Aristotle merupakan pelajar kepada Plato (384-322 SM) dilahirkan di
Stagyra, Macedonia, putera Nichomachus iaitu doktor kepada raja Macedonia. Beliau adalah seorang pelajar yang sangat tekun dan mula menuntut dengan Plato ketika berusia 20 tahun. Seperti gurunya Plato, Aristotle menumpukan perhatian kepada persoalan seni dengan melihat bahawa unsur peniruan atau mimesis sebagai yang lebih positif. Aristotle mengatakan bahawa karya seni harus mempunyai nilai peniruan, iaitu meniru kejadian aktiviti di dunia. Beliau tidak bersetuju pendapat Plato yang mengatakan bahawa peniruan adalah kategori ketiga dan karya peniruan itu adalah tidak benar. Sebaliknya Aristotle menekankan bahawa mimesis itu adalah sebagai representasi aksi dan kehidupan manusia melalui sesuatu rangka cerita atau struktur yang sesuai. Aristotle telah menerangkan bahawa proses mimesis adalah merujuk kepada proses meniru atau menghasilkan semula kata-kata dan gerak-geri orang lain dan ini adalah sebagai imitasi. Beliau banyak menunjukkan contoh dalam seni kesusasteraan dan drama. Dalam karyanya bertajuk Poetics, beliau menyatakan, imitasi ialah sesuatu yang dilakukan oleh seorang manusia semasa dia masih kanak-kanak, dan salah satu keuntungan manusia jika dibandingkan dengan binatang ialah seseorang manusia itu merupakan makhluk hidup yang mengimitasikan (kata-kata dan gerak-geri manusia lain), dan dia juga mula mempelajari sesuatu itu daripada proses imitasi (Lok, 1997). Aristotle merujuk kepada karya drama tragedi yang mewakili aksi dan kehidupan manusia. Itu lah yang dikatakan mimesis. Ia mewakili manusia bukan dengan menceritakan kehidupan seseorang yang wujud dan hidup di dalam dunia ini, tetapi melalui cerita yang direka oleh penulis dan pengarah. Menurut Lok (1997), mimesis berlaku apabila ahli drama itu menyusun peristiwa dalam dramanya supaya ia mempunyai ciri-ciri rangka cerita bahagian permulaan, pertengahan dan akhir dan mempunyai pertalian demi pertalian antara peristiwa dalam sesebuah drama tragedi. Bagi Aristotle, watak individu dan peristiwa dalam sesebuah drama itu hanya merupakan alat yang digunakan oleh ahli drama untuk Nota Kuliah SSP2233 dan SRP2233 Teori Pendidikan Seni 1 @ Hassan Mohd Ghazali menyampaikan pengetahuan dan pengajaran yang lebih umum. Beliau mengatakan fungsi drama ialah menceritakan sesesuatu peristiwa melalui mesej tertentu. Pendapat ini bertentangan dengan Plato yang mengatakan drama adalah cerita palsu. Bagi Aristotle seni bukanlah meniru hasil buatan orang atau meniru alam sekitar, tetapi seni meniru aktiviti semula jadi. Menurutnya lagi alam semula jadi menghasilkan sesuatu dengan menyatukan bahan yang sesuai dengan sesuatu bentuk. Seseorang seniman meniru proses kreatif dalam alam semula jadi dengan menyatukan bahan tertentu dalam bentuk atau struktur yang sesuai. Seniman menggunakan sumber alam untuk membentuk melalui idea menjadi sesuatu bahan kreatif. Dalam karyanya bertajuk Poetics, bab 1, beliau menunjukkan bahan yang digunakan oleh bentuk-bentuk seni yang berlainan dalam proses imitasi. Ahli seni catan dan ahli seni pahat menggunakan warna dan bentuk untuk menghasilkan sebuah karya imitasi. Dalam konteks ini, mimesis tidak boleh dirujuk kepada mengeluarkan semula objek asal tetapi bahan yang digunakan untuk menghasilkan karya adalah tidak sama dengan objek asal. Ini bermakna seseorang seniman itu menghasilkan suatu bentuk yang baru melalui kreativiti pengkarya. Aristotle mempunyai pandangan bahawa karya seni harus dinilai sebagai suatu peniruan. Peniruan yang dimaksudkan ialah tiruan dunia alamiah dan dunia manusia sendiri. Menurut beliau pembuat karya seni berbeza dari tugas pensejarahan yang menceritakan hal-hal kejadian yang lepas. Karya seni harus lebih dari itu iaitu memiliki keunggulan idea dan falsafah yang bersifat universal.
Nota Kuliah SSP2233 dan SRP2233 Teori Pendidikan Seni 2