Peranan PIBG

Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 6

TAJUK : Peranana PIBG dalam institusi pendidikan 1.0 Pendahuluan.

Pada masa ini Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) telah diwujudkan di tiap-tiap sekolah di Malaysia. PIBG ini dianggotai oleh guru-guru, ibu bapa dan penjaga yang mempunyai anakanak di sekolah berkenaan. Pada kebiasaannya sekolah mengutip yuran daripada pihak penjaga sebagai sumber menggerakkan persatuan. Mesyuarat Agung PIBG diadakan sekali setahun untuk memilih ahli-ahli jawatankuasanya. Pengerusi PIBG selalunya dilantik di kalangan ibu bapa sementara pengetua atau guru besar bertindak sebagai penasihat dan seorang guru bertindak sebagai setiausaha. Sambutan terhadap kegiatan PIBG adalah berbeza-beza antara sekolah. Terdapat PIBG yang aktif dan ada yang kurang aktif. Persoalan yang selalu dibangkitkan ialah mengapakah terdapat banyak PIBG yang tidak bergerak cergas dalam menjayakan aktiviti-aktiviti sekolah sedangkan PIBG dapat memberikan sumbangan-sumbangan yang besar dan menjadi tunjang terhadap kemajuan sesebuah sekolah. Sebagai contoh PIBG dapat membantu menyelesaikan masalah salah laku pelajar, dapat membantu dalam kerja-kerja amal dan dapat membantu mencari sumber kewangan bagi pihak sekolah. Untuk menjawab persoalan ini, sebagaimana peranan pengetua dalam komuniti, pemimpin sekolah juga mempunyai tanggungjawab untuk mengaktifkan PIBG. Pengetua yang berkesan akan melibatkan PIBG dalam usaha-usaha mencapai hasrat sekolah. Di samping faktor kepimpinan pengetua, adalah penting bagi PIBG mempunyai pasukan ahli jawatankuasa yang bersedia dan berminat untuk menjayakan program-program sekolah. Kepimpinan PIBG yang berinovasi dapat merancang pelbagai strategi untuk menentukan kejayaan sekolah. PIBG misalnya tidak hanya melibatkan mereka yang mempunyai anak yang bersekolah untuk aktiviti-aktivitinya. PIBG sepatutnya melibatkan juga ahli-ahli komuniti yang bukan terdiri daripada ibubapa untuk bergiat dalam membantu program PIBG. Terdapat ramai ahli-ahli komuniti yang terdiri daripada mereka yang tiada anak, anak sudah tamat sekolah atau yang masih bujang yang mungkin berminat dalam aktiviti-aktiviti berbentuk kemasyarakatan. Oleh itu terpulanglah kepada kepimpinan PIBG menjalankan fungsi dan peranan masing-masing selaras dengan kedudukan mereka dalam persatuan. 2.0 Definasi. Dalam banyak hal PIBG boleh menjadi tunjang kemajuan sesebuah sekolah. Seperti yang kita sedia maklum PIBG merupakan akronim bagi Persatuan Ibu bapa dan Guru. PIBG secara keseluruhannya telah dinyatakan seperti di atas. Tunjang pula menurut kamus Dewan ialah akar di atas tanah yang menopang batang pohon supaya tegak seperti yang terdapat pada pokok bakau dan lain-lain lagi. Kemajuan berasal dari kata dasar maju yang bermakna bergerak ke muka, mara, melangkah ke hadapan. Kemajuan bermakna perihal maju seperti taraf hidup dan lainlain. Sesebuah bermaksud penjodoh bilangan untuk bilangan sesuatu benda di mana bentuk atau jenisnya tidak tentu. Sekolah pula ialah tempat untuk belajar dan mengajar, tempat menerima dan memberi pelajaran. Secara keseluruhan PIBG tunjang kemajuan sesebuah sekolah bermaksud PIBG menyokong dan membantu membina kemajuan di sesebuah sekolah agar matlamat Falsafah Pendidikan Negara dapat direalisasikan. Usaha ini memerlukan komitmen semua pihak bermula dari guru besar atau pengetua, ibu bapa, guru-guru, masyarakat sekitar dan pelajar. Kita telah sedar bahawa PIBG adalah salah satu pertubuhan di dalam sekolah yang boleh memainkan peranan besar terhadap

meningkatkan pencapaian persekolahan murid-murid mereka. Ahli-ahli PIBG yang aktif boleh menyumbangkan tenaga dan sumber kewangan mereka dari semasa ke semasa demi kemajuan sekolah yang berkenaan. Menurut Kamarudin Hj. Kachar (1989) pendidikan tidak dapat dan tidak boleh dipisahkan daripada masyarakat. Pendidikan perlu dirancang dan dilaksanakan prosesnya dalam konteks masyarakat. Tujuannya supaya pendidikan ada kaitan rapat dengan masyarakat. Selain daripada tujuan sedemikian, pelajar-pelajar dapat memahami masyarakat, hidup berasaskan kepada nilainilai dan unsur-unsur kebudayaan masyarakat, dan supaya ibu bapa serta orang lain memahami dan menghayati keadaan, matlamat dan masalah institusi pendidikan. Pelajar-pelajar datangnya daripada masyarakat. Mereka diasuh, dididik dan dilatih oleh institusi pendidikan untuk keperluan masyarakat. Dengan demikian memang wajar institusi pendidikan mendapat bantuan bukan sahaja kewangan, tetapi bantuan dan asuhan moral daripada masyarakat.

3.0 Peranan PIBG. PIBG semestinya memegang amanah sebagai persatuan yang berjuang dan memperjuangkan kebajikan ahlinya sekaligus mendasarkannya kepada kepentingan pelajar dan murid. Ini bermakna PIBG terutama pemimpinnya tentulah tidak wajar menjadikan persatuan sebagai batu loncatan untuk kepentingan peribadi sama ada yang berkecenderungan politik, ekonomi atau kepentingan peribadi. Secara tidak langsung juga, Persatuan tidak wajar bergerak atau menjadi gerakan yang bersifat politik berparti atau mempunyai kecenderungan menyokong sebarang parti politik kerana matlamat utamanya hanyalah memperjuangkan kebajikan ahli, serentak dengan usaha menyokong sebarang dasar pendidikan yang menjamin dan mengutamakan kepentingan pelajar, murid, ibu bapa dan negara seluruhnya. 3.1 Peranan Sebagai Penjaga. Antara peranan yang boleh dimainkan oleh ibu bapa dalam menyerlahkan prestasi anak-anak ialah sebagai penjaga. Ibu bapa seharusnya menjadi penjaga yang bertanggungjawab. Ini bererti segala keperluan asas seharusnya dipenuhi mengikut kemampuan dan kesesuaian. Sebagai penjaga, ibu bapa juga seharusnya bertanggungjawab terhadap perkembangan fizikal dan mental anak. Ibu bapa juga perlu berperanan sebagai pengawas tingkah laku anak. Ibu bapa perlu mengambil berat setiap tindak tanduk anak-anak untuk menjamin masa depan mereka. Jika perkara ini tidak diberi perhatian yang serius sejak dari awal, cita-cita ibu bapa untuk menjadikan anaknya cemerlang mungkin hanya tinggal angan-angan sahaja. Bak kata pepatah, kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya. Selain daripada itu, ibu bapa juga perlu bertindak sebagai perangsang perkembangan mental anak. Ibu bapa semestinya dapat melihat secara keseluruhan mengenai potensi anak-anak mereka. Potensi yang ada dalam diri anak sepatutnya diserlahkan dan dikembangkan mengikut saluran yang betul dan diredai. Bantu anak-anak mengenali bakat yang ada dalam diri mereka dan seterusnya memupuk bakat tersebut. Setiap bakat yang wujud dalam diri anak perlu diasah dan disuburkan pada setiap masa dan keadaan. Apabila ibu bapa dapat memainkan peranannya secara positif di rumah maka tugas guru disekolah dapat diringankan dan tidak ada berlaku kecelaruan fikiran di kalangan anak-anak. Pada peringkat sekolah, guru yang mengisi sebahagian daripada komposisi PIBG seharusnya

berperanan sebagai ibu bapa yang mengambil berat setiap keperluan dan kebajikan pelajar. Oleh itu guru yang menjadi seorang pendidik yang benar-benar berwatak pendidikdengan menyerlahkan seluruh ciri kebudimanannya dan kecikguannya. Kita berkeyakinan manusia suka dan selesa kepada sesiapa sahaja yang menampilkan sifat kasih sayang dan bersikap penyayang. Justeru, sudah tentu pendidik yang bersikap dan bersifat penyayang adalah seorang yang lemah lembut tatkala mendidik dengan menganggap pelajar seperti anaknya. Oleh itu, guru tentu lebih menghargai anak didiknya kerana tiada ibu atau bapa yang gembira apabila melihat anaknya dimaki, dicerca dan dimarah tanpa usul periksa. Seandainya tidak mahu melihat anak didera oleh sesiapa , setiap individu tentunya bertanggungjawab dan insaf betapa tiada haknya mereka mendera anak orang lain. Secara tidak langsung juga ia memperlihatkan usaha merealisasikan konsep sekolah penyayang yang dapat dihayati oleh pelajar. Apa yang diharapkan pelajar sendiri bersyukur dan menghargai nilai peribadi dan personaliti gurunya yang memberi kasih sayang yang amat luas dan sesuai dalam setiap detik pengajaran dan pembelajarannya. Secara tidak langsung, guru menyediakan dunia pengajaran yang diwarnai dengan keseronokkan mengajar manakala pelajar menikmati dunia penuh cerita dalam pembelajaran meraka atau keseronokkan belajar. Pendidik seharusnya menginsafi keterbatasan upayanya kerana sifat manusianya sendiri mesti dan wajar dimaklumi walaupun sebagai pendidik yang begitu kuat iltizam dan idealisme mempunyai jangkaan matlamat yang berkeinginan untuk mencapai kecemerlangan. Dengan keterbatasan ini tentu sukar untuk mengubah perlakuan dan sikap murid dalam waktu yang singkat, malah mungkin mengambil masa yang panjang. 3.2 Membantu menyelesaikan masalah salah laku pelajar. Ada yang memeranjatkan, sekaligus membimbangkan, mengenai hasil satu kajian yang dibuat oleh Bahagian Perancangan & Penyelidikan Dasar Kementerian Pendidikan. Laporan kajian tersebut menjelaskan tentang penularan gangsterisme yang semakin berleluasa di sekolahsekolah menengah seluruh negara sekarang. Fakta kajian menunjukkan satu pertiga dari 1560 buah sekolah menengah kita adalah berisiko tinggi dan terdedah kepada berbagai-bagai kegiatan kongsi gelap. Antara kegiatan berunsur ganas yang kerap berlaku di sekolah ialah mencuri, bergaduh, peras ugut, malah percubaan merogol. Sejak sedekad kebelakangan ini kenakalan melampau ini sudah menjadi satu trend di kebanyakkan sekolah. Hal ini telah sering kali dibangkitkan oleh guruguru, juga selalu menjadi agenda utama dalam mesyuarat-mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Menurut Presiden Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) Kebangsaan, Prof Madya Mohamad Ali Hassan berkata (B.H, 27 Julai 2001), dengan cabaran dunia tiada sempadan pelbagai elemen yang baik atau buruk bebas memasuki minda golongan muda sekiranya tidak disaring dengan teliti. Sehubungan dengan itu, katanya, dengan benteng kukuh yang dibina sejak kecil serta kawalan daripada semua pihak yang berfungsi membentuk insan bistari dan gemilang, tidak mudah bagi anak muda dipengaruhi anasir tidak sihat. Beliau berkata, tanggungjawab itu bukan sahaja dipikul oleh ibu bapa malah anggota masyarakat dan kerajaan untu menilai dan mengkaji kelemahan supaya dapat diperbaiki segera. Merujuk kepada isu Black Metal yang heboh diperkatakan sekarang, Mohamad Ali meminta semua PIBG dan ahlinya memberi perhatian serta mengambil tindakan sewajarnya membantu

membenteras gejala itu daripada terus merebak. Beliau mencadangkan supaya PIBG setiap sekolah menubuhkan Majlis Pemuafakatan PIBG peringkat daerah supaya dapat memperluaskan kegiatan mereka. Langkah penyelesaian atau pencegahan yang diambil terhadap ahli atau bekas kumpulan Black Metal perlu menekankan nilai positif bukannya bertindak menghukum. Tindakan tegas seperti membuang atau menggantung persekolahan hanya akan memberi tekanan kepada pelajar, sedangkan pada ketika itu mereka lebih memerlukan bimbingan dan kaunseling. 3.3 Membantu pelajar miskin. Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) akan mewujudkan bank data untuk menyenaraikan palajar daripada keluarga miskin, sekaligus memudahkan proses menyalurkan bantuan kepada mereka. Bank data itu bertujuan memudahkan proses khidmat kebajikan dan bantuan dihulurkan kepada belajar terbabit. Pelajar yang tersenarai akan diberi bantuan sama ada dalam bentuk kewangan dan perkhidmatan lain menerusi dana sumbangan ahli korporat dan agensi kerajaan yang disalurkan kepada persatuan berkenaan. Perlaksanaan program ini memerlukan perbelanjaan yang besar, oleh itu diharapkan lebih ramai ahli korporat tampil untuk membantu menjayakan kegiatan sukarela berbentuk kebajikan ini. Setiap PIBG peringkat sekolah disarankan menyediakan bank data sendiri dengan menyenaraikan semua pelajar miskin yang berhak dibantu. PIBG patut menjadikan usaha membantu pelajar miskin ini sebagai satu daripada agenda utama supaya golongan ini dapat belajar dengan selesa sepertimana pelajar lain. PIBG juga patut membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah dengan memastikan mereka tersenarai menerima buku menerusi Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT). Pada masa sama PIBG perlu beriktiar menganjurkan pelbagai majlis ilmu dan seminar motivasi kecemerlangan yang membabitkan pelajar daripada keluarga berkenaan. Penyertaan dalam program ini akan memberi rangsangan dan motivasi kepada mereka untuk meneruskan persekolahan hingga berjaya melanjutkan pengajian ke menara gading dan merangkul segulung ijazah. Kejayaan ini sekaligus dapat membebaskan mereka daripada kemelut kemiskinan kerana kejayaan dalam bidang pendidikan memudahkan pelajar terbabit mencari pekerjaan. 4.0 Perbincangan Bagi sekolah berasrama penuh, masalah besar yang dihadapi dalam konteks PIBG biasanya tidaklah begitu serius. Ini disebabkan ibu bapa tinggal jauh dari sekolah malahan di luar dari negeri tempat sekolah itu terletak. Oleh sebab itu mesyuarat-mesyuarat dan kegiatan PIBG amat sukar dirancang dan sambutannya pun tidaklah begitu memuaskan. Tetapi walaubagaimana pun, khasnya tiap-tiap ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru ataupun tiap-tiap penjaga murid-murid di sekolah menengah seperti ini mempunyai peranan yang tidak kurang pentingnya dengan ibu bapa dan penjaga murid yang berada di sekolah harian. Kita sebetulnya harus realistik dalam hal ini kerana kita tidak mengharapkan supaya ibu bapa menjadi pengajar mata pelajaran akademik kepada anak-anak mereka di rumah. Ini bukanlah zaman dahulu lagi iaitu pelajaran-pelajaran biasa dapat ditunjuk ajar oleh ibu bapa di rumah. Oleh kerana kebanyakkan mata pelajaran sekarang adalah lebih sofistikated iaitu terlalu moden, hatta kepada ibu bapa yang bekerja sebagai guru sekalipun. Oleh itu terpaksalah kita semua menerima hakikat kita tidak dapat menjadi guru kedua di rumah. Malahan ada buruknya jika kita cuba mengajar anak-anak kita di rumah kerana umpamanya kaedah

Matematik Moden adalah berbeza dengan kaedah kira-kira yang kita gunakan dahulu. Jika kita cuba mengajar juga, ini akan menimbulkan kekecohan kepada pemikiran anak-anak. Oleh itu tegasnya, tidak diharap ibu bapa mesti mengajar anak-anak dirumah. Apa yang diharapkan hanya supaya ibu bapa akan memberi dorongan, suasana atau iklim yang baik untuk pembelajaran di rumah. Iklim ini tidak semestinya boleh menjelma di rumah keluarga yang kaya atau orang-orang yang berada sahaja. Pengajaran dan dorongan dapat juga diberi oleh ibu bapa yang sederhana atau miskin. Umpamanya kita sedia maklum bahawa anak-anak melayu khasnya sangat senang putus asa, walau pun angan-angan mereka dan cita-cita mereka selalunya tinggi kadang-kadang ala Mat Jenin. Oleh itu kajian yang dibuat dalam bidang pelajaran menyatakan dan mentafsirkan cita-cita yang tinggi itu sebagai motivasiyang kuat. Tetapi itu tidak benar. Memang benar budak-budak Melayu mempunyai cita-cita yang menggunung tinggi tetapi tidak selalu disokong oleh hasrat bekerja keras dan kegigihan semangat yang besar untuk memenuhi cita-cita itu. Ibu bapa seharusnya boleh memainkan pelbagai peranan dalam membentuk disiplin dan peribadi anak-anak. Kecuaian ibu bapa untuk memahami peranannya yang sebenar menjadikan anakanak hilang panduan dan keliru dalam menjalani hidup yang penuh cabaran ini. Sekiranya peranan yang sepatutnya dimainkan oleh ibu bapa ini diabaikan maka jangan salahkan anak-anak apabila mereka memilih orang lain untuk dicontohi.

5.0 Penutup Persekitaran sosial mencabar guru dan institusi pendidikan dalam melahirkan insan yang bukan saja seimbang keperibadiannya tetapi juga menjadi teras dan aset kepada negara. Pelajar dididik supaya berpakaian sopan dan tidak menjolok mata, tetapi keperibadian pelakon yang dipaparkan dalam drama bersiri Barat, berpakaian tidak senonoh dan menjolok mata. Ini tidak termasuk lagi adegan ganas, tahyul dan seks. Sesetengah perlakuan pelakon dan penghibur idola sama ada dalam atau luar negara menjadi ikutan pelajar. Justeru itu sokongan moral dan kerjasama daripada ibu bapa melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dapat memainkan peranan untuk membangunkan generasi yang lebih gagah dan berdaya tahan. Kesimpulannya kita memerlukan PIBG yang mantap organisasinya, sekaligus mempunyai pelan tindakan dan perancangan jangka panjang yang memungkinkannya berfungsi secara aktif dan betul serta tepat kepada sasarannya. PIBG memerlukan kehadiran pemimpin dan pengikut berwibawa serentak. Dengan adanya pemimpin dan pengikut sedemikian, pelbagai perancangan dan tindakan yang dilaksanakan boleh mencapai kejayaan yang diinginkan. PIBG seperti inilah yang boleh menjadi tunjang kemajuan sesebuah sekolah.

Rujukan. Abd. Jalil Ali (2000). Sulitnya menangani gejala gangsterisme di sekolah. Dewan Masyarakat. Mei . Kuala Lumpur: Dewan Masyarakat. ms.66. Amir Hasan Dawi(2002).Penteorian sosiologi dan pendidikan. Edisi Kedua. Tanjung Malim:Quantum Books.

Kamarudin Hj Kachar(1989). Kepimpinan profesional dalam pendidikan. Kuala Lumpur: Teks Publishing Sdn. Bhd. Kamus Dewan (1991). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Mok Soon Sang (1995). Asas pendidikan 1 , pendidikan sebagai suatu proses. Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn Bhd. Omar Mohd. Hashim (1993). Pendidikan: persoalan, penyelesaian dan harapan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Zawawi Yahya(2000).PIBG tonggak masa depan pelajar.Berita Harian. 3 Mei. Zawawi Yahya(2000).PIBG pelengkap usaha kerajaan.Berita Harian. 4 Mei.

You might also like