Kesedaran Masyarakat Terhadap Kepentingan Ilmu

Unduh sebagai doc, pdf, atau txt
Unduh sebagai doc, pdf, atau txt
Anda di halaman 1dari 20

KESEDARAN MASYARAKAT TERHADAP KEPENTINGAN ILMU. Taqwa haruslah di pohon dan ia tidak datang bergolek di depan kita.

Ia memerlukan amalan yang berterusan dan konsisten yakni mujadalah. Ia juga memerlukan ilmu agar kita tidak melanggar perintah Allah disebabkan kejahilan kita. Atau melakukan sesuatu tidak seperti yang dianjurkan oleh syariat Islamiah kerana kejahilan kita. Oleh kerana itulah, Islam menekankan kepentingan ilmu dan menuntut ilmu. Kerana itu juga, Islam mengangkat tinggi kedudukan orang yang berilmu, para ulama' dan cendekiawan. Ini kerana kekuatan sesuatu masyarakat ialah dengan ilmunya. Dan adalah menjadi tugas penting para ulama' dan cendekiawan untuk menyebarkan ilmu dan mengajarkannya kepada anggota masyarakat. Firman-Nya : "Hai orang-orang yang beriman! Apabila dikatakan kepada kamu, berlapang-lapanglah di dalam majlis, maka lapangkanlah, nescaya Allah akan memberi kelapangan untukmu. Dan apabila dikatakan: "berdoalah kamu" maka berdirilah, nescaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang yang diberi ilmu beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. " (al-Mujadalah ayat 11) Allah S.W.T pada ayat di atas menjelaskan dua nilai tara bagi kedudukan dan martabat seseorang di sisi Allah dan di sisi manusia. Martabat seseorang bukan ditentukan oleh kekayaan atau keturunan, tetapi dengan keimanan dan ilmu yang dimiliki. Inilah dua nilai tara kecemerlangan seseorang dan juga masyarakat, iaitu iman dan ilmu. Kedua-dua ini tidak boleh dipisahkan untuk kita melahirkan insan cemerlang dan masyarakat cemerlang. Kemuliaan satu bangsa dan masyarakat akan ditentukan oleh kekuatan iman dan ilmu. Bila seseorang memiliki ilmu yang sebenarnya. Ilmu yang membawa ia dekat kepada Allah, maka lahirlah rasa takut kepada Allah. Inilah sikap orang yang berilmu, para cendekiawan dan ulama'. Mereka adalah orang yang takut 3

kepada Allah. Dengan ilmu yang ada mereka semakin menginsafi kebesaran dan kekuatan Allah yang akan membangkitkan rasa keimanan dan takut kepada Allah. Mereka juga, dalam menyebarkan ilmu akan menyemaikan rasa iman dan takut ini kepada anak didik mereka. Kerana inilah matlamat dan tujuan ilmu, yakni membawa kita dekat kepada Allah. Oleh yang demikan ia akan membawa kepada kemakmuran bumi Allah. Ini disebabkan mereka tidak menganiaya manusia, binatang dan alam ini. Mereka tidak akan menggunakan ilmu yang ada untuk tujuan peribadi atau semata-mata mengukuhkan kuasa mereka. Tidak akan ada manipulasi, yakni menggunakan kekuatan mereka untuk terus menindas yang lemah. Allah telah berfirman dalam surah al-Alaq ayat 1 yang bermaksud: " Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk)." Para ulama' dan cendekiawan Islam terdahulu telah menjadikan perintah Allah S.W.T untuk "membaca" dalam wahyu yang pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad ini sebagai motivasi utama untuk terus meneroka alam ciptaan Allah dan menguruskan alam ini mengikut tatasusila, adab dan syariat Allah dan Rasul-Nya. Mereka hidup dengan budaya ilmu, mencari dan meneroka. Kemudian ia dikongsi bersama melalui tulisan-tulisan mereka dan mengajarnya kepada masyarakat. Ini seperti al-Imam Ghazali, yang meneroka alam jiwa manusia atau psikologi. Memahaminya dan menjadikannya alat untuk membina peribadi manusia. Seperti juga Ibnu Nafis, seorang ahli Anatomi yang telah menemukan sistem pengaliran darah dalam tubuh manusia dan pelbagai lagi nama yang telah mengukir sejarah ilmu dan tamadun manusia. Yang telah menyumbang ke arah pembangunan masyarakat yang cemerlang, yang tidak hanya berilmu bahkan yang beriman dan takut kepada Allah. Ibnu Nafis sebagai contoh bukan hanya seorang pakar anatomi, tetapi juga seorang ahli fekah dan pendidik.

Sumbangan mereka di dalam pembangunan masyarakat dan pembinaan satu tamadun gemilang tidak dapat dinafikan. Para cendekiawan mendapat tempat yang mulia di zaman itu, tidak kira mereka orang Islam atau bukan. Di zaman Khalifah Harun Ar-Rasyid, sebagai contoh, cendekiawan mendapat tempat yang tinggi. Tidak kira apa agama sekalipun selagi mana ia menyumbang ke arah pembangunan masyarakat. inilah semangat yang hidup pada generasi awal dahulu yang telah melahirkan satu masyarakat cemerlang dan tamadun agong dalam sejarah manusia. Jika kita ingin membangunkan masyarakat Islam cemerlang, semangat dan budaya ini perlulah dihidupkan. Berbekalkan semangat, falsafah dan budaya ini, digabungkan dengan kemajuan dan pencapaian masa kini, kita mampu untuk melahirkan sekali lagi tamadun yang gemilang ini. Sementara ilmu ini pula diawasi oleh iman dan membawa kita kepada menginsafi kebesaran dan kekuasaan-Nya dan bukan pula melahirkan rasa sombong dan bongkak dengan sedikit ilmu yang ada. Demikianlah sumbangan para cendekiawan di dalam pembangunan ummah. Inilah sumbangan yang perlu dilakukan oleh para cendekiawan dan ulama'. Tugas ini adalah tugas yang besar dan mulia. Ia juga bukan tugas yang mudah. Kerana itu, mereka perlu diberi sokongan dan dorongan. Setiap dari kita bertanggungjawab untuk menghidupkan jiwa ini dalam diri kita, anak-anak kita dan masyarakat kita. Kita perlu meletakkan ilmu dan ulama' pada tempatnya. Jika Allah sendiri meningkatkan martabat orang-orang yang beriman dan berilmu, apa lagi kita? Tidakkah patut kita juga menghargai ilmu dan iman dengan meletakkan kedudukan mereka pada tempat yang seharusnya? Apakah sumbangan kita secara peribadi atau berkumpulan dalam melahirkan golongan ini. Moga-moga Allah memberi hidayah kepada kita untuk menjadikan aset dalam pembangunan masyarakat Islam cemerlang serta contoh dan bukan menjadi beban bagi masyarakat ini.

Negara-negara maju di dunia hari ini mencapai kemajuan disebabkan oleh pelbagai faktor. Faktor terpenting ialah ILMU. Tanpa ilmu mereka tidak akan mencapai apa yang mereka kecapi hari ini. Mereka tidak akan menjadi negara dan bangsa yang gah seantero dunia. Kenyataan ini dapat kita saksikan melalui kecanggihan teknologi kini. Dari lipatan sejarah pula kita telah dapat mengenalpasti bahawa umat Islam juga pernah mengecapi kecemerlangan tamadun yang juga disebabkan oleh penguasaan ilmu. Ilmuan Islam dunia telah membuktikan kehebatan mereka dalam pelbagai bidang ilmu seperti Ibnu Sina, Ibnu Khaldun, al Khawarizmi (sekadar menyebut beberapa contoh) dan lain-lain. Ilmu sebenarnya satu konsep yang sangat luas dan berbagai pengertian ilmu dikemukakan oleh cendekiawan. Ibnu Khaldun dalam Muqaddimah banyak membicarakan soal ilmu. Rumusan daripada pandangan beliau mengenai ilmu ialah Sesuatu yang dapat dipelajari oleh manusia sama ada menggunakan akal fikiran, pancaindera, pengalaman-pengalaman, mahupun dengan pertolongan wahyu Ilahi. Ilmu dalam Islam ialah semua jenis ilmu pengetahuan yang boleh mendorong manusia bagi mencapai kebahagiaan sama ada di dunia mahupun di akhirat. Konsep inilah yang penulis gunakan dalam kertas kerja ini supaya kita dapat melihat kepentingan ilmu secara seimbang, bukan semata-mata ilmu untuk memajukan dunia sahaja atau semata-mata ilmu untuk kesejahteraan akhirat sahaja. Secara umumnya ilmu dibahagikan kepada dua jenis jika dilihat dari sudut tuntutannya iaitu Ilmu Fardhu Ain dan Ilmu Fardhu Kifayah. Ilmu Fardhu Ain iaitu ilmu yang wajib dituntut dan diperolehi oleh semua individu seperti ilmu mengenal Tuhan (aqidah), ilmu berkaitan dengan ibadah dan akhlak. Manakala Ilmu Fardhu Kifayah ialah ilmu yang juga wajib dan perlu namun ianya untuk sekumpulan atau golongan tertentu, misalnya ilmu pertanian, ekonomi dan sebagainya.

Ibnu Khaldun telah membahagikan ilmu secara umumnya kepada dua iaitu ilmu naqli dan ilmu aqli. Ilmu Naqli ialah ilmu-ilmu yang diperolehi oleh seseorang melalui syara tanpa melibatkan akal di dalam prinsip-prinsip umumnya. Namun begitu akal boleh digunakan pada pecahan persoalan prinsipprinsp tersebut. Dengan kata lain, ilmu jenis ini adalah ilmu-ilmu agama yang seseorang diminta supaya mengetahui hukum hukum dan kaedah-kaedahnya sehinggalah ia mampu mengetahui apa yang diterangkan dalam agama, seterusnya memudahkannya untuk mempraktikkan perkara tersebut. (Muqaddimah(1413H) ; 435, lihat juga Che Zarina Bt. Sari, Dr. (2000) ; 19) Ilmu aqli ialah ilmu yang terhasil daripada akal dan pemikiran manusia yang berhubung rapat dengan kemajuan dan peradaban manusia. (Ibid). Sebelum menghuraikan kepentingan ilmu dan pembangunan modal insan dijelaskan terlebih dahulu tuntutan menuntut ilmu sebagai bahan renungan dan seterusnya dorongan kepada saudara kita supaya mengambil berat isu ini dan seterusnya menghidupkan budaya ilmu di kalangan mereka. Islam telah menentukan bahawa menuntut ilmu adalah satu kewajipan. Perkara wajib maknanya sesuatu yang mesti dilakukan. Perintah kewajipan ini jelas terkandung dalam hadith Nabi s.a.w., maksudnya: Menuntut ilmu itu WAJIB bagi setiap muslim (Ibnu Majah dan al Baihaqi) Menuntut ilmu adalah satu proses yang berlaku sepanjang hayat. Sedari kecil sehinggalah akhir hayat, kita masih perlu menuntut ilmu. Sesungguhnya ilmu Allah amat luas. FirmanAllah maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad); Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami

tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan.(al Kahfi : 109) Sesungguhnya ilmu adalah asas keimanan kita kepada Allah malah dengan ilmulah akan menjadikan iman semakin mantap. Manusia akan menjadi lebih hampir dengan Allah kerana ilmu yang mereka miliki. Mereka semakin takut untuk melanggar hukum-hukum Allah. Firman Allah, maksudnya: Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu (al Fatir : 28) Al-Quran menjelaskan bahawa tujuan manusia dijadikan ialah untuk mengabdikan diri kepada Allah. Hal ini jelas dalam firman Allah yang bermaksud: Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepadaKu. (al-Zariat :56) Bagi mencapai kesempurnaan ibadah, manusia memerlukan ilmu. Justeru, itu segala jenis ilmu yang menjadi alat dan pendorong bagi mengenal Allah dan menyempurnakan hakikat ibadah hendaklah dimiliki dan dikuasai oleh umat Islam. Manusia diciptakan oleh Allah dengan memiliki pelbagai kelebihan. Manusia memiliki jasad, aqal, hati dan ruh ditambahkan lagi persediaan sebagai khalifah untuk mentadbir dan memakmurkan alam. Ilmulah yang menyebabkan Adam memiliki kelebihan sebagai khalifah dan insan pertama diciptakan. Firman Allah maksudnya:

Allah telah mengajar kepada Adam sekalian nama-nama (ilmu pengetahuan). (al-Baqarah : 31) Risalah Allah diutuskan berkesinambungan antara para rasul dan semuanya berteraskan ilmu. Nabi Muhammad yang diutuskan sebagai penyudah segala nabi diperintahkan dengan falsafah IQRA. Bagi membina ummah yang gilang gemilang melalui pengutusan Rasulullah s.a.w. diturunkan ayat yang pertama dengan perintah IQRA menunjukkan ilmu itulah teras pembinaan, kelangsungan dan kegemilangan ummah. Firman Allah maksudnya: Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan, Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah dan Tuhanmulah yang Maha Pemurah. Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam. (al-Alaq : 1-5) Penguasaan umat Islam dalam pelbagai bidang ilmu yang perlu untuk pembangunan dan kemajuan yang menyeluruh akan dapat memastikan bahawa kita mampu berdikari dan memiliki sumber intelek sendiri sekali gus mengurang malah boleh menghapuskan ketergantungan umat Islam kepada pihak lain. Manusia dijadikan oleh Allah bersifat dinamik. Manusia sentiasa bergerak dan sentiasa mengalami perubahan kehidupan. Umur manusia sahaja sudah cukup untuk membuktikan kepada kita pergerakan manusia. Setiap saat bergerak akan membawa perubahan kepada umur manusia. Perubahan yang dialami manusia sangat perlukan ilmu. Kita tidak boleh hanya berserah dengan takdir dan perubahan perskitaran kita. Memang benar TAKDIR ditentukan Allah namun manusia sebagai makhluk mestilah berusaha dengan ilmu. Tanpa ilmu usaha yang dilakukan tidak terancang dan tidak tersusun ada masanya menjadi sia-sia. Bagi mencapai perubahan martabat manusia dalam apa bidang sekalipun, ilmu merupakan asas yang perlu dimiliki dan dikuasai oleh manusia. Firman Allah maksudnya:

Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan dari kalangan kamu beberapa darjat. (al-Mujadalah : 11) Istilah modal insan banyak dipopularkan sejak kebelakangan ini. Ia bukanlah suatu yang baru kerana ia menyentuh soal manusia itu secara langsung serta berkembang serentak dengan perkembangan manusia itu sendiri dari dahulu lagi. Apa yang berbeza ialah pendekatan dan fokus terhadap modal insan itu sendiri. Bagi membangun dan memajukan umat Islam hari ini isu modal insan perlulah ditanggapi dengan lebih serius. Pembangunan modal insan yang dimaksudkan di sini ialah pembangunan seimbang bagi memenuhi keperluan aqli, jasmani dan rohani. Pembangunan ini ialah pembangunan yang berterusan dan berkesinambungan dari generasi ke generasi. Kita seharusnya mempunyai kesedaran dalaman pada semua peringkat untuk membangun dan memajukan modal insan di kalangan setiap individu. Usaha bersepadu melibatkan pihak yang berkaitan hendaklah giat dilakukan untuk menyusun, mengatur dan merencana program bagi melahirkan modal insan yang berilmu pengetahuan, berkemahiran, berketerampilan dan berjati diri yang tinggi. Keadaan ini menyediakan diri mereka mampu bersaing serta mencapai kecemerlangan dalam segenap bidang. Tarbiyyah merupakan suatu yang amat penting untuk membawa perubahan kepada manusia. Justeru, al-Quran diturunkan sebagai bahan utama dalam pengisian tarbiyyah melalui proses pembacaan, penulisan, pengajaran dan penguasaan ilmu yang berasaskan ketuhanan mengikut penghuraian dan penghayatan yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam realiti kehidupannya. Manusia yang tidak peka kepada ilmu tidak mampu untuk

10

mengubah pandangan dan cara hidupnya ke arah yang lebih maju dan lebih sempurna. ABIM sebagai sebuah badan gerakan yang berperanan untuk mengubah masyarakat dan mengislahkan cara hidup mereka yang bertitik tolak dari penguasaan ilmu; ilmu yang berteraskan tauhid, dan mengislahkan manusia dalam segala aspeknya. Kemudian ia mampu pula mengolah dan digunapakai dalam realiti kehidupan masyarakat bagi mencapai kehidupan yang bahagia (hasanah) di dunia dan di akhirat. Terdapat beberapa istilah berkaitan dengan pendidikan dalam Islam, ia mencakup perkataan talim, tarbiyyah, dan tadib. Tetapi perkataan tarbiyyah kerap digunakan dalam konteks membincangkan berkaitan pendidikan. Tarbiyyah yang dimaksudkan ini ialah, proses mendidik dan melatih akal, rohani dan jasmani manusia dengan asas nilai-nilai islamiah, yang bersumberkan wahyu al-Quran dan Sunnah bagi melahirkan manusia yang bertakwa dan mengabdikan diri kepada Allah semata-mata. Titik tolak daripada definisi ini dapat disimpulkan bahawa pendidikan Islam itu menekankan konsep-konsep berikut: 1. Pendidikan seumur hidup. 2. Pembangunan seluruh potensi manusia (roh, akal dan jasad) secara padu dan mencakupi aspek kognitif, efektif dan rasional sekaligus. 3. Menyampaikan dua fungsi: a. sebagai hamba Allah (kubudiyyah) b. sebagai khalifah Allah (wakil Allah di bumi) 4. Memakmurkan seluruh alam di atas dasar: a. kesepaduan dan kesempurnaan iman b. Ilmu dan amal soleh demi untuk mencapai kebahagiaan hidup dunia dan akhirat.

11

Dalam konteks ABIM, aspek asas yang ditekankan dalam pendidikan sebagaimana yang disebutkan di atas adalah merupakan inti pati kepada pendidikan harakiyyah yang diperlukan oleh ABIM, dan proses pendidikan itu berteraskan ilmu, membangun syakhsiyyah secara sepadu, membina kesedaran tanggungjawab terhadap Allah, manusia dan persekitaran serta melibatkan diri dalam mengislah dan memakmurkan alam seluruhnya di atas asas iman dan amal soleh demi kebahagiaan hidup duniawi dan ukhrawi. Pengisian tarbiyyah dari sudut tuntutan hukum ada dua iaitu; tuntutan wajib iaitu pengisianya memerlukan kepada perkara-perkara berkaitan Islam, iman dan ihsan. Ia menjurus kepada pembinaan peribadi seorang muslim. Islam pula pengisiannya merangkumi syahadah, solat, puasa, zakat dan haji. Manakala iman pengisiannya meliputi keimanan kepada Allah s.w.t., Rasul, Malaikat, Kitab, Hari Kiamat dan Qadha serta Qadar. Ihsan pula membina keikhlasan hati dalam hubungan dengan Allah s.w.t. dan urusan ibadah khusus dan umum. Maka, ia perlu kepada penyucian sifat-sifat keji yang menghalang dan mengganggu ketelusan hubungan manusia dengan Allah s.w.t. dalam segala urusannya seperti kewujudan sifat ujub, takabur, pemarah, tamak, cintakan dunia, mengikut nafsu serta bakhil. Pengisian-pengisian keilmuan dan kemahiran beramal dalam perkaraperkara asas keagamaan ini perla diambil sumbernya secara langsung dari Quran, Sunnah dan pengalaman sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. serta huraian-huraian ilmuan dan ulama yang muktabar. Dalam konteks kehidupan keluarga termasuk juga dalam kategori fardhu ain ini perkara-perkara asas keperluan keluarga, isteri dan anak-anak seperti pendidikan asas,agama, keperluan makanan, pakaian, kesihatan, tempat tinggal dan kemudahan-kemudahan keluarga yang lain untuk kebahagiaan hidup mereka.

12

Satu lagi pengisian tarbiyyah ini termasuk dalam kategori tuntutan fardu kifai; ialah tuntutan yang berbentuk jamai di mana kumpulan umat Islam dituntut perlu menyelesaikan keperluan tersebut. Ia lebih kepada perkara-perkara yang bertujuan untuk memenuhi keperluan masyarakat seperti bidang perubatan, bidang pertanian, bidang pemprosesan, bidang pertukangan, bidang matematik dan sains, bidang perdagangan dan hukum. Selain perkara-perkara di atas, keperluan kepada tahap keilmuan yang lebih tinggi dan lebih mendalam terhadap sesuatu bidang juga adalah tuntutan hukum syarak kerana mereka yang pakar ini akan menjadi kumpulan untuk peningkatan ilmu dan sebagai benteng untuk mempertahankan kedaulatan bangsa dan budaya hidup mereka. Tanpa ilmu yang mendalam dan tidak kreatif serta kritis, kita tidak dapat menyaingi pihak-pihak lain dan mungkin juga kita akan tenggelam dalam arus persaingan dengan mereka yang lebih tinggi kedudukannya dalam keilmuan dan ketamadunannya. Dalam konteks tarbiyyah harakiyyah ABIM ada tiga mekanisma digunakan untuk meningkat ahli dalam pendidikan. Mekanisma-mekanisma itu ialah: 1. Usrah mingguan : usrah merupakan mekanisma asas untuk tarbiyyah ABIM 2. Pengisian ilmu : Dalam usrah ahli dilantik memahami perkara-perkara asas Islam terutamanya tentang bacaan dan memahami al-Quran dan Hadith, sirah, akidah, fiqh dan akhlak. Selain dari komponen asas ini mereka juga diberi kefahaman tentang gerakan Islam dari sudut pemikiran dan lokasi operasi mereka di dunia Islam serta pemikiran-pemikiran semasa. Ini adalah aspek keilmuannya.

13

3. Kerohanian : Selain dari aspek keilmuan, aspek kerohanian juga ditekankan iaitu solat maghrib atau isya berjemaah, berzikir selepas solat, beramal dengan zikir al-Mathurat dan bacaan al-Quran 30 juzu pada bulan Ramadhan sebagai ganti dan usrah dan solat terawih bersama. 4. Ikatan ukhuwwah : Ikatan ukhuwwah cuba dibina melalui makan bersama yang disediakan oleh ahli di rumahnya dengan penglibatan keluarga, zikir bersama dan solat jamaah 5. Membina potensi kepimpinan : Usrah merupakan satu bentuk pengajian halaqah, tetapi ia mempunyai struktur organisasi dari sudut gerak kerjanya. Ia ada naqib dan penolongnya, setiausaha dan penolongnya serta bendahari. Maka melalui kegiatan usrah ini secara tidak langsung kita mendidik ahli ciri-ciri kepimpinan; kepimpinan dalam kerohanian dalam solat, dan kepimpinan dalam menggerakkan kerja-kerja masyarakat. Setiap ahli perlu dilatih menjadi Imam solat, sekurangkurangnya ketika usrah di rumah. Gerakan ABIM selama lebih tiga dekad telah dapat dilihat kesan-kesannya yang positif dalam pembangunan masyarakat: 1. Dapat menimbulkan kesedaran Islam harakiyyah yang menjurus kepada orientasi kerja dalam aspek pendidikan ekonomi dan kemasyarakatan. 2. Dalam mengubah falsafah pendidikan negara melalui pegawai-pegawai yang mendokong fiqrah ABIM dengan falsafah pendidikan sepadu yang menggabungkan aspek keislaman dan akademik. Mengasaskan sistem pendidikan Islam sepadu dari peringkat Taski, menengah dan tinggi. 3. Dapat mempengaruhi pemikiran masyarakat dalam ekonomi yang berteraskan syariah Islamiyyah, melalui pengalaman KBI tahun 1970an

14

yang menjadikan prinsip Islam sebagai asas perniagaan untuk menjana keuntungan yang membawa perubahan kepada Akta Koperasi yang dapat menerima prinsip Islam dalam pembiayaannya, dan demikian juga kemunculan bank Islam kemudiannya. 4. Membina kesedaran masyarakat hidup berbudaya Islam dari sudut pakaian dan perhubungan masyarakat serta kegiatan-kegiatan lain. 5. Mewujudkan institusi pendidikan, institusi perniagaan yang dikendalikan sendiri oleh ABIM sebagai model institusi Islam. 6. Membina kesedaran masyarakat dalam pemikiran politik masyarakat dalam negara yang lebih terarah dan lebih bermoral. Demikian juga sumbangan ABIM dalam aspek perundangan Islam tidak ketinggalan. 7. Penglibatan ABIM dalam arena antarabangsa yang menyumbang kepada masyarakat antarabangsa yang berada dalam kelompok seperti Palestin, Bosnia, Sri Lanka, Acheh, Filipina, Thailand dan lain-lain. Pergerakan ABIM yang telah bergerak lebih tiga dekad dalam memberi sumbangan kepada masyarakat dari aspek keislaman, kemasyarakatan dan kemanusiaan masih bergerak aktif sejak dari penubuhannya. Kekuatan ahli dan ketahanannya dalam mendokong gerakan ini berterusan adalah hasil dari Tarbiyyah ABIM serta berterusan sebagai sebuah gerakan belia, kebiasaannya agak sukar untuk dipupuk ketahanannya. Hal ini dapat dilihat kepada pertubuhan-pertubuhan belia yang lain yang seangkatan dengannya telah lesu dan sebahagiannya telah mati, sama ada ia gerakan NGO biasa atau badanbadan dakwah Islam. Kita bersyukur di atas pencapaian ini dan diharapkan Allah akan memberi kekuatan kepada kita secara berterusan dan merestui kerja-kerja untuk menegakkan agamanya di muka bumi ini.

15

Di kalangan masyarakat Melayu sebelum tahun 1945 sudah ada kesedaran akan pentingnya ilmu pengetahuan. Ini ternyata apabila ramai anakanak remaja di hantar belajar di intitusi pondok. Tambahan pula ramai yang mendapat pelajaran di sekolah biasa yang dikenali sebagai sekolah atap. Kesungguhan untuk minimba ilmu terbukti walaupun ada halangan atau kesukaran yang terpaksa mereka hadapi ketika itu. Pendapat ini di suarakan oleh Sahabat-sahabat Arkib di Majlis Sembang-sembang Kehidupan Masyarakat Melayu Kedah Sebelum perang dunia ke- 2 yang di pengerusikan oleh tokoh sejarah, Haji Ismail Saleh dan Pengarah Arkib Negara Malaysia Cawangan Kedah, Puan Nir Janati Ibrahim. Masalah yang di hadapi ketika itu termasuklah kekurangan sekolah dan jarak yang jauh dari rumah. Kesukaran lain ialah tidak ada jalan perhubungan iaitu jalan raya, hanya berjalan kaki melalui denai, hutan dan merentasi paya untuk sampai ke sekolah. Usahkan lagi memakai kasut, pakaian pun terpaksa di ganti apabila sampai ke sekolah. Walaupun demikian kesukaran yang terpaksa di tempuh tidak

mematahkan semangat mereka untuk belajar bahkan mereka tetap dengan pendirian mereka untuk mencari ilmu. Namun demikian, anak-anak perempuan mereka belum mendapat galakan untuk belajar terutama dari kawasan pedalaman dan kawasan kampung. Walaupun ada sebahagian masyarakat Melayu yang keberatan

menghantar anak-anak mereka belajar di sekolah Inggeris namun ada juga yang tidak menghiraukan pandangan masyarakat kerana mahukan kemajuan dalam bidang pelajaran.

16

Pendidikan amat penting pada masa sekarang. Antara peranan pendidikan terhadap masyarakat adalah seperti berikut : 1. Sumber Kemahiran dan Ketrampilan Mempunyai atau mengetahui sesuatu bidang ilmu sahaja tidak mencukupi untuk sebuah masyarakat menjalani kehidupan yang sempurna. Setiap ahli masyarakat perlu mahir dan berketrampilan dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing. 2. Sumber Kebudayaan dan Ilmu Sekolah memainkan peranan yang penting bagi menyalurkan kebudayaan dan ilmu sesuatu bangsa kepada generasi berikutya. Tanpa sesuatu agen untuk mewariskan serta memperluaskan budaya, sesuatu generasi baru akan kehilangan pedoman dan arah. Peranan mewariskan kebudayaan dan ilmu ini boleh dimainkan oleh institusi keluarga. Dalam abad ini masyarakat telah menjadi lebih maju menyebabkan kebanyakan ibu bapa telah terperangkap dalam arus mengejar kemajuan. Mereka tidak mempunyai cukup masa untuk memberikan ilmu yang lengkap kepada anak-anak. 3. Sumber Pemupukan Kepercayaan dan Sistem Nilai Sepanjang sejarah kehidupan manusia, mereka tidak pernah lepas daripada sesuatu kepercayaan dan sistem nilai. Manusia fitrahnya sentiasa mencari-cari jawapan bagi persoalan-persoalan kerohaniannya. Banyak berlaku, manusia tersesat dalam memberikan jawapan-jawapan persoalan kerohanian mereka. Dengan kesesatan itu mereka akan membinasakan diri dan masyarakat mereka.

17

Di sinilah peranan pendidikan menjadi penting bagi memberi petunjuk dan panduan yang benar. 4. Menyediakan Tenaga Manusia Untuk Alam Pekerjaan Pada masa kini dan pada masa akan datang terdapat pelbagai jenis pekerjaan. Lebih maju sesuatu masyarakat maka lebih banyajk jenis pekerjaan yang wujud. Tenaga manusia pelbagai peringkat pendidikan perlu dikeluarkan bagi mengisi jawatan pekerjaan yang sesuai. Dengan wujudnya kepelbagaian pelajaran individu akan terdorong untuk (kerap) bertukar pekerjaan.

5. Pusat Penjagaan Belia, Remaja Dan Kanak-Kanak Dalam dunia perindustrian yang bertambah maju, semakin ramai ibu bapa terpaksa menumpukan banyak masa untuk pekerjaan masingmasing. Tambahan pula terdapat ibu dan bapa terpaksan bekerja. Dengan ini sekolah akan memainkan peranan yang tersirat iaitu sebagai pusat penjagaan kanak-kanak, remaja dan belia. Untuk ini peranan persekolahan mestilah suatu tempat yang selesa, mengembirakan dan dapat memenuhi naluri proses perkembangan kanak-kanak menjadi dewasa. Terdapat beberapa cadangan bagi memfokuskan lagi usaha dan tindakan untuk memantapkan lagi kesedaran masyarakat terhadap ilmu. Dua jenis atau peringkat yang perlu diusahakan dengan gigih, bersepadu dan berkesan iaitu peringkat dalaman dan peringkat luaran. Bagi peringkat dalaman, setiap masyarakat haruslah sedar bahawa ilmu sangat penting pada masa sekarang. Antara program dan langkah yang perlu dilakukan oleh setiap individu ialah :

18

1. Berfikiran terbuka dan positif terhadap potensi diri dan generasi mereka untuk mencapai kecemerlangan. Pemikiran yang negatif serta rasa rendah diri hendaklah dijauhkan dari diri mereka kerana tertutupnya pemikiran tidak akan membuka ruang kemajuan pada diri mereka sendiri. 2. Kepemimpinan adalah aspek yang sangat penting dalam pembangunan modal insan. Justeru, usaha-usaha membangunkan keupayaan dan kebolehan kepemimpinan hendaklah dilakukan. Proses ini bermula dari pemilihan barisan kepemimpinan lagi. Seorang pemimpin yang dipilih hendaklah pemimpin yang berwibawa serta berwawasan supaya ia dapat memimpin anak buahnya ke mercu kecemerlangan. 3. Pendidikan adalah bermula dari rumah. Kenyataan ini perlu dibudayakan oleh setiap kita supaya anak-anak semasa di rumah lagi sudah mendapat pendidikan secukupnya. Pengukuhan dan pengkayaan terhadap penguasaan ilmu hendaklah diusahakan oleh ibu bapa sama ada secara keluarga sendiri atau kelompok keluarga setempat 4. Setiap individu dan keluarga hendaklah menghidupkan budaya

penerokaan potensi dan kebolehan masing-masing. Contohnya ialah berbincang dengan ahli keluarga, pihak yang mempunyai kemahiran atau pihak yang berkuasa sekiranya mereka mempunyai kelebihan dalam bidang-bidang tertentu. Penerokaan seumpama ini tidak boleh menunggu orang datang kepada kita, usaha dan inisiatif perlulah dilakukan secara bersungguh-sungguh. Banyak agensi yang boleh dibawa berbincang dan bekerjasama dalam hal-hal seperti ini. Apa yang penting langkah perlu dimulakan. Sesaat kita lambat maka lambatlah juga hasilnya atau mungkin langsung tidak mendatangkan hasil. Sesaat kita cepat maka cepatlah juga hasilnya.

19

Langkah luaran yang dimaksudkan di sini ialah usaha atau tindakan yang dilakukan oleh badan-badan kerajaan dan badan bukan kerajaan, pihak swasta atau individu yang bertujuan untuk membangunkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan ilmu. Cadangan langkah ini ada antaranya telah dilakukan namun ia dikemukakan supaya dapat diluaskan lagi serta dimantapkan supaya ianya dapat memberi kesan yang lebih menyeluruh, antara langkah tersebut ialah : 1. Mengukuhkan lagi taraf pendidikan di Malaysia samada di sekolah mahupun di luar sekolah. 2. Memperbanyakan tugas atau tujuan Dewan Bahasa dan Pustaka seperti mengadakan kempen-kempen kesedaran dan sebagainya. 3. Pihak bertanggungjawab haruslah pengambil berat isu yang berlaku di kawasan luar bandar dan kawasan pedalaman seperti kegagalan pelajar orang asli yang gagal untuk mengeja dan membaca walaupun usia mereka telah meningkat. Memperkasakan pendidikan dan pembangunan modal insan setiap individu adalah satu agenda yang besar. Ia perlu dirancang dengan teratur dan sempurna. Banyak usaha dan tindakan yang berkesan perlu dilakukan oleh semua pihak khususnya di kalangan kita. Perubahan tidak akan berlaku begitu sahaja. Yang bulat tidak akan datang bergolek yang pipih tidak akan datang melayang. Renung firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum melainkan kaum itu mengubah diri mereka sendiri. (al-Rad : 11) Sekian.

20

Maksud : Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Katakanlah (wahai Muhammad ), aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang menguasai subuh. Dan bencana makhluk-makhluk yang Ia ciptakan. Dan dari bahaya malam apabila telah gelap gelita. Dan dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan). Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia melakukan dengkinya.

21

Maksud : Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah , lagi Maha Mengasihani. Katakanlah , aku berlindung kepada ( Allah) Pemelihara sekalian manusia. Yang menguasai sekalian manusia. Tuhan yang berhak disembah, dari kejahatan pembisik, penghasut yang timbul tenggelam, yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia, ( iaitu pembisik dan penghasut) dari golongan jin dan manusia. .

22

Anda mungkin juga menyukai