Syarahan Nikmat Keamanan Tunjang Perpaduan Di Malaysia'.
Syarahan Nikmat Keamanan Tunjang Perpaduan Di Malaysia'.
Syarahan Nikmat Keamanan Tunjang Perpaduan Di Malaysia'.
Penjaga masa yang setia dengan detik-detik saat yang berlalu dan mendatang,
Mari kita selami dan mendalami sejenak, dalam kehidupan kita ini, adakah kita telah
benar-benar memahami erti nikmat kebahagian sebenar? Ada orang berkata,
mempunyai wang, kereta, rumah besar bak mahligai, aset serta simpanan yang
banyak, itulah kebahagian. Tapi, adakah itu nikmat kebahagiaan sebenar yang kita
inginkan?
Justeru itu, pada pagi yang berbahagia ini, saya ingin mengajak hadirin yang
budiman untuk bersama-sama menghalusi tajuk syarahan saya iaitu ‘Nikmat
Keamanan Tunjang Perpaduan di Malaysia’.
Merujuk Kamus Dewan, keamanan bermaksud tenang, damai dan tenteram, bebas
daripada keadaan kacau bilau, peperangan, pergaduhan dan bebas daripada
gangguan yang tidak menyenangkan.
Hadirin yang dimuliakan,
Malaysia, adalah sebuah negara yang unik dan makmur. Walaupun penduduknya
berbilang bangsa, agama, adat resam dan budaya, namun kita tetap mampu untuk
hidup aman di bawah satu bendera pusaka iaitu Jalur Gemilang. Ramai pemimpin
dunia yang mengangumi keamanan dan kemajuan yang kita kecapi. Kejayaan demi
kejayaan yang kita perolehi ini tidaklah datang melayang, dan tidak pula datang
bergolek melainkan hasil daripada perpaduan dan kerjasama pelbagai kaum di
Malaysia.
Jika di Palestin, bunyi dentuman dan percikan api meragut ratusan malahan ribuan
nyawa, akan tetapi di Malaysia, dentuman dan percikan bunga api ini menandakan
bermulanya perayaan besar seperti sambutan Tahun Baru Cina. Mantan Perdana
Menteri Malaysia ke-5 iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam amanatnya
sempena Tahun Baru Cina 2009 menegaskan bahawa “Negara ini milik kita semua.
Oleh itu, marilah kita berusaha untuk mengekalkan keamanan dan kesajahteraan
ini”.
Hadirin yang budiman,
Hari ini, Malaysia dikenali sebagai sebuah negara yang aman di mata dunia. Namun,
‘lautan mana tidak bergelora, bumi mana tidak ditimpa hujan”. Walaupun ada
segelintir pihak yang cuba mewujudkan suasana tidak harmoni dengan
menimbulkan isu-isu sensitif, namun semuanya di murnikan dengan semangat
kekitaan.
Hadirin sekalian,
Tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata. Sekiranya rakyat negara ini
tidak bersatu, bolehkan dan dapatkah negara kita terus kekal aman sehingga ke hari
ini? “tepuk dada dan tanyalah hati’. Ayuh! Kita pelihara dan jaga bumi Malaysia nan
bertuah ini! Marilah kita satukan tekad kita agar menjadi satu bangsa yang cintakan
perpaduan dan keamanan tanpa mengira bangsa, pangkat, warna kulit dan agama.
Semai dan tanamkanlah benih kemesraan, nescaya akan tumbuhlah pohon
perpaduan di sekeliling kita.
Sebelum kaki melangkah pergi, sebelum bicara ternoktah disini, izinkan saya
menyulam serangkap pantun buat hadirin yang ada di sini.