Jengka
Gugusan Jengka merupakan gugusan FELDA terbesar di Malaysia yang terletak di negeri Pahang Darul Makmur. Gugusan Jengka juga dikenali sebagai Segitiga Jengka kerana kedudukannya meliputi tiga daerah iaitu Temerloh, Jerantut dan Maran. Dengan adanya tanah rancangan-tanah rancangan FELDA ini, maka muncul sebuah bandar baru yang dikuasai oleh masyarakat Melayu seratus peratus iaitu Bandar Jengka.
Gugusan Jengka terdiri daripada 25 buah rancangan FELDA yang menjadi pengeluar sawit dan getah. Terdapat 25 buah Jengka yang ditandai dengan nombor 1 hingga 25. Di samping nombor yang diberikan berdasarkan kawasan yang lebih awal dibuka, Jengka-jengka tersebut juga diberikan nama mengikut nama bunga. Pemilihan nama bunga juga adalah mengikut abjad bagi mengenalpasti kawasan yang lebih awal dibuka. Oleh itu satu-satu Jengka itu dinamakan sebagai Jengka 1 (Anggerik), Jengka 2 (Cempaka), Jengka 3 (Dahlia), Jengka 4 (Kemboja), Jengka 5 (Kekwa), Jengka 6 (Keembong), Jengka 7 (Kenanga), Jengka 8 (Kesidang), Jengka 9 (Kesumba), Jengka 10 (Mawar), Jengka 11 (Melati), Jengka 12 (Melor), Jengka 13 (Putri Malu), Jengka 14 (Bunga Raya), Jengka 15 (Semarak), Jengka 16 (Sena), Jengka 17 (Seri Pagi), Jengka 18 (Seroja), Jengka 19 (Siantan), Jengka 20 (Tanjung), Jengka 21 (Teratai), Jengka 22 (Terkis), Jengka 23 (Tonkin), Jengka 24, dan Jengka 25. Hal ini bermakna Jengka yang pertama dibuka ialah Jengka 1 manakala Jengka yang terakhir dibuka ialah Jengka 25. Dalam kawasan jengka juga terdapat tanah rancangan felda yang tidak menggunakan nama jengka, kerana ia di tubuhkan lebih dahulu dari jengka itu sendiri. Antaranya Felda Kampong Awah 1963, Felda Ulu Jempol 1965, Felda Sungai Nerek 1967, Felda Sungai Tekam, Felda Sungai Tekam Utara, Felda Kota Gelanggi 1,2 dan 3.
Setiap kawasan pertempatan Jengka mengandungi antara 300 hingga 600 buah keluarga. Sebagaimana di tanah rancangan FELDA lain, penduduk Jengka juga disebut sebagai 'peneroka' dan ditadbir oleh seorang pengurus yang dilantik oleh pihak pegurusan FELDA.
Asal Nama Jengka
[sunting | sunting sumber]Secara umumnya nama Jengka diambil daripada sebatang sungai yang mengalir di dalam kawasan Jengka iaitu Sungai Jengka. Terdapat dua pendapat yang menceritakan asal usul nama 'Jengka' iaitu:
Mitos 1 Diceritakan tinggal sepasang suami isteri Orang Asli yang tinggal di sebuah teratak behampiran dengan sebatang sungai yang mengalir deras. Si suami memang bijak memburu, lantaran seharian beliau keluar mencari rezeki. Manakala si isteri pula, sambil menunggu kepulangan suaminya, bertenun kainlah sepanjang hari. Adapun alat yang digunakan oleh isterinya dipanggil jangka . Entah bagaimana pada suatu hari jatuhlah jangka itu ke dalam air, menangislah si isteri sehingga kepulangan suaminya. Mencarilah si suami apabila pulang, namun tidak menjumpainya, dan akhirnya ia dinamakan Sungai Jengka berdasarkan peristiwa ini.
Mitos 2 Adapun pada suatu hari, seorang perempuan asli telah terkena kerasukan yang amat teruk. Dia langsung tidak boleh menjejak tanah. Lantaran Tok Batin tempat tersebut berusaha untuk mengubatinya. Maka, dalam tafsirannya pesakit tadi perlu di bawa ke sebatang sungai tidak bernama untuk dimandikan. Lantaran sebatang sungai yang mengalir deras telah dipilih di tengah rimba. Apabila mencecahnya kaki pesakit tadi ke air, ternampaklah orang ramai satu kelibat di dalam air. Maka berkatalah orang ramai “Jin kah?”. Dari sinilah Jengka mendapat nama.
Penduduk
[sunting | sunting sumber]Sebagaimana di tanah rancangan Felda lain, penduduk jengka digelar peneroka felda manakala isteri mereka digelar penerokawati. Para peneroka datang daripada seluruh Malaysia yang terdiri daripada rakyat termiskin (di bawah paras kemiskinan). Ramai kalangan peneroka Jengka berasal daripada negeri-negeri utara seperti Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis dan juga negeri pantai timur seperti Kelantan dan Terengganu. Selain itu terdapat juga peneroka yang berasal dari negeri lain seperti Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor, selain daripada penduduk asal Pahang. Justeru dapat dilihat adat dan budaya yang bercampur-campur diamalkan di Jengka memandangkan para pendatang ini mengekalkan adat, budaya dan menu masakan dari kampung asal masing-masing. Terdapat juga peneroka dari kalangan kaum Cina, kaum India dan Orang Asli namun majoriti peneroka adalah kalangan kaum Melayu. Hal ini kerana majoriti rakyat termiskin adalah kaum Melayu. Manakala kaum India pula hanya mewakili beberapa peratus sahaja dari penduduk Malaysia.
Pelancongan
[sunting | sunting sumber]Terdapat beberapa destinasi menarik berhampiran kawasan Jengka, antaranya Pusat Latihan Pertanian Tun Abdur Razak (Tekam Plantation Resort) yang menawarkan pelancongan bertemakan pertanian, kompleks gua Kota Gelanggi, dan rangkaian gua-gua di Gunung Senyum. Berhampiran dengan Felda Ulu Jempol terdapat satu kawasan pelancongan berasaskan air terjun,kawasan ini diberi nama lubuk Yu. Kedinginan airnya dan kehijauan hutannya telah menarik ratusan pengunjung pada hujung minggu. Kedudukannya hanya 15km dari Bandar Jengka.
Templat:Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan