Aktiviti Pendidikan Jasmani Suaian Pelajar Berkeperluan Khas

Download as pdf or txt
Download as pdf or txt
You are on page 1of 9

Aktiviti Pendidikan Jasmani Suaian Pelajar Berkeperluan Khas oleh Safani Bari Hamdan Mohd Ali Fakulti Pendidikan

Universiti Kebangsaan Malaysia

ABSTRAK Aktiviti pendidikan jasmani suaian merupakan satu aktiviti yang sangat penting kepada semua pelajar di sekolah termasuk pelajar berkeperluan khas. Pelajar khas mengalami pelbagai masalah yang melibatkan ketidakupayaan fizikal, sosial dan mental. Aktiviti pendidikan jasmani suaian ini penting kepada mereka kerana ia merupakan aktiviti terapi yang boleh mengurangkan masalah atau tekanan yang dihadapi Kajian ini merupakan kajian tinjauan mengenai pelaksanaan aktiviti pendidikan jasmani suaian yang dijalankan di sekolah-sekolah pendidikan khas. Sampel yang terlibat dalam kajian ialah 36 orang guru di sekolah menengah di Wilayah dan Selangor. Kajian melibatkan pemerhatian dan temubual terhadap pelaksanaan aktiviti pendidikan jasmani di tujuh buah sekolah di Wilayah Persekutuan dan Selangor. Dapatan kajian menunjukkan hanya 50% daripada guru yang mengajar pendidikan jasmani pelajar khas mempunyai mempunyai latihan khusus dalam pendidikan jasmani, tiada format yang standard digunakan di antara satu sekolah dengan satu sekolah yang lain, pelajar khas di sekolah percantuman mengikuti aktiviti yang sama dengan pelajar biasa, jumlah masa pengajaran pendidikan jasmani juga berbeza-beza dan kebanyakan guru mengajar pendidikan jasmani mengikut cara yang difikirkan sesuai oleh guru. ABSTRACT Physical education activities are very essential for all school students including those with special needs. Students with special needs face multiple dificulties which comprises of physical, social and mental disabilities and disadvantages. Through physical activites some form of theraphy takes place can reduce stress among the students. Activities which incorporate some kinetic aspects and physical locomotions will help the students in releasing muscular and physical tensions and accelerates the nerve and sensor responses. This is an observational study on how adapted physical education acitivities are conducted in special schools. Thirty six secondary school teachers in Selangor and the Federal Territory of Kuala Lumpur are identifed as samples. Data on how physical education is handled is gathered through interviews and observations. A total of seven schools are involved. All the respondens and teachers involve in the teaching of physical education to the special needs students. The finding shows that only 50% of the teachers teaching physical education classes have specialized training in physical educaiton. There is no standard format of teaching among the schools. Special students in

integrated schools took part in the same physical education activites as their normal counterparts. The total time spent on physical education differs among the schools and the teachers taught physical education as they see fit.

Pendahuluan Pendidikan khas ialah pendidikan yang disediakan khusus untuk murid-murid dengan keperluan khas. Murid-murid berkeperluan khas ialah murid-murid yang mengalami masalah penglihatan, pendengaran, pembelajaran dan juga termasuk murid-murid pemulihan. Matlamat pendidikan murid-murid berkeperluan khas adalah menekankan kepada kebolehan, kefungsian, kemahiran, perkembangan, penguasaan dan pencapaian murid-murid untuk menjadikan mereka insan yang dapt berdikari dan berjaya dalam kehidupan (Jabatan Pendidikan Khas, 1997). Penguasaan dan pencapaian dalam kemahiran-kemahiran melibatkan kebolehan kognitif, perkembangan tingkahlaku, sosial, penguasaan bahasa lisan, membaca, matematik, berdikari serta meningkatkan kemahiran fizikal. Program Pendidikan Murid Khas Program perkolahan pendidikan khas di Malaysia mengandungi tiga jenis iaitu program sekolah khas, program sekolah percantuman dan program sekolah inklusif. Program sekolah khas ialah program persekolahan yang menempatkan satu kategori (kecacatan) murid berkeperluan khas atau menyamai konsep persekolahan segregasi. Contohnya murid-murid bermasalah pendengaran di tempatkan belajar di sebuah sekolah khas untuk mereka (Faridah & Safani, 2000). Sekolah ini di tadbir dan diajar oleh guru-guru yang dilatih khas dan berasingan dari sekolah biasa yang lain. Kaedah pengajaran dan aktiviti ko-kurikulum juga disediakan khusus untuk keperluan dan kesesuaian murid berkenaan. Program sekolah percantuman juga dikenali sebagai program integrasi. Dalam program ini murid-murid berkeperluan khas di tempatkan belajar di sekolah biasa bersama-sama murid normal. Walau bagaimanapun murid-murid berkeperluan khas belajar secara berasingan daripada pelajar normal. Mereka hanya berkongsi kemudahan fizikal sekolah dan pentadbiran sekolah adalah sepenuhnya di bawah pentadbiran biasa. Seorang penyelaras dilantik untuk mengurus hal ehwal pendidikan dan ko-kurikulm pelajar khas. Program ketiga iaitu program inklusif, program ini menempatkan murid-murid berkeperluan khas belajar bersama-sama dengan murid normal. Mereka di tempatkan dalam kelas yang sama dengan murid normal dan diajar oleh guru kelas biasa. Dalam program ini murid-muird berkeperluan khas mengikuti kurikulum yang sama dengan murid normal. Ciri-ciri yang diambilkira sebelum menempatkan murid-murid khas ke dalam program inklusif ialah mereka perlu mencapai tahap pencapaian akademik yang hampir sama dengan murid biasa. Mereka boleh di tempatkan belajar bersama-sama murid normal dalam semua matapelajaran atau pun dalam matapelajaran tertentu sahaja (Faridah & Safani, 2000). Aktiviti Pendidikan Jasmani Suaian Dan Masalah Pelajar Khas Pendidikan Jasmani merupakan satu subjek penting dalam kurikulum pendidikan formal dalam sistem pendidikan di Malaysia. Walaupun matapelajaran pendidikan jasmani tidak diuji dalam peperiksaan awam di Malaysia, subjek ini nyata signifikan kerana merupakan

satu-satunya bidang pendidikan yang menekankan taksonomi jasmani yang tidak disentuh oleh matapelajaran-matapelajaran lain dalam hal berkaitan dengan empat taksonomi penting pendidikan iaitu jasmani, emosi, rohani dan intelektual. Tambahan lagi, selain daripada merupakan bidang ilmu itu sendiri, subjek ini menyumbang kepada kecergasan semasa seseorang murid dan mampu menerapkan amalan bersenam untuk kesihatan di luar waktu sekolah malah untuk sepanjang hayat. Aktiviti jasmani suaian untuk golongan khas kurang diberikan perhatian pada masakini. Di Malaysia tidak banyak tempat-tempat yang disediakan sesuai untuk memberi peluang kepada golongan khas untuk beriadah terutamanya di luar kawasan sekolah khas. Golongan normal mudah dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran, kemudahan dan peralatan sesuatu jenis aktiviti riadah tetapi golongan khas pula sukar mendapat peluang untuk turut serta aktiviti yang dijalankan. Begitu juga dengan aktiviti pendidikan jasmani yang dilaksanakan di sekolah, aktiviti pendidikan jasmani yang dijalankan kepada pelajar berkeperluan khas kurang diberikan perhatian dan mereka mengikuti aktiviti yang kurang sesuai bersama-sama dengan pelajar-pelajar biasa (Auxter, Pyfer dan Huettig, 1999). Banyak halangan yang dihadapi oleh golongan khas untuk melibatkan aktiviti pendidikan jasmani di sekolah kerana terdapat pelajar-pelajar berkeperluan khas mengalami masalah fizikal yang melibatkan otot, saraf dan pembentukan postur yang kurang sempurna. Contohnya terdapat di kalangan pelajar yang mengalami otot-otot yang kurang sempurna tidak dapat melakukan pergerakan seperti pelajar biasa. Begitu juga yang mengalami masalah deria tidak dapat bergerak sebebas dan sepantas pelajar biasa. Ini akan mengakibatkan mereka merasa rendah diri dan tersisih. Aktiviti pendidikan jasmani yang bersesuaian perlu disediakan untuk melatih dan melazimkan keupayaan mereka ke tahap yang optimum bagi menyediakan mereka untuk menghadapi kehidupan sebenar di luar sekolah. Selain daripada itu aktiviti pendidikan jasmani suaian juga perlu menyediakan situasi ceria yang dapat menggalakkan kesejahteraan emosi kepada golongan istimewa ini. Subjek pendidikan jasmani untuk kanak-kanak normal telah lama diajar di semua sekolah kerajaan dan swasta sejak sebelum Merdeka lagi. Walau bagaimanapun tahap pengajaran telah menurun secara mendadak selepas kemerdekaan terutamanya pada tahun 1970an (Hamdan Mohd Ali, 2002). Antara masalah yang dikenal pasti ialah pengabaian subjek pendidikian jasmani kerana tidak diuji dalam peperiksaan, kekurangan guru terlatih dalam bidang ini, kemudahan dan peralatan yang tidak mencukupi, tiada sokongan dari masyarakat sekolah dan masyarakat ibu-bapa, cuaca yang tidak mengizinkan dan guru tidak jelas dengan matlamat pendidikan jasmani (Hamdan 2002, de Vries 1995, Abu Bakar Miskon 1987, Daud Salleh 1985, Chee Swee Ming 1985). Begitu juga dengan dengan aktiviti pendidikan jasmani yang dijalankan di sekolah-sekolah khas, walaupun terdapat garis panduan yang yang dinyatakan dalam Surat Pekeliling Pendidikan khas 1979-1991 tetapi sehingga kini belum terdapat satu garis panduan yang jelas mengenai pelaksanaan aktiviti tersebut di sekolah-sekolah khas (Unit Pendidikan Khas, 1992). Pendidikan jasmani suaian merupakan satu kursus wajib yang telah diperkenalkan untuk semua bakal guru ijazah sarjana muda dalam bidang pendidikan khas yang ditawarkan oleh Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Bakal-bakal guru diberi kursus secara teori dan amali mengenai pendidikan jasmani yang diubahsuai untuk golongan khas. Lebih seribu orang guru yang mempunyai pendedahan dalam subjek pendidikan jasmani suaian telah dikeluarkan oleh UKM sejak kursus ini diperkenalkan pada tahun 1995. Walau bagaimanapun tidak terdapat follow-up dan pemantauan terhadap pengajaran guru dalam dan pelaksanaan program dalam bidang ini. Tambahan pula, walaupun di Malaysia banyak penyelidikan telah dibuat mengenai pendidikan

jasmani, seperti yang dijelaskan diperenggan di atas, malangnya penyelidikan yang mengkhusus kepada pelaksanaan pengajaran-pembelajaran pendidikan jasmani suaian untuk murid berkeperluan khas adalah di peringkat permulaan. Malah, jika dilihat daripada skop yang lebih luas, pendidikan jasmani suaian untuk golongan khas adalah lebih kritikal daripada golongan normal. Ini adalah kerana situasi di Malaysia, umpamanya, tidak banyak kemudahan yang sesuai untuk memberi peluang kepada golongan khas untuk beriadah samada di sekolah atau pun di luar. Sementara golongan normal dengan mudah dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran, kemudahan dan peralatan sesuatu jenis aktiviti riadah, golongan khas pula sukar mendapat peluang untuk turut serta. Aktiviti Pendidikan Jasmani Suaian dan kepentingannya kepada pelajar khas Dalam konteks hubungan antara pendidikan jasmani dengan pendidikan formal, pendidikan jasmani merupakan penyumbang besar kepada proses asimilasi individu ke dalam masyarakat (de Vries, 1995). Pendidikan formal ialah proses di mana masyarakat, melalui sekolah, universiti dan lain-lain institusi pengajian menurunkan ilmu pengetahuan dan kemahiran terkumpul daripada satu generasi ke satu generasi. Sekolah merupakan salah satu institusi pengajian formal. Subjek pendidikan jasmani di sekolah pula dirangkumkan ke dalam kurikulum persekolahan. Pendidikan jasmani merupakan satu bentuk pendidikan formal (de Vries, 1995). Malah, pendidikan jasmani dilihat sebagai lebih menyeluruh berbanding dengan subjek lain. Subjek-subjek lain banyak menyentuh aspek kognitif (intelektual), sedikit ruang untuk aspek rohani (afektif) dan hampir tiada ruang untuk aspek psikomotor dan fizikal. Aspek-aspek yang dinyatakan adalah amat penting kepada golongan berkeperluan khas kerana sebahagian pelajar mengalami masalah fizikal seperti pertumbuhan otot dan deria yang tidak sempurna. Aktiviti jasmani yang disesuaikan dengan keupayaan pelajar berkeperluan khas boleh membantu golongan ini mengurangkan kelemahan dan masalah yang dihadapi (Auxter, Pyfer dan Huettig, 1989). Masalah kecacatan fizikal tidak boleh dipulihkan dengan rawatan perubatan sahaja tetapi pakar perubatan telah memperkenalkan program terapi fisio yang dapat mengurangkan masalah yang dihadapi oleh kebanyakan individu dengan lebih berkesan (Auxter, Pyfer dan Huettig, 1998). Oleh yang demikain pengajaran pendidikan jasmani suaian untuk pelajar khas yang dirancang dengan baik dan bersesuaian akan dapat memenuhi falsafah kurikulum bersepadu yang dilaksanakan di sekolah-sekolah di Malaysia. Tujuan Kajian Tujuan kajian ialah untuk mengkaji dari aspek pelaksanaan aktiviti-aktiviti pendidikan jasmani suaian di sekolah, kesesuaian aktiviti pengajaran dan pembelajaran pendidikan jasmani, mengenalpasti masalah pelaksanaan dari aspek keperluan tenaga pengajar serta kesesuaian kemudahan dan peralatan pengajaran pendidikan jasmani suaian di sekolahsekolah menengah khas. Metodologi Kajian Kajian yang dijalankan merupakan satu kajian tinjauan melalui pemerhatian dan temubual. Instrumen kajian yang digunakan dalam kajian ini merupakan senarai semak yang mengandungi borang maklumat sekolah, kelas pendidikan jasmani dan kegiatan aktiviti fizikal yang dilaksanakan di sekolah. Borang maklumat ini selain merupakan

borang untuk mendapatkan maklumat tentang sekolah dan kegiatan di sekolah tadi, juga merupakan alat yang mempunyai soalan-soalan berbentuk terbuka bagi mendapatkan maklumat lain seperti latarbelakang guru pendidikan jasmani, jenis-jenis aktiviti dan permainan yang melibatkan pelajar khas, kemudahan dan peralatan sukan khusus untuk pelajar berkeperluan khas, masalah pengajaran kelas pendidikan jasman dan huraian tentang aspek modifikasi/suaian dalam pengajaran dan pengajaran pendidikan jasmani.

Responden Kajian Responden kajian terdiri daripada guru sekolah menengah yang diberi tanggungjawab untuk melaksanakan pengajaran kelas pendidikan jasmani dan juga guru yang terlibat secara langsung aktiviti fizikal di luar waktu kelas formal yang melibatkan pelajar khas. Sepuluh buah sekolah menengah telah terpilih untuk kajian ini, 7 buah sekolah menengah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan di negeri Selangor. Sekolah yang dipilih melibatkan 5 buah sekolah percantuman dan 2 buah sekolah khas yang hanya menempatkan pelajar-pelajar khas.

Analisis Data Data kajian dianalisis menggunakan statistik diskriptif. Min, kekerapan dan peratusan digunakan untuk membincangkan dapatan. Aspek perbincangana menumpukan berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran pendidikan jasmani, tahap keberkesanan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran, masalah pelaksanaan dari aspek tenaga pengajar serta kesesuaian kemudahan dan peralatan pengajaran pendidikan jasmani di sekolah-sekolah khas. Hasil temubual dianalisis dan digunakan untuk menyokong di dalam dapatan kajian.

Dapatan Kajian Jumalah sekolah yang terlibat dalam kajian ini ialah 7 buah sekolah iaitu terdiri daripada 2 buah sekolah menengah khas dan 5 buah sekolah menengah khas program percantuman. Terdapat seramai 36 orang guru yang mengajar pendidikan jasmani kepada pelajar khas. Hanya 50% (18) daripada guru-guru tersebut adalah guru-guru pendidikan jasmani memiliki kelayakan. Tidak semua daripada mereka pernah mengikuti kursus secara khusus mengajar pendidikan jasmani suaian. Terdapat 28 % (10) adalah terdiri daripada guru-guru pendidikan jasmani yang berkelayakan mengajar murid biasa dimana di dalam kelas tersebut terdapat pelajr-pelajar berkeperluan khas. Seramai 6% (2) guru pendidikan jasmani yang berkelayakan mengajar pendidikan jasmani di sekolah biasa mengajar pendidikan jasmani di sekolah khas walau bagaimanapun mereka telah banyak mengikuti kursus-kursus pendidikan jasmani yang berkaitan dengan golongan berkeperluan khas. Dari segi pelaksanaan, dapatan kajian melalui pemerhatian dan temubual mendapati tiada format pengajaran yang standard digunakan antara sekolah yang terlibat dalam kajian, kebanyakkan guru mengajar mengikut cara yang difikirkan sesuai oleh mereka. Pelaksanaan pengajaran pendidikan jasmani juga didapati longgar iaitu mengikut budi bicara guru yang melaksanakannaya. Aktiviti dalam pendidikan jasmani dilaksanakan kepada pelajar berkeperluan khas adalah dirujuk daripada buku panduan aktiviti pendidikan jasmani pelajar normal. Oleh yang demikian, aktiviti yang disediakan adalah

berdasarkan budi bicara guru terlibat. Hal ini berlaku kerana didapati tidak ada pemantuan pengajaran pendidikan jasmani oleh pihak kementerian, guru yang mengajar tiada pendedahan atau latihan. Bilangan pelajar khas dalam sekolah percantuman adalah minoriti dan mereka kurang diberikan perhatian oleh pihak sekolah dalam aktiviti berbentuk fizikal. Kajian juga mendapati guru pendidikan jasamani yang mengajar pelajar biasa tidak mengadakan ubahsuaian pengajaran untuk pelajar khas. Kaedah permainan juga adalah mengikut kaedah permainan pelajar-pelajar normal. Begitu juga dengan perlatan yang digunakan, kebanyakannya menggunakan peralatan biasa yang digunakan oleh pelajar normal. Penglibatan pelajar-pelajar khas menjalankan aktiviti yang sama dengan murid biasa terhad dan mereka berfokus dalam kumpulan mereka sahaja dengan menjalankan aktiviti mengikut kupayaan mereka sendiri. Jumalah waktu pengajaran pendidikan jasmani juga berbeza di antara sekolah. Walaupun kebanyakan sekolah menjalankan pengajaran sebanyak 2 kali dengan 40 minit setiap sesi pengajaran tetapi terdapat 2 buah sekolah melaksanakan 60 minit sekali satu minggu dan 2 buah sekolah mengajar 2 kali iaitu 30 minit setiap sesi pengajaran. Terdapat juga 2 buah sekolah yang melaksanakan waktu pengajaran pendidikan jasmani yang berbeza dengan kelas biasa iaitu 2 x 30 untuk kelas khas dan 2 x 40 minit untuk pelajar biasa. Jenis permainan dalam pendidikan khas yang dilaksanakan terbahagi kepada dua. Bagi sekolah-sekolah program percantuman jenis permainan yang dilaksanakan untuk muridmurid khas adalah sama seperti yang dimainkan oleh pelajar normal. Ini adalah disebabkan majoriti pelajar di sekolah adalah pelajar normal. Begitu juga alat permainan yang digunakan adalah alat permainan yang biasa digunakan oleh pelajar normal. Manakala bagi sekolah khas, hanya pelajar bermasalah penglihatan menggunakan jenis permainan yang berlainan. Walau pun memainkan permainan yang sama tetapi beberapa pengubahsuaian di rancang oleh guru dalam melaksanakan permainan ini seperti dalam permainan ping pong, bola sepak, catur dan karum. Begitu juga ubahsuaian dilakukan di dalam gimasium untuk peralatan yang diguanakan agar tidak membahayakan keselamatan pelajar. Masalah-masalah yang dihadapi dalam pengajaran dan pembelajaran pendidikan jasmani kepada pelajar-pelajar khas yang disuarakan oleh guru-guru di sekolah percantuman dan sekolah khas adalah seperti berikut: i. ii. iii. iv. v. vi. vii. viii. ix. kekurangan guru pendidikan jasmani yang berkelayakan jumlah pelajar yang terlalu ramai untuk pengajaran yang kondusif peralatan yang tidak sesuai bagi pelajar khas pelajar khas yang dipinggirkan oleh pelajar normal cuaca yang panas dan tidak kondusif kepada pelajar khas masalah fizikal bagi pelajar-pelajar khas kurang upaya yang berbeza-beza pelajar-pelajar khas tingkah laku pelajar khas kerana terdapat mereka yang agresif masalah komunikasi antara guru biasa dengan pelajar khas, pelajar khas dan pelajar normal.

Faktor-faktor tersebut merupakan beberapa halangan yang menyebabkan kesukaran untuk menjalankan aktiviti pendidikan jasmani atau walau pun guru-guru menyedari pentingnya aktiviti ini kepada pelajar khas. Kadang-kadang aktiviti ini tidak dapat dijalankan langsung kerana faktur-faktur keselamatan kawasan aatau perlatan yang hendak digunakan tidak bersesuaian dan boleh membahayakan pelajar sekiranya digunakan.

Penutup Di kebanyakan sekolah di Malaysia, jumlah pelajar yang perlu ditangani oleh guru pendidikan jasmani adalah terlalu ramai untuk pengajaran-pembelajaran yang kondusif. Kesannya, tugas pengajaran pendidikan jasmani diagih-agihkan kepada guru-guru yang tidak mendapat sebarang latihan rasmi dan mencukupi dalam bidang pendidikan jasmani. Angka mereka yang tidak terlatih ini biasanya jauh lebih besar daripada guru pendidikan jasmani yang berkelayakan di sekolah-sekolah yang ditemuduga. Sebagai contoh, di sebuah sekolah di Selangor, nisbah guru yang bertauliah mengajar pendidikan jasmani ialah tiga orang berbanding sembilan belas orang yang tidak bertauliah. Ini bermakna apabila tiada guru yang berkelayakan mengajar subjek ini, pengajaran diserahkan bulatbulat kepada guru yang tidak berkelayakan. Pelajar-pelajar berkeperluan khas yang serba kekurangan dalam pelbagai aspek kurang mendapat perhatian, terutamanya di dalam program kelas percantuman. Bilangan pelajar biasa yang terlalu ramai dan di tambah dengan pelajar berkeperluan khas bersama-sama mereka menyebabkan pengajaran pendidikan jasmani tidak berkesan. Masalah-masalah ini menyebabkan pelajar-pelajar khas kurang mendapat perhatian. Lagi pun mereka tidak dapat menyaingi kemahiran pelajar-pelajar biasa dalam pelbagai kemahiran sukan di sekolah dan menyebabkan kehadiran mereka tidak menunjukkan sebarang kesignifikanan kepada sekolah Berbeza dari program pendidikan jasmani di sekolah khas, kebanyakan pelajar khas dalam program percantuman akan mengikuti pelajaran pendidikan jasmani bersama-sama pelajar normal. Kehadiran mereka juga dilihat kurang penting kerana bilangan mereka kecil. Pendidikan jasmani yang dilaksanakan secara tidak terancang dan sesuai untuk sesuatu kategori keperluan khas tidak membawa sebarang kesan yang positif kepada perkembangan fizikal, emosi dan mental. Kategori kesihatan yang paling utama untuk pelajar yang mempunyai kekurangan upaya secara fizikal yang melibatkan aspek kesihatan ialah apabila kekurangan-kekurangan itu sendiri boleh mendatangkan kesan kepada kesihatan individu tadi secara timbal balik (Heller, 2000). Aktiviti fizikal terancang menjadi lebih penting kerana banyak kecacatan yang dialami oleh pelajar khas seperti kekejangan otot menyebabkan mereka sukar untuk melakukan sesuatu pergerakan dan menghadkan pergerakan (Auxter, Pyfer dan Huettig, 1989). Otot-otot yang kurang sempurna ini sepatutnya perlu dilatih dan dilazimkan ke tahap yang melebihi optimum bagi membantu mereka untuk menghadapi kehidupan sebenar di luar sekolah. Aktiviti pergerakan dalam pendidikan jasmani boleh membantu mengurangkan atau mengendurkan ketengangan yang dialami. Selain itu aktiviti pendidikan jasmani juga perlu menyediakan situasi ceria yang dapat menggalakkan kesejahteraan emosi kepada golongan istimewa ini. Tanpa aktiviti fizikal yang direka khas dan diubah suai juga adalah meyukarkan untuk golongan khas ini berpeluang bermain dengan adil, bermain bersama rakan-rakan yang mempunyai kekurangan yang sama, persekitaran kawasan yang sesuai dan selamat; dan peralatan yang khas yang diperlukan untuk tujuan beriadah. Guru yang mengajar pendidikan jasmani juga perlu mempunyai sikap penyabar dan positif apabila berdepan dengan kanak-kanak khas ini. Tidak kurang penting juga, mereka perlu peka mengenai perbezaan yang terdapat pada anak didik mereka. Contohnya guru yang mempunyai pelajar spina bifida dalam kelasnya perlu membuat perubahan seperti merancang kelas supaya pelajar ini berpeluang mengambil bahagian dalam aktiviti fizikal, mengubah suai persekitaran untuk mengegalakkan mobiliti dan pergerakan dan mengelak pergerakan yang boleh mendatangkan rasa kurang selesa dan kesakitan kepada pelajar tadi. Selain itu guru pendidikan jasmani perlu mampu

mengenalpasti dengan cepat tanda-tanda dan simptom seperti kulit yang tercedera atau jangkitan urinari. Begitu juga, contohnya, kelas yang mempunyai pelajar sawan. Guru perlu membuat perubahan supaya aktiviti itu tidak terlalu menekan jiwa pelajar. Sebagai langkah berjaga-jaga, guru ini perlu mengingatkan pelajar untuk mengambil medikasi terlebih dahulu dan dengan cepat mengenalpasti tanda-tanda dan simptom distres semasa aktiviti (Heller, 2000; Jansma & French 1994; Pangrazi & Darst, 1994). Program aktiviti fizikal terancang untuk golongan khas tidak kurang penting seperti juga golongan normal. Faedahnya tidak terhad kepada kesihatan fizikal, tetapi juga merangkumi kesihatan psikologikal, termasuk pembentukan kognitif, sosial, afektif dan moral mereka yang mengikuti program ini. Kesempatan untuk mengambil bahagian dalam aktiviti memberi peluang kepada pelajar khas untuk merasa seronok dan berguna. Sebagai tambahan, apabila seseorang pelajar itu berjaya menguasai sesuatau kemahiran, pelajar ini akan meningkatkan konsep kendiri (self-concept), penghargaan kendiri (selfesteem) dan keyakinan diri (self-confidence) (Hvozdovic, 2003). Keterangan-keterangan ini sesuai dengan definisi yang diberikan oleh Jansma dan French (1994) yang merujuk pendidikan jasmani suaian sebagai modifikasi aktiviti fizikal tradisional bagi membolehkan individu kurang upaya berpeluang untuk mengambil bahagian secara selamat, berjaya, dan mendapat kepuasan (Jansma dan French, 1994).

Rujukan Abd Wahab Hashim.1998. Senario masa kini dan rancangan masa depan pendidikan khas di Malaysia. Kementerian Pendidikan Malaysia. Abu Bakar Miskon. 1987. Persepsi guru-guru bukan opsyen pendidikan pendidikan jasmani yang mengajar pendidikan jasmani terhadap pengajaran pendidikan jasmani di sekolah menengah. Latihan Ilmiah. University Pertanian Malaysia, Serdang. Auxter, D., Pyfer, J. & Huettig, C. 1989. Adapted physical education and recreation. St. Louis, Missouri. Mosby-Year Book, Inc. British Sport Council 2000. British Government Document. Cheah Swee Ming. 1985. Isu-isu pendidikan jasmani. Jurnal Pendidikan. 11:1418. Daud Salleh. 1985 Perancangan pengajaran pendidikan jasmani di sekolah menengah luar bandar. Latihan Ilmiah. Universiti Pertanian Malaysia. Serdang. De Vries. 1995 Pendidikan jasmani dan kesihatan-satu delima. Kertas kerja Seminar Pendidikan Jasmani dan Sukan menjelang tahun 2000. Universiti Pertanian Malaysia, Serdang. UPM. Englert, C. S., Tarrant, K. L. & Mariage, T. V. 2000. Defining and redifining instructional practice in special education: Perspectives on good teaching. Teacher education and special education, 15(2): 62-68. Faridah Serajul Haq & Safani Bari. 2000.Ke arah meningkatkan profesionalisme guru-guru pendidikan khas. Pendidikan guru alaf baru. Prosiding kolokium ke 7. Fakulti Pendidikan UKM. hlm. 268-278. Hamdan Mohd Ali. 2002. The British colonial legacy: Sport and politics in multiethnic Malaysia 1800-2000. Tesis Phd. The University of Warwick, U.K. Heller. 2000. Understanding physical, sensory and health impairment. Pacific Grove, CA: Brooks / Cole. Jabatan Pendidikan Khas. 1997. Buletin Pendidikan Khas. Kementerian Pendidikan Malaysia. Kuala Lumpur. Jansma, P. & French, R. W. 1994. Physical education for handicapped persons. N J: Prentice Hall.

Miller, B. 2002. High blood pressure. Bruce Millers Health Series. Dallas: Oak Enterprise. Pangrazi, R. P. & Darst, P. W. 1997. Dynamic physical education for secondary school students. Arizona: Prentice Hall. Poloway, E. A. & Patton, J. R. 1993. Strategies for teaching learners with special needs. Upper Saddle River, N J: Prentice Hall/ Merrill. Schumn, J. S. & Vaughn, S. 1992. Planned for mainstreamed special education students: Perceptions of general education teachers. Exceptionallity, 3 2: 81-89. Shepard, J. & Coley, I. L. 1996. Self-care for independent living. St. Louis: Mosby-Year Book, Inc. Unit Pendidikan Khas. 1992. Surat Pekeliling Pendidikan Khas 1979-1991. Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia.

You might also like