sepanjang program. Justeru itu, program dan akitiviti ini bukan
sahaja menyihat dan mencergaskan badan malah minda serta rohani pelajar. Program sebegini
secara tidak langsung akan menyemai sikap positif dan mengcungkil bakat terpendam dalam
diri pelajar seperti bertanggungjawab, kempimpinan, amanah dan menyelesaikan masalah di
saat genting. Secara keseluruhan, program perkhemahan dapat memantapkan daya tahan
mental dan fizikal remaja dengan menerapkan nilai-nilai luhur dan murni yang selaras dengan
matlamat kaunseling iaitu memperbaiki imej diri dan mengajar diri untuk menjadi lebih
bertanggungjawab.
Kemahiran membuat keputusan yang rasional adalah amat rumit apatah lagi kanak-
kanak. Apabila klien tidak mahir dalam membuat keputusan seperti tidak faham apa yang
dilakukan atau klien faham apa yang hendak dilakukan tetapi tidak dapat melaksanakannya
kerana tidak mahir, maka klien tidak rela dan tidak bermotivasi untuk menyelesaikan
masalah. Oleh itu, kaunselor sekolah akan membantu mereka membuat keputusan yang
HMEF5063
rasional. Kaunselor akan melatih klien secara langsung dan tidak langsung dalam membantu
mereka membuat keputusan dengan cara berlemah lembut dan berhemat. Hal ini selaras
dengan kenyataan dalam Panduan Pelaksanaan Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling,
Kaunselor di sekolah dapat membantu para pelajar dengan cara memberikan proses
pendidikan yang terancang dan berterusan. Pelajar-pelajar dibimbing untuk memperoleh
pengalaman, nilai, sikap dan perlakuan serta kemahiran yang sesuai dengan kehendak
masyarakat majmuk di Malaysia. Setiap aktiviti yang dijalankan bertujuan memberi
pengetahuan dan kesepaduan psikosisial pelajar-pelajar, kerana pelajar bukanlah manusia
kognitif semata-mata sebaliknya mereka mempunyai perasaan, sikap, mental dan rohani
(Kementerian Pelajaran Malaysia, 1993). Kaunselor akan membantu klien ini meningkatkan
kematangan fikiran mereka dengan bijak. Hal ini selaras dengan matalamat kaunseling yang
bertujuan untuk membantu klien membuat keputusan dengan rasionalnya. Contohnya dalam
situasi memilih kerjaya masa hadapan. Kaunselor yang berkesan adalah kaunselor yang
berjaya membuatkan kliennya mengenali minat dan kerjaya selain mendapatkan sebanyak
mungkin maklumat tentang kerjaya bersesuaian dengan cita-cita dan kelulusan mereka.
Tanpa bimbingan dan panduan yang betul, pelajar mungkin akan menghadapi kebuntuan
dalam pekerjaan mereka kelak kerana pemikiran mereka semasa merancang kerjaya tidak
tercapai dalam pekerjaan yang diceburi. Ini disebabkan kekurangan maklumat tentang
keperluan lain yang tidak dipenuhi semasa membuat pemilihan pekerjaan. Secara tidak
langsung akan membuat keputusan yang tidak rasional akibat tindakan diri sendiri yang
terburu-buru.
Salah anggap atau salah faham mengenai kaunseling adalah satu perkara umum dan
sinonim dalam kalangan masyarakat di Malaysia. Umumnya, apabila individu disarankan
untuk mengikuti program kaunseling, masyarakat umum akan melabel individu tersebut
sebagai seseorang yang bermasalah atau punca sesuatu masalah. Proses stereotaip oleh
masyarakat umum turut menjejaskan imej selain memberi gambaran negatif mengenai
program kaunseling ini. Akibatnya, perasaan malu menyelubungi klien dan melahirkan
ketidakselesaan serta menjejaskan perhubungan dan kerjasama antara klien dengan kaunselor
sepanjang proses kaunseling. Media juga tidak dapat membantu malah sering menggembar-
gemburkan seseorang individu yang menemui kaunselor sebagai orang yang mempunyai
beban yang berat, depresi, sakit mental atau tidak waras. Kerjaya bidang kaunseling juga
HMEF5063
sering kali disalah anggap sebagai profesion yang boleh membaca minda dan stereotaip
berlaku apabila seorang klien yang berjumpa dengan sukarelawan ataupun dibawa berjumpa
adalah tergolong dalam kumpulan bermasalah. Oleh yang demikian, tidak ketinggalan juga
kepelbagaian isu yang saling berkait rapat dengan profesionalisme khidmat bimbingan dan
kaunseling di sekolah rendah amnya yang telah banyak dilapor dan diperkatakan.
Isu yang kedua adalah kegagalan pihak pentadbir menyelaras tugas kaunselor secara
berkesan kerana kurang arif tentang khidmat kaunseling (Myrick, 2011). Kaunselor diminta
melakukan tugas-tugas lain yang kurang berkaitan dengan khidmat kaunseling (Zulmahari
Merawi, 2003), mengalami konflik tugas kerana kegagalan pihak pentadbir memahami
khidmat kaunseling (Baker, 2000; Andy Frederick, 2007), banyak masa digunakan untuk
aktiviti lain selain daripada khidmat kaunseling, memainkan pelbagai peranan termasuk
mengajar dan mengganti kelas serta mengalami konflik tugas (Ching Mey, 2006) dan
perasaan cemburu dalam kalangan guru lain kerana kaunselor kurang mengajar (Zuria
Mahmud, 1998). Selain itu, peranan kaunselor di sekolah semakin mencabar berdasarkan
pelbagai masalah yang dihadapi oleh sterotaip umum selain daripada menghadapi masalah
murid dan anggota masyarakat. Secara menyeluruh dan hampir 75% masalah kesihatan
mental murid-murid di sekolah adalah disokong melalui pelbagai intervensi di sekolah (Burn
& Hoawood, 2002). Oleh yang demikian, keberkesanan khidmat kaunseling bergantung
kepada kepakaran kaunselor dan sumber yang disediakan di sekolah. Brott (2006)
HMEF5063
mencadangkan bahawa keberkesanan seseorang kaunselor mempunyai kaitan dengan
penilaian yang dibuat terhadap hasilan khidmat kaunseling itu sendiri.
Oleh itu, wajarlah jika Unit Psikologi, kaunseling dan Kerjaya diberi suntikan baru
supaya ia mampu bergerak dan berperanan sebagaimana yang diharapkan dalam memberi
sebanyak maklumat kerjaya yang sahih kepada pelajar. Antara maklumat kerjaya yang
penting yang perlu diberikan ialah maklumat yang mengandungi butir-butir kelayakan dan
syarat-syarat untuk memasuki pekerjaan, keadaan bekerja serta gaji yang ditawarkan.
Kelayakan untuk memasuki kerjaya itu termasuklah faktor yang berkait rapat dengan ciri-ciri
peribadi pemohon, persediaan yang telah dibuat, kelayakan akademik, latihan dan
pengalaman serta cara memohon untuk mendapatkan jawatan itu. Unit ini juga boleh
mengadakan aktiviti-aktiviti yang dapat menarik minat dan perhatian pelajar untuk mengenali
dengan lebih dekat lagi sepeti membuat resume dengan betul.
Di samping itu, proses pengajaran dan pembelajaran yang kurang disokong oleh
kemudahan asas menjejaskan kebekesanan profesionalisme kaunselor dalam khidmat
kaunseling. Apabila kaunselor ditempatkan di sekolah, terdapat halangan-halangan yang
HMEF5063
mereka terpaksa tempuhi bagi melaksanakan tugas sebagai kaunselor. Halangan-halangan
tersebut adalah sebahagian besarnya datang dari pihak pentadbir dan rakan sebaya kaunselor
sendiri yang mungkin kurang memahami khidmat kaunseling sepenuhnya dan tugas serta
peranan kaunselor di sekolah (Sutton & Fall, 1995; Andy Frederick, 2007). Isu dan masalah
ini perlu ditangani dengan serius kerana masalah kesihatan mental dan konflik dalaman
dalam kalangan murid semakin serius. Jelasnya disini, profesionalisme kaunselor sekolah
rendah masih mempunyai ruang untuk diperbaiki termasuk dari segi input semasa mengikuti
kursus, kurikulum kaunseling yang diikuti dan masalah serta halangan semasa menjalankan
tugas selepas tamat mengikuti latihan. Khidmat kaunseling adalah khidmat yang diiktiraf
sebagai pemangkin utama bagi menyemai pembentukan insan seimbang secara lebih
humanistik dan adil berteraskan pendapat bahawa bukan semua insan berpeluang mengalami
proses perkembangan dengan sempurna. Implementasi khidmat kaunseling secara konsisten
adalah berkaitan dengan keselamatan dan kejayaan murid. Murid yang mendapat khidmat
sokongan ini merasa lebih selamat apabila berada di sekolah, mempunyai hubungan yang
baik dengan guru, mempercayai bahawa sekolah dan pelajaran adalah penting, mempunyai
pencapaian akademik lebih baik dan semakin kurang menghadapi masalah personal dan
interpersonal (Lapan, Gysbers & petroski, 2001).
Walaupun terdapat banyak isu dari segi keberkesanan kaunseling di sekolah namun
terdapat juga kajian yang berkaitan dengan persepsi pelajar terhadap perkhidmatan
bimbingan dan kaunseling selepas menjalani khidmat ini. Antaranya Norhayati (1997) yang
mendapati pelajar yang telah mengikuti sesi kanseling atau bimbingan telah memperlihatkan
perubahan posititf ke atas tingkah laku mereka. Perubahan yang ketara ialah mereka yang
pendiam menjadi peramah dan dapat bertindak balas dengan cepat jika ditegur oleh hguru di
dalam bilik darjah bahkan berasa lebih seronok dan ingin melibatkan diri sekali lagi dalam
kaunseling individu, kelompok, bengkel-bengkel yang dijalankan serta sedia menawarkan
diri sebagai Pembimbing Rakan Sebaya (PRS). Bagi kajian Mohd. Noh Murli (2001) pula
menunjukkan bahawa sikap positif sebahagian besar pelajar terhadap unit ini disebabkan oleh
kepercayaan pelajar bahawa perkhidmatan ini baik dan mendatangkan faedah kepada mereka.
Kepercayaan mereka tentang kebaikan perkhidmatan ini akan menyebabkan mereka
mempunyai perasaan suka dan minat terhadap perkhidmatan ini dan mempunyai
kecenderungan untuk bertingkah laku positif terhadap program-program yang berkaitan
dengan kausseling.
HMEF5063
RUJUKAN
Sumber Buku
Melati Sumari, Ida Hartina Ahmed Tharbe, Norfaezah Md Khalid dan Azmawaty mohamad
Nor. (2015). Teori Kaunseling dan Psikoterapi. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti
Malaya
Sumber Jurnal
Mohd. Syukarmi Zakaria, Jamaluddin Ahmad & Maznah Baba. (2013). Memahami
Pendekatan Kaunseling Individu terhadap Modal Insan di Sekolah Menengah
Agama: Suatu Kajian Kes. Selangor: Universiti Putra Malaysia.
Norazami Ahmad, Nurul Ain Mohd Daud, Fauziah Mohd Saad, Hapsah Md. Yusof. (2014).
Isu-Isu dalam Perhubungan Penyeliaan Kaunseling: Pengalaman Kaunselor Pelatih di
Malaysia. Perak: Universiti Pendidikan Sultan Idris, Malaysia.
Pooja Rupani, Nuala Haughey and Mick Cooper. (2012). The Impact of School-Baased
Counselling on Young Peoples Capacity to Study and Learn. British Journal of
Guidance & Counselling, Vol. 40, no. 5, 499-514.
Roslee Ahmad & Mohamed Sharif Mustaffa. (2002). Peranan Kaunselor dalam Penerapan
dan Pemupukan Nilai-Nilai Murni melalui Program Kaunseling terhadap Remaja di
Sekolah: Satu Wadah Bersepadu antara Guru dan Kaunselor. Skudai: Universiti
Teknologi Malaysia.
Salema Ahmad. (2006). Amalan Nilai Murni di Kalangan Guru Bimbingan dan Kaunseling
dalam Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling Sekolah Menengah. Pulau Pinang:
Universiti Sains Malaysia.
Suzana Haron, Wan marzuki Wan Jaafar, maznah Baba (2010). The Influence of School
Climate towards Counselors Self Efficacy. Serdang: Universiti Putra Malaysia.
Zainuddin Abu, Zuria Mahmud, Salleh Amat (2008). Pendekatan Kaunseling Menangani
Masalah Kebebasan dalam Kalangan Pelajar Institut Pengajian Tinggi: Dua kajian
Kes. Jurnal Pendidikan Malaysia, 33. Pp. 107-123.
HMEF5063
Sumber Internet
Alliya Natasha, Puan Ummi. (2013). Proses kaunseling yang Dijalankan dalam Sesi
Kaunseling Individu. Dipetik pada Mac 4, 2016, daripada
http://ubksmkleparhilir.blogspot.my/2013/02/proses-kaunseling-yang-dijalankan-
dalam.html
Che Gu Man. (2012). Ulasan Kritis (Sesi 1,2 & 3). Dipetik pada Mac 4, 2016, daripada
http://chegu-man.blogspot.my/2012/01/ulasan-kritis-sesi-1-2-dan-3.html
Che Gu Man. (2012). Verbatim daripada Sesi Kaunseling Individu (Sesi 1). Dipetik pada
Mac 4, 2016, daripada http://chegu-man.blogspot.my/2012/01/verbatim-daripada-sesi-
kaunseling.html
Dr. Sapora Sipon. (2010). Kemahiran Asas Kaunseling. Dipetik pada Mac 4, 2016, daripada
http://bimbingandankaunseling.blogspot.my/2010/06/kemahiran-asas-kaunseling.html
Dr. Sapora Sipon. (2013). Proses Kaunseling. Dipetik pada Mac 4, 2016, daripada
http://www.slideshare.net/herneyaqilah/3-peringkat-proses-kaunseling
Ummu Hasmaheera Syafiqa. (2010). Persepsi Pelajar terhadap Perkhidmatan Bimbingan dan
Kaunseling. Dipetik pada Mac 9, 2016, daripada
http://umminessa.blogspot.my/2010/08/persepsi-pelajar-terhadap-perkhidmatan.html