Penulisan Esei

Unduh sebagai docx, pdf, atau txt
Unduh sebagai docx, pdf, atau txt
Anda di halaman 1dari 11

1.

0 Pengenalan

Perkataan budaya diambil daripada perkataan Sanskrit “buddhayah” yang bermaksud budi (akal)
dan daya (keupayaan). Jika perkataan budaya itu diletakkan dalam konteks ‘kebudayaan’ maka
ia bermaksud hal-hal yang bersangkutan dengan kemampuan akal untuk berfikir dan bertindak
kemi kelangsungan hidup (Koentjaraningrat, 2002). Menurut Krober dan Kluckhohn (1963) pula
menjelaskan kebudayaan adalah rangkaian tindakan dan aktiviti manusia yang berpola yang
berupaya mewujudkan suatu ciri khas sesebuah kelompok masyarakat termasuklah penghasilan
artifak. Umumnya, kebudayaan bermaksud seluruh hidup sesuatu masyarakat atau seluruh
aspek pemikiran dan tingkahlaku manusia yang diwarisi dari satu generasi ke generasi yang lain
melalui proses pembelajaran.

2.0 Ciri-ciri Kebudayaan

Budaya diturunkan dari satu generasi ke generasi yang lain melalui proses belajar, maka ia
sentiasa menerima pengaruh atau elemen yang baru bersesuaian dengan zaman yang dilaluinya.
Oleh itu, salah satu ciri kebudayaan adalah bersifat dinamik dan sering berubah. Ini kerana
manusia akan melalui cara hidup yang berbeza daripada masa lalu, maka elemen-elemen baru
akan digabungkan dalam kebudayaan sedia ada bagi memastikan ia relevan untuk diteruskan
pada masa kini.

Seterusnya, kebudayaan adalah dipelajari. Budaya merupakan sesuatu yang perlu


dipelajari, bukan diturunkan secara genetik kepada keluarga. Manusia belajar mengenali budaya
melalui peniruan dan pengadaptasian daripada masyarakat sosial atau melalui sumber lain
seperti komunikasi media. Budaya dipelajari melalui bahasa verbal dan non-verbal iaitu melalui
kelakuan. Contohnya, seorang bayi yang dilahirkan ke dalam masyarakat Melayu dan membesar
di dalamnya belajar dan mengamalkan adat resam dan kebudayaan masyarakat Melayu.

Selain itu, ciri-ciri kebudayaan yang lain ialah kebudayaan dikongsi bersama oleh satu
kumpulan manusia. Sebagai contoh, kegemaran pada sesuatu jenis makanan yang mana
kegemaran inilah yang membawa ahli-ahli masyarakat bersama.

3.0 Elemen-elemen Kebudayaan

Menurut Honigmann (1959) budaya wujud dalam tiga jenis elemen iaitu idea (pemikiran), aktiviti
(tindakan) dan artifak.

1
Elemen yang pertama iaitu idea atau gagasan pemikiran; ianya tidak dapat dilihat atau
disentuh. Idea, norma atau nilai sering dipelajari melalui sumber ideal iaitu tradisi yang diturunkan
daripada sesebuah kelompok masyarakat kepada kelompok sosial yang sama. Antara elemen-
elemen penting dalam kebudayaan kognitif ini merangkumi bahasa, simbol-simbol, pengetahuan,
kepercayaan dan nilai-nilai. Kadangkala nilai yang terdapat dalam sesebuah masyarakat adalah
bertentangan dengan nilai masyarakat lain. Contohnya, dalam masyarakat Melayu, kasut perlu
ditinggalkan di luar rumah sebelum masuk ke dalam rumah. Ia merupakan nilai yang baik tetapi
di Barat sebaliknya pula.

Elemen kebudayaan kedua pula merupakan tindakan atau perilaku, yang sering berkaitan
dengan elemen kebudayaan kognitif. Tindakan yang sejajar dengan pemikiran akan melahirkan
kebudayaan tidak ketara, iaitu dapat dilihat namun tidak bersifat kekal seperti adat resam, gaya
hidup dan sebagainya. Sebagai contoh, masyarakat Melayu di zaman pra-Islam mempercayai
kuasa ghaib yang menjaga tanaman mereka sehingga terwujudlah upacara untuk memuja
semangat tertentu untuk berterima kasih kerana memberikan hasil tanaman yang lumayan.
Setelah datangnya Islam, aktiviti tersebut diganti dengan ritual keislaman seperti doa selamat
atau kenduri kesyukuran.

Seterusnya, kebudayaan kebendaan atau ketara iaitu artifak atau hasil karya yang boleh
diapresiasi melalui keseluruhan pancaindera dan bersifat nyata. Objek budaya yang terhasil
sering dicantumkan dengan nilai-nilai tertentu yang tercetus melalui pemikiran atau idea anggota
masyarakatnya sehingga diterjemahkan dalam bentuk kebendaan. Contohnya, pakaian kaum
Melayu, ianya berbeza dengan kaum lain dari aspek bentuk dan nilai. Ini kerana kaum Melayu
mempunyai sudut pandang tentang nilai kesopanan yang berbeza dengan kaum dan agama lain.
Antara objek budaya yang lain adalah seperti peralatan senjata, kraftangan, seni bina, makanan
dan sebagainya. Objek budaya yang dapat dilihat merupakan refleksi perspektif serta tindakan
anggota masyarakatnya dalam menjalani kehidupan yang berbudaya.

4.0 Proses Pembelajaran dalam Kebudayaan

Budaya bukanlah sesuatu yang diturunkan kepada generasi secara genetik. Sesebuah budaya
itu perlu dipelajari melalui anggota kelompoknya sendiri. Untuk mempelajari budaya, seseorang
individu perlu memahami konsep-konsep asas yang berkaitan dengan proses pembelajaran
tersebut seperti internalisasi, sosialisasi dan enkulturasi (Koentjaraningrat, 2011).

2
Proses internalisasi merupakan satu proses belajar yang terjadi dalam diri seseorang
sepanjang hayatnya. Pengalaman hidup mengajar seseorang untuk berhadapan dengan
perasaan marah, kecewa, sedih, rindu, sayang, suka dan sebagainya sehingga akhirnya proses
tersebut membentuk keperibadian seseorang.

Proses sosialisasi adalah proses belajar melalui kelompok sosialnya. Seseorang individu
akan mempelajari kelaziman yang dipraktikkan oleh anggota masyarakatnya dalam tata cara
hidup dengan norma-norma tertentu. Sebagai contoh, seseorang individu yang dibesarkan dalam
suasana tradisional Melayu akan diajar tentang adat resam, nilai-nilai dan kebiasaan-kebiasaan
lain yang sudah lama berlaku dalam kelompok masyarakatnya. Proses ini juga akan membentuk
latar budaya seseorang yang seterusnya menjadi sebahagian daripada kelompok yang lebih
besar dalam masyarakat.

Inklutrasi merupakan proses belajar dengan cara memilih unsur-unsur budaya tertentu
dan mengambil apa yang dirasakan sesuai dengan budayanya dan meninggalkan apa yang
dirasakan sudah tidak bersesuaian lagi. Contohnya, adalah perkembangan busana Melayu.
Elemen pakaian Arab seperti bentuk yang longgar dan labuh diambil lalu dipadankan dengan
gaya berkain sarung dalam masyarakat Melayu lalu terbentuklah baju kurang dan baju kebaya
labuh. Ringkasnya, eleman yang masih relevan sering dikekalkan dalam sesebuah tradisi,
manakala elemen yang tidak lagi relevan akan ditinggalkan lalu diganti dengan elemen lain yang
lebih bersesuaian dengan zamannya.

5.0 Proses Pembaharuan dan Inovasi dalam Kebudayaan Malaysia

Antara proses pembudayaan dalam masyarakat di Malaysia ialah akulturasi, asimilasi,


amalgamasi dan akomodasi.

5.1 Akulturasi

Akulturasi merupakan sebuah proses pembaharuan budaya yang terjadi akibat adanya
ciptaan atau inovasi. Ciptaan tersebut perlulah mempunyai percampuran antara kelompok
budaya yang berbeza (Herskovits, 1958). Terdapat juga penjelasan tentang makna
akulturasi yang bermaksud penerimaan atau pengambilan budaya asing sehingga
melahirkan unsur budaya yang baru. Proses akulturasi sering melibatkan hubungan
antara sesebuah anggota masyarakat dengan kelompok budaya luar atau asing yang
berada di luar batas sosialnya. Percampuran dan penerimaan budaya tersebut berlaku
secara sukarela.

3
Percampuran budaya bermula dengan ciptaan sendiri iaitu bersifat individu,
namun lama-kelamaan menjadi ikutan masyarakatnya secara meluas. Contoh yang
mudah adalah penggunaan daun kari dan rempahnya dalam masakan Melayu. Setelah
terjadinya persentuhan antara budaya Melayu dan India, maka masyarakat Melayu juga
turut menggunakan daun dan rempah kari dalam masakan karinya, namun mereka
menambahkan santan, yang mana ianya tidak digunakan dalam masakan kari kaum India.
Maka, terjadilah perbezaan antara masakan kari Melayu dan kari India yang berlainan
rasanya akibat perbezaan bahan walaupun bahan asasnya sama. Proses akulturasi
tersebut telah melahirkan menu ‘hibrid’ dalam masakan Melayu dan banyak lagi jenis
masakan lain di Malaysia.

5.2 Asimilasi

Asimilasi juga merupakan salah satu proses pembudayaan yang seakan-akan sama
dengan akulturasi. Namun, asimilasi sering melibatkan penguasaan budaya kelompok
majoriti yang mendominasi kelompok minoriti. Kelompok minoriti tersebut seolah-olah
terpaksa menerima budaya yang dominan tersebut, tetapi tidak melibatkan pertukaran
agama. Contoh yang dapat dilihat adalah, adanya etnik Baba dan Nyonya. Adat budaya
masyarakat Baba dan Nyonya terhasil daripada perkahwinan campur antara pedagang
dari wilayah Fujian, Tenggara China dengan masyarakat tempatan di Melaka.

Baba dan Nyonya mengamalkan cara hidup orang Melayu dari segi percakapan,
pakaian dan juga makanan. Etnik ini turut mengamalkan sifat-sifat dan tingkah laku wanita
Melayu seperti peramah, suka melatah dan berbual-bual di kaki lima pada waktu petang.
Percampuran budaya dan adat di antara masyarakat Melayu dan Cina dalam etnik Baba
dan Nyonya telah membuktikan perpaduan yang wujud dalam masyarakat tersebut,
malah masih mengamalkan budaya Melayu dalam kehidupan bermasyarakat.

5.3 Amalgamasi

Amalgamasi merupakan satu proses pembudayaan iaitu setiap kumpulan masyarakat


bercampur dan membentuk sebuah identiti ras baru. Perkahwinan campur adalah salah
satu cara utama dalam menentukan proses amalgamasi. Contohnya, perkahwinan Puteri
Hang Li Po dengan Sultan Mansor Shah. Istilah perkahwinan campur adalah tidak asing
bagi rakyat di Malaysia. Masyrakat majmuk di Malaysia merupakan kesan daripada
perkahwinan campur di Malaysia. Selain itu, generasi yang lahir dari perkahwinan campur
tidak akan bersifat perkauman dan berfikiran terbuka terhadap budaya-budaya yang lain.

4
5.4 Akomodasi

Akomodasi adalah proses yang menyebabkan setiap kumpulan etnik menyedari serta
menghormati norma dan nilai kumpulan etnik lain serta masih mempertahankan budaya
hidup masing-masing. Pelbagai kumpulan etnik hidup secara harmoni dan menghormati
antara satu sama lain. Konsep ini diamalkan di Malaysia iaitu setiap kumpulan etnik bebas
mengamalkan budaya masing-masing dalam keadaan aman dan harmoni.

6.0 Kebudayaan Melayu

Menurut Abdullah (2010), pengertian Melayu merujuk kepada wilayah dan tempat bukannya
etnik. Oleh itu, pada awalnya Malaysia dinamakan sebagai Tanah Melayu yang bermaksud tanah
yang didiami oleh orang Melayu. Istilah ini digunakan pada abad ke-6 sehingga ke-10M sebelum
pengertian Melayu ditukar menjadi pengertian ras atau etnik Melayu pada abad ke-11. Setelah
kemerdekaan Malaysia pada tahun 1957, masyarakat Melayu disatukan pengertiannya dengan
agama Islam melalui Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dalam Artikel 160 (2).
Umumnya, kebudayaan Melayu telah menjadi tunjang kepada Dasar Kebudayaan Kebangsaan

6.1 Dasar Kebudayaan Kebangsaan

Dasar Kebudayaan Kebangsaan diwujudkan melalui resolusi Kongres Kebudayaan dan


Kebangsaan pada tahun 1971. Dasar ini berlandaskani tiga prinsip iaitu:

1 Berteraskan kebudayaan rakyat asal rantau ini.

2 Unsur kebudayaan lain yang sesuai dan wajar diterima.

3
Islam menjadi unsur penting dalam pembentukan Kebudayaan
Kebangsaan.

Rajah 1. Tiga Prinsip Dasar Kebudayaan Kebangsaan

5
Dalam mengutamakan kebudayaan yang berteraskan kebudayaan rakyat asal rantau ini,
unsur-unsur budaya lain yang bersesuaian dan wajar boleh diterima. Dasar ini juga
menegaskan peranan Islam yang integral dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan.
Kebudayaan Melayu menjadi tunjang kepada Dasar Kebudayaan Kebangsaan kerana
Malaysia merupakan sebahagian utama dari kawasan tamadun atau rantau Melayu yang
mempunyai persamaan dari segi bidang bahasa, kedudukan geografi, kesenian dan
pengalaman sejarah. Kegemilangan dan keagungan tamadun Melayu yang berpusat di
Melaka menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan antarabangsa dan
pernah diiktiraf sebagai bahasa lingua franca. Di rantau berkenaan, kebudayaan Melayu
telah menjadi cara hidup dan satu identiti kepada yang menuturkan rumpun bahasa yang
sama. Oleh itu, kebudayaan Melayu dijadikan teras kepada Kebudayaan Kebangsaan.

Konsep prinsip ‘tiga dalam satu’ ini telah diberi huraian oleh Tun Abdul Razak,
Perdana Menteri kedua Malaysia pada bulan Ogos 1971 semasa beliau merasmikan
Kongres Kebudayaan Kebangsaan pertama. Satu-satunya panduan yang diberikan beliau
ialah bahawa, di samping menjaga dan memajukan budaya nenek moyang yang turun-
temurun, budaya pelbagai kaum di negara ini juga harus tidak diketepikan demi menjaga
keharmonian hidup masyarakat majmuk.

Penggubalan dan pelaksanaan Dasar Kebudayaan Kebangsaan adalah perlu bagi


melahirkan satu cara hidup masyarakat Malaysia yang mempunyai pelbagai bangsa,
agama dan budaya serta bahasa pertuturan tetapi bertimbang rasa dan bertoleransi di
antara satu sama lain. Penyeragaman identiti dan keperibadian pelbagai etnik adalah
penting bagi memastikan perpaduan nasional berlangsung dengan lebih utuh dan aman
daripada persengketaan.

Dalam masyarakat yang berbilang kaum seperti di Malaysia, usaha menonjolkan


ciri keperibadian atau jati diri nasional perlu diutamakan dan harus dijadikan matlamat
membina negara dan bangsa. Pada konteks inilah Bahasa Kebangsaan, Islam sebagai
agama rasmi, Lagu Kebangsaan, Yang Di Pertuan Agong sebagai lambang kedaulatan
negara, Rukun Negara dan Jalur Gemilang merupakan antara ramuan kenegaraan yang
bersifat warisan dan berterusan.

6
7.0 Isu dan Cabaran Kebudayaan Kebangsaan

Malaysia adalah sebuah negara masyarakat majmuk dengan pelbagai budaya dan kepercayaan.
Oleh itu, unsur perpaduan dan elemen keserasian sangat penting. Hal ini bertujuan untuk
mewujudkan persefahaman, keharmonian dan kestabilan, yang memungkinan negara mencapai
kemajuan setanding dengan negara-negara maju dengan mudah. JIka hal tersebut tercapai,
negara ini boleh menjadi contoh kepada negara-negara lain.

Perkara yang menjadi isu utama dalam hal ini ialah penyatuan budaya, Umum
mengetahui bahawa setiap kaum mempunyai budaya yang berlainan yang melambangkan
identiti kaum masing-masing. Adalah sukar untuk melaksanakan penyatuan dalam kepelbagaian
ini. Kebersatuan ini dapat diwujudkan jika tunjangnya, iaitu budaya dapat disatukan tanpa
menghilangkan identiti satu-satu kaum,

7.1 Pendidikan

Perkara yang telah menjadi punca kesukaran dalam pelaksanaan Dasar


Kebudayaan Kebangsaan ialah jarak sosial antara anggota masyarakat. Hal ini
menyebabkan kurangnya interaksi antara kaum. Murid Melayu belajar di sekolah
kebangsaan, murid India di sekolah Tamil dan murid Cina di sekolah Cina. Pengurangan
interaksi ini berlarutan hingga ke sekolah menengah dan seterusnya di universitI.
Terdapat universiti swasta yang ditubuhkan mempunyai pelajar yang majoritinya
didominasi oleh satu-satu kaum.

Apabila sekolah berdasarkan kaum, soal bahasa menjadi isu penting. Bahasa
Kebangsaan, iaitu bahasa Melayu yang mempersatukan kaum tidak dikuasai dengan baik
oleh bukan penutur asli bahasa tersebut. Masing-masing menggunakan bahasa kaum
masing-masing. Inilah yang menghalang komunikasi antara kaum dan etnik, sekali gus
mengurangkan hubungan.

Selain itu, bahasa Melayu seolah-olah menjadi bahasa kedua di Malaysia,


khususnya di bandar-bandar besar. Seolah-olah telah hilang daya penariknya dalam
penjenamaan produk, restoran atau makanan yang lebih banyak menggunakan bahasa
asing daripada bahasa ibunda. Penggunaan bahasa Inggeris menjadi dominan di
kawasan perbandaran. Penggunaan bahasa Melayu lebih meluas di kampung-kampung
berbanding di kawasan bandar. Masyarakat cenderung menggunakan bahasa Inggeris
terutamanya apabila berinteraksi dengan kaum lain.

7
Namun di sisi lain, penggunaan bahasa Inggeris yang merupakan bahasa ilmu,
ekonomi dan teknologi telah berupaya memajukan Malaysia agar dapat bersaing di
persada antarabangsa,

Pelbagai usaha dilakukan, misalnya mengadakan pertandingan yang melibatkan


kaum, dengan menggunakan bahasa Kebangsaan tetapi belum menampakkan kejayaan
yang besar dari segi pelaksanaan dasar ini. Kecenderungan anggota masyarakat untuk
mengekalkan identiti masing-masing dan keengganan untuk membuka dunia sosial
kepada kaum lain juga boleh menjadi penghalang pada pelaksanaan Dasar Kebudayaan
Kebangsaan.

7.2 Sosial

Teknologi moden seperti Internet telah menyebabkan lambakan budaya dan informasi
dari luar masuk tanpa adanya sekatan serta telah mempercepatkan proses penyebaran
difusi dan perkembangan budaya lain. Objek budaya dalam masyarakat Malaysia sangat
terdedah kepada perubahan. Sekiranya elemen khasnya tidak dapat beradaptasi dengan
kehendak masyarakat semasa, maka tidak mustahil, elemen dan objek-objek budaya
akan digantikan dengan objek budaya dari negara lain.

Difusi atau penyebaran merupakan proses elemen budaya lain yang tersebar
kepada budaya tempatan. Difusi tidak memaksa sesebuah anggota masyarakat
menerima budaya lain namun, ianya sering menjadi ikutan sekiranya budaya luar dilihat
lebih menarik. Proses penyebaran dapat dilakukan melalui pelbagai agensi penyebaran
seperti televisyen, internat, radio atau bahan bercetak. Contohnya, proses difusi secara
tidak langsung adalah apabila masyarakat di negara ini meniru gaya berpakaian pelakon
asing akibat dipengaruhi oleh filem-filem dari negara tersebut. Dengan demikian, proses
difusi kadang-kala muncul sebagai trend semata-mata kerana budaya popular yang lain
pula akan silih berganti dan tersebar.

Seterusnya, dalam konteks sosial antara cabaran lain bagi ialah masyarakat
menjadi lebih individualistik. Adat istiadat tradisional sudah mulai kurang diamalkan di
bandar-bandar. Akibatnya, budaya sesuatu etnik itu makin terpinggir akibat kekosongan
yang diisi oleh budaya lain yang dipelajari dari kelompok luar dari lingkungan budayanya.
Namun, jika masyarakat tahu mengimbangi keadaan, budaya luar dapat diakulturasi
untuk memperkayakan lagi budaya yang sedia ada.

8
7.3 Ekonomi

Masyarakat terbahagi oleh sistem kasta moden yang menyebabkan masyarkat terbahagi
kepada taraf ekonomi. Menurut Laporan Rancangan Malaysia Kedua (1971-1975),
perpaduan negara tidak boleh dicapai tanpa ketidaksamaan dan keseimbangan dalam
kalangan kumpulan sosial melalui penyertaan masyarakat dalam pembangunan negara
dan perkongsian manfaat daripada pemodenan dan pertumbuhan ekonomi.
Sesungguhnya, perpaduan negara akan gagal dipupuk jika sebahagian besar penduduk
hanya kekal miskin dan peluang pekerjaan produktif yang ditawarkan pula tidak
mencukupi untuk menanggung kepadatan penduduk. Tambahan pula, masalah
kemiskinan hanya berlaku dalam kelompok etnik yang tertentu sahaja.

Untuk mengelakkan berlakunya suatu konflik dan penindasan, sesebuah


masyarakat tidak memerlukan suatu kumpulan yang mendominasi kuasa sehingga
mengakibatkan kumpulan etnik lain terpaksa tunduk dan akur kepada kumpulan dominan.
Ahli sosiologi dan hubungan etnik bersetuju bahawa hubungan sosial antara kumpulan
yang berlainan sejarah dan tradisi tidak semestinya akan mendatangkan masalah.
Sebaliknya, wujud hubungan yang harmonis dan kerjasama antara kumpulan etnik
(Inciardi, 1990). Jelaslah bahawa setiap rakyat perlu bertanggungjawab dan berusaha
memainkan peranan dalam masyarakat majmuk untuk mengatasi cabaran-cabaran dalam
pembentukan masyarakat pluralistik.

8.0 Penutup

Kesimpulannya, perpaduan kaum merupakan elemen yang penting dan harus diberi perhatian
kerana pemupukan hubungan etnik antara masyarakat adalah amat penting bagi negara yang
bermasyarakat majmuk serta menjamin kestabilan ekonomi dan politik negara. Hubungan kaum
yang harmoni adalah kunci kepada kemajuan dan kestabilan negara. Bagi mencapai kemajuan,
negara memerlukan rakyat yang berdedikasi dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab
masing-masing. Malaysia memerlukan kesatuan dari semua golongan masyarakat tanpa mengira
agama dan bangsa. Sebarang kesangsian, kecurigaan dan ketidakpuasan hati antara kaum
hanya akan mewujudkan ketidakstabilan dan persengketaan dan akhirnya merugikan negara
sendiri serta membazirkan usaha-usaha yang telah diusahakan oleh pemimpin-pemimpi
terdahulu.

9
Rujukan

Abdullah. (2010). Nasib Melayu di bumi Melayu. Kuala Lumpur: Utusan Publications.

Abdul Latif. (1985). Warisan dunia Melayu, teras peradaban Malaysia. Kuala Lumpur: GAPENA.

Asmah Hj Omar. (1985). Susur galur bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.

Bujang. (2002). Kesenian Melayu. Kuala Lumpur: Universiti Malaya.

Dewan Bahasa dan Pustaka. (1974). Pelajaran di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.

Herskovits, M.J. (1958). Acculturation: The study of culture contact. Gloucester: Peter Smith.

Honigmann, J.J. (1959). The world of man. New York: Harper & Row.

Ismail Hussein. (1989). Tamadun Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

John, B. (1979). Lain-lain kebudayaan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Koentjaraningrat. (2002). Pengantar ilmu antropologi. Jakarta: Rineka Cipta.

Koentjaraningrat. (2011). Pengantar ilmu antropologi I. Jakarta: Rineka Cipta.

Kroeber, A.L, Kluckhohn. (1963). Culture: A critical review of concepts and definitions. New York:
Vintage Books.

Shawal. (1994). Busana Melayu. Kuala Lumpur: Jabatan Muzium dan Antikuiti.

Sidi, G. (1963). Pengantar kebudayaan sebagai ilmu. Kuala Lumpur: Pustaka Antara.

Ting Chew Pen. (1983). Hubungan ras dan etnik, suatu pengantar. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka

10
11

Anda mungkin juga menyukai