Kerajaan-Kerajaan Melayu Kepada Negeri-Negeri Dalam Malaysia

Download as pdf or txt
Download as pdf or txt
You are on page 1of 18

K e r a j a a n - k e r a j a a n M e l a y u K e p a d a N e g e r i - N e g e r i M e l a y u | 28

UNIT 3 KERAJAAN-KERAJAAN MELAYU KEPADA NEGERINEGERI MELAYU


HASIL PEMBELAJARAN
Di akhir unit ini, anda diharap dapat: i- Memahami konsep perkembangan Kerajaan Melayu di Semenanjung Tanah Melayu. ii- Mengetahui bahawa kerajaan Melayu Melaka pernah menjadi kerajaan yang unggul suatu masa dulu. iii- Mengenalpasti faktor-faktor yang kebangkitan dan kejatuhan kerajaan Melaka. iv- Mengetahui latar belakang kerajaan-kerajaan di Malaysia.

PENGENALAN
Tahukah anda bahawa negeri-negeri di Malaysia dulu adalah kerajaan-kerajaan yang wujud secara berasingan? Kerajaan ini seperti Melaka, Johor, Pahang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu, Kedah, Kelantan, Sabah dan Sarawak. Kerajaan-kerajaan ini telah bersatu dan membentuk negara Malaysia yang ada sekarang. Aspek ini penting kerana ia mempengaruhi dalam pembentukan kerajaan-kerajaan dan negeri-negeri yang ada di Malaysia sekarang ini.

LATAR BELAKANG KERAJAAN-KERAJAAN MELAYU


Kerajaan Melayu Melaka
Melaka yang pada asalnya sebuah kampung nelayan telah dibuka oleh seorang putera raja dari Palembang yang bernama Parameswara pada tahun 1400. Berasaskan kedudukannya yang strategik di Selat Melaka. Melaka dengan cepat telah menjadi tumpuan pedagang pedagang yang melintasi selat Melaka terutamanya pedagangpedagang

INFO
Menurut Tom Pires dalam bukunya The Suma Oriental: 1. 2. 3. Terdapat lebih 4000 pedagang asing di Melaka. Tempat tinggal berasingan disediakan untuk saudagar mengikut bangsa masing-masing. Dengan demikian di Melaka kita boleh lihat namanama seperti perkampungan Cina, Keling dan Jawa

K e r a j a a n - k e r a j a a n M e l a y u K e p a d a N e g e r i - N e g e r i M e l a y u | 29 dari China dan India. Hasil daripada aktiviti perdagangan ini, ialah tersebarnya pengaruh Islam di kalangan masyarakat Melayu Melaka. Ini sekaligus mempengaruhi sistem sosio-politik dan hubungan etnik di kalangan masyarakat. Kemunculan Kerajaan Melayu Melaka dan penerimaan Islam di kalangan orang Melayu mengukuhkan lagi bahawa bangsa Melayu adalah bangsa yang terawal dan berasal dari Nusantara. Keagungan Melaka dilihat sebagai pusat perdagangan , perkembangan agama Islam, bahasa melayu menjadi lingua franca berserta tulisan jawi, keluasan tanah jajahan dan mempunyai hubungan politik antarabangsa seperti dengan negeri China. Kesan daripada penerimaan Islam sebagai agama rasmi dan bahasa Melayu menjadi bahasa lingua franca kerajaan Melayu Melaka pada ketika itu, maka tidak diragukan lagi bahawa kerajaan pada hari ini telah menjadikan Islam sebagai agama rasmi dan bahasa melayu sebagai bahasa kebangsaan yang diterima oleh semua kaum. Begitu juga dalam pemerintahan Melayu semasa pembentukan Malaysia, ia turut dipengaruhi oleh empayar Melayu Melaka yang suatu ketika dahulu amat penting di Nusantara. Selain dari itu, keadaan masyarakat pada ketika kerajaan Melayu Melaka juga terdiri daripada pelbagai kaum seperti Cina, India dan Arab, tetapi ini tidak memberi implikasi yang besar kerana masyarakat pendatang pada ketika itu adalah sedikit dan mengikuti budaya orang Melayu seperti kaum Baba dan Nyonya serta India Muslim. Dari sinilah wujudnya masyarakat majmuk dan hubungan etnik yang unik.

Gambar 3.1: Keluarga Baba dan Nyonya

Apakah yang anda fikirkan apabila melihat kepada keluarga Cina Peranakan di Melaka dalam gambar di atas?

Hubungan etnik dan hubungan di antara bangsa-bangsa di Kepulauan Melayu telah wujud sejak awal tahun masehi lagi. Pada peringkat awal, hubungan ini terhad kepada

K e r a j a a n - k e r a j a a n M e l a y u K e p a d a N e g e r i - N e g e r i M e l a y u | 30 hubungan orang Melayu dengan pedagang-pedagang dari benua kecil India sehingga pengaruh Hindu menjadi begitu kuat di Kepulauan Melayu. Bagaimanapun hubungan etnik dan hubungan dengan bangsa-bangsa yang lain menjadi semakin ketara apabila selat Melaka terdedah kepada perdagangan antarabangsa pada abad ke-13. Perkembangan perdagangan antara wilayah China, India, Semenanjung Arab dan Negara-negara Barat yang berasaskan keperluan rempahratus serta barang-barang dari Asia menyebabkan negeri-negeri di pesisir Selat Melaka satu demi satu cuba memainkan peranan sebagai pelabuhan entrepot bermula dengan PerlakPasai, Melaka, Johor-Riau-Lingga dan seterusnya Acheh. Perkembangan perdagangan menyebabkan kemasukan pelbagai etnik dari Kepulauan Melayu sendiri dan bangsa-bangsa dari negeri-negeri yang berdagang dengan negeri-negeri di pesisir Selat Melaka. Kemasukan pelbagai bangsa telah menyebabkan semua negeri yang berkenaan sebagai pelabuhan entrepot tadi menjadi kota cosmopolitan. Gambar 3.2: Duit siling zaman Kerajaan negeri-negeri tersebut telah mengambil Sultan Muzaffar Syah langkah-langkah yang positif supaya wujud suasana harmoni di antara etnik dan bangsa-bangsa yang datang berdagang ke negeri mereka. Hubungan etnik dan antara bangsa-bangsa menjadi lebih rancak apabila pedagang-pedagang beragama Islam turut menyebarkan agama Islam di negeri-negeri di pesisir Selat Melaka. Perkembangan Islam di pesisir Selat Melaka telah menyebabkan negeri-negeri tersebut menjadi tumpuan utama pedagang-pedagang Islam. Berasaskan kedudukannya yang strategik, Melaka dengan cepat telah menjadi tumpuan pedagang-pedagang yang melintasi selat melaka terutama pedagang dari China dan India. Walaupun usia kerajaan Melaka hanya lebih kurang 115 tahun tetapi dalam tempoh itu ia berjaya mengasaskan satu tamadun Melayu-Islam yang kukuh hingga ke hari ini bukan sahaja di Semenanjung Tanah Melayu, tetapi juga di seluruh Selat Melaka, termasuk negeri-negeri di Sumatera Timur yang pernah menjadi sebahagian daripada empayar Melaka seperti Aru, Rokan, Inderagiri, Kampar dan Siak. Berdasarkan kepada sejarah Melaka yang banyak nostalgianya maka Melaka kini dikenali sebagai Bandaraya Bersejarah pada 15 April 1989. Walaupun Kesultanan Melaka merupakan pengasas kepada sistem Kesultanan Melayu, namun Melaka kini tidak lagi mempunyai Sultan sebaliknya negeri Melaka diperintah oleh Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Dipertua Negeri.

K e r a j a a n - k e r a j a a n M e l a y u K e p a d a N e g e r i - N e g e r i M e l a y u | 31

Apakah hubungannya kerajaan Melaka dengan kewujudan masyarakat Cina Peranakan di Melaka?

______________________________________________________________________ ______________________________________________________________________ ______________________________________________________________________

Kerajaan Melayu Johor


Kerajaan Johor adalah hasil kesinambungan kerajaan Melayu Melaka yang telah jatuh diserang oleh Portugis pada 24 Julai 1511 diketuai oleh Alfonso de Albuquerque. Sultan Mahmud Shah bersama anakandanya Sultan Ahmad Shah termasuk pengikut-pengikutnya telah melarikan diri ke selatan. Usaha-usaha yang telah dibuat untuk cuba merampas Melaka semula menemui kebuntuan malahan mendesak pusat pentadbiran kerajaan Melayu di Johor berpindah randah akibat daripada serangan Portugis. Sultan yang bertanggung jawab mengasaskan Kesultanan Melayu Johor adalah Sultan Alauddin Riayat Shah II pada thun 1528 di Tanah Besar Johor atau Ujong Tanah sementara pusat pentadbirannya adalah di hulu Sungai Johor. Baginda juga telah membina Kota Kara sebagai pelindung keselamatan ibu negeri Johor. Oleh kerana baginda adalah warisan daripada Kerajaan Melaka, baginda telah menjadikan negeri-negeri taklukan Melaka sebagai negeri taklukan Johor. Oleh itu, secara tidak langsung negeri-negeri taklukan tersebut perlu menghantar askarnya jika Johor diserang dan dikehendaki menghantar barangan eksportnya ke Johor. Portugis menyerang kerajaan Johor kerana Johor telah mengganggu perdagangan mereka di Melaka. Ini kerana Kerajaan Johor tidak pernah berputus asa dalam menawan kembali Melaka dengan melakukan serangan demi serangan untuk memaksa Portugis menyerahkannya. Kemuncak serangan terbesar adalah pada tahun 1551 dengan bantuan Pahang, Jawa dan Perak dan telah mengepung kota Melaka selama tiga bulan tetapi gagal. Ia disebabkan pertahanan kota Melaka merupakan kota yang kebal dan sukar untuk ditembusi disamping penggunaan peralatan senjata yang moden oleh tentera Portugis. Dari segi pentadbiran kerajaan Melayu Johor tidak banyak bezanya dengan kerajaan Melayu Melaka memandangkan ia diasaskan oleh kerajaan Melayu Melaka. Bermula tahun 1721, pusat pentadbiran kerajaan Johor tidak lagi berpindah dengan kerap. Antara tahun 1722 hingga 1819 Riau menjadi pusat pentadbiran Johor. Antara tahun 1718 hingga 1721 takhta kerajaan Johor telah dirampas oleh seorang putera raja Siak bernama Raja Kecil. Beliau mendakwa dirinya sebagai waris Sultan Mahmud Johor (1685-1699) yang sah. Setelah menggulingkan Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV yang bertakhta waktu itu, Raja Kecik mengangkat dirinya sebagai Sultan Johor bergelar Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah. Dengan bantuan Opu Bugis Lima Bersaudara (Daeng Perani, Daeng Marewah, Daeng Kemasi, Daeng Chelak dan Daeng Menambun), Sultan Abdul Jalil Rahmat

K e r a j a a n - k e r a j a a n M e l a y u K e p a d a N e g e r i - N e g e r i M e l a y u | 32 Syah (Raja Kecik) berjaya ditumpaskan lalu membolehkan Raja Sulaiman putera Sultan Abdul Jalil Riayat Syah IV menjadi Sultan Johor ke-13 bergelar Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah. Struktur kuasa kerajaan Johor juga berubah berikutan kewujudan jawatan Yamtuan Muda yang dikhaskan kepada keluarga Bugis kerana mengenangkan jasa mereka.

Orang Bugis dan Raja Sulaiman

Berjaya menyingkirkan Raja Kecil

Kesan:
Raja Sulaiman menaiki takhta. Orang Bugis: Daeng Marewah sebagai Yamtuan Muda Riau. Daeng Menampok dikurniakan gelaran Raja Tua.

Rajah 3.1: Pengaruh Orang Bugis dalam pentadbiran di Johor

Selepas tahun 1722, hierarki status pentadbiran memperlihatkan terdapat tiga orang yang berkuasa dalam kerajaan negeri Johor iaitu Sultan, Yam Tuan Muda dan satu lagi jawatan yang dipegang oleh orang Bugis iaitu Raja Tua. Jemaah Pembesar Negeri (Orang Kaya) yang selama ini dipegang oleh suku Melayu seperti Bendahara, Temenggong dan Laksamana walaupun masih wujud tidak mempunyai kuasa yang luas dan kurang pengaruh terhadap pemerintahan negeri. Campurtangan British memainkan peranan yang penting dalam pembentukan negeri Johor Darul Takzim. Kepentingan Johor kepada British adalah untuk mengimbangi kedudukan kuasa Belanda di Asia Tenggara. Perlantikan Sir Stamford Raffles sebagai gebenor di Bengkulu, Sumatera mempunyai tugas yang besar iaitu untuk mencari penempatan baru untuk British. Pada 29 Januari 1819 beliau telah tiba di Singapura dan menjumpai perkampungan Melayu yang dikuasai oleh seorang Temenggung Johor. Perebutan kuasa antara raja Johor iaitu Tengku Abdul Rahman Muazzam Shah dengan abangnya, Tengku Hussein digunakan sebaiknya oleh Raffles untuk campurtangan di negeri Johor. Bantuan dihulurkan kepada Tengku Hussein untuk merebut kembali takhta kerajaan Johor. Sebagai balasannya British dibenarkan membuka pelabuhan di Singapura dan pihak British akan membayar wang tahunan kepada Tengku Hussein sebagaimana termaktub dalam perjanjian pada 6 Februari 1819. Tengku Hussein menjadi Sultan Johor dengan gelaran Sultan Hussein Shah dan telah memerintah dari tahun 1819 hingga 1835. Kemudiannya, dengan termaktub pula perjanjian Inggeris-Belanda 1824, Belanda terpaksa mengakui bahawa Singapura menjadi milik British dan ini menyebabkan Kesultanan Johor terbahagi kepada dua iaitu Johor moden dan Kesultanan Riau (dikuasai oleh Bugis) yang baru. Walaupun Tengku Hussein adalah Sultan Johor tetapi Temenggung menguasai Johor.

K e r a j a a n - k e r a j a a n M e l a y u K e p a d a N e g e r i - N e g e r i M e l a y u | 33

Sultan Mahmud III Mangkat Pada tahun 1812

Tengku Hussein Putera sulung. Tidak ditabal sebagai sultan kerana tidak hadir upacara pengebumian ayahandanya. Ditabal sebagai sultan oleh British.

Tengku Abdul Rahman Putera bongsu. Ditabal sebagai Sultan melalui sokongan Bugis. Mendapat sokongan daripada pihak Belanda.

Rajah 3.2: Punca permasalahan perwarisan takhta Johor

Pada tahun 1866, Temenggung Abu Bakar telah dilantik menjadi Sultan Johor dengan diberi gelaran Seri Maharaja Johor. Baginda telah menamakan Bandar Tanjung Puteri di selatan Johor sebagai Johor Bahru. Sultan Abu Bakar yang juga dikenali sebagai Bapa Pemodenan Johor telah memperkenalkan sebuah perlembagaan dan menubuhkan sebuah pentadbiran yang cekap dan berkesan. Di bawahnya, Johor menikmati pembangunan ekonomi yang cemerlang. Permintaan lada hitam dan gambir yang tinggi pada abad ke-19 menyebabkan pembukaan ladang-ladang baru dan kemasukan buruh Cina secara beramai-ramai. Sultan Johor sekarang ini adalah Sultan Mahmood Iskandar Al-Haj yang mula dilantik pada tahun 1981 hingga sekarang. Baginda telah dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong pada 1984 hinggalah 1989. Sultan Iskandar turut dibantu oleh menteri besarnya iaitu Abdul Ghani Othman. Dibawah kepimpinan baginda negeri Johor menjadi antara negeri termaju di Malaysia.

Johor berjaya mengekalkan kedudukannya sehingga 1914. Bagaimanakah pemimpin Johor berjaya mengekalkan situasi ini?

______________________________________________________________________ ______________________________________________________________________ ______________________________________________________________________

K e r a j a a n - k e r a j a a n M e l a y u K e p a d a N e g e r i - N e g e r i M e l a y u | 34

Kerajaan Melayu Pahang


Kerajaan Pahang juga adalah salah satu daripada Kerajaan Melayu Tua yang telah wujud semenjak zaman pra sejarah lagi. Terdapat banyak penempatan manusia zaman pra sejarah di negeri Pahang antaranya Kota Tongkat, Kota Gelanggi dekat Jerantut, Gua Kecil, Raub; Gunung Senyum; Bukit Chintamanis, Karak; Sungai Lembing, Tersang, Kuala Lipis, Sungai Selising, Sungai Tui, Nyong, Teluk Lubuk Puai, Batu Pasir Garam, Bukit Jong dan Kg. Padi di persimpangan Sungai Tembeling dan beberapa tempat lagi di sepanjang Sungai Pahang. Selepas mengalami zaman pra sejarah, Pahang mengalami pula zaman yang lebih moden. Pada zaman ini, orang Pahang menjalani kehidupan dengan melombong bijih timah, emas dan besi serta menanam padi dan sebahagian besar dari mereka telah membuat penempatan di tebing sungai Tembeling, sungai Pahang dan lain-lain. Kemudian, hasil bumi pahang yang kaya dengan bijih timah dan emas ini telah menarik pula kuasa-kuasa luar untuk memiliki negeri Pahang. Kerajaan paling awal dapat menakluki Pahang adalah kerajaan Srivijaya. Tetapi menurut Nagarakertagama (1365), Pahang adalah salah sebuah negeri di bawah naungan Majapahit kerana terpaksa menghantar ufti kepadanya setiap tahun. Namun demikian, selepas kejatuhan Empayar Srivijaya pada kira-kira tahun 1000, Pahang telah dituntut mula-mulanya oleh kuasa Siam dan kemudiannya oleh Kesultanan Melaka. Pada abad ke-16, pahang turut diserang oleh pihak-pihak Portugis, Belanda, Johor dan juga Aceh. Kemudiannya pada tahun 1896, Pahang bersama-sama dengan negeri Selangor, Perak dan Negeri Sembilan telah bergabung untuk menjadi Negeri-negeri Melayu Bersekutu yang kemudiannya membawa kepada penubuhan persekutuan Malaysia pada 1963.

Kerajaan Melayu Perak


Kerajaan Perak merupakan kerajaan Melayu Tua yang telah wujud sejak sekian lama sejak zaman pra sejarah lagi. Adalah dipercayai bahawa negeri Perak telah diduduki oleh manusia sejak zaman batu lama iaitu 400,000 hingga 8,000 tahun sebelum masihi lagi. Penemuan-penemuan ahli arkeologi telah membuktikannya seperti penemuan manusia zaman Logam yang dijumpai di Changkat Menteri di Perak, peralatan batu jenis hoabinh pada zaman Paleolitik ditemui di bukit Jawa, Lenggong, Perak dan kubur-kubur batu kepingan yang ditemui di Changkat Menteri dan Batu Ubin di Perak. Malah, terdapat juga penemuan suatu rangka fosil di perak yang digelar sebagai Perak Man.

INFO Sultan Muhammad Syah bakal ditabal menjadi Sultan Melaka tetapi baginda membunuh anak Bendahara Tun Perak kerana bola raga yang disepak terkena baginda. Sebagai hukuman baginda dirajakan di Pahang.

Di dalam buku Sejarah Melayu, ada disebut bahawa Kerajaan perak pada zaman dahulu dikenali sebagai Gangga Negara yang terletak di Dinding. Gangga Negara dikatakan telah wujud pada abad ke-5 dan ke-6 lagi berdasarkan kepada penemuan-penemuan patung

K e r a j a a n - k e r a j a a n M e l a y u K e p a d a N e g e r i - N e g e r i M e l a y u | 35 agama Buddha dan Hindu yang ditemui di situ. Kerajaan Gangga Negara ini telah ditakluki oleh Raja Rajendra I dari Koromandel pada tahun 1025. Semasa zaman Kesultanan Melayu Melaka telah wujud pula kerajaan-kerajaan Manjung dan Beruas di tempat yang sama. Setelah ditakluki oleh kerajaan Melaka, kawasan-kawasan tersebut serta kawasan di Sungai Perak dikehendaki menghantar ufti kepada Melaka di dalam bentuk kaleng emas. Manjung dikehendaki membayar sebanyak 8,000 kaleng emas, manakal Beruas dikehendaki membayar sebanyak 6,000 kaleng emas dan sungai Perak pula dikehendaki membayar sebanyak 4,000 kaleng emas. Selepas kemangkatan Sultan Mahmud Shah I (sultan Melaka yang pertama) di Kampar pada tahun 1528, salah seorang puteranya telah memerintah negeri di Johor dengan gelaran Sultan Alauddin Riayat Shah II, manakala seorang lagi putera baginda, Raja Muzaffar Shah telah dijemput ke Perak. Ini adalah kerana sebelum itu, Tun Saban yang memerintah kawasan Hulu Sungai Perak bersama-sama dengan Nakhoda Kassim telah pergi mengadap Sultan Mahmud Shah di negeri Kampar untuk memohon agar seorang putera baginda menjadi Sultan Perak. Permohonan itu telah diperkenankan oleh Sultan Mahmud Shah dan baginda telah menitahkan putera baginda, Raja Muzaffar supaya berangkat ke Perak dengan dikurniakan segala alat kebesaran warisan kerajaan Negeri Melaka iaitu sebilah pedang yang dikenali sebagai Cura Si Manjakini (Pedang yang kononnya pernah digunakan oleh Iskandar Zulkarnain), sebilah Keris, sebuah Cap (Cap Kayu Kempa) yang berlorek perkataan Sultan Mahmud Shah Dzil Allah Fil-Alam, serta Nobat dan Surat Chiri. Maka dengan itu, pada tahun 1528 Raja Muzaffar telah menjadi sultan Perak yang mengasaskan Kesultanan Perak dengan diberi gelaran Sultan Muzaffar Shah (1528-1549) Sistem pewarisan takhta di negeri Perak tidak mengikut hak putera sulung tetapi penggantian ini berdasarkan kepada konsep Waris Negeri. Konsep Waris Negeri adalah merujuk kepada putera sultan yang mangkat, saudara baginda dan semua anak raja yang mempunyai hubungan yang rapat dengan baginda. Negeri Perak mengamalkan sistem giliran semasa pemilihan sultan yang baru iaitu dinamakan sistem giliran hierarki. Mengikut sistem ini, seseorang yang bakal menjadi sultan Perak hendaklah terlebih dahulu menyandang jawatan Raja di Hilir, Raja Bendahara, Raja Muda dan akhirnya barulah akan dilantik menjadi sultan.

Raja Dihilir

Raja Bendahara

Raja Muda

Sultan Perak

Rajah 3.3: Proses Pemilihan dan Pelantikan Sultan di Perak


Oleh kerana pengasas kerajaan Perak adalah dari keturunan Kesultanan Melayu Melaka maka konsep ataupun corak pemerintahan kerajaan Perak masih bersifatkan ciri-ciri kerajaan Melaka yang mengamalkan sistem demokrasi. Namun, terdapat sedikit perubahan yang disesuaikan dengan keadaan negeri dan masyarakat Perak pada masa itu. Sistem Pembesar Empat Lipatan juga masih mewarisi Kesultanan Melaka tetapi gelaran Pembesar

K e r a j a a n - k e r a j a a n M e l a y u K e p a d a N e g e r i - N e g e r i M e l a y u | 36 Berempat, Pembesar Berlapan, Pembesar Enambelas dan Pembesar Tiga Puluh Dua ini telah diubah mengikut kesesuian zaman dan masyarakat. Negeri Perak kini diperintah oleh Sultan Perak yang ke-34 iaitu Sultan Azlan Muhibbuddin Shah dan jawatan Menteri Besar Perak pula sekarang ini disandang oleh Mohd Tajol Rosli Mohd Ghazali.

Kerajaan Melayu Selangor


Adalah dipercayai bahawa orang Bugis telah mula membuat penempatan di Selangor terutamanya di Kelang (dikenali sebagai Klang pada masa sekarang) dan Kuala Selangor sejak kurun ke-17 lagi. Namun, pada masa itu kedua-dua kawasan tersebut masih berada di bawah jajahan negeri Johor. Menurut sejarah, pada tahun 1682 terdapat seorang putera daripada Kedah yang ingin mendapatkan bantuan daripada orang Bugis yang ingin mendapatkan bantuan daripada orang Bugis yang pada ketika itu sedang menetap di Kelang untuk menyerang kekandanya. Ini membuktikan bahawa pada tahun itu sudah terdapat orang Bugis yang menetap di Kelang. Pada kurun ke-17, Kelang telah diletakkan di bawah kuasa Orang Besar Kelang iaitu Tok Engku Kelang yang merupakan seorang saudara kepada Sultan Abdul Jalil dari Johor. Pada tahun 1700 semasa kerajaan Johor menjadi semakin lemah, Tok Engku Kelang telah mengurniakan cop mohor kuasa kepada Yamtuan Selangor supaya dapat mentadbir kawasan sungai Selangor. Dalam tahun 1717 telah berlaku satu peperangan antara orang Bugis dan Raja Kecil dari Minangkabau disebabkan oleh Raja Kecil yang memungkiri janjinya kepada orang Bugis semasa menakluk kerajaan Johor. Orang Bugis dikatakan telah dapat menghalau Raja Kecil daripada Riau dengan bantuan Selangor yang telah memberikannya bantuan 30 buah kapal pada tahaun1721. Kemudian, pada tahun 1722 Orang Bugis telah melantik Sultan Sulaiman sebagai Sultan Johor-Riau dengan perjanjian bahawa baginda akan mencipta satu jawatan Yamtuan Muda (Yam diPertuan Muda) dan akan melantik salah seorang daripada orang Bugis untuk menyandang jawatan tersebut. Maka, dengan itu Daeng Merewah telah dilantik sebagai Yamtuan Muda I bagi Johor-Riau-Lingga dan dengan itu kuasa orang Bugis telah beralih daripada Selangor ke Riau. Dalam tahun 1730 terdapat orang Bugis yang bernama Daeng Mateko yang telah berkahwin dengan balu Daeng Parani yang bernama Engku Tengah. Kemudian akibat telah berkelahi dengan orang Bugis di Selangor, beliau telah melarikan diri ke Siak dan cuba menjalinkan persahabatan dengan raja kerajaan Siak. Kemudian, pada tahun berikutnya beliau dengan Raja Kecil daripada Siak telah cuba mendapatkan kembali isterinya tetapi ditolak walaupun telah meminta maaf. Tidak lama kemudian iaitu dalam tahun 1740, Daeng Celak iaitu Yamtuan Muda II bersama-sama dengan Sultan Sulaiman telah datang ke Selangor dan mengalahkan angkatan Siak yang dipimpin oleh Daeng Mateko dan Putera Raja Kecil. Sejak daripada peristiwa itu, Daeng Celak sentiasa berulang alik dari Riau ke Kuala Selangor. Daeng Celak telah mangkat

K e r a j a a n - k e r a j a a n M e l a y u K e p a d a N e g e r i - N e g e r i M e l a y u | 37 pada 19 Mei 1945 dengan meninggalkan dua orang anak lelaki yang diberi nama Sultan Salahuddin Shah atau dikenali dengan Raja Lumu yang menjadi Sultan Selangor yang pertama dan Raja Haji yang syahid menentang Belanda di Teluk Ketapang di Melaka. Sekarang Selangor diperintah oleh sultan Sharafuddin Idris Shah ibni Al-Marhum Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah iaitu sultan yang ke lapan dalam salasilah pemerintahan negeri Selangor. Sejak abad ke-15 lagi negeri Johor pernah berada di bawah jajahan takluk Kesultanan Melaka, Portugis, Johor, Acheh dan Siam. Seterusnya, keadaan huru-hara dan kucar-kacir yang melanda Selangor memberikan peluang kepada British untuk bertapak di Selangor. Kemudiannya Selangor telah digabungkan bersama-sama dengan Negeri Sembilan, Perak dan Pahang untuk membentuk Negeri-negeri Melayu Bersekutu dengan Kuala Lumpur sebagai ibu negeri Selangor. Negeri-negeri Melayu Bersekutu ini kemudiannya dibentuk menjadi Persekutuan Malaya pada tahun 1948 dan seterusnya Persekutuan Malaysia pada tahun 1963. pada tahun 1974 pula, Selangor telah melepaskan Kuala Lumpur kepada kerajaan persekutuan untuk dijadikan sebagai ibu negara Malaysia. Selangor sekarang ini telah menjadi sebuah negeri yang termaju di Malaysia

Kerajaan Melayu Negeri Sembilan


Negeri Sembilan yang terletak di pantai barat Semenanjung Malaysia adalah merupakan gabungan beberapa buah wilayah kecil di dalam satu negeri. Negeri Sembilan terdiri daripada 9 daerah atau luak iaitu: i. ii. iii. iv. v. vi. vii. viii. ix. Sungai Ujong Jelebu Johol Inas Rembau Jempol Ulu Muar Terachi Gunung Pasir

Suasana yang tidak aman semasa kejatuhan Melaka d tangan Portugis, kekuatan pengaruh Bugis di Johor serta bermulanya kesultanan Bugis di Selangor menyebabkan keadaan Negeri Sembilan tidak aman. Keadaan ini menyebabkan penghulu-penghulu Negeri Sembilan Memohon seorang putera Raja untuk mentadbir. Justeru, Raja Melewar dari Pagar Ruyong telah dijempun untuk memerintah Negeri Sembilan. Dengan demikian, beliau telah ditabalkan pada tahun 1773. Amalan melantik pembesar dari Pagar Ruyong ini tamat selepas Raja Lenggeng menjadi Yamtuan Besar. Kehadiran orang-orang Minangkabau pada abad ke-14 memberikan impak yang besar kepada struktur masyarakat di Negeri Sembilan. Kelahiran suku Biduanda dikaitkan dengan perkahwinan campur antara orang Minangkabau dengan suku Orang Asli Negeri Sembilan. Suku Biduanda dikaitkan dengan golongan pemimpin yang memimpin Negeri Sembilan dan

K e r a j a a n - k e r a j a a n M e l a y u K e p a d a N e g e r i - N e g e r i M e l a y u | 38 pembesar-pembesar Negeri Sembilan yang dipanggil Penghulu dan kemudiannya Udang. Negeri Sembilan merupakan satu-satunya negeri yang mengamalkan adat perpatih.

Kerajaan Melayu Terengganu Kesultanan negeri Terengganu diasaskan oleh Tun Zainal Abidin I iaitu putera kepada Tun Habib Abdul Majid (pernah menjadi Bendahara Johor) dan adinda kepada Sultan Abdul Jalil yang pernah menjadi Sultan Johor. Baginda telah ditabalkan menjadi Sultan Terengganu yang pertama pada tahun 1708 dengan memakai gelaran Sultan Zainal Abidin I (1708-1733). Sultan Zainal Abidin juga dikenali dengan nama Bendahara Padang Saujana dan juga digelar Paduka Maharaja oleh kekandanya iaitu Sultan Abdul Jalil. Terdapat dua sumber yang menjelaskan mengenai pertabalan baginda. Sumber yang pertama datangnya daripada buku Tuhfat al-Nafis iaitu karangan Raja Ali Haji (seorang sejarawan Bugis) yang menyebut bahawa Tun Zainal Abidin telah ditabalkan sebagai Sultan Terengganu oleh Daeng Menampuk atau Raja Tua di bawah pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah iaitu putera Sultan Abdul Jalil. Sumber yang ke dua pula menyatakan bahawa Tun Zainal Abidin telah ditabalkan oleh Phra Chau Yang (sesetengah buku menyebut Nan Cayang) iaitu Raja Pattani. Menurut hikayat Johor dan Pahang, Tun Zainal Abidin telah datang ke ke Pattani setelah Paduka Raja Laksamana Wan Abdul Rahman dibunuh di Terengganu pada sekitar tahun 1688. semasa berada di situ Raja Pattani telah menjadikan Tun Zainal Abidin sebagai anak angkat beliau. Kemudian, Tun Zainal Abidin telah berkahwin dengan sepupu Phra Chau Yang dan mempunyai empat orang ank iaitu Ku Tana Wangsa, Ku Tana Ali, Ku Tana Ismail dan Ku Tana Mansur atau Tun Dalam. Tun Zainal Abidin dikatakan telah mengasaskan kerajaan Terengganu pada tahun 1708 berdasarkan kepada penemuan duit kupang emas Terengganu yang mencatatkan nama Sultan Zainal Abidin dan tahun 1120 hijrah yang bersamaan dengan tahun 1708. pada awalnya, pusat pentadbiran baginda adalah di Tanjung Baru, Kuala Berang. Kemudian, baginda berpindah ke Kota Bahang, Langgar, Pulau Manis, Chabang Tiga (di Kuala Terengganu) dan akhirnya baginda bersemayam di Bukit Keledang (kini dipanggil Kota Lama). Oleh kerana perlantikkan Tun Zainal Abidin ada perkaitannya dengan kerajaan Johor maka sistem pentadbirannya ada perkaitan dengan sistem pentadbiran kerajaan Johor misalnya terdapat para pembesar yang merupakan mufti dan kadi yang memainkan peranan dalam memberikan nasihat berkaitan dengan agama Islam. Di bawah sistem pemerintahan Malaysia Negeri Terengganu kini diperintah di bawah Sultan Mizan Zainal Abidin iaitu putera kepada Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah yang menaiki takhta pada 1998.

K e r a j a a n - k e r a j a a n M e l a y u K e p a d a N e g e r i - N e g e r i M e l a y u | 39

Kerajaan Melayu Kedah


Kerajaan Kedah awal dikenali dengan nama Kerajaan Kedah Tua dan wujud lebih awal daripada kerajaan Melaka lagi iaitu sekitar abad ke-5 dan berakhir pada abad ke-13. Kedudukannya yang strategik iaitu di utara semenanjung menjadikannya sebagai laluan utama sama ada dari utara atau dari selatan. Penemuan-penemuan arkeologi di gua-gua batu kapur di daerah Kubang Pasu, Kota Star dan Baling serta di Guar Kepah membuktikan kawasankawasan tersebut didiami oleh manusia di zaman batu baru. Semasa awal kebangkitannya iaitu di sekitar abad ke-5 hingga ke-11 Kerajaan Kedah Tua ini telah berkembang sebagai sebuah pusat perdagangan maritim yang terkenal. Perdagangan maritim adalah bermaksud pusat pengumpulan dan pengedaran bahan mentah seperti hasil-hasil hutan, rempah ratus dan ubat-ubatan. Kerajaan maritim berperanan sebagai orang tengah dalam urusan perdagangan dengan penduduk-penduduk di kawasan pedalaman. Pelabuhan ini menjadi pusat perdagangan yang utama kerana mempunyai pelbagai barangbarang tempatan untuk diperdagangkan seperti tembikar, lada hitam, beras, sutera, kaca, bijih timah, rotan, damar dan manik yang mendapat permintaan tinggi daripada pedagang luar. Selain itu, Kerajaan Kedah Tua juga berperanan sebagai tempat pertukaran barang, tempat persinggahan dan membaiki kapal. Kerajaan Kedah Tua juga turut dikenali sebagai pusat kegiatan agama Buddha dan Hindu yang termashur dengan penemuan artifal-artifak di Lembah Bujang seperti arca, kuil dan candi. Kerajaan Kedah telah memulakan sistem pemerintahan berajanya sejak 1200 tahun dahulu lagi dengan kemunculan pengaruh Hindu-Buddha. Kemudiannya, digantikan dengan Islam pada tahun 1136 masihi. Keturunan Kesultanan ini tidak terputus sehingga ke hari ini dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Haji Abdul Halim Muadzam Shah adalah sultan yang ke-27 yang memerintah Kedah.

Kerajaan Melayu Perlis


Pada masa dahulu Perlis ini adalah sebahagian daripada negeri Kedah. Pembentukan negeri Perlis dikatakan telah bermula selepas kemangkatan Sultan Abdullah Mukarram Shah II iaitu Sultan ke-20 yang memerintah negeri Kedah pada ketika itu. Baginda telah meninggalkan seorang putera yang bernama Tunku Ahmad Tajudin yang masih kecil. Disebabkan hal itu, adinda Sultan Abdullah iaitu Tunku Ziauddin telah dilantik menjadi pemangku negeri Kedah dengan gelaran Sultan Ziauddin Mukarram Shah. Semasa pemerintahannya, baginda telah mengahwinkan seorang puterinya yang bernama Tunku Safiah dengan Syed Harun Jamalullail. Baginda juga turut mengurniakan Syed Harun dengan satu kawasan yang bernama Arau dan di situlah Syed Harun membina kampung halamannya. Apabila Tunku Ahmad Tajuddin Halim Shah telah menaiki takhta kerajaan Kedah, pihak Siam telah bertindak menyerang negeri tersebut pada tahun 1821. Akibatnya, Sultan Ahmad Tajuddin terpaksa berundur ke Pulau Pinang dan akhirnya ke Melaka. Semasa pendudkan Siam di negeri Kedah, kerajaan Siam menghadapi kesukaran memerintah disebabkan oleh

K e r a j a a n - k e r a j a a n M e l a y u K e p a d a N e g e r i - N e g e r i M e l a y u | 40 sikap rakyat di negeri ini yang masih kukuh berpegang teguh dan setia kepada Kesultanan Kedah. Malah, rakyat Kedah juga tidak suka dengan cara pemerintahan Siam yang kejam. Akhirnya, Siam terpaksa berkompromi dengan keadaan itu dan telah membahagikan negeri Kedah dan jajahannya kepada empat kawasan iaitu Kedah, Kubang Pasu, Setul dan Perlis dan keempat-empat kawasan itu diletakkan di bawah pentadbiran gabenor masingmasing. Siam akhirnya terpaksa mengundur disebabkan oleh serangan dan tindakbalas penduduk tempatan secara besar-besaran, dan juga bantuan yang dihulurkan oleh Tunku Anum Paduka Raja Jambangan, Tunku Bisnu mentadbir Setul dan Syed Husein pula telah mentadbir kawasan Perlis sebagai timbalan Gabenor. Gabenor yang dilantik di negeri Perlis adalah Raja Long Krok (Paduka Seri Maharaja Lela). Detik ini merupakan detik bersejarah bagi Negeri Perlis yang telah mendapat pengiktirafan dari status jajahan kepada status sebuah negeri.

Kerajaan Melayu Kelantan


Kerajaan Kelantan awal merupakan sebuah kerajaan yang kuat dan besar serta mempunyai hubungan perdagangan dengan negara di Champa, Parsi, Arab dan India. Kerajaan Kelantan menerima pengaruh Hindu-Buddha yang kuat terutama semasa penjajahan kerajaan Srivijaya. Dikatakan Kelantan pernah menjadi pusat pentadbiran kerajaan Srivijaya sebelum berpindah ke Sumatera Utara. Kemudian, pada abad ke-13 dan 14 kerajaan Kelantan telah menjadi negeri naungan bagi empayar Majapahit dan seterunya menjadi jajahan takluk Melaka pada tahun 1499. Penjajahan Melaka ke atas Kelantan membawa kepada perkembangan Islam di Kelantan. Dipercayai bahawa pada tahun 1411 masihi negeri Kelantan pernah ditadbir oleh seorang Raja Islam yang bernama Raja Kumar. Raja Kumar telah menjalinkan hubungan yang baik dengan Maharaja China. Selepas pemerintahan Raja Kumar, Kelantan diperintah pula oleh Sultan Iskandar dan diikuti oleh putera baginda Sultan Mansur. Di bawah pemerintahan baginda, negeri Kelantan menjadi semakin masyhur dan mendapat nama di merata-rata tempat. Oleh itu, pada 1477 masihi Sultan Mahmud Shah yang sedang memerintah kerajaan Melaka ketika itu telah menyerang dan menakluk negeri Kelantan. Kemudiannya, salah seorang puteri Sultan Mansur yang bernama Onang Kening telah dikahwini oleh baginda. Sementara itu, Raja Gombak iaitu Putera Sultan Mansur telah menaiki takhta kerajaan Kelantan setelah kemangkatan baginda pada tahun 1521 dan menerima gelaran Sultan Gombak. Pemerintrahan ini kemudiannya disusuli oleh Raja Ahmad (1527-1547) dengan gelaran Sultan Mansur. Pada ketika itu, Kelantan telah ditakluk oleh Pattani yang telah mengenakan ufti dan cukai yang tinggi ke atas negeri itu. Raja Pattani juga turut mencampuri urusan pentadbiran kerajaan Kelantan dengan melantik seorang gabenor yang digelar sebagai Datu untuk memerintah bersama-sama dengan Raja Kelantan. Semasa zaman pemerintahan Sultan Mansur baginda telah memberontak kerana ingin membebaskan negerinyadaripada cengkaman Raja Pattani. Setelah bebas daripada Pattani dalam kira-kira tahun 1554, baginda telah mula mengunakan elaran Sultan dan setelah baginda mangkat pada taun 1561, Sultan

K e r a j a a n - k e r a j a a n M e l a y u K e p a d a N e g e r i - N e g e r i M e l a y u | 41 Ibrahim (1561-1597) pula menaiki takhta dan kemudiannya disusuli oleh Sultan Muhammad (1597-1602). Dinasti keturunan baginda telah berakhir di sini disebabkan baginda tidak mempunyai waris untuk menggantiknnya. Seterusnya, pemerintahan kerajaan Kelantan digantikan pula oleh Raja Loyor iaitu putera kepada Datu Nik Jamaluddin dan memerintah Kelantan dari tahun 1602 hingga 1605 dengan gelaran Sultan Adiluddin. Setelah baginda mangkat, takhta pemerintahan digantikan pula oleh puteranya yang bernama Sultan Samiruddin (1605-1616) dan seterusnya digantikan pula oleh Sultan Abdul Kadir (1616-1632). Di bawah pemerintahan baginda inilah, negeri Kelantan terpaksa digabungkan di bawah persekutuan Pattani disebabkan desakan dari Raja Pattani. Setelah kemangkatan baginda, takhta pemerintahan digantikan oleh puteranya iaitu Raja Sakti I. Namun, struktur pemerintahan telah dirampas oleh pamannya iaitu Raja Abdullah. Raja Abdullah telah berjaya membebaskan Kelantan dari Pattani dan memerintah Kelantan dari kota Jelasin dengan gelaran Sultan Abdullah sementara Raja Sakti I pula memerintah Kelantan di Pangkalan Datu. Kerana masih mendapat sokongan, kerajaan Kelantan pada masa itu diperintah oleh dua orang Raja. Kerajaan Kelantan kini dikenali dengan panggilan negeri Kelantan Darul Naim dan pernah menjadi jajahan takluk Pattani. Kehadiran British sebagai penjajah telah menyebabkan wilayah-wilayah Pattani dipecahkan kepada Yala, Narathiwat, Patani dan Songkhla. Di bawah perjanjian British-Siam pada tahun 1948, demografi pemerintahan selatan Siam telah dipisahkan dan negeri Kelantan telah diletakkan di bawah kerajaan Malaysia dan negeri-negeri Pattani pula di bawah Tahailand. Seterusnya, Kelantan telah digabungkan ke dalam Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948 dan mendapat kemerdekaan sama dengan negeri-negeri lain pada 31 Ogos 1957. Kemudiannya, pada 16 september 1963 secara rasminya Kelantan menjadi salah satu negeri di Malaysia.

Kerajaan Sabah
Sejarah awal negeri Sabah adalah dikaitkan dengan Kesultanan Brunei dan Kesultanan Sulu. Kawasan persisir Sabah sejak abad ke-17 lagi dikuasai oleh Kesultanan Brunei. Tetapi pada 1704, Sultan Brunei iaitu Sultan Muhyiddin telah menyerahkan kawasan di timur laut Sabah kepada Sultan Sulu sebagai suatu pemberian hadiah kepada Sultan Sulu kerana telah memberikan bantuan apabila Brunei menghadapi masalah perebutan kuasa pada tahun 1662 hingga 1674. Namun, negeri Sabah sentiasa berada dalam keadaan yang aman kerana tidak pernah berlaku peperangan antara dua kuasa besar tersebut kerana mereka mengutamakan keamanan. Namun begitu,
INFO

Kawasan pantai barat Sabah berada bawah pengaruh Brunei. Kawasan pantai timur dan utara Sabah berada di bawah pengaruh Kesultanan Sulu. Pada tahun 1704, sultan Brunei telah menyerahkan pantai timur dan utara Sabah kepada Sultan Sulu kerana membantu baginda membantah pemberontakan di Sabah.

K e r a j a a n - k e r a j a a n M e l a y u K e p a d a N e g e r i - N e g e r i M e l a y u | 42 selepas tahun 1674 negeri Sabah telah berpecah kepada tiga bahagian iaitu: iKawasan pantai antara Pandasan hingga Kimanis berada di bawah kekuasaan Kesultanan Brunei. ii- Kawasan pantai antara Teluk Merudu hingga Sungai Sibuku berada di bawah Kesultanan Sulu. iii- Kawasan pantai antara Pandasan hingga Teluk Marudu yang berada di bawah kekuasaan para pembesar bebas yang digelar sebagai Syarif serta kawasan pedalaman yang dikuasai sendiri oleh kaum pribumi Sabah. Keamanan yang dikecapi oleh penduduk Sabah di bawah tiga kuasa berikut tidak dapat bertahan lama setelah kedatangan Inggeris di Sabah. Namun sebelum kedatangan Inggeris Sabah terkenal dengan pusat perdagangan dari pedagang China. Ini adalah kerana lokasinya yang sesuai dan sumber ekonominya yang mewah seperti mutiara, arang batu dan emas telah menjadi tarikan kepada kuasa asing khasnya Inggeris untuk datang dan menakluk Sabah. Selepas negeri Sabah diperintah oleh syarikat Borneo Utara British (SBUB), maka ia telah menggalakkan penduduk tempatan untuk memungut hasil hutan seperti rotan, sagu dan sarang burung. SBUB sememangnya bijak mengambil peluang dan mengeksploitasi kekayaan hasil bumi Sabah dan penduduknya. Walaupun SBUB mendapat banyak keuntungan kerana hasil keluaran tradisional Sabah meningkat, namun keuntungan sedemikian tidak dapat dikecapi oleh penduduk tempatan Sabah. Pada masa itu, mereka banyak dikenakan pelbagai jenis cukai seperti cukai kepala, cukai tanah dan lesen senjata. Selain itu, perdagangan di Sabah dilakukan melalui berjual beli di Pasar Tamu. Pasar Tamu adalah tempat berdagang bagi pelbagai penduduk etnik tempatan yang dilakukan secara bertukar barang. Mengikut sejarah, negeri Sabah mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1963 selepas diberikan kemerdekaan oleh British selepas bergabung dengan Malaysia. Dari segi pemerintahan negeri Sabah ditadbir oleh Dewan Undangan Negeri dan Jemaah Menteri/Kabinet Negeri. Dewan Undangan Negeri adalah merupakan kuasa tertinggi dalam menetapkan polisi dalam negeri Sabah. Sabah diketuai oleh Yang Di Pertua Negeri Sabah yang dilantik oleh Yang Dipertua Agong. Jawatan Yang Di Pertua Negeri Sabah kini adalah disandang oleh Tun Ahmadshsh Abdullah.

Kerajaan Sarawak
Sejarah awal Sarawak dikaitkan juga dengan penaklukan oleh kerajaan Srivijaya pada kurun ke-10 hingga kurun ke-13. Keadaan ini memberikan peluang kepada Orang Melayu untuk membuka penempatan mereka di sana. Kemudian, pada kurun ke-13 negeri Sarawak dikuasai pula oleh kerajaan Majapahit yang semakin berkembang empayarnya setelah kejatuhan kerajaan Srivijaya. Selepas era penguasaan empayar Majapahit negeri Sarawak dikuasai pula oleh Kesultanan Brunei. di bawah Kesultanan Brunei. Negeri Sarawak ditadbir oleh seorang ketua

K e r a j a a n - k e r a j a a n M e l a y u K e p a d a N e g e r i - N e g e r i M e l a y u | 43 tempatan yang dilantik oleh Sultan Brunei untuk memerintah sesuatu kawasan. Ketua tempatan yang dilantik adalah dalam kalangan orang Melayu dan orang Dayak dengan menggunakan beberapa gelaran seperti Orang Kaya, Temenggung dan Menteri Darat yang berperanan melaksanakan perintah Sultan Brunei dan memungut cukai di kawasan pentadbirannya. Namun begitu, pada tahun 1930 an Sultan Brunei telah melantik seorang wakil Brunei di Sarawak yang bernama Pangeran Indera Mahkota yang dipertanggung jawabkan untuk memerintah daerah Kuching walaupun pada ketika itu bandar Kuching telahpun mempunyai pentadbir tempatan iaitu Datu Patinggi Ali. Sepanjang pemerintahan Datu Patinggi Mahkota negeri Sarawak telah mengalami huru hara yang berpanjangan akibat pemberontakan yang sering berlaku berpunca daripada kezaliman Pangeran Indera Mahkota. Pangeran Indera Mahkota telah merampas kuasa pembesar tempatan, memerintah dengan zalim dan telah mengenakan cukai yang tinggi serta tidak membayar upah kepada orang Bidayuh yang melombong di kawasannya. Kesannya, pemberontakan yang dipimpin oleh para pembesar dan penduduk tempatan telah berlaku dipimpin oleh Datu Patinggi Ali. Sultan Brunei telah menghantar Pangeran Muda Hashim ke Sarawak untuk menyelesaikan masalah ini tetapi gagal mententeramkan keadaan. Peluang ini digunakan sebaik yang mungkin oleh penjajah asing iaitu James Brooke yang sedang mencari kawasan untuk dijadikan pusat perdagangan di rantau ini. Kedatangan Brooke pada 15 Ogos 1839 di Sarawak dan mendapati Sarawak adalah kawasan yang kaya dengan hasil bumi adalah pilihan yang tepat dan berhasrat untuk memilikinya. Kedatangan Brooke disambut baik oleh Pangeran Muda Hashim kerana memerlukan bantuannya bagi menamatkan pemberontakan dan huru hara yang berlaku diSarawak. Sebagai balasannya, Pangeran Muda Hashim berjanji untuk melantik Brooke sebagai Raja Sarawak sekiranya beliau berjaya. Ini merupakan peluang keemasan yang ditunggu-tunggu oleh James Brooke. Kekuatan ketenteraan yang dimiliki oleh James Brooke telah berjaya menamatkan huru hara dan pemberontakan tersebut. Pangeran Muda Hashim terpaksa mengotakan janjinya dan melantik James Brooke sebagai Gabenor Sarawak dengan gelaran Raja Sarawak pada 2 September 1841 dan seterusnya sebagai Raja pada 18 Ogos 1842. Dinasti Brooke telah memerintah Sarawak selama 100 tahun dan di bawah pemerintahan James Brooke dan diikuti oleh Charles Brooke dan akhirnya Charles Vyner Brooke wilayah Brooke telah diperluaskan dengan pantas. Pemerintahan dinasti Brooke telah mencapai kemasyhuran sebagai Raja Putih atau White Rajahs dan diberikan taraf yang serupa dengan raja-raja India dalam Empayar British.

Tahun 1841-1868 1868-1917 1917-1941

Pemerintah James brooke Charles Brooke Charles Vyner

Rajah 3.4: Pemerintahan Raja Putih di Sarawak

K e r a j a a n - k e r a j a a n M e l a y u K e p a d a N e g e r i - N e g e r i M e l a y u | 44 Negeri Sarawak kini telah menjadi sebahagian dari Malaysia dan telah dimerdekakan oleh British sekali dengan Sabah setelah menyertai gagasan Malaysia. Negeri Sarawak kini ditadbir oleh seorang Yang Di Pertua Negeri iaitu Tun Datuk Patinggi Abang Haji Muhammad Salahuddin manakal jawatan Ketua Menterinya adalah disandang oleh Y.A.B. Datuk Patinggi Tan Sri Haji Abdul Taib bin Mahmud. Kerajaan negeri Sarawak ditadbir oleh Dewan Undangan Negeri dan juga Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) di mana Dewan Undangan Negeri mempunyai kuasa yang tertinggi dalam menetapkan polisi di dalam negeri. Ia diketuai oleh Yang Di Pertua Negeri yang dilantik oleh Yang Di Pertuan Agong Malaysia.

RUMUSAN
Pembentukan Malaysia merupakan satu proses yang panjang yang terangkum sejarah yang menarik untuk ditelusuri. Setiap negeri mempunyai sejarah dan latar belakang yang perlu diketahui oleh pelajar atau warganegara Malaysia. Secara jelas penyatuan kerajaan-kerajaan Melayu inilah yang telah menyumbangkan kepada pembentukan pembinaan negara bangsa Malaysia. Kesanggupan kerajaan-kerajaan Melayu yang ada di Semenanjung Tanah Melayu telah membuka jalan penting kepada pembentukan Tanah Melayu yang seterusnya membuka lembaran yang lebih besar lagi dengan melancarkan gagasan pembentukan Malaysia yang pada asasnya melibatkan Semenanjung Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak pada 1963. Namun begitu, Singapura telah dikeluarkan dari Malaysia kemudiannya pada 1965 disebabkan untuk mempertahankan kemerdekaan negara ini yang telah terbentuk. Justeru, pembentukan Malaysia yang ada sekarang adalah legasi daripada kerajaan Melayu yang ada bermula dari kerajaan Melayu Melaka dan lain-lain kerajaan Melayu bersama kerajaan-kerajaan di Sabah dan Sarawak.

KATA KUNCI
1. Kepulauan Melayu 2. Campur tangan 3. Lingua franca 4. Pentadbiran 5. Cop mohor 6. Sistem pembesar 7. Pelabuhan entreport 8. Kesultanan

LATIHAN
1. Kupaskan secara terperinci pemerintahan yang diamalkan oleh kerajaan Melayu Melaka dalam abad ke-15. 2. Sistem pemerintahan yang macam manakah diamalkan oleh negeri-negeri Melayu.

K e r a j a a n - k e r a j a a n M e l a y u K e p a d a N e g e r i - N e g e r i M e l a y u | 45

3. Buatkan perbandingan antara pemerintahan kerajaan Melayu Melaka dengan sistem pemerintahan sekarang. 4. Bincangkan sistem pemerintahan yang dijalankan di Negeri-negeri Melayu. 5. Melaka pernah dianggap sebagai The Venice of The East. Apakah yang dimaksudkan dengan kenyataan tersebut? Jelaskan.

RUJUKAN
Abu Hassan Sham. (1977). Beberapa Aspek Dari Sejarah Melayu. Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distribution. Asnarulkhadi Abu Samah dan Jayum A. Jawan. (1997). Kenegaraan Malaysia. Serdang: Universiti Putra Malaysia. Barbara Watson Andaya dan Leonard Y.Andy (1983). Sejarah Malaysia. Selangor: Macmillan Publishing (M) Sdn.Bhd. Cheah Boon Cheng (1998). Sejarah Melayu : The Malay Annals. Malaysia: The Malaysian Branch of The Royal Asiatic Society. Lotfi Ismail. (1975). Sejarah Malaysia 1400-1963. Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributors. Muhammad Yusoff Hashim. (1990). Kesultanan Melayu Melaka :Kajian Beberapa Aspek Tentang Melaka pada Abad ke-15 dan Abad ke-18 dalam Sejarah Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Qasim Ahmad. (1993). Kekerasan dalam Sejarah : Masyarakat dan Pemerintah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Tajuddin Hussein. Cetakan Pertama (2007). Malaysia Negara Kita. MDC Publishers Sdn. Bhd. Zainal Abidin bin Abdul Wahid. (1996). Malaysia: Warisan dan Perkembangan. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

You might also like